Wednesday, December 28, 2022

Orang yang mati dalam keadaan kafir tidak akan mendapat ganjaran pahala dari amalan kebaikannya di akhirat.

Orang yang mati dalam keadaan kafir tidak akan mendapat ganjaran pahala dari amalan kebaikannya  di akhirat.


Baik menurut bahasa ertinya elok, patut, teratur, beruntung, berguna, sembuh dan  selamat.


Kebaikan menurut istilah ertinya sifat baik; perbuatan baik dan sifat manusia yang dianggap baik menurut norma dan pandangan umum yang berlaku.


Kebaikan menurut Islam adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah Subhanahuwata'ala di dalam firman-Nya dan juga oleh Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam di dalam sabdanya.


Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,


عَنْ النَّوَّاسِ بْنِ سَمْعَانَ قَالَ سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْبِرِّ وَالْإِثْمِ فَقَالَ الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي نَفْسِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَعْلَمَهُ النَّاسُ


Maksudnya:"Dari An Nawas bin Sam'an ia berkata; Aku bertanya kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam tentang kebaikan dan dosa. Beliau menjawab: "Kebaikan adalah akhlak yang baik, sedangkan dosa adalah sesuatu yang mengganggu dalam dirimu(apa saja yang meragu dalam jiwamu dan kamu tidak ingin orang lain mengetahuinya". Darimi (2670)


Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,


فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْبِرُّ مَا سَكَنَتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَاطْمَأَنَّ إِلَيْهِ الْقَلْبُ وَالْإِثْمُ مَا لَمْ تَسْكُنْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَلَمْ يَطْمَئِنَّ إِلَيْهِ الْقَلْبُ وَإِنْ أَفْتَاكَ الْمُفْتُونَ وَقَالَ لَا تَقْرَبْ لَحْمَ الْحِمَارِ الْأَهْلِيِّ وَلَا ذَا نَابٍ مِنْ السِّبَاعِ


Maksudnya:"Nabi Sallallahu'alaihiwasallam lalu bersabda: "Kebaikan itu adalah sesuatu yang menjadikan jiwa tenang dan hati merasa tenteram. Sedangkan keburukan itu adalah sesuatu yang tidak dapat menjadikan jiwa tenang dan hati yang tenteram, meskipun hasil sebuah fatwa." Beliau melanjutkan: "Dan janganlah kamu memakan daging Himar yang jinak dan jangan pula binatang buas yang bertaring". Riwayat Ahmad(17076). Dhaif.


Allah Subhanahuwata'ala memperincikan terhadap apa yang disebut kebaikan dalam firman-Nya:


لَيْسَ الْبِرَّ أَنْ تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَالْمَلَائِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّائِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَالْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَاهَدُوا وَالصَّابِرِينَ فِي الْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ وَحِينَ الْبَأْسِ أُولَئِكَ الَّذِينَ صَدَقُوا وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ


Maksudnya:"Kebaikan itu bukanlah dengan menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, Hari Kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi, dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan shalat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa". Al-Baqarah Ayat 177.


Kebaikan ada yang bersifat universal, ertinya orang mukmin dan kafir menganggap itu sebagai kebaikan, seperti sifat jujur, berbakti kepada orang tua, membantu orang miskin dan sebagainya.


Kebaikan ada yang bersifat spesifik yang disebut sebagai amal soleh. Amal soleh adalah kebaikan yang sifatnya lebih spesifik menurut pandangan Islam. Ertinya, pelakunya adalah seorang yang beragama Islam, dimana setiap amalan yang dilakukan oleh seseorang yang beragama Islam itu akan diikat dengan syarat keimanan yang benar dan ianya akan dinamakan sebagai amal soleh.


Dari sini boleh difahami bahawa kebaikan yang dilakukan oleh orang kafir tidak disebut sebagai amal soleh, kerana tidak memenuhi syarat iaitu pelakunya mestilah seorang muslim.


Adakah kebaikan orang kafir sia-sia saja?


Amalan kebaikan orang kafir di atas dunia akan dibalas dengan kebaikan di atas dunia juga, ianya adalah sebagai bukti bahawa sifat maha penyayang Allah Subhanahuwata'ala yang kasihkan akan hamba-Nya. Ini berdasarkan hadith Nabi Sallallahu'alaihiwasallam,


عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّهُ حَدَّثَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الْكَافِرَ إِذَا عَمِلَ حَسَنَةً أُطْعِمَ بِهَا طُعْمَةً مِنْ الدُّنْيَا وَأَمَّا الْمُؤْمِنُ فَإِنَّ اللَّهَ يَدَّخِرُ لَهُ حَسَنَاتِهِ فِي الْآخِرَةِ وَيُعْقِبُهُ رِزْقًا فِي الدُّنْيَا عَلَى طَاعَتِهِ


Maksudnya:"Dari Anas bin Malik ia menceritakan dari Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, bila orang kafir mengerjakan suatu kebaikan, dengan kebaikan itu ia diberi sesuap makanan dari dunia(dibalas dengan kebaikan di atas dunia) , sedangkan orang mu`min itu kebaikan-kebaikannya disimpan oleh Allah diakhirat dan ia diberi rezeki di dunia kerana ketaatannya. Muslim(5023)


Berdasarkan hadith di atas kebaikan yang dilakukan oleh orang kafir tidak akan disia-siakan, bahkan kebaikan orang kafir akan dibalas di dunia akan tetapi mereka tidak akan mendapat balasan di akhirat.


Orang kafir tidak mendapat balasan di akhirat, kerana orang kafir itu tidak mengharapkan amalannya agar dibalas di akhirat kelak atau ia mengharapkan balasan tetapi tidak memenuhi syarat untuk dibalas di akhirat, iaitu syarat sebagai seorang yang beragama Islam. Sebagaimana balasan syurga adalah syarat Iman dan amal soleh, firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَبَشِّرِ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ ۖ كُلَّمَا رُزِقُوا مِنْهَا مِنْ ثَمَرَةٍ رِزْقًا ۙ قَالُوا هَٰذَا الَّذِي رُزِقْنَا مِنْ قَبْلُ ۖ وَأُتُوا بِهِ مُتَشَابِهًا ۖ وَلَهُمْ فِيهَا أَزْوَاجٌ مُطَهَّرَةٌ ۖ وَهُمْ فِيهَا خَالِدُونَ


Maksudnya:"Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat baik, bahawa bagi mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Setiap mereka diberi rezeki buah-buahan dalam syurga-syurga itu, mereka mengatakan: "Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu". Mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya". Al-Baqarah ayat 25.


Apa jua amal yang baik yang pernah dilakukan oleh orang-orang yang tidak beriman kepada Allah (orang-orang yang kafir) di dunia dahulu akan terbuang sahaja pada hari kiamat kelak dan tidak dapat memberi sebarang pertolongan disebabkan oleh kekufuran mereka. Allah Subhanahuwata'ala menjadikan amalan baik mereka sia-sia seperti debu yang berterbangan, sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَقَدِمْنَا إِلَىٰ مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَنْثُورًا


Maksudnya:"Dan kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan". Al-Furqan ayat 23.


Imam al-Qurtubi mengatakan dalam tafsirnya bahawa ayat di atas menerangkan keadaan orang kafir di akhirat kelak. Amalan baik orang-orang kafir atau orang bukan Islam di akhirat kelak tidak akan dihitung oleh Allah Subhanahuwata'ala kerana tiada manfaat. Ini kerana mereka hidup dalam keadaan batil dan kafir, maka setiap amalan kebaikan akan menjadi debu, seperti tanah yang asalnya kelihatan namun apabila ditiup debunya bertebangan dan hilang begitu sahaja.

[Lihat Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran: 7/24]


Segala apa amalan serta usaha oleh mereka yang tidak berdasarkan keimanan yang berlandaskan akidah yang sahih dan tidak pula mengikut jalan yang betul benar atau yang mendatangkan keimanan kepada mereka pada hari akhirat kelak adalah suatu amalan dan usaha yang sia-sia dan tidak mendapat apa-apa balasan daripada Allah Subhanahuwata'ala,   


مَثَلُ الَّذِينَ كَفَرُوا بِرَبِّهِمْ ۖ أَعْمَالُهُمْ كَرَمَادٍ اشْتَدَّتْ بِهِ الرِّيحُ فِي يَوْمٍ عَاصِفٍ ۖ لَا يَقْدِرُونَ مِمَّا كَسَبُوا عَلَىٰ شَيْءٍ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الضَّلَالُ الْبَعِيدُ


Maksudnya:"Orang-orang yang kafir kepada Tuhannya, amalan-amalan mereka adalah seperti abu yang ditiup angin dengan keras pada suatu hari yang berangin kencang. Mereka tidak dapat mengambil manfaat sedikitpun dari apa yang telah mereka usahakan (di dunia). Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh". Ibrahim ayat 18.


Orang-orang yang tidak beriman(orang kafir) akan rugi dan hampa di akhirat kelak, kerana amal-amal mereka yang baik yang dapat menolong mereka mereka, tidak dapat menyelamatkan mereka dari azab siksa Allah. Mereka adalah ibarat orang dahaga di padang pasir pada tengahari yang panas terik. Ia melihat riak sinaran panas dari jauh seperti air (fatamorgana) dan setelah ia sampai kesitu hampalah hatinya, kerana tidak didapati sesuatu apa pun.


وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَعْمَالُهُمْ كَسَرَابٍ بِقِيعَةٍ يَحْسَبُهُ الظَّمْآنُ مَاءً حَتَّىٰ إِذَا جَاءَهُ لَمْ يَجِدْهُ شَيْئًا وَوَجَدَ اللَّهَ عِنْدَهُ فَوَفَّاهُ حِسَابَهُ ۗ وَاللَّهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ


Maksudnya:"Dan orang-orang kafir amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu dia tidak mendapatinya sesuatu apapun. Dan didapatinya (ketetapan) Allah disisinya, lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amal dengan cukup dan Allah adalah sangat cepat perhitungan-Nya". An Nur ayat 39.


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


إِنَّ اللهَ لَا يَظْلِمُ مُؤْمِنًا حَسَنَةً، يُعْطَى بِهَا فِي الدُّنْيَا وَيُجْزَى بِهَا فِي الْآخِرَةِ، وَأَمَّا الْكَافِرُ فَيُطْعَمُ بِحَسَنَاتِ مَا عَمِلَ بِهَا لِلَّهِ فِي الدُّنْيَا، حَتَّى إِذَا أَفْضَى إِلَى الْآخِرَةِ، لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَةٌ يُجْزَى بِهَا


Maksudnya:"Bahwasanya Allah Ta'ala tidak menzalimi seorang mukmin atas amalan kebaikan yang dia lakukan, Allah membalas kebaikannya di dunia dan di akhirat. Sedangkan orang kafir Allah memberinya makanan (rezki) di dunia sebagai balasan atas kebaikannya, akan tetapi ketika seorang di akhirat nanti, maka kebaikannya tidak ada nilainya lagi dan dia tidak mendapat balasan apa-apa" . Muslim (2162)


Imam An Nawawi berkata: “Seluruh ulama telah berijma’ (bersepakat) bahawa seorang kafir setelah dia meninggal dunia, dia tidak mendapat pahala di akhirat dan tidak mendapat balasan atas amalan kebaikan yang dia lakukan di dunia.” (Syarah Sahih Muslim, 17/150)


Syeikh Ali Abdul Hamid menjelaskan hadith ini bahawa para ulama bersepakat tentang orang yang mati dalam keadaan kafir tidak akan mendapat ganjaran pahala di akhirat, dan segala amalan kebaikannya di dunia tidak berguna di akhirat kelak. Namun hadith ini juga mengatakan bahawa orang kafir akan diberi rezeki di dunia kerana amalan kebaikan mereka, yang mana amalan itu jika dilakukan oleh orang mu’min maka akan dikira sebagai perkara yang mendekatkan diri kepada Allah Subhanahuwata'ala. Tetapi amalan itu hanya terpakai pada perbuatan kebaikan yang tidak perlu kepada niat untuk menjadikan perbuatan itu sah sebagai ibadah (contohnya solat memerlukan niat) seperti amalan silaturrahim, bersedakah, membantu orang yang susah dan lain-lain.

[Lihat al-Minhaj fi Syarah Sahih Muslim: 1/287]


Dari penjelasan dan dalil-dalil yang dinyatakan, dengan jelas kita mengetahui bahawa balasan perbuatan orang kafir hanya di dunia, dan tidak akan mendapat balasan Allah Ta'ala di akhirat kerana dia tidak mengharap daripada amalannya balasan di akhirat atau amalannya itu tidak ikhlas kerana Allah dan tidak menurut syariat-Nya. Ertinya, orang kafir tidak mungkin masuk syurga kerana amalan kebaikan yang mereka lakukan tidak memenuhi syarat sebagai amal soleh yang memasukkannya ke dalam syurga. Bahkan seorang muslim pun tidak akan mendapat pahala kebaikannya apabila tidak memenuhi syarat ikhlas dan tidak bersesuaian syariat.


Amalan kebaikan dan kebajikan yang dilakukan oleh orang kafir di atas dunia akan dibalas oleh Allah Subhanahuwata'ala dengan kebaikan di atas dunia juga seperti diberi rezeki, kesihatan, kasih sayang sesama manusia dan lain-lain. Tetapi mereka di akhirat kelak tidak akan mendapat apa-apa ganjaran kerana tidak beriman kepada Allah Subhanahuwata'ala dan tidak mengikuti syariat-Nya, malah amalan mereka tidak bermanfaat sama sekali untuk membantu mereka di akhirat kelak.


Wednesday, December 21, 2022

Manusia sebagai hamba

Manusia sebagai hamba

Kata hamba atau عبد bererti; budak atau sahaya. Kata ini berasal dari kalimah عبد- يعبد-عِبادَةً  yang bererti beribadah, hamba sahaya, budak.


Menurut Ibnu Jaraij (L80 H/699 M) di Mekah, makna عبد dalam Al-Qur’an pada surah Az-Zariyat ayat 56,

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

bukan hanya sekadar hamba yang biasanya dikenali masyarakat , melainkan hamba di sini memiliki makna supaya mereka mengenalku yakni mengenal Allah. Apabila manusia telah memahami makna hamba iaitu mengenal Allah, (maka) makrifatullah sepenuh makrifat, pandangan terhadap dunia cerah, memandang hidup ini penuh ketenteraman, kedamaian, segala perilakunya menjadi ibadah, segala amalnya menjadi barakah.


Manusia sebagai hamba, iaitu hamba kepada Allah Maha Pencipta, oleh kerana itu setiap yang dicipta itu pada hakikatnya adalah hamba kepada Allah yang menciptanya.  Firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَاللَّهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ


Maksudnya:"Padahal Allah-lah yang menciptakan kamu dan apa yang kamu perbuat itu". As-Saffat ayat 96


Sebagai hamba, maka manusia tidak mempunyai apa-apa ke atas dirinya, tenaganya dan juga ke atas apa yang dihasilkan olehnya. Kesemuanya itu adalah menjadi hak milik kepada tuannya, iaitu Allah Subhanahuwata'ala. Hidup dan matinya, sembahyangnya dan ibadahnya, nyawa dan hartanya, anak dan isterinya adalah hak kepunyaan Allah, yang sewajibnya diperlakukan untuk Allah dan kerana Allah.


Segala makhluk ciptaan Allah di langit dan di bumi adalah sebagai hamba yang dijadikan dan pada hakikatnya menyerah kepada-Nya. Firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَلِلَّهِ يَسْجُدُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَظِلَالُهُمْ بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ ۩


Maksudnya:"Hanya kepada Allah-lah sujud (tunduk patuh) segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan kemahuan sendiri ataupun terpaksa (dan sujud pula) bayang-bayangnya di waktu pagi dan petang hari". Al-Ra'd ayat 15


Menurut Ibnu Katsir:"Kerana itu, segala sesuatu sujud (tunduk) kepada-Nya baik secara suka rela iaitu dari orang-orang mukmin, mahupun terpaksa seperti orang-orang kafir.

وَظِلَالُهُمْ بِالْغُدُوِّ (Dan sujud pula bayang-bayang mereka di waktu pagi) pagi hari. وَالْآصَالِ (Dan petang hari), آصَالِ jamak dari perkataan أصيل  ertinya petang hari". Lihat Tafsir Ibnu Katsir


Manusia yang menepati hakikat sebagai hamba, maka sudah pastilah mesti tunduk patuh, taat setia, mengikut dan menurut perintah Allah Maha Pencipta.  Maka alangkah lebih layak dan berhak manusia itu, sebagai sifatnya hamba Allah yang istimewa itu sujud dan menyerah diri kepada Allah, itulah intipati atau saripati Islam sebagai Agama Allah.


إِنِّي وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا ۖ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ


Maksudnya:"Sesungguhnya aku menghadapkan mukaku(diriku) kepada Rabb yang menciptakan langit dan bumi, dengan cenderung kepada agama yang benar(aku tetap di atas dasar Tauhid Mengesakan Allah), dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan". Al-An’am ayat  79.


Sesungguhnya hakikat tujuan manusia dijadikan dan juga kewajipan utama pada hari pertama mereka diberi hak tinggal di bumi ini adalah mesti patuh mengabdikan diri kepada Allah dengan mesti berpandukan kepada panduan dari Allah. Firman Allah dalam surah Az-Dzariyat ayat  56.

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْاِنْسَ اِلَّا لِيَعْبُدُوْنِ


Maksudnya:“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku”.


Allah Subhanahuwata'ala juga telah memberi amaran yang tegas dan nyata supaya mereka jangan sekali-kali mengabdikan diri kepada syaitan, sebaliknya mereka mestilah mengabdikan diri kepada Allah sahaja.Allah Subhanahuwata'ala berfirman,


أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آدَمَ أَنْ لَا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ ۖ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ. وَأَنِ اعْبُدُونِي ۚ هَٰذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ


Maksudnya:"Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu hai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu, dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus". Yasin ayat 60-61.


Ayat surah Az-Dzariyat ayat  56 sangat jelas menyebutkan kedudukan manusia dalam sistem penciptaannya adalah sebagai hamba yang menyembah Allah. kedudukan ini berhubungan dengan hak dan kewajiban sebagai hamba di hadapan Allah sebagai penciptanya. Jadi tujuan penciptaan manusia adalah menyembah kepada Allah Subhanahuwata'ala dengan menjalankan perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Penyembahan manusia kepada Allah mencerminkan bahawa manusia sangat memerlukan segala sesuatu dalam aspek kehidupan dengan aturan yang baik dan adil, kerana Allah menciptakan manusia sebagai makhluk yang sangat sempurna, mampu menggunakan potensi yang dimilikinya dengan baik, iaitu dengan merealisasikan potensi iman kepada Allah, menguasai berbagai disiplin ilmu pengetahuan, dan melakukan aktiviti amal soleh sebagai hamba Allah.


Tanggungjawab manusia yang utama terhadap Allah Subhanahuwata'ala ialah melaksanakan ibadah dengan mengabdikan diri secara tulus ikhlas kepada-Nya. Oleh kerana tujuan itulah, maka Allah Subhanahuwata'ala mengutuskan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul dengan  membawa risalah yang sama, iaitu menyampaikan seruan agar seluruh manusia mengabdikan diri hanya kepada Allah Subhanahuwata'ala dan menjauhi thagut. Allah Subhanahuwata'ala telah berfirman dalam Surah al-Nahl ayat 36,


وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ ۖ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلَالَةُ ۚ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ


Maksudnya:"Dan sungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): "Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu", maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu dimuka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul)".


Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,


عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ قَالَ:قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَتَدْرِي مَا حَقُّ اللَّهِ عَلَى الْعِبَادِ قُلْتُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ فَإِنَّ حَقَّهُ عَلَيْهِمْ أَنْ يَعْبُدُوهُ وَلَا يُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا قَالَ أَتَدْرِي مَا حَقُّهُمْ عَلَيْهِ إِذَا فَعَلَوْا ذَلِكَ قُلْتُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ أَنْ لَا يُعَذِّبَهُمْ


Maksudnya:"Mu'adz bin Jabal dia berkata; Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Apakah kamu mengetahui apa hak Allah terhadap hamba-Nya? ' Saya menjawab; 'Allah dan rasulNya lebih mengetahui.' Beliau bersabda: "Hak Allah atas mereka adalah agar mereka menyembah-Nya, dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun." Beliau bertanya; "Apakah hak mereka atas Allah apabila mereka telah melakukan hal tersebut? ' Aku menjawab; Allah dan RasulNya lebih tahu. Beliau bersabda: "Agar Allah tidak mengazab mereka". Tirmizi (2567)


Skop ibadah dalam Islam adalah cukup luas, merangkumi segenap aspek kehidupan, malah semua amalan yang dilakukan sama ada amalan anggota, perkataan dan hati akan dikira ibadah selama mana ia menepati syarat-syarat yang ditentukan. Ulama Islam telah membahagikan ibadah keadaan dua, iaitu ibadah umum dan ibadah khusus. 


Dua keadaan ibadah:


1-Ibadah Umum.

ibadah umum yang merupakan pengabdian diri secara tidak langsung kepada Allah Subhanahuwata'ala melalui urusan kehidupan dunia yang menyangkut hubungan sesama manusia dan makhluk-makhluk Allah Subhanahuwata'ala yang lain yang berlandaskan akidah dan syariat Islam.

Pendek kata semua amalan yang dilakukan dikira sebagai ibadah asalkan ia menepati syarat-syarat yang ditentukan, antaranya:

• Pekerjaan atau perbuatan itu mestilah diniatkan ikhlas kerana Allah Subhanahuwata'ala semata-mata. Perbuatan yang dilakukan kerana riya’ atau mempunyai muslihat yang tertentu tidaklah dikira sebagai ibadah.

• Amalan yang dilakukan juga mestilah tidak bertentangan dengan syariat Islam. Oleh itu, kerja-kerja yang haram seperti menjual arak, menguruskan kedai-kedai judi atau kelab-kelab malam adalah dilarang dalam Islam.

• Pekerjaan atau amalan yang dilakukan itu tidak menghalang seseorang dari melaksanakan tanggungjawab asasi sebagai seorang Muslim seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya. Dalam hal ini Allah Subhanahuwata'ala telah berfirman dalam Surah al-Nur ayat 37,


رِجَالٌ لَا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ۙ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ


Maksudnya:"laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingati Allah, dan (dari) mendirikan sembahyang, dan (dari) membayarkan zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang.


• Amalan yang dilakukan juga mestilah dilakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Ini bertepatan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi,


وَلَكِنَّ اللهَ يُحِبُّ مِنَ الْعَامِلِ إِذَا عَمِلَ أَنْ يُحْسِنَ


Maksudnya: “Tetapi Allah kasih kepada pekerja (yang melakukan sesuatu amalan) yang apabila dia melakukan sesuatu amalan hendaklah melakukannya dengan baik.” [Lihat: Sunan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman, no. Hadith 4932]


2-Ibadah Khusus:

Ibadah khusus yang juga dikenali sebagai ibadah yang formal adalah ibadah yang mana struktur, sistem dan peraturan-peraturannya telah ditentukan oleh syariat Islam secara lengkap dan terperinci. Bentuk dan cara perlaksanaannya tidak boleh direka-reka atau dilakukan mengikut kehendak sendiri, malah ia mestilah menepati syarat-syarat sahnya sesuatu ibadah itu. Umpamanya ibadah solat, puasa, zakat dan haji yang mempunyai syarat-syarat sahnya dan perkara-perkara yang membatalkannya yang tersendiri.


Sebagai kesimpulan, setiap manusia selaku makhluk Allah Subhanuwata'a yang kerdil di muka bumi ini mempunyai tanggungjawab sebagai hamba Allah yang mesti ditunaikan untuk memperolehi kedamaian hidup, dunia dan akhirat. Walau di mana mereka tinggal dan di zaman bila mereka hidup, mereka tidak boleh lari dari tanggungjawab tersebut.


Wednesday, December 14, 2022

Akhlak yang baik adalah kebajikan

Akhlak yang baik adalah kebajikan

Akhlak dari segi bahasa diertikan sebagai perangai, tabiat, budi pekerti dan sifat seseorang.


Dari segi istilah Imam al-Ghazali menyebutkan bahawa akhlak adalah suatu sifat baik yang biasanya akan memiliki akhlak yang baik juga dan sebaliknya jika seseorang yang memiliki sifat tidak baik cenderung memiliki akhlak yang tercela.


Kata akhlak juga disebutkan dalam firman Allah Subhanahuwata'ala,


إِنَّا أَخْلَصْنَاهُمْ بِخَالِصَةٍ ذِكْرَى الدَّارِ


Maksudnya:"Sesungguhnya Kami telah mensucikan mereka dengan (menganugerahkan kepada mereka) akhlak yang tinggi iaitu selalu mengingatkan (manusia) kepada negeri akhirat". Sad Ayat 46.


Kebajikan atau اَلْبِرُّ membawa erti الطاعة والصدق (ketaatan dan kejujuran).


Imam Ibnu Hajar al-Haitami  berkata, “اَلْبِرُّ adalah satu kata yang mencakupi setiap perbuatan baik dan perkara-perkara kebajikan, dan ini adalah pengertian yang mencakupi keseluruhannya".


Akhlak baik merupakan kunci kepada segala kebajikan atau kebaikan, malah ianya penting dalam membina kehidupan beragama, bermasyarakat dan bernegara. Oleh yang demikian, akhlak yang terpuji hendaklah ada dalam diri setiap individu dalam setiap masa dan keadaan. Memperbaiki diri dengan akhlak mulia adalah dituntut dalam Islam. Sesiapa yang ingin dihormati serta disegani, hidup bahagia dan sempurna hendaklah mempunyai akhlak yang mulia.


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:"...الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ…".


Maksudnya:"...Kebajikan adalah akhlak yang baik…"


Hadith yang lengkap berbunyi, Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,


عَنْ النَّوَّاسِ بْنِ سِمْعَانَ الْأَنْصَارِيِّ قَالَ سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْبِرِّ وَالْإِثْمِ فَقَالَ الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي صَدْرِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ


Maksudnya":Dari al-Nawwas bin Sam'an Al Anshari,dia berkata; "Aku pernah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam tentang erti kebajikan dan dosa. Sabda beliau: "Kebajikan itu ialah akhlak(budi pekerti) yang baik. Sedangkan dosa ialah perbuatan atau tindakan yang menyesakkan dada(membuat bimbang/ragu hatimu), dan engkau sendiri benci jika perbuatanmu itu diketahui orang lain".  Riwayat Muslim(4632)


Hadith ini menegaskan tentang kedudukan akhlak yang baik, sebab itu adalah kebajikan.Sekaligus galakan kepada kita untuk membina diri  agar dapat menggapai حـسـن الـخُلُق (akhlak yang baik).


Akhlak baik adalah kebajikan yang mencakupi semua perbuatan  yang keadaannya menjadikan akhlak itu disifati terpuji, baik antara seorang hamba dengan Tuhannya atau antara seorang hamba dengan saudaranya yang muslim atau antara dia dengan manusia secara umum, iaitu muslim dan kafir. Atau sesuatu yang membuat jiwa tenang kepadanya sebagaimana dalam hadith. 


Pada hadith ini, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam menerangkan tentang ciri-ciri perbuatan yang disebut   اَلْبِرُّ (kebajikan), iaitu melakukan akhlak yang baik dan perbuatan itu membuat hati dan jiwa menjadi tenteram.

Jiwa akan merasa tenang kepada perbuatan-perbuatan dan perkataan-perkataan yang baik samaada dalam akhlak atau selainnya.


Akhlak yang baik merupakan perkara kebajikan yang paling besar atau paling agung. Ini sama seperti sabda Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam :


اَلْـحَجُّ عَرَفَةُ


Maksudnya:"Haji itu (wukuf) di ‘Arafah". Tirmizi(2975)


Maksudnya, wukuf di ‘Arafah itu adalah rukun haji yang paling besar dan haji tidak sah tanpa mengerjakannya.


Al-Hafizh Ibnu Rajab rahimahullah berkata, “Boleh jadi, jawapan Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam di hadith an-Nawwas bin Sam’an  itu mencakupi seluruh perbuatan tersebut, kerana terkadang yang dimaksudkan dengan akhlak yang baik itu ialah berakhlak dengan akhlak syari’at dan beradab kepada Allah 'Azza wa Jalla sebagaimana yang Allah 'Azza wa Jalla ajarkan kepada para hamba-Nya dalam al-Qur`an, seperti difirmankan 'Allah Azza wa Jalla tentang Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam :


وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ


Maksudnya:“Dan sesungguhnya engkau benar-benar berbudi pekerti yang luhur".  Al-Qalam ayat 4


‘Aisyah Radhiyallahu anhuma berkata:


كَانَ خُلُقُهُ الْقُرْآنُ


Maksudnya:"Akhlak Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam adalah al-Qur`an". Muslim(746)


Maksudnya, Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam berakhlak dengan akhlak al-Qur`an kemudian mengerjakan apa saja yang diperintahkan al-Qur`an dan menjauhi apa saja yang dilarangnya. Jadi, mengamalkan al-Qur`an itu adalah akhlak layaknya watak yang tidak terpisahkan. Ini termasuk akhlak yang paling mulia dan paling indah. Ada yang mengatakan bahawa agama seluruhnya adalah akhlak".Jami’ul ‘Ulum wal Hikam II/99.


Imam Ibnul Mubarak rahimahullah berkata tentang akhlak yang mulia,


هُوَ بَسْطُ الْوَجْهِ ، وَبَذْلُ الْـمَعْرُوْفِ ، وَكَفُّ اْلأَذَى


Maksudnya:"Iaitu wajah yang berseri, berbuat kebaikan, dan menahan diri dari mengganggu orang lain". Tirmizi(205)


Akhlak yang baik merupakan sebab yang menghantarkan seseorang ke syurga dan faktor utama timbangan kebaikan seorang hamba.


Dalam sebuah hadith disebutkan,


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَكْثَرِ مَا يُدْخِلُ النَّاسَ الْجَنَّةَ فَقَالَ تَقْوَى اللَّهِ وَحُسْنُ الْخُلُقِ


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam ditanya tentang hal apa yang menyebabkan paling banyak manusia masuk ke syurga, maka beliau menjawab: “Taqwa kepada Allah, dan akhlaq yang baik". Al-Tirmidzi (2004)


Dalam Islam, akhlak dijabarkan dalam beberapa ruang lingkup iaitu:


1. Akhlak terhadap Allah Subhanahuwata'ala.

Manusia diberikan kesempurnaan dan kelebihan dibandingkan dengan makhluk yang lain. Manusia juga diberikan akal untuk berpikir, perasaan dan nafsu. Sehingga sudah seharusnya kita memiliki akhlak yang baik terhadap Allah Subhanahuwata'ala.


Sesuai dengan firman Allah,


وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ اللَّهَ لَغَفُورٌ رَحِيمٌ


Maksudnya:"Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tudak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". Al-Nahl ayat 18.


Adapun kewajipan manusia terhadap Allah pada garis besarnya ada dua iaitu mentauhidkan-Nya dan beribadah kepada-Nya. Dua hal ini juga menjadi kewajipan manusia kepada Allah yang tertuang dalam firman:


إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَٰئِكَ هُمْ خَيْرُ الْبَرِيَّةِ


Maksudnya:"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk." Al-Bayyinah ayat 7.


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah,


إِنَّ مِنْ أَحَبِّكُمْ إِلَيَّ وَأَقْرَبِكُمْ مِنِّي مَجْلِسًا يَوْمَ القِيَامَةِ أَحَاسِنَكُمْ أَخْلَاقًا


Maksudnya: "Sesungguhnya yang paling aku cintai di antara kalian dan paling dekat tempat duduknya denganku pada hari kiamat adalah mereka yang paling bagus akhlaknya di antara kalian". Al-Tirmidzi (1941). 


2. Akhlak sebagai Orang Tua

Tentu anak menjadi amanah yang dititipkan oleh Allah Subhanahuwata'ala kepada orang tuanya. Kewajipan kita sebagai orang tua adalah memberi nama yang baik, menyembelih haiwan aqiqah hari ketujuh dari kelahirannya, mengkhitankannya, memberi kasih sayang, memberi nafkah, memberikan pendidikan terutama yang berhubungan dengan agama dan menikahkannya dengan pasangan yang baik setelah dewasa.


3. Akhlak terhadap Sesama Manusia

Islam mengajarkan agar manusia selalu memelihara dan mengembangkan hubungan baik antara sesama manusia termasuk dengan tetangga. Kewajipan ini dinilai penting kerana dapat mempengarui kualiti keimanan seseorang. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالَّذِي يَشْبَعُ وَجَارُهُ جَائِعٌ


Maksudnya:"Tidak termasuk orang yang beriman, orang yang kenyang sementara jiran tetangganya kelaparan". Al-Tabarani (12579)⁣


Sebagai umat Islam hendaklah kita mengamalkan segala perintah Allah Subhanahuwata'ala dan menjauhi segala larangan-Nya. Kita hendaklah berusaha memperbaiki diri kearah kebaikan dan meningkatkan pengabdian diri kepada Allah Subhanahuwata'ala, Jika sebelum ini kita masih sering melakukan pelbagai kekurangan, maka marilah kita berusaha memajukan diri ke arah kesempurnaan dan berpegang teguh dengan ajaran Islam.

Thursday, December 8, 2022

Takwa sebaik-baik bekal

Takwa sebaik-baik bekal

Dunia ini adalah tempat persinggahan sahaja. Suatu saat yang telah ditetapkan pada azali, kita akan pulang kembali kepada Sang Pemilik, iaitu Allah Subhanahuwata'ala,


وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ


Maksudnya:"Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat (pula) memajukannya". Al-A’raf Ayat 34


Tabiat orang yang melakukan perjalanan adalah membawa bekal. Hal ini juga termasuk dalam bahagian dari syariat. 


Kisah beberapa orang penduduk Yaman yang pergi menunaikan haji tanpa membawa bekal, sehingga mereka menjadi beban kepada orang lain. Mereka mendakwa bahawa mereka bertawakkal kepada Allah. Setelah kejadian itu, Allah menurunkan firman-Nya,


….وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ ۚ وَاتَّقُونِ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ


Maksudnya:"Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal". Al-Baqarah ayat 197.

Lihat Tafsir Jalalyn


Sebagaimana perjalanan ke Baitullah memerlukan bekal, begitu juga perjalanan menuju akhirat untuk bertemu Allah pun memerlukan bekal. Bekalannya pun mestilah bersesuaian dengan perjalanan yang akan ditempuh.


Perjalanan dunia memerlukan bekal fisik kerana tubuh kita memerlukan sejumlah protein. Perjalanan akhirat pula tidak memerlukan makanan ataupun harta, tetapi bekal non-materil atau pahalalah yang paling diperlukan.


Allah Subhanahuwata'ala memberikan tuntunan tentang bekal terbaik dari apa yang mesti disiapkan oleh seorang mukmin sebelum menuju perjalanan akhirat. Dia berfirman,     فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ 

“Sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa”.


Maksud takwa:


Sayidina Ali RA berkata: “Takwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan. Redha dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan”.


Abdullah bin Mas’ud R.A mengatakan: “Takwa adalah kamu sentiasa mengingati Allah Subhanahuwata'ala dan tidak melupakannya, dipatuhi dan tidak diderhakai, disyukuri dan tidak diingkari”.


Abu Bakar Muhammad al-Rauzabari Rahimahullah berkata: “Takwa ialah menjauhi apa yang menjauhimu daripada Tuhan”.


Talaq bin Habib Rahimahullah berkata: “Takwa ialah amalan dengan dengan ketaatan kepada Allah Subhanahuwata'ala”.


Ibn Ataillah Rahimahullah berkata: “Takwa terbahagi kepada dua, iaitu zahir dan batin. Zahirya ialah dengan menjaga had dan batasan serta batinnya pula dengan niat dan ikhlas”.


Berdasarkan takrif di atas, dapat disimpulkan bahawa takwa boleh menjadikan seseorang melakukan amar ma’ruf dan nahi munkar, di samping taqarrub kepada Allah dengan amalan sunat. 


Allah Subhanahuwata'ala berfirman,


 هُوَ أَهْلُ التَّقْوَىٰ وَأَهْلُ الْمَغْفِرَةِ…


Maksudnya:"…Dialah (Allah) yang patut (kita)  bertakwa kepada-Nya dan Dia-lah yang berhak memberi ampunan”. Al-Muddatstsir ayat 56.


Potensi dan signal yang mengajak untuk menyembah Allah disebut takwa. Takwa dibangunkan dengan enam simpulan, iaitu enam dasar iman. Untuk memaksimalkan takwa dalam diri, iman mestilah dinaikkan dengan cara memperbanyak amal soleh.


Semakin banyak ibadah yang dikerjakan, maka semakin kuatlah simpulan iman, dan semakin bertakwa pula orang tersebut di sisi Allah Subhanahuwata'ala.


Takwa adalah unsur atau intipati   asas bagi hidup dan di dalam jiwa ada potensi kebaikan yang disebut takwa. Allah berfirman,


وَنَفْسٍ وَّمَا سَوّٰىهَاۖ فَاَلْهَمَهَا فُجُوْرَهَا وَتَقْوٰىهَاۖ


Maksudnya:"Dan demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan)-nya. Lalu Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaannya".  Asy-Syams ayat 7-8.


Menjaga ketakwaan sangat penting kerana takwa adalah bekal terbaik bagi setiap hamba, baik kehidupan dunia mahupun kehidupan akhirat. Dengan takwa, semua masalah akan menemukan jalan penyelesaiannya, dengan takwa ilmu akan terserap dengan mudahnya, dan dengan takwa keberuntungan akan sentiasa mengiringi hingga kehidupan akhirat nanti. Allah Subhanahuwata'ala telah menyampaikan hal-hal ini dalam firman-firman-Nya.


Dengan takwa, semua masalah akan menemukan jalan penyelesaiannya, 


وَمَنْ يَّتَّقِ اللّٰهَ يَجْعَلْ لَّهٗ مَخْرَجًا ۙ….


Maksudnya:".....Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar".  Ath-Thalaq ayat 2.


Dengan takwa dibukakannya keberkatan dari langit dan bumi bagi orang yang bertakwa iaitu Surah al-A’raf ayat 96,


وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ


Maksudnya:"Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya".


Dengan takwa ilmu akan terserap dengan mudahnya,


…وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ ۗ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ


Maksudnya:"...Dan bertakwalah kepada Allah; Allah mengajarmu; dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.". Al-Baqarah ayat 282.


Dengan takwa keberuntungan akan sentiasa mengiringi hingga kehidupan akhirat nanti,

وَاتَّقُوا اللّٰهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ…


Maksudnya:"..Bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung". Al-Baqarah ayat 189.


Dengan takwa adalah sebagai sebab seorang hamba dicintai oleh Allah iaitu Surah Ali Imran ayat 76,


بَلَىٰ مَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ وَاتَّقَىٰ فَإِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَّقِينَ


Maksudnya:"(Bukan demikian), sebenarnya siapa yang menepati janji (yang dibuat)nya dan bertakwa, maka sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertakwa.


Allah Subhanahuwata’ala juga bersama dengan orang-orang yang bertakwa iaitu Surah an-Nahl ayat 128, 


إِنَّ اللَّهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوْا وَالَّذِينَ هُمْ مُحْسِنُونَ


Maksudnya:"Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan".


Syurga pula diwariskan kepada orang-orang yang bertakwa iaitu Surah Maryam ayat 63,


تِلْكَ الْجَنَّةُ الَّتِي نُورِثُ مِنْ عِبَادِنَا مَنْ كَانَ تَقِيًّا


Maksudnya:"Itulah syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertakwa".


Allah Subhanahuwata'ala menyediakan kesudahan yang baik di dunia dan akhirat adalah bagi orang-orang yang bertakwa iaitu Surah al-’raf ayat 128. 


قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ اسْتَعِينُوا بِاللَّهِ وَاصْبِرُوا ۖ إِنَّ الْأَرْضَ لِلَّهِ يُورِثُهَا مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ ۖ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ


Maksudnya:"Musa berkata kepada kaumnya: "Mohonlah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah; sesungguhnya bumi (ini) kepunyaan Allah; dipusakakan-Nya kepada siapa yang dihendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa".


Kepentingan takwa amat jelas apabila dinyatakan bahawa manusia yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa.


يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ


Maksudnya:"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal". Al-Hujurat ayat 13


Justeru itu, takwa adalah menjadi bekal terbaik bagi seorang hamba, baik selama masa bermusafir di alam dunia, mahupun saat berpulang nanti ke alam akhirat. Bekal takwa tidak hanya untuk orang yang sedang berhaji, tapi juga untuk kita yang sedang menunggu undangan untuk datang ke syurga-Nya.


Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...