Wednesday, April 29, 2026

Muhasabah Diri

Muhasabah Diri

Muhasabah diri (daripada perkataan Arab; محاسبة) ialah amalan menilai, menghisab, dan memeriksa kembali diri sendiri, termasuk pemikiran, tindakan, serta pendirian, bertujuan untuk memperbaiki kualiti diri dan meningkatkan keimanan kepada Allah. Ia merupakan usaha introspeksi untuk mengenali kelemahan dan kelebihan diri sebelum dihisab di akhirat.

Perlunya setiap orang bermuhasabah, adalah berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah Al-Hasr ayat 18, 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Maksudnya:''wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan

Dalam ayat tersebut, dengan jelas Allah Subhanahuwata'ala memerintahkan setiap individu memelihara diri daripada perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah, sentiasa menjiwai kehadiran Allah dalam kehidupannya. Seterusnya hendaklah memastikan keseluruhan diri berada dalam syariat Allah, dan tidak mencerobohnya denga perlakuan maksiat. Dengan demikian seseorang yang mahukan dirinya sentiasa dalam ketakwaan, perlu bermuhasabah. Jika terbukti dia melakukan pelanggaran, hendaklah segera bertaubat dan menyempurnakan ketaatan penuh istiqamah, dengan memastikan terus berada di atas landasan syarak serta meningkatkan kualiti amalan penuh kesetiaan.

Menurut Ahli Tasawwuf, Muhasabah ada kaitan dengan Ihsan sebagaimana hadith yang diriwayatkan dari Sayyidina Umar al-Khattab, yang mana menurut mereka maqam Ihsan ada dua peringkat,

قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِحْسَانِ. قَالَ: أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّك تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاك.……

Maksudnya:".....Lelaki itu berkata lagi: Khabarkanlah kepadaku tentang Ihsan?Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: Hendaklah kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Sekiranya kamu tidak dapat melihat-Nya sesungguhnya Allah sentiasa melihat kamu….". Riwayat Muslim

Ihsan di dalam hadith inilah yang  perhatian dan diterjemahkan secara praktikal oleh golongan tasawwuf.  Ini kerana tasawwuf menghidupkan semangat muhasabah diri di dalam jiwa setiap manusia sehinggalah mereka dapat beramal dengan ikhlas kerana Allah. Semangat muhasabah diri ini difahami daripada ayat al-Quran berikut,

إِنَّ اللَّهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوْا وَالَّذِينَ هُمْ مُحْسِنُونَ

Maksudnya:"Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan(orang yang berusaha memperbaiki amalannya). Al-Nahl ayat 128.

Dari sini, dapat difahami bahawa Ihsan mengandungi dua maqam; iaitu maqam muraqabah dan maqam musyahadah.  

Maqam Muraqabah ialah menjiwai, merasai atau kesedaran hati bahawa diri sentiasa diawasi dan diperhatikan oleh Allah Subhanahuwata'ala, mendorong kepada peningkatan ketaatan. Manakala Maqam Musyahadah adalah tahap lebih tinggi, iaitu penyaksian qalbu (jiwa) atau fu'ad (الْفُؤَادُ) akan keagungan Allah Subhanahuwata'ala (melihat Allah dengan mata hati) selepas hijab nafsu tersingkap. Firman Allah Subhanahuwata'ala,

مَا كَذَبَ الْفُؤَادُ مَا رَأَىٰ

Maksudnya: Hati (Nabi Muhammad) tidak mendustakan apa yang dilihatnya''.Surah al-Najm ayat 11.

Al-Hakim menjelaskan bahawa kalimah fu’ad diambil daripada kalimah fa’idah. Al-Hakim turut menjelaskan, bahawa fu’ad dan qalb memiliki makna yang sama sebagai penglihatan batin/mata hati (basirah). Pun begitu, fungsinya adalah berbeza. Fu’ad adalah tempat ru’yah batiniyyah manakala qalb merupakan tempat bagi ilmu. Apabila bergabung penglihatan (fu’ad) dan pengetahuan (qalb), maka akan tersingkaplah segala yang tertutup di mana seseorang hamba oleh meminta pertolongan-Nya dengan ilmu, musyahadah dan iman.

Di dalam hadith di atas, maqam musyahadah (kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatNya, maka Allah memandang kamu).  Ini menunjukkan ketinggian dan kemuliaan maqam musyahadah melebihi maqam muraqabah.

Posisi Maqam Musyahadah (menyaksikan); iaitu seorang hamba yang beramal sebagai tuntutan kerana dirinya menyaksikan Allah dengan hatinya dikeranakan hatinya telah diterangi oleh cahaya keimanan, mata hatinya menembus pengetahuan sehingga menjadikan sesuatu yang ghaib seakan-akan terlihat, inilah hakikat ihsan yang diisyaratkan didalam hadith Jibril diatas.

Matlamat utama muhasabah seperti yang tercatat dalam ayat 18 surah Al-Hasr tersebut ialah untuk menghadapi hari kiamat yang tidak diketahui bila akan berlaku. Ianya boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Oleh yang demikian, melihat dan menyemak diri perlu dilakukan pada setiap masa yang wajar, setiap hari menjelang, setiap minggu, setiap bulan dan setiap tahun baru yang muncul atau setiap hari ulang tahun kelahiran diraikan. Dalam ertikata yang lain, setiap masa kita hendaklah bertanggungjawab terhadap apa yang kita lakukan.

Salah satu usaha yang perlu dilakukan oleh setiap muslim ialah bermuhasabah, iaitu menilik dan memeriksa diri bagi menilai sikap, pengucapan dan gerak kerja yang dilakukan, sama ada selari dan menepati dengan ajaran yang disyariatkan atau sebaliknya. Jika sekiranya memenuhi tuntutan agama maka perlu diteruskan, dipertingkatkan dan ditambah nilai. Sebaliknya jika didapati menyimpang daripada landasan syarak, maka perlu diperbetulkan dengan bertaubah dan beristiqamah agar terus berada di atas landasan syarak.

Dengan bermuhasabah, kita akan berada di atas landasan yang betul kerana sentiasa bertaubat, mengubah sikap kepada lebih positif dan meningkatkan kualiti hidup, selari dengan tuntutan agama. Melalui proses tersebut, kita lebih bersedia dan bertawakal menghadap Allah, terutama di hari kiamat yang akan dihitung dan dihisab segala amalan kita di dunia. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah Al-Haqqah ayat 18,

 يَوْمَئِذٍ تُعْرَضُونَ لَا تَخْفَىٰ مِنْكُمْ خَافِيَةٌ

Maksudnya:''Pada hari itu kamu dihadapkan (kepada Tuhanmu), tiada sesuatupun dari keadaanmu yang tersembunyi (bagi Allah)''.

Berpandukan kepada ayat tersebut dan sebelumnya, kita perlu juga bertanya diri kita, apakah kehidupan kita sejajar dengan syariat? Adakah kita mematuhinya dalam setiap situasi? Adakah kita pengikut setia junjungan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam? Adakah kita mampu mengawal diri daripada melakukan maksiat? Adakah kita telah menunaikan hak Allah dan hambaNya dengan sempurna? Adakah kita siap sedia menemui Allah pada bila-bila masa?

Para ulama mengingatkan kita sebagai seorang muslim agar sentiasa melakukan muhasabah diri. Dengan menginsafi diri, semua dari kalangan kita mahu menjadi orang yang cerdik, bijak dan beruntung dalam kehidupannya. Daripada Syaddad bin Aus R.A, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah bersabda,

الْكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ وَالْعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللَّهِ

Maksudnya: Orang yang cerdik, siapa yang merendahkan dirinya dan beramal untuk bekalan selepas mati. Sedangkan orang yang lemah, siapa yang mengikut hawa nafsunya dan hanya bercita-cita kepada Allah. Riwayat al-Tirmizi (2459) dan Ibn Majah (4260)

Syeikh al-Mubarakfuri dalam menjelaskan hadith di atas berkata: “(Orang yang cerdik) iaitu orang yang sentiasa memuhasabah dirinya di dunia sebelum dia dihisab di akhirat. Hal ini berbetulan dengan nasihat Saidina Umar al-Khattab R.A yang berkata:

حَاسِبُوا أَنْفُسَكُمْ قَبْلَ أَنْ تُحَاسَبُوا وَتَزَيّنُوا لِلْعَرْضِ الأَكْبَرِ وَإِنّمَا يَخِفّ الْحَسَابُ يَوْمَ القِيَامَةِ عَلَى مَنْ حَاسَبَ نَفْسَهُ في الدّنْيَا

Maksudnya: Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab. Dan berhiaslah untuk hari pembentangan yang agung. Sesungguhnya ringanlah penghisaban di hari Akhirat bagi sesiapa yang telah menghisab dirinya di dunia''. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/156)

Kata-kata ini menekankan kepentingan muhasabah diri secara berterusan. Dimana, tujuan muhasabah diri adalah dengan menilai amalan sebelum ditimbang oleh Allah bagi meringankan beban hisab di akhirat. Dengan melakukan muhasabah diri membuatkan seorang mukmin percaya akan hari pembalasan, sekaligus memperbaiki diri dan iainya merupakan satu aspek dari aspek persediaan kematian yang mengajak umat Islam berhias diri dengan amal soleh bagi menghadapi hari pembentangan yang agung. 

Setiap individu perlu sentiasa menilai dirinya sendiri. Kita menilai amalan yang telah kita lakukan, amanah yang kita pikul dan tanggungjawab yang telah diberikan kepada kita. Sesungguhnya, setiap manusia memegang amanah dalam kehidupannya. Amanah sebagai ketua dalam keluarga, amanah dalam pekerjaan, amanah dalam menguruskan tanggungjawab dan amanah dalam menguruskan harta. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam Surah an-Nisa ayat 58,

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Maksudnya: ''Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat''.

Allah Subhanahuwata'ala menyuruh setiap orang Islam agar memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya, sama ada ia berkait dengan hak Allah Subhanahuwata'ala, dirinya atau orang lain. Menurut Fakhruddin al-Razi, menjaga amanah melibatkan hak Allah Subhanahuwata'ala ialah melaksanakan suruhannya dan menjauhi larangannya. Melaksanakan amanah melibatkan diri sendiri pula ialah melakukan sesuatu yang memberi manfaat kepadanya dalam perkara agama, dunia dan akhirat. Dia tidak melakukan sesuatu yang memudaratkan Akhirat dan dunianya. Menjaga amanah melibatkan hak orang lain pula ialah tidak menipu dalam timbangan ketika berjual beli, tidak membuka aib orang lain dan sebagainya. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 10/109)

Ayat tadi mengingatkan kita bahawa amanah hendaklah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan tidak boleh disalahgunakan untuk kepentingan diri sendiri.Dalam kehidupan manusia, kita sering melakukan semakan dan penilaian bagi memastikan sesuatu urusan dilaksanakan dengan baik dan teratur. Begitu juga dalam kehidupan seorang Muslim, kita perlu sentiasa melakukan muhasabah atau audit diri, iaitu menilai amalan, sikap dan tanggungjawab yang kita pikul dalam kehidupan.

Setiap harta yang kita peroleh, setiap jawatan yang kita pegang dan setiap amanah yang kita laksanakan akan dipersoalkan oleh Allah Subhanahuwata'ala pada hari akhirat kelak. Dari Abu Barzah Al-Aslami, Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,

لاَ تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمْرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَا فَعَلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَا أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَا أَبْلاَهُ

Maksudnya:''Kedua kaki seorang hamba tidaklah beranjak pada hari kiamat hingga ia ditanya mengenai: (1) umurnya di manakah ia habiskan, (2) ilmunya di manakah ia amalkan, (3) hartanya bagaimana ia peroleh dan (4) di mana ia infakkan dan (5) mengenai tubuhnya di manakah usangnya''. Riwayat Tirmidzi (2417) 

Kita perlu menyedari bahawa di sebalik segala sistem semakan dan pengauditan di dunia, setiap manusia sebenarnya sedang menuju kepada satu audit yang jauh lebih teliti, iaitu perhitungan di hadapan Allah Subhanahuwata'ala pada hari akhirat kelak. Ketika itu, setiap amanah, setiap harta dan setiap tanggungjawab yang kita pikul akan dipersoalkan tanpa ada sesuatu pun yang dapat disembunyikan daripada pengetahuan-Nya.

Oleh itu marilah kita bersama-sama mulai saat ini memperbaharui tekad dan melakukan muhasabah atau audit diri, memperbaiki kelemahan, meluruskan niat dan memastikan setiap amanah dalam kehidupan dilaksanakan dengan penuh kejujuran dan tanggungjawab demi memperoleh reda Allah Subhanahuwata'ala. Marilah kita bermuhasabah supaya proses hisab di hari kiamat kelak berjalan lancar dan menikmati kebahagiaan hidup dalam syurga firdaus. Rapatkan diri dengan individu yang sering bermuhasabah dan hadir majlis-majlis ilmu serta hindarilah diri daripada tempat-tempat atau suasana yang melalaikan. Muhasabah dan perbaikilah kehidupan beragama saudara. Jangan tunggu hari esok, nanti penyesalan yang dituai.


No comments:

Post a Comment

Muhasabah Diri

Muhasabah Diri Muhasabah diri (daripada perkataan Arab; محاسبة) ialah amalan menilai, menghisab, dan memeriksa kembali diri sendiri, termasu...