Tuesday, October 31, 2023

Solidariti buat Palestin

Solidariti buat Palestin


Solidariti berasal daripada perkataan ‘solid’ dan ‘unity’. Boleh juga diterjemahkan kepada perpaduan atau perjanjian peranan atau tindakan, terutama dalam kalangan individu yang mempunyai minat yang sama dan sokongan bersama dalam satu kumpulan. Istilah solidariti sinonim dengan kesepakatan, persetujuan, kerjasama, persaudaraan dan saling menyokong.


Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memaklumkan kepada dunia tentang pencerobohan dan kekejaman kejam Israel di Semenanjung Gaza.


Tindakan memusnahkan bangunan termasuk hospital di Gaza adalah tidak berperikemanusiaan dan solidariti ini tidak boleh terhenti begitu saja.


Memilih untuk menjadi orang yang tidak mengambil tahu mengenai Palestin merupakan salah satu kegagalan buat diri seorang mukmin yang sejati. Sehingga ke hari ini, tidak terlepas dalam niat seorang mukmin yang berjaya dalam mendoakan dan bersolidariti buat Palestin.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ


Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu sertabertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat". Al-Hujurat: 10


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda


عَنْ أَنَسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ


Maksudnya:" Dari Anas dari Nabi ﷺ, beliau bersabda, "Tidaklah beriman seseorang dari kalian sehingga dia mencintai untuk saudaranya sebagaimana dia mencintai untuk dirinya sendiri". Riwayat Bukhari (12),Muslim (64,65),Tirmizi(2439)


Dimaksud dengan tidak beriman ialah tidak mencapai  puncak iman kerana iman seringkali dianggap tidak ada kerana ketiadaan rukun-rukun dan kewajipan-kewajipannya.


Dari an-Nu’man bin Basyir dari Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam, beliau bersabda, 


 مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ، مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى. 


Maksudnya:"“Perumpamaan kaum mukminin dalam cinta-mencintai, sayang-menyayangi dan bahu-membahu, seperti satu tubuh. Jika salah satu anggota tubuhnya sakit, maka seluruh anggota tubuhnya yang lain ikut merasakan sakit juga, dengan tidak boleh tidur dan demam”. Riwayat Bukhari(6011)


Solidariti bukan bermakna kita perlu turun ke jalanan sepanjang masa, tetapi mengingati dan menghayati perjuangan Palestin serta menyampaikan kebaikan adalah satu usaha bentuk solidariti.


Berusaha menjadikan masyarakat berpengetahuan, membina sesuatau yang mengingatkan perjuangan Palestin juga merupakan satu solidariti. Teruskanlah berjuang untuk Palestin kerana Palestin tidak akan bebas jika umat Islam masih tidur dan tidak bersatu.


Serangan yang dilancarkan oleh rejim zionis keatas umat Islam di Palestin bukan sesuatu yang baharu. Ia adalah rentetan daripada tuntutan dan dakwaan Zionis Israel yang mengatakan bahawa kawasan Al-Masjid Al-Aqsa itu adalah Temple Mount iaitu kuil suci bagi orang Yahudi. Ia juga adalah bertitik-tolak daripada siri gerakan penguasaan Israel terhadap timur Baitul Maqdis ketika perang Arab-Israel pada tahun 1967 dan seluruh bandar tersebut pada tahun 1980. Bertitik tolak daripada peristiwa tersebut, beberapa percubaan dilakukan oleh rejim untuk menafikan hak umat Islam terhadap Al-Masjid Al-Aqsa.


Pada masa yang sama ketika ini juga, berlaku pengusiran rakyat Palestin di kawasan Syeikh Al-Jarrah, di mana penduduk asal yang sudah menetap berpuluh-puluh tahun di sana dihalau keluar oleh keputusan mahkamah yang tidak adil untuk membolehkan penduduk Yahudi membina penempatan haram di lokasi tersebut.


Isu Palestin dan Al-Masjid Al-Aqsa bukan isu untuk rakyat palestin sahaja. Ia bukan semata-mata isu individu. Ia adalah isu yang melibatkan umat Islam keseluruhannya. Isu yang berlaku kepada Palestin dan Al-Masjid Al-Aqsa khususnya tidak boleh dipandang remeh. Memandangkan ia adalah kawasan suci ketiga bagi umat Islam, ia perlu diberikan perhatian khusus. Kelalaian umat Islam terhadap isu yang berlaku di Palestin akan menyebabkan musuh mudah untuk menguasainya. Pihak-pihak yang cuba mencemarkan kesuciannya wajib untuk dikecam dan diambil tindakan.


Kelebihan Al-Masjid Al-Aqsa terlihat jelas dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Ia adalah destinasi terakhir Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam sebelum Nabi Sallallahu'alaihiwasallam diangkat ke langit bertemu Allah Subhanahuwata'ala. Allah berfirman,


سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ


Maksudnya : “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Al-Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui". Al-Isra’ ayat 1


Sebahagian Ahli Tafsir menyebut bahawa Al-Masjid Al-Aqsa adalah binaan kedua yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS setelah Kaabah. Perkara ini dijelaskan oleh Sheikh Tahir Ibn ‘Asyur dalam tafsir beliau". Lihat Tahrir Al-Ma’na Al-Sadid wa Tanwir ‘Uqul Al-Jadid min Tafsir Al-Kitab Al-Majid (1983),


Ia juga berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Zar RA. Beliau pernah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,


‌يَا ‌رَسُولَ ‌اللَّهِ، ‌أَيُّ ‌مَسْجِدٍ ‌وُضِعَ ‌فِي ‌الأَرْضِ ‌أَوَّلَ؟ قَالَ:  المَسْجِدُ الحَرَامُ قَالَ: قُلْتُ: ثُمَّ أَيٌّ؟ قَالَ المَسْجِدُ الأَقْصَى قُلْتُ: كَمْ كَانَ بَيْنَهُمَا؟ قَالَ: أَرْبَعُونَ سَنَةً، ثُمَّ أَيْنَمَا أَدْرَكَتْكَ الصَّلَاةُ بَعْدُ فَصَلِّهْ، فَإِنَّ الفَضْلَ فِيهِ


Maksudnya : “Wahai Rasulullah, masjid apa yang paling awal dibina? Baginda menjawab : Al-Masjid Al-Haram. Abu Zar bertanya lagi : Kemudian masjid apa? Baginda menjawab : Al-Al-Masjid Al-Aqsa. Saya (Abu Zar) bertanya lagi : Berapakah tempoh binaan antara kedua masjid tersebut? Baginda menjawab : 40 tahun. Sesiapa yang berada di mana-mana tempat tersebut, tunaikan solat di situ. Ini kerana ada kelebihan di tempat tersebut". Riwayat Al-Bukhari (3366)


Al-Masjid Al-Aqsa merupakan kiblat para Nabi dan kiblat terawal umat Islam.  Ia juga adalah salah satu masjid yang sangat digalakkan oleh Nabi Sallallahu'alaihiwasallam untuk diziarahi dan menunaikan solat di situ. Abu Sa’id Al-Khudri meriwayatkan, Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


‌وَلَا ‌تُشَدُّ ‌الرِّحَالُ ‌إِلَّا ‌إِلَى ‌ثَلَاثَةِ ‌مَسَاجِدَ ‌مَسْجِدِ ‌الحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى وَمَسْجِدِي هذا


Maksudnya : “Tidak boleh bermusafir melainkan menuju ke tiga buah masjid. Masjid Al-Haram (Mekah), Al-Masjid Al-Aqsa dan masjid saya ini (Masjid Nabawi)". Riwayat Al-Bukhari (1195)


Imam Badruddin Al-‘Aini telah menjelaskan berkenaan maksud di sebalik hadith ini. Beliau menyatakan :


فِيهِ فَضِيلَة هَذِه الْمَسَاجِد ومزيتها على غَيرهَا لكَونهَا مَسَاجِد الْأَنْبِيَاء عَلَيْهِم الصَّلَاة وَالسَّلَام لِأَن الْمَسْجِد الْحَرَام قبْلَة النَّاس وَإِلَيْهِ حجهم وَمَسْجِد الرَّسُول أسس على التَّقْوَى وَالْمَسْجِد الْأَقْصَى كَانَ قبْلَة الْأُمَم السالفة


Maksudnya:"Dalam hadith tersebut menjelaskan kelebihan ketiga-tiga masjid dan keistimewaan yang dimiliki yang tiada pada masjid yang lain. Ianya adalah masjid para Nabi AS. Ini kerana Al-Masjid Al-Haram adalah kiblat bagi manusia. Ramai orang berpusu-pusu menuju ke Masjid Al-Haram. Masjid Nabawi pula diasaskan atas dasar iman dan takwa manakala Al-Masjid Al-Aqsa merupakan kiblat umat yang terdahulu". Lihat Umdah Al-Qari Syarh Sahih Al-Bukhari. Dar Ihya’ Turath Al-‘Arabi, Beirut, j.7 h.253.


Di samping itu, Al-Masjid Al-Aqsa sangat berkait rapat dengan sejarah para Nabi terdahulu yang diutuskan oleh Allah Subhanahuwata'ala. Ia dianggap sebagai kawasan suci umat Islam. Oleh itu, Al-Quran menggelarkan Palestin sebagai tanah yang suci (Al-Ardh Al-Muqaddasah). Allah Subhanahuwata'ala berfirman,


يَا قَوْمِ ادْخُلُوا الْأَرْضَ الْمُقَدَّسَةَ الَّتِي كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَرْتَدُّوا عَلَىٰ أَدْبَارِكُمْ فَتَنقَلِبُوا خَاسِرِينَ


Maksudnya : “(Nabi Musa berkata lagi): Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)". Al-Maidah  ayat 21


Termasuk dalam tanah suci ini adalah Al-Masjid Al-Aqsa. Perkara ini telah dijelaskan dan dihuraikan oleh Imam Al-Tabari dalam tafsirnya". 

Lihat Abu Jaafar Al-Tabari, Muhammad Bin Jarir, Jami’ Al-Bayan Fi Ta’wil Ayy Al-Quran(t.t), Dar Al-Tarbiyah wa Al-Turath, Mekah, j.10 h.167.


Bagi umat Islam, sejarah Palestin dan Al-Masjid Al-Aqsa harus sentiasa didendangkan. Anak-anak bangsa perlu diperingatkan tentang sejarah tanah suci ini. Jika ini tidak dilakukan, kita akan melihat isu Palestin dipandang sepi oleh umat Islam satu hari nanti. Pihak kerajaan harus memainkan peranan agar isu Palestin dan Al-Masjid Al-Aqsa sentiasa segar di mata umat Islam.


Semoga Allah menyelamatkan Palestin dan Al-Masjid Al-Aqsa daripada cengkaman Zionis Israel. Kita berdoa agar Allah menyelamatkan dan melindungi saudara kita yang berada di sana. Semoga satu hari nanti bumi Palestin bebas daripada kezaliman dan penindasan.

Thursday, October 26, 2023

Sikap Generasi Muda Islam dalam Memanfaatkan Media Sosial

Sikap Generasi Muda Islam dalam Memanfaatkan Media Sosial

Media sosial merupakan wadah yang sering digunakan oleh masyarakat pada masa kini, khususnya anak muda untuk berinteraksi antara sesama mereka. Setiap hari hampir sebahagian besar masyarakat dunia mengakses media sosial untuk mencari hiburan dan informasi yang diperlukan. Bahkan, ada juga yang menjadikan media sosial sebagai ladang untuk mencari pekerjaan atau mendapatkan pendapatan hidup. 

Perkara Ini juga terlihat pada sebahagian besar masyarakat yang cenderung menggunakan internet dalam segala hal, terutama dalam berkomunikasi dan mencari informasi, baik dalam keperluan yang penting, privasi mahupun dalam keperluan sekadar hiburan. Bahkan kadangkala ada yang menjadi pelarian dalam menghabiskan waktu dengan melayari internet tanpa mengenal waktu.


Namun, dalam menggunakan media sosial, kita perlu memperhatikan beberapa perkara yang bersesuaian dengan ajaran syariat Islam. Agama kita juga memperhatikan segi adab dan etika. Islam sebagai agama yang menuntun umatnya untuk selalu mengutamakan berbuat baik dalam setiap sisi kehidupan, termasuk memiliki batasan-batasan syar’i bagi umatnya dalam menggunakan media sosial. Hal ini agar tercipta keadaan yang lebih nyaman, bijak, dan tetap memperhatikan etika yang bermoral dalam setiap aktivitinya, baik dalam hal bermuamalah mahupun hal yang mubah yang lain.


Adapun beberapa langkah serta adab yang perlu kita lakukan dan kita upayakan dalam menggunakan dan mengakses media sosial agar tidak menyalahi aturan-aturan syar’i, antaranya:


1-Mencari informasi yang bermanfaat dalam menggunakan media sosial, 


Sepatutnya kita memanfaatkan media sosial dengan bijak dan positif. Salah satunya dengan menjadikan media sosial sebagai sarana untuk mencari informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat, khususnya ilmu syar’i. Rasulullah Sallalhu‘alaihiwassallam bersabda,


مَنْ سَلَكَ طَرِيْقًايَلْتَمِسُ فِيْهِ عِلْمًا,سَهَّلَ اللهُ لَهُ طَرِيْقًا إِلَى الجَنَّةِ  


Maksudnya:"Barangsiapa menempuh satu jalan (cara) untuk mendapatkan ilmu, maka Allah pasti mudahkan baginya jalan menuju syurga.” Riwayat Muslim(4867)


2-Budayakan tabayyun.


Sebagai seorang muslim, kita mestilah bersikap tabayyun terlebih dahulu dalam menerima informasi atau berita. Hal ini perlu dilakukan untuk menghindari dari kesalahan informasi atau berita yang tidak benar dan tidak dapat dipertanggungjawabkan. Seperti dalam firman Allah pada surah Al-Hujurat ayat 6,


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ


Maksudnya:"wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu". Al-Hujurat ayat  6.


3-Tidak menebarkan kata-kata yang mengandungi kebencian, berita palsu dan fitnah.


Ujaran kebencian dan menyebarkan berita palsu dan juga fitnah termasuk dalam akhlak yang tercela (akhlak mazmumah) yang bertentangan dengan ajaran syariat Islam dan juga bertentangan dengan sunah Nabi. Maka, sudah semestinya kita sebagai seorang muslim mampu menjaga lisan kita daripada perilaku yang buruk. Bahkan lebih baik diam jika ucapan atau perbuatan kita  tidak medatangkan kebaikan. Apabila Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ


Maksudnya:"...Maka hendaklah ia berkata baik atau diam”, Riwayat Bukhari (5994)


Fitnah dari segi istilah mempunyai pelbagai maksud sesuai dengan situasi ia digunakan. Ibn Hajar menyebut bahawa:


إِنَّ الفِتَنَ غَالِبًا إِنَّما تُنْشَأُ عَنِ التَّبْدِيْلِ وَالإِحْدَاثِ


Maksudnya: “Sesungguhnya fitnah itu kebiasaannya dibuat untuk mengubah (sesuatu) dan mereka-reka.” [Lihat: Fath al-Bari 27/3]


Dalam masyarakat Melayu perkataan fitnah memberi makna yang lebih spesifik. Ia hanya merujuk kepada sebarang tuduhan yang diada-adakan untuk memburukkan atau membencanakan seseorang atau sesuatu pihak yang membawa kepada porak-peranda. [Lihat: Kamus Dewan Edisi Keempat] Berdasarkan takrifan ini, hukum fitnah jelas haram dan ditegah. Ini kerana perbuatan fitnah dikecam dengan keras oleh Nabi Sallallahu'alaihiwasallam dalam hadith yang diriwayatkan Huzaifah R.A:

 

لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ ‏


Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba)". Riwayat al-Bukhari (6056) dan Muslim (105).


Imam Nawawi berkata: Dalam riwayat yang lain disebut dengan kalimah 'قتات'. Ia juga memberi makna pemfitnah. Maksud nammam seperti kata ulama' ialah memindahkan cakap manusia atau orang ramai dari seseorang kepada seseorang untuk merosakkan hubungan mereka. al-Imam Abu Hamid al-Ghazali Rahimahullah berkata dalam Ihya'nya: Ketahuilah bahawa sifat fitnah diitlaqkan pada kebanyakannya terhadap orang yang memindahkan kenyataan orang lain kepada orang lain sepertimana dia berkata, 'si fulan berkata dan mengata kepada kamu begian begian'. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/112)


لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ قَتَّاتٌ


Maksudnya:"Tidak akan masuk syurga orang yang suka mengadu domba(fitnah)". Riwayat Bukhari(5596).


4-Menjadikan media sosial sebagai sarana menyebarkan kebaikan.


Kebaikan dapat kita sampaikan dengan banyak cara dan dengan menggunakan berbagai sarana media. Salah satunya dengan menyebarkan kebaikan melalui media sosial. Salah satu cara berdakwah kaum muslimin akhir-akhir ini juga tidak terlepas dengan menggunakan media sosial, seperti yang di terangkan dalam sebuah hadith.


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,


مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ


Maksudnya:"Barangsiapa dapat menunjukkan suatu kebaikan, maka dia akan mendapatkan pahala seperti orang yang melakukannya." Muslim(3509)


5-Menjaga lisan dan kata-kata dalam bercakap atau ketika menulis.


Sebagai seorang muslim, kita diperintahkan untuk menjaga lisan dan ucapan kita, baik dalam perkara muamalah harian mahupun dalam semua kegiatan, termasuk dalam bermedia sosial. Sebagaimana dalam sebuah hadith yang mengandungi nasihat dari Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam,


عليك بطول الصمت فإنه مطردة الشيطان وعون لك علي أمردينك


Maksudnya:"Hendaklah engkau lebih banyak diam, sebab diam dapat menyingkirkan syaitan dan menolongmu terhadap urusan agamamu". Riwayat Ahmad.


Kebanyakan penghuni neraka juga adalah orang-orang yang tidak menjaga mulut atau lidahnya ketika hidup di dunia. Antara hadith yang menceritakan berkaitan hal tersebut adalah,

 

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam pernah ditanya berkaitan sebab kebanyakan orang dimasukkan ke dalam Neraka. Baginda Sallallahu‘alaihiwasallam menjawab,


تَقْوَى اللَّهِ وَحُسْنُ الخُلُقِ، وَسُئِلَ عَنْ أَكْثَرِ مَا يُدْخِلُ النَّاسَ النَّارَ، فَقَالَ: الفَمُ وَالفَرْجُ


Maksudnya: “Taqwa kepada Allah dan baik akhlaknya.” Lalu Baginda Sallallahu‘alaihiwasallam ditanya lagi berkaitan sebab kebanyakan manusia dimasukkan ke dalam neraka? Baginda Sallallahu‘alaihiwasallam menjawab: “Mulut dan kemaluan.” Riwayat al-Tirmizi (2004)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan gharib][Imam Ibn Hibban mensahihkan hadith ini di dalam sahihnya.


Syeikh al-Mubarakfuri menyatakan makna mulut di dalam hadith ini ialah menjaga lidahnya kerana menjaga lidah boleh menyelamatkan keseluruhan urusan agamanya dan memakan yang halal kerana itu adalah penghulu kepada ciri ketaqwaan. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 6/120]


6-Mengurangi informasi yang tidak diperlukan.


Tidak mengakses informasi; terutama informasi berbentuk hoax dan toxic yang dapat meracuni fikiran dan hati.


Isu hoaks ini tidak terlepas dari rendahnya literasi dan budaya baca dikalangan masyarakat kita. Agama islam menganjurkan ummatnya untuk berhati-hati dan selalu menyemak informasi dan berita yang diterima terlebih dahulu. Secara bahasa keagamaan hal ini disebut tabayyun.  Ayat al-quran yang berbicara tentang berita bohong adalah surah  An-Nuur ayat  11.


إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِنْكُمْ ۚ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَكُمْ ۖ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَكُمْ ۚ لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ مَا اكْتَسَبَ مِنَ الْإِثْمِ ۚ وَالَّذِي تَوَلَّىٰ كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ


Maksudnya:" Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar".


Secara garis besar dapat disimpulkan bahwasannya agama islam sangat memperhatikan dan peduli tentang hoaks ini sehingga dianjurkan bagi ummatnya untuk selalu menyemak informasi atau berita yang diterima terlebih dahulu serta mencari tahu sumber dari mana asal informasi atau berita tersebut berasal. “Smart Think and Don’t Believe about information before you check and search accuracy”. 


Penyakit hati yang difahami dalam Islam adalah aspek penting dari kesihatan spiritual. Dalam Islam, hati mempunyai peranan utama dan sebagai pusat dalam menjalani kehidupan yang bermakna. Kesihatan hati bukan hanya berkaitan dengan aspek fisik, tetapi juga spiritual. Penyakit hati dalam Islam mencakupi kondisi hati yang mempengaruhi keimanan dan kualiti hubungan manusia dengan Allah Subhanahuwata'ala dan sesama manusia. 


Menyedari dan mempelajari cara untuk mengatasi penyakit hati adalah langkah pertama menuju perbaikan diri dan menjalani kehidupan yang lebih bermakna. Dengan komitmen untuk menjaga hati yang bersih dan sihat dalam kerangka keimanan, kita dapat mencapai kedamaian dalam diri dan menjalin hubungan yang lebih baik dengan Allah Subhanahuwata'ala dan sesama manusia.


Tujuh penyakit hati yang sering tidak disedari dan tidak mengetahui pula bagaimana  untuk menjaga hati agar bersih dan sihat dalam kerangka agama. Tujuh penyakit hati yang sering diabaikan iaitu hasad, kebencian, riyak, takabur, sum'ah, ghibah dan namimah


Daripada Nu’man bin Basyir berkata, aku mendengar Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

 

أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ، صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ، فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ


Maksudnya: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung)". Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)


Oleh karena itu, hendaknya kita sebagai kaum muslimin semestinya mampu memanfaatkan media sosial sebagai sarana untuk menebar kebaikan dan berdakwah serta menyampaikan hal yang positif yang dapat meningkatkan ketakwaan dan keimanan.


أَقُوْلُ قَوْلِيْ هٰذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ لِيْ وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ




Wednesday, October 18, 2023

Baitul Maqdis dan Masjidil Aqsa menurut pandangan Islam.

Baitul Maqdis dan Masjidil Aqsa menurut pandangan Islam.

Bandar Baitul Maqdis amat penting bagi umat Islam, yang mempunyai hak ke atas Bandar ini. Terdapat tiga fakta penting untuk kita ingati mengenai Islam dan Baitul Maqdis, iaitu dari sudut agama, sejarah dan perundangan. 


Di dalam sejarah Baitul Maqdis, sejak zaman Nabi Dawud AS sehingga ke hari ini, pemerintahan yang paling lama adalah pemerintahan Islam. Bandar Baitul Maqdis telah dibina sebagai pusat penyebaran agama untuk penduduk Israel oleh Nabi Dawud AS dan Nabi Sulaiman AS kira-kira pada tahun 900 sebelum Masihi.


Perkara Ini berlaku lebih kurang 1000 tahun selepas zaman Nabi Ibrahim AS dan pembinaan Kaabah. Justeru, seseorang itu boleh mengatakan bahawa Kaabah mempunyai sejarah yang lebih panjang daripada Baitul Maqdis. Tambahan pula, penting untuk kita ketahui bahawa Injil mengatakan masyarakat Israel awal yang tinggal di Baitul Maqdis telah mengadap ke Selatan apabila menunaikan solat paling suci mereka (Exodus: 40). Kaabah terletak di Selatan Baitul Maqdis. Maka, boleh dikatakan bahawa Kaabah juga telah menjadi kiblat bagi penduduk Israel yang awal.


Baitul Maqdis kemudiannya berada di bawah pemerintahan Islam semasa zaman Khalifah Umar (semoga Allah merahmatinya), dalam tahun 638 Masihi. Ia merupakan penaklukan yang aman. Pemerintah dan Paderi Besar Baitul Maqdis ketika itu yang bernama Sophronius telah menyerahkan kunci Baitul Maqdis kepada Khalifah Umar dengan tangannya.


Umat Islam mengekalkan kesucian Baitul Maqdis sehingga tidak mampu diluahkan dengan kata-kata. Umat Islam mewujudkan dan mengamalkan karakter agama yang penuh toleransi dan keimanan terhadap Baitul Maqdis.


Baitul Maqdis adalah terlalu suci buat umat Islam. Ia merupakan salah satu daripada tiga tempat yang paling suci dalam Islam. Ditambahi pula tuntutan ibadat di Masjidil Aqsa yang mempunyai seribu satu macam keistimewaan seperti yang dinaskan.


Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,


لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: المَسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى


Maksudnya: “Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dan juga masjid al-Aqsa”. Riwayat al-Bukhari (1189)


Daripada Jabir bin Abdullah RA, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,


صَلَاةٌ فِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ مِائَةُ أَلْفِ صَلَاةٍ، وَصَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي أَلْفُ صَلاةٍ، وَفِي بَيْتِ الْمَقْدِسِ خَمْسُمِائَةٍ صَلَاةٌ

Maksudnya:"Melaksanakan solat di Masjidilharam (pahalanya) sebanding dengan 100000 kali solat (di masjid yang lain), solat di masjidku (Masjid Nabawi) pahalanya sebanding dengan 1000 kali solat (di masjid yang lain), sedang solat di Baitul Maqdis (Masjidilaqsa) pahalanya sebanding dengan 500 kali solat (di masjid yang lain)". Riwayat Bazar, Ibnu Khuzaimah, dan Thabrani.

Baitul Maqdis digelar Al-Quds Al-Sharif (Tempat Yang Suci). Dalam usaha untuk memahami kesucian Bandar ini, seseorang itu perlu memahami struktur iman di dalam Islam.


Terdapat tiga prinsip asas:

  • Percaya bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah (Tauhid).

  • Percaya bahawa petunjuk Ilahi disampaikan menerusi rasul-rasul dan nabi-nabi Nya yang terpilih (Risalah).

  • Percaya bahawa wujudnya kehidupan selepas mati (akhirat), hari pembalasan dan Syurga serta Neraka.


Prinsip yang kedua mempunyai hubungan langsung dengan kecintaan dan komitmen umat Islam terhadap Baitul Maqdis.


Islam mengiktiraf semua rasul dan utusan Allah Subhanahuwata'ala. Nama-nama mereka banyak disebut di dalam Al-Quran. Kisah dan ajaran yang mereka bawa diceritakan di dalam kitab suci umat Islam ini. Menurut ajaran Islam, Ibrahim (Abraham), Musa (Moses), Daud (David), Sulaiman (Solomon), Zakariyah (Zachariah), Yahya (John the Baptist) dan Isa (Jesus) - alahimussalam- adalah antara nabi-nabi dan utusan yang dimuliakan Allah Subhanahuwata'ala. Yahudi dan Kristian juga mengiktiraf Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS sebagai raja dan pemimpin yang hebat di zaman Israel kuno.


Di dalam Islam, kedua-dua orang nabi ini adalah utusan yang dimuliakan oleh Allah untuk membawa risalah-Nya. Al-Quran bukan sahaja menceritakan kisah-kisah mereka tetapi juga menjaga maruah mereka dengan menghapuskan beberapa penghinaan dan kecaman yang dibuat oleh umat terdahulu terhadap mereka. Nabi Daud AS dituduh melakukan zina di dalam kitab Injil (2 Samuel: 11-12) dan Nabi Sulaiman AS dituduh melakukan penyembahan berhala (1 King: 11). Al-Quran menangkis semua dakwaan yang dikenakan terhadap kedua-duanya. (Saad: 30). Ini menunjukkan bahawa Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS lebih dihormati di dalam Islam berbanding tradisi masyarakat Yahudi dan Kristian. 


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَوَهَبْنَا لِدَاوُودَ سُلَيْمَانَ ۚ نِعْمَ الْعَبْدُ ۖ إِنَّهُ أَوَّابٌ


Maksudnya:"Dan Kami kurniakan kepada Daud, Sulaiman, dia adalah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhannya)".  Sad ayat 30.


Memandangkan bandar Baitul Maqdis dikaitkan oleh sejarah dengan nabi-nabi yang diutus oleh Allah Subhanahuwata'ala, maka ia secara tabi'inya turut menjadi bandar yang suci buat umat Islam. Islam menganggap ianya sebagai penerusan kepada iman dan etika yang sama seperti yang diasaskan oleh nabi-nabi terdahulu. Menurut prinsip sejarah dan teologi, Islam merupakan pewaris sebenar kepada tradisi nabi-nabi dan utusan Allah Subhanahuwata'ala yang terdahulu. Atas alasan inilah, Al-Quran membuat seruan untuk Palestin - tanah yang dikaitkan dengan kehidupan ramai nabi-nabi - " الْأَرْضَ الْمُقَدَّسَةَ" (tanah yang suci) (Al-Ma'idah:21) dan menggelarkan sekitarnya sebagai "بَارَكْنَا حَوْلَهُ" (yang diberkati sekitarnya) (Al-Israa':1).


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


يَا قَوْمِ ادْخُلُوا الْأَرْضَ الْمُقَدَّسَةَ الَّتِي كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَرْتَدُّوا عَلَىٰ أَدْبَارِكُمْ فَتَنْقَلِبُوا خَاسِرِينَ


Maksudnya: “(Nabi Musa berkata lagi): "Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)". l-Ma’idah ayat 21.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ


Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui". Al-Israa’ ayat 1.


Kesucian Bandar Baitul Maqdis menurut Islam adalah pada realiti sejarah keagamaannya. Bandar ini menjadi saksi kepada kehidupan dan kerja-kerja para nabi serta utusan Allah Subhanahuwata'ala. Di situlah turunnya wahyu Allah Subhanahuwata'ala secara berulang-ulang. Nabi-nabi dan utusan-utusan Allah yang agung tinggal dan berpindah ke lembah-lembah serta jalan-jalannya. 


Mekah dan Madinah merupakan bandar-bandar yang diberkati di dalam Islam kerana kaitannya dengan Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS dan Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam. Bagitu juga dengan Baitul Maqdis yang diberkati dan penting di dalam Islam kerana kaitannya dengan nabi-nabi lain seperti Nabi Daud AS, Nabi Sulaiman AS dan Nabi Isa AS.


Yahudi dan Kristian tidak mengiktiraf Nabi Ismail AS dan Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam sebagai nabi dan rasul, maka mereka tidak menganggap Mekah dan Madinah sebagai bandar-bandar yang suci. Bagaimanapun, Islam mengiktiraf Nabi Musa AS, Nabi Dawud AS, Nabi Sulaiman AS dan Nabi Isa AS, maka mereka harus mengiktiraf kesucian dan kepentingan Baitul Maqdis di dalam Islam.


Pengiktirafan Islam kepada semua Nabi disebut oleh Allah Subhanahuwata'ala dalam firman-Nya,


آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْهِ مِنْ رَبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ ۚ كُلٌّ آمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِنْ رُسُلِهِ ۚ وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۖ غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ


Maksudnya:"Rasul telah beriman kepada Al Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya. (Mereka mengatakan): "Kami tidak membeda-bedakan antara seseorangpun (dengan yang lain) dari rasul-rasul-Nya", dan mereka mengatakan: "Kami dengar dan kami taat". (Mereka berdoa): "Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali". Al-Baqarah ayat 285.


Berdasarkan kepada status agama dan teologi, Baitul Maqdis menduduki tempat yang sangat istimewa di dalam kehidupan Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam sendiri. Pada tahun 620M, kira-kira satu setengah tahun sebelum Baginda berhijrah dari Mekah ke Madinah, satu peristiwa Al-Israa' dan Al-Mi'raj (perjalanan malam dan diangkat ke langit) telah berlaku. Pada suatu malam, dengan cara yang menakjubkan, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam telah melakukan perjalanan yang penuh keajaiban dari Mekah ke Baitul Maqdis dan diangkat ke langit pada malam yang sama. 

Perjalanan malam ini merupakan satu keajaiban yang agung yang dipercayai oleh setiap umat Islam bahawa ianya merupakan satu penghormatan kepada Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam dan mengesahkan hubungan akidah antara Mekah dan Baitul Maqdis. Kedua-dua peristiwa ini berlaku pada malam yang sama. Malaikat Jibril (Gabriel) mengiringi Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam dari Mekah ke Baitul Maqdis. Diceritakan juga bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam berdiri di atas Batu Suci (Al-Sakhrah Al-Musharrafah), naik ke langit, kembali ke Baitul Maqdis dan bertemu dengan ramai nabi-nabi serta rasul-rasul terdahulu yang berhimpun untuk Baginda sempena peristiwa tersebut. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam seterusnya mengimamkan solat mereka.


Peristiwa Al-Israa' dan Al-Mi'raj penuh dengan tanda-tanda dan petunjuk yang menakjubkan.Para pemikir Islam, pengkaji mistik dan penyair-penyair telah membuat pelbagai tafsiran secara mendalam dan berbeza-beza. Bagaimanapun, terdapat satu kesimpulan penting dan ia menjadi satu contoh kepada ketaatan dan hubungan iman setiap Muslim dengan Baitul Maqdis.


Semasa Al-Mi'raj, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam telah menerima perintah Allah Subhanahuwata'ala untuk melaksanakan solat sebanyak lima kali sehari semalam di mana setiap Muslim wajib menunaikannya. Setelah kepulangan Baginda ke Mekah, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam telah menyampaikan perintah Allah Subhanahuwata'ala supaya memfardukan solat. Penting untuk kita ketahui bahawa Baginda Sallallahu'alaihiwasallam telah menjadikan Baitul Maqdis sebagai Kiblat yang mana setiap Muslim perlu menghadap ke arahnya semasa mengerjakan solat. Justeru, Baitul Maqdis dikenali sebagai 'Ula Al-Qiblatain (yang pertama antara dua kiblat).

Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam dan umat terawal yang memeluk Islam telah berkiblatkan Baitul Maqdis semasa solat ketika mereka berada di Mekah. Selepas peristiwa Hijrah, masyarakat Islam di Madinah juga turut mengadap ke Baitul Maqdis ketika solat selama kira-kira 17 bulan. Kemudian, barulah turun perintah Allah Subhanahuwata'ala supaya menukar arah kiblat dari Baitul Maqdis ke Mekah sebagaimana yang terkandung dalam Surah Al-Baqarah ayat 142-150.


Peralihan Kiblat ini sama sekali tidak menghapuskan kedudukan Baitul Maqdis di dalam Islam. Kaabah di Mekah merupakan Kiblat sejak awal kerana Al-Quran menyebut bahawa ia adalah Rumah Pertama ( أَوَّلَ بَيْتٍ) yang dibina untuk manusia menyembah Tuhan Yang Satu.

Firman Allah Subhanahuwata'ala,


إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ


Maksudnya: “Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia". Ali Imran ayat 96.


Walau bagaimanapun, Kaabah dipenuhi dengan patung-patung sejak mula Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam memulakan dakwahnya agar umat manusia menyembah Allah Subhanahuwata'ala, Tuhan Yang Satu. Perbezaan telah ditunjukkan antara penyembahan orang beriman dan kaum musyrik terhadap apa yang mereka sembah di Kaabah. Baitul Maqdis menepati matlamat tersebut untuk mengasingkan umat ketika itu dari sembahan-sembahan berhala mereka.


Apabila prinsip ketuhanan yang satu telah ditegakkan sepenuhnya di dalam hati dan jiwa kaum muslimin dan apabila kedudukan Kaabah dengan Nabi Ibrahim AS telah jelas, barulah Kaabah dipilih semula sebagai Kiblat semasa solat.


Wednesday, October 11, 2023

Menjaga Anak dan Pemuda dari fahaman Liberal dan Pluralisme.

Menjaga Anak dan Pemuda dari fahaman Liberal dan Pluralisme.

Tugas terbesar dan terberat orang tua bukanlah menjadikan anaknya semata-mata memiliki harta yang banyak dan berkedudukan tinggi, tetapi tugas terbesar orang tua adalah menjadikan anak tersebut dekat dengan Allah dan memiliki akidah yang baik dan benar, yang dengannya akan menyelamatkan mereka dari neraka. Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala,


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ


Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan". At-Tahrim ayat 6


Jika ada anak-anak dan pemuda yang memiliki akidah tidak benar, seperti terpengaruh dengan pemikiran liberal atau pluralisme, sebaiknya janganlah disalahkan mereka secara total, apatahlagi diserang habis-habisan. Mereka adalah anak-anak dan pemuda yang sedang mencari jati diri dan lebih banyak perlu bimbingan daripada celaan atau cacian.


Boleh jadi ini adalah kesalahan dan kelalaian kita bersama terhadap pendidikan akidah dasar kepada anak-anak dan remaja. Sebagai orang tua bahkan kita sendiri pun kadang lalai mempelajari dan mendakwahkan cara beragama yang benar kepada mereka. Jangan sampai buku-buku dan bacaan akidah tersimpan rapi di rumah tetapi jarang bahkan tidak pernah disentuh.


Boleh jadi sebahagian orang tua hanya fokus pada pendidikan dunia semata, sedangkan pendidikan agama benar-benar dilalaikan. Bahkan demi mengejar pendidikan dunia tersebut, orang tua mengundang guru  matematik atau fizik ke rumah, akan tetapi guru mengaji dan guru agama tidak diperhatikan sama sekali.


Orang tua! Sedarilah bahaya Pemikiran Liberal dan Pluralisme pada Anak.


Fahaman liberal dan pluralisme secara mudah difahami adalah suatu pemikiran yang bebas dalam menafsirkan agama. Mereka beranggapan bahawa semua agama itu sama dan tidak ada kebenaran mutlak pada satu agama. Faham ini tidak hanya menimpa orang dewasa saja, tetapi saat ini mulai memasuki fikiran anak-anak. Padahal  sangat jelas, ajaran Islam menolak dan bertentangan dengan faham ini. dalil-dalilnya sudah sangat jelas dan mudah didapatkan  di dalam ajaran dasar-dasar Islam. 


إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ


Maksudnya".Sesungguhnya agama (yang diridhai) disisi Allah hanyalah Islam….". Ali Imran ayat 19.


وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ


Maksudnya:"Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu)daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi". Ali Imran ayat 85.


Fahaman atau  anggapan bahawa semua agama itu sama dan tidak ada kebenaran mutlak pada satu agama tidak hanya menimpa orang dewasa sahaja, tetapi saat ini mulai memasuki pemikiran anak-anak.

Ini bukti bahawa kita benar-benar mulai lalai terhadap pendidikan akidah dan agama bagi anak-anak, para pemuda dan masyarakat Islam.


Lebih-lebih lagi di zaman moden ini, perkembangan internet dan media sosial  semakin memudahkan anak-anak dalam  mendapatkan akses berbagai informasi. Orang tua mesti benar-benar  memperhatikan akidah anak-anak dan para pemuda. Inilah yang dicontohkan oleh nabi Ya’qub, beliau benar-benar memastikan akidah dan agama anak-anak beliau.


Allah berfirman mengenai kisah nabi Ya’qub,


ﺃَﻡْ ﻛُﻨْﺘُﻢْ ﺷُﻬَﺪَﺍﺀَ ﺇِﺫْ ﺣَﻀَﺮَ ﻳَﻌْﻘُﻮﺏَ ﺍﻟْﻤَﻮْﺕُ ﺇِﺫْ ﻗَﺎﻝَ ﻟِﺒَﻨِﻴﻪِ ﻣَﺎ ﺗَﻌْﺒُﺪُﻭﻥَ ﻣِﻦْ ﺑَﻌْﺪِﻱ ﻗَﺎﻟُﻮﺍ ﻧَﻌْﺒُﺪُ ﺇِﻟَٰﻬَﻚَ ﻭَﺇِﻟَٰﻪَ ﺁﺑَﺎﺋِﻚَ ﺇِﺑْﺮَﺍﻫِﻴﻢَ ﻭَﺇِﺳْﻤَﺎﻋِﻴﻞَ ﻭَﺇِﺳْﺤَﺎﻕَ ﺇِﻟَٰﻬًﺎ ﻭَﺍﺣِﺪًﺍ ﻭَﻧَﺤْﻦُ ﻟَﻪُ ﻣُﺴْﻠِﻤُﻮﻥَ


Maksudnya:"Adakah kamu hadir ketika Ya’kub kedatangan (tanda-tanda) maut, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: ”Apa yang kamu sembah sepeninggalku?” Mereka menjawab:”Kami akan menyembah Sesembahanmu dan Sesembahan nenek moyangmu; Ibrahim, Isma’il, dan Ishak, (iaitu) Sesembahan satu-satu-Nya yang Maha Esa dan kami hanya tunduk kepada-Nya”. Al-Baqarah ayat 133.


Dalam Tafsir Al-Baghawi dijelaskan bahawa nabi Ya’qub benar-benar ingin memastikan anak dan cucunya memiliki akidah yang baik. Beliau mengumpulkan semua anak dan cucunya menjelang kematiannya untuk memastikan hal ini. Imam Al-Baghawi berkata,


ﻓﺠﻤﻊ ﻭﻟﺪﻩ ﻭﻭﻟﺪ ﻭﻟﺪﻩ ، ﻭﻗﺎﻝ ﻟﻬﻢ ﻗﺪ ﺣﻀﺮ ﺃﺟﻠﻲ ﻓﻤﺎ ﺗﻌﺒﺪﻭﻥ ﻣﻦ ﺑﻌﺪﻱ


Maksudnya:"Nabi Ya’qub pun mengumpulkan anak  dan cucunya, kemudian bertanya kepada mereka tatkala akan datang ajalnya, apa yang akan mereka sembah setelah kematiannya". Lihat Tafsir Al-Baghawi


Demikian juga orang-orang soleh sebelum kita, misalnya Luqman al-Hakim telah menasehati anak-anaknya agar menjaga akidah dan agama mereka, jangan sekali-kali menyekutukan Allah atau berbuat syirik. Luqman berkata kepada anak-anaknya,


ﻭَﺇِﺫْ ﻗَﺎﻝَ ﻟُﻘْﻤَﺎﻥُ ﻟِﺎﺑْﻨِﻪِ ﻭَﻫُﻮَ ﻳَﻌِﻈُﻪُ ﻳَﺎ ﺑُﻨَﻲَّ ﻟَﺎ ﺗُﺸْﺮِﻙْ ﺑِﺎﻟﻠَّﻪِ ۖ ﺇِﻥَّ ﺍﻟﺸِّﺮْﻙَ ﻟَﻈُﻠْﻢٌ ﻋَﻈِﻴﻢٌ


Maksudnya:"Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya : “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman yang besar.” Luqman ayat 13.


Untuk menolak dan membantah faham liberal dan pluralisme cukup mudah dan jelas, kerana ada dalam pelajaran agama yang sangat mendasar. Jika anak-anak dan pemuda kita tidak faham, bererti kita memang benar-benar lalai akan hal ini.


Misalnya untuk membantah faham mereka bahawa semua agama itu sama dan kebenaran pada satu agama itu tidaklah mutlak seperti yang mereka kempen dengan bertopengkan toleransi, bijaksana dan untuk menyenangkan semua pihak. Sangat jelas bahawa dalam ajaran Islam, agama yang diredai adalah Islam sahaja, sedangkan agama selain Islam tidak benar ataupun batil.


Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala,


ﻭَﻣَﻦْ ﻳَﺒْﺘَﻎِ ﻏَﻴْﺮَ ﺍﻟْﺈِﺳْﻠَﺎﻡِ ﺩِﻳﻨًﺎ ﻓَﻠَﻦْ ﻳُﻘْﺒَﻞَ ﻣِﻨْﻪُ ﻭَﻫُﻮَ ﻓِﻲ ﺍﻟْﺂﺧِﺮَﺓِ ﻣِﻦَ ﺍﻟْﺨَﺎﺳِﺮِﻳﻦَ


Maksudnya:"Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi". Ali Imran ayat 85.


Wahai Orang Tua! Tanamkanlah dalam jiwa anak-anak dari kecil lagi, bahawa hanya Islam sahaja agama yang benar dan setiap orang mesti mati dalam keadaan Islam.


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ


Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam". Ali Imran ayat 102.


Hanya Islam agama yang benar, apabila ingin menyenangkan dan menyantuni agama lain bukan dengan membuat pernyataan semua agama sama baiknya dan sama-sama benar, akan tetapi dengan menjelaskan bahawa Islam adalah agama yang adil dan indah, tidak memaksakan ajaran kepada orang lain serta larangan keras menzalimi agama lain tanpa uzur syar'ie. Oleh kerana ianya adalah sebagai bentuk kasih sayang kepada manusia, Islam mengajak agar manusia memeluk Islam.


Sebagaimana contoh dari perintah Allah agar berlaku adil meskipun kepada orang kafir sekalipun,Allah Subhanahuwata’ala berfirman.


لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ.


Maksudnya:"Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” Al-Mumtahanah ayat  8.


Ayat di atas menunjukkan bahawa Islam tidak melarang umatnya bahkan menuntut umatnya untuk bersikap lemah lembut, adil dan ihsan kepada orang bukan Islam yang tidak menunjukkan permusuhan atau ancaman kepada agama Islam. Rujuk Tafsir al-Tha’labi 303/26; Tafsir Ibn Kathir 90/8.

 

Nabi shallallahualaihiwasallam bersabda,


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَا يَسْمَعُ بِي أَحَدٌ مِنْ هَذِهِ الْأُمَّةِ يَهُودِيٌّ وَلَا نَصْرَانِيٌّ ثُمَّ يَمُوتُ وَلَمْ يُؤْمِنْ بِالَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ إِلَّا كَانَ مِنْ أَصْحَابِ النَّارِ


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah dari Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, bahawa beliau bersabda: "Demi Zat yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, tidaklah seseorang dari umat ini baik Yahudi dan Nasrani mendengar tentangku, kemudian dia meninggal dan tidak beriman dengan agama yang aku diutus dengannya, kecuali dia pasti termasuk penghuni neraka".   Muslim(218)


Mari kita giatkan  kembali dakwah serta pelajaran akidah kepada anak-anak dan pemuda kita. Semoga Allah menjaga mereka dan kaum muslimin dari akidah dan pemahaman yang rosak seperti pemahaman liberal dan pluralisme.


أَقُوْلُ قَوْلِيْ هٰذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ لِيْ وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ



Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...