Tuesday, April 27, 2021

Dua Jihad didalam bulan Ramadhan

Dua Jihad didalam bulan Ramadhan

Puasa dan solat malam disebut sebagai jihad kerana ia sebenarnya agak sukar dan perlu diusahakan secara bersungguh-sungguh sebelum menjadi kebiasaan.


Dalam erti kata lain, setiap Muslim perlu konsisten melakukan dua amalan ini di bulan Ramadhan dengan penuh sabar serta memahami bahawa amalan-amalan inilah yang akhirnya akan membantu penyempurnaan tujuan puasa Ramadhan iaitu menambah ketakwaan dalam diri.


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam


وَالْمُجَاهِدُ مَنْ جَاهَدَ نَفْسَهُ فِي طَاعَةِ اللَّهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ الْخَطَايَا وَالذَّنُوبَ


Maksudnya:"Mujahid adalah orang yang memerangi diri sendiri dalam mentaati Allah dan muhajir adalah orang meninggalkan kesalahan-kesalahan dan dosa-dosa". Riwayat Ahmad (22833)


Syaikh ‘Abdurrahman As-Sa’di rahimahullah menjelaskan hadith ini, “Mujahid ditafsirkan sebagai orang yang bersungguh-sungguh menundukkan hawa nafsunya dalam ketaatan kepada Allah. Hal ini kerana kecenderungan jiwa adalah malas melakukan kebaikan, cenderung memerintahkan keburukan, dan mudah mengeluh ketika ada musibah. Oleh kerana itu, diperlukan kesabaran dan kesungguhan dalam komitmen untuk taat kepada Allah, memerlukan keteguhan dalam ketaatan, perlu bersungguh-sungguh melawan perbuatan maksiat kepada Allah, serta bersungguh-sungguh dalam sabar ketika ditimpa musibah. Yang dimaksud ketaatan di sini adalah melaksanakan perintah, menjauhi perkara yang terlarang, dan sabar menghadapai takdir. Seorang mujahid yang hakiki adalah yang bersungguh-sungguh merealisasikan tugas dan kewajibannya”.


Tidak dinafikan bahawa banyak ibadah yang boleh dilakukan oleh seorang Muslim di dalam Bulan Ramadhan. Namun, ada dua ibadah yang perlu mendapat perhatian khusus dibandingkan ibadah-ibadah yang lainnya, iaitu melaksanakan ibadah puasa di siang harinya dan melaksanakan solat terawih di malam harinya. Hendaknya kita bersungguh-sungguh menjaga dua ibadah ini, mengenal keutamaanya, memperhatikan adab dan sunnahnya, serta menjaga dari perosak pahalanya.


Al Hafidz Ibnu Rajab rahimahullah berkata,


اعلَمْ أنَّ المؤمنَ يجتَمعُ له في شَهر رمضَان جهادَان لنَفْسِه :

 جهادٌ بالنَّهار على الصِّيام ،

 وجهادٌ باللَّيل على القِيام ،


– فمَن جمعَ بينَ هذَيْن الجهادَيْن ، ووَفَّى بحُقُوقهما ، وصَبَر عليهما ، وفَّى أجرَه بغَير حسَابٍ


Maksudnya:“Ketahuilah, sesungguhnya bagi orang yang beriman terdapat dua jihad melawan dirinya sendiri selama Bulan Ramadhan:

–Jihad di siang hari dengan berpuasa. 

–Jihad di malam hari dengan menegakkan solat malam. 


Barangsiapa yang boleh mengumpulkan kedua jihad tersebut, melaksanakannya dengan benar, senantiasa bersabar dalam menunaikannya, maka layak baginya mendapat balasan yang tidak terbatas” Lihat Lathaaiful Ma’aarif.


Yang dimaksudkan dengan jihad di sini adalah bersungguh-sungguh dalam mewujudkan perkara yang Allah cintai. Inilah makna luas jihad secara umum, sehingga termasuk dalam makna ini seluruh perbuatan amal soleh


Bersungguh-sungguh melaksana dan menjaga Ibadah Puasa. 


Puasa adalah amalan utama di siang hari Bulan Ramadhan. Amalan ini merupakan salah satu kewajiban yang pokok dalam Islam. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ


Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan bagi kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan pada orang-orang sebelum kamukamu agar kalian menjadi orang-orang yang bertakwa”. Al-Baqarah ayat 183.


Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam menjelaskan keutamaan puasa, 


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ


Dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda: “Barang siapa yang berpuasa Ramadhan kerana iman dan penuh keikhlasan, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”. Riwayat Bukhari, 37.


Beliau Sallallahu‘alaihiwasallam juga bersabda,


عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ؛ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بَاعَدَ اللَّهُ بِذَلِكَ الْيَوْمِ النَّارَ مِنْ وَجْهِهِ سَبْعِينَ خَرِيفًا


Maksudnya:"Dari Abu Sa'id Al Khudri ia berkata, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda: "Barangsiapa berpuasa satu hari di jalan Allah, maka dengannya Allah akan menjauhkan wajahnya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun perjalanan". Ibnu Majah 1707.


Walaupun begitu perlu diingat, bahawa puasa bukan hanya menahan makan dan minum semata, namun Muslim yang berpuasa perlu juga menjaga dari berbagai macam perbuatan dosa.


Beliau Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam:


مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلّٰهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَه


Maksudnya:“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya”. Riwayat al-Bukhari, Hadith no 1770, 5597.


Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam juga bersabda,


رُبَّ صَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ صِيَامِهِ الجُوْعُ وَالعَطَشُ


Maksudnya:“Berapa banyak orang yang berpuasa namun dia tidak mendapatkan dari puasanya tersebut kecuali rasa lapar dan dahaga”. Riwayat Ath-Thabrani. 


Semangat untuk mengerjakan Solat Malam


Di malam Bulan Ramadhan, ibadah yang sangat dianjurkan adalah menunaikan solat malam (solat terawih). Solat malam di Bulan Ramadhan memiliki keutamaan yang luar biasa. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ حَدَّثَهُمْ؛ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ


Maksudnya:" Bahawa Abu Hurairah telah menceritakan kepada mereka, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap (pahala dari Allah), maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni. Dan siapa yang menegakkan (solat pada malam) Lailatul Qadr dengan keimanan dan mengharap (pahala dari Allah), maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni". Riwayat Muslim (1268)


Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam pernah mengumpulkan keluarga dan para sahabatnya, kemudian beliau bersabda,


إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الْإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ قِيَامَ لَيْلَةٍ


Maksudnya:“Barangsiapa yang solat bersama imam sehingga ia selesai, maka ditulis untuknya pahala solat satu malam penuh”. Riwayat al-Nasai (1587).


Hadith ini merupakan anjuran agar kaum muslimin mengerjakan solat terawih secara berjamaah dan mengikuti imam hingga selesai.










No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...