Hubungan adik-beradik
Perbicaraan mengenai kaum kerabat dan kewajipan saling bertanggungjawab sesama mereka, ini diutamakan kepada adik-beradik kerana merekalah puncak kerabat vang paling hampir dan terpenting. Di dalam sesuatu masyarakat, seseorang itu dapat melihat apa yang boleh dianggap sebagai suatu tragedi pahit di dalam hubungan adik-beradik antara satu sama lain. Adik-beradik yang lahir dari satu benih, sama-sama dibesarkan di dalam sebuah rumah, yang makan bersama-sama dan kadang-kadang pula bertukar-tukar pakaian dan tempat tidur, sesudah kematian si bapa, anda lihat mereka sentiasa berada di gelanggang pertelagahan tiada henti-hentinya. Biasanya hal-hal dunia itulah yang menjadi sebab-musabbab perselisihan tersebut, sehinggakan perselisihan-perselisihan di antara saudara-saudara itu kebanyakannya ada hubungkait dengan pesaka dan harta kekayaan. Inilah satu daripada penyakit-penyakit kekayaan. Pertelagahan ini berjalan terus hingga tiba ke peringkat yang menjadikan rasa cinta sesama saudara itu suatu perkara yang tiada boleh berlaku lagi. Dan kalau pun sesiapa yang menunjukkan sikap kasih sayang kepada saudaranya, samada lelaki ataupun perempuan, maka itu akan dijadikan suatu tauladan kasih sayang dan saling mengerti.
Hubungan adik-beradik dalam Islam sangat penting dan ditekankan, digambarkan sebagai hubungan yang akrab dan tidak mudah dipisahkan. Islam menggalakkan umatnya untuk menjaga hubungan silaturahim sesama adik-beradik, termasuklah dengan memberi sokongan, kasih sayang, dan saling membantu. Walaupun mungkin berlaku perselisihan, Islam mengajar untuk saling memaafkan dan mengutamakan keharmonian keluarga. Terdapat sebuah hadith yang menceritakan hukuman bagi orang yang bertengkar atau tidak bertegur dalam tempoh yang lama iaitu daripada Abi Khirash al-Sulami bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
مَنْ هَجَرَ أَخَاهُ سَنَةً فَهُوَ كَسَفْكِ دَمِهِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang tidak bertegur saudaranya selama setahun sama seperti dia telah menumpahkan darahnya''. Riwayat Abu Daud (4915),Syeikh Syu’aib al-Arna’outh telah menilai sanad hadith ini sebagai sahih.
Dimaksudkan dengan saudara di dalam hadith di atas adalah saudara seagama selama satu tahun maka ia seperti mengalirkan darahnya dalam hal bertambahnya dosa dan bukan pada kadarnya. Lihat: Aun al-Ma’bud, 13/176.
Orang yang memutuskan pertalian persaudaraan tidak akan masuk syurga berdasarkan kepada sebuah hadith yang sahih,Daripada Jubair bin Mut’im RA bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
لاَ يَدْخُلُ الجَنَّةَ قَاطِعٌ
Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan (silaturrahim)''. Riwayat al-Bukhari (5984).
Daripada Abu Ayyub al-Ansari RA bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ
Maksudnya: “Tidak halal bagi seorang muslim untuk tidak bertegur saudaranya melebihi tiga hari''. Riwayat Muslim (2560)
Ya Allah! Bagaimana boleh perkara-perkara dunia itu mempengaruhi dan memisahkan seorang manusia dari orang yang paling hampir kepadanya serta melemahkan atau memutuskan ikatan tali persaudaraan yang kukuh itu?
Pengkajian terhadap al-Quran al-Karim menunjukkan bahawa ikatan persaudaraan itu adalah setinggi-tinggi darjat ikatan. Tiap-tiap hubungan yang baik itu disifatkan dengan persaudaraan. Tiap-tiap orang yang berkasih sayang itu dimisalkan sebagai orang yang bersaudara. Marilah kita baca bersama-sama firman Allah Subhanahuwata'ala berikut,
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا
Maksudnya:''Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara...''. Ali-Imran ayat 103
وَنَزَعْنَا مَا فِي صُدُورِهِمْ مِنْ غِلٍّ إِخْوَانًا عَلَىٰ سُرُرٍ مُتَقَابِلِينَ
Maksudnya:''Dan Kami lenyapkan segala rasa dendam yang berada dalam hati mereka, sedang mereka merasa bersaudara duduk berhadap-hadapan di atas ranjang''. Al-Hijr ayat 47
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Maksudnya:''Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat''. Al-Hujurat ayat 10
Ayat-ayat penjelas ini terang menunjukkan bahawa saudara-saudara itu mestilah begitu keadaannya, kemesraan mengikat jiwa mereka, hati mereka kosong daripada rasa dengki serta mereka dipadukan oleh ikatan paling tinggi.
Allah Subhanahuwata'ala berfirman,
وَالَّذِينَ آمَنُوا مِن بَعْدُ وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا مَعَكُمْ فَأُولَـٰئِكَ مِنكُمْ ۚ وَأُولُو الْأَرْحَامِ بَعْضُهُمْ أَوْلَىٰ بِبَعْضٍ فِي كِتَابِ اللَّـهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Maksudnya: ''Dan orang-orang yang beriman sesudah itu, kemudian mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu, maka adalah mereka dari golongan kamu. Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang (lain) menurut (hukum) Kitab Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu''. Al-Anfal ayat 75
Ibn Kathir berkata: Bukanlah yang dimaksudkan dengan firman Allah Subhanahuwata'ala: “وَأُولُو الْأَرْحَامِ” (orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat) dengan bersifat khusus sepertimana yang dikemukakan oleh para ulama' ahli ilmu faraidh, iaitu kaum kerabat yang tidak hanya mempunyai hak pewarisan secara fardhu dan juga asobah, tetapi semua pewaris seperti ibu saudara dan bapa saudara dari sebelah ibu, ibu saudara dari sebelah ayah, anak lelaki daripada anak perempuan (cucu), anak lelaki daripada saudara perempuan (anak saudara) dan lain-lain sebagaimana yang diakui oleh sebahagian mereka dengan menggunakan dalil ayat al-Quran, bahkan mereka meyakini hal itu dengan jelas. Namun, yang benar adalah bahawa ayat tersebut bersifat umum yang merangkumi seluruh kerabat seperti yang ditegaskan oleh Ibn Abbas, Mujahid, Ikrimah, al-Hasan al-Basri, Qatadah dan ulama yang lain. Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, (2/302)
Allah Subhanahuwata'ala juga berfirman,
وَالَّذِينَ يَصِلُونَ مَا أَمَرَ اللَّـهُ بِهِ أَن يُوصَلَ وَيَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ وَيَخَافُونَ سُوءَ الْحِسَابِ
Maksudnya: ''Dan orang-orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, dan yang menaruh bimbang akan kemurkaan Tuhan mereka, serta takut kepada kesukaran yang akan dihadapi semasa soaljawab dan hitungan amal (pada hari kiamat)''. Al-Ra’d ayat 21
Perkataan silaturrahim (صلة الرحم) berasal daripada dua perkataan Arab iaitu “صلة” dan “الرحم”. Al-Raghib al-Asfahani menyebut:
الرَّحِمُ: رَحِمُ المرأة (أي بيت منبت ولدها ووعاؤه) . ومنه استعير الرَّحِمُ للقرابة، لكونهم خارجين من رحم واحدة
Maksudnya:''Al-Rahim yang dimaksudkan adalah rahim wanita iaitu tempat di mana janin berkembang dan terlindung (dalam perut wanita). Dan istilah al-rahim digunakan untuk menyebut kaum kerabat kerana mereka berasal dari satu rahim''. Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 347.
Antara hadith yang menyebut berkenaan menyambung silaturrahim, sepertimana sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,
مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
Maksudnya: ''Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim''. Riwayat al-Bukhari (5986) dan Muslim (2557)
Imam Nawawi dalam menjelaskan hadith ini berkata: Yang dimaksudkan dengan ‘أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ’ adalah diluaskan dan dijadikan banyak hartanya. Menurut pendapat yang lain, maksudnya diberi keberkatan harta. Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, (16/114)
Manakala dalam hadith daripada Abu Ayyub al-Ansari R.A, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah ditanya berkenaan amalan yang dapat memasukkan ke dalam syurga, lalu Baginda Sallallahu'alaihiwasallam menjawab,
تَعْبُدُ اللَّهَ لاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا ، وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ ، وَتُؤْتِى الزَّكَاةَ ، وَتَصِلُ الرَّحِمَ
Maksudnya: ''Sembahlah Allah dan jangan melakukan syirik pada-Nya, dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan jalinlah tali silaturrahim''.Riwayat al-Bukhari (5983)
Imam Nawawi menyebut: “Adapun maksud silaturrahim, ia adalah berbuat baik kepada kaum kerabat sesuai dengan keadaan orang yang hendak menghubungkan dan keadaan orang yang hendak dihubungkan. Terkadang dalam bentuk kebaikan dengan harta, terkadang dengan memberi bantuan tenaga, terkadang dengan mengunjunginya, dengan memberi salam, dan sebagainya''. Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, (1/287)
Di dalam al-Quran al-Karim juga terdapat ayat-ayat lain yang menunjukkan bahawa penyingkiran seorang saudara atau permusuhan ke atasnya adalah suatu dosa dan kehinaan yang amat buruk. Pemulauan ke atasnya hanya berlaku pada hari perhitungan kelak (Qiamat) ketika tiap-tiap seorang terikat dengan amalannya dan tiada mengindahkan orang lain. Bacalah firman Allah Subhanahuwata'ala,
أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ
Maksudnya:''...Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya...''. Al-Hujurat ayat 12
يَوْمَ يَفِرُّ الْمَرْءُ مِنْ أَخِيهِ. وَأُمِّهِ وَأَبِيهِ. وَصَاحِبَتِهِ وَبَنِيهِ. لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ يَوْمَئِذٍ شَأْنٌ يُغْنِيهِ
Maksudnya:''Pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, dari ibu dan bapaknya, dari istri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya''. ' Abasa ayat 34-37
Hak seorang saudara terhadap saudaranya meliputi segi-segi kebendaan dan moral, hak memberi bantuan hartabenda ketika dihajatkan kepada hartabenda dan memberi nasihat yang baik ketika dihajatkan kepada nasihat, serta memberikan pertolongan ketikan dia dimusuhi. Harus semua pengertian ini ada terkandung didalam hadith yang mulia berbunyi,
Dari Anas radhiyallahu ‘anhu, ia berkata bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا
Maksudnya:''Tolonglah saudaramu yang berbuat zalim dan yang dizalimi.”
فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنْصُرُهُ إِذَا كَانَ مَظْلُومًا ، أَفَرَأَيْتَ إِذَا كَانَ ظَالِمًا كَيْفَ أَنْصُرُهُ قَالَ « تَحْجُزُهُ أَوْ تَمْنَعُهُ مِنَ الظُّلْمِ ، فَإِنَّ ذَلِكَ نَصْرُهُ
Maksudnya:''Kemudian ada seseorang bertanya tentang bagaimana cara menolong orang yang berbuat zalim?. Beliau menjawab, “Kamu cegah dia dari berbuat zalim, maka sesungguhnya engkau telah menolongnya''. Riwayat Bukhari (6952), Muslim (2584)
Di sana ada suatu Hadith lain yang mengangkat hubungan diantara dua orang saudara itu hingga ke darjat kasih sayang yang bukan hanya terbatas kepada bantuan material dan moral. Daripada Anas bin Malik Ra, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ، حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
Maksudnya: “Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri''. Riwayat al-Bukhari (13).
Setengah-setengah para penyelidik berpendapat bahawa maksud hadith ini ialah saudara di dalam Islam, bukan saudara dalam nasab keturunan saja. Berdasar kepada ini, maka saudara sedarah dan seagama itu adalah lebih utama dan lebih mustahak.
Dalam sebuah hadith Nabi Sallallahu'alaihiwasallam ketika Baginda sampai ke kota Madinah dengan bersabda,
أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشوا السَّلامَ، وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ، وصلوا الأرحام وَصَلُّوا باللَّيْل وَالنَّاسُ نِيامٌ، تَدخُلُوا الجَنَّةَ بِسَلامٍ
Maksudnya: ''Hai orang ramai. Sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturrahim dan solatlah di waktu malam ketika mana manusia sedang tidur, nescaya kamu dapat masuk Syurga dengan sejahtera dan selamat''. Riwayat Ibnu Majah (3251)
Sekiranya benar terdapat banyak saudara-saudara yang memusuhi saudaranya yang lain semata-mata kerana mahu mendapatkan bahagian hartabenda yang lebih besar bagi anak-anak mereka, maka dibisikkan di telinga orang-orang ini bahawa anak-anak mereka juga akan menjadi saudara, satu dengan yang lain dan mereka ini tidak mustahil pula akan mewarisi sifat-sifat bapa mereka ini, bererti pada suatu hari kelak tiap-tiap seorangnya nanti akan menentang saudaranya sebagaimana sikap bapa mereka pada suatu masa dahulu. Biarlah kita menjadi contoh yang baik kepada anak-anak kita, agar mereka layak memegang gelaran yang ditunjuk oleh tabi'at semulajadi manusia; iaitu gelaran persaudaraan dan supaya hubungan baik di antara seorang saudara dan saudaranya melebihi segala rupa benda dan melebihi segala kekayaan.
No comments:
Post a Comment