Thursday, August 31, 2023

Upgrade Iman kita.

Upgrade Iman kita.


Keimanan yang ada pada hati seseorang hamba itu pada hakikatnya boleh bertambah dan boleh berkurang. Pada saat seorang hamba melakukan ketaatan kepada Allah Subhanahuwata’ala, menjalankan perintah Allah Subhanahuwata’ala, menghidupkan sunah Nabi-Nya, serta menjauhkan diri dari perkara yang dilarang dan dibenci Allah Subhanahuwata’ala, maka kadar keimanan di hatinya akan bertambah. Sedangkan ketika ia berbuat kemaksiatan, meninggalkan kewajipan, melanggar aturan-aturan Allah, maka kesemua perkara itu akan mengurangi kadar keimanan di hatinya.


Iman seorang hamba yang menjadi senjata pusakanya sifatnya يَزْدَادُ وَ يَنْقُصُ, kadang bertambah kadang melemah.


Sahabat Abu ad-Darda` Uwaimir al-Anshari Radhiyallahu anhu berkata: 


الإِيْمَانُ يَزْدَادُ وَ يَنْقُصُ 


Maksudnya:"Iman itu bertambah dan berkurang. Diriwayatkan oleh `Abdullâh bin Ahmad dalam kitab As-Sunnah 1/314.


Muhammad bin Idris asy-Syâfi’i rahimahullah menyatakan:


 الإِيْمِانُ قَوْل وَ عَمَلٌ يَزِيْدُ وَ يَنْقُصُ 


Maksudnya:"Iman itu adalah perkataan dan perbuatan, bertambah dan berkurang".Diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam Al-Hilyah 10/115


Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala, 


إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ


Maksudnya:"Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal. Al-Anfal ayat 2.


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


بَادِرُوا بِالأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِى كَافِرًا أَوْ يُمْسِى مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنَ الدُّنْيَا


Maksudnya:“Bersegeralah melakukan amalan soleh sebelum datang fitnah (musibah) seperti potongan malam yang gelap. Iaitu seseorang pada waktu pagi dalam keadaan beriman dan di petang hari dalam keadaan kafir. Ada pula yang petang hari dalam keadaan beriman dan di pagi hari dalam keadaan kafir. Ia menjual agamanya kerana sedikit dari keuntungan dunia”.Riwayat Muslim. 


Maksud dari kafir di sini bukanlah makna kiasan, tetapi makna sebenarnya iaitu lawan dari iman atau tidak beriman lagi dengan agamanya. Al-Qurthubi menjelaskan hal ini, beliau berkata,


ولا إحالة ولا بعد في حمل هذا الحديث على ظاهره، لأن المحن والشدائد إذا توالت على القلوب أفسدتها بغلبتها عليها، وبما تؤثر فيها من القسوة و الغفلة التي هي سبب الشقوة


Maksudnya:“Bukan tidak mungkin untuk memaknai hadith ini dengan makna zahirnya (benar-benar kafir), kerana ujian dan fitnah apabila datang berturut-turut akan merosakkan hati dan mengalahkannya. Akan memberikan pengaruh/kesan berupa kerasnya hati, kelalaian yang merupakan sebab kebinasaan.” [Al-Mufhim 1/326].


Justeru itu,telah berlaku salah faham dan keliru di dalam masyarakat, bila ada orang yang mengatakan “yang penting adalah isi hatinya” dengan meyakini bahawasanya kemaksiatan tidak akan mengurangi dan mempengaruhi keimanannya. Padahal Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ ءَايَٰتُهُۥ زَادَتْهُمْ إِيمَٰنًا


Maksudnya:"...dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal. Al-Anfal ayat 2.


وَيَزْدَادَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِيمَٰنًا


Maksudnya:"Supaya orang yang beriman bertambah imannya". Al-Mudatstsir ayat 31.


هُوَ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ ٱلسَّكِينَةَ فِى قُلُوبِ ٱلْمُؤْمِنِينَ لِيَزْدَادُوٓا۟ إِيمَٰنًا مَّعَ إِيمَٰنِهِمْ


Maksudnya:"Dialah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada)". Al-Fath ayat 4.


Di dalam sebuah hadith, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ بَابًا فَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ وَأَرْفَعُهَا قَوْلُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ »


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, ia berkata bahawa Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda, “Iman itu ada tujuh puluh sekian pintu. Yang paling rendah dari iman adalah menyingkirkan gangguan dari jalan. Yang paling tinggi adalah kalimat laa ilaha illallah". Riwayat Muslim (35) dan Tirmizi (2614)


Seperti yang dinyatakan dalam hadith di atas bahawa iman itu ada yang rendah dan ada yang tinggi, hal ini menunjukkan bahawa iman itu boleh bertambah dan boleh berkurang.


Oleh kerana itu, di dalam kondisi seperti ini seseorang hamba itu perlu memperhatikan hal-hal yang dapat mengembalikan semangatnya dalam ibadah serta menambahkan kadar keimanannya kepada Allah Subhanahuwata’ala.


Berikut ini ada 6 perkara yang akan dapat memperbaiki kualiti keimanan dan ketakwaan kita:


Pertama: 

Mengenali lebih dekat Rabb yang kita sembah.


Perkara ini mesti kita dahulukan dari yang lain dan mesti kita lakukan dengan cara yang benar dan sesuai syariat. Oleh kerana itu, proses mengenal Allah serta takut kepada-Nya hanya dapat dicapai dengan belajar dan menuntut ilmu. Kerana berilmu merupakan kunci dari munculnya rasa takut kepada Allah Subhanahuwata’ala. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ


Maksudnya:"Di antara hamba-hamba Allah yang takut kepada-Nya, hanyalah para ulama". Fatir ayat  28.


Kedua: 

Hidup bersama Al-Qur’an.


Tidak hanya sekadar membaca sahaja, cubalah  mentadaburinya dan menghayati maknanya. Kerana hal ini merupakan salah satu sifat orang mukmin yang diterangkan oleh Allah Subhanahuwata’ala,


وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا


Maksudnya:Dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, bertambah (kuat) imannya".  Al-Anfal ayat 3.


Tadabur menurut bahasa   adalah memikirkan di sebalik sesuatu akibatnya. Ia hampir dengan makna tafakkur. Namun makna tafakkur adalah menggerakkan hati atau memikirkan dalil. Lihat Ta’lim tadabbur al-Quran al-Karim Asalib Amaliyyah wa Marahil Manhajiyyah,(11. Sementara, Ibn Kathir memberi makna tadabbur ialah  memahami makna  lafaz-lafaz  serta  berfikir tentang ayatnya yang  merangkumi  isyarat  peringatan, nasihat sehingga terkesan pada hati seterusnya  mengambil pengajaran  dan taat segala perintahNya. Lihat  Tafsir al-Quran al-Azim (1/8).


Matlamat  al-Qur'an diturunkan bukan sekadar  untuk dibaca bahkan Allah menyeru seluruh hambanya untuk menghayati inti pati  al-Qur'an  sebagaimana firman-Nya:


كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ


Maksudnya: Al-Qur'an ini adalah sebuah kitab yang kami turunkan  kepdamu penuh dengan berkah supaya mereka memerhatikan  ayat-ayat-Nya, dan supaya  mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran". Saad ayat 29.


Imam al-Tabari  menyatakan  makna ayat tersebut ialah tujuan  penurunan  al-Qur'an supaya  umat Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam  mentadabbur makna ayat al-Qur'an  serta beramal dengan segala yang telah disyariatkan-Nya. Lihat al-Jaami’ al-Bayan ‘An Ta’wil Aayi al-Qur'an, al-Thabari ( 20/79)]. Justeru, memahami isi kandungan al-Qur'an untuk diambil pelajaran dan diamalkan di dalam kehidupan.


Seterusnya, terdapat   teguran bagi  orang yang membaca al-Qur'an tetapi tidak berusaha memahami serta menghayati intipati al-Qur'an sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala,


أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا


Maksudnya: (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Qur'an? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?". Muhammad ayat 24.


Berdasarkan ayat tersebut dapat difahami bahawa  mereka yang membaca al-Qur'an tanpa menghayati inti pati al-Qur'an, maka jantung hatinya terkunci mati  untuk mendapat kebenaran kerana tidak mengetahui kandungan al-Qur'an. Ia merupakan suatu kutukan terhadap mereka yang tidak berusaha mencapai kefahaman ketika membaca al-Qur'an. Bahkan, ayat tersebut menunjukkan tuntutan ke atas manusia agar memahami dan menghayati inti pati al-Qur'an. Lihat Tafsir adhwa’ al-Bayan tafsiral-Qur'an bi al-Qur'an (7/458). Disebalik kefahaman ayat tersebut, dapat juga  difahami bahawa sekiranya mereka membaca al-Qur'an dengan  tadabbur, maka  jiwa-jiwanya  mereka akan diberikan kelapangan untuk menerima hidayah serta hikmah daripada Allah Subhanahuwata'ala.


Ketiga: 

Selalu mengingat Allah pada setiap keadaan.


Sentiasa menjadikan lisan kita berzikir kepada Allah Subhanahuwata’ala, meminta ampun kepada-Nya, bertasbih kepada-Nya pada setiap keadaan. Kerana Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


عَنْ أَبِي بُرْدَةَ عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثَلُ الَّذِي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِي لَا يَذْكُرُ رَبَّهُ مَثَلُ الْحَيِّ وَالْمَيِّتِ


Maksudnya:"Dari Abu Burdah dari Abu Musa radliallahu 'anhu dia berkata; Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Perumpamaan orang yang mengingat Rabbnya(berfikir) dengan orang yang tidak mengingat Rabbnya seperti orang yang hidup dengan yang mati". Bukhari (5928) dan Muslim (779).


Keempat: Menyelisihi hawa nafsu dengan cara mendahulukan apa-apa yang dicintai Allah dan Rasul-Nya.


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


عَنْ أَنَسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ بِهِنَّ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ بَعْدَ إِذْ أَنْقَذَهُ اللَّهُ مِنْهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُوقَدَ لَهُ نَارٌ فَيُقْذَفَ فِيهَا


Maksudnya:"Dari Anas bahwasanya Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Tiga perkara yang apabila dilakukan seseorang, maka dia akan dapat merasakan manisnya iman; menjadikan Allah dan rasul-Nya paling dicintai dari pada yang lainnya, tidak mencintai seseorang kecuali karena Allah, dan benci untuk kembali kepada kekafiran sebagaimana dia benci kalau dimasukkan ke dalam neraka". Ahmad(11564)


Kelima: 

Bersemangat di dalam menghadiri majlis ilmu yang mana di dalamnya diperbuatkan untuk mengingat Allah Subhanahuwata’ala.


عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَرَرْتُمْ بِرِيَاضِ الْجَنَّةِ فَارْتَعُوا قَالُوا وَمَا رِيَاضُ الْجَنَّةِ قَالَ حِلَقُ الذِّكْرِ


Maksudnya:"Dari Anas bin Malik sesungguhnya Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Jika kalian melewati taman-taman syurga, nikmatilah", para sahabat bertanya: "Apa yang dimaksud taman-taman syurga?", Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "laitu majlis-majlis zikir (majlis yang digunakan untuk mendalami agama Allah)". Riwayat Ahmad(12065)


Bila belum mampu, maka selektiflah di dalam berteman, pilihlah teman-teman yang soleh, teman yang sentiasa mengingatkanmu akan Allah Subhanahuwata’ala kerana ini merupakan kebiasaan para sahabat. Contoh Mu’az bin Jabal radhiyallahu ‘anhu ketika beliau duduk-duduk dengan salah satu sahabatnya, ia akan berkata, “Duduklah bersama kami untuk (memperbaharui) iman walau hanya sebentar.” Sesungguhnya teman itu sebagaimana yang sering dikatakan adalah “penarik”.


Seorang penyair juga pernah berkata,


عن المرء لا تسأل وسل عن قرينه.. فكل قرين بالمقارن يقتدي


Maksudnya:"Tentang seseorang jangan tanya (siapa dia), tetapi tanyalah siapa temannya. Maka setiap teman akan mengikuti orang yang dia temani".


Memilih teman yang baik adalah sesuatu yang tidak boleh dianggap remeh. Kerana itu, Islam mengajarkan kita agar  tidak salah dalam memilihnya. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda :


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ

قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ


Maksudnya:'Daru Abu Hurairah berkata, Rasulullah ﷺ bersabda, "Seseorang itu akan mengikuti agama temannya, kerananya hendaklah salah seorang diantara kalian mencermati kepada siapa ia berteman". Riwayat Tirmizi (2300).


Allah Subhanahuwata'ala menyuruh Nabi Sallallahu'alaihiwasallam untuk memilih kawan dan begitu juga Nabi Sallallahu'alaihiwasallam menyuruh umatnya agar memilih kawan. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-kahfi ayat 28,


وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ ۖ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَنْ ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا


Maksudnya:"Dan bersabarlah ( jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat) kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan petang hari dengan mengharap keredhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas". Al-Kahfi ayat 28.


Keenam: 

Dan yang terakhir, bersemangatlah di dalam melakukan ketaatan serta menjauhkan diri dari kemaksiatan serta tidak lupa terus-menerus berdoa dan bergantung kepada Allah Subhanahuwata’ala.


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam pernah bersabda,


…قَالَ حُذَيْفَةُ فَأَسْكَتَ الْقَوْمُ فَقُلْتُ أَنَا قَالَ أَنْتَ لِلَّهِ أَبُوكَ قَالَ حُذَيْفَةُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ تُعْرَضُ الْفِتَنُ عَلَى الْقُلُوبِ كَالْحَصِيرِ عُودًا عُودًا فَأَيُّ قَلْبٍ أُشْرِبَهَا نُكِتَ فِيهِ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ وَأَيُّ قَلْبٍ أَنْكَرَهَا نُكِتَ فِيهِ نُكْتَةٌ بَيْضَاءُ حَتَّى تَصِيرَ عَلَى قَلْبَيْنِ عَلَى أَبْيَضَ مِثْلِ الصَّفَا فَلَا تَضُرُّهُ فِتْنَةٌ مَا دَامَتْ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَالْآخَرُ أَسْوَدُ مُرْبَادًّا كَالْكُوزِ مُجَخِّيًا لَا يَعْرِفُ مَعْرُوفًا وَلَا يُنْكِرُ مُنْكَرًا إِلَّا مَا أُشْرِبَ مِنْ هَوَاهُ…


Maksudnya:…Hudzaifah berkata, "Aku mendengar Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda: "Fitnah akan dihamparkan pada hati manusia seperti tikar yang dihamparkan, sehelai demi sehelai. Mana pun hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam. Begitu juga mana pun hati yang tidak dihinggapinya, maka akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehingga hati tersebut terbahagi dua: sebahagian menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada. Sedangkan sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga berkarat, (Akibatnya ia) tidak mengenal yang makruf dan tidak mengingkari yang mungkar, selain yang diserap hawa nafsunya". Riwayat Muslim (207)


Semoga Allah Subhanahuwata’ala senantiasa menjaga keistiqamahan kita di dalam beramal.










Thursday, August 24, 2023

Amalan-amalan tersembunyi.

Amalan-amalan tersembunyi.

Salah satu perkara terbesar yang akan membantu kita teguh di atas kebenaran dan keimanan adalah menjaga hal-hal yang bersifat rahsia dari ibadah yang tersembunyi. Kerana hal-hal tersebut terbukti akan menguatkan keteguhan Iman kita. Amalan tersembunyi adalah ujian tersendiri yang akan dihadapkan pada  kita di hari kiamat nanti. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


يَوْمَ تُبْلَى السَّرَائِرُ


Maksudnya:"Pada hari dinampakkan segala rahsia". At-Thariq ayat 9.


Berkaitan dengan perkara Ini, ada satu doa yang sentiasa diulang-ulang baca oleh Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam. Doa yang selalu beliau rutinkan dan beliau baca di waktu-waktu yang mustajab. Ianya juga sepatutnya menjadi salah satu dari doa yang akan mendapat perhatian khusus dari kita. Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, pelayan Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam menceritakan,


كان رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ يُكثرُ أن يقولَ يا مقلِّبَ القلوبِ ثَبِّتْ قلبِي على دينِك فقلت يا نبيَّ اللهِ آمنَّا بك وبما جئتَ به فهل تخافُ علينا؟ قال نعم إن القلوبَ بينَ إصبعينِ من أصابعِ اللهِ يُقلِّبُها كيفَ يشاءُ


Maksudnya:"Rasulullah ﷺ senantiasa memperbanyak doa, ‘Wahai Zat Yang Membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu.’ Lalu, aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, kami telah beriman kepadamu dan dengan apa yang engkau bawa, apakah engkau mengkhawatirkan kami?’ Beliau bersabda, ‘Iya, sesungguhnya hati itu ada di antara dua jemari dari jari jemari Allah. Dia membolak-balikkan sebagaimana yang Dia kehendaki"  Tirmizi (2140), Ahmad (13696) dan Ibnu Majah (38334).


Jika Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam merasa bimbang  dengan keadaan agama para sahabatnya, maka ketakutan dan kebimbangan kita terhadap ujian agama dalam diri kita itu tentunya lebih besar. Kerana hati sebagaimana namanya dalam bahasa Arab iaitu “Al-Qalbu” yang bermakna mudah dan cepat berubah. Samaada berubah dari keimanan menuju kekafiran atau berubah dari ketaatan menuju kemaksiatan.


Amalan baik yang disembunyikan dan niat yang tulus kerana Allah Subhanahuwata’ala akan menjadikan pahala sesebuah amalan itu menjadi besar meskipun pada  asalnya amalannya tersebut terlihat kecil dan sedikit. Sedangkan niat yang buruk boleh jadi akan membatalkan pahala sesebuah amalan baik yang dilakukan, meskipun amalannya tersebut terlihat besar.


Perbanyaklah amalan-amalan tersembunyi untuk menggapai reda Allah Subhanahuwata’ala. Sahabat Zubair bin Awwam radhiyallahu ‘anhu pernah mengatakan,


مَنِ استطاعَ منكم أنْ يكونَ لَهُ خَبْءٌ [خَبِيءٌ] مِنْ عمَلٍ صالِحٍ فلْيَفْعَلْ


Maksudnya:Siapa saja di antara kalian yang mampu untuk memiliki amal soleh yang tersembunyikan, maka lakukanlah!".


Ibadah yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi atau meninggalkan dosa yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi akan mengangkat darjat seorang hamba, membesarkan nilai pahala dan menghapuskan dosa-dosa. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


اِنَّمَا تُنْذِرُ مَنِ اتَّبَعَ الذِّكْرَ وَخَشِيَ الرَّحْمٰنَ بِالْغَيْبِۚ فَبَشِّرْهُ بِمَغْفِرَةٍ وَّاَجْرٍ كَرِيْمٍ


Maksudnya:"Sesungguhnya engkau hanya memberi peringatan kepada orang-orang yang mahu mengikuti peringatan dan yang takut kepada Tuhan Yang Maha Pengasih, walaupun mereka tidak melihat-Nya. Maka, berilah mereka khabar gembira dengan ampunan dan pahala yang mulia". Yasin ayat 11.


Ibadah yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi akan menguatkan hubungan kita dengan Allah Subhanahuwata’ala. Tidaklah ada seseorang yang mengeluhkan lemahnya hubungan dirinya dengan Allah, kecuali sudah pasti sedikit dirinya di dalam berdua-duaan, berkhalwat, dan bermunajat dengan Allah Subhanahuwata’ala.


Oleh kerana itu, tidak hairanlah bila kekasih hati kita, Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam sentiasa bangun di malam hari, bermunajat dengan Tuhan-Nya, beriktikaf di sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan dengan keadaan kualiti solat yang tidak perlu diragukan dan dipertanyakan lagi bagusnya dan lamanya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


يٰٓاَيُّهَا الْمُزَّمِّلُۙ * قُمِ الَّيْلَ اِلَّا قَلِيْلًاۙ * نِّصْفَهٗٓ اَوِ انْقُصْ مِنْهُ قَلِيْلًاۙ * اَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْاٰنَ تَرْتِيْلًاۗ * اِنَّا سَنُلْقِيْ عَلَيْكَ قَوْلًا ثَقِيْلًا * اِنَّ نَاشِئَةَ الَّيْلِ هِيَ اَشَدُّ وَطْـًٔا وَّاَقْوَمُ قِيْلًاۗ


Maksudnya:"Wahai orang yang berselimut (Muhammad)! Bangunlah (untuk solat) pada malam hari, kecuali sebahagian kecil, (iaitu) separuhnya atau kurang sedikit dari itu, atau lebih dari (seperdua) itu. Dan bacalah Al-Qur’an itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan perkataan yang berat kepadamu. Sungguh, bangun malam itu lebih kuat (mengisi jiwa); dan (bacaan pada waktu itu) lebih berkesan". Az-Zamil ayat 1-6.


Andaikata Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam tidak memperuntukan waktu yang khusus untuk berdua-duaan dengan Rabbnya dan solat di hadapan-Nya, maka beliau tidak akan kuat untuk memikul amanah risalah yang berat ini.


Wahai saudaraku! yang sedang menghadapi kesulitan dalam agamanya, sedang menghadapi kesulitan dalam urusan dunianya, mohonlah pertolongan kepada Tuhanmu, berbisiklah kepada-Nya di malam-malam yang sunyi. Kerana amal ibadah yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi merupakan salah satu sebab terbesar diterimanya doa-doa dan harapanmu. Kerana amalan tersebut akan menjagamu dari riya’ dan pengelihatan manusia.


Sebagaimana syaitan akan menggoda manusia pada ibadah-ibadah yang nampak dengan riya’ atau sum'ah, syaitan juga tidak berputus asa dari amalan-amalan yang tersembunyi. Mereka akan menggoda para pelakunya untuk berlaku ujub, bangga diri dengan amalan tersembunyi yang telah dilakukannya. Terkadang boleh jadi ia akan meremehkan saudara semuslimnya yang lain. Dengan menganggap bahawa amal ibadah tersembunyi yang dilakukannya menjadikannya lebih baik dari mereka semua. Saat engkau sudah dimampukan untuk melakukan amal ibadah tersembunyi ini, maka berhati-hatilah dari perangkap syaitan tersebut.


Berhati-hatilah juga wahai saudaraku, syaitan akan berusaha menggoda mereka yang telah berhasil melakukan amalan secara sembunyi-sembunyi dengan cara membuatnya lalai, membuat lisannya tidak kuat untuk tidak menceritakan hal tersebut kepada orang lain. Amalan yang telah susah payah dilakukannya secara sembunyi-sembunyi itu dengan cepat berubah menjadi amalan yang nampak hanya dengan satu ucapan dari lisannya. Berusahalah sekuat tenaga wahai saudaraku, untuk tidak menceritakan amalan tersembunyi yang telah kita lakukan.


Ketahuilah bahawa selain dari amalan-amalan tersembunyi, ada juga amalan-amalan yang Allah Subhanahuwata’ala ingin untuk dinampakkan. Oleh kerana itu, janganlah terlambat dan janganlah lupakan bahagianmu dari ibadah-ibadah ini, baik itu menghadiri solat berjamaah ataupun menghadiri solat Jumaat.  Sesungguhnya itu bukanlah termasuk dari riya’ atau sum'ah yang diharamkan.


Amalan-amalan tersembunyi adalah penyeimbangan bagi amal ibadah kita yang zahir dan nampak tersebut. Oleh kerana itu, ianya sangat penting sekali untuk kita rutinkan dan kita jaga. 

Muslim bin Yasar rahimahullah, salah seorang dari tabiin dan muhaddith terkemuka pernah mengatakan,


ما تلذَّذ المتلذِّذونَ بمثلِ الخَلْوةِ بمناجاةِ اللهِ عز وجل


Maksudnya:"Tidak ada kenikmatan yang dapat dirasakan oleh seorang penikmat melebihi nikmatnya yang kesendirian untuk bermunajat dengan Allah Azza Wajalla". Lihat Jami’ Al-‘Ulum wa Al-Hikam hal. 36.


Masruq bin Ajda’ rahimahullah juga pernah mengatakan,


إِنَّ الْمَرْءَ لَحَقِيقٌ أَنْ يَكُونَ لَهُ مَجَالِسُ يَخْلُو فِيهَا فَيَذْكُرَ فِيهَا ذُنُوبَهُ فَيَسْتَغْفِرَ مِنْهَا


Maksudnya:"Sesungguhnya wajib bagi seseorang untuk memiliki waktu-waktu di mana dia menyendiri di dalamnya. Waktu-waktu yang ia manfaatkan untuk mengingat dosa-dosanya dan meminta pengampunan untuk itu". Mushannaf Al-Hafidz Ibnu Abi Syaibah (36017)


Semoga Allah Subhanahuwata’ala memberikan taufik-Nya kepada kita untuk boleh menjaga dan merutinkan amal ibadah yang nampak mahupun yang tidak nampak dan tersembunyi.


Ya Allah,  kuatkanlah kami untuk dapat  rutin bangun di sepertiga malam terakhir dan bermunajat kepada-Mu, izinkan hamba-Mu ini untuk memiliki waktu khusus dengan-Mu.


Ya Allah, jauhkan diri kami dari ujud,riya’ dan sum'ah dalam beribadah, kerana ianya pasti akan merosakan keikhlasan kami di dalam beramal.




 

 






 






Wednesday, August 16, 2023

Pengaruh lisan kepada amalan.

Pengaruh lisan kepada amalan.

Lisan atau percakapan akan mempengaruhi pada baik atau buruknya amalan seseorang itu. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلا سَدِيدًا يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا 


Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barang siapa menaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar".Al-Ahzab: ayat 70-71.


Dari ayat di atas, dapat diketahui bahawa bukti ketakwaan adalah dengan mengucapkan perkataan yang benar (lurus). Dan jika perkataan seseorang itu baik dan benar, nescaya Allah akan memperbaiki amalannya dan mengampuni dosa-dosanya. Jika di antara kita masih merasa berat dalam melakukan amal ketaatan, seperti solat tahajud, solat duha, membaca Al-Qur’an, sedekah, dan semisalnya, maka kemungkinan ada kalimat-kalimat yang buruk dan tidak sepatutnya keluar dari lisannya.


Bahkan, dalam sebuah hadith Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam pernah mengkhabarkan bahawa setiap pagi anggota tubuh akan memberi pesan kepada lisan,


إِذَا أَصْبَحَ ابْنُ آدَمَ فَإِنَّ الْأَعْضَاءَ كُلَّهَا تُكَفِّرُ اللِّسَانَ فَتَقُولُ : اتَّقِ اللَّهَ فِينَا فَإِنَّمَا نَحْنُ بِكَ ؛ فَإِنْ اسْتَقَمْتَ اسْتَقَمْنَا ، وَإِنْ اعْوَجَجْتَ اعْوَجَجْنَا


Maksudnya:"Jika manusia berada di waktu pagi, maka semua anggota badannya tunduk pada lisan. Mereka berkata, ‘Wahai lisan, bertakwalah kepada Allah dalam urusan kami. Kerana sesungguhnya kami tergantung pada dirimu. Jika kamu bersikap lurus, maka kami pun akan lurus. Namun, jika engkau menyimpang, maka kami pun akan menyimpang". Riwayat Tirmidzi (2331)


Yahya bin Abi Katsir rahimahullah mengatakan bahawa ada dua sifat, yang apabila anda melihat keduanya ada pada diri seseorang, ketahuilah apa yang di belakang keduanya (amalannya) pasti lebih baik lagi: 

1) Bila dia mampu mengendalikan lisannya; dan 

2) Dia selalu menjaga solatnya. 

Lihat Ash-Shamt, Ibnu Abid Dunya, hal. 264.


Catitan:

Al-Imam Yahya ibn Abi Kathir (w130H),  guru kepada al-Imam al-Awza`ei r.a.


Allah Subhanahuwata’ala telah memerintahkan kita untuk menjaga lisan sebagaimana dalam firman-Nya,


إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ قَعِيدٌ مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ 


Maksudnya:"(Iaitu) ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri. Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya, melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir". Qaf ayat  17-18.


Salaf menafsirkan bahawa malaikat yang sebelah kanan mencatat amal kebajikan dan malaikat yang sebelah kiri mencatat amal keburukan. Lihat Tafsir Al-Qurthubiy, 17: 9.


Abu Darda’ dalam suatu riwayat mengatakan,


تَعَلَّمُوْا الصَّمْتَ كَمَا تَتَعَلَّمُوْنَ الْكَلَامَ


Maksudnya:"Belajarlah untuk diam sebagaimana kalian belajar untuk berbicara".  Diriwayatkan oleh Al-Khara’ithi dalam kitabnya Makarim Al-Akhlaq.


Agama Islam adalah agama yang melarang sikap ekstrim atau berlebihan, salah satunya berlebihan dalam hal berbicara. 


Firman Allah Subhanahuwata’ala,


يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ


Maksudnya:"Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan". Al-A’raf Ayat 31


Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ قَالَهَا ثَلَاثًا


Maksudnya:" Dari Abdullah dia berkata; "RasuluIIah Sallallahu'alaihiwasallam teIah bersabda: 'Celakalah orang-orang yang suka melampaui batas.' (Beliau mengucapkannya tiga kali)". Riwayat Muslim(4823)


Terdapat hadith yang menceritakan berkaitan kebanyakan penghuni neraka adalah orang-orang yang tidak menjaga mulut atau lidahnya ketika hidup di dunia. Antara hadith yang menceritakan berkaitan hal tersebut adalah:


Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam pernah ditanya berkaitan sebab kebanyakan orang dimasukkan ke dalam Syurga. Baginda Sallallahu‘alaihiwasallam menjawab,


تَقْوَى اللَّهِ وَحُسْنُ الخُلُقِ، وَسُئِلَ عَنْ أَكْثَرِ مَا يُدْخِلُ النَّاسَ النَّارَ، فَقَالَ: الفَمُ وَالفَرْجُ


Maksudnya: “Taqwa kepada Allah dan baik akhlaknya.” Lalu Baginda Sallallahu‘alaihiwasallam ditanya lagi berkaitan sebab kebanyakan manusia dimasukkan ke dalam neraka? Baginda Sallallahu‘alaihiwasallam menjawab: “Mulut dan kemaluan". Riwayat al-Tirmizi (2004). [Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan gharib][Imam Ibn Hibban mensahihkan hadith ini di dalam sahihnya]


Syeikh Abdullah al-Talidi berkata di dalam kitabnya ketika mensyarahkan hadith ini, hadith ini membicarakan berkaitan sebab-sebab yang boleh menyebabkan seseorang itu dimasukkan ke dalam Syurga atau Neraka. Adapun berkaitan maksud mulut di dalam hadith adalah orang yang tidak menjaga serta berusaha untuk menjaga daripada dosa-dosa mulut seperti mengucapkan ucapan kufur, laknat, qazaf, mengejek, menipu, mengumpat, mengadu domba, persaksian palsu dan sebagainya. Selain itu, makna kemaluan pula adalah orang yang tidak menjaga kemaluannya daripada zina, liwat, tidak menjaga auratnya di hadapan selain daripada mahramnya seperti isterinya dan sebagainya. [Lihat: Jawahir al-Bihar, 1/170]


Tambahan pula, Syeikh al-Mubarakfuri menyatakan makna mulut di dalam hadith ini ialah menjaga lidahnya kerana menjaga lidah boleh menyelamatkan keseluruhan urusan agamanya dan memakan yang halal kerana itu adalah penghulu kepada ciri ketaqwaan. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 6/120]


Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam juga memberikan ancaman bagi siapa saja yang tidak dapat mengawal lisannya, sebagaimana sabda beliau,


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مَا يَتَبَيَّنُ فِيهَا يَزِلُّ بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مِمَّا بَيْنَ الْمَشْرِقِ


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah dia mendengar Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Sesungguhnya seorang hamba mengucapkan kalimat tanpa diteliti (kesannya) yang kerananya ia terlempar ke neraka sejauh antara jarak ke timur". Riwayat Bukhari(5996)


Sememangnya terdapat pula jaminan syurga bagi mereka yang menjaga lisan dalam sabda beliau yang lain,


عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ يَضْمَنْ لِي مَا بَيْنَ لَحْيَيْهِ وَمَا بَيْنَ رِجْلَيْهِ أَضْمَنْ لَهُ الْجَنَّةَ


Maksudnya:"Dari Sahl bin Sa'd dari Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam beliau bersabda: "Barangsiapa dapat menjamin bagiku sesuatu yang berada di antara janggutnya (mulut) dan di antara kedua kakinya (kemaluan), maka aku akan menjamin baginya syurga".  Riwayat Bukhari(5993)


Al-Bukhari dalam kitab Sahihnya (6475? dan Muslim dalam kitab Sahihnya (74) meriwayatkan hadith dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda.


وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ اْلآخِرِ فَليَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ


Maksudnya:"“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir maka hendaknya dia berkata yang baik atau diam”


Imam Nawawi berkomentar terhadap hadith ini ketika menjelaskan hadith-hadith Arba’in. Beliau menjelaskan, “Imam Syafi’i menjelaskan bahawa maksud hadith ini adalah apabila seseorang hendak berkata, maka hendaklah ia berfikir terlebih dahulu. Jika diperkirakan perkataannya tidak akan membawa mudharat, maka silakan dia berbicara. Akan tetapi, jika diperkirakan perkataannya itu akan membawa mudharat atau ragu apakah membawa mudharat atau tidak, maka hendaknya dia tidak usah berbicara”. 

Sebahagian ulama berkata, “Seandainya kalian yang membelikan kertas untuk para malaikat yang mencatat amal kalian, nescaya kalian akan lebih banyak diam daripada berbicara”.


Semoga kita termasuk orang-orang yang dapat menjaga lisan dan tulisan agar selamat di dunia dan akhirat.  










Wednesday, August 9, 2023

Sangat cepat masa berlalu.

Sangat cepat masa berlalu.

Singkatnya waktu yang kita rasakan merupakan salah satu dari tanda-tanda kecil dekatnya hari kiamat sebagaimana yang pernah Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam katakan,


لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَقَارَبَ الزَّمَانُ فَتَكُونَ السَّنَةُ كَالشَّهْرِ، وَيَكُونَ الشَّهْرُ كَالْجُمُعَةِ، وَتَكُونَ الْجُمُعَةُ كَالْيَوْمِ، وَيَكُونَ الْيَوْمُ كَالسَّاعَةِ، وَتَكُونَ السَّاعَةُ كَاحْتِرَاقِ السَّعَفَةِ


Maksudnya:"Tidak akan terjadi kiamat hingga zaman berdekatan. Setahun bagaikan sebulan. Sebulan bagaikan seminggu. seminggu bagaikan sehari. Sehari bagaikan sejam. Dan sejam bagaikan terbakarnya pelepah pohon kurma". Riwayat Ahmad (10943).


Maka,alangkah bahagianya bagi siapa sahaja yang telah bersegera memperbanyakan ketaatan, berlumba-lumba dalam kebaikan, berusaha mengangkat darjat pahalanya, dan berusaha agar Allah Subhanahuwata’ala mengampuni dosa-dosanya, serta dapat mengambil pelajaran dari setiap perkara yang telah Allah takdirkan. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


يُقَلِّبُ اللّٰهُ الَّيْلَ وَالنَّهَارَۗ اِنَّ فِيْ ذٰلِكَ لَعِبْرَةً لِّاُولِى الْاَبْصَارِ


Maksudnya:"Allah mempergantikan malam dan siang. Sesungguhnya pada yang demikian itu, pasti terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai penglihatan (yang tajam)". An-Nisa’ ayat 44.


Alangkah senangnya bagi siapa saja yang mengisi hari-harinya dengan mengerjakan perintah Allah, memenuhi bulan-bulannya dengan menjawab panggilan solat, dan mengorbankan tahun-tahun kehidupannya di dalam ketaatan kepada Allah Subhanahuwata’ala disertai dengan keikhlasan dan kesedaran bahawa inilah tujuan diciptakannya manusia di bumi ini sebagaimana firman Allah Subhanahuwata’ala,


وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْاِنْسَ اِلَّا لِيَعْبُدُوْنِ


Maksudnya:"Aku tidak menciptakan jin dan manusia, melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku". Az-Zariyat ayat 56.


Dan juga firman-Nya,


وَمَآ اُمِرُوْٓا اِلَّا لِيَعْبُدُوا اللّٰهَ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ ەۙ حُنَفَاۤءَ وَيُقِيْمُوا الصَّلٰوةَ وَيُؤْتُوا الزَّكٰوةَ وَذٰلِكَ دِيْنُ الْقَيِّمَةِۗ


Maksudnya:"Padahal mereka hanya diperintah menyembah Allah dengan ikhlas, menaati-Nya semata-mata karena (menjalankan) agama, dan juga agar melaksanakan solat dan menunaikan zakat. Dan yang demikian itulah agama yang lurus (benar)". Al-Bayyinah ayat  5.


Hak Allah Subhanahuwata’ala ke atas hamba-Nya adalah mengurniakan nikmat yang begitu banyak kepada hamba-Nya. Diantara nikmat yang telah Allah berikan, adalah kesempatan hidup hingga detik ini dalam keadaan yang baik yang sewajibnya disyukuri segala nikmat tersebut serta memuji-Nya di atas segala kemulian-Nya. Kerana rasa syukur menyebabkan bertambahnya kenikmatan dan mencegah dari penderitaan. Alangkah baiknya jika manusia selalu meresapkan dan memateri dengan kuat di dalam hatinya firman Allah Subhanahuwata’ala,


وَاِذْ تَاَذَّنَ رَبُّكُمْ لَىِٕنْ شَكَرْتُمْ لَاَزِيْدَنَّكُمْ وَلَىِٕنْ كَفَرْتُمْ اِنَّ عَذَابِيْ لَشَدِيْدٌ


Maksudnya:"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu. Tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat". Ibrahim ayat 7.


Saat seorang muslim bersyukur, maka kebaikannya akan kembali kepada dirinya sendiri. Dan di saat ia kufur terhadap nikmat Allah, maka bahayanya pun akan kembali ke atas dirinya sendiri. Kerana sesungguhnya Allah Subhanahuwata’ala Maha kaya, tidak memerlukan sesuatu apapun dari seluruh alam ini. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


وَمَنْ يَّشْكُرْ فَاِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهٖۚ وَمَنْ كَفَرَ فَاِنَّ اللّٰهَ غَنِيٌّ حَمِيْدٌ


Maksudnya:"Dan barangsiapa bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri. Dan barangsiapa tidak bersyukur (kufur), maka sesungguhnya Allah Maha kaya, Maha Terpuji". Luqman ayat 12.


Tidak ada yang menjadi tugas kita, Selain dari tugas memuji Allah di atas apa yang telah diberikan-Nya kepada kita. Pujian kita kepada-Nya menandakan kesyukuran dan keredaan kita di atas limpahan rezeki-Nya, dan tidak ada balasan dari keredaan seseorang kepada Allah, kecuali kemenangan yang besar. Lihatlah bagaimana Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam mengajarkan kepada kita untuk reda kepada Allah Subhanahuwata’ala dengan sentiasa memuji-Nya atas segala limpahan nikmat dan kurnia-Nya kepada kita. Bahkan, terhadap makanan dan minuman yang kita makan setiap harinya,


إنَّ اللَّهَ لَيَرْضَى عَنِ العَبْدِ أَنْ يَأْكُلَ الأكْلَةَ فَيَحْمَدَهُ عَلَيْهَا، أَوْ يَشْرَبَ الشَّرْبَةَ فَيَحْمَدَهُ عَلَيْهَا


Maksudnya:"Sesungguhnya Allah reda kepada hamba yang memakan makanan lalu memuji Allah atas makanan itu, atau minum lalu memuji Allah atas minuman itu". Muslim (2734)


Di antara kemuliaan seseorang, apabila dia berada di saat penghujung sebuah waktu, adalah dengan meluangkan waktunya seorang diri untuk mengintrospeksi dan mengoreksi dirinya atas amalan apa yang telah diperbuat dan amalan apa yang telah terlewat. Demikian juga dengan waktu yang telah Allah berikan, sudahkah ia memunafaatkan ataukah ia sia-siakan. Kerana Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam pernah bersabda,


الْكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ وَالْعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللَّهِ 


Maksudnya:"Orang yang cerdas adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian, sedangkan orang yang bodoh adalah orang jiwanya mengikuti hawa nafsunya dan berangan angan kepada Allah". Riwayat Tirmizi (2459), beliau mengatakan hadith ini hasan.


Imam Tirmizi mengatakan, “Maksud sabda Nabi ‘Orang yang mempersiapkan diri’ adalah orang yang selalu mengoreksi dirinya pada waktu di dunia sebelum dihisab pada hari kiamat.


Kunci kesuksesan generasi terdahulu mahupun generasi yang akan datang adalah dengan tidak menunda-nundakan dalam beramal. Apa yang boleh kita kerjakan di hari tersebut, maka tidak kita tinggalkan untuk dikerjakan esok harinya. Kerana kita tidak tahu apa yang akan terjadi di esok hari sebagaimana firman Allah Subhanahuwata’ala,


وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا


Maksudnya:"Tidak ada satu jiwa pun  yang mengetahui apa yang akan dia kerjakan besok". Luqman ayat 34.


Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam juga bersabda,


اغْتَنِمْ خَمْسًا قبلَ خَمْسٍ: شَبابَكَ قبلَ هِرَمِكَ ، وصِحَّتَكَ قبلَ سَقَمِكَ ، وغِناكَ قبلَ فَقْرِكَ ، وفَرَاغَكَ قبلَ شُغْلِكَ ، وحَياتَكَ قبلَ مَوْتِكَ


Maksudnya:"Rebutlah (munafaatkan) dengan baik lima perkara sebelum (datangnya) 5 perkara, iaitu: (1) Masa mudamu sebelum (datang) masa tua. (2) Masa sihatmu, sebelum (datang) masa sakit. (3) Masa kayamu sebelum datang masa fakir. (4) Masa luangmu, sebelum datang masa sibuk. (5) Masa hidupmu sebelum (datang) kematian". Al-Hakim  (7846) dan Al-Baihaqi dalam Syu’abul Iman (10248) dengan sanad yang sahih.


Baginda juga bersabda,


بَادِرُوا بِالأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِى كَافِرًا أَوْ يُمْسِى مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنَ الدُّنْيَا


Maksudnya:"Bersegeralah melakukan amalan soleh sebelum datang fitnah (musibah) seperti potongan malam yang gelap. Iaitu, seseorang pada waktu pagi dalam keadaan beriman dan di petang hari dalam keadaan kafir. Ada pula yang petang hari dalam keadaan beriman dan di pagi hari dalam keadaan kafir. Ia menjual agamanya sedikit kerana dari keuntungan dunia".  Muslim (118)


Di antara lain, kunci sukses dalam beramal adalah membuat perencanaan untuk waktu yang akan datang, sebagaimana rencana beramal kita pada tahun depan, sehingga kehidupan kita lebih berjadual dan lebih tertib.


Orang yang berakal adalah yang dapat menambah kuantiti serta kualiti ibadahnya setiap harinya. Ada sebuah ungkapan yang sangat indah,


مَا نَدِمْتُ عَلَى شَيْءٍ كَنَدَمِي عَلَى يَوْمٍ نَقَصَ فِيهِ أَجَلِي، وَلَمْ يَزْدَدْ فِيهِ عَمَلِي


Maksudnya:"Sungguh aku tidak pernah menyesali sesuatu melebihi penyesalanku pada hari di mana umurku berkurang, namun amalanku tidak bertambah".


Peningkatan sesuatu itu tidak hanya dalam kuantitinya sahaja, akan tetapi boleh saja berupa peningkatan dalam kualiti. Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam pernah bersabda,


إِنَّ اللهَ ـ عَزَّ وَجَلَّ ـ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ


Maksudnya:"Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla menyukai jika salah seorang kalian mengerjakan sesuatu, dia mengerjakannya dengan bersungguh-sungguh (profesional)". Riwayat Thabrani (275) dan As-Suyuti (1855), hasan. 


Amalan yang paling dicintai oleh Allah Subhanahuwata’ala adalah yang dikerjakan secara konsisten walaupun jumlahnya sedikit. Hal ini tentu saja menunjukkan bahawa agama lebih mengutamakan kualiti sebuah amalan berbanding dengan kuantitinya.


Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا


Maksudnya:"Supaya Allah menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya".  Al Mulk ayat 2.


Dalam ayat tersebut Allah Subhanahuwata’ala tidak berfirman, ‘yang paling banyak amalannya".


Semoga Allah menetapkan kita sebagai salah seorang dari hamba-Nya yang dapat bersyukur, mengisi hari-hari kita dengan ketaatan kepada Allah Subhanahuwata’ala, konsisten di dalamnya dan tidak menunda-nundakannya. Semoga kita termasuk hamba-Nya yang lebih mengutamakan kualiti amal daripada kuantitinya, iaitu beramal dengan ikhlas mengharap reda Allah dan sesuai dengan tuntunan serta petunjuk dari Nabi-Nya Sallallahu‘alaihiwasallam.




Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...