Thursday, April 25, 2024

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan seorang muslim. Istiqomah ialah melakukan sesuatu amalan secara berterusan atau konsisten dalam ketaatan kepada Allah Subhanahuwata’ala.


Seorang muslim hendaklah sentiasa Istiqomah dalam beramal soleh, seperti yang diperintahkan oleh Allah Subhanahuwata’ala dalam al-Quran,


… فَاسْتَقِمْ كَمَآ اُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ


Maksudnya:Maka istiqamahlah (tetaplah) engkau (Muhammad pada jalan yang benar) sebagaimana telah diperintahkan kepadamu dan juga orang yang bertaubat bersamamu…” Hud ayat 112.


Seseorang Muslim itu hendaklah melakukan amal soleh secara istiqomah dan bukan mengerjakan secara bermusim.


Antara perkara yang perlu kita perbetulkan dalam diri kita ialah betapa tekunnya kita beramal di bulan Ramadhan untuk melaksanakan pelbagai jenis ibadah dan ketaatan kepada Allah Subhanahuwata'ala. Namun, di luar bulan Ramadhan, semua itu hilang, hampir tanpa jejak. Tidak perlu menunggu sehingga akhir bulan syawal, solat subuh berjemaah di masjid pada 1 syawal pun  akan kembali sepi seperti sebelum Ramadhan.


Kita yang menjaga solat malam di bulan Ramadhan, namun setelah Ramadhan berlalu, kita tinggalkan. Nabi Sallallahu'alaihiwasallam mengingatkan kita supaya menjaga kelangsungan solat malam. 


Dari 'Amr bin Al-'Ash radhiyallahu Ta'ala 'anhu, dia berkata,


يَا عَبْدَ اللَّهِ، لاَ تَكُنْ مِثْلَ فُلاَنٍ كَانَ يَقُومُ اللَّيْلَ، فَتَرَكَ قِيَامَ اللَّيْلِ


Maksudnya:”Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, “Wahai ‘Abdullah, janganlah Engkau seperti fulan. Dulu dia rajin mendirikan solat malam, lalu sekarang dia meninggalkan solat malam”. Bukhari (1152) dan Muslim  (1159)


Begitu juga dengan ibadah puasa. Di bulan Ramadhan, kita berpuasa sebulan penuh, kecuali sebahagian kaum muslimin yang mempunyai uzur syar'i sehingga dibolehkan untuk tidak berpuasa. Sebagaimana kita tekun berpuasa di bulan Ramadhan, sepatutnya kita juga tekun meneruskan puasa sunat di luar bulan Ramadhan. Banyak ibadat sunat yang boleh kita lakukan, baik puasa Syawal, puasa Isnin dan Khamis, dan sebagainya.


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam telah memberikan contoh bagaimana baginda tetap tekun berpuasa sunat setelah Ramadhan berlalu. Aisyah radhiyallahu 'anha berkata,


لَمْ يَكُنِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ، فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ ؛ وَكَانَ يَقُولُ: خُذُوا مِنَ العَمَلِ مَا تُطِيقُونَ، فَإِنَّ اللَّهَ لاَ يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا ؛ وَأَحَبُّ الصَّلاَةِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا دُووِمَ عَلَيْهِ وَإِنْ قَلَّتْ، وَكَانَ إِذَا صَلَّى صَلاَةً دَاوَمَ عَلَيْهَا


Maksudnya:”“Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam tidak pernah melaksanakan puasa yang lebih banyak dalam sebulan melebihi puasa beliau di bulan Sya’ban. Beliau melaksanakan puasa bulan Sya’ban seluruhnya. Beliau bersabda, “Lakukanlah amal-amal yang kalian sanggup melaksanakannya, karena Allah tidak akan bosan (dalam memberikan pahala) sampai kalian yang lebih dahulu bosan (dari mengerjakan amal).” Dan solat yang paling Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam cintai adalah solat yang dijaga kesinambungannya sekalipun sedikit. Dan bila beliau sudah terbiasa melaksanakan solat (sunnah), beliau menjaga kesinambungannya”.Bukhari (1970) dan Muslim (741)


Inilah model ibadah Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam. Yakni, Baginda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam

terus menerus beribadah tanpa  mengkhususkan hari atau bulan tertentu untuk menumpukan ibadah, lalu Baginda meninggalkan ibadah di luar hari dan bulan yang dikhususkan tersebut. Model ibadah beliau Sallallahu'alaihiwasallam tidak seperti itu. Dari 'Alqamah, dia berkata,


قُلْتُ لِعَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا: هَلْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَخْتَصُّ مِنَ الأَيَّامِ شَيْئًا؟ قَالَتْ: ” لاَ، كَانَ عَمَلُهُ دِيمَةً، وَأَيُّكُمْ يُطِيقُ مَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُطِيقُ


Maksudnya:”Aku bertanya kepada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, apakah Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam mengkhususkan hari-hari tertentu dalam beramal?” Dia menjawab, “Tidak. Beliau selalu beramal terus-menerus tanpa putus. Siapakah dari kalian yang akan mampu sebagaimana yang mampu dikerjakan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam?”. Bukhari (1987) dan Muslim (741).


Juga Hadith,


عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا أَبَا الدَّرْدَاءِ لَا تَخْتَصَّ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ بِقِيَامٍ دُونَ اللَّيَالِي وَلَا يَوْمَ الْجُمُعَةِ بِصِيَامٍ دُونَ الْأَيَّامِ


Maksud.” Dari Abu Darda' dia berkata, "Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Wahai Abu Darda, janganlah kamu khususkan hanya malam Jumaat untuk bangun solat malam sementara malam-malam yang lainnya tidak, dan jangan pula mengkhususkan hanya hari Jumaat untuk puasa sementara hari yang lain tidak”. Ahmad(26235).


Amalan yang berterusan adalah contoh model amalan yang paling dicintai oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam.


‘Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata,


كَانَ أَحَبُّ العَمَلِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الَّذِي يَدُومُ عَلَيْهِ صَاحِبُهُ


Maksudnya:”Amalan yang paling dicintai oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam adalah yang dikerjakan secara terus menerus oleh pelakunya”. Bukhari (6462) dan Muslim (741)


Walaupun kuantitinya sedikit, namun jika dikerjakan secara berterusan atau istiqomah, amalan tersebut menjadi amalan yang paling dicintai oleh Allah Subhanahuwata'ala. 

Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,


وَأَنَّ أَحَبَّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ


Maksudnya:”Sesungguhnya amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amal yang terus-menerus dikerjakan  walaupun sedikit”.Bukhari (6464) dan (783).


Setiap muslim yang beriman wajib melakukan amalan soleh yang difardukan ke atasnya, iaitu mendirikan solat lima waktu sehari semalam, berpuasa pada bulan Ramadan, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji jika diberi kemampuan. Ditambah juga amalan sunat yang lain berdasarkan petunjuk Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam Ini semua hendaklah dilakukan secara konsisten atau istiqomah.


Apabila suatu amalan soleh yang sudah menjadi kebiasaan dilakukan oleh seseorang secara istiqomah, maka akan tetap berpahala jika dia terhalang daripada mengerjakan amalan soleh tersebut, disebabkan sakit, musafir atau sebab-sebab syarak yang lain.


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,


إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا


Maksudnya:”Jika seorang hamba sakit atau bermusafir, maka dicatat baginya pahala sebagaimana kebiasaan dia (lakukan) ketika bermukim dan ketika sihat”. Bukhari (2996).


Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam lagi,


الْعَبْدَ إِذَا كَانَ عَلَى طَرِيقَةٍ حَسَنَةٍ مِنَ الْعِبَادَةِ ثُمَّ مَرِضَ قِيلَ لِلْمَلَكِ الْمُوَكَّلِ بِهِ اكْتُبْ لَهُ مِثْلَ عَمَلِهِ إِذَا كَانَ طَلِيقاً حَتَّى أُطْلِقَهُ أَوْ أَكْفِتَهُ إِلَىَّ


Maksudnya:”Seorang hamba jika dia berada pada jalan yang baik dalam ibadah, kemudian dia sakit, maka dikatakan kepada malaikat yang bertugas mencatat amalannya, “Tulislah padanya semisal yang dia amalkan secara istiqamah jika dia tidak terikat sampai Aku melepasnya atau sampai Aku mencabut nyawanya”. Ahmad.


Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,


وَأَنَّ أَحَبَّ الأَعْمَالِ أَدْوَمُهَا إِلَى اللَّهِ، وَإِنْ قَلَّ


Maksudnya:”Amalan yang paling dicintai oleh Allah Subhanahuwata’ala adalah yang berterusan (istiqomah) walaupun ia sedikit”.  Al-Bukhari (6464) dan Muslim (783)


Hadith ini menunjukkan bahawa betapa pentingnya istiqomah, yakni mengerjakan amalan soleh dengan berterusan walaupun sedikit.


Apabila seseorang terhalang daripada mengerjakannya disebabkan sakit atau sedang bermusafir, namun dia tetap akan memperoleh pahala daripada amalan rutin yang dikerjakannya secara istiqamah.


Sesungguhnya, ganjaran pahala yang besar telah disediakan oleh Allah Subhanahuwata’ala kepada orang mukmin yang istiqomah dalam beramal soleh, seperti firman Allah Subhanahuwata’ala,


إِنَّ ٱلَّذِينَ قَالُوا۟ رَبُّنَا ٱللَّهُ ثُمَّ ٱسْتَقَـٰمُوا۟ تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَبْشِرُوا۟ بِٱلْجَنَّةِ ٱلَّتِى كُنتُمْ تُوعَدُونَ 


Maksudnya:”Sesungguhnya orang-orang yang berkata, “Rabb kami adalah Allah,” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka (beristiqamah dalam mengerjakan ketaatan), maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata), “Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu bersedih hati, dan bergembiralah kamu dengan (memperolehi) syurga yang dijanjikan kepadamu”.     Fussilat ayat 30.


نَحْنُ أَوْلِيَآؤُكُمْ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ ۖ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَشْتَهِىٓ أَنفُسُكُمْ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَدَّعُونَ 


Malsudnya:”Kamilah pelindung-pelindungmu dalam kehidupan dunia dan akhirat; di dalamnya (syurga) kamu memperoleh apa yang kamu inginkan dan memperoleh apa yang kamu minta. Sebagai penghormatan (bagimu) dari (Allah) Yang Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang”. Fussilat ayat 31.


Ayat ini menunjukkan bahawa malaikat akan turun menuju kepada orang-orang yang istiqomah ketika kematian menjemputnya, dalam kubur dan ketika dibangkitkan.


Malaikat akan memberikan rasa aman dari ketakutan ketika kematian menjemputnya, menghilangkan kesedihannya dengan sebab berpisah dari keluarganya kerana Allah dengan pengganti yang lebih baik, memberikan khabar gembira berupa pengampunan dari dosa dan kesalahan, diterimanya amal dan khabar gembira kepadanya dengan syurga yang belum pernah dilihat dengan mata, belum pernah didengar dengan telinga, dan belum pernah terlintas dalam hati manusia.


Semoga kita semua tergolong dalam golongan hamba-hamba-Nya yang sentiasa istiqomah dalam beramal soleh kepada-Nya setiap masa sehingga waktu ajal menjemput.







Monday, April 15, 2024

Boikot sebagai jihad harta yang merupakan bahagian jihad fi sabilillah ( جهاد فِي سَبِيلِ اللَّهِ) menurut perspektif Islam.

Boikot sebagai jihad harta yang merupakan bahagian jihad fi sabilillah  ( جهاد فِي سَبِيلِ اللَّهِ) menurut perspektif Islam.

Secara umumnya hukum bermuamalah dengan orang kafir adalah harus selagi mana ia adalah produk yang halal. Dalam sebuah riwayat Nabi Sallallahu'alaihiwasallam pernah berurusan dan memberi cagaran dengan seorang Yahudi seperti yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA,


عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ اشْتَرَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ يَهُودِيٍّ طَعَامًا بِنَسِيئَةٍ فَأَعْطَاهُ دِرْعًا لَهُ رَهْنًا


Maksudnya:”Dari 'Aisyah dia berkata, "Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah membeli makanan dari seorang Yahudi dengan bayaran yang ditangguhkan, lantas beliau menggadaikan baju besinya”. Muslim(3007)


Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas menyatakan bahawa keharusan bermuamalah dengan orang kafir sememangnya telah disepakati para ulama. Namun, keharusan tersebut adalah terhad kepada perkara yang dibenarkan sahaja, sekiranya transaksi tersebut boleh membawa kepada perkara yang haram seperti menjual senjata kepada musuh Islam, sebarang bentuk yang boleh membantu untuk menegakkan syiar agama mereka, membeli kitab agama mereka dan seumpamanya maka muamalat tersebut diharamkan.

Lihat Al-Nawawi, Yahya bin al-Syaraf. . al-Minhaj Syarh Sahih Muslim.  hlm. 40, jld. 11


Imam Ibn Battal pula berkata:


مُعَامَلَةُ الْكُفَّارِ جَائِزَةٌ، إِلا بَيْعَ مَا يَسْتَعِينُ بِهِ أَهْلُ 

الْحَرْبِ عَلَى الْمُسْلِمِينَ


Maksudnya: Berurusan dengan orang kafir dibolehkan, kecuali menjual apa yang boleh membantu mereka untuk memerangi orang Islam’. Al-Asqalani, Ibn Hajar. (1390H). Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari. Mesir: al-Maktabah al-Salafiyyah. Jld. 4, hlm. 410.


Perbuatan boikot barangan atau perkhidmatan tertentu menjadi salah satu isu global yang dijalankan sebagai kempen oleh rata-rata masyarakat dunia dalam mengekspresikan reaksi mereka terhadap isu-isu yang mereka perjuangkan. Perkara ini menjadi semakin sensitif dalam kalangan Muslim saban hari apabila penindasan dan penghinaan terhadap umat Islam berlaku di seluruh dunia kian memuncak. Samaada penghinaan terhadap amalan umat Islam, penghinaan terhadap al-Quran, penghinaan terhadap Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam dan yang terbaru adalah penghinaan terhadap Allah Subhanahuwata’ala.


Perkara ini menjadi semakin sensitif dalam kalangan Muslim saban hari apabila penindasan terhadap umat Islam berlaku di seluruh dunia kian memuncak seperti di Palestin, Iraq, Syria, Afghanistan, Kemboja, Cina dan negara-negara yang lain sehingga meragut jutaan nyawa. Maka, timbul persoalan berkaitan hukum boikot dalam dimensi jihad dan kewajarannya dengan melihat kepada beberapa faktor seperti keadaan sekeliling dan tempat seperti Malaysia atau di negara lain.


Sejarah pemboikotan yang pernah dilakukan benar-benar memberi impak yang besar kepada negara Israel sebagaimana pada tahun 1945 satu resolusi dikeluarkan bertajuk “The Boycott of Zionist Goods and Products” hasil pertemuan tujuh anggota Liga Arab. Di dalamnya terkandung bahawa sebarang produk keluaran Yahudi hendaklah dikira tidak dikehendaki dalam negara Arab dan seluruh warga Arab samada institusi, organisasi, usahawan, ejen dan individu mestilah menolak untuk berurusan, mengedar atau menggunakan produk keluaran Zionis. Kesan daripada pemboikotan ini ekonomi pasaran dan sumber serantau Israel terjejas teruk sehingga Israel terpaksa menyuarakan bantahannya kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)

Lihat Anas Mohd Yunus, et al. Hukum Boikot Barangan Israel Berdasarkan Kepada Fiqh Al-Jihad. (2018). Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa (JFATWA). Vol. 4, No 1 (2014).


Boikot menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Edisi Keempat dari segi bahasa bermaksud perbuatan memboikot, enggan berurusan dengan (seseorang, organisasi dan lain-lain) atau memulaukan bertujuan untuk menyatakan rasa tidak bersetuju atau memaksa individu atau institusi berkenaan menerima syarat tertentu.


Perkataan boikot ini dalam Bahasa Arab menggunakan istilah hiṣār al-iqtiṣādī/sekatan ekonomi(حصار الاقتصادي) atau al-muqāta’ah al-iqtiṣādiyyah/boikot ekonomi(المقاطعة الاقتصادية). Secara asasnya istilah al-muqāta’ah ialah isim masdar yang berasal daripada perkataan qāt’a yang merujuk kepada maksud memutuskan sebarang hubungan ekonomi atau sosial selaras dengan sistem sosial yang telah ditetapkan iaitu dengan cara memboikot barangan atau produk pihak tertentu. 

Lihat Al-Mu’jam al-Wasīṭ, (Dār al-Da’wah: Iskandariah, t.t), Jil 2, ms. 745.


Jihad melawan orang kafir dan munafik yang jelas disebut dalam surah Al-Furqan, ayat 51 dan 52,


وَلَوۡ شِئۡنَا لَبَعَثۡنَا فِي كُلِّ قَرۡيَة نَّذِيرا، فَلَا تُطِعِ ٱلۡكَٰفِرِينَ وَجَٰهِدۡهُم بِهِۦ جِهَادا كَبِيرا


Maksudnya:”Dan kalau Kami kehendaki, tentulah Kami utuskan dalam tiap-tiap negeri, seorang Rasul pemberi amaran. Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh.


Jihad menentang orang kafir dan munafik ada empat peringkat iaitu jihad dengan hati, lidah, harta, dan jiwa. Jihad menentang orang kafir lebih dikhususkan dengan tangan (kekuatan), manakala jihad menentang orang munafik lebih dikhususkan dengan lidah (dakwah).


Kisah Pemboikotan dalam Sirah Nabawi


Sejarah memperlihatkan perbuatan boikot ini telah berlaku sejak zaman Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam lagi. Ia dinukilkan berdasarkan riwayat Abu Hurairah bahawa Tsumamah bin Utsal yang merupakan pemimpin Bani Hanifah. Terkenal dengan sikapnya yang berpandangan luas, disegani dan sukar ditentang kehendaknya menjadikan beliau individu yang sangat berpengaruh. Tindakannya ke Mekah untuk melakukan umrah mengikut adat jahiliah telah mengubah agamanya kepada agama Islam setelah beliau ditawan oleh tentera Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam. Layanan terbaik yang diberikan oleh baginda dan para sahabat kepada Tsumamah sehingga beliau dibebaskan telah menjentik hatinya untuk memeluk Islam. Beliau kemudian meneruskan niatnya untuk menunaikan umrah serta melaungkan talbiah dengan suara yang kuat di mana ketika itu kota Mekah dikuasai oleh penduduk Quraisy. Tindakan Tsumamah tersebut menimbulkan kemarahan kepada penduduk kaum Quraisy sehingga mengancam untuk membunuh orang yang melakukan demikian. Apabila mereka mengetahui individu yang melakukan itu ialah Tsumamah, mereka bimbang sekiranya tindakan mereka akan menyebabkan Tsumamah menyekat bekalan makanan.


Sebagaimana disebutkan dalam hadith berikut dan hadith-hadith yang  lain,


حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ حَدَّثَنَا اللَّيْثُ قَالَ حَدَّثَنِي سَعِيدُ بْنُ أَبِي سَعِيدٍ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ بَعَثَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْلًا قِبَلَ نَجْدٍ فَجَاءَتْ بِرَجُلٍ مِنْ بَنِي حَنِيفَةَ يُقَالُ لَهُ ثُمَامَةُ بْنُ أُثَالٍ فَرَبَطُوهُ بِسَارِيَةٍ مِنْ سَوَارِي الْمَسْجِدِ فَخَرَجَ إِلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مَا عِنْدَكَ يَا ثُمَامَةُ فَقَالَ عِنْدِي خَيْرٌ يَا مُحَمَّدُ إِنْ تَقْتُلْنِي تَقْتُلْ ذَا دَمٍ وَإِنْ تُنْعِمْ تُنْعِمْ عَلَى شَاكِرٍ وَإِنْ كُنْتَ تُرِيدُ الْمَالَ فَسَلْ مِنْهُ مَا شِئْتَ فَتُرِكَ حَتَّى كَانَ الْغَدُ ثُمَّ قَالَ لَهُ مَا عِنْدَكَ يَا ثُمَامَةُ قَالَ مَا قُلْتُ لَكَ إِنْ تُنْعِمْ تُنْعِمْ عَلَى شَاكِرٍ فَتَرَكَهُ حَتَّى كَانَ بَعْدَ الْغَدِ فَقَالَ مَا عِنْدَكَ يَا ثُمَامَةُ فَقَالَ عِنْدِي مَا قُلْتُ لَكَ فَقَالَ أَطْلِقُوا ثُمَامَةَ فَانْطَلَقَ إِلَى نَجْلٍ قَرِيبٍ مِنْ الْمَسْجِدِ فَاغْتَسَلَ ثُمَّ دَخَلَ الْمَسْجِدَ فَقَالَ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ يَا مُحَمَّدُ وَاللَّهِ مَا كَانَ عَلَى الْأَرْضِ وَجْهٌ أَبْغَضَ إِلَيَّ مِنْ وَجْهِكَ فَقَدْ أَصْبَحَ وَجْهُكَ أَحَبَّ الْوُجُوهِ إِلَيَّ وَاللَّهِ مَا كَانَ مِنْ دِينٍ أَبْغَضَ إِلَيَّ مِنْ دِينِكَ فَأَصْبَحَ دِينُكَ أَحَبَّ الدِّينِ إِلَيَّ وَاللَّهِ مَا كَانَ مِنْ بَلَدٍ أَبْغَضُ إِلَيَّ مِنْ بَلَدِكَ فَأَصْبَحَ بَلَدُكَ أَحَبَّ الْبِلَادِ إِلَيَّ وَإِنَّ خَيْلَكَ أَخَذَتْنِي وَأَنَا أُرِيدُ الْعُمْرَةَ فَمَاذَا تَرَى فَبَشَّرَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَمَرَهُ أَنْ يَعْتَمِرَ فَلَمَّا قَدِمَ مَكَّةَ قَالَ لَهُ قَائِلٌ صَبَوْتَ قَالَ لَا وَلَكِنْ أَسْلَمْتُ مَعَ مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَا وَاللَّهِ لَا يَأْتِيكُمْ مِنْ الْيَمَامَةِ حَبَّةُ حِنْطَةٍ حَتَّى يَأْذَنَ فِيهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ


Maksudnya:”Telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Yusuf Telah menceritakan kepada kami Al Laits dia berkata; Telah menceritakan kepadaku Sa'id bin Abu Sa'id bahawasanya ia mendengar Abu Hurairah berkata; "Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam mengirim pasukan menuju Nejed, lalu mereka menangkap seseorang dari Bani Hanifah, Tsumamah bin Utsal pemimpin penduduk Yamamah, kemudian mereka mengikatnya pada salah satu tiang masjid, lalu Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam menemuinya dan bersabda kepadanya: "Apa yang kamu miliki hai Tsumamah?" ia menjawab, "Wahai Muhammad, aku memiliki apa yang lebih baik, jika engkau membunuhnya maka engkau telah membunuh yang memiliki darah, dan jika engkau memberi maka engkau memberi orang yang bersyukur, namun jika engkau menginginkan harta maka mintalah nescaya engkau akan diberi apa saja yang engkau inginkan." Kemudian Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam meninggalkannya, hingga keesokan harinya beliau bertanya, "Apa yang engkau miliki wahai Tsumamah?" ia menjawab, "Seperti yang aku katakan, jika engkau memberi maka engkau memberi orang yang bersyukur, jika engkau membunuh maka engkau membunuh yang memiliki darah, jika engkau menginginkan harta maka mintalah nescaya engkau akan diberi apa yang engkau mahu." Lalu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam meninggalkannya, hingga keesokan harinya beliau bertanya lagi: "Apa yang engkau miliki wahai Tsumamah?" ia menjawab, "Seperti yang aku katakan, jika engkau memberi maka engkau memberi orang yang bersyukur, jika engkau membunuh maka engkau membunuh yang memiliki darah, jika engkau menginginkan harta maka mintalah nescaya engkau akan diberi apa yang engkau mau, " Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam kemudian bersabda kepada sahabatnya; "Bawalah Tsumamah" lalu mereka pun membawanya ke sebatang pohon kurma di samping masjid, ia pun mandi dan masuk masjid kembali, kemudian berkata; "Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang patut disembah melainkan hanya Allah dan bahawasanya Muhammad itu utusan Allah, demi Allah, dahulu tidak ada wajah di atas bumi ini yang lebih aku benci selain wajahmu, namun sekarang wajahmu menjadi wajah yang paling aku cintai dari pada yang lain, dan demi Allah, dahulu tidak ada agama yang lebih aku benci selain dari agamamu, namun saat ini agamamu menjadi agama yang paling aku cintai di antara yang lain, demi Allah dahulu tidak ada wilayah yang paling aku benci selain tempatmu, namun sekarang ia menjadi wilayah yang paling aku cintai di antara yang lain, sesungguhnya utusanmu telah menangkapku dan aku hendak melaksanakan umrah, bagaimana pendapatmu?" Maka Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam memberinya kabar gembira dan memerintahkannya untuk melakukan umrah, ketika ia sampai di Makkah seseorang berkata kepadanya; "Apakah engkau telah murtad?" Ia menjawab; "Tidak, tetapi aku telah masuk Islam bersama Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam, dan demi Allah tidaklah kalian akan mendapatkan gandum dari Yamamah kecuali mendapatkan izin dari Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam”. Bukhari(4024)


Tsumamah kemudian mengambil tindakan menyekat bekalan makanan iaitu gandum sebagai tindakan memboikot kaum Quraisy. Perkara ini memberi kesan kesusahan yang sangat besar kepada mereka kerana menghadapi kelaparan sehingga boleh mengancam nyawa.  Mereka mengutus surat kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam memohon supaya memujuk Thuhamah menghentikan tindakan boikot tersebut. Thumamah patuh dengan permintaan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam supaya menghentikan boikot kepada kaum Quraisy dan bekalan makanan serta keperluan lain telah diberikan kepada kaum Quraisy. 

Lihat Abu ‘Abdillah Muhammad bin Ismail al-Bukhāri al-Ja’fi, Sahīh al-Bukhārī (Damsyik: Dar Ibn Kathir, 1993), No Hadis 4114, Jil. 5, ms. 1589; Muhammad bin Hibban bin Ahmad, bin Hiban bin Mu’az bin Ma’bad, al-Sirah


Secara asasnya, hukum berkenaan boikot dari perspektif Islam adalah dibenarkan. Perbuatan boikot selari dengan tuntutan jihad dari segi harta. Hal ini berdasarkan keumuman maksud jihad fi sabilillah dalam menegakkan agama Islam dan dakwah-Nya iaitu peperangan meninggikan kalimah-Nya, menjamin agama-Nya, mengembangkan dakwah-Nya dan mempertahankan pendukung-Nya agar hak-hak umat Islam tidak ditundukkan dan mereka tidak dihalang daripada melaksanakan urusan-urusan mereka. 

Lihat Tafsīr al-Manār (al-Haiah al-Misriyyah: Mesir, 1990), Jil. 2, ms. 365.


Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata’ala dalam surah Hujurat ayat ke 15,


إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ


Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).


Menurut Imam al-Maraghi, tanda kebenaran keimanan seseorang adalah apabila seseorang memilih untuk mengorbankan harta dan dirinya kerana Allah Subhanahuwata’ala dengan membelanjakannya untuk tujuan memperkukuh, meninggikan martabat agamanya dan mengalahkan musuh agama dengan sebaik mungkin.

Lihat Ahmad bin Musṭafa al-Marāghi, Tafsir Al-Marāghī, (Mesir: Matba’ah Musṭafa al-Bābī Halabī, 1946), Jil. 26, ms 145-146.


Perkara ini juga ditekankan dalam tafsir al-Jalalayn bahawa jihad ini merupakan tanda kebenaran keimanan seseorang. 

Lihat Jalal al-Din Muḥammad bin Aḥmad al-Maḥalli dan Jalal al-Din Abd al-Rahman bin Abi Bakar al-Suyuti, Tafsir al-Jalalayn, (Kaherah: Dār al-Hadith, 2009), 688.


Berhubung dengan isu hukum memboikot, ia mestilah dilihat kepada keadaan. Terkadang boikot boleh menjadi wajib apabila produk atau syarikat berkenaan memang memberikan bantuan secara langsung untuk membunuh umat Islam. Sebagai tanda solidariti kepada saudara di Palestin sepatutnya umat Islam berganding bahu menunjukan protes di atas kekejaman yang dilakukan kepada rakyat Palestin. Jika melemahkan musuh tidak sempurna melainkan dengan boikot, maka ia menjadi wajib sebagaimana kaedah:


ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب


Maksudnya: “Suatu kewajipan yang tidak sempurna melainkan dengannya maka ia juga wajib. 

Lihat Al-Subki, Taj al-Din. (1991). Al-Asybah wa al-Nazair. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Jld. 2, hlm. 88.


Boikot adalah salah satu bentuk jihad menggunakan harta dengan tidak membeli barangan keluaran pihak musuh atau yang menyokongnya. Setiap orang hendaklah berjihad dengan kadar kemampuan masing-masing. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:


لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ


Maksudnya: “Hendaklah orang Yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya”. Surah al-Talaq ayat 7.


Meskipun ayat ini berkenaan nafkah untuk wanita yang sedang beriddah dan ibu yang menyusu, namun menurut Syeikh Tahir bin Asyur ia terpakai juga kepada setiap infak yang dituntut kepada seorang muslim, sama ada wajib atau sunat, iaitu memberikan infak mengikut kemampuan. 

Lihat Tahir bin Asyur. (1984). Al-Tahrir wa al-Tanwir. Tunis: al-Dar al-Tunisiyyah. Jld. 28, hlm. 330.


Kewajipan menyertai boikot ini disandarkan kepada hukum berjihad iaitu secara asalnya adalah fardu kifayah (dituntut ke atas semua dan gugur  kefarduan  dengan  sebahagian  mereka  melaksanakannya) kepada orang Islam yang mukalaf. Kewajipan fardu kifayah akan bertukar menjadi fardu ain (wajib kepada setiap orang Islam yang mukalaf)  dengan beberapa faktor terutamanya apabila orang-orang kafir telah memasuki sebuah negeri orang Islam, maka jihad menjadi fardu ain bagi seluruh penduduk negeri tersebut untuk mempertahankannya sedaya upaya yang mampu. 

Lihat Wizārah al-Awqāf wa- al-Shu’un al-Islāmiyyah. Al-Mawsū’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytīyyah, (Dār al-Salāsih: Kuwait). Jil. 4, ms. 126-127.


Meskipun dalam perbincangan para ulama terdapat tertib yang menunjukkan tahap kewajipan daripada penduduk negeri tersebut ke penduduk sekitarnya dan seterusnya ke semua umat Islam, para ulama kontemporari seperti Dr Yusuf Qaradhawi menekan bahawa jihad mempertahankan Bumi Palestin kewajipan yang paling utama buat semua umat Islam di seluruh dunia kerana ia merupakan tanah kiblat pertama umat Islam dan bumi para anbiya yang diberkati. 

Lihat

[8]“مقاطعة البضائع الإسرائيلية والأمريكية”, Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi,  diakses daripada https://www.al-qaradawi.net/node/3579


Malah, gesaan boikot ini juga dilakukan para ulama kontemporari lain secara persendirian mahupun mewakili organisasi sehingga kini supaya umat Islam mengambil perhatian dan tindakan serius dalam hal ini.


Maka, selaras dengan misi jihad fi sabilillah ini, boikot digunakan sebagai antara strategi yang ampuh dan dilakukan secara meluas terutama ketika krisis Israel-Palestin yang berlaku saban hari. Oleh itu, tindakan boikot sebagai jihad harta menjadi wajib dalam usaha menekan dan melemahkan musuh terutama kepada pihak yang secara terang terangan menyokong serangan dan menyalurkan dana rejim Israel untuk tujuan membunuh saudara seIslam yang berada di Palestin. 


Boukot  sama sekali berbeza dengan isu melakukan urusan jual beli dengan orang bukan Islam kerana para ulama bersepakat akan keharusan bermuamalah dengan mereka selagi mana transaksi tersebut tidak membawa kepada perkara yang haram seperti menegakkan syiar agama  mereka, memusuhi Islam dan sebagainya. 

Lihat Abū Zakariyyā Muhyi al-Dīn Yahya bin Sharaf al-Nawawī. al-Minhāj Sharh Sahīh Muslim bin Hajjāj. (Dar Ihyā’ al-Turāth al-‘Arabī: Beirut, Lubnan, 1972). Jil 11, ms 39-40.


Hal Ini berdasarkan sebuah riwayat, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam pernah berurusan dan memberi cagaran dengan seorang Yahudi seperti yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA,


عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ اشْتَرَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ يَهُودِيٍّ طَعَامًا بِنَسِيئَةٍ فَأَعْطَاهُ دِرْعًا لَهُ رَهْنًا


Maksudnya:”Dari 'Aisyah dia berkata, "Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah membeli makanan dari seorang Yahudi dengan bayaran yang ditangguhkan, lantas beliau menggadaikan baju besinya”. Muslim(3007)


Boikot dalam konteks berjihad dengan harta yang dimiliki merujuk kepada tindakan tidak membelanjakan harta untuk membeli barangan atau perkhidmatan  keluaran  pihak  musuh  atau  pihak yang menyokong musuh yang membuat penindasan dan kezaliman. Sebaliknya menggantikan, membeli, mempromosi dan menyokong produk keluaran Muslim dan tempatan mengikut kadar kemampuan masing-masing. Hal ini berdasarkan surah al-Taubah ayat 41,

 

انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ‎

 

Maksudnya: Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.


Namun, pertimbangan kewajipan boikot hendaklah kembali melihat kepada faktor keadaan dan suasana. Boikot terhadap sesuatu akan menjadi wajib apabila produk atau perkhidmatan berkenaan merupakan sesuatu yang mampu kita tinggalkan tanpa mendatang sebarang kemudaratan jika tidak menggunakannya. Sekiranya produk atau perkhidmatan berkenaan merupakan keperluan utama seperti produk yang digunakan untuk rawatan kesihatan seperti ubat-ubatan dan makanan yang tidak dapat dihindari oleh umat Islam, maka tidak menjadi kesalahan bagi umat Islam untuk membelinya selagi mana tiada pilihan yang setanding dengannya. Hal ini berdasarkan Surah al-Baqarah ayat 185,

 

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ


Maksudnya: Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.


Seruan boikot terhadap barangan atau perkhidmatan yang dikeluarkan oleh sesebuah negara adalah bertujuan memberi tekanan kepada pengusaha dan peniaga agar mereka sendiri mendesak syarikat dan kerajaan mereka kepada keamanan dan menghentikan tindakan kejam yang dilakukan kepada negara lain. Bahkan ia dapat memberi kesan yang buruk kepada ekonomi negara mereka serta dapat membantutkan hasrat mereka untuk meneruskan serangan dan kekejaman terhadap negara lain. 

Lihat Seminar Fiqh Semasa (SeFis), 2015, ms. 1. 


Perkara ini adalah sebagai salah satu usaha yang dapat dilakukan oleh umat Islam untuk membantu saudara muslim lain yang ditindas. Hadith yang diriwayatkan daripada ِAbdullah Ibn Umar RA bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda bahawa,


أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ


Maksudnya:”Bahawa 'Abdullah bin 'Umar radliallahu 'anhuma] mengkhabarkannya bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Seorang muslim adalah saudara bagi muslim lainnya, dia tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya untuk disakiti. Siapa yang membantu keperluan saudaranya maka Allah akan membantu keperluannya. Siapa yang menghilangkan satu kesusahan seorang muslim, maka Allah menghilangkan satu kesusahan baginya dari kesusahan-kesusahan hari qiyamat. Dan siapa yang menutupi (aib) seorang muslim maka Allah akan menutup aibnya pada hari qiyamat”. Bukhari(2262).


Dalam isu ini, umat Islam perlu sedar kemaslahatan yang dicapai apabila dilaksanakan boikot di seluruh dunia Islam. Ia merupakan suatu jihad ekonomi yang dapat membantu negara yang ditindas daripada terus menerima serangan pihak musuh.


Namun begitu, tindakan memboikot juga perlu mengambil kira implikasi yang bakal berlaku dari sudut ekonomi negara, khususnya ekonomi orang Islam sendiri dari sudut tenaga kerja, perniagaan orang Islam, para pekerja dan perniagaan rantaian makanan halal. Perkara ini perlu dititikberatkan supaya tidak berlaku penindasan kepada mereka yang terlibat dalam rantaian produk sehingga berlaku kemudaratan berikutan kelangsungan hidup mereka terjejas. Boikot yang dilakukan berkemungkinan tidak menjejaskan kezaliman negara yang menindas umat Islam seperti Israel dan sebagainya tetapi memberi kemudaratan kepada mereka yang terlibat seperti pekerja, para pembekal, pengedar, penyedia logistik, penghantar makanan dan sebagainya jika jualan atau premis tersebut tutup. Khususnya syarikat francais yang tidak terlibat langsung menjadi penyumbang kepada rejim Israel atau negara-negara lain yang menzalimi umat Islam.


Francais ialah kaedah pemasaran dan pengedaran berdasarkan hubungan dua pihak, iaitu francaisor (pemilik dan pemberi hak) dan pemegang francais (penerima hak). Di Malaysia khususnya terdapat produk-produk atau syarikat industri francais yang dipelopori oleh industri makanan segera yang dikatakan turut memberi sumbangan ekonomi kepada Israel. Namun begitu, terdapat juga syarikat yang membuat kenyataan tidak menyumbang dan menyokong negara yang melakukan kekejaman tersebut bahkan hasil keuntungan disalurkan kepada negara yang ditindas. Maka, perlu diambil berat bahawa sasaran boikot hendaklah tepat dan memberi kesan kepada pihak musuh bukannya memudaratkan ekonomi sendiri.

 

Justeru itu, tindakan boikot perlu dilakukan dengan ilmu dan tabayyun (memeriksa dengan teliti). Tabayyun menurut al-Shawkani ialah,


وَالْمُرَادُ مِنَ ‌التَّبَيُّنِ التَّعَرُّفُ وَالتَّفَحُّصُ، وَمِنَ التَّثَبُّتِ: الْأَنَاةُ وَعَدَمُ الْعَجَلَةِ، وَالتَّبَصُّرُ فِي الْأَمْرِ الْوَاقِعِ، وَالْخَبَرِ الْوَارِدِ حَتَّى يَتَّضِحَ وَيَظْهَرَ


Maksudnya: Tabayyun bermaksud melakukan penelitian, pengkajian dengan sabar dan tidak tergesa-gesa tentang sesuatu perkara atau perkhabaran sehingga jelas dan terang perkara tersebut.

Lihat Muḥammad bin ‘Alī bin Muḥammad bin Abd Allah al-Shawkānī al-Yamanī.  Fatḥ al-Qadīr. (Beirūt: Dār Ibn Kathīr, Dār al-Kalam al-Ṭayīb, 1993). Jil. 5, ms. 71.


Penilaian serta kajian untuk mengetahui ke mana keuntungan sesuatu syarikat tersebut disalurkan perlu dilakukan untuk mengetahui syarikat yang sepatutnya diboikot. Hal ini kerana keuntungan tersebut berkemungkinan disalurkan sebagai sumbangan royalti, bayaran cukai, bayaran kepada pemegang saham, atau bayaran zakat. Jadi, pengguna perlu menilai dengan adil dengan mengambil kira keseimbangan maslahah dan mafsadah sesuatu tindakan dilakukan bertepatan dengan syariat.


Strategi boikot ekonomi perlu dilakukan dengan teliti dan bijak. Ia perlu mengambil kira pertimbangan maslahah agar tidak mendatangkan kemudaratan lain yang lebih besar. Memboikot juga mestilah dilakukan dengan ilmu dan akhlak bukan memboikot dengan terburu-buru tanpa berfikir panjang hingga mendatangkan kemudaratan yang tidak sepatutnya.


Syeikh ‘Izzuddin bin ‘Abd al-Salam dalam salah satu tulisannya menjelaskan bahawa ada beberapa keadaan di mana menolong pada kemaksiatan hukumnya adalah harus:


قد يجوز الإعانة على المعصية لا لكونها معصية بل لكونها وسيلة إلى تحصيل المصلحة الراجحة وكذلك إذا حصل بالإعانة مصلحة تربو على مصلحة تفويت المفسدة


Maksudnya: “Terkadang diharuskan menolong dalam kemaksiatan bukan karena kemaksiatannya, namun karena ia boleh membawa kepada kemaslahatan yang lebih kuat, begitu juga jika pertolongan itu mendatangkan kemaslahatan yang lebih besar dari menghindari mafsadah (keburukan). Lihat Izzudin bin Abd al-Salam. (1991). Qawaid al-Ahkam fi Masalih al-Anam. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Jld. 1, hlm. 87.


Panduan dan parameter boikot berikut amat wajar dipertimbangkan agar boikot yang dilaksanakan benar-benar mencapai matlamat, berstrategi, tidak menyimpang daripada objektif yang digariskan dan tidak menzalimi pihak yang tidak bersalah:


1 - Fokus matlamat kempen boikot adalah untuk menekan syarikat-syarikat yang terlibat secara langsung agar menukar polisi mereka berkenaan Palestin dan Israel.


2 - Dalam melaksanakan boikot, sikap tabayyun dalam menerima maklumat adalah amat diperlukan, bagi memastikan syarikat yang ingin diboikot benar-benar ada penglibatan secara langsung dengan Israel. Ini bagi mengelakkan berlakunya sebarang kezaliman terhadap pihak yang tidak bersalah.


3 - Kita hendaklah melaksanakan kempen boikot secara bijak dan berhikmah dan tidak bertindak dengan cara ekstrem dan melulu seperti memaki hamun pekerja di syarikat yang terlibat memandangkan mereka sekadar mencari rezeki, mensabotaj dengan merosakkan infrastruktur atau mengambil gambar pelanggan yang sedang makan dan menularkannya ke media sosial dengan tujuan menjatuhkan imej.


4 - Kita juga perlu mengambil kira pengecualian dalam kes terpencil, contohnya terdapat pihak yang tidak mampu menjayakan keseluruhan boikot jenama-jenama berkenaan kerana kekangan tertentu seperti masalah kesihatan dan ubat yang diperlukan hanya dikeluarkan oleh jenama tertentu sahaja, atau anak hanya boleh minum susu jenama tertentu sahaja, jika ditukar akan menyebabkan masalah alahan dan sebagainya.


5 - Hukum pekerja yang bekerja di syarikat francais yang mereka membayar royalti kepada syarikat induk yang mungkin terlibat dengan menyumbang kepada negara haram Israel adalah harus dan gajinya adalah halal selagi syarikat yang mereka bekerja tidak membantu Israel secara langsung seperti memberi sumbangan atau lain-lain.


Kesimpulannya:


Umat Islam disarankan untuk menerapkan nilai tabayyun iaitu menilai sesuatu maklumat dengan penilaian yang adil daripada sumber yang dipercayai sebelum melakukan tindakan boikot dengan mengambil kira maslahah dan mafsadah implikasi boikot di samping mengenalpasti secara tepat syarikat yang diboikot agar tujuan asal menepati sasaran dengan mengikut tahap kemampuan masing-masing.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...