Tuesday, February 25, 2020

Beradablah dan hormatilah guru yang mengajarmu nescaya ilmumu akan berkat.

Beradablah dan hormatilah guru yang mengajarmu nescaya ilmumu akan berkat.

Firrman Allah Subhanahuwata'ala,:

ٱلرَّحۡمَٰنُ ١  عَلَّمَ ٱلۡقُرۡءَانَ ٢  خَلَقَ ٱلۡإِنسَٰنَ ٣ عَلَّمَهُ ٱلۡبَيَانَ

Maksudnya: (Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya.  Dia lah yang telah mengajarkan Al-Quran. Dia lah yang telah menciptakan manusia;  Dia lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan. (Al-Rahman: 1-4)

Al-Imam Ibn Jarir al-Tabari (wafat 310H) Rahimahullah ketika mentafsirkan عَلَّمَهُ الْبَيَانَ   di dalam tafsirnya menyebutkan: “Dan yang paling tepat, diterima pakai (maksudnya) ialah, Allah Subhanahuwata'ala mengajarkan manusia apa yang dihajatkan olehnya daripada urusan agama dan dunia (dalam hal halal dan haram), kehidupan, mantik dan juga mengajar selainnya mengikut apa yang dihajati oleh manusia…”.  [Lihat Tafsir Al-Tabari. Muassasah al-Risalah, 22/8]

Dewasa ini, boleh dikatakan bahawa ramai pelajar yang kurang menghormati guru-guru di sekolah. Perhubungan antara guru dengan pelajar tidak seakrab seperti zaman dahulu. Perkara ini wujud ada banyak kaitannya dengan sikap ibu bapa pelajar itu sendiri. Pada zaman dahulu ibu bapa begitu akrab hubungannya dengan guru-guru. Mereka sentiasa berkirim “salam”. Sekarang di zaman serba moden ini, keadaan seperti ini tidak wujud lagi. Jika dahulu ibu bapa sentiasa menyatakan guru berada di pihak yang benar jika mereka mendenda serta merotan anak-anak mereka. Pada masa sekarang keadaan itu amat jauh berbeza. Sebaliknya guru-guru pula yang disalahkan jika mereka mendenda serta merotan pelajar-pelajarnya. Bagi ibu bapa sekarang, mereka lebih berpihak kepada anak-anak serta menyalahkan guru-guru serta lebih memanjakan anak-anak.

Guru atau pendidik di dalam bahasa arab dinamakan المُعَلِّم. Di dalam Lisan al-‘Arab, perkataan المُعَلِّم berasal daripada العلم atau fe’elnya iaitu (عَلِمَ). Ilmu adalah lawan bagi kejahilan dan orang yang berilmu digelar sebagai ulama’. Menurut kamus dewan, guru bermaksud orang yang mengajar, mendidik atau mengasuh. Pendidik atau guru di dalam Islam ialah sesiapa sahaja yang bertanggungjawab terhadap perkembangan anak didiknya. Dalam Islam juga, orang yang paling utama atau bertanggungjawab dalam mendidik adalah ibubapa. Untuk itu, ibubapa adalah pendidik yang utama dan juga yang pertama dalam diri seorang insan itu. Berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ، أو يُنَصِّرَانِهِ، أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Maksudnya: “Tidaklah dilahirkan seorang anak itu melainkan dia lahir dalam keadaan fitrah. Maka kedua  ibubapanya yang bertanggugjawab meyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 4805]

Kerjaya sebagai guru adalah satu kerjaya yang mulia. Namun sekarang ini, ia seolah-olah dipandang sebagai pilihan kedua. Kedudukan guru yang semakin goyah dalam masyarakat hari ini juga merupakan salah satu penyebabnya. Pada masa dahulu kerjaya sebagai guru adalah satu kerjaya yang amat disanjung oleh masyarakat. Jika ada sebarang majlis dalam sesebuah kampung gurulah yang memainkan peranan utama. Pada masa ini tempat-tempat guru dalam masyarakat biasanya telah diambil alih oleh tokoh-tokoh korporat serta ahli-ahli politik.

Guru berperanan sebagai pembentuk masyarakat berilmu, pemupuk perpaduan, berupaya melahirkan masyarakat berkeyakinan tinggi, mempunyai nilai etika yang kukuh dan mampu bersaing di peringkat global.
Dengan jasa guru jugalah akan lahirnya generasi holistik cemerlang yang mampu memenuhi keperluan kepesatan pembangunan negara dan keperluan global.

Guru juga menggalas tugas berat menghasilkan seorang insan yang cemerlang dari segi ilmu pengetahuan khususnya dalam penerapan nilai agama, sains, teknologi dan ICT, Guru juga mendidik pelajarnya Kemahiran Berfikir Aras Tinggi serta berupaya berkomunikasi secara berkesan dalam pelbagai bahasa dan mempunyai sahsiah yang positif agar dapat menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga dan negara. Guru yang baik juga sentiasa bersedia untuk berubah demi pelajarnya, mereka melaksanakan tugas daripada cara biasa kepada yang luar biasa, berdaya tahan, futuristic dan berfikiran aras tinggi serta world class thinking.

Allah Subhanahuwata'ala telah mengangkat martabat seorang guru dan pendidik yang benar-benar ikhlas menyampai ilmu dengan kedudukan yang tinggi. Kemulian dan kelebihan guru ada di sebut didalam hadith-hadith Rasulullah Sallahualaihiwasallam, diantaranya adalah,

1-Diriwayatkan oleh Abu Darda’ RA, bahawa Nabi Sallahualaihiwasallam bersabda:

وَإِنَّ فَضْلَ العَالِمِ عَلَى العَابِدِ كَفَضْلِ القَمَرِ لَيْلَةَ البَدْرِ عَلَى سَائِرِ الكَوَاكِبِ

Maksudnya: “Sesungguhnya kelebihan orang yang alim dibanding dengan ahli ibadah adalah seperti bulan pada malam purnama atas seluruh bintang-bintang”. [Riwayat Abu Daud, no. Hadith 3157]

2-Diriwayatkan oleh Abu Darda’ RA, bahawa Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:

وَإِنَّ العُلَمَاءَ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ ، وَإِنَّ الأَنْبِيَاءَ ، لَمْ يُوَرِّثوا دِيْنَارًا ، وَلَا دِرْهَمًا ، إِنَّمَا وَرّثوا العِلْمَ ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi. Sungguhpun para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham tetapi mereka telah mewariskan ilmu. Barangsiapa yang mengambil warisan tersebut maka dia telah mengambil bahagian yang banyak.”. [Riwayat Abu Daud, no. Hadith 3157]

3-Diriwayatkan oleh Abu Umamah RA, bahawa Nabi Sallahualaihiwasallam bersabda:

فَضْلُ العَالِمِ عَلَى العَابِدِ كَفَضْلِيْ عَلَى أَدْنَاكُمْ

Maksudnya: “Kelebihan orang yang alim dibanding dengan ahli ibadah adalah seperti kelebihanku atas orang yang paling rendah di antara kamu semua”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 2609]

4-Diriwayatkan oleh Abu Umamah RA, bahawa Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكتَهُ وَأَهْلَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ حَتَّى النَّمْلَةَ فِيْ جُحْرِهَا وَحَتَّى الحُوْتَ لَيُصَلُّوْنَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الخَيْرَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Subhanahuwata'ala, para Malaikat dan semua penduduk di langit dan di bumi, sehinggakan semut di sarangnya dan ikan (di lautan) pasti berselawat (mendoakan) kebaikan bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 2609]

5-Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallahualaihiwasallam bersabda:

أَلاَ إِنَّ الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلاَّ ذِكْرُ اللَّهِ وَمَا وَالاَهُ وَعَالِمٌ أَوْ مُتَعَلِّمٌ

Maksudnya: “Ketahuilah ! sesungguhnya dunia dan segala isinya adalah dilaknat kecuali dengan berzikir kepada Allah Subhanahuwata'ala dan apa yang terlibat dengannya, serta orang yang alim (tahu) atau orang yang belajar”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 2244]

6-Diriwayatkan oleh Muaz bin Anas RA, bahawa Rsulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:

مَنْ عَلَّمَ عِلْمًا فَلَهُ أَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهِ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ العَامِلِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengajarkan sesuatu ilmu maka dia akan mendapat pahala orang yang mengamalkannya tanpa mengurangi pahala orang yang  mengamalkannya sedikitpun”. [Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 236]

Ulama’ Islam di zaman silam amat mementingkan adab dalam menuntut ilmu. Kata al-Imam Abdullah bin al-Mubarak (wafat 181H) Rahimahullah: 

طلبت الأدب ثلاثين سنة، وطلبت العلم عشرين سنة؛ كانوا يطلبون الأدب ثم العلم

"Aku mempelajari adab menuntut ilmu selama 30 tahun, kemudian baru mempelajari ilmu".
(Rujuk Ghoyatul Nihayah fi Tobaqat al-Qira’, 1/446)

Al-Imam Malik (wafat 179H) Rahimahullah pernah berkata: “Ibuku pernah menyuruhku pergi kepada Rabi’ah (salah seorang guru kepada al-Imam Malik) dan mempelajari darinya adab dan kemudian barulah ilmunya”. [Lihat  Abu al-Fadhl al-Qadhi ‘Iyadh. Tartib al-Madarik wa al-Taqrib al-Masalik, 1/130]

Al-Imam al-Ghazali (wafat 505H) di dalam kitabnya, Ihya’ ‘Ulum al-Din ada menukilkan kisah adab dan akhlak Al-Imam Ahmad bin Hanbal (wafat 241H) Rahimahullah terhadap gurunya al-Imam al-Syafi’e (wafat 204H). Diriwayatkan bahawa al-Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah mengatakan: “Tidaklah aku solat semenjak 40 tahun melainkan di dalam solatku, aku mendoakan untuk al-Imam al-Syafi’e semoga Allah Subhanahuwatala merahmatinya”.

Telah berkata Ibnu Abbas radhiyallahu anhu: “Aku merendah diri ketika menuntut ilmu maka aku dimuliakan ketika diminta mengajarkan ilmu”. 
tersebut. 
Ibnu Abbas radhiyallahu anhu juga ada berkata: 

مَكَثْتُ سَنَةً أُرِيدُ أَنْ أَسْأَلَ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ عَنْ آيَةٍ فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَسْأَلَهُ هَيْبَةً لَهُ حَتَّى خَرَجَ حَاجًّا فَخَرَجْتُ مَعَهُ فَلَمَّا رَجَعْنَا وَكُنَّا بِبَعْضِ الطَّرِيقِ عَدَلَ إِلَى الْأَرَاكِ لِحَاجَةٍ لَهُ قَالَ فَوَقَفْتُ لَهُ حَتَّى فَرَغَ ثُمَّ سِرْتُ مَعَهُ فَقُلْتُ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ مَنْ اللَّتَانِ تَظَاهَرَتَا عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ أَزْوَاجِهِ فَقَالَ تِلْكَ حَفْصَةُ وَعَائِشَةُ قَالَ فَقُلْتُ وَاللَّهِ إِنْ كُنْتُ لَأُرِيدُ أَنْ أَسْأَلَكَ عَنْ هَذَا مُنْذُ سَنَةٍ فَمَا أَسْتَطِيعُ هَيْبَةً لَكَ قَالَ فَلَا تَفْعَلْ مَا ظَنَنْتَ أَنَّ عِنْدِي مِنْ عِلْمٍ فَاسْأَلْنِي فَإِنْ كَانَ لِي عِلْمٌ خَبَّرْتُكَ بِهِ 

Aku berdiam (menunggu) setahun lamanya ingin bertanya kepada Umar bin al-Khoththob tentang satu ayat. Aku tidak mampu bertanya kepada beliau karena segan kepadanya. Hingga suatu saat Umar keluar berhaji aku pun keluar bersamanya. Ketika pulangnya, kami berada di suatu jalan, Umar menyingkir menuju pohon Araak untuk suatu keperluannya. Aku pun berdiri menunggu beliau. Ketika beliau sudah selesai, aku pun berjalan bersama beliau. Aku berkata: Wahai Amirul Mukminin, siapakah 2 orang wanita yang saling bekerjasama untuk melakukan hal yang menyusahkan Nabi shollallahu alaihi wasallam dari kalangan istri beliau (yang disebut dalam al-Quran)? Umar berkata: Itu adalah Hafshah dan Aisyah. Ibnu Abbas berkata: Aku berkata: Demi Allah, aku benar-benar ingin bertanya kepada anda tentang ini sejak setahun lalu. Aku tidak mampu bertanya karena segan pada anda. Umar berkata: Janganlah demikian. Jika engkau menyangka aku memiliki ilmu tentang suatu hal, tanyakanlah kepadaku. Jika aku memiliki ilmu tentang itu, aku akan sampaikan padamu (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pernah diceritakan bahawa Imam Syafie sangat menghormati gurunya. Pada suatu hari, sedang beliau memberi kuliah kepada ribuan pelajarnya, masuk seorang badwi yang amat comot serta amat busuk sekali. Melihat sahaja badwi itu masuk, Imam Syafie lantas berhenti daripada memberi kuliah dan mendekati badwi itu serta memeluknya dengan erat. Tergamam anak muridnya melihat perlakuan Imam Syafie itu.

Selesai sahaja memberi kuliah, maka bertanyalah anak muridnya kepada Imam Syafie mengapa beliau memeluk badwi tersebut. Imam Syafie berkata bahawa walaupun badwi itu busuk dan comot, tetapi badwi itu ialah gurunya. Sebab itu dia memeluk badwi tersebut sebagai cara menghormati guru. Terpegun pelajar-pelajarnya apabila diberitahu tentang badwi yang jahil itu menjadi guru Imam Syafie. Padahal as-Syafie hanya belajar daripadanya cara membezakan anjing yang cukup umur dan tidak.

Sebagai penutup,

Tiadalah mana-mana pemimpin yang hebat, ulama’ yang terbilang, pemidato yang handal kecuali mereka memiliki guru yang terkesan pada jiwanya. Melihat akhlaknya, adabnya, ilmunya, cara pemikirannya, mengolah pendapatnya dan mengemukakannya di samping kedalaman ilmu yang wujud pada sang guru tersebut dan menjadikan murid-muridnya terpengaruh dengannya. Elemen-elemen seperti akhlak serta adab yang baik sudah barang tentu mewatakkan muridnya dengan syakhsiah Islamiyyah yang unggul.

Justeru itu, beradab di dalam menuntut ilmu merupakan perihal yang penting bagi mendapat keberkatan ilmu. Tawadu’lah terhadap orang yang mengajarkan ilmu kerana mereka diibaratkan sebagai pahlawan. Maka hargai insan yang bernama guru, kerana dia kamu dimuliakan.

Pepatah arab ada menyebut:
لَوْ لَا مُرَبِّي مَا عَرَفْتُ رَبِّي
Tanpa pendidikku, nescaya takkan ku kenal tuhanku

No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...