Thursday, October 31, 2019

Hukum hakam bagi perempuan yang kematian suami serta masih dalam 'Iddah.

Hukum hakam bagi perempuan yang kematian suami serta masih dalam 'Iddah.

Firman Allah Subhanahuwata'ala,

وَٱلَّذِينَ يُتَوَفَّوۡنَ مِنكُمۡ وَيَذَرُونَ أَزۡوَٰجٗا يَتَرَبَّصۡنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرۡبَعَةَ أَشۡهُرٖ وَعَشۡرٗاۖ

Maksudnya: Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (ber'iddah) empat bulan sepuluh hari.  (Al-Baqarah: 234)

 Berpandukan ayat di atas bahawa ‘Iddah bagi perempuan yang kematian suami adalah 4 bulan 10 hari dan termasuk di dalam bilangan ‘iddah tersebut adalah hukum ihdad (berkabung) bagi si isteri.

Namun, sekiranya si isteri yang kematian suaminya dalam keadaan sedang mengandung, maka ‘iddahnya adalah sehingga perempuan tersebut melahirkan anaknya. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala:

وَأُوْلَٰتُ ٱلۡأَحۡمَالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعۡنَ حَمۡلَهُنَّۚ

Maksudnya: Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungannya. (Al-Talaq: 4)

Dalam menempuh bilangan ‘iddah serta berkabung bagi kematian suami, seseorang perempuan itu tidak boleh keluar dari rumahnya sepanjang tempoh ber’iddah tersebut melainkan darurat atau keperluan hajat.
Ini berdasarkan hadith dari Furay’ah binti Malik bin Sinan yang mana beliau telah bertemu Nabi Sallahualaihiwasallam bertanyakan adakah boleh bagi dirinya untuk pulang ke pangkuan ahli keluargnaya, Bani Khudrah kerana beliau telah kematian suaminya. Lalu jawab Baginda Sallahualaihiwasallam:

امْكُثِي فِي بَيْتِكِ حَتَّى يَبْلُغَ الْكِتَابُ أَجَلَهُ

Maksudnya: Tetaplah kamu di rumahmu sehingga sampai apa yang telah ditetapkan.
Riwayat Abu Daud (2300) & Al-Tirmizi (1204)

Kerana perintah Nabi Sallahualaihiwasallam tersebut,  maka Furay’ah R.Anha telah melengkapkan ‘iddahnya selama 4 bulan 10 hari

Al-Imam al-Khattabi Rahimahullah menyatakan bahawa berdasarkan hadith di atas, bagi perempuan yang kematian suaminya, perlulah ber’iddah di rumah suaminya dan tidak boleh untuk keluar dari rumah tersebut melainkan dalam keadaan darurat serta hajat dan itulah pendapat al-Imam Malik, al-Thauri, al-Syafi’e, Ahmad dan Muhammad bin al-Hasan Rahimahumullah. [ Lihat Ma’alim al-Sunan. Al-Matba’ah al-‘Ilmiyyah, 3/287]

Berdalilkan nas al-Quran serta hadith di atas, maka para ulama’ sepakat mengatakan bahawa hukum perempuan yang kematian suaminya perlulah ber’iddah di dalam rumah di mana didiami olehnya sama ada miliknya atau suaminya. Oleh itu, tidak boleh bagi perempuan tersebut untuk menyelesaikan ‘iddahnya kecuali di rumah tersebut.

Justeru itu, dalam 'iddah tersebut maka tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir, kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja.  Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak, dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam.  Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam.  Namun, pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor, jururawatdan sebagainya. Bagi larangan bermusafir, ia termasuk larangan untuk  menunaikan ibadat fardu haji dan umrah.

وَجُمْلَتُهُ أَنَّ الْمُعْتَدَّةَ مِنَ الْوَفَاةِ لَيْسَ لَهَا أَنْ تَخْرُجَ إِلَى الْحَجِّ وَلَا إِلَى غَيْرِهِ رُوِيَ ذَلِكَ عَنْ عُمَرَ وَعُثْمَانَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا وَبِهِ قَالَ سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيَّبِ وَالْقَاسِمُ وَمَالِكٌ وَالشَّافعي وَأَبُو عُبَيْدٍ وَأَصْحَابُ الرَّأْيِ وَالثَّوْرِيُّ

“Seorang perempuan yang sedang menjalani masa iddah kerana ditinggal mati suaminya tidak boleh perg haji dan selainnya. Pandangan ini diriwayatkan dari sayyidina ‘Umar ra dan ‘Utsman ra. Pandangan ini kemudian dikemukakan oleh Sa’id bin al-Musayyab, al-Qasim, Malik, asy-Syafi’i, Abu ‘Ubaid, kalangan al-ray'u (pengikut Mazhab Hanafi) dan ats-Tsauri” (Ibnu Qudamah, al-Mughni,  juz, 9, h. 184)

Mereka berdalil dengan perintah Rasulullah Sallahualaihiwasallam kepada Furay’ah binti Malik bin Sinan yang ditinggal mati suaminya,

Kesimpulan

Islam bukan hanya menjaga dan memelihara kebajikan dan hak-hak wanita semasa mereka masih berada dalam tempoh perkahwinan, malah berterusan sehingga terbubarnya perkahwinan tersebut sama ada kerana perceraian hidup mahupun perceraian mati. Sudah pasti terdapat hikmah yang besar disebalik setiap perkara yang disyariatkan oleh Islam yang mungkin tidak mampu dijangkau oleh akal manusia.  Begitu juga dengan pensyariatan `iddah dan berkabung oleh Allah Subhanahuwata'ala ke atas kaum wanita. 
            Dalam era wanita Malaysia yang berkerjaya, peranan ahli keluarga dan anggota masyarakat juga tidak kurang pentingnya.  Mereka perlu sentiasa dididik dan diberi kesedaran supaya  dapat menghayati dan menghormati situasi wanita yang sedang ber`iddah dan berkabung serta membantu mereka agar dapat menjalani tempoh tersebut mengikut landasan syarak. Ini penting kerana dengan pemahaman yang jelas berhubung hal ini, perkara-perkara yang ditegah oleh Islam dapat dihindari seterusnya mengelakkan berlakunya fitnah, tohmahan dan unsur-unsur yang kurang menyenangkan terhadap wanita yang sedang ber`iddah dan berkabung.

No comments:

Post a Comment

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan ...