Thursday, October 31, 2019

Hukum melipat lengan baju dalam solat

Hukum melipat lengan baju dalam solat

Secara umumnya hadith-hadith yang melarang menahan (menggulung atau melipat) pakaian daripada sujud ini adalah sahih, cuma ianya perlu difahami sebagaimana difahami oleh para ulama yang muktabar.

Dari perbahasan para ulama ini,  maka dapat difahami bahawa hukum menggulung atau melipat pakaian ketika solat adalah makruh tanzih (makruh yang tidak begitu berat) dan jika seseorang solat dalam keadaan sebegitu solatnya adalah sah dan tidak perlu diqadha’ solat-solat yang lepas (solat yang dilakukan dalam keadaan melipat lengan baju atau seluar). Diantara hadithnya adalah hadith yang berikut.

Daripada Ibn Abbas R.anhuma, bahawa Nabi Sallahualauhiwasallam bersabda:
أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ عَلَى الجَبْهَةِ، وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ وَاليَدَيْنِ وَالرُّكْبَتَيْنِ، وَأَطْرَافِ القَدَمَيْنِ وَلاَ نَكْفِتَ الثِّيَابَ وَالشَّعَرَ

Maksudnya: “Aku diperintahkan untuk sujud dengan tujuh tulang (anggota) iaitu dahi, serta Baginda Sallahualauhiwasallam mengisyaratkan dengan tangan pada hidungnya, kedua tapak tangan, kedua lutut dan hujung jari kedua kaki. Dan janganlah menahan pakaian dan rambut.” [Riwayat al-Bukhari (812)]

Diantara pandangan Ulama berkenaan hadith ini,

Imam al-Nawawi (676 H) mencatit:

اتَّفَقَ الْعُلَمَاءُ عَلَى النَّهْيِ عَنِ الصَّلَاةِ وَثَوْبُهُ مُشَمَّرٌ أَوْ كُمُّهُ أَوْ نَحْوُهُ أَوْ رَأْسُهُ مَعْقُوصٌ أَوْ مَرْدُودٌ شَعْرُهُ تَحْتَ عِمَامَتِهِ أَوْ نَحْوُ ذَلِكَ فَكُلُّ هَذَا مَنْهِيٌّ عَنْهُ بِاتِّفَاقِ الْعُلَمَاءِ وَهُوَ كَرَاهَةُ تَنْزِيهٍ فَلَوْ صَلَّى كَذَلِكَ فَقَدْ أَسَاءَ وَصَحَّتْ صَلَاتُهُ

Maknanya: “Ulama bersepakat berkaitan larangan ketika solat dalam keadaan lengan pakaiannya bergulung atau berlipat atau yang sepertinya. Juga rambut kepalanya terikat atau diruapkan rambutnya yang dibawah serbannya atau sepertinya. Kesemua perkara ini adalah dilarang dengan kesepakatan para ulama dan ia adalah adalah termasuk di dalam makruh tanzih (tidaklah begitu berat). Sekiranya seseorang itu solat dalam keadaan yang sedemikian, maka dia telah mencacatkan solatnya (fadhilat solat) tetapi solatnya sah.” [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 209/4]

Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (852 H) mencatit:

الْجُمْهُورُ فَإِنَّهُمْ كَرِهُوا ذَلِكَ لِلْمُصَلِّي سَوَاءٌ فَعَلَهُ فِي الصَّلَاةِ أَوْ قَبْلَ أَنْ يَدْخُلَ فِيهَا وَاتَّفَقُوا عَلَى أَنَّهُ لَا يُفْسِدُ الصَّلَاةَ

Maknanya: “Jumhur mengatakan makruh (melipat lengan) bagi seseorang yang ingin solat sama ada perbuatannya itu di dalam solat atau sebelum masuk ke dalam solat. Mereka juga bersepakat bahawa perbuatan tersebut tidak merosakkan (membatalkan) solat .” [Lihat: Fath al-Bari, 296/2]

Prof Dr. Muhammad al-Zuhaili,telah mencatit di dalam kitab beliau, iaitu kitab al-Mu’tamad bahawa hukum menggulung hujung pakaian atau lengan pakaian samaada dengan sengaja dilakukan untuk solat atau sebelumnya (iaitu sebelum daripada solat) dengan tujuan yang lain serta seseorang itu solat dalam keadaan begitu tanpa darurat hukumnya adalah makruh mengikut kesepakatan para ulama dan ia termasuk di dalam makruh yang tanzih. Barangsiapa yang solat dengan keadaan begitu, maka dia telah melakukan perkara yang makruh dan solatnya adalah sah. Rujuk kitab:
كتاب المعتمد في الفقه الشافع
Adalah antara kitab fiqh aliran mazhab al-Syafi’i yang terkini. Kitab ini adalah karya Prof Dr. Muhammad al-Zuhaili, iaitu adik kepada Prof Dr. Wahbah al-Zuhaili.

Kitab al-Mu'tamad edisi 'Arab boleh didownload di pautan   المعتمد في الفقه الشافعي

Air Musta'mal

Air Musta'mal

Dari Jabir bin Abdullah R.Anhuma:

جَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُنِي وَأَنَا مَرِيضٌ لاَ أَعْقِلُ فَتَوَضَّأَ وَصَبَّ عَلَيَّ مِنْ وَضُوئِهِ

Maksudnya: “Rasulullah Sallahualaihiwasallam datang mengunjungi aku, sedangkan ketika itu aku sakit sehingga aku tidak sedar, maka baginda mengambil wuduk dan menyiram atasku air lebih wuduknya.” Riwayat Bukhari (194) dan Muslim (1616)

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah Sallahualaihiwasallam:

لَا يَغْتَسِلْ أَحَدُكُمْ فِي الْمَاءِ الدَّائِمِ وَهُوَ جُنُبٌ فَقَالَ كَيْفَ يَفْعَلُ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ؟ قَالَ َتَنَاوَلُهُ تَنَاوُلًا

Maksudnya: “Janganlah seseorang kamu mandi dalam air yang tetap tidak mengalir sedangkan dia berada dalam keadaaan berjunub.”

Lalu Abu Hurairah ditanya: “Bagaimana sepatutnya dia lakukan wahai Abu Hurairah?,” Lalu dia menjawab: “Mengambilnya satu persatu.”
Riwayat Muslim (283

Dari dua hadith di atas Ulama(Mazhab Syafei)telah berIstinbat(الإستنباط):

Hukum air musta’mal adalah suci tetapi tidak lagi boleh menyucikan, seperti air mutaghayyirah yakni air yang bercampur dengan bahan suci jua.

Air musta`mal adalah salah satu jenis air yang dihuraikan dalam bab taharah atau penyucian. Kalimah “musta`mal” daripada sudut bahasa bermaksud suatu yang telah digunakan. Daripada sudut istilah syarak, air musta`mal ialah air yang telah digunakan untuk fardu taharah seperti mandi, wuduk, dan menghilangkan najis hukmiah.

Imam Ad-Dimyathi (Sayyid Abu Bakar), dalam kitabnya, I’anah Ath-Tholibin Juz 1/28, menyebutkan bahawa air musta’mal memiliki syarat-syarat tertentu, iaitu:

واعلم ان شروط الاستعمال اربعة تعلم من كلامه قلة الماء واستعماله فيما لا بد منه وان ينفصل عن العضو وعدم نية الاغتراف في محلها

Ketahuilah, bahawa syarat-syarat air musta’mal ada empat, iaitu; air sedikit(kurang dari dua kolah), digunakan untuk melakukan hal yang wajib, sudah terpisah dari anggota tubuh, tidak ada niat ightirof (menggunakan tangan sebagai alat mengambil air)

Perbahasan tentang air musta'mal:

Persoalan; Adakah air mutlak yang tersimpan di dalam bekas yang kurang dari dua kolah akan jadi musta'mal sekiranya air musta’mal terpercik masuk ke dalamnya?
Jawapannya, ditentukan pada air tersebut sekiranya kadar yang masuk itu boleh mengubah sifat air tersebut, iaitu warna, bau dan rasa,  sama ada secara hissi (fizikal) atau maknawi, maka jadilah air yang sedikit itu hukumnya air musta`mal. Sekiranya tidak berubah sama ada secara hissi atau maknawi, maka kekallah status air itu sebagai air mutlak. Ini berdalilkan hadith daripada,
Abu Umamah Al Bahiliy, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

إِنَّ الْمَاءَ لاَ يُنَجِّسُهُ شَىْءٌ إِلاَّ مَا غَلَبَ عَلَى رِيحِهِ وَطَعْمِهِ وَلَوْنِهِ

“Sesungguhnya air tidaklah dinajiskan oleh sesuatu pun selain yang mempengaruhi bau, rasa, dan warnanya.”(Diriwayatkan oleh Ibnu majah dan dinyatakan dhai’f (lemah) oleh Abu hatim. Rujuk:Syarh Kitab Bulughul Maram.Tambahan “selain yang mempengaruhi bau, rasa, dan warnanya” adalah tambahan yang dho’if. Namun, Al-Nawawi mengatakan, “Para ulama telah sepakat untuk berhukum dengan tambahan ini.

Kretiria bagaimanakah yang digunapakai oleh para ulama untuk menyukat sifat warna, rasa dan bau?
Kretiria yang digunapakai ialah secara taqdir (menentukan) perubahan maknawi dan diqiaskan dengan bahan-bahan cair yang memiliki sifat mengubah yang sederhana, seperti air perahan buah bagi sifat warna, rasa buah delima bagi sifat rasa dan bau kemenyan bagi sifat bau.

Namun begitu,  kaedah taqdir ini hanyalah untuk orang yang syak bahawa air sedikit yang bercampur itu ialah campuran yang memudaratkan sifat penyucian air. Maka sunat baginya untuk menggunakan kaedah ini. Adapun jika seseorang itu meluru terus menggunakan air bagi bersuci tanpa  berijtihad dengan taqdir itu, maka taharahnya adalah sah kerana asal bagi air mutlak adalah suci dan menyucikan. Rujuk Kasyifah al-Saja (ms. 96) dan Taqrirat al-Sadidah (ms. 66)

Imam Ibn Qudamah Rahimahullah menyebut: “Sekiranya air musta`mal jatuh ke dalam air, dimaafkan sekiranya sedikit…Ini yang zahir daripada keadaan Nabi Sallahualaihiwasallam dan para sahabat baginda kerana mereka berwuduk daripada aqdah (mangkuk-mangkuk) dan atwar (cawan-cawan), dan mereka bersuci daripada jifan (mangkuk-mangkuk yang besar). Diriwayatkan bahawa Nabi SAW mandi dengan isterinya Maimunah daripada satu mangkuk besar yang sama yang padanya terdapat kesan adunan tepung. Juga Baginda mandi dengan isterinya, Aisyah daripada satu bekas sedangkan tangan mereka saling mengambil air daripadanya sambil berkata: “ Tinggalkan baki untukku.” Dan seumpama ini maka tidak selamatlah bekas-bekas itu daripada terkena percikan air (musta`mal). Sekiranya air yang masuk itu menjadi banyak dan menjejaskan, maka tertegah daripada menggunakan air itu untuk bersuci menurut satu daripada dua riwayat. Berkata para ashab al-Syafie: “Sekiranya air musta`mal itu lebih banyak maka tertegah, sekiranya lebih sedikit maka tidak tertegah." Rujuk: kitab al-Mughni (1/13-14), Mazhab Hanbali.

Hukum hakam bagi perempuan yang kematian suami serta masih dalam 'Iddah.

Hukum hakam bagi perempuan yang kematian suami serta masih dalam 'Iddah.

Firman Allah Subhanahuwata'ala,

وَٱلَّذِينَ يُتَوَفَّوۡنَ مِنكُمۡ وَيَذَرُونَ أَزۡوَٰجٗا يَتَرَبَّصۡنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرۡبَعَةَ أَشۡهُرٖ وَعَشۡرٗاۖ

Maksudnya: Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (ber'iddah) empat bulan sepuluh hari.  (Al-Baqarah: 234)

 Berpandukan ayat di atas bahawa ‘Iddah bagi perempuan yang kematian suami adalah 4 bulan 10 hari dan termasuk di dalam bilangan ‘iddah tersebut adalah hukum ihdad (berkabung) bagi si isteri.

Namun, sekiranya si isteri yang kematian suaminya dalam keadaan sedang mengandung, maka ‘iddahnya adalah sehingga perempuan tersebut melahirkan anaknya. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala:

وَأُوْلَٰتُ ٱلۡأَحۡمَالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعۡنَ حَمۡلَهُنَّۚ

Maksudnya: Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungannya. (Al-Talaq: 4)

Dalam menempuh bilangan ‘iddah serta berkabung bagi kematian suami, seseorang perempuan itu tidak boleh keluar dari rumahnya sepanjang tempoh ber’iddah tersebut melainkan darurat atau keperluan hajat.
Ini berdasarkan hadith dari Furay’ah binti Malik bin Sinan yang mana beliau telah bertemu Nabi Sallahualaihiwasallam bertanyakan adakah boleh bagi dirinya untuk pulang ke pangkuan ahli keluargnaya, Bani Khudrah kerana beliau telah kematian suaminya. Lalu jawab Baginda Sallahualaihiwasallam:

امْكُثِي فِي بَيْتِكِ حَتَّى يَبْلُغَ الْكِتَابُ أَجَلَهُ

Maksudnya: Tetaplah kamu di rumahmu sehingga sampai apa yang telah ditetapkan.
Riwayat Abu Daud (2300) & Al-Tirmizi (1204)

Kerana perintah Nabi Sallahualaihiwasallam tersebut,  maka Furay’ah R.Anha telah melengkapkan ‘iddahnya selama 4 bulan 10 hari

Al-Imam al-Khattabi Rahimahullah menyatakan bahawa berdasarkan hadith di atas, bagi perempuan yang kematian suaminya, perlulah ber’iddah di rumah suaminya dan tidak boleh untuk keluar dari rumah tersebut melainkan dalam keadaan darurat serta hajat dan itulah pendapat al-Imam Malik, al-Thauri, al-Syafi’e, Ahmad dan Muhammad bin al-Hasan Rahimahumullah. [ Lihat Ma’alim al-Sunan. Al-Matba’ah al-‘Ilmiyyah, 3/287]

Berdalilkan nas al-Quran serta hadith di atas, maka para ulama’ sepakat mengatakan bahawa hukum perempuan yang kematian suaminya perlulah ber’iddah di dalam rumah di mana didiami olehnya sama ada miliknya atau suaminya. Oleh itu, tidak boleh bagi perempuan tersebut untuk menyelesaikan ‘iddahnya kecuali di rumah tersebut.

Justeru itu, dalam 'iddah tersebut maka tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir, kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja.  Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak, dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam.  Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam.  Namun, pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor, jururawatdan sebagainya. Bagi larangan bermusafir, ia termasuk larangan untuk  menunaikan ibadat fardu haji dan umrah.

وَجُمْلَتُهُ أَنَّ الْمُعْتَدَّةَ مِنَ الْوَفَاةِ لَيْسَ لَهَا أَنْ تَخْرُجَ إِلَى الْحَجِّ وَلَا إِلَى غَيْرِهِ رُوِيَ ذَلِكَ عَنْ عُمَرَ وَعُثْمَانَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا وَبِهِ قَالَ سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيَّبِ وَالْقَاسِمُ وَمَالِكٌ وَالشَّافعي وَأَبُو عُبَيْدٍ وَأَصْحَابُ الرَّأْيِ وَالثَّوْرِيُّ

“Seorang perempuan yang sedang menjalani masa iddah kerana ditinggal mati suaminya tidak boleh perg haji dan selainnya. Pandangan ini diriwayatkan dari sayyidina ‘Umar ra dan ‘Utsman ra. Pandangan ini kemudian dikemukakan oleh Sa’id bin al-Musayyab, al-Qasim, Malik, asy-Syafi’i, Abu ‘Ubaid, kalangan al-ray'u (pengikut Mazhab Hanafi) dan ats-Tsauri” (Ibnu Qudamah, al-Mughni,  juz, 9, h. 184)

Mereka berdalil dengan perintah Rasulullah Sallahualaihiwasallam kepada Furay’ah binti Malik bin Sinan yang ditinggal mati suaminya,

Kesimpulan

Islam bukan hanya menjaga dan memelihara kebajikan dan hak-hak wanita semasa mereka masih berada dalam tempoh perkahwinan, malah berterusan sehingga terbubarnya perkahwinan tersebut sama ada kerana perceraian hidup mahupun perceraian mati. Sudah pasti terdapat hikmah yang besar disebalik setiap perkara yang disyariatkan oleh Islam yang mungkin tidak mampu dijangkau oleh akal manusia.  Begitu juga dengan pensyariatan `iddah dan berkabung oleh Allah Subhanahuwata'ala ke atas kaum wanita. 
            Dalam era wanita Malaysia yang berkerjaya, peranan ahli keluarga dan anggota masyarakat juga tidak kurang pentingnya.  Mereka perlu sentiasa dididik dan diberi kesedaran supaya  dapat menghayati dan menghormati situasi wanita yang sedang ber`iddah dan berkabung serta membantu mereka agar dapat menjalani tempoh tersebut mengikut landasan syarak. Ini penting kerana dengan pemahaman yang jelas berhubung hal ini, perkara-perkara yang ditegah oleh Islam dapat dihindari seterusnya mengelakkan berlakunya fitnah, tohmahan dan unsur-unsur yang kurang menyenangkan terhadap wanita yang sedang ber`iddah dan berkabung.

Hukum bersalam (المُصَافَحَةُ)

Hukum bersalam (المُصَافَحَةُ)

Bersalaman (المُصَافَحَةُ)ketika bertemu termasuk di dalam adab-adab Islam dan akhlak yang terpuji. Bersesuaian dengan Islam yang merupakan satu agama yang amat menitikberatkan adab-adab dalam berkomunikasi sesama manusia sama ada Islam dan bukan Islam. Dan ianya bertepatan dengan kehendak Allah Subhanahuwata'ala yang telah mengutuskan Nabi Muhammad Sallahualaihiwasallam untuk menyempurnakan atau mengajarkan akhlak kepada sekalian manusia berdasarkan sabda Baginda Sallahualaihiwasallam:

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” [Riwayat Ahmad (8952)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya kuat]

Bersalam (المُصَافَحَةُ) pula menggambarkan sifat cinta dan kasih sayang di antara yang bersalaman. Terdapat sebuah hadith yang menunjukkan kelebihan perbuatan bersalaman. Daripada al-Bara’ berkata, bahawa Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ، فَيَتَصَافَحَانِ، إِلَّا غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَتَفَرَّقَا

Maksudnya: “Tidaklah ada dua orang muslim itu apabila bertemu, lalu bersalamanan (المُصَافَحَةُ). melainkan akan diampunkan dosa keduanya sebelum mereka berpisah.” [Riwayat Ahmad (18547)]

Hadith di atas ini juga diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, Imam al-Tirmizi dan juga Imam Ibn Majah di dalam sunan mereka.

Pandangan ulama berkaitan hadith di atas,  diantaranya:
-Imam al-Tirmizi (279 H) menilai hadith di atas sebagai hasan gharib. [Lihat: Jami’ al-Tirmizi, 74/5]
-Imam al-Suyuthi (911 H) menyatakan bahawa hadith ini adalah sahih. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, 288/2]
-Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith di atas sebagai sahih li ghairihi. [Lihat: Musnad Ahmad, 517/30]

Bagi menyokong hadith di atas, bahawa amalan bersalam adalah merupakan amalan para sahabat Nabi Sallahualaihiwasallam. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith yang sahih:
Daripada Qatadah RA, beliau bertanya kepada Anas bin Malik RA:

أَكَانَتِ المُصَافَحَةُ فِي أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: نَعَمْ

Maksudnya: “Adakah terdapat perbuatan bersalaman (المُصَافَحَةُ) dalam kalangan sahabat Nabi SAW?.” Jawab Anas: “Ya.” [Riwayat al-Bukhari (6263)]

Selain itu, Imam Ibn Batthal menyatakan bersalaman merupakan satu kebaikan menurut kebanyakan ulama dan Imam al-Nawawi juga menyatakan bahawa bersalaman merupakan sunnah yang disepakati ketika bertemu. [Lihat: Fath al-Bari, 55/11]

Hukum kirim salam dan menjawab salam yang dikirimkan

Hukum kirim salam dan menjawab salam yang dikirimkan

Pada asasnya salam adalah himpunan kalima-kalimah mulia yang terangkum dalam firman Allah Subhanahuwata'ala yang berikut,

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا

Maksudnya: Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Surah al-Nisa’: 86

Imam al-Qurtubi berkata: “Asal تَحِيَّةٍ ialah doa dengan kehidupan dan تَحِيَّةٍ bagi Allah dengan maksud salam dan keselamatan dari sebarang kebinasaan. Al-Kisa'ie pula memaknakan تَحِيَّةٍ bagi Allah dengan makna keberkatan.” (Lihat al-Jami' li Ahkam al-Quran, 5/297)

Amalan mengirim salam ini telah dilakukan sejak dari zaman Nabi Sallahualaihiwasallam lagi. Dimana pernah seorang sahabat menyuruh anaknya untuk berjumpa Nabi Sallahualaihiwasallam dan berpesan untuk menyampaikan salam kepada Baginda Sallahualaihiwasallam, kata anaknya:

فَأَتَيْتُهُ فَقُلْتُ إِنَّ أَبِى يُقْرِئُكَ السَّلاَمَ. فَقَالَ : عَلَيْكَ وَعَلَى أَبِيكَ السَّلاَمُ

Maksudnya: Aku pun datang menemui Baginda. Aku sampaikan: “Sesungguhnya bapaku menyampaikan salam kepadamu.” Lalu Nabi Sallahualaihiwasallam menjawab:
 “عَلَيْكَ وَعَلَى أَبِيكَ السَّلاَمُ"
Maksudnya: Untukmu dan untuk bapamu balasan salam.”

Riwayat Ahmad (23104), Abu Daud (2936) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (13430)

Dalam satu peristiwa, telah dicatatkan bahawa malaikat Jibril AS pernah menitipkan salam kepada Aisyah R.Anha melalui Nabi Sallahualaihiwasallam.  Ini kerana Aisyah tidak dapat melihat Jibril. Saidatina Aisyah R.Anha menceritakan:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « يَا عَائِشَةُ هَذَا جِبْرِيلُ يَقْرَأُ عَلَيْكِ السَّلاَمَ ». فَقُلْتُ وَعَلَيْهِ السَّلاَمُ وَرَحْمَةُ اللَّهِ. وَهُوَ يَرَى مَا لاَ أَرَى

Maksudnya: Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda: “Wahai Aisyah, ini Jibril. Beliau menyampaikan salam untukmu.” Lalu saya menjawab: ‘وَعَلَيْهِ السَّلاَمُ وَرَحْمَةُ اللَّهِ’. Nabi Sallahualaihiwasallam melihat apa yang tidak saya lihat. Riwayat a-Bukhari (3217) dan Muslim (6457)

Imam Nawawi dalam menjelaskan riwayat Muslim di atas, iaitu: “Menjawab salam seperti ini hukumnya wajib segera. Demikian juga jika dia menerima salam pada kertas (surat) daripada orang yang berada di jauh, wajib dia menjawab secara lisan dengan segera ketika dia membacanya.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 15/211)

Justeru itu, maka jelaslah bahawa apabila seseorang datang dan menyebut bahawa seseorang telah menyampaikan salam kepada kita, maka wajiblah kita menjawabnya segera .

Selain itu, kita juga disunatkan untuk turut menjawab salam kepada orang yang membawa pesanan salam atau membalas salam kepada penyampai salam tersebut.

Bendera dan hubungannya dengan sesebuah negara. Dan kaitan bendera dengan Islam

Bendera dan hubungannya dengan sesebuah negara. Dan kaitan bendera dengan Islam

Bendera menjadi simbol dan memberi makna yang besar bagi sesebuah negara, negeri, blok, pasukan, jabatan atau lain-lain. Ia sentiasa dikibarkan bagi menunjukkan kedaulatan dan penguasaan negara tersebut pada satu-satu tempat.

Dalam sejarah Islam ada beberapa nama yang masyhur sebagai istilah yang menunjukkan makna bendera, antaranya al-Liwa’ (اللِّوَاءُ), ar-Rayah (الرَّايَةُ), al-‘Alam (الْعَلَمُ) dan al-‘Uqab (العُقَاب).

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: al-Liwa’ (اللِّوَاءُ), al-Rayah (الرَّايَةُ) dan al-‘Alam (الْعَلَمُ) adalah satu perkara dengan sebutan berbeza. Beliau berkata: “Al-Liwa’ dengan huruf lam yang dibaca kasrah dan waw panjang adalah ar-Rayah (bendera) dan disebut juga dengan al-‘Alam.” (Lihat Fath al-Bari, 6/126)

Panji/bendera menjadi tanda kesatuan pendapat  (ijtima’i kalimatihim) dan persatuan hati  (ittihadi qulubihim) sesuatu kaum jika sesuatu kaum itu berhimpun di bawah satu panji/bendera, Dengan demikian mereka bagaikan satu tubuh. (Lihat al-Taratib al-Idariyyah oleh Syeikh Abdul al-Hayyi al-Kattani, 1/266)

Ada beberapa hadis dan athar yang menggambarkan tentang bendera dan panji pasukan perang semasa zaman Nabi Sallahualaihiwasallam, diantaranya sfalah hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

كَانَ لِوَاءُ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْيَضَ ، وَرَايَتُهُ سَوْدَاءَ

Maksudnya: “Bendera (Liwa) Rasulullah Sallahualaihiwasallam berwarna putih, dan panjinya (Rayah) berwarna hitam.”

Riwayat Al-Hakim dalam al-Mustadrak (2506) dan 
al-Baihaqi dalam Dala'il al-Nubuwwah (4/376)

Begitu juga daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

كَانَتْ رَايَةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَوْدَاءَ وَلِوَاؤُهُ أَبْيَضُ، مَكْتُوبٌ عَلَيْهِ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ

Maksudnya: “Panji (rayah) Rasulullah Sallahualaihiwasallam berwarna hitam, dan benderanya (liwa’) berwarna putih, tertulis padanya: “لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ”.

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu'jam al-Ausat (219)

Begitu juga semasa peristiwa penaklukan kota Mekah, diriwayatkan bahawa Rasulullah Sallahualaihiwasallam memasuki kota Mekah dengan membawa bendera (al-liwa’) yang berwarna putih. Daripada Jabir bin Abdillah R.A, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى الله عَليْهِ وسَلَّمَ دَخَلَ مَكَّةَ ، يَوْمَ الْفَتْحِ وَلِوَاؤُهُ أَبْيَضُ

Maksudnya: “Bahawa Nabi Sallahualaihiwasallam memasuki kota Mekah ketika Peristiwa Pembukaan dengan benderanya (liwa’) berwarna putih.”

Ibn Majah (2817), Abu Daud (2594), al-Tirmizi (1679) 
dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (13441)

Ibn al-Athir mencatatkan bahawa: “Tidaklah boleh memegang al-Liwa’ kecuali pemimpin pasukan tentera.” (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 4/279).

Ibn Battal ketika menjelaskan tentang al-Rayah sebagai berikut: “Dalam hadis tersebut (hadis pemberian bendera oleh Rasul pada pemimpin perang), diketahui bahwa al-Rayah tidak wajib dibawa kecuali oleh orang yang diberi kuasa oleh Imam (Pemimpin Negara) dan tak mempunyai autoriti apa pun bagi orang yang mengambilnya kecuali dengan adanya mandat kekuasaan.” (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 5/ 141)

Ini menunjukkan bahawa panji/bendera pasukan pada zaman Nabi Sallahualaihiwasallam adalah sangat diutamakan serta tidak dibuat sewenang-wenangnya

Sejerah bendera Malaysia

Terkadang-kadang kita terlupa peranan bendera Malaysia yang sudah pasti sebahagian dari kalangan kita tidak merasa apa-apa terhadap simbol-simbol yang ada pada bendera tersebut.

Bendera Malaysia dikibarkan dengan gah dan izzahnya setelah bendera Union Jack diturunkan. 
Dan inilah saat kemerdeka yang didambakan oleh rakyat Malaysia selepas dijajah hampir setengah ribu tahun bermula dengan Portugis 1511 dan berakhir dengan Inggeris 31 Ogos 1957.

Sebenarnya reka bentuk bendera Malaysia yang ada sekarang telah dibuat beberapa pindaan dan sesungguhnya telah mendapat suara majoriti dan perkenan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950.

Dengan terkibarnya bendera Malaysia ini,maka ia telah menjadi idenditi, lambang rasmi dan kedaulatan negara Malaysia. Dan juga ia menimbulkan rasa bangga dan menjadi lambang kemegahan penduduk serta sebagai lambang ketaatan pada negara. 

Maka dengan itu adalah menjadi tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh rakyat Malaysia untuk menjaga dan menghormati Bendera Kebangsaan Malaysia. Justeru itu,maka hendaklah rakyat Malaysia:

-Mempertahankannya dari dijatuhkan atau dihina.
-Memacakkan bendera pada tempat yang tinggi.
-Jangan sekali-kali memasang bendera secara terbalik.
-Jangan dipijak.

Hukum makmum masbuk terus bangun selepas Imam mengucapkan salam yang pertama

Hukum makmum masbuk terus bangun selepas Imam mengucapkan salam yang pertama

Hukumnya:
Makmum yang masbuq disunatkan menunggu
imam selesai memberikan kedua-dua salam
untuk bangun bagi melengkapkan beberapa perbuatan solat yang masih berbaki. Meskipun begitu, sekiranya makmum yang masbuq tersebut bangun sesudah imam memberi salam yang pertama, maka hukumnya adalah dibolehkan dan solatnya adalah sah. Ini kerana, salam yang pertama adalah rukun dan wajib hukumnya, manakala salam yang kedua adalah sunat.

Perbahasannya seperti berikut:

Imam dijadikan sebagai pemimpin dan wajib diikuti dalam sollat, sebagaimana Yang dijelaskan dalam hadith Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu :

عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَلَا تَخْتَلِفُوا عَلَيْهِ فَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا وَإِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فَقُولُوا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا وَإِذَا صَلَّى جَالِسًا فَصَلُّوا جُلُوسًا أَجْمَعُونَ

“Dari Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam, bahawasanya beliau Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya imam hanya untuk diikuti, maka janganlah menyelisihnya. Apabila ia ruku’, maka ruku’lah. Dan bila ia mengatakan ‘sami’allahu liman hamidah’, maka katakanlah,’Rabbana walakal hamdu’. Apabila ia sujud, maka sujudlah. Dan bila ia solat dengan duduk, maka solatlah dengan duduk semuanya”. [Muttafaqun ‘alaihi].

Penamat bagi solat adalah lafaz salam sebanyak dua kali, ini adalah merupakan petunjuk dari Nabi Sallahualaihiwasallam. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Ma’mar beliau berkata:

أَنَّ أَمِيرًا كَانَ بِمَكَّةَ يُسَلِّمُ تَسْلِيمَتَيْنِ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ أَنَّى عَلِقَهَا قَالَ الْحَكَمُ فِي حَدِيثِهِ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَفْعَلُهُ

Maksudnya: ‘’Sesungguhnya seorang Amir (Gabenor) di Mekkah memberi salam sebanyak dua kali (untuk selesai dari mendirikan solat)’’. Lalu Abdullah (bin Mas’ud) bertanya: ‘’Daripada manakah dia mendapat sunnah ini ?’’. Maka Al-Hakam berkata: ‘’Sesungguhnya Rasulullah Sallahualaihiwasallam melakukan hal tersebut’’.
Riwayat Muslim (581)

Hukum berkaitan dengan Salam:

1-Hukum dan kaifiat salam adalah seperti berikut:
Menurut Imam al-Nawawi: ‘’Mazhab kami (Al-Syafi’eyyah) berpendapat bahawa memberi salam merupakan perkara fardhu dan juga rukun solat. Yang mana tidak sah solat melainkan dengan melakukannya. Inilah pendapat jumhur ulama dari kalangan para sahabat, tabiin, dan generasi selepas mereka. Inilah juga pendapat Imam Malik, Imam Al-Syafi’e, Imam Ahmad, dan juga para ashab Lalu mereka berkata; Apabila seorang yang bersolat itu keluar (selesai) dari solatnya tanpa melafazkan salam maka solatnya adalah batal.

2-Salam Yang pertama adalah wajib dan salam yang kedua adalah sunat:
Kata Imam al-Nawawi: ‘’Para ulama yang kami berpegang dengan mereka telah berijma’ bahawa tidak wajib melainkan sekali salam sahaja. Sekiranya seseorang itu memberikan satu salam sahaja, maka disunatkan kepadanya untuk memberi salam menghala ke hadapan. Manakala jika dia memberi dua salam maka dia menjadikan salam yang pertama menghadap ke arah kanan, dan salam yang kedua menghadap ke arah kiri. Dia berpaling dalam setiap salam sehingga orang di sebelahnya dapat melihat pipinya, dan inilah pendapat yang sahih.’’

3-Makmum hendaklah memberi salam sesudah imam memberi salam.

Hukum makmum masbuk

1-Sunat bagi makmum masbuk menunggu sehingga Imam selesai memberi sallam yang kedua, sebelum bangun:
Imam Al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan:
‘’Para ashab kami (Al-Syafi’eyyah) telah bersepakat bahawa disunatkan bagi seorang yang masbuq untuk tidak berdiri bagi mengerjakan apa-apa yang berbaki (dari perbuatan solat) melainkan setelah imam selesai dari kedua-dua salam. Antara yang menjelaskan pendapat ini adalah Imam al-Baghawi, al-Mutawalli, dan selain mereka.

Dan Imam al-Syafi’e telah menaskan hal ini (seperti yang disebutkan) dalam Mukhtasar al-Buwaithi dengan kata beliau: ‘’Sesiapa yang imam telah mendahuluinya dengan beberapa perbuatan solat, maka janganlah dia bangun untuk menyelesaikan baki-baki perbuatan solat melainkan setelah imam selesai dari memberikan kedua-dua salam’’.

2-Namun, bukanlah bermakna solatnya itu tidak sah sekiranya seorang makmum itu terus bangun sebaik sahaja imam selesai memberi salam yang pertama. Ini seperti yang dikatakan oleh Imam al-Nawawi seperti berikut:
‘’Para ashab kami berpendapat bahawa sekiranya seorang (yang masbuq) itu berdiri setelah imam selesai dari perkataan ‘السلام عليكم’ pada salam yang pertama maka hal tersebut adalah dibolehkan. Ini kerana imam telah keluar (selesai) dari solat (melalui salam yang pertama)’’.

3-Manakala keadaan yang boleh menyebabkan terbatalnya solat seorang yang masbuq itu adalah apabila dia bangun sebelum imam mula memberi salam. Kata Imam al-Nawawi: ‘’Sekiranya seorang (yang masbuq) itu bangun sebelum imam mula memberi salam maka solatnya terbatal, melainkan dia berniat untuk mufaraqah (berpisah) dengan imam’’.

Rujuk Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (3/483).

Hukum menunaikan umrah buat kali pertama

Hukum menunaikan umrah buat kali pertama  Hukum menunaikan umrah buat kali pertama adalah wajib (sekali seumur hidup) bagi setiap Muslim muk...