Tuesday, February 18, 2020

Hukum Imam terlupa atau tertinggal membaca ayat dalam surah al-Fatihah.

Hukum Imam terlupa atau tertinggal membaca ayat dalam surah al-Fatihah.

Hukum membaca al-Fatihah di dalam solat  adalah wajib kerana ianya merupakan salah satu daripada rukun qauli bagi solat, samaada solat fardhu 5 waktu ,solat jenazah atau solat sunat . Justeru itu,solat tidak sah tanpa membaca surah al-Fatihah atau meninggalkan satu ayat dari mana-mana ayat dalam surah al-Fatihah. 

Ini adalah merupakan pandangan yang asas dalam mazhab Imam al-Syafie. Sekiranya seseorang itu tidak membaca surah al-Fatihah di dalam mana-mana rakaat maka solatnya itu tidak sah. Asas ini jelas berdasarkan kepada sabda Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam:

لَا صَلَاةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Tidak ada solat bagi orang yang tidak membaca al-Fatihah.” Riwayat al-Bukhari (756) dan Muslim (900)

Juga berdasarkan sabda Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam yang diriwayatkan oleh Ubadah Bin Somit :

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya :” Tidak ada solat (tidak solatnya) bagi sesiapa yang tidak membaca di dalamnya surah al-Fatihah.”Riwayat Ibnu Majah (828)

Begitu juga hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

مَنْ صَلَّى صَلاَةً لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ فَهْىَ خِدَاجٌ. يَقُولُهَا ثَلاَثًا

Maksudnya: “Barangsiapa yang melaksanakan solat dan tidak membaca al-Fatihah di dalamnya, maka solatnya itu kurang/rosak.” Perkataan ini diulang sehingga tiga kali.Riwayat Muslim (907)

Menurut Imam Nawawi: Membaca al-Fatihah adalah wajib dibaca pada kesemua solat sama ada solat fardu mahupun solat sunat. Jika seseorang terlupa membaca al-Fatihah, kewajipan tersebut tidak tergugur daripadanya. Pandangan ini adalah kesepakatan yang telah disebut oleh jumhur ulama yang bermazhab Syafie. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/288)

Juga menurut Imam Nawawi, iaitu berkenaan orang yang meninggalkan membaca surah al-Fatihah kerana lupa sehingga salam atau rukuk, terdapat dua pendapat yang masyhur; Yang paling kuat berdasarkan kesepakatan ulama’ dalam mazhab kami dan ia merupakan qaul jadid (pendapat terbaru Imam Syafi’e) ialah tidak gugur baginya kewajiban membaca surah al-Fatihah. Jika dia ingat sesaat sahaja setelah salam, maka dia hendaklah kembali solat dan melanjutkan solatnya dengan menambah satu rakaat lagi, lalu sujud sahwi. Jika waktunya sudah berselang lama, maka dia hendaklah mengulangi solat daripada awal. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/288)

Keterangannya:

Solat secara bersendirian/ وحده 
(منفريد / منفرده):

1-Sekiranya dia terlupa membaca al-Fatihah dan teringat bahawa dia tidak membaca al-Fatihah dan pada ketika itu dia rukuk maka dia perlu bangun dan membaca semula surah al-Fatihah.
2-Sekiranya dia teringat setelah dia bangun untuk rakaat seterusnya, maka bacaan al-Fatihah pada ketika itu, menjadi ganti untuk rakaat yang dia terlupa untuk membaca al-Fatihah. Sebelum salam, dia perlu bangun dan menambah rakaat serta sujud sahwi.
3-Sekiranya dia teringat selepas memberi salam dalam waktu yang tidak terlalu lama, maka dia perlu bangun untuk menambah rakaat sebagai ganti rakaat yang dia terlupa membaca al-Fatihah dan disusuli dengan sujud sahwi. Adapun jika berlalu waktu yang terlalu lama kemudian dia teringat bahawa ada satu rakaat yang dia terlupa membaca al-Fatihah, maka dalam keadaan ini dia perlu solat semula. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/288)

Solat secara berjamaah,

Imam:

1-Bagi imam yang terlupa membaca al-Fatihah atau terlupa membaca satu ayat dari al-Fatihah:
Solatnya tidaklah batal dan dia perlu menambah rakaat sebelum salam. Ini kerana rakaat yang dia terlupa untuk membaca al-Fatihah dianggap tidak bernilai. Oleh itu sebelum salam, dia perlu bangun dan tambah rakaat sebagai ganti kepada rakaat yang mana dia terlupa untuk al-Fatihah di dalamnya. 
Namum begitu, sekiranya dia tidak bangun menambah rakaat sesudah salam dan berlalu dalam tempoh masa yang lama, maka solat yang dilakukannya sebelum itu tidak sah dan perlu mengulang semula solatnya.

Makmum:

Bagi makmum pula, mereka mempunyai pilihan jika imam terlupa membaca al-Fatihah atau jika imam terlupa membaca satu ayat dari al-Fatihah:

a) Makmum terus berniat mufaraqah dan meneruskan solatnya secara sendiri.

b) Makmum mengetahuinya sedangkan tidak diendahkan oleh imam selepas diperingatkan, maka tidak harus makmum mengikutnya dan boleh bermufaraqah. (Lihat nukilan al-Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj, pendapat Imam al-Zarkasyi, 1/196)

b)  Makmum terus mengikut imam dengan harapan dan anggapan bahawa imam akan menganti semula rakaat yang dia terlupa membaca al-Fatihah atau terlupa membaca satu ayat dari al-Fatihah. Jika Imam tidak mengganti rakaat pada akhir solat iaitu sebelum salam, makmum boleh berniat mufaraqah dan mengganti sendiri rakaat tersebut.

Kesimpulannya:

Andaikata jika berlalu waktu yang terlalu lama kemudian imam dan makmum teringat bahawa ada satu rakaat yang mereka terlupa membaca al-Fatihah, maka dalam keadaan ini wajiblah imam dan makmum i’adah (mengulangi) solat semula atau qadha solat semula kerana solat tidak memenuhi rukun iaitu bacaan Fatihah yang sempurna. Justeru, solatlah solat itu sebagai qadha' jika tempoh masa sudah lama dan keadaan terlupa bukanlah satu kesalahan.



No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...