Thursday, May 16, 2024

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya.

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya.

Profesion sebagai seorang guru adalah antara bidang pekerjaan yang mulia. Guru mempunyai darjat dan martabat yang tinggi, di mana kalimah keramat gelaran cikgu atau ustaz sentiasa abadi dalam kehidupan guru dan tidak pernah dipencenkan oleh masyarakat sekalipun mereka sudah lama bersara. Panggilan guru tersebut akan kekal sehingga ke liang lahad pun pasti dibawa bersama.


Sememangnya status sebagai seorang guru atau ustaz bukanlah satu perkara yang mudah. Realiti pada hari ini, menjadi seorang guru atau bermaksud individu tersebut perlu berhadapan dengan karenah serta perangai pelbagai pihak terutamanya ibubapa dan pelajar-pelajar. Ianya bukanlah satu perkara yang mudah, namun memerlukan kepada kesabaran dan kesungguhan dalam mendidik generasi yang terbaik.


Diriwayatkan oleh Abu Umamah RA, bahawa Rasulullah Sallahu’alaihiwasallam bersabda,


إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكتَهُ وَأَهْلَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ حَتَّى النَّمْلَةَ فِيْ جُحْرِهَا وَحَتَّى الحُوْتَ لَيُصَلُّوْنَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الخَيْرَ


Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Subhanahuwata'ala, para Malaikat dan semua penduduk di langit dan di bumi, sehinggakan semut di sarangnya dan ikan (di lautan) pasti berselawat (mendoakan) kebaikan bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia”. Riwayat al-Tirmizi (2609)


Mulianya guru sehingga mereka digelar dengan pelbagai gelaran seperti cikgu, ustaz, maulana, tok guru, syeikh, dan juga kadang-kadang disifatkan sebagai mursyid, murabbi, muaddib dan lain-lain. Ini jelas menunjukkan ianya disanjung kerana dengan merekalah manusia menjadi manusia bahkan diisi dengan jati diri, akhlak, modal insan di samping membawa kepada ma’rifatullah.


Guru juga dikenali sebagai mu’allim yang memberi maksud pemberi dan pengajar ilmu. Oleh kerana guru memiliki segunung ilmu, maka sudah pasti ia dapat menaungi, membimbing, mengasuh dan mendidik murid dan pelajarnya sehingga jadilah mereka dengan watak-watak mulia, soleh, berpekerti dan lain-lain sekalipun menjawat pelbagai jawatan atau menceburi pelbagai bidang tugas dan pekerjaan. Sudah pasti ilmu yang diterima oleh seseorang sejak mengenali alif, ba, ta, dari gurunya sentiasa menjadi azimat dan panduan dalam menempuh rencah kehidupan.


Justeru itu, kehadiran guru sebagai pembimbing dalam belajar menjadi sangat penting, agar pencari ilmu tidak jatuh ke dalam keraguan dan kebimbangan. Sebagaimana kata Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali  :


فَاعْلَمْ أَنَّ الْأُسْتَاذَ فَاتِحٌ وَمُسَهِّلٌ، وَالتَّحْصِيْلُ مَعَهُ أَسْهَلُ وَأَرْوَحُ


Maksudnya: Ketahuilah olehmu, bahawasanya guru itu adalah pembuka (yang tertutup) dan memudahkan (yang rumit). Mendapatkan ilmu dengan adanya bimbingan guru akan lebih mudah dan lebih menyenangkan."(Minhajul 'Abidin ilaa Janhati Rabbil 'Alamiin, halaman 8).


Manusia mempunyai pelbagai keistimewaan dan ragamnya, tetapi secara khusus dapatlah dibahagikan kepada tiga. Yang berilmu, yang belajar dan yang tidak berilmu dan tidak belajar. Justeru itu, Saidina Ali R.A berkata,


النَّاسُ ثَلَاثَةٌ: فَعَالِمٌ رَبَّانِيٌّ، وَمُتَعَلِّمٌ عَلَى سَبِيلِ نَجَاةٍ، وَهَمَجٌ رَعَاعٌ أَتْبَاعُ كُلِّ نَاعِقٍ، يَمِيلُونَ مَعَ كُلِّ رِيحٍ


Maksudnya: “Manusia ada tiga jenis: Seorang alim rabbani (yang takut kepada Allah Subhanahuwata’ala) dan seorang murid (pelajar) yang ingin selamat, dan selain itu rakyat jelata pengikut tiap suara seruan, condong mengikut arah angin.


Beliau juga berkata,


الْعِلْمُ خَيْرٌ مِنَ الْمَالِ، الْعِلْمُ يَحْرُسُكَ، وَأَنْتَ تَحْرُسُ الْمَالَ، الْعِلْمُ يَزْكُو عَلَى الْعَمَلِ، وَالْمَالُ تُنْقِصُهُ النَّفَقَةُ... وَالْعُلَمَاءُ بَاقُونَ مَا بَقِيَ الدَّهْرُ، أَعْيَانُهُمْ مَفْقُودَةٌ، وَأَمْثَالُهُمْ فِي الْقُلُوبِ مَوْجُودَةٌ،


Maksudnya:“Ilmu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga dirimu, sedangkan kamu menjaga harta, dan ilmu bertambah jika disiarkan sedangkan harta berkurangan jika dibelanjakan…Dan ulama’ itu akan tetap hidup selamanya meskipun jasadnya tidak ada, dan ajaran mereka selalu diingati dalam hati.” (Lihat Hilyah al-Auliya’, 1/80, Tarikh Dimasyq, 14/18, Tazkirah al-Huffaz, 1/11 dan Tahzib al-Kamal, 24/220)


Keutamaan Mengajar Ilmu


Orang yang menunjukkan suatu kebaikan kepada seseorang seperti mengajarkan ilmu, maka dia juga akan memperoleh pahala sepertimana pahala orang yang dia ajarkan. Daripada Abu Mas’ud Uqbah bin Amir al-Ansari R.A, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam  bersabda,


مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ


Maksudnya: “Barangsiapa yang menunjukkan kepada kebaikan maka dia akan mendapat pahala sepertimana pahala orang yang mengerjakannya”. Riwayat Muslim (1893)


Amalan kebaikan yang boleh ditunjukkan merangkumi perbuatan, percakapan dan penulisan. Inilah kelebihan dan anugerah besar daripada Allah Subhanahuwata’ala yang Maha Pemurah Lagi Maha Besar Kurniaan-Nya. 

Lihat Nuzhah al-Muttaqin Syarh Riyadh al-Salihin.


Manakala dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda,


مَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَىْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَىْءٌ


Maksudnya: “Barangsiapa menjadi pelopor suatu amalan kebaikan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya ganjaran semisal ganjaran orang yang mengikutinya dan sedikitpun tidak akan mengurangi ganjaran yang mereka peroleh. Sebaliknya, barangsiapa menjadi pelopor suatu amalan keburukan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa semisal dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun”.

Riwayat Muslim (1017)


Mulianya guru kerana dia telah membawa bersamanya ilmu. Begitu juga dengannya dia dapat menunjukkan pelajarnya erti kehidupan dan kemanusiaan yang mana wajib mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa. Antara yang menunjukkan kemuliaan guru atau mu’allim ialah:

Kebaikan yang Allah Subhanahuwata’ala kurniakan kepadanya. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi Sallallahu’alaihiwasallam telah bersabda,


مَنْ يُرِدِ اَللَّهُ بِهِ خَيْرًا, يُفَقِّهْهُ فِي اَلدِّينِ


Maksudnya: “Siapa yang dikehendaki kebaikan yang banyak oleh Allah, nescaya akan difahamkan perihal agamanya”.

Riwayat al-Bukhari (71) dan Muslim (1037)


Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Dalam hadith ini terdapat keterangan yang jelas tentang kelebihan orang-orang yang berilmu di atas semua manusia. Begitu juga keutamaan ilmu agama di atas ilmu-ilmu yang lain.” (Lihat Fath al-Bari, 1/165)


Guru sebagai khazanah harta yang tiada ternilai. Benarlah sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A,


وَالنَّاسُ مَعَادِنُ، خِيَارُهُمْ فِي الْجَاهِلِيَّةِ خِيَارُهُمْ فِي الإِسْلاَمِ إِذَا فَقِهُوا


Maksudnya:” Manusia itu adalah umpama barang-barang galian seperti barang galian emas dan perak. Sebaik-baik mereka di zaman kejahilan dulu juga akan menjadi sebaik-baik manusia setelah mengikut Islam jika mereka memahami Islam itu”. 

Riwayat Bukhari (3495) dan Muslim (2526)


Guru menjadi penunjuk jalan kebaikan. 


Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Jarir bin Abdullah R.Ahuma, bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda,


مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ


Maksudnya: “Barangsiapa yang memulakan suatu perbuatan dalam Islam suatu sunnah yang baik, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan bagi pemulanya pahala orang yang beramal denganya, dan tidak akan berkurang daripada pahala mereka suatu pun”.

Riwayat Muslim (1017)


Guru selamat daripada celaan. 


Hal ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi Sallallahu’alaihiwasallam telah bersabda,


الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ، مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلَّا ذِكْرَ اللهِ أَوْ عَالِمًا أَوْ مُتَعَلِّمًا


Maksudnya: “Dunia ini dan seisinya adalah laknat kecuali mengingati Allah, yang membawa kepada taat kepada-Nya, orang alim (guru) dan pelajar.” 

Riwayat Ibn Majah (4112) dan al-Tirmizi (2322)
Syeikh Syuaib al-Arnaut menghukumkan sanad hadith ini sebagai hasan


Peranan pelajar dan murid.


Sebagai pelajar dan murid pula, wajib kita memuliakan guru kita dan antara tanggungjawab yang sepatutnya kita tunaikan ialah:


Menghormati dan memuliakannya, walaupun sudah selesai dari bangku sekolah. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pernah bersabda,


لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيُجِلَّ كَبِيرَنَا وَيَفِ لِعَالِمِنَا


Maksudnya: “Bukanlah termasuk golongan kami orang yang tidak menyayangi yang muda, tidak menghormati yang tua, dan tidak mengerti hak ulama kami”.

Riwayat Ahmad (5/323) dan al-Bazzar (2718)


Imam Nawawi berkata: “Seorang murid hendaklah melihat gurunya dengan pandangan penghormatan. Hendaklah dia meyakini keahlian gurunya berbanding yang lain. Kerana perkara itu akan menjadikan seorang murid dapat mengambil banyak manfaat darinya, dan lebih dapat memberi kesan dalam hati terhadap apa yang dia dengar dari gurunya tersebut”. Lihat al-Majmu’, 1/84.


Berdoa untuk kepada guru. Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam,


مَنْ صَنَعَ إِلَيْكُمْ مَعْرُوفًا فَكَافِئُوهُ ، فَإِنْ لَمْ تَجِدُوا مَا تُكَافِئُونَهُ فَادْعُوا لَهُ حَتَّى تَرَوْا أَنَّكُمْ قَدْ كَافَأْتُمُوهُ


Maksudnya: “Sesiapa yang berbuat kepada kamu kebaikan maka balaslah. Jika kamu tidak mempunyai sesuatu untuk membalasnya, maka doakanlah dia, sehingga kamu merasakan bahawa kamu sudah membalasnya.” 

Riwayat Abu Daud (1672)


Hal ini juga sepertimana yang telah dilakukan oleh salaf al-Soleh. Antaranya disebut bahawa Imam Ahmad selalu berdoa untuk Imam al-Syafi’e yang menjadi gurunya.


Ulama’ Islam di zaman silam amat mementingkan adab dalam menuntut ilmu. Kata al-Imam Abdullah bin al-Mubarak (wafat 181H) Rahimahullah: 


طلبت الأدب ثلاثين سنة، وطلبت العلم عشرين سنة؛ كانوا يطلبون الأدب ثم العلم


"Aku mempelajari adab menuntut ilmu selama 30 tahun, kemudian baru mempelajari ilmu".

(Rujuk Ghoyatul Nihayah fi Tobaqat al-Qira’, 1/446)


Al-Imam Malik (wafat 179H) Rahimahullah pernah berkata: “Ibuku pernah menyuruhku pergi kepada Rabi’ah (salah seorang guru kepada al-Imam Malik) dan mempelajari darinya adab dan kemudian barulah ilmunya”. [Lihat  Abu al-Fadhl al-Qadhi ‘Iyadh. Tartib al-Madarik wa al-Taqrib al-Masalik, 1/130]


Sebenarnya terlalu banyak kelebihan guru dan penuntut ilmu. Justeru, memadai apa yang telah disebutkan di atas.




Thursday, May 9, 2024

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jalan dalam hidup Ini, iaitu: 

Kepada husnulkhatimah atau su'ulkhatimah. Husnulkhatimah pada akhir hayat sudah tentu akan tercapai dengan menjadi hamba Allah yang bertakwa. Ini sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,


إِذَا أَرَادَ اللهُ بِعَبْدِهِ خَيْرًا اسْتَعْمَلَهُ، قاَلُوُا: كَيْفَ يَسْتَعْمِلُهُ؟ قَالَ: يُوَفِّقُهُ لِعَمَلٍ صَالِحٍ قَبْلَ مَوْتِهِ


Maksudnya:”Apabila Allah menghendaki kebaikan pada hambanya, maka Allah memanfaatkannya.” Para sahabat bertanya, ”Bagaimana Allah akan memanfaatkannya?” Rasulullah menjawab, ”Allah akan memberinya taufik untuk beramal soleh sebelum dia meninggal”. Ahmad, Tirmizi, dan disahihkan oleh Al-Hakim dalam Mustadrak.


Sedangkan akhir hidup su’ulkhatimah akan menimpa seseorang apabila ia meninggalkan ketakwaan dan terjerumus pada kubangan maksiat tanpa taubat sebelum ajal tiba.


Kita adalah makhluk yang sangat bergantung pada kasih sayang Allah Subhanahuwata'ala. Dalam urusan ibadah sahaja, walaupun sihat tubuh badan, kadangkala ada orang yang sukar untuk bangun solat malam atau ke masjid untuk solat 5 waktu sehari. Malah, jika telah berada di masjid pun selepas solat 5 waktu terasa sukar untuk solat rawatib.


Sebaliknya, ada orang yang sudah tua tetapi keistiqomahannya dalam melaksanakan ibadah nawafil sangat tinggi. Mereka sepatutnya menjadi contoh. Padahal, mereka kelihatan lemah dari segi fizikal, malah berjalan pun kelihatan sangat sukar. Namun seruan ketaatan dan semangat ke arah keredaan Allah Subhanahuwata'ala memudahkannya dan akhirnya apabila Malakulmaut mengambil nyawanya, dia meninggal dalam keadaan husnulkhatimah. Sungguh, pengakhiran yang sempurna untuk perjalanan hidup.


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


وَإِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالْخَوَاتِيمِ


Maksudnya:”Sesungguhnya setiap amalan tergantung pada akhirnya”. Bukhari(6607)


Jika kita renungkan, sebenarnya Allah Subhanahuwata’ala telah menganugerahkan banyak kurniaan yang sangat berharga bagi kita. Di antaranya, tubuh badan, akal, mahupun iman. Maka, dengan anugerah tersebut, sepatutnya kita mampu menjadi hamba Allah yang senantiasa memikirkan bagaimana untuk memperolehi husnulkhatimah ketika ajal menjemput dan menggapai syurga Allah Subhanahuwata’ala. Dengannya pula, kita diwajibkan untuk mengenali batasan-batasan syariat di mana dengan sebab melanggarnya kita dapat terjerumus pada akhir hidup yang su’ulkhatimah. 


Anugerah yang Allah berikan tersebut menjadi dasar bagi kita untuk mengetahui dan mengenali mana yang hak dan yang batil. Dengan anugerah tersebut pula, kita memiliki setidak-tidaknya 2 (dua) kemampuan yang bermanfaat khususnya bagi diri kita sendiri untuk menggapai husnulkhatimah di akhir kehidupan kita, iaitu kemampuan mengenali dosa dan kemampuan berfatwa.


Kemampuan mengenali dosa.


Ftrah seorang manusia adalah naluri kebaikan yang ada padanya semenjak dia dilahirkan.Hanya dengan sebab lingkungannyalah yang mengubah fitrahnya menjadi peribadi yang lain. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ


Maksudnya: Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi”. Riwayat al-Bukhari (1385)


Fitrah secara ringkasnya bermaksud asal kejadian manusia yang Allah Subhanahuwata’ala jadikan manusia di atasnya, yang dengan kesuciannya manusia mampu dan bersedia untuk menerima kebenaran Islam. Anwar al-Tanzil wa-Asrar al-Ta'wil, 4 hlm 206.


Terdapat ayat al-Quran dan hadith yang dijadikan rujukan berkaitan persoalan fitrah ini. Antaranya ialah firman Allah Subhanahuwata’ala, 


فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا ۚ


Maksudnya: (Turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya. Al-Rum ayat 30


Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad-nya,


كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، حَتَّى يُعْرِبَ عَنْهُ لِسَانُهُ، فَإِذَا أَعْرَبَ عَنْهُ لِسَانُهُ، إِمَّا شَاكِرًا، وَإِمَّا كَفُورًا


Maksudnya: Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah sehingga dia mampu untuk menjelaskannya dengan lisannya. Apabila dia menjelaskannya dengan lisannya maka sama ada dia menjadi orang yang bersyukur(muslim) atau orang yang kufur”.  Ahmad (14805)


Daripada hadith ini difahami bahawa tidak dihukum ke atas anak yang lahir sama ada sebagai Islam atau kufur sehingga dia mampu berfikir untuk memilih antara kedua-duanya. Jika seseorang itu diberi pilihan antara Islam dan kekufuran, maka sudah tentu dia bukan berada dalam salah satu daripada dua pilihan tersebut. Ini kerana hadis di atas menjelaskan keputusan seseorang itu untuk memilih iman atau kufur setelah tiba umur baligh bagi memilih kedudukan imannya”. Lihat الشرح الكبير على العقيدة الطحاوية، ج1، ص91


Dengannya, seseorang dapat mengetahui kebenaran dan kekhilafan. Maka, dalam konteks mengenali dosa, setiap insan memiliki kemampuan. Cukup dengan merenungi kegelisahan dalam hati apabila ia mengerjakan suatu perbuatan yang belum ia ketahui apakah hal itu berdosa atau tidak.


Dari Nawas bin Sam’an, Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ وَالإِثْمُ مَا حَاكَ فِى نَفْسِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ


Maksudnya:”Kebaikan adalah dengan berakhlak yang mulia. Sedangkan keburukan (dosa) adalah sesuatu yang menggelisahkan jiwa. Ketika keburukan(dosa) tersebut dilakukan, tentu engkau tidak suka hal itu nampak di tengah-tengah manusia.” (Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Yahya bin Syarf An-Nawawi, Dar Ihya’ At-Turats, no. 1392, 16: 111.)


Kemampuan mengenali dosa ini sebenarnya dimiliki oleh semua insan. Perkara apapun, tatkala jiwa dirundung gelisah ketika melakukan perbuatan tertentu seperti muamalah dengan sesama manusia atau sedang dalam aktiviti tertentu tatkala bersendirian dan ada penolakan batin manakala hal itu takut diketahui oleh orang lain, maka itulah dosa yang mesti segera ditinggalkan.


Namun, ada pula orang yang mengabaikan kemampuan mengenali dosa ini. Ia tetap melanggar ketentuan syariat yang ada. Meskipun  kegelisahan datang sebagai tanda bahawa apa yang dikerjakannya adalah dosa, tetapi ia tetap saja meneruskanya tanpa beban dan tanpa rasa bersalah. Ia lebih mengedepankan kenikmatan duniawi yang sesaat daripada kenikmatan ukhrawi yang kekal abadi. Mudah-mudahan, kita tidak menjadi bahagian dari manusia yang mengabaikan hal tersebut.


Justeru itu, dengan maksimalkan kemampuan mengenali dosa dengan sebaik-baiknya mudah-mudahan kita menjadi hamba Allah yang senantiasa mampu mengendalikan diri untuk menghindari segala potensi dosa yang dapat mengundang murka Allah Subhanahuwata'ala


Kemampuan Berfatwa


Fatwa yang dimaksud disini adalah fatwa terhadap diri sendiri sebelum meminta fatwa dari orang lain. Kemampuan mengenali mana yang hak dan yang batil kemudian memutuskan untuk mengambil pilihan kebenaran, sebenarnya perkara dimiliki oleh setiap insan.


Oleh kerana itu, kita perlu melakukan “cross check” terlebih dahulu terhadap perkara yang sedang kita hadapi. Menanyakan kembali kepada naluri tentang pilihan dan keputusan terhadap urusan duniawi dan ukhrawi kita. Sebagaimana nasihat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam kepada Wabishah,


يَا وَابِصَةُ اسْتَفْتِ قَلْبَكَ وَاسْتَفْتِ نَفْسَكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ الْبِرُّ مَا اطْمَأَنَّتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي النَّفْسِ وَتَرَدَّدَ فِي الصَّدْرِ وَإِنْ أَفْتَاكَ النَّاسُ وَأَفْتَوْكَ


Maksudnya:”Wahai Wabishah, mintalah fatwa pada hatimu tiga kali. Kerana kebaikan adalah yang membuat tenang jiwa dan hatimu. Dan dosa adalah yang membuat bimbang hatimu dan goncang dadamu. Walaupun engkau meminta fatwa pada orang-orang dan mereka memberimu fatwa”. Ahmad (17545)


Hadith ini menegaskan bahawa diri kita mampu memutuskan dengan hak perkara dari keraguan-keraguan diri. Namun jangan lupa, hal itu dapat dilakukan dengan syarat; mesti sesuai dengan ketentuan Allah dan Rasul-Nya, sebagaimana firman Allah Subhanahuwata’ala,


فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا


Maksudnya:”Jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Qur’an) dan Rasul (sunahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya”. An Nisa ayat  59


Seorang muslim yang lurus aqidah dan manhajnya serta takwa, fatwa yang keluar dari fikirannya akan sejalan dengan dalil yang ada. Maka, untuk memastikan bahawa pendapat kita tentang sesuatu tatkala meminta fatwa pada diri sendiri, kita mesti memahami bahawa ketentuan syariat Allah tidak boleh dilampaui oleh kehendak akal, logik perasaan apalagi nafsu.


Maka, asahlah kemampuan berfatwa ini dengan ilmu. Meskipun pada dasarnya, fitrah manusia adalah kebaikan. Namun, perasaan, akal, kecerdasan, dan logika mesti mengikuti dalil Al-Quran dan As-Sunnah. Kerana sebenarnya, bukan dalil yang mengikuti akal. Tapi akallah yang mengikuti dalil. Kerananya, pastikan bahawa kemampuan berfatwa yang kita miliki berada di bawah dan mengikuti petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah.


Mudah-mudahan, anugerah Allah Subhanahuwata’ala kepada kita melalui kemampuan mengenali dosa dan kemampuan berfatwa ini menjadikan kita lebih mudah untuk lebih berhati-hati dan mengoreksi diri dalam menyikapi masalah kehidupan duniawi dan ukhrawi kita, sehingga kita mendapati diri kita berada dalam keredaan Allah Subhanahuwata’ala di akhir hayat kita dengan kematian yang husnulkhatimah.

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya.

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya. Profesion sebagai seorang guru adalah ...