Menghayati Kasih Ibu
Islam adalah sebuah agama yang sangat menitik beratkan soal berbuat baik kepada kedua ibubapa. Bahkan amalan birr al-walidayn (berbuat baik kepada kedua ibubapa) merupakan antara ibadah yang paling besar selepas tauhid kepada Allah Subhanahuwata'ala. Ini seperti yang ditunjukkan oleh firman Allah Subhanahuwata'ala,
وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا
Maksudnya: Dan bertauhidlah kamu kepada Allah dan jangan sesekali kamu mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa''. Al-Nisa’ ayat 36.
Justeru, apabila kita melihat kepada konteks ayat di atas, Allah Subhanahuwata'ala meletakkan anjuran dan tuntutan berbuat baik kepada kedua ibubapa sebaik sahaja memerintahkan kepada umat Islam untuk mentauhidkan-Nya serta tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu.
Menghayati Kasih Ibu pula membawa kita merenung dan menghargai betapa besarnya pengorbanan seorang ibu dalam kehidupan kita. Ibu adalah insan mulia. Kedudukannya tiada taranya. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam mengingatkan umatnya bahawa ibu merupakan insan yang mesti dihormati, dimuliakan dan disantuni dengan penuh kebaikan dan kasih sayang. Mulianya ibu bukan sahaja kerana dia yang mengandung, melahir, menyusukan tetapi kerana ketabahan membesarkan, mengasuh dan mendidik anak-anak sehingga menjadi dewasa. Daripada Abu Hurairah radiallahu'anhu katanya:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مَنْ أَحَقُّ النَّاسِ بِحُسْنِ صَحَابَتِي قَالَ أُمُّكَ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ثُمَّ أُمُّكَ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ثُمَّ أُمُّكَ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ثُمَّ أَبُوكَ وَفِي حَدِيثِ قُتَيْبَةَ مَنْ أَحَقُّ بِحُسْنِ صَحَابَتِي وَلَمْ يَذْكُرْ النَّاسَ
Maksudnya:'' Dari Abu Hurairah berkata, "Seorang laki-laki datang kepada Rasulullah ﷺ lalu dia bertanya, "Siapakah orang yang paling berhak dengan kebaktianku?" Jawab Rasulullah ﷺ, "Ibumu!" dia bertanya lagi, "Kemudian siapa?" beliau menjawab, "Ibumu!" dia bertanya lagi, "Kemudian siapa?" beliau menjawab, "Kemudian Ibumu!" dia bertanya lagi, "Kemudian siapa?" dijawab, "Kemudian bapakmu!". Riwayat Muslim (4521)
Imam al-Nawawi menukilkan pendapat para ulama yang menjelaskan sebab-sebab didahulukan seorang ibu dengan kata mereka: ‘’Sebab didahulukan seorang ibu (dalam berbuat baik) adalah kerana banyaknya kepenatan yang ditanggung oleh seorang ibu disebabkan anaknya. Demikian juga kerana sifat kasih dan sayangnya ibu kepada anak, serta berterusannya kepayahan yang ditanggungnya sepanjang proses mengandungkan anak, kemudian melahirkannya, kemudian menyusukannya, kemudian mendidik dan membesarkan anak serta sakit yang ditanggungnya sepanjang proses tersebut’’. Rujuk Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (16/79).
Manakala Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata: ‘’Sebab didahulukan ibu sebanyak tiga kali ada diisyaratkan melalui firman Allah Subhanahuwata'ala,
حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۖ وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا
Maksudnya: Seorang manusia itu, dia telah dikandungkan oleh ibunya dalam keadaan yang penuh kesukaran dan begitu juga dia dilahirkan oleh ibunya dalam keadaan yang penuh kepayahan. Dan kandungan serta susuan (kepada anak) adalah selama tiga puluh bulan''. Al-Ahqaf ayat 15.
Maka didahulukan ibu sebanyak tiga kali adalah disebabkan tiga perkara yang terkhusus dengan seorang ibu iaitu kepenatan dalam mengandungkan bayi, kesukaran dalam proses melahirkan anak, serta ujian yang dihadapi semasa menyusukan bayi’’. Rujuk Mirqaat al-Mafatiih, Mulla Ali al-Qari (7/3079).
Seorang ibu didahulukan dalam proses berbuat baiknya seorang anak itu kepada kedua ibubapanya sebanyak tiga kali ke atas bapanya. Bahkan telah disebutkan ijma’ para ulama seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Haris al-Muhasibi dalam mentafdhilkan (mengutamakan) berbuat baik kepada ibu ke atas bapa disebabkan sarihnya madlul (isi yang ditunjukkan) oleh hadith di atas ini.
Manakalah perkataan حُسْنِ الصُّحْبَةِ di dalam hadith di atas membawa maksud berbuat baik, berlemah lembut, merendahkan diri di hadapan mereka, mengasihi, memuliakan, serta mentaati mereka dalam hal-hal yang makruf. Ini dibuktikan dengan beberapa firman Allah Subhanahuwata'ala antaranya:
وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ
Maksudnya: Dan rendahkanlah kepada kedua ibubapa kamu sayap kehinaan (rendahkan diri kamu) disebabkan perasaan kasih sayang (kepada mereka)''. Al-Isra’ ayat 24.
Seorang ibu mampu membesarkan anak yang ramai, namun ibu yang seorang belum tentu dapat dijaga oleh anak yang ramai. Inilah realiti yang berlaku dalam kehidupan hari ini. Ramainya anak yang menderhaka kepada ibu bapa, jauh sekali untuk berbuat baik kepada kedua-duanya.
Hakikat yang tidak dapat disangkal adalah, berbuat baik dan berbakti kepada kedua ibu bapa bukanlah sesuatu yang ringan dan mudah, bahkan memerlukan pengorbanan yang besar. Oleh sebab itu, Islam menawarkan nilai pahala yang amat besar juga. Berbuat baik kepada ibubapa merupakan ibadah yang tinggi nilai dan kedudukannya.Sehinggakan pada waktu dan keadaan tertentunya berbuat baik kepada ibubapa lebih utama dari keluar berjihad di medan perang. Dalam sebuah hadith Rasulullullah Sallallahu'alaihiwasallam,
أَبَا عَمْرٍو الشَّيْبَانِيَّ يَقُولُ حَدَّثَنَا صَاحِبُ هَذِهِ الدَّارِ وَأَشَارَ إِلَى دَارِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ الصَّلَاةُ عَلَى وَقْتِهَا قَالَ ثُمَّ أَيٌّ قَالَ ثُمَّ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ قَالَ ثُمَّ أَيٌّ قَالَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
Maksudnya:''Abu 'Amru Asy Syaibani berkata, "Pemilik rumah ini menceritakan kepada kami -seraya menunjuk rumah 'Abdullah - ia berkata, "Aku pernah bertanya kepada Nabi ﷺ, "Amal apakah yang paling dicintai oleh Allah?" Beliau menjawab, "Solat pada waktunya." 'Abdullah bertanya lagi, "Kemudian apa lagi?" Beliau menjawab, "Kemudian berbakti kepada kedua orang tua." 'Abdullah bertanya lagi, "Kemudian apa lagi?" Beliau menjawab, "Jihad fi sabilillah".Riwayat Bukhari(496)
Di atas nama berbuat baik kepada ibubapa, maka berbuat baik kepada ibubapa yang tidak beragama Islam juga adalah wajib. Firman Allah subhanahuwata'ala dalam Surah Luqman ayat 15,
وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا ۖ وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ۚ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
Maksudnya:''Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Kuberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.
Imam Ibnu Katsir rahimahullah ketika menafsirkan ayat tadi menjelaskan bahawa jika ibubapa sangat ingin kamu mengikuti agama mereka (bukan Islam), janganlah kamu menerima hal itu daripada mereka, dan jangan biarkan hal itu menghalang kamu daripada berbuat baik kepada mereka di dunia ini.
Beberapa pendekatan berbuat baik kepada ibu adalah:
Pertama : Membahagia dan menggembirakan ibu. Janganlah kita membiarkan ibu dalam keadaan bersedih.
Terdapat satu athar daripada Ibn Umar R.anhuma sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitabnya al-Adab al-Mufrad iaitu daripada Abdullah bin Umar R.anhuma berkata,
بُكَاءُ الْوَالِدَيْنِ مِنَ الْعُقُوقِ وَالْكَبَائِرِ
Maksudnya: “Tangisan ibubapa termasuk di dalam derhaka dan dosa besar”.[Lihat: al-Adab al-Mufrad (31), 1/25]
Walaupun athar ini daripada Ibn Umar R.anhuma dan bukannya daripada Nabi Sallallahu'alaihiwasallam tetapi tangisan ibubapa kita akibat daripada perbuatan tidak baik kita merupakan satu dosa kerana ia termasuk di dalam bab menderhakai ibubapa. Ini kerana, dosa orang yang menderhakai kedua ibubapa akan dipercepatkan oleh Allah Subhanahuwata'ala di dunia lagi.
Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah bersabda:
كُلُّ الذُّنُوبِ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مَا شَاءَ مِنْهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ إِلاَّ عُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُعَجِّلُهُ لِصَاحِبِهِ فِي الْحَيَاةِ قَبْلَ الْمَمَاتِ
Maksudnya: “Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibubapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi''. Riwayat al-Hakim (7263)
Kedua : Hendaklah kita sentiasa melafazkan tutur kata yang baik dan mulia serta lemah lembut sewaktu berbicara dengan ibu.Berdasarkan adab Islam, perkataan yang boleh menyinggung perasaan ibu tidak boleh diungkapkan, apa lagi mencemuh dan mencaci mereka.
Sebagai seorang anak telah menjadi satu kewajipan ke atas diri mereka untuk berlaku ihsan kepada kedua ibubapa mereka. Ini kerana, terdapat banyak dalil sama ada di dalam al-Quran ataupun hadith Nabi Sallallahu'alaihiwasallam menuntut agar sentiasa berlaku ihsan kepada kedua ibubapa. Antaranya,
Firman Allah Subhanahuwata'ala,
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya kamu tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali telah sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah kamu berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah!" dan janganlah kamu menengking mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)''. Al-Isra’ ayat 23
Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata di dalam tafsirnya pada ayat ini, Allah Subhanahuwata'ala mengikat banyak ayat berkaitan dengan ibadah dengan tuntutan berlaku baik atau ihsan kepada kedua ibubapa dengan sebaik-baiknya di dalam pergaulan dengan mereka. Ini kerana, mereka adalah sebab hakiki selepas Allah Subhanahuwata'ala akan kewujudan manusia. Lihat: Tafsir al-Munir, 15/54.
Ketiga : Tunduk dan merendah diri. Seorang anak yang telah berjaya dalam hidupnya dengan mencapai kedudukan, pangkat atau sebagainya janganlah melupakan kasih sayang dan berbakti kepada ibunya. Tanpa jasa mereka tidak mungkin kita akan mencapai segalanya. Oleh itu, lakukanlah segala kebaikan dan kemuliaan terhadap ibu kita. Segala kebaikan dan kemuliaan yang kita lakukan ini tidak akan merendahkan darjat dan kedudukan yang sedia ada.
Seseorang yang sempat bersama atau sempat utntuk berbakti kepada kedua ibubapanya merupakan orang yang sangat bertuah dan beruntung. Ini kerana, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam pernah menyatakan orang yang hina adalah orang yang sempat bersama ibubapanya tetapi kesempatan yang ada itu tidak membolehkan dia untuk dimasukkan ke dalam syurga.
Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ. قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ
Maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga''. Riwayat Muslim (2551)
Keempat : Berdoa kepada ibu. Mendoakan kesejahteraan kepada ibu merupakan tuntutan dalam Islam dan melambangkan kasih sayang seorang anak kepada ibu. Berbuat baik selepas kematian mereka berbuat baik kepada ibu selepas kematian mereka boleh dilaksanakan dengan berdoa dan memohon keampunan, bersedekah di atas nama mereka, menyambung silaturahim dan berbuat baik kepada rakan-rakan serta kenalan mereka.
Kita amat dituntut untuk sentiasa berdoa kepada kedua ibubapa kerana mereka telah banyak berjasa kepada kita dan doa seorang anak kepada kedua ibubapanya merupakan di antara amalan yang tidak akan putus walaupun kedua ibubapanya telah meninggal dunia.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya: “Apabila matinya seorang insan akan terputus amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah Jariyah, ilmu yang bermanfaat buat dirinya dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya''. Riwayat Muslim (1631)
Sebahagian doa tersebut ada disebutkan di dalam beberapa ayat di dalam al-Quran berkaitan kepada kedua ibubapa, antaranya:
رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan''. Ibrahim ayat 41
رَّبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَن دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِنًا وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَلَا تَزِدِ الظَّالِمِينَ إِلَّا تَبَارًا
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dalam keadaan beriman dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (pada setiap zaman) dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan''. Nuh: 28
وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
Maksudnya: “Katakanlah: Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya dengan memelihara dan mendidikku semasa kecil''. al-Isra’ ayat 24
Tersebut di atas adalah di antara ayat-ayat al-Quran yang menceritakan berkaitan lafaz doa kepada kedua ibubapa. Akan tetapi, ia disebutkan di dalam bentuk mufrad (tunggal iaitu untuk seorang).
Sekiranya seseorang itu hanya ingin mendoakan kepada dirinya dan kedua ibubapanya sahaja boleh membaca dengan lafaz ini:
اَللَّهُمَّ اغْفِرْلِيْ ذُنُوْبِيْ وَلِوَالِدِيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِيْ صِغِيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah! ampunilah dosaku dan dosa kedua orang tuaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sejak kecil''.
Kita sebagai anak perlulah memberi perhatian kepada ibu. Bantu dan sokonglah ibu sebaik-baiknya tidak kira dari segi material, fizikal mahupun emosi. Usah biarkan ibu kita berada dalam keadaan sendirian. Patuh dan ikut segala nasihat dan permintaan mereka selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam. Bagi anak-anak yang berjauhan dengan ibu, ziarahilah mereka selalu atau setidak-tidaknya keraplah bertanyakan khabar berita. Jika dirasakan sesuai dan dipersetujui keluarga juga ibu sendiri, apa salahnya untuk membawa mereka menetap bersama-sama supaya boleh dijaga makan minum dan pakainya.
Justeru, kita hendaklah mempergiatkan usaha dan tindakan agar masyarakat umum menghargai segala peranan dan pengorbanan seorang ibu sebagai nadi dalam sesebuah rumahtangga. Marilah sama-sama kita mengutip ladang pahala dengan berbakti kepada ibu kita khasnya dan bapa kita juga.
Sedekahkanlah bacaan surah al-Fatihah jika mereka telah kembali ke rahmatullah. Mudah-mudahan roh mereka ditempatkan bersama-sama orang yang beriman dan beramal soleh.
Marilah kita sama-sama mempertingkatkan amalan berbuat baik kepada kedua ibubapa kita, lebih-lebih lagi kepada seorang ibu yang telah mengandungkan, melahirkan kita ke dunia dengan penuh jerih perih, serta menyusukan kita dengan penuh kesabaran. Marilah kita sentiasa memperbanyakkan bacaan doa:
رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
Maksudnya: Wahai Tuhan, kasihilah keduanya (ibubapa ku) sebagaimana mereka mendidik aku semasa aku kecil.
No comments:
Post a Comment