Thursday, February 20, 2020

Jamak Solat kerana masyaqqah (kepayahan atau kesulitan) seperti sakit.

Jamak Solat kerana masyaqqah (kepayahan atau kesulitan) seperti sakit.

Hukum asal solat fardu adalah mesti ditunaikan pada waktunya. Ini berdalilkan kepada firman Allah Taala:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.(Surah al-Nisa’: 103)

Allah Taala berfirman:

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ

Maksudnya: Dan dirikanlah sembahyang, pada dua bahagian siang, dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.(Surah Hud: 114

Ada sebuah hadith Nabi Sallahualaihiwasallam yang menyebutkan,

صَلَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا بِالْمَدِينَةِ، فِي غَيْرِ خَوْفٍ، وَلَا سَفَرٍ. قَالَ أَبُو الزُّبَيْرِ: فَسَأَلْتُ سَعِيدًا، لِمَ فَعَلَ ذَلِكَ؟ فَقَالَ: سَأَلْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ كَمَا سَأَلْتَنِي، فَقَالَ: أَرَادَ أَنْ لَا يُحْرِجَ أَحَدًا مِنْ أُمَّتِهِ.

Maksudnya: Telah solat Rasulullah Sallahualaihiwasallam zohor dan asar secara jama’ di Madinah dalam keadaan tiada ketakutan dan juga bermusafir. Telah berkata Abu Zubair: Aku telah bertanyakan Sa’id: Mengapa dilakukan sebegitu? Maka jawab Sa’id: Aku telah bertanyakan Ibn Abbas soalan seperti yang kamu tanyakan, maka jawab Ibn Abbas: Rasulullah SAW mengkehendaki untuk tidak menyusahkan umatnya.Riwayat Muslim (705)

Ada dalam riwayat yang lain yang menyebutkan bahawa Rasulullah Sallahualaihiwasallam menjamakkan antara zohor dan asar, maghrib dan isyak di Madinah bukan dalam keadaan takut dan juga hujan.

Al-Imam al-Bukhari Rahimahullah juga meriwayatkan sebuah hadith yang berkaitan dengannya dan ianya juga dari jalan Ibn Abbas R.Anhuma:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى بِالْمَدِينَةِ سَبْعًا وَثَمَانِيًا: الظُّهْرَ وَالعَصْرَ وَالمَغْرِبَ وَالعِشَاءَ، فَقَالَ أَيُّوبُ: لَعَلَّهُ فِي لَيْلَةٍ مَطِيرَةٍ، قَالَ: عَسَى

Maksudnya: Rasulullah Sallahualaihiwasallam telah solat di Madinah 7 rakaat dan 8 rakaat (iaitu) Zuhur dan Asar (8 rakaat), Maghrib dan Isyak (7 rakaat). Maka telah berkata Ayub al-Sakhtiani: Boleh jadi ia pada malam yang hujan dan berkemungkinan boleh jadi. Riwayat al-Bukhari (543)

Hadith di atas menjadi asal atau hujah diperbolehkan jamak bagi orang yang bermukim. Ianya di ambil dari zahir hadith dengan mengatakan boleh jamak tanpa hajat keperluan semata-mata tetapi dengan syarat ianya tidak dilakukan secara berterusan. Ini merupakan pendapat Ibn Sirin, Rabi’ah, Asyhab, Ibn al-Munzir, al-Qaffal al-Kabir dan dihikayatkan oleh al-Khattabi daripada jamaah daripada ashab al-Hadith. [Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/219]

Berkata al-Imam al-Nawawi Rahimahullah: Pandangan ini dikuatkan oleh zahir perkataan Ibn Abbas R.Anhuma yang menyatakan  Baginda SAW tidak mahu menyusahkan umatnya dan tidak di’illahkan dengan penyakit dan tidak pula selainnya. [Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/219]

Mantuq lafaz zahir ini menunjukkan bahawa Nabi Sallahualaihiwasallam menjamakkan solat tanpa sebarang keuzuran.
Justeru itu, mafhumnya juga bahawa ketakutan, hujan dan musafir adalah jenis-jenis keuzuran dan dibenarkan untuk jamak.

Ditanggung dengan andaian berkenaan dengan solat jamak nabi Sallahualaihiwasallam kerana sebab uzur sakit dan ianya juga perkara-perkara yang membawa makna keuzuran yang lain. Ini adalah pendapat al-Imam Ahmad, al-Qadhi Husain dan ianya juga adalah pendapat pilihan al-Khattabi, al-Mutawalli, al-Ruyaani dan inilah pendapat yang terpilih kerana zahir hadith dan perbuatan Ibn Abbas dan muwafaqah dengan Abu Hurairah RA kerana terdapat padanya masyaqqah (kepayahan). [Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/218]

Boleh dilakukan solat jamak sekiranya terdapat keuzuran yang membolehkannya. Sakit itu adalah satu keuzuran dan bila terdapat kepayahan maka dibolehkan untuk orang yang sakit menjamakkan solatnya. Ini merupakan pendapat al-Imam Ahmad bin Hanbal dan juga Ishak. [Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/218]

Hujan, sejuk yang melampau, angin yang kencang dan jalan yang berbecak ini semua adalah keuzuran yang dibenarkan untuk menjamakkan solat. Ibn Mulaqqin Rahimahullah berkata: Ulama’ berbeza pendapat dalam mengatakan kebolehan untuk menjamakkan solat kerana hujan. Al-Imam al-Syafi’e dan jumhur membolehkannya pada solat-solat yang boleh dijamakkan padanya. Manakala al-Imam Malik hanya mengkhususkan pada waktu Maghrib dan Isyak sahaja. [Lihat al-I’lam bi Fawaid ‘Umdah al-Ahkam, 4/80]

Jamak juga dibolehkan ketika seseorang itu sakit. Ia merupakan pendapat di sisi al-Malikiyyah, al-Hanabilah dan pendapat sebahagian pendapat ulama’ al-Syafi’ieyyah. Telah berkata al-Imam al-Nawawi: Ini merupakan pendapat yang kuat. Mereka berhujah dengan mengatakan jamak tidak dilakukan kecuali jika terdapat keuzuran dan sakit itu satu keuzuran dan diqiyaskan kepada musafir dengan segala kepayahan bahkan untuk setiap solat-solat ke atas mereka yang sakit itu lebih payah dari orang yang bermusafir kecuali al-Malikiyyah yang berpendapat bahawa jamak dibenarkan ke atas mereka yang sakit adalah jamak takdim sahaja.

Pendapat muktamad dalam mazhab al-Syafie bahawa tidak boleh dijamakkan solat kerana sakit. Namun begitu, Imam Ahmad bin Hanbal membenarkannya, dan ini dipersetujui oleh sebahagian ulama Syafieyyah. Imam Nawawi berkata pendapat ini kuat dalilnya. Rujuk Syarah Sahih Muslim (5/213). 

Dalam mazhab al-Syafie, pendapat yang masyhur lagi muktamad bahawa jamak hanya pada safar yang jauh, ketika hujan dan ketika Hari Arafah. Adapun bagi orang yang sakit maka tidak boleh menjamakkan solat. Ini kerana faktor sakit adalah suatu yang tidak pasti sedangkan penetapan waktu solat adalah suatu yang sabit berdasarkan nas.  Namun begitu Imam al-Nawawi dan beberapa ulama Syafieyyah lain seperti al-Qadhi Hussein, Ibn Suraij, al-Ruyani, al-Mawardi, al-Darimi, dan al-Mutawalli menyokong pendapat yang membenarkannya. Rujuk Taqrirat al-Sadidah – Qism Ibadat (hal. 322)

Mazhab Imam Ahmad bin Hanbal membenarkan jamak sekiranya terdapat keuzuran atau masyaqqah (kesukaran). Berkata Imam Ibn Qudamah dalam al-Mughni (2/205-206):

“Tidak diharuskan jamak selain daripada apa yang kami telah sebutkan (seperti musafir, tanah berlumpur, angin kuat, hujan, dan sakit). Berkata Ibn Syubrumah: Dibenarkan sekiranya ada hajat atau suatu urusan, selagi mana tidak dijadikan sebagai adat, berdasarkan hadis Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW menjamakkan solat Zuhur dengan Asar, Maghrib dengan Isya’ tanpa sebab takut atau hujan. Ditanya Ibn Abbas mengapa Nabi berbuat demikian. Beliau menjawab kerana baginda tidak ingin memberatkan umatnya.

Syeikh Atiyyah Saqr, Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar, dalam fatwanya menghuraikan pendapat Hanabilah ini menyebut:
“Harus bagi pesakit untuk menjamakkan solat jika sukar baginya solat pada waktunya. Begitu juga bagi wanita yang menyusukan anak sedangkan dia keluar darah istihadah kerana mengelakkan sukarnya hendak bersuci pada setiap waktu solat. Serupa jua dengan orang yang menghidapi kencing tak lawas. Harus menjamakkan solat bagi orang yang tidak mampu mengetahui awal waktu solat seperti orang buta atau mereka yang tinggal di bawah bumi seperti para pekerja lombong, dan juga mereka yang takut sesuatu yang buruk berlaku pada nyawanya, hartanya, dan maruahnya, atau pun takut suatu mudarat berlaku pada kehidupannya jika dia tidak jamak. Pada demikian itu merupakan satu kemudahan bagi para pekerja yang mustahil bagi mereka untuk meninggalkan tugas mereka bagi menunaikan solat pada waktunya.” Rujuk Fatawa Dar al-Ifta` al-Misriyyah (9/55

Dari keterangan di atas menunjukkan bahawa dibolehkan  untuk melakukan jamak jika terdapat keuzuran atau ditimpa sakit yang mendatangkan kesusahan dan kesakitan jika melibatkan banyak pergerakan dan kesukaran untuk menjaga hadas kecil. Justeru itu,sakit itu adalah satu keuzuran dan apabila terdapat masyaqqah (kepayahan atau kesulitan) dibolehkan untuk orang yang sakit menjamakkan di antara dua solat.

Ini juga selari dengan Firman Allah Subhanahuwata'ala,

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

...dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan… al-Hajj ayat 78

Peringatan:

Namun pun begitu, sebagai peringatan tidaklah dibenar untuk seseorang itu bermudah-mudah atau mengambil jalan pintas untuk menjamakkan solat nya tanpa masyaqqah (kepayahan atau kesulitan) yang dibenarkan syarak. Justeru itu, kadar sakit berat dan sakit itu juga perlu kepada nasihat dan rujukan daripada doktor pakar.

No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...