Wednesday, August 31, 2022

Mengekalkan nikmat kemerdekaan

Mengekalkan nikmat kemerdekaan

Merdeka bukan sekadar bebas daripada cengkaman kuasa dan minda penjajah, tetapi juga bermaksud menghayati anugerah nikmat merdeka itu dengan  sepenuh hati dan sanggup berkorban untuk mempertahankannya dengan apa cara sekalipun.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ


Maksudnya: Katakanlah: "Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. Ali Imran ayat 26


Malaysia telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan kerana itu kita melafazkan lafaz yang diajar oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam sempena menyambut kemerdekaan ini dengan: “الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ” sebagai tanda syukur terhadap nilmat kemerdekaan ini. 


Menurut Kamus Dewan Bahasa, merdeka bermaksud bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan dan sebagainya. Ia juga bermaksud lepas daripada tebusan atau tuntutan serta berdiri sendiri dan tidak bergantung pada yang lain. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)


Di dalam bahasa Arab, kemerdekaan disebut sebagai ‘استقلال’ iaitu bersendiri dalam memiliki kemuliaan, berdikari dan bangkit daripada penindasan atau melepaskan diri daripada sesuatu ikatan.


Penjajahan adalah sebagai musuh utama kepada kemerdekaan mental dan fizikal. Sifat inginkan kemerdekaan dimiliki oleh semua manusia. Mereka sanggup berperang sehingga ke titisan darah terakhir dan berkorban apa sahaja semata-mata untuk meraih kemerdekaan. Rakyat yang terdiri daripada para perajurit, wira negara, pemimpin, ulama, wartawan, sasterawan, penulis, petani, bahkan pengayuh beca (abang beca) dan lain-lainnya telah berjuang ratusan tahun untuk menuntut kemerdekaan dari belenggu penjajahan asing.


Umar bin Mukhtar bin Umar (1862 M- 1931 M) yang lebih terkenal dengan nama julukan Umar Mukhtar atau Singa Padang Pasir (filem The Lion of the Desert (1981). Beliau merupakan ‘simbol’ perjuangan rakyat Libya dalam mempertahankan negara dari penjajahan Itali. Umar Mukhtar diberkas oleh Kolonial Itali setelah pertempuran sengit berlaku di antara kedua-dua pihak di Slonta, berhampiran Jabal al-Akhdar.


Dalam pertempuran tersebut seramai 40 orang tentera Islam telah terkorban, manakala Umar Mukhtar pula ditangkap dan dipenjarakan. Beliau ditahan di kem Benghazi dengan harapan gerakan penentangan Libya nanti akan layu tanpanya.Umar Mukhtar terus berjuang dengan menghunuskan lisannya mengancam Kolonial Itali:


سَوْفَ تَأْتِي أَجْيَالٌ مِنْ بَعْدِي تُقَاتِلُكُمْ، أَمَّا أَنَا فَحَيَاتِي سَوْفَ تَكُوْنُ أَطْوَلَ مِنْ حَيَاةِ شَانِقِي


“Kamu pasti bertembung dengan generasi-generasi akan datang selepas aku yang akan berjuang memerangi kebiadaban dan keangkuhanmu. Adapun kehidupanku yang akan kulalui jauh lebih lama daripada tukang gantung (algojo).”


Beliau dihukum gantung pada tahun 1931 setelah dia menyatakan menolak untuk menerima syarat-syarat pembebasan dirinya daripada dihukum mati.


Kemerdekaan negara yang dinikmati ini adalah anugerah Allah Subhanahuwata'ala yang wajib disyukuri dan dipelihara. Pelbagai nikmat telah dirasai oleh kita sebagai rakyat hasil daripada kemerdekaan.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ


Maksudnya:"Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih". Ibrahim Ayat 7


Antara pengekalan nikmat kurniaan Tuhan ini adalah dengan:


1-Sentiasa mematuhi titah perintah-Nya. Firman Allah Subhanahuwata'ala:


الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ


Maksudnya: Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan". Al-Haj ayat 41.


Berdasarkan ayat di atas jelas menunjukkan mereka yang dikurniakan Allah Subhanahuwata'ala dengan kedudukan yang kukuh di muka bumi perlu melaksanakan perintah utama iaitu:


-Mendirikan solat.

-Menunaikan zakat.

-Melaksanakan amar makruf.

-Mencegah kemungkaran.


2-Beriman dan beramal soleh.


Firman Allah Subhanahuwata'ala:


وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ   


Maksudnya:"Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa dimuka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa…….". Al-Nur ayat 55.


Maksud Iman;


Iman ertinya meyakini atau yakin bahawa sesuatu (yang dipercaya) itu memang benar atau nyata adanya. Secara etimologi (bahasa), iman berasal dari Bahasa Arab:


مصدر آمن يؤمن إيماناً فهو مؤمن


Mashdar dari kata Aamana – Yu'minu – iimaanan- fahuwa mu'min. (Syeikh Al Azhari, Tahdzibul Lughah, 15/513)


-Bererti "percaya" atau "membenarkan"


Ia juga membawa pengertian yang sama seperti I'tiqad (اعتقاد), tapi pada pengertian berbeza.


وهو من الأمن ضد الخوف


Diambil dari kata Al-Amnu (aman), lawan dari takut. (Syeikh Fairuzzabadi, Al Qamus Al Muhith, Hal 1518)


Takrif Iman menurut istilah syariat Islam ialah seperti diucapkan oleh Ali bin Abi Talib r.a. yang bermaksud: "Iman itu ucapan dengan lidah dan kepercayaan yang benar dengan hati dan perbuatan dengan anggota".


Imam al-Ghazali menghuraikan makna Iman adalah: "Pengakuan dengan lidah (lisan) membenarkan pengakuan itu dengan hati dan mengamalkannya dengan rukun-rukun (anggota-anggota)."


Iman pada maknawi sebenar ialah membenarkan dengan hati, menyatakan dengan lisan, dan melakukan dengan anggota badan. Ringkasnya orang yang beriman ialah orang yang percaya, mengaku dan beramal. Tanpa tiga syarat ini, seseorang itu belumlah dikatakan beriman yang sempurna. Ketiadaan Salah satu dari yang tiga itu, maka akan lainlah nama yang Islam berikan pada seseorang itu, iaitu samaada fasik, munafik atau kafir.


Maksud Amal soleh; 


Ialah segala amalan yang diredhai Allah Subhanahuwata‘ala, yang memenuhi dua syarat:


1. Amalan itu hendaknya sesuai dengan ajaran Islam.


2. Amalan itu bertujuan untuk mencapai keredaan dan ketaatan kepada Allah Subhanahuwata‘ala.


Apabila sesuatu amalan tidak memenuhi kedua syarat di atas, atau hanya dapat memenuhi salah satu daripada dua syarat tersebut, maka ia tidaklah termasuk amalan yang diredai Allah Subhanahuwata‘ala dan tidak akan mendapat pahala atau ganjaran daripada Allah Subhanahuwata‘ala.


Allah Subhanahuwata‘ala berfirman:


فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلٗا صَٰلِحٗا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدَۢا


Maksudnya:"Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Rabnya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Rabnya". Al-Kahfi ayat 110.


Oleh itu dapatlah dikatakan bahawa amal soleh itu ialah amalan benar yang sesuai dengan ajaran Islam dan niat dalam melakukannya adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah Subhanahuwata‘ala.


Kedudukan amal soleh dalam Islam sangat penting. Amal soleh adalah buah keimanan kepada Allah Subhanahuwata‘ala, hari kiamat dan Rasul-Nya. Amal soleh adalah menifestasi dari kandungan syahadah dalam bentuk amal perbuatan.


3-Beriman dan bertakwa membawa kepada keberkatan dan ketenangan serta keharmonian pada sesebuah negeri.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ


Maksudnya: Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan". Al-A’raf ayat 96.


Maksud takwa;


Sayidina Ali RA berkata: “Takwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan. Redha dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan".


Abdullah bin Mas’ud R.A mengatakan: “Takwa adalah kamu sentiasa mengingati Allah Subhanahuwata'ala dan tidak melupakannya, dipatuhi dan tidak diderhakai, disyukuri dan tidak diingkari".


Abu Bakar Muhammad al-Rauzabari Rahimahullah berkata: “Takwa ialah menjauhi apa yang menjauhimu daripada Tuhan.”


Berdasarkan takrif taqwa yang di berikan oleh para ulama, dapat disimpulkan bahawa takwa boleh menjadikan seseorang malakukan amar ma’ruf dan nahi munkar, di samping taqarrub kepada Allah dengan amalan sunat. Kepentingan takwa amat jelas apabila dinyatakan bahawa manusia yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa.


Keberkatan-keberkatan yang dijanjikan Allah dengan penuh ketegasan dan keyakinan kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa itu adalah beraneka jenis dan tidak dihurai dan ditentukan oleh ayat itu, tetapi saranannya menggambarkan keberkatan yang turun dan mengalir melimpah ruah di setiap tempat tanpa ditentu, dihurai dan dijelaskan, iaitu keberkatan dari segala jenis dan rupa bentuk yang diketahui dan dikhayalkan oleh manusia dan keberkatan-keberkatan yang tidak pernah diketahui mereka sama ada di alam kenyataan atau alam imaginasi. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 6/245-246)


Sesungguhnya nikmat kemerdekaan, keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran ini tidak datang dengan sendirinya bahkan ia adalah berkat daripada kurnian Allah Subhanahuwata'ala kepada kita.


Oleh itu berusahalah untuk menegakkan agama Allah di bumi ini dengan meletakkan agama Islam di tempat yang teratas, manakala segala amalan yang bertentangan dengan akidah Islam dibenteras, begitu juga setiap perbuatan yang berlawanan dengan syariat Islam dibetulkan dengan segala kelakuan yang menyalahi akhlak Islam dihindarkan. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah Muhammad ayat 7,


يٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن تَنصُرُوا۟ اللَّـهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ


Maksudnya:“Wahai orang yang beriman! Jika kamu menolong (membela agama) Allah, nescaya Dia akan menolong kamu mencapai kemenangan dan meneguhkan pendirian kamu".


Semua ini dapat dicapai kerana berkat kita berpegang teguh kepada ajaran agama Islam iaitu dengan mengerjakan apa yang disuruhnya dan meninggalkan apa yang dilarangnya serta sentiasa bersyukur kehadrat Allah Subhanahuwata'ala atas nikmat yang telah dikurniakan. Itulah cara dan amalan hidup kita yang sentiasa mendahulukan Allah Subhanahu Wata'ala dalam segala urusan  Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah Maryam ayat 76:


وَيَزِيدُ اللَّـهُ الَّذِينَ اهْتَدَوْا۟ هُدًى ۗ وَالْبٰقِيٰتُ الصّٰلِحٰتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ مَّرَدًّا


Maksudnya:“Dan Allah akan menambah hidayah kepada orang-orang yang mendapat petunjuk, dan amalan-amalan soleh yang kekal itu lebih baik pahalanya disisi Tuhanmu dan lebih baik kesudahannya”.


Mudah-mudahan dengan usaha yang demikian negara kita tetap kekal menjadi sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat, negara zikir dan menjadi menjadi negara,

 بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ


Maksudnya:" (Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun". Saba’ ayat 15.


Firman Allah Subhanahuwata'ala،


مَنُوا۟ اذْكُرُوا۟ اللَّـهَ ذِكْرًا كَثِيرًا (41) وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا (42) هُوَ الَّذِى يُصَلِّى عَلَيْكُمْ وَمَلٰٓئِكَتُهُۥ لِيُخْرِجَكُم مِّنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النُّورِ ۚ وَكَانَ بِالْمُؤْمِنِينَ رَحِيمًا (43


Maksudnya:"“Wahai orang-orang yang beriman! Berzikirlah mengingati Allah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya pada waktu pagi dan petang. Dialah yang mengurniakan rahmat kepada kamu dan malaikat-malaikatnya pula berdoa memohonkan ampun bagi kamu untuk mengeluarkan kamu dari kegelapan-kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) dan Dia adalah Maha Pengasih kepada orang-orang yang beriman”. Al-Ahzab ayat 41-43.


Semoga negara kita  sentiasa selamat dan terpelihara dari sebarang bala bencana serta dikurniakan rahmat dan nikmat kesejahteraan dan kemakmuran yang berkekalan. آمين



Saturday, August 27, 2022

Dunia itu indah dan manis tapi awas!

Dunia itu indah dan manis tapi awas!


Nabi Sallallahu'alaihiwasallam mengkhabarkan tentang keadaan dunia dan isinya yang menakjubkan bagi orang-orang yang memandang dan merasakannya. Dunia itu indah dan manis meliputi sifat dunia dan isinya secara umum. Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,


عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبيّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : إِنَّ الدُّنْيَا حُلْوَةٌ خَضِرَةٌ وَإِنَّ اللَّهَ مُسْتَخْلِفُكُمْ فِيهَا، فَيَنْظُرُ كَيْفَ تَعْمَلُونَ، فَاتَّقُوا الدُّنْيَا، وَاتَّقُوا النِّسَاءَ، فَإِنَّ أَوَّلَ فِتْنَةِ بْنِي إِسْرَائِيلَ كَانَتْ فِي النِّسَاء


Maksudnya:"Dari Abu Sa’id al-Khudri Radhiyallahu anhu, dari Nabi ﷺ, beliau bersabda, “Sesungguhnya dunia ini manis dan indah. Dan sesungguhnya Allah Azza wa Jalla menguasakan kepada kalian untuk mengelola apa yang ada di dalamnya, lalu Dia melihat bagaimana kalian berbuat. Oleh kerana itu berhati-hatilah terhadap dunia dan wanita, kerana fitnah yang pertama kali terjadi pada Bani Israil adalah kerana wanita.”


Diriwayatkan oleh Muslim (2742) Ahmad (III/22), an-Nasa`i  (9224), Ibnu Hibban (3211), al-Baihaqi (VII/91).


Dalam hadith di atas, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam mengkhabarkan apa yang telah terjadi pada umat-umat sebelum kita. Kerana dalam semua peristiwa itu terdapat ‘ibrah (pelajaran) bagi orang-orang yang mahu mengambil pelajaran, serta nasihat bagi orang-orang yang bertakwa.


Seorang Muslim mestilah berwaspada terhadap fitnah wanita, kerana ada di antara manusia yang terseret oleh kecintaannya yang berlebihan terhadap isterinya sehingga ia berbuat durhaka kepada orang tuanya, memutuskan silaturahim dan berbuat kerosakan di atas muka bumi, sehingga laknat Allah akan menimpanya.


Allah Subhanahuwata'ala berfirman,


فَهَلْ عَسَيْتُمْ إِنْ تَوَلَّيْتُمْ أَنْ تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ وَتُقَطِّعُوا أَرْحَامَكُمْ ﴿٢٢﴾ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فَأَصَمَّهُمْ وَأَعْمَىٰ أَبْصَارَهُمْ


Maksudnya:"Maka apakah sekiranya kamu berkuasa, kamu akan berbuat kerosakan di bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan?Mereka itulah orang-orang yang dilaknat oleh Allah; lalu dibuat tuli (pendengarannya) dan dibutakan penglihatannya". Muhammad ayat 22-23.


Di antara manusia ada yang diseret oleh kecintaannya kepada isterinya atau wanita yang dicintainya untuk mencari harta yang haram kerana demi memenuhi kecintaannya dan memuaskan syahwatnya. Di antara mereka pun ada yang saling membunuh dengan tetangganya dengan sebab kerenah isterinya.


Allah Subhanahuwata'ala pernah menegur Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam, Dia berfirman:


يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ لِمَ تُحَرِّمُ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكَ ۖ تَبْتَغِي مَرْضَاتَ أَزْوَاجِكَ ۚ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ ﴿١﴾ قَدْ فَرَضَ اللَّهُ لَكُمْ تَحِلَّةَ أَيْمَانِكُمْ ۚ وَاللَّهُ مَوْلَاكُمْ ۖ وَهُوَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ


Maksudnya:"Wahai Nabi, mengapa engkau mengharamkan apa yang dihalalkan Allah bagimu? Engkau ingin menyenangkan hati isteri-isterimu? Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang. Sungguh, Allah telah mewajibkan kepadamu membebaskan diri dari sumpahmu; dan Allah adalah pelindungmu dan Dia Maha Mengetahui, Maha Bijaksana". At-Tahrim/ ayat 1-2.


Dunia itu manis dalam rasanya dan indah pemandangannya, sebagaimana Allah Subhanahuwata'ala berfirman:


زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ۗ ذَٰلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الْمَآبِ


Maksudnya:"Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik". Ali-Imran ayat 14.


Allah Subhanahuwata'ala juga berfirman:


إِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى الْأَرْضِ زِينَةً لَهَا لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا


Maksudnya:"Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, untuk Kami menguji mereka, siapakah di antaranya yang terbaik perbuatannya". Al-Kahfi ayat 7.


Dunia dan isinya yang menakjubkan serta indah dan manis meliputi sifat dan isinya terkesan bagi orang-orang yang memandang dan merasakannya. 


Namun disebalik kesemua itu, Allah Subhanahuwata'ala pula menjadikannya sebagai ujian dan cobaan bagi para hamba-Nya. Sehingga Nabi Sallallahu'alaihiwasallam memerintahkan umatnya untuk mengerjakan hal-hal yang boleh menjaganya agar tidak terjatuh dalam fitnah dunia.


Allah Subhanahuwata'ala juga memberikan kemampuan kepada  hamba-Nya untuk mengelola isi dunia ini,  Barang siapa mengambil  dunia dari yang halal dan meletakkannya sesuai dengan haknya serta memanfaatkannya agar ia boleh beribadah kepada Allah, maka itu semua menjadi bekal baginya untuk pergi ke tempat yang lebih mulia dan kekal iaitu syurga. Dengan demikian, sempurnalah baginya kebahagiaan dunia dan akhirat. Akan tetapi sebaliknya, barang siapa menjadikan dunia sebagai cita-cita terbesarnya dan tujuan dari ilmunya serta keinginannya, maka ia akan mendapat dunia sesuai dengan yang telah ditetapkan baginya oleh Allah Subhanahuwata'ala. Sehingga akhirnya, hidupnya sengsara, dia tidak merasakan kelazatan dan syahwatnya kecuali hanya sebentar saja. Kelazatannya sedikit, tetapi kesedihannya berpanjangan.


Semua bentuk kelazatan dunia merupakan ujian dan cobaan. Di dalam hadith di atas disebutkan dua fitnah yang besar, iaitu fitnah dunia dan fitnah wanita.


Dunia dan segala isinya termasuk wanita adalah indah dan manis, namun jangan  sekali-kali seorang Muslim tertipu dengannya, kerana kehidupan dunia adalah kehidupan yang menipu. Allah Subhanahuwata'ala berfirman,


وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ


Maksudnya:"… Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya". Ali-Imran ayat 185.


Allah Subhanahuwata'ala juga berfirman:


إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ ۖ فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَلَا يَغُرَّنَّكُمْ بِاللَّهِ الْغَرُورُ


Maksudnya:"…Sungguh, janji Allah pasti benar, maka janganlah sekali-kali kamu terpedaya oleh kehidupan dunia, dan jangan sampai kamu terpedaya oleh penipu dalam (menaati) Allah".  Luqman ayat 33.


Cinta dunia merupakan induk dari segala kesalahan (dosa) dan merosak agama:


Pertama: Mencintai dunia bererti mengagungkan dunia, padahal ia sangat hina di pandangan Allah. Termasuk dosa yang paling besar adalah mengagungkan sesuatu yang direndahkan oleh Allah Subhanahuwata'ala.


Dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu, ia berkata, “Aku mendengar Rasûlullâh Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


أَلَا إِنَّ الدُّنْيَا مَلْعُوْنَةٌ مَلْعُوْنٌ مَا فِـيْهَا إِلَّا ذِكْرُ اللهِ وَمَا وَالَاهُ وَعَالِـمٌ أَوْ مُـتَـعَلِّـمٌ


Maksudnya:"Ketahuilah, sesungguhnya dunia itu dilaknat dan dilaknat apa yang ada di dalamnya, kecuali zikir kepada Allâh dan ketaatan kepada-Nya, orang berilmu, atau orang yang mempelajari ilmu". Al-Tirmizi (2322)


Dari Abu Musa Al-Asy’ari radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


مَنْ أَحَبَّ دُنْيَاهُ أَضَرَّ بِآخِرَتِهِ وَمَنْ أَحَبَّ آخِرَتَهُ أَضَرَّ بِدُنْيَاهُ فَآثِرُوا مَا يَبْقَى عَلَى مَا يَفْنَى


Maksudnya:“Siapa yang begitu cinta dengan dunianya, maka itu akan memudaratkan akhiratnya. Siapa yang begitu cinta akhiratnya, maka itu akan mengurangi kecintaannya pada dunia. Dahulukanlah negeri yang akan kekal abadi (akhirat) dari negeri yang akan fana (dunia)".  Riwayat Ahmad (4:412).


Kedua:  Mencintai dunia bererti menjadikan dunia sebagai tujuan dan menjadikan amal akhirat sebagai alat untuk menggapai dunia. Dengan maksud, mereka yang mencintai dunia menjadikan amal dan segala ciptaan Allah yang sepatutnya digunakan sebagai sarana untuk menuju kepada Allah Subhanahwata'ala dan negeri akhirat namun telah berubah arah kepada mengejar kepentingan dunia.


Ini adalah merupakan keburukan dari semua sisi. Juga bererti membalikan sesuatu pada posisi yang benar-benar terbalik. Ini sesuai dengan firman Allah Subhanahuwata'ala,


مَنْ كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَالَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لَا يُبْخَسُونَ﴿١٥﴾أُولَٰئِكَ الَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ إِلَّا النَّارُ ۖ وَحَبِطَ مَا صَنَعُوا فِيهَا وَبَاطِلٌ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ


Maksudnya:"Barang siapa menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperoleh balasan di akhirat kecuali neraka. Dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan".  Hud ayat 15-16.


Ketiga: Mencintai dunia akan membuat manusia tidak sempat melakukan sesuatu yang bermanfaat baginya di akhirat, akibat dari kesibukannya dengan dunia dan kesukaannya. Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَأَنفِقُوا مِن مَّارَزَقْنَاكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلآ أَخَّرْتَنِي إِلَى أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ الصَّالِحِينَ {10} وَلَن يُؤَخِّرَ اللهُ نَفْسًا إِذَا جَآءَ أَجَلُهَا وَاللهُ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ{11


Maksudnya:"Dan berinfaklah sebahagian dari apa yang telah kami berikan kepadamu, sebelum datang kematian kepada salah seorang diantara kamu lalu ia berkata dengan menyesali : Wahai tuhanku, mengapa engkau tidak memberikan aku sedikit waktu lagi, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang  shaleh. Dan Allah sekali-kali tidak akan pernah memberikan memberikan kesempatan kepada seseorang apabila datang waktu ajalnya, Allah Maha mengenal apa yang kamu kerjakan".  Al-Munafiqun ayat 10-11.


Perlu direnungkan bahawa dunia ini adalah umpama jambatan menuju akhirat.  Dunia adalah tempat untuk memperbanyakan bekal untuk menuju akhirat, tempat ibadah, tempat solat, tempat berpuasa, tempat zakat dan tempat ibadah lainnya. Sebagaimana Rasulullah Sallallahu'aihiwasallam bersabda,


كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ


Maksudnuya:"Jadilah kamu di dunia seakan-akan seperti orang asing atau orang yang melakukan perjalanan".  Riwayat Bukhari.


Keempat: Cinta dunia,iaitu apabila seseorang hamba itu menjadikan dunia sebagai tujuan hidupnya dan mengesampingkan urusan akhiratnya serta menjadikan dunia sebagai cita-cita terbesar sebagai seorang manusia.


Dunia yang akan didapatnya hanya seukuran ketentuan yang telah ditetapkan baginya, tidak lebih, meskipun ia bekerja keras dari pagi hingga ke malam, bahkan hingga ke pagi semula dengan mengorbankan kewajibannya beribadah kepada Allah, mengorbankan hak-hak isteri, anak-anak, keluarga, orang tua, dan lainnya.


Maka Allah Subhanahuwata'ala akan menjadikan urusan dunianya tercerai-berai, berantakan, serba sulit, serta menjadikan hidupnya selalu diliputi kegelisahan. Allah Subhanahuwata'ala juga akan menjadikan kefakiran di depan matanya, selalu takut miskin, atau hatinya selalu tidak merasa cukup dengan rezeki yang Allah Subhanahuwata'ala kurniakan kepadanya.


Raslullah Shlallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


مَنْ كَانَتِ الدُّنْيَا هَمَّهُ فَرَّقَ اللهُ عَلَيْهِ أَمْرَهُ ، وَجَعَلَ فَقْرَهُ بَيْنَ عَيْنَيْهِ ، وَلَمْ يَأْتِهِ مِنَ الدُّنْيَا إِلَّا مَا كُتِبَ لَـهُ ، وَمَنْ كَانَتِ الْآخِرَةُ نِيَّـتَهُ جَمَعَ اللهُ لَهُ أَمْرَهُ ، وَجَعَلَ غِنَاهُ فِـيْ قَلْبِهِ ، وَأَتَـتْهُ الدُّنْـيَا وَهِـيَ رَاغِمَـةٌ


Maksudnya:"Barangsiapa tujuan hidupnya adalah dunia, maka Allah akan mencerai-beraikan urusannya, menjadikan kefakiran di kedua pelupuk matanya, dan ia mendapat dunia menurut apa yang telah ditetapkan baginya. Dan barangsiapa yang niat (tujuan) hidupnya adalah negeri akhirat, Allâh Azza wa Jalla akan mengumpulkan urusannya, menjadikan kekayaan di hatinya, dan dunia akan mendatanginya dalam keadaan hina". Riwayat Ahmad, II/358; at-Tirmidzi (2466), Ibnu Mâjah (4107)


Kelima: Cinta dunia dan penggila harta akan lebih mengutamakan dunia daripada akhirat, yang mana mereka adalah orang yang kurang akal dan paling idiot. Kerananya, ia lebih mengutamakan khayalan daripada kenyataan, lebih mengutamakan bayang-bayang yang segera hilang daripada kenikmatan yang kekal, lebih mengutamakan rumah yang segera binasa dan menukar kehidupan yang abadi yang nyaman dengan kehidupan yang tidak lebih dari sekadar mimpi atau bayang-bayang yang segera hilang. Sesungguhnya orang yang cerdas akal tidak akan tertipu dengan hal-hal semacam itu.


Raslullah Sallallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


عَنِ ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ قَالَ : كُنْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فَجَاءَهُ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- ثُمَّ قَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ الْمُؤْمِنِينَ أَفْضَلُ قَالَ : « أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا ». قَالَ فَأَىُّ الْمُؤْمِنِينَ أَكْيَسُ قَالَ : « أَكْثَرُهُمْ لِلْمَوْتِ ذِكْرًا وَأَحْسَنُهُمْ لِمَا بَعْدَهُ اسْتِعْدَادًا أُولَئِكَ الأَكْيَاسُ ».


Maksudnya:"Dari Ibnu ‘Umar, ia berkata, “Aku pernah bersama Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam, lalu seorang Anshor mendatangi beliau, ia memberi salam dan bertanya, “Wahai Rasulullah, mukmin manakah yang paling baik?” Beliau bersabda, “Yang paling baik akhlaknya.” “Lalu mukmin manakah yang paling cerdik?”, ia kembali bertanya. Beliau bersabda, “Yang paling banyak mengingat kematian dan yang paling baik dalam mempersiapkan diri untuk alam berikutnya, itulah mereka yang paling cerdas.” Riwayat Ibnu Majah (4259). Hasan. 


Janganlah seorang Muslim tertipu dengan dunia, sehingga dia lalai dan meninggalkan ibadah kepada Allah Subhanahuwata'ala. Sedangkan manusia diciptakan  untuk beribadah. Allah Subhanahuwata'ala,


وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ


Maksudnya:"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.” Az-Zariyat ayat 56.


Rezeki dan ajal telah ditentukan oleh Allah Subhanahuwata'ala , meskipun demikian seorang Muslim wajib mencari nafkah sekadarnya untuk kehidupan dia di dunia. Akan tetapi janganlah kesibukan  dengan usaha, perniagaan, kerja, dan sebagainya membuatkan ia lalai dari mengingat Allâh Subhanahuwata'ala .


Allah Subhanahuwata'ala berfirman:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ ۚ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ


Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman!Janganlah harta bendamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah.Dan barangsiapa berbuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi". Al-Munaafiquun ayat 9.


Setiap Muslim tidak boleh tertipu dengan kehidupan dunia. Setiap Muslim hendaklah mencurahkan waktunya untuk beribadah kepada Allah.


Ramai manusia yang terlalai sehingga banyak waktu yang terbuang dengan sia-sia dan hanya digunakan untuk mengejar dunia. Waktu yang digunakan mulai dari pagi hingga malam harinya hanya untuk mengurusi dunia. Sedangkan rezeki itu datangnya dengan pasti, setiap anak yang lahir itu sudah membawa rezeki. Akan tetapi yang belum pasti adalah keadaan kita dihadapan Allah pada hari Kiamat, apakah amal kita diterima atau tidak, apakah kita akan masuk syurga atau neraka. Oleh karena itu, jangan jadikan dunia ini sebagai tujuan.


Sebaliknya jika kesibukan Muslim dalam ibadah kepada Allah dengan ikhlas dan itiiba’ serta senantiasa bertakwa kepada Allah Subhanahuwata'ala, nescaya Allah akan mendatangkan rezeki dan menutup kefakiran. Allah Subhanahuwata'ala berfirman:


وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا ﴿٢﴾ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ


Maksudnya:"Barangsiapa bertakwa kepada Allâh nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagi-nya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya". Ath-Thalaq ayat 2-3.


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda, “Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman,


يَا ابْنَ آدَمَ ! تَفَرَّغْ لِعِبَادَتِـيْ أَمْلَأُ صَدْرَكَ غِنًـى وَأَسُدُّ فَقْرَكَ ، وَإِلَّا تَفْعَلْ مَلَأْتُ يَدَيْكَ شُغْلًا وَلَمْ أَسُدَّ فَقْرَكَ


Maksudnya:"Wahai anak Adam! Curahkanlah (gunakanlah) waktumu untuk beribadah kepada-Ku, nescaya Aku penuhi dadamu dengan kekayaan (kecukupan) dan Aku tutup kefakiranmu. Jika engkau tidak melakukannya, maka Aku penuhi kedua tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak akan tutup kefakiranmu". Riwayat Ahmad, II/358; at-Tirmidzi, no. 2466; Ibnu Majah, no. 4107


Orang yang tujuan hidupnya adalah akhirat, maka Allah Subhanahuwata'ala akan kumpulkan seluruh urusannya, Allah Subhanahuwata'ala akan jadikan hatinya itu merasa cukup dengan rezeki yang Subhanahuwata'ala berikan dan dunia akan datang dalam keadaan hina. Orang yang bahagia adalah orang cukup dan puas dengan rezeki yang Allah Subhanahuwata'ala berikan.


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:


قَدْ أَفْلَحَ مَنْ أَسْلَمَ وَرُزِقَ كَفَافًا وَقَنَّعَهُ اللهُ بِمَا آتَاهُ


Maksudnya:"Sungguh beruntung orang yang masuk Islam, diberikan rezeki yang cukup, dan dia merasa puas dengan apa yang Allâh berikan kepadanya". Muslim(1054)


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:


مَاذِئْبَانِ جَائِعَانِ أُرْسِلَا فِيْ غَنَمٍ بِأَفْسَدَ لَهَا مِنْ حِرْصِ الْمَرْءِ عَلَى الْمَالِ وَالشَّرَفِ لِدِيْنِهِ


Maksudnya:"Dua serigala yang lapar yang dilepas di tengah kumpulan kambing, tidak lebih merosak dibandingkan dengan sifat rakus manusia terhadap harta dan kedudukan yang sangat merusak agamanya". at-Tirmidzi, no. 2376


Di dalam hadith ini Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam mengkhabarkan bahawa ketamakan manusia terhadap harta dan jawatan pasti akan merosak agamanya. Ketamakan manusia kepada harta dan kepemimpinan akan membawa kepada kezaliman, kebohongan dan perbuatan keji. Bahkan akan mendorongnya menghalalkan segala cara untuk mencapai tujuannya. 


Orang-orang yang gila kepada harta, kedudukan, jabatan, dan cinta kepada dunia mereka akan menyesal pada hari kiamat, ketika mereka diberikan catatan amalnya dari sebelah kirinya. Semua kekuasaan, jabatan, dan hartanya tidak bermanfaat di akhirat. Allah Subhanahuwata'ala berfirman:


وَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِشِمَالِهِ فَيَقُولُ يَا لَيْتَنِي لَمْ أُوتَ كِتَابِيَهْ ﴿٢٥﴾ وَلَمْ أَدْرِ مَا حِسَابِيَهْ ﴿٢٦﴾ يَا لَيْتَهَا كَانَتِ الْقَاضِيَةَ ﴿٢٧﴾ مَا أَغْنَىٰ عَنِّي مَالِيَهْ ﴿٢٨﴾ هَلَكَ عَنِّي سُلْطَانِيَهْ


Maksudnya:"Dan adapun orang yang kitabnya diberikan di tangankirinya, maka dia berkata, “Alangkah baiknya jika kitabku(ini) tidak diberikan kepadaku.Sehingga aku tidak mengetahui bagaimana perhitunganku,Wahai, kiranya (kematian)itulah yang menyudahi segala sesuatu. Hartaku sama sekali tidak berguna bagiku. Kekuasaanku telah hilang dariku". Al-Haqqah ayat 25-29.


Justeru itu, seorang Muslim mestilah zuhud terhadap dunia dan qana’ah (merasa puas dengan rezeki yang Allâh kurniakan kepadanya). Setiap Muslim dan Muslimah mestilah sedar, bahawa kita diciptakan oleh Allah Subhanahuwata'ala untuk beribadah kepada-Nya . Kita wajib meluangkan waktu  untuk beribadah kepada Allah-Nya .




Saturday, August 20, 2022

Keagungan Salam

Keagungan Salam

Salam adalah merupakan ucapan penghormatan yang diucapkan oleh orang yang beragama Islam kepada saudaranya (seagama dengannya). Maksud ini diambil berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَتَحِيَّتُهُمْ فِيهَا سَلَامٌ


Maksudnya: “Dan ucapan penghormatan mereka padanya ialah: Selamat sejahtera”. Yunus ayat 10.


Ada hadith yang jelas menggambarkan asal permulaan salam sehingga ia disyariatkan sejak dahulu lagi. Salam yang merupakan ucapan penghormatan sesama manusia mengikut neraca syariah.


Daripada Abu Hurairah RA, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

 


خَـلَقَ اللَّهُ عَزَّ وجَلَّ آدَمَ علـى صُورَتِهِ طُولهُ سِتُّونَ ذِراعاً، فَلَـمَّا خَـلَقَهُ قال: اذْهَبْ فسَلِّـمْ علـى أولئِكَ: نَفَرٍ مِنَ الـمَلائِكَةِ جُلُوسٍ فـاسْتَـمعْ ما يُحَيُّونَكَ فإنَّها تَـحِيَّتُكَ وتـحِيَّةُ ذُرِّيَّتِكَ، فقال: السَّلامُ عَلَـيْكُمْ، فقالوا: السَّلامُ عَلَـيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّهِ فَزَادُوهُ: وَرَحمَةُ اللَّهِ


Maksudnya: “Telah Allah Subhanahuwata'ala cipta Adam dengan ciri-cirinya iaitu dengan tingginya 60 hasta. Setelah Allah Subhanahuwata'ala menciptanya, Allah Subhanahuwata'ala berfirman: Pergilah dan ucapkanlah salam kepada malaikat yang duduk itu dan dengarkan baik-baik bacaan salam mereka kepadamu kerana itu adalah sebagai salam penghormatan dan juga anak cucu keturunanmu. Adam mengucapkan “السَّلامُ عَلَـيْكُمْ”, lalu para malaikat berkata: “السَّلامُ عَلَـيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّهِ”. Para malaikat telah menambah (وَرَحْمَةُ اللَّهِ)”. Riwayat al-Bukhari (5759) dan Riwayat Muslim (5075)


Keterangan kiraan 60 hasta:


60 hasta bersamaan 27 meter.

27 meter bersamaan 88.56 kaki


1 hasta = 45 cm

1 hasta = (45 ÷ 100) m

1 hasta = 0,45 meter

1 meter = 2,2222 hasta


1 meter = 3.28 kaki


Antara lafaz “salam” yang boleh digunakan adalah:


السلام عليكم

السلام عليكم ورحمة الله

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Diantara keagungan salam adalah para Malaikat akan mengucapkan salam sejahtera kepada ahli syurga akibat daripada kesabaran yang mereka tempuhi di dunia maka syurga adalah sebaik-baik tempat buat mereka. 


سَلَامٌ عَلَيْكُم بِمَا صَبَرْتُمْ ۚ فَنِعْمَ عُقْبَى الدَّارِ


Maksudnya: “Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu”. [al-Ra’d:24]


Berdasarkan ayat ini, salam merupakan ucapan penghormatan yang mulia kerana ia digunakan kepada ahli syurga. Selain itu, firman Allah Subhanahuwata'ala,


إِلَّا قِيلًا سَلَامًا سَلَامًا


Maksudnya: “Mereka hanya mendengar ucapan: " Selamat! Selamat! " (dari satu kepada yang lain)”. al-Waqi’ah ayat 26.


Di dalam ayat ini, Allah Subhanahuwata'ala telah menceritakan kepada kita akan keadaan di dalam syurga, di mana kita tidak akan mendengar perkataan yang sia-sia melainkan ucapan selamat dan sejahtera antara sesama ahli syurga.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا


Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”. al-Nisa’ayat 86.


Ayat di atas pula merupakan khitab (cara komunikasi) Allah Subhanahuwata'ala kepada hamba-hambanya yang mukallaf bahawa mereka diminta untuk mengucapkan atau membalas ucapan tersebut dengan lebih baik atau sama seperti yang diucapkan apabila terdapat manusia yang mendoakan kita dengan panjang umur atau dengan kesejahteraan.


Merujuk kepada firman Allah Subhanahuwata'ala ini, jelaslah menunjukkan bahawa kita dituntut untuk menjawab penghormatan atau salam yang diberikan dengan lebih baik atau membalasnya (jawab) sama seperti yang diucapkan itu.


Antara hadith Nabi Sallallahu'alaihiwasallam yang menceritakan akan kelebihan “Salam” serta perintah menyebarkannya:


Daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash RA berkata:


أنَّ رجلًا سأَل النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم : أيُّ الإسلامِ خيرٌ ؟ قال : ( تُطعِمُ الطعامَ، وتَقرَأُ السلامَ، على مَن عرَفتَ، وعلى مَن لم تَعرِفْ )


Maksudnya: “Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam: Islam manakah yang paling baik? Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: “Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal”. Riwayat al-Bukhari (11, 27, 5767) dan di dalam Riwayat Muslim, (56).


Antara lain memberi maksud dari hadith di atas agar salam menjadi budaya dan doa sesama orang Islam samada yang dikenali atau tidak.


Daripada al-Barra’ bin Azib RA berkata:


قَالَ الْبَرَاءُ بْنُ عَازِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَمَرَنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِسَبْعٍ وَنَهَانَا عَنْ سَبْعٍ أَمَرَنَا بِعِيَادَةِ الْمَرِيضِ وَاتِّبَاعِ الْجِنَازَةِ وَتَشْمِيتِ الْعَاطِسِ وَإِبْرَارِ الْقَسَمِ وَنَصْرِ الْمَظْلُومِ وَإِفْشَاءِ السَّلَامِ وَإِجَابَةِ الدَّاعِي وَنَهَانَا عَنْ خَوَاتِيمِ الذَّهَبِ وَعَنْ آنِيَةِ الْفِضَّةِ وَعَنْ الْمَيَاثِرِ وَالْقَسِّيَّةِ وَالْإِسْتَبْرَقِ وَالدِّيبَاجِ تَابَعَهُ أَبُو عَوَانَةَ وَالشَّيْبَانِيُّ عَنْ أَشْعَثَ فِي إِفْشَاءِ السَّلَامِ


Maksudnya: “Bahawa [Al Bara` bin Azib] radliallahu 'anhuma berkata; Nabi Sallallahu'alaihiwasallam telah memerintahkan kami tujuh perkara dan juga melarang kami dari tujuh perkara. Beliau memerintahkan kami untuk menjenguk orang sakit, mengantar jenazah, menjawab orang yang bersin, menunaikan sumpah, menolong orang yang terzalimi, menebarkan salam dan memenuhi undangan. Kemudian beliau melarang kami untuk mengenakan cincin emas, memakai bejana perak, mencabut uban, mengenakan Al Qassiyyah (pakaian yang bercampur dengan bahan sutera), Al Istibraq (kain yang dilapisi dengan bahan sutera) dan Ad Diibaj (sejenis pakain dari kain sutera). Hadits ini diperkuat oleh [Abu Awanah] dan [Asy Syaibani] dari [Asy'ats] dalam menyebarkan salam. Riwayat al-Bukhari (4777).


Dalam hadith ini terdapat 7 arahan Nabi Sallallahu'alaihiwasallam kepada kita untuk dilaksanakan terutamanya hubungan sesama manusia, salah satunya ialah menyebarkan salam. Natijah pelaksanaan perintah ini akan melahirkan masyarakat yang saling mawaddah dan berkasih sayang.


Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

 

لا تَدْخُـلُوا الـجَنَّةَ حتـى تُؤمِنُوا، ولا تُؤمِنُوا حتـى تَـحابُّوا أوَلا أدُلُّكُمْ علـى شَيءٍ إذا فَعَلْتُـمُوهُ تَـحَابَبْتُـمْ؟ افْشُوا السّلامَ بَـيْنَكُمْ


Maksudnya: “Mereka tidak akan masuk syurga sehingga mereka beriman dan tidak beriman mereka itu sehingga mereka berkasih sayang. Adakah kalian mahu aku tunjukkan sesuatu yang mana apabila kalian mengerjakannya nescaya kalian akan saling menyayangi sesama kalian? Sebarkanlah salam sesama kalian”. Riwayat Muslim (81)


Hadith ini dengan jelas mengkhabarkan kepada kita bahawa salam merupakan punca dan asbab kasih sayang yang sebenarnya merupakan sejuzuk daripada tanda kesempurnaan iman yang akhirnya melayakkan kita menuju ke syurga-Nya.


Memberi salam yang pertama adalah wajib Dan merupakan satu rukun dari rukun-rukun solat berdasarkan sabda Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam :


مِفتاحُ الصَّلاةِ الطُّهورُ، وتحريمُها التَّكبيرُ، وتحليلُها التَّسليمُ


Maksudnya : “Kunci solat itu adalah bersuci, ihramnya adalah takbir dan yang menghalalkannya adalah salam”. Riwayat al-Tirmizi (238).


Imam Nawawi mengulas hadis di atas dengan katanya :


“Kesimpulannya, memberi salam adalah merupakan rukun daripada rukun-rukun solat. Tidak sah sesuatu solat itu melainkan dengannya. Dan tidak ada yang dapat mengambil tempatnya (menggantikannya). Sekurang-kurangnya hendaklah dia menyebut lafaz salam (السَّلَامُ عَلَيْكُمْ). Sekiranya dia kurang satu huruf daripada huruf-hurufnya ini, tidak sah salamnya itu” [Lihat : al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (3/475-476)]


Di dalam sebuah hadith  yang sahih bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam telah mengajar kita cara untuk memberi atau mengucapkan salam sesama Islam.


Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


يُسَلِّمُ الرَّاكِبُ عَلَى الْمَاشِي ، وَالْمَاشِي عَلَى الْقَاعِدِ ، وَالْقَلِيلُ عَلَى الْكَثِيرِ


Maksudnya: “Hendaklah orang yang menaiki kenderaan memberi salam kepada orang yang berjalan dan orang yang berjalan memberi salam kepada orang yang duduk dan orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang ramai”. Riwayat al-Bukhari (5765), Riwayat Muslim (4019).


Berdasarkan hadith ini menunjukkan disunatkan kepada kita untuk memulakan ucapan salam kerana ia adalah sunnah yang amat disukai oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam. Di samping itu juga, tidak menjadi masalah bagi orang yang berjalan atau orang yang duduk untuk mengucapkan salam jika orang yang berkenderaan atau orang yang berjalan tidak mengucapkannya walaupun mereka inilah yang sepatutnya memulakan ucapan salam berdasarkan hadith di atas. Ini bertujuan bagi menghidupkan sunnah Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam.


Berdasarkan dalil-dalil di atas dan dalil-dalil yang lain maka para ulama’ mengatakan hukum mengucapkan salam adalah sunat yang sangat digalakkkan dan amat dituntut oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam (سنة مستحبة) walaupun di sana terdapat perintah atau arahan daripada Nabi Sallallahu'alaihiwasallam untuk kita menyebarkan dan mengucapkan salam, namun perintah tersebut bukanlah bersifat wajib. Inilah pendapat yang masyhur dalam kalangan para alim ulama. Adapun hukum menjawab salam adalah wajib kerana Allah Subhanahuwata'ala memerintahkan kita untuk menjawabnya, berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا


Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama)”. al-Nisa’ ayat 86.


Budaya mengucapkan salam sudah semakin dilupakan dan tidak diamalkan di dalam masyarkat kita pada hari ini. Mengucapkan salam tidak memerlukan belanja atau tenaga, ia cuma memerlukan kita melafazkannya dengan bibir yang disertakan hati yang ikhlas. Betapa mulianya salam sehingga Jemaah haji yang pulang dari Mekah salah satu daripada tanda hajinya mabrur adalah sentiasa suka memberi salam. Semoga Allah Subhanahuwata'ala memberi kita kekuatan dalam mengamalkan sunnah Nabi Sallallahu'alaihiwasallam serta memelihara kita daripada sifat-sifat yang dikeji oleh Allah Subhanahuwata'ala dan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam. آمين.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...