Thursday, October 31, 2019

Hukum makmum masbuk terus bangun selepas Imam mengucapkan salam yang pertama

Hukum makmum masbuk terus bangun selepas Imam mengucapkan salam yang pertama

Hukumnya:
Makmum yang masbuq disunatkan menunggu
imam selesai memberikan kedua-dua salam
untuk bangun bagi melengkapkan beberapa perbuatan solat yang masih berbaki. Meskipun begitu, sekiranya makmum yang masbuq tersebut bangun sesudah imam memberi salam yang pertama, maka hukumnya adalah dibolehkan dan solatnya adalah sah. Ini kerana, salam yang pertama adalah rukun dan wajib hukumnya, manakala salam yang kedua adalah sunat.

Perbahasannya seperti berikut:

Imam dijadikan sebagai pemimpin dan wajib diikuti dalam sollat, sebagaimana Yang dijelaskan dalam hadith Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu :

عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَلَا تَخْتَلِفُوا عَلَيْهِ فَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا وَإِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فَقُولُوا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا وَإِذَا صَلَّى جَالِسًا فَصَلُّوا جُلُوسًا أَجْمَعُونَ

“Dari Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam, bahawasanya beliau Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya imam hanya untuk diikuti, maka janganlah menyelisihnya. Apabila ia ruku’, maka ruku’lah. Dan bila ia mengatakan ‘sami’allahu liman hamidah’, maka katakanlah,’Rabbana walakal hamdu’. Apabila ia sujud, maka sujudlah. Dan bila ia solat dengan duduk, maka solatlah dengan duduk semuanya”. [Muttafaqun ‘alaihi].

Penamat bagi solat adalah lafaz salam sebanyak dua kali, ini adalah merupakan petunjuk dari Nabi Sallahualaihiwasallam. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Ma’mar beliau berkata:

أَنَّ أَمِيرًا كَانَ بِمَكَّةَ يُسَلِّمُ تَسْلِيمَتَيْنِ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ أَنَّى عَلِقَهَا قَالَ الْحَكَمُ فِي حَدِيثِهِ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَفْعَلُهُ

Maksudnya: ‘’Sesungguhnya seorang Amir (Gabenor) di Mekkah memberi salam sebanyak dua kali (untuk selesai dari mendirikan solat)’’. Lalu Abdullah (bin Mas’ud) bertanya: ‘’Daripada manakah dia mendapat sunnah ini ?’’. Maka Al-Hakam berkata: ‘’Sesungguhnya Rasulullah Sallahualaihiwasallam melakukan hal tersebut’’.
Riwayat Muslim (581)

Hukum berkaitan dengan Salam:

1-Hukum dan kaifiat salam adalah seperti berikut:
Menurut Imam al-Nawawi: ‘’Mazhab kami (Al-Syafi’eyyah) berpendapat bahawa memberi salam merupakan perkara fardhu dan juga rukun solat. Yang mana tidak sah solat melainkan dengan melakukannya. Inilah pendapat jumhur ulama dari kalangan para sahabat, tabiin, dan generasi selepas mereka. Inilah juga pendapat Imam Malik, Imam Al-Syafi’e, Imam Ahmad, dan juga para ashab Lalu mereka berkata; Apabila seorang yang bersolat itu keluar (selesai) dari solatnya tanpa melafazkan salam maka solatnya adalah batal.

2-Salam Yang pertama adalah wajib dan salam yang kedua adalah sunat:
Kata Imam al-Nawawi: ‘’Para ulama yang kami berpegang dengan mereka telah berijma’ bahawa tidak wajib melainkan sekali salam sahaja. Sekiranya seseorang itu memberikan satu salam sahaja, maka disunatkan kepadanya untuk memberi salam menghala ke hadapan. Manakala jika dia memberi dua salam maka dia menjadikan salam yang pertama menghadap ke arah kanan, dan salam yang kedua menghadap ke arah kiri. Dia berpaling dalam setiap salam sehingga orang di sebelahnya dapat melihat pipinya, dan inilah pendapat yang sahih.’’

3-Makmum hendaklah memberi salam sesudah imam memberi salam.

Hukum makmum masbuk

1-Sunat bagi makmum masbuk menunggu sehingga Imam selesai memberi sallam yang kedua, sebelum bangun:
Imam Al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan:
‘’Para ashab kami (Al-Syafi’eyyah) telah bersepakat bahawa disunatkan bagi seorang yang masbuq untuk tidak berdiri bagi mengerjakan apa-apa yang berbaki (dari perbuatan solat) melainkan setelah imam selesai dari kedua-dua salam. Antara yang menjelaskan pendapat ini adalah Imam al-Baghawi, al-Mutawalli, dan selain mereka.

Dan Imam al-Syafi’e telah menaskan hal ini (seperti yang disebutkan) dalam Mukhtasar al-Buwaithi dengan kata beliau: ‘’Sesiapa yang imam telah mendahuluinya dengan beberapa perbuatan solat, maka janganlah dia bangun untuk menyelesaikan baki-baki perbuatan solat melainkan setelah imam selesai dari memberikan kedua-dua salam’’.

2-Namun, bukanlah bermakna solatnya itu tidak sah sekiranya seorang makmum itu terus bangun sebaik sahaja imam selesai memberi salam yang pertama. Ini seperti yang dikatakan oleh Imam al-Nawawi seperti berikut:
‘’Para ashab kami berpendapat bahawa sekiranya seorang (yang masbuq) itu berdiri setelah imam selesai dari perkataan ‘السلام عليكم’ pada salam yang pertama maka hal tersebut adalah dibolehkan. Ini kerana imam telah keluar (selesai) dari solat (melalui salam yang pertama)’’.

3-Manakala keadaan yang boleh menyebabkan terbatalnya solat seorang yang masbuq itu adalah apabila dia bangun sebelum imam mula memberi salam. Kata Imam al-Nawawi: ‘’Sekiranya seorang (yang masbuq) itu bangun sebelum imam mula memberi salam maka solatnya terbatal, melainkan dia berniat untuk mufaraqah (berpisah) dengan imam’’.

Rujuk Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (3/483).

No comments:

Post a Comment

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan ...