Friday, February 28, 2020

Hukum Hibah dalam Islam

Hukum Hibah dalam Islam

Hibah merupakan satu anugerah, hadiah, pemberian harta atau aset secara sukarela kepada seseorang ketika hayatnya atas dasar kasih sayang dan kemanusiaan untuk digunakan manfaatnya oleh si penerima. Ia merupakan pemberian sesuatu ain (benda) miliknya kepada orang lain sewaktu hidupnya tanpa mengharap apa-apa pembalasan(iwad).

Rasulullah Sallahualaihiwasallam pernah bersabda:

تَهَادُوْا تَحَابُّوْا

“Saling menghadiahilah kalian nescaya kalian akan saling mencintai.” (Riwayat Al-Bukhari dalam Al-Adabul Mufrad no. 594).

Hibah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang kita ingini sama ada waris atau bukan waris.Kesan daripada hibah, semua harta yang sudah dihibah akan terkeluar daripada harta pusaka dan tidak akan diagih kepada waris mengikut hukum faraid.

Hibah ada dua jenis iaitu:

1.Hibah mutlak

2.Hibah bersyarat (umra dan ruqba)

Di bawah hibah mutlak, ia berkuat kuasa serta-merta. Sekiranya penukaran hak milik sudah dibuat, ia terus menjadi hak si penerima. Penerima berhak membuat apa saja dengan haknya termasuk menjualnya. Dari sudut faraid pula, sekiranya penerima meninggal dunia, ia menjadi harta pusaka penerima.

Hibah bersyarat pula penghibah meletakkan sesuatu syarat sampingan bersama-sama.

Menurut kitab al-Fiqh al-Manhaji,
“Hibah merupakan satu kontrak perjanjian (akad) bertujuan kepada pemindahan hak milik tanpa sebarang gentian (iwad) ketika masih hidup dan ia dilakukan secara sukarela” (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 6/115)

Dari segi hukum, hibah adalah suatu amalan yang sunat dan digalakkan dalam Islam terutama sekali kepada kaum keluarga terdekat.Amalan ini adalah berdasarkan kepada al-Quran, al-Sunnah dan ijmak.

Telah disebut al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah,
"Telah menjadi ijma’ para fuqaha’ bahawa sebarang bentuk hibah adalah disunatkan. Walaupun begitu ia akan berubah menjadi haram sekiranya tujuan hibah itu kerana kemaksiatan atau membantu kezaliman serta bertujuan untuk rasuah. Begitu juga, hibah akan menjadi makruh sekiranya bertujuan untuk riak dan sombong. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/122)"

Dalil pensyariatan Hibah terkandung di dalam al-Quran, Sunnah serta telah menjadi Ijma’ dalam galakan berhibah. Diantaranya adalah firman Allah Subhanahuwata'ala:

فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا

Maksudnya: Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya. (Surah al-Nisa, 4)

Selain itu, Hibah merupakan perkara yang disyariatkan di dalam islam. Malah, ia juga digalakkan untuk memberi kepada saudara-mara dan kerabat yang terdekat bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim. Firman Allah Subhanahuwata'ala:

وَآتَى الْمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّائِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ

Maksudnya: dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi.(Surah al-Baqarah, 177)

Rukun dan Syarat Hibah

Hibah dikira sah sekiranya memenuhi syarat-syarat dan rukunnya. Syeikh Muhammad Zuhaili membahagikan rukun hibah tiga secara umum dan lima secara terperinci iaiatu:

1-Dua pihak yang berakad, iaitu pemberi dan penerima.
-Pemberi hibah mestilah orang yang mukallaf, berakal, baligh serta layak untuk menyumbang.
-Kanak-kanak dan orang gila tidak layak untuk melakukan hibah
-Harta atau barang yang hendak dihibahkan itu mestilah milik sepenuhnya daripada diri pemberi
-Disyaratkan kepada penerima hibah mestilah orang yang mukallaf. Namun sekiranya tidak mukallaf pihak wali boleh menerimanya.

2-Akad Sighah
-Di syaratkan untuk melakukan hibah mestilah ada ijab dan qabul dengan lafaz sama ada secara jelas (sorih) atau kiasan (kinayah). Maka sah akad perjanjian secara kinayah seperti akad perjanjian bertulis.
-Lafaz ijab dan qabul itu mestilah berkesinambungan dan tidak terputus seperti akad jual beli.

3-Barang yang hendak dihibah
-Syarat barang untuk dihibah adalah setiap barang yang harus dijual beli. Ini kerana tujuan hibah adalah penukaran hak milik.
-Barang yang hendak dihibah mestilah wujud. Oleh itu, tidak sah menghibahkan anak kambing yang berada di dalam kandungan.
-Barangan itu mestilah bernilai dan memberi manfaat. Tidak sah sekiranya menghibah barang yang tidak bernilai di sisi syara’ seperti arak dan khinzir.
-Pemberi mesti memiliki barang yang hendak dihibahkan.

(Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 3/178, al-Fiqh al-Manhaji, 6/120)

Al-Qabd (Penerimaan Hibah)

Dicatat dalam kitab al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie’:

“Tidak dikira sebagai hak milik penerima selagi mana belum menerima hibah (qabd). Oleh itu, pemberi boleh menarik semula pemberiannya”. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie’, 3/182)

Ini bermaksud Bahasa walaupun akad hibah ijab dan qabul telah sempurna, akan tetapi jika penerima belum menerima hibah tersebut maka ia masih lagi belum berpindah hak milik. Justeru itu, pemberi boleh menarik balik hibah tersebut selagi mana hibah tersebut tidak sampai ke tangan penerima. Ini berdasarkan Hadith,

لَمَّا تزَوَّجَ رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم أُمُّ سَلَمَةِ قَالَ لَهَا: إِنِّي أَهْدَيْتُ إِلِى النَّجَاشِي أَوَاقاً مِنْ مِسْكٍ، وَحُلَّةٌ، وَإِنِّي لاَ أَرَاهُ إِلاَّ قَدْ مَاتَ، وَلاَ أَرَى الَهِدِّيَةَ الَتِّي أَهْدَيْتُ إِلَيْهِ، إِلاَّ سَتَرُدُّ، فَإِذَا رُدَّتْ إِلَيَّ فَهُوَ لَكِ أَمْ لَكُمْ؟ فَكَانَ كَمَا قَالَ هَلَكَ النَّجَاشِي، فَلَمَّا رُدَّتْ إِلَيْهِ الهَدِيَّةُ، أَعْطَى كُلُّ امْرَأَةٍ مِنْ نِسَائِهِ أَوْقِيَّةِ مِنْ ذَلِكَ المِسْكِ، وَأَعْطَى سَائِرَهُ أُمُّ سَلَمَةِ وَأَعْطَاهَا الحُلَّة

Maksudnya: “Ketika Rasulullah Sallahualaihiwasallam mengahwini Ummu Salamah R.Anha. Baginda bersabda kepadanya: "Aku hadiahkan kepada Najashi beberapa auns minyak kasturi dan perhiasan tetapi aku merasakan dia telah meninggal dunia. Aku juga merasakan hadiah yang aku berikan kepadanya ini akan dipulangkan. Apabila hadiah itu dipulangkan kepada aku, ia akan menjadi hak engkau atau hak kamu semua. Seperti mana yang dikatakan tentang kematian Najashi, apabila dikembalikan hadiah itu, maka dihadiahkan kepada semua isteri-isteri baginda Sallahualaihiwasallam minyak wangi itu, dan diberikan baki selebihnya kepada Ummu Salamah, kemuan ia menerima sebelihnya daripada perhiasan " Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (2/188)

Oleh itu, sekiranya akad hibah berkuatkuasa sebelum penerimaannya, maka Nabi Sallahualaihiwasallam tidak akan bersetuju untuk menerimanya semula. Dan Baginda Sallahualaihiwasallam akan menyerahkan kepada waris Najashi kerana ia akan menjadi sebahagian daripada pusaka. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 6/126)

Tuesday, February 25, 2020

Beradablah dan hormatilah guru yang mengajarmu nescaya ilmumu akan berkat.

Beradablah dan hormatilah guru yang mengajarmu nescaya ilmumu akan berkat.

Firrman Allah Subhanahuwata'ala,:

ٱلرَّحۡمَٰنُ ١  عَلَّمَ ٱلۡقُرۡءَانَ ٢  خَلَقَ ٱلۡإِنسَٰنَ ٣ عَلَّمَهُ ٱلۡبَيَانَ

Maksudnya: (Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya.  Dia lah yang telah mengajarkan Al-Quran. Dia lah yang telah menciptakan manusia;  Dia lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan. (Al-Rahman: 1-4)

Al-Imam Ibn Jarir al-Tabari (wafat 310H) Rahimahullah ketika mentafsirkan عَلَّمَهُ الْبَيَانَ   di dalam tafsirnya menyebutkan: “Dan yang paling tepat, diterima pakai (maksudnya) ialah, Allah Subhanahuwata'ala mengajarkan manusia apa yang dihajatkan olehnya daripada urusan agama dan dunia (dalam hal halal dan haram), kehidupan, mantik dan juga mengajar selainnya mengikut apa yang dihajati oleh manusia…”.  [Lihat Tafsir Al-Tabari. Muassasah al-Risalah, 22/8]

Dewasa ini, boleh dikatakan bahawa ramai pelajar yang kurang menghormati guru-guru di sekolah. Perhubungan antara guru dengan pelajar tidak seakrab seperti zaman dahulu. Perkara ini wujud ada banyak kaitannya dengan sikap ibu bapa pelajar itu sendiri. Pada zaman dahulu ibu bapa begitu akrab hubungannya dengan guru-guru. Mereka sentiasa berkirim “salam”. Sekarang di zaman serba moden ini, keadaan seperti ini tidak wujud lagi. Jika dahulu ibu bapa sentiasa menyatakan guru berada di pihak yang benar jika mereka mendenda serta merotan anak-anak mereka. Pada masa sekarang keadaan itu amat jauh berbeza. Sebaliknya guru-guru pula yang disalahkan jika mereka mendenda serta merotan pelajar-pelajarnya. Bagi ibu bapa sekarang, mereka lebih berpihak kepada anak-anak serta menyalahkan guru-guru serta lebih memanjakan anak-anak.

Guru atau pendidik di dalam bahasa arab dinamakan المُعَلِّم. Di dalam Lisan al-‘Arab, perkataan المُعَلِّم berasal daripada العلم atau fe’elnya iaitu (عَلِمَ). Ilmu adalah lawan bagi kejahilan dan orang yang berilmu digelar sebagai ulama’. Menurut kamus dewan, guru bermaksud orang yang mengajar, mendidik atau mengasuh. Pendidik atau guru di dalam Islam ialah sesiapa sahaja yang bertanggungjawab terhadap perkembangan anak didiknya. Dalam Islam juga, orang yang paling utama atau bertanggungjawab dalam mendidik adalah ibubapa. Untuk itu, ibubapa adalah pendidik yang utama dan juga yang pertama dalam diri seorang insan itu. Berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ، أو يُنَصِّرَانِهِ، أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Maksudnya: “Tidaklah dilahirkan seorang anak itu melainkan dia lahir dalam keadaan fitrah. Maka kedua  ibubapanya yang bertanggugjawab meyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 4805]

Kerjaya sebagai guru adalah satu kerjaya yang mulia. Namun sekarang ini, ia seolah-olah dipandang sebagai pilihan kedua. Kedudukan guru yang semakin goyah dalam masyarakat hari ini juga merupakan salah satu penyebabnya. Pada masa dahulu kerjaya sebagai guru adalah satu kerjaya yang amat disanjung oleh masyarakat. Jika ada sebarang majlis dalam sesebuah kampung gurulah yang memainkan peranan utama. Pada masa ini tempat-tempat guru dalam masyarakat biasanya telah diambil alih oleh tokoh-tokoh korporat serta ahli-ahli politik.

Guru berperanan sebagai pembentuk masyarakat berilmu, pemupuk perpaduan, berupaya melahirkan masyarakat berkeyakinan tinggi, mempunyai nilai etika yang kukuh dan mampu bersaing di peringkat global.
Dengan jasa guru jugalah akan lahirnya generasi holistik cemerlang yang mampu memenuhi keperluan kepesatan pembangunan negara dan keperluan global.

Guru juga menggalas tugas berat menghasilkan seorang insan yang cemerlang dari segi ilmu pengetahuan khususnya dalam penerapan nilai agama, sains, teknologi dan ICT, Guru juga mendidik pelajarnya Kemahiran Berfikir Aras Tinggi serta berupaya berkomunikasi secara berkesan dalam pelbagai bahasa dan mempunyai sahsiah yang positif agar dapat menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga dan negara. Guru yang baik juga sentiasa bersedia untuk berubah demi pelajarnya, mereka melaksanakan tugas daripada cara biasa kepada yang luar biasa, berdaya tahan, futuristic dan berfikiran aras tinggi serta world class thinking.

Allah Subhanahuwata'ala telah mengangkat martabat seorang guru dan pendidik yang benar-benar ikhlas menyampai ilmu dengan kedudukan yang tinggi. Kemulian dan kelebihan guru ada di sebut didalam hadith-hadith Rasulullah Sallahualaihiwasallam, diantaranya adalah,

1-Diriwayatkan oleh Abu Darda’ RA, bahawa Nabi Sallahualaihiwasallam bersabda:

وَإِنَّ فَضْلَ العَالِمِ عَلَى العَابِدِ كَفَضْلِ القَمَرِ لَيْلَةَ البَدْرِ عَلَى سَائِرِ الكَوَاكِبِ

Maksudnya: “Sesungguhnya kelebihan orang yang alim dibanding dengan ahli ibadah adalah seperti bulan pada malam purnama atas seluruh bintang-bintang”. [Riwayat Abu Daud, no. Hadith 3157]

2-Diriwayatkan oleh Abu Darda’ RA, bahawa Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:

وَإِنَّ العُلَمَاءَ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ ، وَإِنَّ الأَنْبِيَاءَ ، لَمْ يُوَرِّثوا دِيْنَارًا ، وَلَا دِرْهَمًا ، إِنَّمَا وَرّثوا العِلْمَ ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi. Sungguhpun para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham tetapi mereka telah mewariskan ilmu. Barangsiapa yang mengambil warisan tersebut maka dia telah mengambil bahagian yang banyak.”. [Riwayat Abu Daud, no. Hadith 3157]

3-Diriwayatkan oleh Abu Umamah RA, bahawa Nabi Sallahualaihiwasallam bersabda:

فَضْلُ العَالِمِ عَلَى العَابِدِ كَفَضْلِيْ عَلَى أَدْنَاكُمْ

Maksudnya: “Kelebihan orang yang alim dibanding dengan ahli ibadah adalah seperti kelebihanku atas orang yang paling rendah di antara kamu semua”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 2609]

4-Diriwayatkan oleh Abu Umamah RA, bahawa Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكتَهُ وَأَهْلَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ حَتَّى النَّمْلَةَ فِيْ جُحْرِهَا وَحَتَّى الحُوْتَ لَيُصَلُّوْنَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الخَيْرَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Subhanahuwata'ala, para Malaikat dan semua penduduk di langit dan di bumi, sehinggakan semut di sarangnya dan ikan (di lautan) pasti berselawat (mendoakan) kebaikan bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 2609]

5-Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallahualaihiwasallam bersabda:

أَلاَ إِنَّ الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلاَّ ذِكْرُ اللَّهِ وَمَا وَالاَهُ وَعَالِمٌ أَوْ مُتَعَلِّمٌ

Maksudnya: “Ketahuilah ! sesungguhnya dunia dan segala isinya adalah dilaknat kecuali dengan berzikir kepada Allah Subhanahuwata'ala dan apa yang terlibat dengannya, serta orang yang alim (tahu) atau orang yang belajar”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 2244]

6-Diriwayatkan oleh Muaz bin Anas RA, bahawa Rsulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:

مَنْ عَلَّمَ عِلْمًا فَلَهُ أَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهِ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ العَامِلِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengajarkan sesuatu ilmu maka dia akan mendapat pahala orang yang mengamalkannya tanpa mengurangi pahala orang yang  mengamalkannya sedikitpun”. [Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 236]

Ulama’ Islam di zaman silam amat mementingkan adab dalam menuntut ilmu. Kata al-Imam Abdullah bin al-Mubarak (wafat 181H) Rahimahullah: 

طلبت الأدب ثلاثين سنة، وطلبت العلم عشرين سنة؛ كانوا يطلبون الأدب ثم العلم

"Aku mempelajari adab menuntut ilmu selama 30 tahun, kemudian baru mempelajari ilmu".
(Rujuk Ghoyatul Nihayah fi Tobaqat al-Qira’, 1/446)

Al-Imam Malik (wafat 179H) Rahimahullah pernah berkata: “Ibuku pernah menyuruhku pergi kepada Rabi’ah (salah seorang guru kepada al-Imam Malik) dan mempelajari darinya adab dan kemudian barulah ilmunya”. [Lihat  Abu al-Fadhl al-Qadhi ‘Iyadh. Tartib al-Madarik wa al-Taqrib al-Masalik, 1/130]

Al-Imam al-Ghazali (wafat 505H) di dalam kitabnya, Ihya’ ‘Ulum al-Din ada menukilkan kisah adab dan akhlak Al-Imam Ahmad bin Hanbal (wafat 241H) Rahimahullah terhadap gurunya al-Imam al-Syafi’e (wafat 204H). Diriwayatkan bahawa al-Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah mengatakan: “Tidaklah aku solat semenjak 40 tahun melainkan di dalam solatku, aku mendoakan untuk al-Imam al-Syafi’e semoga Allah Subhanahuwatala merahmatinya”.

Telah berkata Ibnu Abbas radhiyallahu anhu: “Aku merendah diri ketika menuntut ilmu maka aku dimuliakan ketika diminta mengajarkan ilmu”. 
tersebut. 
Ibnu Abbas radhiyallahu anhu juga ada berkata: 

مَكَثْتُ سَنَةً أُرِيدُ أَنْ أَسْأَلَ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ عَنْ آيَةٍ فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَسْأَلَهُ هَيْبَةً لَهُ حَتَّى خَرَجَ حَاجًّا فَخَرَجْتُ مَعَهُ فَلَمَّا رَجَعْنَا وَكُنَّا بِبَعْضِ الطَّرِيقِ عَدَلَ إِلَى الْأَرَاكِ لِحَاجَةٍ لَهُ قَالَ فَوَقَفْتُ لَهُ حَتَّى فَرَغَ ثُمَّ سِرْتُ مَعَهُ فَقُلْتُ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ مَنْ اللَّتَانِ تَظَاهَرَتَا عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ أَزْوَاجِهِ فَقَالَ تِلْكَ حَفْصَةُ وَعَائِشَةُ قَالَ فَقُلْتُ وَاللَّهِ إِنْ كُنْتُ لَأُرِيدُ أَنْ أَسْأَلَكَ عَنْ هَذَا مُنْذُ سَنَةٍ فَمَا أَسْتَطِيعُ هَيْبَةً لَكَ قَالَ فَلَا تَفْعَلْ مَا ظَنَنْتَ أَنَّ عِنْدِي مِنْ عِلْمٍ فَاسْأَلْنِي فَإِنْ كَانَ لِي عِلْمٌ خَبَّرْتُكَ بِهِ 

Aku berdiam (menunggu) setahun lamanya ingin bertanya kepada Umar bin al-Khoththob tentang satu ayat. Aku tidak mampu bertanya kepada beliau karena segan kepadanya. Hingga suatu saat Umar keluar berhaji aku pun keluar bersamanya. Ketika pulangnya, kami berada di suatu jalan, Umar menyingkir menuju pohon Araak untuk suatu keperluannya. Aku pun berdiri menunggu beliau. Ketika beliau sudah selesai, aku pun berjalan bersama beliau. Aku berkata: Wahai Amirul Mukminin, siapakah 2 orang wanita yang saling bekerjasama untuk melakukan hal yang menyusahkan Nabi shollallahu alaihi wasallam dari kalangan istri beliau (yang disebut dalam al-Quran)? Umar berkata: Itu adalah Hafshah dan Aisyah. Ibnu Abbas berkata: Aku berkata: Demi Allah, aku benar-benar ingin bertanya kepada anda tentang ini sejak setahun lalu. Aku tidak mampu bertanya karena segan pada anda. Umar berkata: Janganlah demikian. Jika engkau menyangka aku memiliki ilmu tentang suatu hal, tanyakanlah kepadaku. Jika aku memiliki ilmu tentang itu, aku akan sampaikan padamu (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pernah diceritakan bahawa Imam Syafie sangat menghormati gurunya. Pada suatu hari, sedang beliau memberi kuliah kepada ribuan pelajarnya, masuk seorang badwi yang amat comot serta amat busuk sekali. Melihat sahaja badwi itu masuk, Imam Syafie lantas berhenti daripada memberi kuliah dan mendekati badwi itu serta memeluknya dengan erat. Tergamam anak muridnya melihat perlakuan Imam Syafie itu.

Selesai sahaja memberi kuliah, maka bertanyalah anak muridnya kepada Imam Syafie mengapa beliau memeluk badwi tersebut. Imam Syafie berkata bahawa walaupun badwi itu busuk dan comot, tetapi badwi itu ialah gurunya. Sebab itu dia memeluk badwi tersebut sebagai cara menghormati guru. Terpegun pelajar-pelajarnya apabila diberitahu tentang badwi yang jahil itu menjadi guru Imam Syafie. Padahal as-Syafie hanya belajar daripadanya cara membezakan anjing yang cukup umur dan tidak.

Sebagai penutup,

Tiadalah mana-mana pemimpin yang hebat, ulama’ yang terbilang, pemidato yang handal kecuali mereka memiliki guru yang terkesan pada jiwanya. Melihat akhlaknya, adabnya, ilmunya, cara pemikirannya, mengolah pendapatnya dan mengemukakannya di samping kedalaman ilmu yang wujud pada sang guru tersebut dan menjadikan murid-muridnya terpengaruh dengannya. Elemen-elemen seperti akhlak serta adab yang baik sudah barang tentu mewatakkan muridnya dengan syakhsiah Islamiyyah yang unggul.

Justeru itu, beradab di dalam menuntut ilmu merupakan perihal yang penting bagi mendapat keberkatan ilmu. Tawadu’lah terhadap orang yang mengajarkan ilmu kerana mereka diibaratkan sebagai pahlawan. Maka hargai insan yang bernama guru, kerana dia kamu dimuliakan.

Pepatah arab ada menyebut:
لَوْ لَا مُرَبِّي مَا عَرَفْتُ رَبِّي
Tanpa pendidikku, nescaya takkan ku kenal tuhanku

Monday, February 24, 2020

Hukum berimamkan Imam yang mengumumkan bahawa dia tidak berwuduk(berhadas) semasa mengimani solat.

Hukum berimamkan Imam yang  mengumumkan bahawa dia tidak berwuduk(berhadas) semasa mengimani solat.

Salah satu dari syarat sah Solat ialah suci tubuh badan daripada hadas.

Makna syarat ialah kewujudan sesuatu perkara adalah bergantung kepada kewujudannya (tanpanya sesuatu tidak akan wujud) Dan ia bukan satu bahagian/juzuk daripada perkara tersebut. Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (1/147)

Suci daripada hadas adalah syarat sah bagi solat sebagaimana sabda Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam,

للتقبيل صلاة بغير طهور

Maksudnya:"Tidak diterima (mana-mana) solat (yang didirikan dalam keadaan) tidak brrsuci". Riwayat Muslim,224.

Oleh itu orang yang berhadas sama ada hadas kecil (wuduk) atau hadas besar seperti berjunub, solatnya tidak sah. Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (1/147)

Begitu pula salah satu daripada syarat sah solat berjemaah ialah makmum mestilah tidak mengetahui atau tidak menyakini bahawa solat imamnya itu batal. Sama ada batal disebabkan hadas,najis, tidak menutup aurat, atau selainnya. Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (1/215).

Maka jika makmum solat dalam keadaan dia mengetahui imamnya berhadas sebelum atau semasa solat, seperti mendapati imamnya membuang angin, maka tidak sah solat makmum itu atau wajib baginya untuk berniat mufaraqah (berpisah daripada imam) atau diharuskan istikhlaf (penggantian imam) sekiranya berlaku semasa solat. Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/456).

Adapun jika imam memberitahu makmum selepas selesainya solat bahawa dia bersolat dalam keadaan berhadas (seperti tidak berwuduk) kerana lupa, maka ulama' khilaf didalam mendatangkan hukum menentukan sah atau tidak solat makmum apabila Imam didalam keadaan berhadas(umpama tidak berwuduk) semasa mengimani solat. Bagi Mazhab Hanafi dan Maliki solat imam dan makmum tidak sah. Akan tetapi bagi Mazhab al-Syafie dan Hanbali perkara itu tidak memudaratkan solat makmum. 

Seperti yang dicatat oleh  Syeikh Muhammad al-Zuhali

"Tentang pendapat-pendapat ulama berkenaan hukum solat di belakang orang yang berhadas dan berjunub dalam keadaan tidak mengetahui hal hadasnya; telah kami sebutkan sebelum ini bahawa mazhab kami (Syafie) bahawa sah solat makmum, dan ini yang diceritakan oleh Ibn al-Mundzir darippada Umar al-Khattab, Uthman, Ali, Ibn Umar, al-Hasan al-Basri, Said bin Jubair, al-Nakhaie, al-Auzaie, Ahmad, Sulaiman bin Harm, Abu Thaur dan al-Muzani.

“Manakala satu riwayat lain daripada Ali, Ibn Sirin, al-Sya`bi, Abu Hanifah dan para ashabnya bahawa wajib mengulang kembali solat, dan ini juga pendapat Hammad bin Abi Sulaiman (Guru Abu Hanifah).”

“Berkata Malik bahawa jika imam itu sengaja solat dalam keadaan mengetahui dia berhadas maka dia adalah seorang yang fasiq (berdosa) maka wajib ke atas makmum untuk mengulangi solat berdasarkan mazhabnya (Maliki), adapun jika tidak sengaja maka tidak perlu.” Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/416)"

Bagi Mazhab al-Syafie dan Hanbali perkara itu tidak memudaratkan solat makmum.Ini kerana makmum tidak mengetahui yang solat imam tidak sah sebelum dan semasa solat  disebabkan hadas.
Justeru itu, dalam kes seperti ini yang batal adalah solat imam manakala solat para jemaah yang menepati syarat dan rukun solat tidak batal. Ini bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

يُصَلُّونَ لَكُمْ، فَإِنْ أَصَابُوا فَلَكُمْ، وَإِنْ أَخْطَئُوا فَلَكُمْ وَعَلَيْهِمْ

Maksudnya: Para imam solat memimpin kalian. Maka jika dia benar, mereka mendapat pahala dan kalian juga mendapatkan bahagian pahalanya. Namun apabila mereka salah, kalian tetap mendapatkan pahala dan mereka (para imam) mendapatkan dosa (atau kesalahan ke atas mereka). Riwayat Al-Bukhari (694)

Imam Ibn Hajar al-Asqalani menaqalkan kata-kata Imam Ibn al-Mundzir: “Hadis ini menjawab orang yang menyangka bahawa solat imam apabila rosak maka akan rosak solat orang di belakangnya,”Rujuk Fath al-Bari (2/188)

Juga dalil  adalah hadith Abu Bakrah RA:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ فِي صَلَاةِ الْفَجْرِ فَأَوْمَأَ بِيَدِهِ أَنْ مَكَانَكُمْ ثُمَّ جَاءَ وَرَأْسُهُ يَقْطُرُ فَصَلَّى بِهِمْ فَلَمَّا قَضَى الصَّلَاةَ قَالَ إنَّمَا أَنَا بَشَرٌ وَإِنِّي كُنْتُ جُنُبًا

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam telah masuk ke dalam solat Subuh, kemudian baginda memberi isyarat dengan tangannya, “kalian tunggu di tempat kalian”, kemudian baginda kembali dengan keadaan kepalanya ada air menitik, lalu baginda solat bersama mereka.” Setelah solat baginda bersabda: “Sesungguhnya aku hanyalah manusia, dan tadi aku berjunub.” Riwayat Abu Daud (no.234). Imam al-Nawawi mengatakan hadis ini sanadnya sahih

Imam Asy-Syaukani mencatatkan bahawa:
"Mereka yang berpendapat bahawa solat tersebut sah oleh kerana zahir maksud hadith dari Abu Bakrah". Rujuk Nailu Al-Authaar 3/175.

Zahir hadith diatas menunjukkan bahawa mereka terus bersolat. Mazhab Syafie dan Hanbali berpendapat bahawa jika solat tersebut berkaitan antara makmum dan Imam, sudah tentu para sahabat memulakan solat sekali lagi.

Imam Al-Khattaabi didalam memberi komentar keatas hadith yang sama maksudnya yang diriwayatkan oleh Abu Daud mengatakan :

هذا الحديث دلالة على أنه إذا صلّى بالقوم وهو جنب وهم لا يعلمون بجنابته أن صلاتهم ماضية ولا إعادة عليهم وعلى الإمام الإعادة

"Di dalam hadith ini terdapat dalil bahawa barangsiapa yang mengImami Solat sedangkan dia didalam keadaan berjunub, dan makmum tidak mengetahui mengenainya, maka solat mereka tidak terjejas dan tidak perlu bagi mereka mengulangi solat tersebut, dan Imam hendaklah mengulangi solatnya". (Sunan Abu Daud wa ma’ahu Ma’aalim al-Sunan oleh al-Khattaabi)

Juga menurut Dr Wahbah Zuhaily,

أن العلماء اتفقوا على أنه إذا طرأ الحدث في الصلاة على الإمام، فتفسد صلاته، وتظل صلاة المأمومين صحيحة.

"Sesungguhnya ulama' bersetuju bahawa jika Imam secara mengejut berhadas didalam solat, batallah solatnya (Imam), Solat makmum masih sah." (al-Fiqh Al-Islami, 2/199).

Dari perbahasan di atas, maka dapatlah disimpulkan:

1-Jika makmum yang mengetahui bahawa telah  imam berhadas ketika menunaikan solat, akan tetapi masih solat di belakang imam tersebut, maka makmum itu berdosa dan solatnya batal serta perlu diulang.

2-Makmum boleh meneruskan solatnya dengan niat mufaraqah dari imam. Artinya makmum menerukan solatnya secara sendirian (munfaridan) terpisah dari imam yang telah batal solatnya. Rujuk:Bughyatul Mustarsyidin halaman 85.

Telah mencatat Syeikh Muhammad al-Zuhali,

“Tidak diharuskan untuk solat di belakang orang yang berhadas, yang diketahui kehadasannya, kerana dia bukan daripada orang yang boleh solat. Jika seseorang itu solat di belakang orang yang berhadas, sedangkan dia mengetahui status kehadasan orang itu maka makmum itu berdosa dan solatnya batal. Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/416):

3-Makmum menyempurnakan solat sehingga selesai secara berjamaah dengan cara istikhlaf,yakni menggantikan imam, dengan syarat tidak begitu lama sehingga makmum berpindah rukun.Rujuk:Bughyatul Mustarsyidin halaman 85.

Istikhlaf selain solat Jumaat hukumnya adalah sunat, kerana solat secara berjamaah adalah  lebih utama daripada solat secara sendirian. Adapun solat Jumaat istikhlaf menjadi wajib hukumnya kerana solat Jumatt tidak sah jika tidak dilakukan secara berjama’ah (Rujuk:Madzahibul Arba’ah: I, 447)

4-Jika makmun tidak mengetahui imam berhadas sebelum atau semasa solat, kemudian hanya dimaklumkan selepas solat, maka tidak wajib ke atas makmum berkenaan untuk mengulangi kembali solatnya, sama ada imam terlupa atau sengaja, kerana kesilapan itu bukan berpunca daripada kelalaian makmum, Maka dalam kes di atas, solat makmum dalam kes di atas sudah sah dan tidak perlu diulang semula.

5-Pengecualian bagi hukum ini adalah bagi solat-solat yang diwajibkan dilakukan secara berjemaah seperti solat Jumaat,




Thursday, February 20, 2020

Jamak Solat kerana masyaqqah (kepayahan atau kesulitan) seperti sakit.

Jamak Solat kerana masyaqqah (kepayahan atau kesulitan) seperti sakit.

Hukum asal solat fardu adalah mesti ditunaikan pada waktunya. Ini berdalilkan kepada firman Allah Taala:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.(Surah al-Nisa’: 103)

Allah Taala berfirman:

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ

Maksudnya: Dan dirikanlah sembahyang, pada dua bahagian siang, dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.(Surah Hud: 114

Ada sebuah hadith Nabi Sallahualaihiwasallam yang menyebutkan,

صَلَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا بِالْمَدِينَةِ، فِي غَيْرِ خَوْفٍ، وَلَا سَفَرٍ. قَالَ أَبُو الزُّبَيْرِ: فَسَأَلْتُ سَعِيدًا، لِمَ فَعَلَ ذَلِكَ؟ فَقَالَ: سَأَلْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ كَمَا سَأَلْتَنِي، فَقَالَ: أَرَادَ أَنْ لَا يُحْرِجَ أَحَدًا مِنْ أُمَّتِهِ.

Maksudnya: Telah solat Rasulullah Sallahualaihiwasallam zohor dan asar secara jama’ di Madinah dalam keadaan tiada ketakutan dan juga bermusafir. Telah berkata Abu Zubair: Aku telah bertanyakan Sa’id: Mengapa dilakukan sebegitu? Maka jawab Sa’id: Aku telah bertanyakan Ibn Abbas soalan seperti yang kamu tanyakan, maka jawab Ibn Abbas: Rasulullah SAW mengkehendaki untuk tidak menyusahkan umatnya.Riwayat Muslim (705)

Ada dalam riwayat yang lain yang menyebutkan bahawa Rasulullah Sallahualaihiwasallam menjamakkan antara zohor dan asar, maghrib dan isyak di Madinah bukan dalam keadaan takut dan juga hujan.

Al-Imam al-Bukhari Rahimahullah juga meriwayatkan sebuah hadith yang berkaitan dengannya dan ianya juga dari jalan Ibn Abbas R.Anhuma:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى بِالْمَدِينَةِ سَبْعًا وَثَمَانِيًا: الظُّهْرَ وَالعَصْرَ وَالمَغْرِبَ وَالعِشَاءَ، فَقَالَ أَيُّوبُ: لَعَلَّهُ فِي لَيْلَةٍ مَطِيرَةٍ، قَالَ: عَسَى

Maksudnya: Rasulullah Sallahualaihiwasallam telah solat di Madinah 7 rakaat dan 8 rakaat (iaitu) Zuhur dan Asar (8 rakaat), Maghrib dan Isyak (7 rakaat). Maka telah berkata Ayub al-Sakhtiani: Boleh jadi ia pada malam yang hujan dan berkemungkinan boleh jadi. Riwayat al-Bukhari (543)

Hadith di atas menjadi asal atau hujah diperbolehkan jamak bagi orang yang bermukim. Ianya di ambil dari zahir hadith dengan mengatakan boleh jamak tanpa hajat keperluan semata-mata tetapi dengan syarat ianya tidak dilakukan secara berterusan. Ini merupakan pendapat Ibn Sirin, Rabi’ah, Asyhab, Ibn al-Munzir, al-Qaffal al-Kabir dan dihikayatkan oleh al-Khattabi daripada jamaah daripada ashab al-Hadith. [Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/219]

Berkata al-Imam al-Nawawi Rahimahullah: Pandangan ini dikuatkan oleh zahir perkataan Ibn Abbas R.Anhuma yang menyatakan  Baginda SAW tidak mahu menyusahkan umatnya dan tidak di’illahkan dengan penyakit dan tidak pula selainnya. [Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/219]

Mantuq lafaz zahir ini menunjukkan bahawa Nabi Sallahualaihiwasallam menjamakkan solat tanpa sebarang keuzuran.
Justeru itu, mafhumnya juga bahawa ketakutan, hujan dan musafir adalah jenis-jenis keuzuran dan dibenarkan untuk jamak.

Ditanggung dengan andaian berkenaan dengan solat jamak nabi Sallahualaihiwasallam kerana sebab uzur sakit dan ianya juga perkara-perkara yang membawa makna keuzuran yang lain. Ini adalah pendapat al-Imam Ahmad, al-Qadhi Husain dan ianya juga adalah pendapat pilihan al-Khattabi, al-Mutawalli, al-Ruyaani dan inilah pendapat yang terpilih kerana zahir hadith dan perbuatan Ibn Abbas dan muwafaqah dengan Abu Hurairah RA kerana terdapat padanya masyaqqah (kepayahan). [Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/218]

Boleh dilakukan solat jamak sekiranya terdapat keuzuran yang membolehkannya. Sakit itu adalah satu keuzuran dan bila terdapat kepayahan maka dibolehkan untuk orang yang sakit menjamakkan solatnya. Ini merupakan pendapat al-Imam Ahmad bin Hanbal dan juga Ishak. [Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/218]

Hujan, sejuk yang melampau, angin yang kencang dan jalan yang berbecak ini semua adalah keuzuran yang dibenarkan untuk menjamakkan solat. Ibn Mulaqqin Rahimahullah berkata: Ulama’ berbeza pendapat dalam mengatakan kebolehan untuk menjamakkan solat kerana hujan. Al-Imam al-Syafi’e dan jumhur membolehkannya pada solat-solat yang boleh dijamakkan padanya. Manakala al-Imam Malik hanya mengkhususkan pada waktu Maghrib dan Isyak sahaja. [Lihat al-I’lam bi Fawaid ‘Umdah al-Ahkam, 4/80]

Jamak juga dibolehkan ketika seseorang itu sakit. Ia merupakan pendapat di sisi al-Malikiyyah, al-Hanabilah dan pendapat sebahagian pendapat ulama’ al-Syafi’ieyyah. Telah berkata al-Imam al-Nawawi: Ini merupakan pendapat yang kuat. Mereka berhujah dengan mengatakan jamak tidak dilakukan kecuali jika terdapat keuzuran dan sakit itu satu keuzuran dan diqiyaskan kepada musafir dengan segala kepayahan bahkan untuk setiap solat-solat ke atas mereka yang sakit itu lebih payah dari orang yang bermusafir kecuali al-Malikiyyah yang berpendapat bahawa jamak dibenarkan ke atas mereka yang sakit adalah jamak takdim sahaja.

Pendapat muktamad dalam mazhab al-Syafie bahawa tidak boleh dijamakkan solat kerana sakit. Namun begitu, Imam Ahmad bin Hanbal membenarkannya, dan ini dipersetujui oleh sebahagian ulama Syafieyyah. Imam Nawawi berkata pendapat ini kuat dalilnya. Rujuk Syarah Sahih Muslim (5/213). 

Dalam mazhab al-Syafie, pendapat yang masyhur lagi muktamad bahawa jamak hanya pada safar yang jauh, ketika hujan dan ketika Hari Arafah. Adapun bagi orang yang sakit maka tidak boleh menjamakkan solat. Ini kerana faktor sakit adalah suatu yang tidak pasti sedangkan penetapan waktu solat adalah suatu yang sabit berdasarkan nas.  Namun begitu Imam al-Nawawi dan beberapa ulama Syafieyyah lain seperti al-Qadhi Hussein, Ibn Suraij, al-Ruyani, al-Mawardi, al-Darimi, dan al-Mutawalli menyokong pendapat yang membenarkannya. Rujuk Taqrirat al-Sadidah – Qism Ibadat (hal. 322)

Mazhab Imam Ahmad bin Hanbal membenarkan jamak sekiranya terdapat keuzuran atau masyaqqah (kesukaran). Berkata Imam Ibn Qudamah dalam al-Mughni (2/205-206):

“Tidak diharuskan jamak selain daripada apa yang kami telah sebutkan (seperti musafir, tanah berlumpur, angin kuat, hujan, dan sakit). Berkata Ibn Syubrumah: Dibenarkan sekiranya ada hajat atau suatu urusan, selagi mana tidak dijadikan sebagai adat, berdasarkan hadis Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW menjamakkan solat Zuhur dengan Asar, Maghrib dengan Isya’ tanpa sebab takut atau hujan. Ditanya Ibn Abbas mengapa Nabi berbuat demikian. Beliau menjawab kerana baginda tidak ingin memberatkan umatnya.

Syeikh Atiyyah Saqr, Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar, dalam fatwanya menghuraikan pendapat Hanabilah ini menyebut:
“Harus bagi pesakit untuk menjamakkan solat jika sukar baginya solat pada waktunya. Begitu juga bagi wanita yang menyusukan anak sedangkan dia keluar darah istihadah kerana mengelakkan sukarnya hendak bersuci pada setiap waktu solat. Serupa jua dengan orang yang menghidapi kencing tak lawas. Harus menjamakkan solat bagi orang yang tidak mampu mengetahui awal waktu solat seperti orang buta atau mereka yang tinggal di bawah bumi seperti para pekerja lombong, dan juga mereka yang takut sesuatu yang buruk berlaku pada nyawanya, hartanya, dan maruahnya, atau pun takut suatu mudarat berlaku pada kehidupannya jika dia tidak jamak. Pada demikian itu merupakan satu kemudahan bagi para pekerja yang mustahil bagi mereka untuk meninggalkan tugas mereka bagi menunaikan solat pada waktunya.” Rujuk Fatawa Dar al-Ifta` al-Misriyyah (9/55

Dari keterangan di atas menunjukkan bahawa dibolehkan  untuk melakukan jamak jika terdapat keuzuran atau ditimpa sakit yang mendatangkan kesusahan dan kesakitan jika melibatkan banyak pergerakan dan kesukaran untuk menjaga hadas kecil. Justeru itu,sakit itu adalah satu keuzuran dan apabila terdapat masyaqqah (kepayahan atau kesulitan) dibolehkan untuk orang yang sakit menjamakkan di antara dua solat.

Ini juga selari dengan Firman Allah Subhanahuwata'ala,

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

...dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan… al-Hajj ayat 78

Peringatan:

Namun pun begitu, sebagai peringatan tidaklah dibenar untuk seseorang itu bermudah-mudah atau mengambil jalan pintas untuk menjamakkan solat nya tanpa masyaqqah (kepayahan atau kesulitan) yang dibenarkan syarak. Justeru itu, kadar sakit berat dan sakit itu juga perlu kepada nasihat dan rujukan daripada doktor pakar.

Hukum berimamkan Imam yang batal solat kerana terkena najis, seperti najis tahi cicak.

Hukum berimamkan Imam yang  batal solat kerana terkena najis, seperti najis tahi cicak.

Salah satu dari syarat sah Solat ialah suci tubuh badan dari najis dan juga suci pakaian dari najis.

Makna syarat ialah kewujudan sesuatu perkara adalah bergantung kepada kewujudannya (tanpanya sesuatu tidak akan wujud) Dan is bukan satu bahagian/juzuk daripada perkara tersebut. Rujuksl-Fiqh al-Msnhaji (1/147)

Suci tubuh badan dari najis sebagaimana sabda Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam,

أما أحدهما فكان لا يستبرئ من البول

Maksudnya:"Adapun salah seorang daripada mereka, dia tidak bersih (tidak berjaga-jaga) daripada kencingnya. Riwayat al-Bukhari (215) dan Muslim (292).

Dan juga suci pakaian dari najis, sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala,

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

Maksudnya:"Dan pakaianmu bersihkanlah," Al-Muddassir Ayat 4.
Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (1/147).

Salah satu daripada syarat sah solat berjemaah ialah makmum mestilah tidak mengetahui atau tidak menyakini bahawa solat imamnya itu batal. Sama ada batal disebabkan hadas,najis, tidak menutup aurat, atau selainnya. Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (1/215).

Justeru itu, sekiranya makmum tidak mengetahui yang solat imam telah terbatal disebabkan terkena najis, maka solat mereka adalah sah.  Ini kerana dalam kes seperti ini, yang batal adalah solat imam manakala solat para jemaah yang menepati syarat dan rukun solat tidak batal. Ini bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

يُصَلُّونَ لَكُمْ، فَإِنْ أَصَابُوا فَلَكُمْ، وَإِنْ أَخْطَئُوا فَلَكُمْ وَعَلَيْهِمْ

Maksudnya: Para imam solat memimpin kalian. Maka jika dia benar, mereka mendapat pahala dan kalian juga mendapatkan bahagian pahalanya. Namun apabila mereka salah, kalian tetap mendapatkan pahala dan mereka (para imam) mendapatkan dosa (atau kesalahan ke atas mereka). Riwayat Al-Bukhari (694)

Namun begitu, sekiranya seseorang makmum itu melihat imam terkena najis pada pakaian atau badannya seperti pada kaki di dalam solat, dan dia risau sekiranya dengan menegur imam akan timbul تشويش (kacau bilau) dalam kalangan jemaah, maka makmum tersebut hendaklah menegur imam sesudah solat bahawa beliau terkena najis..

Dan bagi pihak makmum tersebut pula, maka wajiblah  dia mufaraqah (yakni: berpisah atau keluar) dari solat berjemaah tersebut, ini kerana makmum tersebut dalam keadaan yakin melihat imam tersebut telah terkena najis di dalam solat.

Tuesday, February 18, 2020

Hukum Imam terlupa atau tertinggal membaca ayat dalam surah al-Fatihah.

Hukum Imam terlupa atau tertinggal membaca ayat dalam surah al-Fatihah.

Hukum membaca al-Fatihah di dalam solat  adalah wajib kerana ianya merupakan salah satu daripada rukun qauli bagi solat, samaada solat fardhu 5 waktu ,solat jenazah atau solat sunat . Justeru itu,solat tidak sah tanpa membaca surah al-Fatihah atau meninggalkan satu ayat dari mana-mana ayat dalam surah al-Fatihah. 

Ini adalah merupakan pandangan yang asas dalam mazhab Imam al-Syafie. Sekiranya seseorang itu tidak membaca surah al-Fatihah di dalam mana-mana rakaat maka solatnya itu tidak sah. Asas ini jelas berdasarkan kepada sabda Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam:

لَا صَلَاةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Tidak ada solat bagi orang yang tidak membaca al-Fatihah.” Riwayat al-Bukhari (756) dan Muslim (900)

Juga berdasarkan sabda Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam yang diriwayatkan oleh Ubadah Bin Somit :

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya :” Tidak ada solat (tidak solatnya) bagi sesiapa yang tidak membaca di dalamnya surah al-Fatihah.”Riwayat Ibnu Majah (828)

Begitu juga hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

مَنْ صَلَّى صَلاَةً لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ فَهْىَ خِدَاجٌ. يَقُولُهَا ثَلاَثًا

Maksudnya: “Barangsiapa yang melaksanakan solat dan tidak membaca al-Fatihah di dalamnya, maka solatnya itu kurang/rosak.” Perkataan ini diulang sehingga tiga kali.Riwayat Muslim (907)

Menurut Imam Nawawi: Membaca al-Fatihah adalah wajib dibaca pada kesemua solat sama ada solat fardu mahupun solat sunat. Jika seseorang terlupa membaca al-Fatihah, kewajipan tersebut tidak tergugur daripadanya. Pandangan ini adalah kesepakatan yang telah disebut oleh jumhur ulama yang bermazhab Syafie. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/288)

Juga menurut Imam Nawawi, iaitu berkenaan orang yang meninggalkan membaca surah al-Fatihah kerana lupa sehingga salam atau rukuk, terdapat dua pendapat yang masyhur; Yang paling kuat berdasarkan kesepakatan ulama’ dalam mazhab kami dan ia merupakan qaul jadid (pendapat terbaru Imam Syafi’e) ialah tidak gugur baginya kewajiban membaca surah al-Fatihah. Jika dia ingat sesaat sahaja setelah salam, maka dia hendaklah kembali solat dan melanjutkan solatnya dengan menambah satu rakaat lagi, lalu sujud sahwi. Jika waktunya sudah berselang lama, maka dia hendaklah mengulangi solat daripada awal. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/288)

Keterangannya:

Solat secara bersendirian/ وحده 
(منفريد / منفرده):

1-Sekiranya dia terlupa membaca al-Fatihah dan teringat bahawa dia tidak membaca al-Fatihah dan pada ketika itu dia rukuk maka dia perlu bangun dan membaca semula surah al-Fatihah.
2-Sekiranya dia teringat setelah dia bangun untuk rakaat seterusnya, maka bacaan al-Fatihah pada ketika itu, menjadi ganti untuk rakaat yang dia terlupa untuk membaca al-Fatihah. Sebelum salam, dia perlu bangun dan menambah rakaat serta sujud sahwi.
3-Sekiranya dia teringat selepas memberi salam dalam waktu yang tidak terlalu lama, maka dia perlu bangun untuk menambah rakaat sebagai ganti rakaat yang dia terlupa membaca al-Fatihah dan disusuli dengan sujud sahwi. Adapun jika berlalu waktu yang terlalu lama kemudian dia teringat bahawa ada satu rakaat yang dia terlupa membaca al-Fatihah, maka dalam keadaan ini dia perlu solat semula. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/288)

Solat secara berjamaah,

Imam:

1-Bagi imam yang terlupa membaca al-Fatihah atau terlupa membaca satu ayat dari al-Fatihah:
Solatnya tidaklah batal dan dia perlu menambah rakaat sebelum salam. Ini kerana rakaat yang dia terlupa untuk membaca al-Fatihah dianggap tidak bernilai. Oleh itu sebelum salam, dia perlu bangun dan tambah rakaat sebagai ganti kepada rakaat yang mana dia terlupa untuk al-Fatihah di dalamnya. 
Namum begitu, sekiranya dia tidak bangun menambah rakaat sesudah salam dan berlalu dalam tempoh masa yang lama, maka solat yang dilakukannya sebelum itu tidak sah dan perlu mengulang semula solatnya.

Makmum:

Bagi makmum pula, mereka mempunyai pilihan jika imam terlupa membaca al-Fatihah atau jika imam terlupa membaca satu ayat dari al-Fatihah:

a) Makmum terus berniat mufaraqah dan meneruskan solatnya secara sendiri.

b) Makmum mengetahuinya sedangkan tidak diendahkan oleh imam selepas diperingatkan, maka tidak harus makmum mengikutnya dan boleh bermufaraqah. (Lihat nukilan al-Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj, pendapat Imam al-Zarkasyi, 1/196)

b)  Makmum terus mengikut imam dengan harapan dan anggapan bahawa imam akan menganti semula rakaat yang dia terlupa membaca al-Fatihah atau terlupa membaca satu ayat dari al-Fatihah. Jika Imam tidak mengganti rakaat pada akhir solat iaitu sebelum salam, makmum boleh berniat mufaraqah dan mengganti sendiri rakaat tersebut.

Kesimpulannya:

Andaikata jika berlalu waktu yang terlalu lama kemudian imam dan makmum teringat bahawa ada satu rakaat yang mereka terlupa membaca al-Fatihah, maka dalam keadaan ini wajiblah imam dan makmum i’adah (mengulangi) solat semula atau qadha solat semula kerana solat tidak memenuhi rukun iaitu bacaan Fatihah yang sempurna. Justeru, solatlah solat itu sebagai qadha' jika tempoh masa sudah lama dan keadaan terlupa bukanlah satu kesalahan.



Puasa Ramadhan yang berkualiti (6 langkah)

Puasa Ramadhan yang berkualiti (6 langkah) Puasa Ramadhan adalah ibadah khusus yang akan dinilai secara langsung oleh Allah Subhanahuwata...