Friday, February 28, 2020

Hukum Hibah dalam Islam

Hukum Hibah dalam Islam

Hibah merupakan satu anugerah, hadiah, pemberian harta atau aset secara sukarela kepada seseorang ketika hayatnya atas dasar kasih sayang dan kemanusiaan untuk digunakan manfaatnya oleh si penerima. Ia merupakan pemberian sesuatu ain (benda) miliknya kepada orang lain sewaktu hidupnya tanpa mengharap apa-apa pembalasan(iwad).

Rasulullah Sallahualaihiwasallam pernah bersabda:

تَهَادُوْا تَحَابُّوْا

“Saling menghadiahilah kalian nescaya kalian akan saling mencintai.” (Riwayat Al-Bukhari dalam Al-Adabul Mufrad no. 594).

Hibah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang kita ingini sama ada waris atau bukan waris.Kesan daripada hibah, semua harta yang sudah dihibah akan terkeluar daripada harta pusaka dan tidak akan diagih kepada waris mengikut hukum faraid.

Hibah ada dua jenis iaitu:

1.Hibah mutlak

2.Hibah bersyarat (umra dan ruqba)

Di bawah hibah mutlak, ia berkuat kuasa serta-merta. Sekiranya penukaran hak milik sudah dibuat, ia terus menjadi hak si penerima. Penerima berhak membuat apa saja dengan haknya termasuk menjualnya. Dari sudut faraid pula, sekiranya penerima meninggal dunia, ia menjadi harta pusaka penerima.

Hibah bersyarat pula penghibah meletakkan sesuatu syarat sampingan bersama-sama.

Menurut kitab al-Fiqh al-Manhaji,
“Hibah merupakan satu kontrak perjanjian (akad) bertujuan kepada pemindahan hak milik tanpa sebarang gentian (iwad) ketika masih hidup dan ia dilakukan secara sukarela” (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 6/115)

Dari segi hukum, hibah adalah suatu amalan yang sunat dan digalakkan dalam Islam terutama sekali kepada kaum keluarga terdekat.Amalan ini adalah berdasarkan kepada al-Quran, al-Sunnah dan ijmak.

Telah disebut al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah,
"Telah menjadi ijma’ para fuqaha’ bahawa sebarang bentuk hibah adalah disunatkan. Walaupun begitu ia akan berubah menjadi haram sekiranya tujuan hibah itu kerana kemaksiatan atau membantu kezaliman serta bertujuan untuk rasuah. Begitu juga, hibah akan menjadi makruh sekiranya bertujuan untuk riak dan sombong. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/122)"

Dalil pensyariatan Hibah terkandung di dalam al-Quran, Sunnah serta telah menjadi Ijma’ dalam galakan berhibah. Diantaranya adalah firman Allah Subhanahuwata'ala:

فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا

Maksudnya: Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya. (Surah al-Nisa, 4)

Selain itu, Hibah merupakan perkara yang disyariatkan di dalam islam. Malah, ia juga digalakkan untuk memberi kepada saudara-mara dan kerabat yang terdekat bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim. Firman Allah Subhanahuwata'ala:

وَآتَى الْمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّائِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ

Maksudnya: dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi.(Surah al-Baqarah, 177)

Rukun dan Syarat Hibah

Hibah dikira sah sekiranya memenuhi syarat-syarat dan rukunnya. Syeikh Muhammad Zuhaili membahagikan rukun hibah tiga secara umum dan lima secara terperinci iaiatu:

1-Dua pihak yang berakad, iaitu pemberi dan penerima.
-Pemberi hibah mestilah orang yang mukallaf, berakal, baligh serta layak untuk menyumbang.
-Kanak-kanak dan orang gila tidak layak untuk melakukan hibah
-Harta atau barang yang hendak dihibahkan itu mestilah milik sepenuhnya daripada diri pemberi
-Disyaratkan kepada penerima hibah mestilah orang yang mukallaf. Namun sekiranya tidak mukallaf pihak wali boleh menerimanya.

2-Akad Sighah
-Di syaratkan untuk melakukan hibah mestilah ada ijab dan qabul dengan lafaz sama ada secara jelas (sorih) atau kiasan (kinayah). Maka sah akad perjanjian secara kinayah seperti akad perjanjian bertulis.
-Lafaz ijab dan qabul itu mestilah berkesinambungan dan tidak terputus seperti akad jual beli.

3-Barang yang hendak dihibah
-Syarat barang untuk dihibah adalah setiap barang yang harus dijual beli. Ini kerana tujuan hibah adalah penukaran hak milik.
-Barang yang hendak dihibah mestilah wujud. Oleh itu, tidak sah menghibahkan anak kambing yang berada di dalam kandungan.
-Barangan itu mestilah bernilai dan memberi manfaat. Tidak sah sekiranya menghibah barang yang tidak bernilai di sisi syara’ seperti arak dan khinzir.
-Pemberi mesti memiliki barang yang hendak dihibahkan.

(Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 3/178, al-Fiqh al-Manhaji, 6/120)

Al-Qabd (Penerimaan Hibah)

Dicatat dalam kitab al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie’:

“Tidak dikira sebagai hak milik penerima selagi mana belum menerima hibah (qabd). Oleh itu, pemberi boleh menarik semula pemberiannya”. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie’, 3/182)

Ini bermaksud Bahasa walaupun akad hibah ijab dan qabul telah sempurna, akan tetapi jika penerima belum menerima hibah tersebut maka ia masih lagi belum berpindah hak milik. Justeru itu, pemberi boleh menarik balik hibah tersebut selagi mana hibah tersebut tidak sampai ke tangan penerima. Ini berdasarkan Hadith,

لَمَّا تزَوَّجَ رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم أُمُّ سَلَمَةِ قَالَ لَهَا: إِنِّي أَهْدَيْتُ إِلِى النَّجَاشِي أَوَاقاً مِنْ مِسْكٍ، وَحُلَّةٌ، وَإِنِّي لاَ أَرَاهُ إِلاَّ قَدْ مَاتَ، وَلاَ أَرَى الَهِدِّيَةَ الَتِّي أَهْدَيْتُ إِلَيْهِ، إِلاَّ سَتَرُدُّ، فَإِذَا رُدَّتْ إِلَيَّ فَهُوَ لَكِ أَمْ لَكُمْ؟ فَكَانَ كَمَا قَالَ هَلَكَ النَّجَاشِي، فَلَمَّا رُدَّتْ إِلَيْهِ الهَدِيَّةُ، أَعْطَى كُلُّ امْرَأَةٍ مِنْ نِسَائِهِ أَوْقِيَّةِ مِنْ ذَلِكَ المِسْكِ، وَأَعْطَى سَائِرَهُ أُمُّ سَلَمَةِ وَأَعْطَاهَا الحُلَّة

Maksudnya: “Ketika Rasulullah Sallahualaihiwasallam mengahwini Ummu Salamah R.Anha. Baginda bersabda kepadanya: "Aku hadiahkan kepada Najashi beberapa auns minyak kasturi dan perhiasan tetapi aku merasakan dia telah meninggal dunia. Aku juga merasakan hadiah yang aku berikan kepadanya ini akan dipulangkan. Apabila hadiah itu dipulangkan kepada aku, ia akan menjadi hak engkau atau hak kamu semua. Seperti mana yang dikatakan tentang kematian Najashi, apabila dikembalikan hadiah itu, maka dihadiahkan kepada semua isteri-isteri baginda Sallahualaihiwasallam minyak wangi itu, dan diberikan baki selebihnya kepada Ummu Salamah, kemuan ia menerima sebelihnya daripada perhiasan " Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (2/188)

Oleh itu, sekiranya akad hibah berkuatkuasa sebelum penerimaannya, maka Nabi Sallahualaihiwasallam tidak akan bersetuju untuk menerimanya semula. Dan Baginda Sallahualaihiwasallam akan menyerahkan kepada waris Najashi kerana ia akan menjadi sebahagian daripada pusaka. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 6/126)

No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...