Wednesday, April 28, 2021

Usia hampir penghujungnya dan bulan Ramadhan adalah peluang terakhir untuk mencari keampunan serta mengumpul bekal ke akhirat.

Usia hampir penghujungnya dan bulan Ramadhan adalah peluang terakhir untuk mencari keampunan serta mengumpul bekal ke akhirat. 


Ramadhan yang kita lalui pada setiap tahun pastinya ada perbezaannya. Perbezaan yang paling nyata dan sudah pasti adalah usia kita kian meningkat ketika menyambut Ramadhan pada tahun berkenaan.


Apabila usia semakin tua, maka semakin dekat pula kita kepada kematian. Semua orang berasa takut untuk menghadapi kematian kerana merasakan amalan masih banyak kekurangan.


Namun, dengan kemurahan-Nya Allah Subhanahuwata'ala telah mengurniakan kita kesempatan untuk bertemu Ramadhan bagi menggandakan pahala amalan serta diampunkan dosa kita yang lalu.


Diantaranya ialah Allah Subhanahuwata'ala telah mengkhususkan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan di dalamnya iaitu malam al-Qadr (Lailatul Qadr). Allah Subhanahuwata'ala berfirman di dalam al-Quran:


لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ


Maksudnya: Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan".  Al-Qadr ayat 3


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda kepada seorang wanita Ansar:


 فَإِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فَاعْتَمِرِي ، فَإِنَّ عُمْرَةً فِيهِ تَعْدِلُ حَجَّةً


Maksudnya: Sekiranya telah tiba bulan Ramadhan, maka hendaklah kamu mengerjakan umrah. Ini kerana umrah pada bulan tersebut menyamai pahalanya seperti mengerjakan haji. Dalam riwayat Muslim: seperti mengerjakan haji bersama aku (Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam).

Riwayat al-Bukhari (1782) dan Muslim (1256)


Antara kelebihannya adalah puasa sebagai penghapus dosa:


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ


Dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda: “Barang siapa yang berpuasa Ramadhan kerana iman dan penuh keikhlasan, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”. Riwayat Bukhari, 37. 


Keampunan dengan sebab solat malam.

Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:


: مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ 


Maksudnya: "Barangsiapa melaksanakan solat malam pada bulan Ramadhan kerana iman dan ingin mendapatkan pahala, maka dia diampuni semua dosanya yang telah lalu. (Riwayat  Muslim (1778).


Keampunan dengan sebab zakat fitrah.

Dari Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhuma, ia berkata,


فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلاَةِ فَهِىَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلاَةِ فَهِىَ صَدَقَةٌ مِنَ الصَّدَقَاتِ.


Maksudnya:“Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang yang berpuasa dari bersenda gurau dan kata-kata keji, dan juga untuk memberi makan orang miskin. Barangsiapa yang menunaikannya sebelum solat maka zakatnya diterima dan barangsiapa yang menunaikannya setelah solat maka itu hanya dianggap sebagai sedekah di antara berbagai sedekah.” Riwayat Abu Daud 1609; Ibnu Majah 1827. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa sanad hadith ini hasan.


Begitulah betapalah besarnya ganjaran pahala yang Allah Subhanahuwata'ala sediakan kepada hamba-Nya hanya pada bulan Ramadhan.


Bayangkan jika tiada bulan Ramadhan, apa akan jadi dengan dosa yang kita lakukan selama ini?


Perkara yang menghalang diri kita begitu berat melakukan amal ibadat adalah disebabkan ‘himpunan’ dosa kita itu.


Sepatutnya, setiap kali Ramadhan kita layak mendapat pengampunan serta membersihkan diri kita daripada dosa.


Antara tanda dosa seseorang itu diampunkan selepas berakhirnya Ramadhan adalah dia semakin rajin dan dapat merasai kemanisan dalam beribadat.


Kita perlu takut dengan doa Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam iaitu celakalah mereka yang masuk bulan Ramadhan tetapi tidak mendapat pengampunan.


Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:


أنَّ النَّبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم صَعِدَ المِنْبَرَ فَقَالَ آمِيْنَ آمِيْنَ آمِيْنَ قِيْلَ يَا رَسُوْلَ اللهِ إنَّكَ صَعِدْتَ المِنْبَرَ فَقُلْتَ آمِيْنَ آمِيْنَ آمِيْنَ فَقَالَ إنَّ جِبْرِيْلَ عَلَيْهِ السَّلَامُ أَتَانِيْ فَقَالَ مَنْ أَدْرَكَ شَهْرَ رَمَضَانَ فَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ فَدَخَلَ النَّارَ فَأَبْعَدَهُ اللَّهُ قُلْ آمِيْنَ فَقُلْتُ آمِيْنَ وَمَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ أَوْ أَحَدَهُمَا فَلَمْ يَبِرَّهُمَا فَمَاتَ فَدَخَلَ النَّارَ فَأَبْعَدَهُ اللهُ قُلْ آمِيْنَ فَقُلْتُ آمِيْنَ وَمَنْ ذُكِرْتَ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ فَأَبْعَدَهُ اللهُ قُلْ آمِيْنَ فَقُلْتُ آمِيْنَ


Maksudnya: Ketika Nabi Sallahualaihiwasallam menaiki mimbar, Baginda Sallahualaihiwasallam bersabda: “Amin, Amin , Amin (sebanyak 3 kali)”. Baginda Sallahualaihiwasallam ditanya: “Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin , amin”. Maka Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda: “Sesungguhnya Jibril AS telah datang kepadaku, lalu dia (Jibril) berkata: Barangsiapa yang bertemu dengan bulan Ramadhan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah Subhanahuwata'ala. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin. Dan barangsiapa sempat dengan kedua orang tuanya tetapi tidak berlaku baik kepada meraka. Kemudian dia meninggal maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah Subhanahuwata'ala. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin. Dan barangsiapa yang disebut kepadanya dan dia tidak berselawat kepadaku, maka dia akan dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah Subhanahuwata'ala. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin”.  [Lihat: al-Targhib wa al-Tarhib, 2/57]


Berdasarkan hadith ini, sebagai pengajaran ada tiga perkara yang perlu diambil ingatan :


1-Orang yang bertemu bulan Ramadhan tetapi tidak mendapat keampunan daripada Allah Subhanahuwata'ala.

2-Orang yang tidak berlaku baik kepada kedua orang tuanya sehingga dia meninggal.

3-Orang yang tidak berselawat kepada Nabi Muhammad Sallahualaihiwasallam apabila disebut kepadanya.


Dari hadith-hadith di atas, jelas menunjukan bahawa orang yang tidak mendapat keampunan daripada Allah Subhanahuwata'ala di dalam Ramadhan termasuk di dalam kalangan  orang-orang yang rugi.  Bagi yang berkesempatan untuk berada di dalam bulan Ramadhan ini, maka disarankan untuk beribadah dengan penuh keimanan dan bersunguh-sungguh dalam mengharapkan pahala daripada Allah Subhanahuwata'ala.  Ganjaran besar berupa pengampunan dosa yang telah lalu menanti bagi mereka yang beribadah bersungguh-sungguh di dalam bulan yang mulia ini.


Begitu banyak keampunan di dalam bulan Ramadhan, sehingga apabila ada yang tidak diampuni di bulan Ramadhan maka adalah benar-benar “keterlaluan” dan buruknya amalannya disepanjang bulan Ramadhan.


Ibnu Rajab menukilkan perkataan salaf,


من لم يغفرْ لَه في رمضان فلن يغفر له فيما سواه؛


Maksudnya:“Barangsiapa yang tidak diampuni dosa-dosanya di bulan Ramadhan, maka tidak akan diampuni dosa-dosanya di bulan-bulan lainnya”. [Latha-if Al-Ma’arif, hal. 297]


Puasa bukan sekadar meninggalkan makan dan minum, tetapi kita berusaha ‘menjinakkan’ hawa nafsu.


Alangkah rugi sekiranya kita tergolong dalam kalangan mereka yang tidak memanfaatkan kehadiran Ramadhan.


Lebih teruk apabila ada yang merasakan kehadiran Ramadhan itu memberi kesusahan pada diri mereka.

No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...