Thursday, September 28, 2023

Nikmati Rasa Aman Nikmat Paling Agung.

Nikmati Rasa Aman Nikmat Paling Agung.

Nikmat rasa aman adalah salah satu nikmat terbesar dan paling agung yang telah Allah Subhanahuwata’ala kurniakan kepada kita semua. Nikmat rasa aman yang menjadi dambaan setiap bangsa dan negara. Demi untuk menggapainya, ramai tentara yang dikerahkan ke medan perang. Tidak sedikit pula harta benda dikeluarkan dan tidak kurang juga peperangan-peperangan datang silih berganti.


Begitu agungnya nikmat ini, sehingga Nabi Ibrahim ‘alaihis salam pernah berdoa memohon nikmat ini untuk penduduk Makkah. Nabi Ibrahim ‘alaihis Salam berdoa,

 

رَبِّ اجْعَلْ هَذَا بَلَدًا آمِنًا وَارْزُقْ أَهْلَهُ مِنَ الثَّمَرَاتِ مَنْ آمَنَ مِنْهُمْ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ


Maksudnya:"Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini sebagai negeri yang aman sentosa. Dan berikanlah rezeki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman kepada Allah dan hari akhir di antara mereka".  Al-Baqarah ayat 126.


Nabi Ibrahim ‘alaihis Salam berdoa memohon keamanan sebelum meminta rezeki lainnya. Kerana rasa aman sebenarnya merupakan keperluan mutlak. Seluruh manusia yang hidup di dunia ini tidak dapat menikmati rezeki yang ada di hadapannya jika rasa takut masih menyelimuti hatinya. Selazat apapun makanan yang kita makan, seenak apapun buah yang kita makan, tidak akan dapat kita nikmati dengan maksimal, kecuali dengan adanya rasa aman dan ketenangan di dalam jiwanya.


Nikmat aman adalah kurniaan dan pemberian dari Allah Subhanahuwata’ala. Dengannya seorang hamba akan diuji. Adakah ia termasuk hamba-hamba-Nya yang bersyukur ketika mendapatkan nikmat rasa aman ini, serta bersabar ketika kehilangannya, ataukah ia termasuk orang-orang yang mengingkari nikmat aman ini dan tidak dapat bersabar ketika dicabut dari dirinya. Allah Subhanahuwata’ala di dalam banyak ayat Al-Qur’an mengingatkan para manusia akan agungnya nikmat aman ini. Di antaranya, Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا قَرْيَةً كَانَتْ آمِنَةً مُطْمَئِنَّةً يَأْتِيهَا رِزْقُهَا رَغَدًا مِنْ كُلِّ مَكَانٍ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ اللَّهِ فَأَذَاقَهَا اللَّهُ لِبَاسَ الْجُوعِ وَالْخَوْفِ بِمَا كَانُوا يَصْنَعُونَ


Maksudnya:"Dan Allah telah membuat suatu perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezekinya datang kepadanya melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi (penduduk)nya mengingkari nikmat-nikmat Allah. Kerana itu, Allah membuat mereka merasakan pakaian kelaparan dan ketakutan, disebabkan apa yang selalu mereka perbuat".  An-Nahl ayat 112.


Ketika menceritakan kaum Saba’, Allah Subhanahuwata’ala mengingatkan mereka tentang nikmat aman yang membuat mereka dapat berjalan dengan bebas dan aman baik di siang hari mahupun di malam hari. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ ٱلْقُرَى ٱلَّتِى بَٰرَكْنَا فِيهَا قُرًى ظَٰهِرَةً وَقَدَّرْنَا فِيهَا ٱلسَّيْرَ ۖ سِيرُوا۟ فِيهَا لَيَالِىَ وَأَيَّامًا ءَامِنِينَ


Maksudnya:"Dan Kami jadikan antara mereka dan antara negeri-negeri yang Kami limpahkan berkat kepadanya, beberapa negeri yang berdekatan dan Kami tetapkan antara negeri-negeri itu (jarak-jarak) perjalanan. Berjalanlah kamu di kota-kota itu pada malam hari dan siang hari dengan dengan aman". Saba’ ayat 18.


Allah Subhanahuwata’ala juga mengingatkan kaum Quraisy perihal nikmat rasa aman ini. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


ٱلَّذِىٓ أَطْعَمَهُم مِّن جُوعٍ وَءَامَنَهُم مِّنْ خَوْفٍۭ


Maksudnya:"Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan". Quraisy ayat 4.


Agungnya nikmat rasa aman ini sehingga Allah jadikan rasa aman sebagai salah satu keutamaan dan kekhususan kota Madinah di kala Dajjal mendatangkan kepanikan dan rasa takut di kota-kota lainnya. Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


لا يَدْخُلُ المَدِينَةَ رُعْبُ المَسِيحِ الدَّجَّالِ، لَهَا يَوْمَئِذٍ سَبْعَةُ أَبْوَابٍ، عَلَى كُلِّ بَابٍ مَلَكَانِ


Maksudnya:"Al-Masih Ad-Dajjal yang ditakuti tidak akan dapat memasuki kota Madinah. Pada hari itu, Madinah memiliki tujuh pintu yang setiap pintunya akan ada dua malaikat (yang menjaganya)".  Riwayat Bukhari (1879)


Perhatikanah juga bagaimana luasnya hati Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam ketika memberikan dan menawarkan rasa aman kepada penduduk Makkah tatkala beliau menaklukkannya. Beliau Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


مَنْ دَخَلَ دَارَ أَبِي سُفْيَانَ فَهُوَ آمِنٌ، وَمَنْ أَلْقَى السِّلَاحَ فَهُوَ آمِنٌ


Maksudnya“Barangsiapa masuk ke rumah Abu Sufyan, maka dia aman. Barangsiapa meletakkan senjatanya, maka dia aman". Riwayat Muslim (1780)


Begitu pentingnya rasa aman ini, sehingga Allah Subhanahuwata’ala menjanjikan kepada orang mukminin rasa aman dan ketenangan sebagai ganti dari rasa takut jika mereka menyembah Allah Subhanahuwata’ala satu-satu-Nya serta beristiqomah di dalam melaksanakan ketaatan kepada-Nya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ كَمَا ٱسْتَخْلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ ٱلَّذِى ٱرْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِى لَا يُشْرِكُونَ بِى شَيْـًٔا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَٰسِقُونَ


Maksudnya:"Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan yang mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa. Dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik".  An-Nur ayat 55.


Nikmat keamanan juga merupakan salah satu nikmat yang Allah janjikan kepada penghuni syurga. Tidak ada rasa takut, panik, dan tidak ada rasa kehilangan bagi mereka. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


اُدْخُلُوْهَا بِسَلٰمٍ اٰمِنِيْنَ


Maksudnya:"Masuklah ke dalamnya dengan sejahtera dan aman". Al-Hijr ayat 46.


Di ayat yang lain Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


وَهُمْ فِى ٱلْغُرُفَٰتِ ءَامِنُونَ


Maksudnya:"Dan mereka aman sentosa di tempat-tempat yang tinggi (dalam syurga)".  Saba’ ayat 37.


Semoga Allah Subhanahuwata’ala senantiasa memberikan ketenangan dan keamanan, keselamatan, dan kesejahteraan kepada kita, keluarga kita, rumah-rumah kita, hati kita, jiwa kita dan negara kita. Kerana sesungguhnya hal-hal tersebut merupakan kunci untuk kebahagiaan-kebahagiaan yang lainnya. ٱمين


أَقُوْلُ قَوْلِيْ هٰذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ لِيْ وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ





Wednesday, September 20, 2023

Menyeru manusia kepada kebaikan Islam.

Menyeru manusia kepada kebaikan Islam.

Dalam Islam kita dituntut untuk menyeru manusia masuk ke dalam Islam dan ia adalah merupakan satu pekerjaan yang sangat mulia namun ianya amat berat untuk dilakukan. Pekerjaan yang mulia Ini adalah merupakan tugas para Nabi dan Rasul,  yang mana mereka ditugaskan untuk membawa manusia ke jalan hidayah. Sesungguhnya pahala yang amat besar dijanjikan Allah Subhanahuwata'ala kepada orang yang berjaya mengislamkan atau membantu mengislamkan seseorang.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ


Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)". Surah al-Fussilat ayat 33.


Menurut Syeikh Dr Wahbah al-Zuhailli ayat ini menerangkan bahawa sebaik-baik apa yang diucapkan oleh seseorang ialah dakwah kepada meng-Esa dan mengabdikan diri hanya kepada Allah Subhanahuwata'ala. Kelebihan ini merangkumi semua orang yang ikhlas berdakwah menyeru manusia kepada Allah Subhanahuwata'ala dan termasuklah Nabi Sallallahu'alaihiwasallam dan orang yang melaungkan azan. 

Lihat Wahbah al-Zuhailli, Tafsir al-Munir fi al-Aqidah wa al-Syaria’ah wa al-Manhaj (Beirut: Dar al-Fikr, 1991), jld. 24, hlm. 228.


Terdapat pelbagai hadith yang menceritakan tentang galakan menyeru manusia kepada kebaikan dan ganjaran yang akan diperolehi apabila seseorang itu melakukan kebaikan yang diseru itu. Pernah pada suatu ketika Nabi Sallallahu'alaihiwasallam menyuruh Saidina Ali RA untuk membawa panji ketika peperangan Khaibar. Lalu Saidina Ali berkata; “kami akan menentang dan melawan musuh sehingga mereka menjadi muslim”, lalu Nabi Sallallahu'alaihiwasallam berkata; “bersabarlah, sehingga kamu berjumpa dengan mereka dan mengajak mereka untuk memeluk agama Islam maka Allah akan bersama mereka.”


فَوَاللَّهِ لَأَنْ يُهْدَى بِكَ رَجُلٌ وَاحِدٌ خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ


Maksudnya: “Demi Allah, apabila ada seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu adalah lebih baik bagimu daripada unta merah (jenis unta yang paling baik)". Riwayat al-Bukhari(2724)


Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata, perkataan (حمر النعم) dengan maksud unta yang terbaik. Sebahagian ulama mentafsirkan makna hadis ini dengan makna bahawa mengislamkan seseorang itu lebih baik berbanding memiliki unta yang terbaik atau menyedekahkannya. Lihat Ibn Hajar al-Asqallani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (Beirut: Dar al-Makrifah, 1379H),  jld. 7, hlm. 478.


Dalam hadith yang lain daripada Abi Hurairah RA, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا.


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam telah bersabda: "Barang siapa mengajak kepada kebaikan, maka ia akan mendapat pahala sebanyak pahala yang diperolehi orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Sebaliknya, barang siapa mengajak kepada kesesatan, maka ia akan mendapat dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun". Riwayat Muslim(4831)


Hadith-hadith di atas, jelas menunjukkan kepada kita akan ganjaran yang hebat akan diterima oleh seseorang yang telah menyeru manusia ke jalan hidayah dan pahala tersebut akan diperolehi selagi mana orang yang diseru itu melakukan serta mengamalkannya.


Al-Quran juga telah menegaskan tentang perintah untuk mengajak manusia kepada kebaikan. Allah Subhanahuwata'ala berfirman,


وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ


Maksudnya:"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung". Ali Imran ayat 104.


Mengajak orang lain pada kebaikan merupakan salah satu bentuk sikap kepedulian kepada sesama manusia. Kepedulian ini merupakan salah satu ukuran tinggi rendahnya iman seseorang.


Semakin tinggi iman seseorang, maka semakin tinggi pula kepeduliannya kepada orang lain. Begitu pula sebaliknya, semakin rendah kepeduliannya kepada orang lain maka semakin rendah pula tingkat keimanannya.


Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


قَالَ أَبُو سَعِيدٍ الْخُدْرِيُّ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ رَأَى مُنْكَرًا فَغَيَّرَهُ بِيَدِهِ فَقَدْ بَرِئَ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ أَنْ يُغَيِّرَهُ بِيَدِهِ فَغَيَّرَهُ بِلِسَانِهِ فَقَدْ بَرِئَ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ أَنْ يُغَيِّرَهُ بِلِسَانِهِ فَغَيَّرَهُ بِقَلْبِهِ فَقَدْ بَرِئَ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ


Maksudnya:"Berkata Abu Sa'id Al Khudri berkata; "Saya mendengar Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Barang siapa yang melihat kemungkaran kemudian ia merubahnya dengan tangannya maka sungguh ia telah berlepas diri dari kemungkaran tersebut, dan orang yang tidak mampu untuk mengubahnya dengan tangannya kemudian mengubahnya dengan lisannya maka sungguh ia telah berlepas diri, dan barang siapa yang tidak mampu untuk mengubahnya dengan lisannya kemudian ia mengubahnya dengan hatinya maka sungguh ia telah berlepas diri, dan hal itu adalah selemah-lemah iman". An-Nasai (4923)


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam diutus oleh Allah Subhanahuwata'ala bukan hanya untuk membentuk kesolehan individu, tapi juga dalam rangka membangun kesolehan sosial. Hal ini dapat dilihat dari tingginya kepedulian Nabi Sallallahu'alaihiwasallam kepada umatnya.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ


Maksudnya:"Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin". At-Taubah ayat 128


Bahkan, sebelum diutus menjadi Rasul, pada usianya yang ke-37 hingga 40 tahun, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam telah melakukan uzlah, yakni menyendiri di gua Hira. Di sana, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam memikirkan keadaan masyarakat saat itu yang sudah jauh dari nilai-nilai akhlak.


Puncak keberhasilan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dalam mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran dapat kita lihat pada fasal dakwah di Madinah. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam telah berhasil menebarkan nilai-nilai kebaikan atau kesolehan di tengah-tengah masyarakat  majmuk. Bukan hanya dari satu agama dan suku, malah melepasi sempadan agama dan suku.


Spirit atau semangat dakwah Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam semestinya telah menjadi warisan bagi kita umat Islam saat ini. Kita tidak cukup hanya dengan memperbaiki kualiti ibadah yang bersifat individu-ritual semata, tapi juga dituntut untuk memiliki kepedulian kepada sesama manusia dengan menebarkan kebaikan. Kesolehan kolektif secara utuh akan tercipta dalam kehidupan bermasyarakat.


Dengan terwujudnya kesolehan secara kolektif akan mendatangkan keberkatan hidup di tengah-tengah masyarakat. Allah Subhanahuwata'ala telah menegaskan dalam Al-Quran, 


وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ


Maksudnya:"Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya".  Al-A’raf ayat 96.


Di era yang serbacanggih ini, banyak cara dan media yang dapat kita manfaatkan untuk mengajak manusia kepada kebaikan, baik yang sifatnya secara langsung mahupun tidak secara langsung.


Yang secara langsung, misalnya, melalui satu komuniti atau organisasi, dengan menyelenggarakan kegiatan-kegiatan dakwah sosial kemasyarakatan. Adapun yang tidak secara langsung, misalnya, dengan mengoptimalkan sarana dan media informasi yang ada saat ini, seperti melalui media sosial.


Hal ini dapat dilakukan dengan menyebarkan konten-konten keislaman dan nilai-nilai moraliti atau akhlak di tengah-tengah masyarakat.

Thursday, September 14, 2023

Berbicaralah tentang Agama dengan ilmu dan hindarilah dari mengolok-ngolokan Agama.

Berbicaralah tentang Agama dengan ilmu dan hindarilah dari mengolok-ngolokan Agama.

Agama Islam adalah agama yang mengarahkan pandangan atau wawasan ke masa hadapan.. Agama Islam mengajak umatnya untuk meresapi dan memikirkan kembali akibat dari suatu perbuatan yang dilakukan, memikirkan juga apa yang dapat menyelamatkan dirinya dari keburukan, menganjurkan dan memerintahkan pengikutnya untuk menggunakan akal sihat. Tidak menerima semua seruan dan tidak pula mengekor kepada setiap penyeru, memilih dan menyusun mana jalan terbaik untuk dirinya agar tidak tersesat. Hal ini sebagai pengamatan dan  pengamalan dari firman Allah Subhanahuwata’ala,


وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهٖ عِلْمٌ ۗاِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ اُولٰۤىِٕكَ كَانَ عَنْهُ مَسْـُٔوْلًا


Maksudnya:"Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana pendengaran, penglihatan, dan hati nurani, semua itu akan diminta pertanggungjawaban".  Al-Isra’ ayat 36.


Sesungguhnya Allah Subhanahuwata’ala telah memberikan kita kurnia berupa agama yang benar, agama nabi Ibrahim 'alaihissalam yang lurus. Dan beliau bukanlah termasuk dari kalangan orang-orang musyrik. Agama yang telah Allah janjikan akan menang di atas semua agama lainnya. Oleh kerananya, Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


هُوَ الَّذِيْٓ اَرْسَلَ رَسُوْلَهٗ بِالْهُدٰى وَدِيْنِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهٗ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهٖۙ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُوْنَ 


Maksudnya: “Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, untuk memenangkannya di atas segala agama, meskipun orang-orang musyrik membencinya".As-Saf ayat 9.


Agama yang Allah telah berjanji akan menjaga kitab sucinya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


اِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَاِنَّا لَهٗ لَحٰفِظُوْنَ


Maksudnya:"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an, dan pasti Kami (pula) yang memeliharanya".  Al-Hijr ayat  9.


Al-Qur’an yang Allah Subhanahuwata’ala turunkan ini adalah sangat bermanfaat kepada manusia, pada bila pun zamannya dan di mana pun tempatnya. Kitab yang akan memberikan petunjuk menuju jalan yang lurus, jalan menuju syurga Allah Subhanahuwata’ala yang penuh kemuliaan. Di antara tanda agongnya pemberian Allah ini, Allah telah menyiapkan bagi siapa sahaja yang akan menjaga syariat-Nya, menyiapkan juga para penyeru agama-Nya, mengajarkan manusia akan apa yang bermanfaat bagi mereka, baik di dunia mahupun di akhirat. Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


يَحْمِلُ هَذَا اْلعِلْمَ مِنْ كُلِّ خَلَفٍ عُدُوْلُهُ، يُنْفُوْنَ عَنْهُ تَحْرِيْفَ الغَالِّيْنَ وَتَأْوِيْلَ الجَاهِلِيْنَ وَانْتِحَالَ الْمُبْطِلِيْنَ.


Maksudnya"Ilmu (agama) ini akan dibawa oleh orang-orang terpercaya dari setiap generasi. Mereka akan meluruskan penyimpangan orang-orang yang melampaui batas, takwil orang-orang jahil, dan pemalsuan orang-orang batil". Riwayat Ahmad dalam Tarikh Dimasyq (7: 39).


Oleh kerana itulah, Allah Subhanahuwata’ala memerintahkan kita agar bertanya kepada para alim ulama apabila kita berhadapan dengan sesebuah permasalahan yang kita tidak ketahui ilmunya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


فَاسْـَٔلُوْٓا اَهْلَ الذِّكْرِ اِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُوْنَۙ


Maksudnya:"Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui". An-Nahl ayat 43.


Allah Subhanahuwata’ala juga melarang kita dari bertanya kepada mereka yang menyesatkan manusia dengan ucapannya yang manis, namun jauh dari kebenaran. Mereka yang tidak tahu kaedah-kaedah ilmu dan dasar-dasarnya, namun berani berfatwa padahal tidak boleh membezakan antara khabar  atau hadith yang sahih dari hadith yang cacat dan palsu, ataupun tidak dapat menempatkan dalil yang ada pada tempatnya.


Semestinyalah majlis-majlis ilmu yang ada lebih mengutamakan dan mendahulukan kitab-kitab ulama yang sudah mengabdikan dirinya untuk ilmu, menghabiskan hari demi hari mereka untuk mempelajari ilmu syar’i dan menulisnya. Bukan Dari mereka yang manis lisannya, namun jahil dan kosong ilmunya.  Sehingga ada di antara mereka Ini yang dianggap ‘berilmu’, namun sebaliknya menghalalkan apa yang telah Allah haramkan dan mengharamkan apa yang telah Allah halalkan.


Sesungguhnya fenomena seperti ini seperti cendawan tumbuh dan tersebar di dalam masyarakat, dan ini merupakan salah satu tanda kiamat kecil yang sudah terjadi. Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


إنَّ مِن أشْرَاطِ السَّاعَةِ أنْ يُرْفَعَ العِلْمُ، ويَكْثُرَ الجَهْلُ


Maksudnya:"Termasuk tanda-tanda hari kiamat adalah diangkatnya ilmu dan banyaknya kebodohan". Riwayat Bukhari (5231) dan Muslim (2671)


Pada hadith yang lain pula Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


ﺇِﻥَّ ﺍﻟﻠﻪ ﻻ ﻳَﻘْﺒِﺾُ ﺍﻟﻌِﻠْﻢَ ﺍﻧْﺘِﺰَﺍﻋَﺎً ﻳَﻨْﺘَﺰِﻋُﻪُ ﻣﻦ ﺍﻟﻌِﺒﺎﺩِ ﻭﻟَﻜِﻦْ ﻳَﻘْﺒِﺾُ ﺍﻟﻌِﻠْﻢَ ﺑِﻘَﺒْﺾِ ﺍﻟﻌُﻠَﻤَﺎﺀِ ﺣﺘَّﻰ ﺇﺫﺍ ﻟَﻢْ ﻳُﺒْﻖِ ﻋَﺎﻟِﻢٌ ﺍﺗَّﺨَﺬَ ﺍﻟﻨﺎﺱ ﺭﺅﺳَﺎً ﺟُﻬَّﺎﻻً ، ﻓَﺴُﺌِﻠﻮﺍ ﻓَﺄَﻓْﺘَﻮْﺍ ﺑِﻐَﻴْﺮِ ﻋِﻠْﻢٍ ﻓَﻀَﻠُّﻮﺍ ﻭَﺃَﺿَﻠُّﻮﺍ


Maksudnya:"Sesungguhnya Allah Subhanahuwata’ala tidak mengangkat ilmu dengan sekali cabutan dari para hamba-Nya. Akan tetapi, Allah mengangkat ilmu dengan mewafatkan para ulama. Ketika tidak tersisa lagi seorang ulama pun, manusia mengangkat orang-orang bodoh sebagai pemimpin. Mereka bertanya kepada mereka, maka mereka (orang-orang bodoh) itu berfatwa tanpa ilmu. Mereka sesat dan menyesatkan". Bukhari (100) dan Muslim (2673)

 

Sesungguhnya berdusta dan berbicara di atas nama Allah tanpa ilmu termasuk dari perbuatan dosa besar. Jika seseorang itu terjatuh ke dalamnya, maka akan membinasakannya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


وَلَا تَقُوْلُوْا لِمَا تَصِفُ اَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هٰذَا حَلٰلٌ وَّهٰذَا حَرَامٌ لِّتَفْتَرُوْا عَلَى اللّٰهِ الْكَذِبَۗ اِنَّ الَّذِيْنَ يَفْتَرُوْنَ عَلَى اللّٰهِ الْكَذِبَ لَا يُفْلِحُوْنَۗ


Maksudnya:"Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta ‘Ini halal dan ini haram’ untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya, orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah itu tidak akan beruntung.” (QS. An-Nahl: 116)


Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam juga pernah bersabda,


إِنَّ كَذِبًا عَلَىَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ ، مَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ


Maksudnya:"Sesungguhnya berdusta atas namaku tidaklah sama dengan berdusta pada selainku. Barangsiapa yang berdusta atas namaku secara sengaja, maka hendaklah dia menempati tempat duduknya di neraka". Bukhari (1291) dan Muslim  (4)


Di antara ayat yang menunjukkan besarnya dosa berbicara atas nama Allah 

Subhanahuwata’ala tanpa ilmu adalah firman-Nya,


قُلْ اِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالْاِثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَاَنْ تُشْرِكُوْا بِاللّٰهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهٖ سُلْطٰنًا وَّاَنْ تَقُوْلُوْا عَلَى اللّٰهِ مَا لَا تَعْلَمُوْنَ


Maksudnya:"Katakanlah (Muhammad), ‘Tuhanku hanya mengharamkan segala perbuatan keji yang terlihat dan yang tersembunyi, perbuatan dosa, perbuatan zalim tanpa alasan yang benar, dan (mengharamkan) kamu mempersekutukan Allah dengan sesuatu, sedangkan Dia tidak menurunkan alasan untuk itu, dan (mengharamkan) kamu membicarakan tentang Allah apa yang tidak kamu ketahui". Al-A’raf ayat 33


Allah Subhanahuwata’ala telah menggabungkan antara berbicara atas nama Allah tanpa ilmu dengan kesyirikan.  Kesyirikan satu dosa yang tidak ada dosa lain yang lebih besar dan lebih parah darinya. 


Firman Allah Subhanahuwata’ala,


إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ


Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar".  al-Nisa’ayat  48.


Di antara bentuk berbicara agama tanpa ilmu yang mesti kita hindari adalah memperolok-olokan agama, merendahkannya, dan mengurangi keagungan kedudukannya. Sungguhnya hukuman dari perbuatan seperti ini sangatlah keras. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


وَإِذَا عَلِمَ مِنْ ءَايَٰتِنَا شَيْـًٔا ٱتَّخَذَهَا هُزُوًا ۚ أُو۟لَٰٓئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ


Maksudnya:"Dan apabila dia mengetahui barang sedikit tentang ayat-ayat Kami, maka ayat-ayat itu dijadikan olok-olok. Merekalah yang memperoleh azab yang menghinakan".  Al-Jasiyah ayat 9.


Seorang muslim yang beriman dan taat terhadap semua perintah-Nya semestinya berhati-hati dan menghindarkan dirinya dari mendengar dan menonton mereka yang memperolok-olok agama Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah  Subhanahuwata’ala,


وَاِذَا رَاَيْتَ الَّذِيْنَ يَخُوْضُوْنَ فِيْٓ اٰيٰتِنَا فَاَعْرِضْ عَنْهُمْ حَتّٰى يَخُوْضُوْا فِيْ حَدِيْثٍ غَيْرِهٖۗ وَاِمَّا يُنْسِيَنَّكَ الشَّيْطٰنُ فَلَا تَقْعُدْ بَعْدَ الذِّكْرٰى مَعَ الْقَوْمِ الظّٰلِمِيْنَ


Maksudnya:"Apabila Engkau (Muhammad) melihat orang-orang memperolok-olokkan ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka hingga mereka beralih ke pembicaraan lain. Dan jika syaitan benar-benar menjadikan Engkau lupa (akan larangan ini), setelah ingat kembali janganlah engkau duduk bersama orang-orang yang zalim". Al-An’am ayat  68.


Mukmin yang benar tidaklah duduk dan ikut serta mendengarkan mereka yang memperolok-olok dan melecehkan agama, kerana ianya merupakan tanda kebodohan dan kedunguan. Mukmin yang benar akan lebih selektif dan memilih mana yang boleh ia dengar dan boleh ia ikuti dan mana yang tidak. Berusaha untuk hanya mendengarkan kebenaran dan kebaikan sehingga diri kita terhindar dari murka Allah Subhanahuwata’ala dan menjadikan usaha kita ini sebagai sebab masuknya kita ke dalam syurga-Nya.


Marilah kita semua berdoa agar Allah menghindarkan diri kita dari berfatwa dan berbicara tentang agama tanpa ilmu, menjadikan diri kita salah seorang  dari hamba-Nya yang berhati-hati ketika berbicara, tidak memperolok-olok ataupun melecehkan agama, walaupun dengan niat untuk bercanda.


أَقُوْلُ قَوْلِيْ هٰذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ لِيْ وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ


 




Thursday, September 7, 2023

Empat (4) Dosa Besar yang sering diremehkan.

Empat (4) Dosa Besar yang sering diremehkan.

Larangan Allah Subhanahuwata’ala ada beberapa jenis, di antaranya adalah perbuatan dosa.


Dalil dari Al-Qur’an dan Al-Sunnah menunjukkan bahawa dosa yang  dilakukan oleh hamba terbahagi kepada  dua jenis, iaitu dosa besar (الكبائر) dan dosa kecil (الصغائر). Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata’ala,


إِنْ تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُمْ مُدْخَلًا كَرِيمًا


Maksudnya:"Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa besar yang dilarang kamu mengerjakannya, nescaya Kami hapus kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga)".  An-Nisa ayat 31.


Allah Subhanahuwata’ala juga berfirman,


الَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ وَالْفَوَاحِشَ إِلَّا اللَّمَمَ إِنَّ رَبَّكَ وَاسِعُ الْمَغْفِرَةِ


Maksudnya:"(Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji yang selain dari kesalahan-kesalahan kecil. Sesungguhnya Tuhanmu maha luas ampunan-Nya". An-Najm ayat 32.


Begitu juga dalil-dalil dari Al-Sunnah juga menunjukkan adanya pembahagian dosa besar dan dosa kecil. Nabi Sallallahu’alaihiwasallam bersabda,


الصَّلاةُ الخمسُ والجمعةُ إلى الجمعةِ كفَّارةٌ لما بينَهنَّ ما لم تُغشَ الْكبائرُ


Maksudnya:"Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga solat Jumaat selanjutnya, menghapuskan dosa-dosa di antara keduanya, selama mana tidak melakukan dosa besar". Muslim (233).


Di antara kaedah untuk membezakan diantara dosa besar dan dosa kecil adalah:


Pertama:

Dosa besar adalah yang disebutkan sebagai dosa besar oleh Allah dan Rasul-Nya. Imam Al-Qurtubi rahimahullah mengatakan,


كُلّ ذَنْب أُطْلِقَ عَلَيْهِ بِنَصِّ كِتَاب أَوْ سُنَّة أَوْ إِجْمَاع أَنَّهُ كَبِيرَة أَوْ عَظِيم


Maksudnya:"Dosa besar adalah dosa yang dimutlakkan oleh nash Al-Qur`an dan Al-Sunnah atau ijma’ sebagai dosa besar".  Lihat Fathul Baari, (15: 709).


Kedua:

Dosa besar adalah setiap dosa yang diancam dengan neraka, atau mendapatkan murka, laknat, atau azab, Sebagaimana perkataan Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma ketika menafsirkan surat An-Nisa’ ayat 31, beliau berkata,


الكبيرة كل ذنب ختمه الله بِنَّار، أو غضب، أو لعنة، أو عذاب


Maksudnya:"Dosa besar adalah yang Allah tutup dengan ancaman neraka, atau kemurkaan, atau laknat atau azab". Lihat Tafsir Ibnu Katsir, (2: 282).


Ketiga: 

Dosa besar adalah yang terdapat hukuman khusus, tidak sekadar dilarang atau diharamkan. Seperti yang disebutkan dalam dalil “barangsiapa yang melakukan ini, maka ia bukan mukmin”, atau “bukan bahagian dari kami”.


Sebagaimana contoh dari hadith-hadith berikut:


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ وَلَا اللَّعَّانِ وَلَا الْفَاحِشِ وَلَا الْبَذِيءِ


Maksudnya:"Dari Abdullah ia berkata; Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Tidaklah termasuk hamba yang mukmin, iaitu mereka yang selalu suka mencela,suka melaknat,suka berperilaku keji dan suka berkata kasar". Riwayat Tirmizi(1900).


….فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ مِنَّا مَنْ غَشَّ


Maksudnya:"….Maka Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pun bersabda: "Bukan dari golongan kami orang yang menipu…". Riwayat Ibnu Majah (2215).


Setelah mengetahui ancaman serta akibat yang akan perolehi jika melakukan dosa besar, Maka sudah tentu bagi muslim yang berakal dan beriman akan berusaha menjauhkan dirinya dari terjatuh ke dalamnya. 

Sayangnya ada beberapa amalan yang sering kali dilakukan oleh seorang muslim dan ternyata tanpa ia ketahui, hal tersebut merupakan salah satu dari dosa besar yang Allah Subhanahuwata’ala tidak akan ampuni kecuali dengan bertaubat kepada-Nya. Di antaranya adalah:


Pertama:

Menyekutukan Allah Subhanahuwata’ala.


Samaada dengan menyakini bahawa ada sesuatu yang lain yang dapat memberikan manfaat ataupun menghindarkan seseorang itu dari keburukan atau mudharat selain Allah, atau dengan keyakinan yang semisalnya. Padahal keyakinan sebegini diancam oleh Allah Subhanahuwata’ala melalui firman-Nya,


إِنَّ اللّهَ لاَ يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَن يَشَاءُ


Maksudnya:"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya". An-Nisa’ ayat 48.


Sesungguhnya perkara yang wajib diyakini oleh setiap muslim bahawasanya tidak ada yang dapat memberikan manfaat dan mudharat kecuali Allah sahaja. Keyakinan ini yang ditanamkan oleh agama kita. Dan bahawasanya memberikan manfaat dan mudharat itu hanya milik Allah semata.


Siapa pun orangnya, setinggi apa pun darjatnya, dia tidak akan dapat memberikan mudharat atau manfaat. Apakah itu dari kalangan para malaikat, para nabi, orang-orang soleh, semuanya tidak ada yang dapat memberikan manfaat dan mudharat 'pada hakikatnya'.


Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


قُل لاَّ أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعاً وَلاَ ضَرّاً إِلاَّ مَا شَاء اللّهُ وَلَوْ كُنتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لاَسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَاْ إِلاَّ نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ


Maksudnya:"Katakanlah: “Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudharatan kecuali yang dikehendaki Allah. Dan sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa kemudharatan. Aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan, dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”. Al-Araf ayat 188.


Diantara kepercayaan syirik yang boleh  berlaku adalah dengan sebab percaya kepada thiyarah atau tathayyur. Tathayyur atau thiyarah iaitu merasa bernasib sial kerana sesuatu. 

Kepercayaan khurafat ini mempunyai unsur mempercayai perkara-perkara sial yang telah jelas dilarang hadith Baginda Sallallahu'alaihiwasallam,


لاَ طِيَرَةَ


Maksudnya: Tiada thiyarah / kepercayaan sial di dalam islam". Riwayat Muslim (2224)


Juga hadith berikut,


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الطِّيَرَةُ شِرْكٌ الطِّيَرَةُ شِرْكٌ ثَلَاثًا وَمَا مِنَّا إِلَّا وَلَكِنَّ اللَّهَ يُذْهِبُهُ بِالتَّوَكُّلِ


Maksudnya: Dari Abdullah bin Mas'ud dari Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, beliau bersabda: "Thiyarah adalah syirik, thiyarah adalah syirik -tiga kali-. Tidaklah di antara kita kecuali beranggapan seperti itu, akan tetapi Allah menghilangkannya dengan tawakal". Riwayat Abu Daud(3411)


Tathayyur atau thiyarah, iaitu merasa bernasib sial kerana sesuatu. Lihat an-Nihaayah (III/152), Manhajul Imaam asy-Syafi’i fii Itsbaatil ‘Aqiidah (I/273).


Tathayyur atau thiyarah diambil dari kalimat: زَجَرَ الطَّيْرَ (menerbangkan burung).


Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda،


لا عَدْوَى وَلاَ طِيرَةَ ولا صَفَرَ وَلاَ هَامَّةَ


Maksudnya:"Tidak ada  penyakit yang berjangkit,tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.”


Riwayat al-Bukhari (5770), Muslim(2220), Abu Daud (3913) di dalam al-Sunan & Ahmad(3031) di dalam Musnad.


Kepercayaan tersebut mempunyai unsur-unsur khurafat, ini kerana para ulama’ telah mentakrifkan khurafat sebagai:


الاعتقاد بما لا ينفع ولا يضر ولا يلتئم مع المنطق السليم والواقع الصحيح


Maksudnya: Khurafat ialah sebuah kepercayaan kepada perkara yang tidak bermanfaat, tidak memudharatkan dan tidak bersesuaian dengan akal yang sejahtera dan realiti semasa [Lihat al-Mazahib al-Fikriah al-Mu’asiroh, 2/1186]


Kepercayaan ini bercanggah dengan aqidah yang sejahtera yang wajib diimani oleh kesemua muslim iaitu hanya Allah Subhanahuwata'ala sahaja yang boleh beri manfaat atau mudarat.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,:


وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّـهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يُرِدْكَ بِخَيْرٍ فَلَا رَادَّ لِفَضْلِهِ ۚ يُصِيبُ بِهِ مَن يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ ۚ وَهُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ


Maksudnya: “Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurnia-Nya itu kepada sesiapa yang dikendaki-Nya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani". Yunus ayat 107


Kata imam Ibnu Kathir ketika menafsirkan ayat ini “Sesungguhnya kebaikan, keburukan, manfaat dan bahaya hanyalah milik Allah Subhanahuwata'ala sahaja. Tidak ada sesuatu pun menyekutui-Nya dalam hal yang demikian. Maka hanya Allah sahajalah yang berhak diibadahi. Tidak ada sekutu bagi-Nya.” (Rujuk Tafsir al-Quran al-‘Azhim, 7/407)


Kedua, bermuamalah dengan riba. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda


لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- آكِلَ الرِّبَا وَمُوكِلَهُ وَكَاتِبَهُ وَشَاهِدَيْهِ وَقَالَ هُمْ سَوَاءٌ


Maksudnya: "Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam melaknat pemakan riba (rentenir), orang yang menyerahkan riba (peminjam), pencatat riba (sekretaris), dan dua orang saksinya.” Beliau mengatakan, “Mereka semua itu sama (dalam melakukan yang haram)”. Riwayat Muslim (1598).


Ada kaedah umum dalam memahami riba yang disebutkan oleh para ulama.


كُلُّ قَرْضٍ جَرَّ مَنْفَعَةً, فَهُوَ رِبًا


Maksudnya:"Setiap hutang piutang yang ditarik manfaat di dalamnya, maka itu adalah riba".


Ketiga:

Derhaka kepada orang tua. 


Imam An-Nawawi rahimahullah dalam Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim berkata, “Uququl walidain atau durhaka kepada orang tua adalah segala bentuk menyakiti orang tua.” Para ulama juga mengatakan bahawa taat kepada orang tua itu wajib dalam segala hal selama mana ianya bukan dalam perkara maksiat. Bahkan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam  bersabda,


عَنْ أَبِي بَكْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ ذَنْبٍ أَجْدَرُ أَنْ يُعَجِّلَ اللَّهُ لِصَاحِبِهِ الْعُقُوبَةَ فِي الدُّنْيَا مَعَ مَا يَدَّخِرُ لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ الْبَغْيِ وَقَطِيعَةِ الرَّحِمِ


Maksudnya:"Dari Abu Bakrah berkata: Rasulullah Sallallahu'alaihiwasalam bersabda: "Tidak ada suatu dosa yang lebih layak dipercepat hukumannya didunia oleh Allah kepada pelakunya di samping (azab) yang disimpan baginya di akhirat daripada zina dan memutus silaturrahim(dengan orang tua dan kerabat)". Riwayat Tirmizi(2435)


Dosa orang yang menderhakai kedua ibubapa akan dipercepatkan oleh Allah Subhanahuwata'ala di dunia lagi.


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam pernah bersabda,

 


كُلُّ الذُّنُوبِ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مَا شَاءَ مِنْهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ إِلاَّ عُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُعَجِّلُهُ لِصَاحِبِهِ فِي الْحَيَاةِ قَبْلَ الْمَمَاتِ


Maksudnya: “Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibubapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi". Riwayat al-Hakim (7263)


Keempat, meninggalkan solat. Dari Buraidah Radhiyallahu ‘anhu, Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


عَبْدُ اللَّهِ بْنُ بُرَيْدَةَ عَنْ أَبِيهِ قَالَ؛ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْعَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ الصَّلَاةُ فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ


Maksudnya:"Abdullah bin Buraidah dari Bapanya ia berkata, "Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Perjanjian antara kita dengan mereka adalah solat, maka barangsiapa meninggalkannya ia telah kafir". Riwayat Ibnu Majah(1069)


Seorang tabi’in bernama ‘Abdullah bin Syaqiq Rahimahullah berkata,


كَانَ أصْحَابُ محَمَّدٍ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – لاَ يَرَوْنَ شَيْئاً مِنَ الأعْمَالِ تَرْكُهُ كُفْرٌ غَيْرَ الصَّلاَةِ


Maksudnya:"Para sahabat Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam tidak memandang kufur kerana meninggalkan amal, kecuali solat".  Riwayat Tirmidzi.


Semoga Allah Subhanahuwata’ala melindungi diri kita dari terjerumus ke dalam perbuatan dosa besar, baik yang kita sedari mahupun tidak kita sedari, serta menjadikan diri kita salah seorang hamba-Nya yang selalu takut akan pedihnya azab Allah Subhanahuwata’ala.




 


Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...