Thursday, April 29, 2021

Memuliakan al-Quran di dalam bulan Ramadhan dan di bulan-bulan lain. Kemulian Ramadhan adalah kerana al-Quran diturunkan padanya.

Memuliakan al-Quran di dalam bulan Ramadhan dan di bulan-bulan lain. Kemulian Ramadhan adalah kerana al-Quran diturunkan padanya. 


Ramadhan dan al-Quran adalah satu ikatan yang tidak boleh dipisahkan atau ikatan yang tersimpul mati. Apabila disebut Ramadhan saja, maka akan terus teringat difikiran puasa dan penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran), iaitu bulan Ramadhan bulan yang diturunkan padanya al-Quran. Hal ini dijelaskan melalui firman Allah Subhanahuwata'ala:


شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ


Maksudnya: Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran. Al-Baqarah ayat 185


Al-Quran adalah kalamullah yang menjadi mukjizat. Membacanya mendapat pahala dan ganjaran sepertimana yang disebutkan oleh Baginda Nabi Sallahu'alaihiwasallam :


مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لَا أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ


Maksudnya : “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya kebaikan. Dan kebaikan itu sama seperti 10 kali ganda. Aku tidak katakana ألم itu satu huruf akan tetapi Alif satu huruf,Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”

Riwayat Al-Tirmizi (2910)


Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda :

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ


Maksudnya : “ Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya...." Riwayat Muslim (1910)

Memuliakan Al-Quran merupakan kewajipan bagi setiap muslim. Justeru kerana, Al-Quran merupakan firman Allah Subhanahuwata'ala yang perlu kita jaga. Dan menjaganya, bukan bererti kita berdiam diri di dekat mushaf Al-Quran dalam jangka waktu yang lama agar tidak ada yang merosakannya. Bukan pula, kita menyimpan mushaf Al-Quran di tempat yang paling selamat dari kecurian.


Kita wajib menjaga firman Allah Subhanahuwata'ala itu dengan terus memuliakannya. Diantara langkah atau cara yang boleh kita lakukan untuk memuliakan Al-Quran adalah:


1-Tasdiq


Tasdiq ertinya mengimani atau membenarkan. Iaitu setiap ayat dalam Al-Quran wajib kita imani dan tidak boleh ada keraguan sedikit pun. Di dalam surah Al-Baqarah telah Allah jelaskan bahawa kitab Al-Quran ini tidak ada keraguan padanya, 


ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ


Maksudnya:"Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa. Al-Baqarah ayat 2.


2. Tilawah dengan Baik dan Benar


Firman Allah Subhanahuwata'ala


وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا


Maksudnya: dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil". Al-Muzammil ayat 4


Imam al-Mawardi menafsirkan ayat ini bahawa yang dimaksudkan daripadanya adalah suruhan untuk membaca ayat al-Quran mengikut aturannya dan susunannya, jangan merubah lafaz dan jangan mendahulukan ayat yang akhir pada yang awal, ibarat aturan gigi yang kemas apabila asasnya sama dan tersusun rapi, ini adalah apa yang dikatakan oleh Ibn Bahr. [Lihat: Tafsir al-Mawardi; 6/126].


Tartil maksudnya membaca dengan tajwid dan mengetahui kaidah-kaidah waqaf. Satu alasannya iaitu kerana Al-Quran berbahasa Arab. Membaca al-Quran bertajwid  adalah wajib. 


Suruhan dan juga galakan agar membaca al-Quran dengan baik dan bertajwid boleh dilihat pada sabda Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam:


وَزَيِّنُوا القُرْآنَ بِأَصْوَاتِكُمْ


Maksudnya: “Dan hiasilah al-Quran dengan suara-suara kamu.”

Riwayat al-Bukhari (792), [Lihat: Shahih al-Bukhari; 9/158]


Dan juga Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ"‏‏‏.‏ وَزَادَ غَيْرُهُ ‏"يَجْهَرُ بِهِ"


Maksudnya: “Bukan dari kalangan kami mereka yang tidak memperindahkan bacaan al-Quran”. Sebahagian yang lain menyebut ”menyaringkannya”.

Riwayat al-Bukhari (7527)


Maksud umum yang boleh kita fahami dari kedua-dua hadith ini dan juga pada ayat al-Quran di atas, bahawa Islam menuntut umatnya yang membaca al-Quran agar membacanya dengan bacaan yang baik lagi elok, dan boleh juga kita fahami bahawa Islam menyuruh kita agar membaca al-Quran dengan bertajwid.


Tajwid dari sudut bahasa ialah menjadikan sesuatu itu baik dan elok (lawan kepada buruk). Manakala dari sudut istilah pula ia bermakna memberikan atau meletakkan setiap satu huruf apa yang patut baginya (haknya) dari segi sifat-sifat huruf seperti menyatakan atau menyembunyikan, dan juga apa yang dimestikan baginya dari segi apa yang terhasil daripada sifat-sifat itu seperti tebal, nipis dan sebagainya. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 10/177].


3. Tadabbur


Tadabbur adalah mengkaji, memahami, dan mempelajari isinya. Sebagaimana firman Allah,


 “كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ


Maksudnya:"Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkat supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran”.  Sad Ayat 29


أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا



Maksudnya:Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Quran ataukah hati mereka terkunci?. Muhammad ayat 24.


Allah Subhanahuwata’ala juga telah menjelaskan bahawa salah satu faktor  yang menyebabkan sesatnya seseorang dari jalan lurus  adalah lantaran meraka tidak mentadaburi al-Qur’an dan tidak mahu mendengarnya, sebagaimana Allah Subhanahuwata’ala berfirman:


 قَدْ كَانَتْ آيَاتِي تُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ فَكُنْتُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ تَنْكِصُونَ ﴿٦٦﴾ مُسْتَكْبِرِينَ بِهِ سَامِرًا تَهْجُرُونَ ﴿٦٧﴾ أَفَلَمْ يَدَّبَّرُوا الْقَوْلَ أَمْ جَاءَهُمْ مَا لَمْ يَأْتِ آبَاءَهُمُ الْأَوَّلِينَ 


Maksudnya:"Sesungguhnya ayat-ayat-Ku (al-Qur’an) selalu dibacakan kepada kamu sekalian, Maka kamu selalu berpaling ke belakang, dengan menyombongkan diri terhadap al-Qur’an itu dan mengucapkan perkataan-perkataan keji terhadapnya di waktu kamu bercakap-cakap di malam hari. Maka apakah mereka tidak memperhatikan perkataan (Kami), atau apakah telah datang kepada mereka apa yang tidak pernah datang kepada nenek moyang mereka dahulu?". Al-Mu’minun ayat 66-68.


Tadabbur tidak memerlukan seseorang itu memenuhi syarat-syarat tertentu kecuali kefahaman secara umum tentang satu-satu ayat. Hal ini kerana Allah Subhanahuwata'ala telah menjadikan al-Qur’an itu mudah untuk difahami secara umum. Kerana itulah Allah Subhanahuwata'ala berfirman:


وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِنْ مُدَّكِرٍ


Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami permudahkan al-Qur’an itu untuk diambil peringatan daripadanya; maka adakah yang mahu mengambil peringatan? Surah al-Qamar ayat 17.


Tadabur berbeza dengan mentafsir al-Quran. Adapun tafsir, maka para ulama telah meletakkan syarat-syarat yang ketat yang perlu dipenuhi sebelum seseorang itu boleh mentafsirkan al-Qur’an. Kerana itulah sebahagian ulama salaf bersikap berhati-hati dan teliti ketika ingin mengeluarkan pandangan tentang tafsir, kerana takut berkata suatu perkara tentang Allah Subhanahuwata'ala tanpa ilmu. (Rujuk Al-Fusul fi Usul al-Tafsir, hlm. 47)


4. Takdiq


Maksudnya adalah mengamalkan al-Quran. Al-Quran wajib dijadikan sebagai petunjuk, pedoman hidup kita. Untuk itu, harus diamalkan dalam kehidupan kita.


Allah Subhanahuwata'ala menyebut dalam surah al-Israa ayat 9:


إِنَّ هَٰذَا الْقُرْآنَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا كَبِيرًا


Maksudnya:"Sesungguhnya Al-Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang Mu'min yang mengerjakan amal saleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar".


Bahkan lebih daripada itu, al-Quran adalah kitab petunjuk yang menjadi pedoman bagi manusia sehinggalah hari kiamat. Firman Allah Subhanahuwata'ala :


ذَٰلِكَ ٱلْكِتَـٰبُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ


Maksudnya : “Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa”.Surah Al-Baqarah ayat 2.


Al-Quran sarat dengan pelbagai pedoman dan pengajaran untuk memandu manusia melalui kehidupan dunia dan akhirat.


5. Belajar dan mengajar al-Quran


Seperti sabda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam:


خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ


Maksudnya: Sebaik-baik kalian adalah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya".

Riwayat al-Bukhari (5027


6. Tahfizh


Ertinya menghafalkannya. Hal itu harus  kita lakukan demi memuliakan Al-Quran. Jika bukan kita yang memuliakannya, siapa lagi? Dan, jika tidak kita muliakan al-Quran, bagaimana cara kita boleh mengetahui tentang suatu kebenaran menuju jalan keselamatan dunia dan akhirat?  


Ancaman Nabi Sallallahu'alaihiwasallam yang menyatakan ramai orang membaca al-Quran, tetapi al-Quran melaknatnya mungkin kerana disebabkan gagal mengamalkan pendidikan al-Quran.

وَالقُرْاَنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ

Maksudnya:“Al-Qur’an itu boleh menjadi pembelamu atau musuh bagimu.” Riwayat Muslim ( 223)

Seperti yang dikatakan oleh Anas bin Malik yang ditulis oleh Imam al-Ghazali dalam kitab Al-Mursyidul Amin, Hal 65:

رب تال للقران والقرأن يلعنه

Maksudnya:“Kadangkala ada Orang yang membaca al-qur’an sedangkan al-Qur’an itu sendiri melaknatnya”.

Syaikh al-Islam Abu Yahya Zakariya Al-Anshari, dalam kitabnya Syarh Al-Muqaddimah Al-Jazariyyah, halaman 20, ketika memberikan tafsiran terhadap ucapan di atas, beliau mengatakan :

وَاْلقَارِئُ بِتَرْكِهِ ذٰلِكَ (التَّجْوِيْدَ) مِنَ الدَّاخِلِيْنَ فِى ذٰلِكَ الْخَبَرِ

Maksudnya:"Seorang qari' (pembaca Al-Qur'an) yang tidak mengindahkan ilmu tajwid ketika membacanya termasuk ke dalam ancaman ucapan tersebut".

Wednesday, April 28, 2021

Usia hampir penghujungnya dan bulan Ramadhan adalah peluang terakhir untuk mencari keampunan serta mengumpul bekal ke akhirat.

Usia hampir penghujungnya dan bulan Ramadhan adalah peluang terakhir untuk mencari keampunan serta mengumpul bekal ke akhirat. 


Ramadhan yang kita lalui pada setiap tahun pastinya ada perbezaannya. Perbezaan yang paling nyata dan sudah pasti adalah usia kita kian meningkat ketika menyambut Ramadhan pada tahun berkenaan.


Apabila usia semakin tua, maka semakin dekat pula kita kepada kematian. Semua orang berasa takut untuk menghadapi kematian kerana merasakan amalan masih banyak kekurangan.


Namun, dengan kemurahan-Nya Allah Subhanahuwata'ala telah mengurniakan kita kesempatan untuk bertemu Ramadhan bagi menggandakan pahala amalan serta diampunkan dosa kita yang lalu.


Diantaranya ialah Allah Subhanahuwata'ala telah mengkhususkan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan di dalamnya iaitu malam al-Qadr (Lailatul Qadr). Allah Subhanahuwata'ala berfirman di dalam al-Quran:


لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ


Maksudnya: Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan".  Al-Qadr ayat 3


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda kepada seorang wanita Ansar:


 فَإِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فَاعْتَمِرِي ، فَإِنَّ عُمْرَةً فِيهِ تَعْدِلُ حَجَّةً


Maksudnya: Sekiranya telah tiba bulan Ramadhan, maka hendaklah kamu mengerjakan umrah. Ini kerana umrah pada bulan tersebut menyamai pahalanya seperti mengerjakan haji. Dalam riwayat Muslim: seperti mengerjakan haji bersama aku (Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam).

Riwayat al-Bukhari (1782) dan Muslim (1256)


Antara kelebihannya adalah puasa sebagai penghapus dosa:


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ


Dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda: “Barang siapa yang berpuasa Ramadhan kerana iman dan penuh keikhlasan, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”. Riwayat Bukhari, 37. 


Keampunan dengan sebab solat malam.

Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:


: مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ 


Maksudnya: "Barangsiapa melaksanakan solat malam pada bulan Ramadhan kerana iman dan ingin mendapatkan pahala, maka dia diampuni semua dosanya yang telah lalu. (Riwayat  Muslim (1778).


Keampunan dengan sebab zakat fitrah.

Dari Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhuma, ia berkata,


فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلاَةِ فَهِىَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلاَةِ فَهِىَ صَدَقَةٌ مِنَ الصَّدَقَاتِ.


Maksudnya:“Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang yang berpuasa dari bersenda gurau dan kata-kata keji, dan juga untuk memberi makan orang miskin. Barangsiapa yang menunaikannya sebelum solat maka zakatnya diterima dan barangsiapa yang menunaikannya setelah solat maka itu hanya dianggap sebagai sedekah di antara berbagai sedekah.” Riwayat Abu Daud 1609; Ibnu Majah 1827. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa sanad hadith ini hasan.


Begitulah betapalah besarnya ganjaran pahala yang Allah Subhanahuwata'ala sediakan kepada hamba-Nya hanya pada bulan Ramadhan.


Bayangkan jika tiada bulan Ramadhan, apa akan jadi dengan dosa yang kita lakukan selama ini?


Perkara yang menghalang diri kita begitu berat melakukan amal ibadat adalah disebabkan ‘himpunan’ dosa kita itu.


Sepatutnya, setiap kali Ramadhan kita layak mendapat pengampunan serta membersihkan diri kita daripada dosa.


Antara tanda dosa seseorang itu diampunkan selepas berakhirnya Ramadhan adalah dia semakin rajin dan dapat merasai kemanisan dalam beribadat.


Kita perlu takut dengan doa Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam iaitu celakalah mereka yang masuk bulan Ramadhan tetapi tidak mendapat pengampunan.


Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:


أنَّ النَّبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم صَعِدَ المِنْبَرَ فَقَالَ آمِيْنَ آمِيْنَ آمِيْنَ قِيْلَ يَا رَسُوْلَ اللهِ إنَّكَ صَعِدْتَ المِنْبَرَ فَقُلْتَ آمِيْنَ آمِيْنَ آمِيْنَ فَقَالَ إنَّ جِبْرِيْلَ عَلَيْهِ السَّلَامُ أَتَانِيْ فَقَالَ مَنْ أَدْرَكَ شَهْرَ رَمَضَانَ فَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ فَدَخَلَ النَّارَ فَأَبْعَدَهُ اللَّهُ قُلْ آمِيْنَ فَقُلْتُ آمِيْنَ وَمَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ أَوْ أَحَدَهُمَا فَلَمْ يَبِرَّهُمَا فَمَاتَ فَدَخَلَ النَّارَ فَأَبْعَدَهُ اللهُ قُلْ آمِيْنَ فَقُلْتُ آمِيْنَ وَمَنْ ذُكِرْتَ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ فَأَبْعَدَهُ اللهُ قُلْ آمِيْنَ فَقُلْتُ آمِيْنَ


Maksudnya: Ketika Nabi Sallahualaihiwasallam menaiki mimbar, Baginda Sallahualaihiwasallam bersabda: “Amin, Amin , Amin (sebanyak 3 kali)”. Baginda Sallahualaihiwasallam ditanya: “Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin , amin”. Maka Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda: “Sesungguhnya Jibril AS telah datang kepadaku, lalu dia (Jibril) berkata: Barangsiapa yang bertemu dengan bulan Ramadhan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah Subhanahuwata'ala. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin. Dan barangsiapa sempat dengan kedua orang tuanya tetapi tidak berlaku baik kepada meraka. Kemudian dia meninggal maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah Subhanahuwata'ala. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin. Dan barangsiapa yang disebut kepadanya dan dia tidak berselawat kepadaku, maka dia akan dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah Subhanahuwata'ala. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin”.  [Lihat: al-Targhib wa al-Tarhib, 2/57]


Berdasarkan hadith ini, sebagai pengajaran ada tiga perkara yang perlu diambil ingatan :


1-Orang yang bertemu bulan Ramadhan tetapi tidak mendapat keampunan daripada Allah Subhanahuwata'ala.

2-Orang yang tidak berlaku baik kepada kedua orang tuanya sehingga dia meninggal.

3-Orang yang tidak berselawat kepada Nabi Muhammad Sallahualaihiwasallam apabila disebut kepadanya.


Dari hadith-hadith di atas, jelas menunjukan bahawa orang yang tidak mendapat keampunan daripada Allah Subhanahuwata'ala di dalam Ramadhan termasuk di dalam kalangan  orang-orang yang rugi.  Bagi yang berkesempatan untuk berada di dalam bulan Ramadhan ini, maka disarankan untuk beribadah dengan penuh keimanan dan bersunguh-sungguh dalam mengharapkan pahala daripada Allah Subhanahuwata'ala.  Ganjaran besar berupa pengampunan dosa yang telah lalu menanti bagi mereka yang beribadah bersungguh-sungguh di dalam bulan yang mulia ini.


Begitu banyak keampunan di dalam bulan Ramadhan, sehingga apabila ada yang tidak diampuni di bulan Ramadhan maka adalah benar-benar “keterlaluan” dan buruknya amalannya disepanjang bulan Ramadhan.


Ibnu Rajab menukilkan perkataan salaf,


من لم يغفرْ لَه في رمضان فلن يغفر له فيما سواه؛


Maksudnya:“Barangsiapa yang tidak diampuni dosa-dosanya di bulan Ramadhan, maka tidak akan diampuni dosa-dosanya di bulan-bulan lainnya”. [Latha-if Al-Ma’arif, hal. 297]


Puasa bukan sekadar meninggalkan makan dan minum, tetapi kita berusaha ‘menjinakkan’ hawa nafsu.


Alangkah rugi sekiranya kita tergolong dalam kalangan mereka yang tidak memanfaatkan kehadiran Ramadhan.


Lebih teruk apabila ada yang merasakan kehadiran Ramadhan itu memberi kesusahan pada diri mereka.

Tuesday, April 27, 2021

Dua Jihad didalam bulan Ramadhan

Dua Jihad didalam bulan Ramadhan

Puasa dan solat malam disebut sebagai jihad kerana ia sebenarnya agak sukar dan perlu diusahakan secara bersungguh-sungguh sebelum menjadi kebiasaan.


Dalam erti kata lain, setiap Muslim perlu konsisten melakukan dua amalan ini di bulan Ramadhan dengan penuh sabar serta memahami bahawa amalan-amalan inilah yang akhirnya akan membantu penyempurnaan tujuan puasa Ramadhan iaitu menambah ketakwaan dalam diri.


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam


وَالْمُجَاهِدُ مَنْ جَاهَدَ نَفْسَهُ فِي طَاعَةِ اللَّهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ الْخَطَايَا وَالذَّنُوبَ


Maksudnya:"Mujahid adalah orang yang memerangi diri sendiri dalam mentaati Allah dan muhajir adalah orang meninggalkan kesalahan-kesalahan dan dosa-dosa". Riwayat Ahmad (22833)


Syaikh ‘Abdurrahman As-Sa’di rahimahullah menjelaskan hadith ini, “Mujahid ditafsirkan sebagai orang yang bersungguh-sungguh menundukkan hawa nafsunya dalam ketaatan kepada Allah. Hal ini kerana kecenderungan jiwa adalah malas melakukan kebaikan, cenderung memerintahkan keburukan, dan mudah mengeluh ketika ada musibah. Oleh kerana itu, diperlukan kesabaran dan kesungguhan dalam komitmen untuk taat kepada Allah, memerlukan keteguhan dalam ketaatan, perlu bersungguh-sungguh melawan perbuatan maksiat kepada Allah, serta bersungguh-sungguh dalam sabar ketika ditimpa musibah. Yang dimaksud ketaatan di sini adalah melaksanakan perintah, menjauhi perkara yang terlarang, dan sabar menghadapai takdir. Seorang mujahid yang hakiki adalah yang bersungguh-sungguh merealisasikan tugas dan kewajibannya”.


Tidak dinafikan bahawa banyak ibadah yang boleh dilakukan oleh seorang Muslim di dalam Bulan Ramadhan. Namun, ada dua ibadah yang perlu mendapat perhatian khusus dibandingkan ibadah-ibadah yang lainnya, iaitu melaksanakan ibadah puasa di siang harinya dan melaksanakan solat terawih di malam harinya. Hendaknya kita bersungguh-sungguh menjaga dua ibadah ini, mengenal keutamaanya, memperhatikan adab dan sunnahnya, serta menjaga dari perosak pahalanya.


Al Hafidz Ibnu Rajab rahimahullah berkata,


اعلَمْ أنَّ المؤمنَ يجتَمعُ له في شَهر رمضَان جهادَان لنَفْسِه :

 جهادٌ بالنَّهار على الصِّيام ،

 وجهادٌ باللَّيل على القِيام ،


– فمَن جمعَ بينَ هذَيْن الجهادَيْن ، ووَفَّى بحُقُوقهما ، وصَبَر عليهما ، وفَّى أجرَه بغَير حسَابٍ


Maksudnya:“Ketahuilah, sesungguhnya bagi orang yang beriman terdapat dua jihad melawan dirinya sendiri selama Bulan Ramadhan:

–Jihad di siang hari dengan berpuasa. 

–Jihad di malam hari dengan menegakkan solat malam. 


Barangsiapa yang boleh mengumpulkan kedua jihad tersebut, melaksanakannya dengan benar, senantiasa bersabar dalam menunaikannya, maka layak baginya mendapat balasan yang tidak terbatas” Lihat Lathaaiful Ma’aarif.


Yang dimaksudkan dengan jihad di sini adalah bersungguh-sungguh dalam mewujudkan perkara yang Allah cintai. Inilah makna luas jihad secara umum, sehingga termasuk dalam makna ini seluruh perbuatan amal soleh


Bersungguh-sungguh melaksana dan menjaga Ibadah Puasa. 


Puasa adalah amalan utama di siang hari Bulan Ramadhan. Amalan ini merupakan salah satu kewajiban yang pokok dalam Islam. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ


Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan bagi kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan pada orang-orang sebelum kamukamu agar kalian menjadi orang-orang yang bertakwa”. Al-Baqarah ayat 183.


Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam menjelaskan keutamaan puasa, 


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ


Dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda: “Barang siapa yang berpuasa Ramadhan kerana iman dan penuh keikhlasan, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”. Riwayat Bukhari, 37.


Beliau Sallallahu‘alaihiwasallam juga bersabda,


عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ؛ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بَاعَدَ اللَّهُ بِذَلِكَ الْيَوْمِ النَّارَ مِنْ وَجْهِهِ سَبْعِينَ خَرِيفًا


Maksudnya:"Dari Abu Sa'id Al Khudri ia berkata, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda: "Barangsiapa berpuasa satu hari di jalan Allah, maka dengannya Allah akan menjauhkan wajahnya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun perjalanan". Ibnu Majah 1707.


Walaupun begitu perlu diingat, bahawa puasa bukan hanya menahan makan dan minum semata, namun Muslim yang berpuasa perlu juga menjaga dari berbagai macam perbuatan dosa.


Beliau Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam:


مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلّٰهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَه


Maksudnya:“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya”. Riwayat al-Bukhari, Hadith no 1770, 5597.


Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam juga bersabda,


رُبَّ صَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ صِيَامِهِ الجُوْعُ وَالعَطَشُ


Maksudnya:“Berapa banyak orang yang berpuasa namun dia tidak mendapatkan dari puasanya tersebut kecuali rasa lapar dan dahaga”. Riwayat Ath-Thabrani. 


Semangat untuk mengerjakan Solat Malam


Di malam Bulan Ramadhan, ibadah yang sangat dianjurkan adalah menunaikan solat malam (solat terawih). Solat malam di Bulan Ramadhan memiliki keutamaan yang luar biasa. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ حَدَّثَهُمْ؛ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ


Maksudnya:" Bahawa Abu Hurairah telah menceritakan kepada mereka, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap (pahala dari Allah), maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni. Dan siapa yang menegakkan (solat pada malam) Lailatul Qadr dengan keimanan dan mengharap (pahala dari Allah), maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni". Riwayat Muslim (1268)


Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam pernah mengumpulkan keluarga dan para sahabatnya, kemudian beliau bersabda,


إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الْإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ قِيَامَ لَيْلَةٍ


Maksudnya:“Barangsiapa yang solat bersama imam sehingga ia selesai, maka ditulis untuknya pahala solat satu malam penuh”. Riwayat al-Nasai (1587).


Hadith ini merupakan anjuran agar kaum muslimin mengerjakan solat terawih secara berjamaah dan mengikuti imam hingga selesai.










Friday, April 23, 2021

Puasa memberi Syafaat kepada yang berpuasa dan al-Quran memberi syafaat kepada yang membacanya.

Puasa memberi Syafaat kepada yang berpuasa dan al-Quran memberi syafaat kepada yang membacanya. 


Berpuasa dan membaca al-Quran adalah merupakan ibadah yang istimewa kerana di sana terdapat banyak kelebihan yang akan diperolehi bagi orang yang melakukannya. Dimana kedua ibadah tersebut mampu memberi syafaat kepada orang yang melakukannya dengan izin Allah Subhanahuwata'ala. 


Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

 


الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، يَقُولُ الصِّيَامُ: أَيْ رَبِّ، مَنَعْتُهُ الطَّعَامَ وَالشَّهَوَاتِ بِالنَّهَارِ، فَشَفِّعْنِي فِيهِ، وَيَقُولُ الْقُرْآنُ: مَنَعْتُهُ النَّوْمَ بِاللَّيْلِ، فَشَفِّعْنِي فِيهِ، قَالَ: فَيُشَفَّعَانِ


Maksudnya: “Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat buat hamba pada hari kiamat. Puasa berkata: “Wahai Rab!, Aku telah menahannya daripada makan dan syahwat pada siang hari, maka izinkan aku memberi syafaat kepadanya. Al-Quran pula berkata: Aku telah menahannya daripada tidur pada malam hari, maka izinkan aku memberi syafaat kepadanya. Kemudian, keduanya memberi syafaat (kepada orang yang melakukannya).” [Riwayat Ahmad (6626) dan al-Thabarani (88)]


Hadith di atas disokong oleh hadith yang berikut:


Daripada Abu Umamah RA, aku mendengar Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

 


اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ


Maksudnya: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya”. Riwayat Muslim (804)

 

Daripada Abu Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

 


لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ: فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ، وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ


Maksudnya: “Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya”. Riwayat Muslim (1151)


Apakah itu Syafa’at?


Para ulama mendefinisikan syafa’at:


ﻓﺎﻟﺸﻔﺎﻋﺔ ﻫﻲ ﺍﻟﺘﻮﺳﻂ ﻟﻠﻐﻴﺮ ﻓﻲ ﺟﻠﺐ ﺍﻟﻤﻨﻔﻌﺔ ﺃﻭ ﺩﻓﻊ ﺍﻟﻤﻀﺮﺓ


Maksudnya:“Syafaat adalah sebagai penengah/wasilah bagi yang lain untuk mendatangkan manfaat dan mencegah bahaya/madharat.”


Syafaat ini mungkin berupa syafaat di dunia ataupun syafaat di akhirat. Syafaat di dunia mungkin berupa syafa’at yang baik dam buruk sedangkan syafaat di akhirat adalah syafaat yang baik


Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


مَنْ يَشْفَعْ شَفَاعَةً حَسَنَةً يَكُنْ لَهُ نَصِيبٌ مِنْهَا ۖ وَمَنْ يَشْفَعْ شَفَاعَةً سَيِّئَةً يَكُنْ لَهُ كِفْلٌ مِنْهَا


Maksudnya:“Barangsiapa yang memberikan syafa’at yang BAIK, nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) dari padanya. Dan barangsiapa memberi syafaat yang BURUK, niscaya ia akan memikul bahagian (dosa) dari padanya.” An-Nisaa’ ayat 85.


Maksud hadith mengenai syafaat oleh puasa dan Al-Quran adalah syafaat di akhirat. Saat itu, manusia sangat memerlukan syafaat dengan izin Allah kerana kesusahan yang manusia alami pada hari kiamat, seperti:


1. Matahari didekatkan pada manusia sejauh satu mil. 

2. Manusia ada yang tenggelam dengan peluhnya. 

3. Manusia ada yang diseret dan berjalan dengan wajahnya. 

4. Kejadian di padang mahsyar yang sangat lama, di mana satu hari di akhirat sama dengan 1000 tahun di bumi.


Dinukilkan beberapa dalil mengenai hal ini. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


ﺇِﻧَّﻜُﻢْ ﺗُﺤْﺸَﺮُﻭْﻥَ ﺭِﺟَﺎﻻً ﻭَﺭُﻛْﺒَﺎﻧًﺎ ﻭَﺗُﺠَﺮُّﻭْﻥَ ﻋَﻠَﻰ ﻭُﺟُﻮْﻫِﻜُﻢْ


Maksudnya:“Sesungguhnya kalian akan dikumpulkan (ke Padang Mahsyar) dalam keadaan berjalan, dan (ada juga yang) berkendaraan, serta (ada juga yang) diseret di atas wajah-wajah kalian". Riwayat Tirmizi, Sahih at-Targhib wat-Tarhib  no. 3582.


Satu hari di akhirat sama dengan seribu hari di dunia. Sebagaimana yang Allah Subhanahuwata’ala sebutkan,


وَإِنَّ يَوْمًا عِنْدَ رَبِّكَ كَأَلْفِ سَنَةٍ مِمَّا تَعُدُّونَ


Maksudnya:“Sesungguhnya sehari disisi Tuhanmu adalah seperti seribu tahun menurut perhitunganmu". Al Hajj ayat 47.


Ini bermaksud, setengah(½) hari di akhirat sama dengan 500 tahun di dunia.


Adapun firman Allah Subhanahuwata’ala,


فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ


Maksudnya:“Dalam sehari yang kadarnya limapuluh ribu tahun”. Al Ma’arij ayat 4. 


Ayat ini pula menunjukkan pengkhususan dari maksud umum yang disebutkan sebelumnya  atau difahami bahawa waktu tersebut begitu lama bagi orang-orang kafir. Itulah kesulitan yang dihadapi oleh orang-orang kafir,


فَإِذَا نُقِرَ فِي النَّاقُورِ (8) فَذَلِكَ يَوْمَئِذٍ يَوْمٌ عَسِيرٌ (9) عَلَى الْكَافِرِينَ غَيْرُ يَسِيرٍ (10


Maksudnya:“Apabila ditiup sangkakala, maka waktu itu adalah waktu (datangnya) hari yang sulit, bagi orang-orang kafir lagi tidak mudah”. Al Mudatsir ayat 8-10.


Justeru itu kita sangat memerlukan syafaat di hari kiamat nanti, diantara  yang dapat memberi syafaat adalah puasa dan Al-Quran sebagaimana dalam hadith di atas.


Namunpun begitu ditekankan bahawa pada hakikatnya syafa’at ini hanya milik Allah. Sebagaimana Allah Subhanahuwata’ala telah berfirman,


ﻗُﻞ ﻟِّﻠَّﻪِ ﭐﻟﺸَّﻔَٰﻌَﺔُ ﺟَﻤِﻴﻌٗﺎۖ


Maksudnya:“Katakanlah semua syafaat hanyalah milik Allah". Az-Zumar ayat 44)


Juga firman Allah Subhanahuwata’ala, 


ﻣَﻦ ﺫَﺍ ﭐﻟَّﺬِﻱ ﻳَﺸۡﻔَﻊُ ﻋِﻨﺪَﻩُۥٓ ﺇِﻟَّﺎ ﺑِﺈِﺫۡﻧِﻪِۦۚ


Maksudnya:“Tidak ada yang memberikan syafaat disisi Allah kecuali dengan izin-Nya". Al-Baqarah ayat 255.


Puasa dan Al-Quran serta makhluk lainnya yang dapat memberi syafaat sebagaimana dalam dalil tidaklah mempunyai syafaat sebenarnya, tetapi pada hakikatnya hanya diberikan izin oleh Allah untuk memberikan syafaat. Oleh kerana itu, kita hanya boleh meminta syafaat hanya kepada Allah saja.




Thursday, April 22, 2021

Puasa adalah perisai atau benteng.

Puasa adalah perisai atau benteng. 


Seorang Muslim yang beriman sentiasa ingat bahawa, Ramadhan bukan seperti bulan-bulan yang lain tetapi satu bulan yang sangat istimewa. Bulan Ramadhan bulan semua orang Islam diperintahkan berpuasa kecuali yang ada kelonggaran ke atasnya. Puasa ini untuk Allah Subhanahuwata'ala dan Allah Subhanahuwata'ala yang akan membalasnya dengan balasan yang tidak terbayang oleh fikiran kita.


Firman Allah Subhanahuwata'ala, 


وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ 


Maksudnya:“Dan kalau kamu puasa, itu lebih baik bagi kamu kalau kamu mengetahuinya”. Al-Baqarah ayat 184.


Allah berfirman dalam hadith qudsi:


   إِلَّا الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي ، وَأَنَا أَجْزِي بِهِ 


Maksudnya: ".....Kecuali puasa.Sesungguhnya ia milik Aku. Aku lah yang akan membahagi-bahagikan ganjaran pahalanya".  Riwayat Muslim(1952).


Puasa adalah ibadah yang istimewa kerana memiliki banyak keutamaan. Di antara keistimewaannya iaitu puasa merupakan perisai bagi seorang muslim.


Puasa adalah perisai, ini bermakna bahawa puasa tersebut menjadi benteng bagi orang yang berpuasa dari perbuatan keji dan amalan yang tidak layak dengan ibadah puasa. 

Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasalaam memberikan semacam acuan batin bagi pelaku puasa, untuk menjadikannya berfungsi dan menghasilkan kesan positif bagi peribadi dan lingkungannya. 


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda.


 الصِّيَامُ جُنَّةٌ يَسْتَجِنُّ بِهَا الْعَبْدْ مِنَ النَّارِ 


Maksudnya:“Puasa adalah perisai, seorang hamba berperisai dengannya dari api neraka”. Riwayat Ahmad 3/241, 3/296 dari Jabir, Ahmad 4/22 dan Utsman bin Abil ‘Ash. 


Yang dimaksud puasa sebagai (جُنَّةٌ) (perisai) adalah puasa akan menjadi pelindung yang akan melindungi bagi pelakunya di dunia dan juga di akhirat.


1-Adapun di dunia maka akan menjadi pelindung yang akan menghalanginya untuk mengikuti godaan syahwat yang terlarang di saat puasa. Oleh kerana itu tidak boleh bagi orang yang berpuasa untuk membalas orang yang menganiaya dirinya dengan balasan serupa, sehingga jika ada yang mencela ataupun menghina dirinya maka hendaklah dia mengatakan, “Aku sedang berpuasa.”


Dari Abu Hurairah, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


لَيْسَ الصِّيَامُ مِنَ الأَكْلِ وَالشَّرَبِ ، إِنَّمَا الصِّيَامُ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ ، فَإِنْ سَابَّكَ أَحَدٌ أَوْ جَهُلَ عَلَيْكَ فَلْتَقُلْ : إِنِّي صَائِمٌ ، إِنِّي صَائِمٌ


Maksudnya:“Puasa bukanlah hanya menahan makan dan minum saja. Akan tetapi, puasa adalah dengan menahan diri dari perkataan lagwu(lalai) dan rofats(lucah). Apabila ada seseorang yang mencelamu atau berbuat keji padamu, katakanlah padanya, “Aku sedang puasa, aku sedang puasa”. Riwayat Ibnu Majah dan Hakim.  At Targib wa At Tarhib no. 1082.


2-Adapun di akhirat maka puasa menjadi perisai dari api neraka, yang akan melindungi dan menghalangi dirinya dari api neraka pada hari kiamat (Lihat Syarh Arba’in An-Nawawiyyah) 


Bersabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam.


 مَا مِنْ عَبْدٍ يَصُوْمُ يَوْمًا فِي سَبِيْلِ اللَّهِ إِلاَّبَاعَدَ اللَّهُ بَذَلِكَ وَجْهَهُ عَنِ النَّارِ سَبْعِيْنَ خَرِيْفًا


Maksudnya:“Tidaklah seorang hamba yang puasa di jalan Allah kecuali akan Allah jauhkan dia (kerana puasanya) dari neraka sejauh tujuh puluh musim”.

Riwayat Bukhari 6/35, Muslim 1153 dari Abu Sa’id Al-Khudry, ini adalah lafaz Muslim. Sabda Rasulullah : “70 musim” yakni : perjalanan 70 tahun, demikian dikatakan dalam Fathul Bari 6/48].

 

Dan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda.


 مَنْ صَامَ يَوْمًا فِيْ سَبِيْلِ اللَّهِ جَعَلَ اللَّهُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ النَّارِ خَنْدَقًا كَمَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأرْض


Maksudnya:“Barangsiapa yang berpuasa sehari di jalan Allah maka di antara dia dan neraka ada parit yang luasnya seperti antara langit dengan bumi”.


Dikeluarkan oleh Tirmidzi no. 1624 dari hadits Abi Umamah, Dan dikeluarkan pula oleh At-Thabrani di dalam Al-Kabir 8/260,274, 280 dari dua jalan dari Al-Qasim dari Abi Umamah.  Dari Abi Darda’, dikeluarkan oleh Ath-Thabrani di dalam Ash-Shagir 1/273.


Sebahagian ahlul ilmi telah memahami bahawa hadith-hadith tersebut merupakan penjelasan tentang keutamaan puasa ketika jihad dan berperang di jalan Allah. Namun zahir hadith ini mencakupi semua puasa jika dilakukan dengan ikhlas kerana mengharapkan wajah Allah Ta’ala, sesuai dengan apa yang dijelaskan oleh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwassalm termasuk puasa di jalan Allah (seperti yang disebutkan dalam hadith ini)


Telah jelas bahawa puasa memiliki pengaruh yang menakjubkan dalam menjaga anggota badan yang zahir dan kekuatan batin.


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam menyuruh orang yang  kuat syahwatnya dan belum mampu untuk menikah agar berpuasa, menjadikannya sebagai وِجَاءٌ (Maksudnya memutuskan syahwat jiwa) bagi syahwat ini, kerana puasa menahan kuatnya anggota badan hingga boleh mengawalnya, menenangkan seluruh anggota badan, serta seluruh kekuatan (yang keji) ditahan hingga boleh taat dan dirantai dengan rantai puasa.


Oleh karena itu Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda.


 يَامَعْشَرَالشَبَابِ مَنْ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ 


Maksudnya:“Wahai sekalian para pemuda, barangsiapa di antara kalian telah mampu الْبَاءَةَ (Yang mampu menikah dengan berbagai persiapannya) hendaklah menikah, kerana menikah lebih menundukkan pandangan, dan lebih menjaga kehormatan. Barangsiapa yang belum mampu menikah, hendaklah puasa kerana puasa merupakan وِجَاءٌ (pemutus syahwat) baginya”.


Riwayat Bukhari 4/106 dan Muslim no. 1400 dari Ibnu Mas’ud. 


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam telah menjelaskan bahawa syurga diliputi dengan perkara-perkara yang tidak disenangi, dan neraka diliputi dengan syahwat. 


 عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ؛ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حُفَّتْ الْجَنَّةُ بِالْمَكَارِهِ وَحُفَّتْ النَّارُ بِالشَّهَوَاتِ و حَدَّثَنِي زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ حَدَّثَنَا شَبَابَةُ حَدَّثَنِي وَرْقَاءُ عَنْ أَبِي الزِّنَادِ عَنْ الْأَعْرَجِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمِثْلِهِ


Dari Anas bin Malik berkata: Rasulullah Shallallahu'alaihiwasalam bersabda: "Syurga diliputi hal-hal yang tidak menyenangkan dan neraka diliputi syahwat." Telah menceritakan kepadaku Zuhair bin Harb telah menceritakan kepada kami Syababah telah menceritakan kepadaku Warqa` dari Abu Az Zinad dari Al A'raj dari Abu Hurairah dari nabi Shallallahu 'alaihi wa Salam sepertinya. Riwayat Muslim (5049)


Jika telah jelas demikian,wahai Muslim! Sesungguhnya puasa itu menghancurkan syahwat, mematahkan tajamnya syahwat yang boleh mendekatkan seorang hamba ke neraka, puasa menghalangi orang yang puasa dari neraka. Oleh kerana itu banyak hadith yang menegaskan bahawa puasa adalah benteng dari neraka, dan perisai yang menghalangi seseorang dari neraka.


Puasa adalah perisai yang melindungi pelakunya dari ucapan dan perbuatan jahat. Orang yang berpuasa semestinya berperilaku baik dan bertimbangrasa.


Hadith ini juga mengajarkan bahawa puasa hendaknya mencegah perilaku yang menyimpang atau tindakan kejahatan yang merugikan orang lain. Islam tidak mengajarkan kekerasan terhadap mereka yang tidak menjalankan kewajiban agama. Ketika kita berpuasa, tidak bererti kita diperbolehkan mengolok-olok mereka yang tidak berpuasa atau menuduh tidak menghormati Ramadhan.


daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam:


مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلّٰهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَه


Maksudnya:“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya”. Riwayat al-Bukhari, Hadith no 1770, 5597.


Alangkah bijak sikap orang yang beriman jika mengamalkan kebaikan-kebaikan sosial seperti yang diajarkan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasalaam. Bukankah puasa diwajibkan agar pelakunya menjadi sosok yang bertakwa? Takwa adalah simbol kebajikan sosial.


Segala kebajikan adalah bahagian dari ketakwaan. Orang bertakwa gemar pada kebajikan, dalam bentuk apa pun dan diberlakukan kepada siapa pun.

Dari Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasalaam bersabda:

 

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ، وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ


Maksudnya: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam”. [Riwayat Ibnu Majah, no. Hadith 1690][Syeikh Syu’aib menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya juga baik]


Puasa Ramadhan yang berkualiti (6 langkah)

Puasa Ramadhan yang berkualiti (6 langkah) Puasa Ramadhan adalah ibadah khusus yang akan dinilai secara langsung oleh Allah Subhanahuwata...