Thursday, October 31, 2019

Air Musta'mal

Air Musta'mal

Dari Jabir bin Abdullah R.Anhuma:

جَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُنِي وَأَنَا مَرِيضٌ لاَ أَعْقِلُ فَتَوَضَّأَ وَصَبَّ عَلَيَّ مِنْ وَضُوئِهِ

Maksudnya: “Rasulullah Sallahualaihiwasallam datang mengunjungi aku, sedangkan ketika itu aku sakit sehingga aku tidak sedar, maka baginda mengambil wuduk dan menyiram atasku air lebih wuduknya.” Riwayat Bukhari (194) dan Muslim (1616)

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah Sallahualaihiwasallam:

لَا يَغْتَسِلْ أَحَدُكُمْ فِي الْمَاءِ الدَّائِمِ وَهُوَ جُنُبٌ فَقَالَ كَيْفَ يَفْعَلُ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ؟ قَالَ َتَنَاوَلُهُ تَنَاوُلًا

Maksudnya: “Janganlah seseorang kamu mandi dalam air yang tetap tidak mengalir sedangkan dia berada dalam keadaaan berjunub.”

Lalu Abu Hurairah ditanya: “Bagaimana sepatutnya dia lakukan wahai Abu Hurairah?,” Lalu dia menjawab: “Mengambilnya satu persatu.”
Riwayat Muslim (283

Dari dua hadith di atas Ulama(Mazhab Syafei)telah berIstinbat(الإستنباط):

Hukum air musta’mal adalah suci tetapi tidak lagi boleh menyucikan, seperti air mutaghayyirah yakni air yang bercampur dengan bahan suci jua.

Air musta`mal adalah salah satu jenis air yang dihuraikan dalam bab taharah atau penyucian. Kalimah “musta`mal” daripada sudut bahasa bermaksud suatu yang telah digunakan. Daripada sudut istilah syarak, air musta`mal ialah air yang telah digunakan untuk fardu taharah seperti mandi, wuduk, dan menghilangkan najis hukmiah.

Imam Ad-Dimyathi (Sayyid Abu Bakar), dalam kitabnya, I’anah Ath-Tholibin Juz 1/28, menyebutkan bahawa air musta’mal memiliki syarat-syarat tertentu, iaitu:

واعلم ان شروط الاستعمال اربعة تعلم من كلامه قلة الماء واستعماله فيما لا بد منه وان ينفصل عن العضو وعدم نية الاغتراف في محلها

Ketahuilah, bahawa syarat-syarat air musta’mal ada empat, iaitu; air sedikit(kurang dari dua kolah), digunakan untuk melakukan hal yang wajib, sudah terpisah dari anggota tubuh, tidak ada niat ightirof (menggunakan tangan sebagai alat mengambil air)

Perbahasan tentang air musta'mal:

Persoalan; Adakah air mutlak yang tersimpan di dalam bekas yang kurang dari dua kolah akan jadi musta'mal sekiranya air musta’mal terpercik masuk ke dalamnya?
Jawapannya, ditentukan pada air tersebut sekiranya kadar yang masuk itu boleh mengubah sifat air tersebut, iaitu warna, bau dan rasa,  sama ada secara hissi (fizikal) atau maknawi, maka jadilah air yang sedikit itu hukumnya air musta`mal. Sekiranya tidak berubah sama ada secara hissi atau maknawi, maka kekallah status air itu sebagai air mutlak. Ini berdalilkan hadith daripada,
Abu Umamah Al Bahiliy, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

إِنَّ الْمَاءَ لاَ يُنَجِّسُهُ شَىْءٌ إِلاَّ مَا غَلَبَ عَلَى رِيحِهِ وَطَعْمِهِ وَلَوْنِهِ

“Sesungguhnya air tidaklah dinajiskan oleh sesuatu pun selain yang mempengaruhi bau, rasa, dan warnanya.”(Diriwayatkan oleh Ibnu majah dan dinyatakan dhai’f (lemah) oleh Abu hatim. Rujuk:Syarh Kitab Bulughul Maram.Tambahan “selain yang mempengaruhi bau, rasa, dan warnanya” adalah tambahan yang dho’if. Namun, Al-Nawawi mengatakan, “Para ulama telah sepakat untuk berhukum dengan tambahan ini.

Kretiria bagaimanakah yang digunapakai oleh para ulama untuk menyukat sifat warna, rasa dan bau?
Kretiria yang digunapakai ialah secara taqdir (menentukan) perubahan maknawi dan diqiaskan dengan bahan-bahan cair yang memiliki sifat mengubah yang sederhana, seperti air perahan buah bagi sifat warna, rasa buah delima bagi sifat rasa dan bau kemenyan bagi sifat bau.

Namun begitu,  kaedah taqdir ini hanyalah untuk orang yang syak bahawa air sedikit yang bercampur itu ialah campuran yang memudaratkan sifat penyucian air. Maka sunat baginya untuk menggunakan kaedah ini. Adapun jika seseorang itu meluru terus menggunakan air bagi bersuci tanpa  berijtihad dengan taqdir itu, maka taharahnya adalah sah kerana asal bagi air mutlak adalah suci dan menyucikan. Rujuk Kasyifah al-Saja (ms. 96) dan Taqrirat al-Sadidah (ms. 66)

Imam Ibn Qudamah Rahimahullah menyebut: “Sekiranya air musta`mal jatuh ke dalam air, dimaafkan sekiranya sedikit…Ini yang zahir daripada keadaan Nabi Sallahualaihiwasallam dan para sahabat baginda kerana mereka berwuduk daripada aqdah (mangkuk-mangkuk) dan atwar (cawan-cawan), dan mereka bersuci daripada jifan (mangkuk-mangkuk yang besar). Diriwayatkan bahawa Nabi SAW mandi dengan isterinya Maimunah daripada satu mangkuk besar yang sama yang padanya terdapat kesan adunan tepung. Juga Baginda mandi dengan isterinya, Aisyah daripada satu bekas sedangkan tangan mereka saling mengambil air daripadanya sambil berkata: “ Tinggalkan baki untukku.” Dan seumpama ini maka tidak selamatlah bekas-bekas itu daripada terkena percikan air (musta`mal). Sekiranya air yang masuk itu menjadi banyak dan menjejaskan, maka tertegah daripada menggunakan air itu untuk bersuci menurut satu daripada dua riwayat. Berkata para ashab al-Syafie: “Sekiranya air musta`mal itu lebih banyak maka tertegah, sekiranya lebih sedikit maka tidak tertegah." Rujuk: kitab al-Mughni (1/13-14), Mazhab Hanbali.

No comments:

Post a Comment

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan ...