Monday, May 25, 2020

Hukum Puasa enam di Bulan Syawal serta permasalahan yang berkaitan dengannya dan pendapat Imam Malik tentang hukum puasa enam di bulan Syawal.

Hukum Puasa enam di Bulan Syawal serta permasalahan yang berkaitan dengannya dan pendapat Imam Malik tentang hukum puasa enam di bulan Syawal.

Kehadiran Syawal bukan hanya meraikan kejayaan melipatgandakan amal ibadat sepanjang Ramadhan yang lalu, namun sebaliknya ia menjadi pengukur sama ada bulan puasa yang berlalu memberi impak atau sebaliknya kepada jiwa setiap muslim.

Dari sudut yang lain pula nikmat yang sungguh hebat untuk mereka yang berpuasa ialah syurga yang dikhaskan kepada orang yang berpuasa sahaja seperti sabda Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam: 

Daripada Sahal bin Sa’d R.A, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

عَنْ سَهْلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ أَيْنَ الصَّائِمُونَ فَيَقُومُونَ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ" متفقٌ عليه.

التخريج:   صحيح البخاري، كتاب الصوم، باب الريان للصائمين، حديث رقم 1896.

Maksudnya:"Daripada Sahl bin Sa‘ad RA berkata, Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda: “Sesungguhnya di syurga ada satu pintu yang diberi nama Ar-Rayyan, iaitu pintu masuk bagi orang yang berpuasa di hari kiamat nanti. Tidak akan masuk daripada pintu itu kecuali orang yang berpuasa, akan diseru oleh penjaganya: ”Dimanakah orang yang berpuasa?  Maka mereka yang berpuasa pun bangun (memasukinya), tidak ada yang akan memasukinya melainkan mereka sahaja. Apabila mereka memasukinya, pintu itu akan ditutup, maka tiada siapa lagi yang akan dapat memasukinya".

(Muttafaqun ‘Alayhi, hadith riwayat al-Bukhari, no. 1896, Muslim, no. 1152,  At-Tirmizi, no. 765, An-Nasaie, no. 2237)

Pintu tersebut dinamakan “Ar-Rayyan” yang berasal dari kalimah “Array” dari segi bahasa membawa maksud titisan air hujan yang pertama. Kiasan kepada orang yang berpuasa apabila  memasukinya akan hilanglah segala kehausannya selama-lamanya

Al-Rayyan Juga bermaksud orang yang tidak merasa dahaga. Ia kalimah atau sifat yang sangat sesuai kepada orang yang berpuasa.

Imam al-Nawawi Rahimahullah dalam Syarah Muslim menyebut: Hadis ini menunjukkan kelebihan puasa dan kemuliaan orang yang berpuasa.

Berkata Mulla al-Qari: “Maksud al-Rayyan itu sama ada dirinya sendiri tidak merasa dahaga kerana terdapat banyaknya sungai-sungai yang mengalir, bunga dan buah-buahan yang berada di sampingnya atau kerana yang sampai kepadanya (memasukinya) akan hilang rasa dahaga pada hari kiamat.”

Berkata Izzuddin bin Abd al-Salam dalam kitab fawaid al-Saum: “Adapun dikhususkan kepada mereka memasuki syurga dari pintu al-Rayyan kerana keistimewaan ibadat mereka dan kemuliaannya.”

Diantara amalan sunat yang menjadi rebutan umat Islam dalam Syawal ialah puasa sunat enam. Dalam menilai sejauh mana kedudukan puasa Ramadhan seseorang Muslim, maka puasa enam boleh dianggap antara kayu pengukur tahap ketakwaan selepas berjaya melaksanakan sebulan puasa.

Pensyariatan puasa enam hari pada bulan Syawal tsabit melalui hadith riwayat Muslim daripada Abu Ayub al-Ansari RA yang mana Rasulullah Sallahu'alsihiwasallam telah bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun. Riwayat Muslim (1164)

Imam Al-Nawawi rahimahullah mengatakan ketika mesyarahkan hadith di atas,

فيه دلالة صريحة لمذهب الشافعي وأحمد وداود وموافقيهم في استحباب صوم هذه الستة

Maksudnya:“Di dalam hadith ini terdapat dalil yang tegas bagi madzhab Asy-Syafi’i, Ahmad, Dawud, beserta para ulama yang sependapat dengannya tentang dianjurkannya puasa enam hari (di bulan Syawal)". Lihat: Syarh Shahih Muslim, 8/56.

Dari Tsauban radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda,

مَنْ صَامَ سِتَّةَ أَيَّامٍ بَعْدَ الْفِطْرِ كَانَ تَمَامَ السَّنَةِ (مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا)

Maksudnya:“Barangsiapa yang berpuasa enam hari setelah hari raya Idul Fitri, maka seperti berpuasa setahun penuh. Barangsiapa mengerjakan satu kebaikan, maka baginya (pahala) sepuluh kali ganda.”  Riwayat Ibnu Majah (1715). 

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda,

من صام رمضان وأتبعه بست من شوال فذلك صيام الدهر

Maksudnya:“Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian dilanjutkan dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka dia seolah-olah berpuasa selama setahun.” Riwayat Abu ‘Awanah dalam Mustakhraj, (2180). Dinilai shahih oleh Al-Haitsami dalam Majma’ Zawaid, 3/183.

Puasa enam hari di bulan Syawal hukumnya sunat dan inilah pendapat majoriti (jumhur) ulama. Lihat:Taudhiihul Ahkaam, 3/533.

Sebagaimana yang diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas, Thawus, Asy-Sya’bi, dan Maimun bin Mihran. Pendapat ini pula yang dinyatakan oleh Abdullah bin Mubarak, Imam Asy-Syafi’i, dan Imam Ahmad. Lihat: Latho’iful Ma’arif, hal. 383.

Mazhab Hanafi, Syafi’e dan Hanbali bersepakat bahawa puasa 6 hari pada Syawal adalah sunat yang sangat dituntut berdasarkan hadith di atas. (Rujuk Bada’ie as-Sona’ie, 2/78; Nihayatul Muhtaj, 3/208 dan Al-Mughniy, 3/176)

Adapun menurut mazhab Maliki, terdapat satu riwayat daripada Imam Malik bin Anas bahawa beliau tidak pernah melihat mana-mana ilmuan dan ahli fekah melakukan puasa tersebut, dan tidak sampai pada beliau riwayat daripada golongan salaf yang berpuasa enam hari pada bulan Syawal. Bahkan ada sesetengah ilmuan memakruhkannya kerana bimbang orang jahil akan menganggapnya sebagai sebahagian daripada Ramadhan. (Rujuk Syarh az-Zarqani ‘ala al-Muwatta’, 2/297)

Imam Malik menganggap puasa 6 hari pada bulan Syawal adalah makruh dan tidak disunatkan, kerana hadith yang diriwayatkan berkenaannya bertaraf ahad dan ia tidak diamalkan oleh penduduk Madinah pada zaman beliau yang menjadi salah satu dalil penting dalam mazhab beliau. Ia juga dimakruhkan kerana takut puasa 6 hari pada bulan Syawal disangka wajib oleh orang-orang jahil dan dianggap sebagai sebahagian daripada bulan Ramadhan.

Dalam mazhab Maliki, sesuatu hadis ahad itu tidak boleh diterima secara bulat-bulat kecuali jika disokong dengan amalan penduduk Madinah kerana mereka adalah golongan yang paling hampir dengan Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam, justeru mereka lebih memahami tentang apa yang dilakukan oleh nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam. Imam Malik selaku penduduk Madinah mendapati bahawa ahli Madinah sendiri tidak berpuasa enam, walhal wujud hadith atas galakan itu.

Ketika mengulas kenyataan Imam Malik yang melihat tiada ilmuwan pada zamannya mengamalkan puasa enam tersebut, Imam al-Nawawi berkata apabila sesuatu sunnah itu telah sabit, maka ia tidak ditinggalkan hanya kerana ia tidak diamalkan oleh sebahagian, atau kebanyakan atau semua orang sekalipun. (Rujuk Syarh Sahih Muslim, 8/56).

Hujah ini juga ditolak oleh 3 mazhab mu’tabar yang lain iaitu Hanafi, Syafi’e dan Hanbali kerana hadith yang sahih dan sarih meskipun bertaraf ahad sudah cukup untuk dijadikan hujah tanpa perlu disandarkan kepada amalan penduduk Madinah. Kebimbangan yang ditimbulkan oleh Imam Malik juga tidak lagi berlaku dan perbezaan antara bulan Ramadhan dan Syawal adalah jelas.

Tata Cara mengerjakan Puasa Sunat Syawal

1- Puasa enam hari di bulan Syawal tidak ditentukan secara wajib dikerjakan pada hari atau haribulan tertentu. Dengan maksudnya, seseorang itu boleh melaksanakannya bila-bila saja selagi masih berada di bulan Syawal. Seseorang boleh mengerjakannya di awal, tengah, atau akhir bulan Syawal. Demikian pula, seseorang boleh mengerjakannya selama enam hari berturut-turut atau terpisah. Lihat: Fataawa Arkaanil Islaam, hal. 490; Taudhiihul Ahkaam, 3/534.

al-Nawawi Rahimahullah di dalam al-Majmu’ ada menyebutkan: “…dan disunatkan untuk berpuasa secara berturutan di awal Syawal. Sekiranya dipisahkan (tidak berpuasa 6 hari secara berturutan) ataupun diakhirkan puasa tersebut di dalam bulan Syawal, maka ianya dibolehkan…” Lihat: Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. Dar al-Fikr, (6/379).

Al-Imam Ibn Qudamah di dalam kitabnya al-Mughni menyebutkan mengenai permasalahan ini seperti berikut: “…tidak ada bezanya (menjadikan puasa tersebut) dilakukan secara berturutan ataupun dipisahkan samaada di awal Syawal ataupun diakhirnya kerana hadith menyebutkannya secara mutlaq tanpa dikaitkan dengan sesuatu yang lain…”Lihat: Al-Mughni. Maktabah al-Qaherah, (3/177)

Namunpun begitu, dianjurkan untuk bersegera mengerjakan puasa Syawal setelah hari raya Idul Fitri (aitu pada  2 Syawal). Lihat: Syarhul Mumti’, 3/100.

Dengan beberapa alasan seperti berikut ini:

i- Hal inilah yang lebih sesuai (lebih ittiba’) dengan dalil dari hadith yang diriwayatkan oleh Muslim (1164), Nabi Sallahu'alaihiwasallam mengatakan,

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ

Maksudnya:"“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti …”.

ii- Hal itu juga menunjukkan tuntutan agar seseorang bersegera dalam mengerjakan kebaikan. Terdapat dalil-dalil yang mendorong seseorang untuk bersegera dalam kebaikan dan pujian kepada para pelakunya.

Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala,

أُولَٰئِكَ يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَهُمْ لَهَا سَابِقُونَ

Maksudnya:"Mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehnya". Al-Mu’minun Ayat 61.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda,

بَادِرُوا بِالأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِى كَافِرًا أَوْ يُمْسِى مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنَ الدُّنْيَا

Maksudnya:“Bersegeralah melakukan amalan salih sebelum datang fitnah (musibah) seperti potongan malam yang gelap. Iaitu seseorang pada waktu pagi dalam keadaan beriman dan di petang hari dalam keadaan kafir. Ada pula yang petang hari dalam keadaan beriman dan di pagi hari dalam keadaan kafir. Ia menjual agamanya kerana sedikit dari keuntungan dunia”. Riwayat Muslim (118).

Ketika dia bersegera mengerjakan kebaikan, maka hal itu menunjukkan semangatnya untuk berpuasa dan melaksanakan ketaatan, serta tidak bosan beribadah.

iii- Agar tidak disibukkan dengan urusan-urusan lain yang dapat menghalanginya untuk berpuasa. Hal ini kerana seseorang tidak akan tahu, mungkin adanya faktor penghalang yang mungkin timbul di kemudian hari jika dia menundanya.

Selaras dengan hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Sallallah‘alaihiwasallam pernah menasehati seseorang,

اِغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ : شَبَابَكَ قَبْلَ هَرَمِكَ وَ صِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ وَ غِنَاكَ قَبْلَ فَقْرِكَ وَ فَرَاغَكَ قَبْلَ شَغْلِكَ وَ حَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ

Maksudnya:“Manfaatkanlah lima perkara sebelum lima perkara:

(1) Waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu,

(2) Waktu sihatmu sebelum datang waktu sakitmu,

(3) Masa kayamu sebelum datang masa kefakiranmu,

(4) Masa lapangmu sebelum datang masa sibukmu,

(5) Hidupmu sebelum datang matimu.”

Riwayat Al Hakim dalam Al Mustadroknya 4: 341. Al Hakim mengatakan bahwa hadith ini sahih sesuai syarat Bukhari dan Muslim, namun keduanya tidak mengeluarkannya. Dikatakan oleh Adz Dzahabiy dalam At Talkhish berdasarkan syarat Bukhari-Muslim. 

iv- Puasa Syawal setelah Ramadhan itu umpama seperti solat rawatib setelah solat wajib yang dikerjakan segera setelah solat wajib dilaksanakan. Lihat: Fataawa Arkaanil Islaam, hal. 489; Taudhiihul Ahkam, 3/534.

2- Selain itu, yang lebih utama adalah puasa enam hari ini dikerjakan secara berturut-turut (enam hari sekaligus) kerana pada umumnya inilah yang lebih mudah untuk dikerjakan. Oleh kerana itu, dianjurkan untuk berpuasa pada hari ke-2 bulan Syawal dan dikerjakan berturut-turut sampai selesai. Lihat: Syarhul Mumti’, 3/100.




No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...