Thursday, April 29, 2021

Memuliakan al-Quran di dalam bulan Ramadhan dan di bulan-bulan lain. Kemulian Ramadhan adalah kerana al-Quran diturunkan padanya.

Memuliakan al-Quran di dalam bulan Ramadhan dan di bulan-bulan lain. Kemulian Ramadhan adalah kerana al-Quran diturunkan padanya. 


Ramadhan dan al-Quran adalah satu ikatan yang tidak boleh dipisahkan atau ikatan yang tersimpul mati. Apabila disebut Ramadhan saja, maka akan terus teringat difikiran puasa dan penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran), iaitu bulan Ramadhan bulan yang diturunkan padanya al-Quran. Hal ini dijelaskan melalui firman Allah Subhanahuwata'ala:


شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ


Maksudnya: Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran. Al-Baqarah ayat 185


Al-Quran adalah kalamullah yang menjadi mukjizat. Membacanya mendapat pahala dan ganjaran sepertimana yang disebutkan oleh Baginda Nabi Sallahu'alaihiwasallam :


مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لَا أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ


Maksudnya : “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya kebaikan. Dan kebaikan itu sama seperti 10 kali ganda. Aku tidak katakana ألم itu satu huruf akan tetapi Alif satu huruf,Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”

Riwayat Al-Tirmizi (2910)


Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda :

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ


Maksudnya : “ Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya...." Riwayat Muslim (1910)

Memuliakan Al-Quran merupakan kewajipan bagi setiap muslim. Justeru kerana, Al-Quran merupakan firman Allah Subhanahuwata'ala yang perlu kita jaga. Dan menjaganya, bukan bererti kita berdiam diri di dekat mushaf Al-Quran dalam jangka waktu yang lama agar tidak ada yang merosakannya. Bukan pula, kita menyimpan mushaf Al-Quran di tempat yang paling selamat dari kecurian.


Kita wajib menjaga firman Allah Subhanahuwata'ala itu dengan terus memuliakannya. Diantara langkah atau cara yang boleh kita lakukan untuk memuliakan Al-Quran adalah:


1-Tasdiq


Tasdiq ertinya mengimani atau membenarkan. Iaitu setiap ayat dalam Al-Quran wajib kita imani dan tidak boleh ada keraguan sedikit pun. Di dalam surah Al-Baqarah telah Allah jelaskan bahawa kitab Al-Quran ini tidak ada keraguan padanya, 


ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ


Maksudnya:"Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa. Al-Baqarah ayat 2.


2. Tilawah dengan Baik dan Benar


Firman Allah Subhanahuwata'ala


وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا


Maksudnya: dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil". Al-Muzammil ayat 4


Imam al-Mawardi menafsirkan ayat ini bahawa yang dimaksudkan daripadanya adalah suruhan untuk membaca ayat al-Quran mengikut aturannya dan susunannya, jangan merubah lafaz dan jangan mendahulukan ayat yang akhir pada yang awal, ibarat aturan gigi yang kemas apabila asasnya sama dan tersusun rapi, ini adalah apa yang dikatakan oleh Ibn Bahr. [Lihat: Tafsir al-Mawardi; 6/126].


Tartil maksudnya membaca dengan tajwid dan mengetahui kaidah-kaidah waqaf. Satu alasannya iaitu kerana Al-Quran berbahasa Arab. Membaca al-Quran bertajwid  adalah wajib. 


Suruhan dan juga galakan agar membaca al-Quran dengan baik dan bertajwid boleh dilihat pada sabda Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam:


وَزَيِّنُوا القُرْآنَ بِأَصْوَاتِكُمْ


Maksudnya: “Dan hiasilah al-Quran dengan suara-suara kamu.”

Riwayat al-Bukhari (792), [Lihat: Shahih al-Bukhari; 9/158]


Dan juga Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ"‏‏‏.‏ وَزَادَ غَيْرُهُ ‏"يَجْهَرُ بِهِ"


Maksudnya: “Bukan dari kalangan kami mereka yang tidak memperindahkan bacaan al-Quran”. Sebahagian yang lain menyebut ”menyaringkannya”.

Riwayat al-Bukhari (7527)


Maksud umum yang boleh kita fahami dari kedua-dua hadith ini dan juga pada ayat al-Quran di atas, bahawa Islam menuntut umatnya yang membaca al-Quran agar membacanya dengan bacaan yang baik lagi elok, dan boleh juga kita fahami bahawa Islam menyuruh kita agar membaca al-Quran dengan bertajwid.


Tajwid dari sudut bahasa ialah menjadikan sesuatu itu baik dan elok (lawan kepada buruk). Manakala dari sudut istilah pula ia bermakna memberikan atau meletakkan setiap satu huruf apa yang patut baginya (haknya) dari segi sifat-sifat huruf seperti menyatakan atau menyembunyikan, dan juga apa yang dimestikan baginya dari segi apa yang terhasil daripada sifat-sifat itu seperti tebal, nipis dan sebagainya. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 10/177].


3. Tadabbur


Tadabbur adalah mengkaji, memahami, dan mempelajari isinya. Sebagaimana firman Allah,


 “كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ


Maksudnya:"Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkat supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran”.  Sad Ayat 29


أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا



Maksudnya:Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Quran ataukah hati mereka terkunci?. Muhammad ayat 24.


Allah Subhanahuwata’ala juga telah menjelaskan bahawa salah satu faktor  yang menyebabkan sesatnya seseorang dari jalan lurus  adalah lantaran meraka tidak mentadaburi al-Qur’an dan tidak mahu mendengarnya, sebagaimana Allah Subhanahuwata’ala berfirman:


 قَدْ كَانَتْ آيَاتِي تُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ فَكُنْتُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ تَنْكِصُونَ ﴿٦٦﴾ مُسْتَكْبِرِينَ بِهِ سَامِرًا تَهْجُرُونَ ﴿٦٧﴾ أَفَلَمْ يَدَّبَّرُوا الْقَوْلَ أَمْ جَاءَهُمْ مَا لَمْ يَأْتِ آبَاءَهُمُ الْأَوَّلِينَ 


Maksudnya:"Sesungguhnya ayat-ayat-Ku (al-Qur’an) selalu dibacakan kepada kamu sekalian, Maka kamu selalu berpaling ke belakang, dengan menyombongkan diri terhadap al-Qur’an itu dan mengucapkan perkataan-perkataan keji terhadapnya di waktu kamu bercakap-cakap di malam hari. Maka apakah mereka tidak memperhatikan perkataan (Kami), atau apakah telah datang kepada mereka apa yang tidak pernah datang kepada nenek moyang mereka dahulu?". Al-Mu’minun ayat 66-68.


Tadabbur tidak memerlukan seseorang itu memenuhi syarat-syarat tertentu kecuali kefahaman secara umum tentang satu-satu ayat. Hal ini kerana Allah Subhanahuwata'ala telah menjadikan al-Qur’an itu mudah untuk difahami secara umum. Kerana itulah Allah Subhanahuwata'ala berfirman:


وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِنْ مُدَّكِرٍ


Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami permudahkan al-Qur’an itu untuk diambil peringatan daripadanya; maka adakah yang mahu mengambil peringatan? Surah al-Qamar ayat 17.


Tadabur berbeza dengan mentafsir al-Quran. Adapun tafsir, maka para ulama telah meletakkan syarat-syarat yang ketat yang perlu dipenuhi sebelum seseorang itu boleh mentafsirkan al-Qur’an. Kerana itulah sebahagian ulama salaf bersikap berhati-hati dan teliti ketika ingin mengeluarkan pandangan tentang tafsir, kerana takut berkata suatu perkara tentang Allah Subhanahuwata'ala tanpa ilmu. (Rujuk Al-Fusul fi Usul al-Tafsir, hlm. 47)


4. Takdiq


Maksudnya adalah mengamalkan al-Quran. Al-Quran wajib dijadikan sebagai petunjuk, pedoman hidup kita. Untuk itu, harus diamalkan dalam kehidupan kita.


Allah Subhanahuwata'ala menyebut dalam surah al-Israa ayat 9:


إِنَّ هَٰذَا الْقُرْآنَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا كَبِيرًا


Maksudnya:"Sesungguhnya Al-Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang Mu'min yang mengerjakan amal saleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar".


Bahkan lebih daripada itu, al-Quran adalah kitab petunjuk yang menjadi pedoman bagi manusia sehinggalah hari kiamat. Firman Allah Subhanahuwata'ala :


ذَٰلِكَ ٱلْكِتَـٰبُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ


Maksudnya : “Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa”.Surah Al-Baqarah ayat 2.


Al-Quran sarat dengan pelbagai pedoman dan pengajaran untuk memandu manusia melalui kehidupan dunia dan akhirat.


5. Belajar dan mengajar al-Quran


Seperti sabda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam:


خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ


Maksudnya: Sebaik-baik kalian adalah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya".

Riwayat al-Bukhari (5027


6. Tahfizh


Ertinya menghafalkannya. Hal itu harus  kita lakukan demi memuliakan Al-Quran. Jika bukan kita yang memuliakannya, siapa lagi? Dan, jika tidak kita muliakan al-Quran, bagaimana cara kita boleh mengetahui tentang suatu kebenaran menuju jalan keselamatan dunia dan akhirat?  


Ancaman Nabi Sallallahu'alaihiwasallam yang menyatakan ramai orang membaca al-Quran, tetapi al-Quran melaknatnya mungkin kerana disebabkan gagal mengamalkan pendidikan al-Quran.

وَالقُرْاَنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ

Maksudnya:“Al-Qur’an itu boleh menjadi pembelamu atau musuh bagimu.” Riwayat Muslim ( 223)

Seperti yang dikatakan oleh Anas bin Malik yang ditulis oleh Imam al-Ghazali dalam kitab Al-Mursyidul Amin, Hal 65:

رب تال للقران والقرأن يلعنه

Maksudnya:“Kadangkala ada Orang yang membaca al-qur’an sedangkan al-Qur’an itu sendiri melaknatnya”.

Syaikh al-Islam Abu Yahya Zakariya Al-Anshari, dalam kitabnya Syarh Al-Muqaddimah Al-Jazariyyah, halaman 20, ketika memberikan tafsiran terhadap ucapan di atas, beliau mengatakan :

وَاْلقَارِئُ بِتَرْكِهِ ذٰلِكَ (التَّجْوِيْدَ) مِنَ الدَّاخِلِيْنَ فِى ذٰلِكَ الْخَبَرِ

Maksudnya:"Seorang qari' (pembaca Al-Qur'an) yang tidak mengindahkan ilmu tajwid ketika membacanya termasuk ke dalam ancaman ucapan tersebut".

No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...