Thursday, July 23, 2026

Hukum menunaikan umrah buat kali pertama

Hukum menunaikan umrah buat kali pertama 

Hukum menunaikan umrah buat kali pertama adalah wajib (sekali seumur hidup) bagi setiap Muslim mukallaf yang berkemampuan dari segi fizikal, kewangan, dan keselamatan. Kewajipan ini ditetapkan di dalam Mazhab Syafi'i dan mazhab lain. 


Hal ini jelas sepertimana firman Allah Subhanahuwata'ala di dalam Surah Ali-Imran seperti berikut, 


وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا


Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya”.Surah Ali-Imran ayat 97


Menurut Syeikh al-Maraghi dalam menafsirkan ayat di atas, ia menerangkan bahawa ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang muslim mukallaf yang berkemampuan. Hal ini kerana, perintah haji merupakan satu penghormatan besar kepada Baitullah bermula dari zaman Nabi Ibrahim A.S sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam. Justeru, perlaksanaan ibadah haji dan umrah mampu menjadi mercu tanda dan bukti pengabdian setiap hamba kepada Penciptanya. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 2/853)


Firman Allah Subhanahuwata'ala Surah Al-Baqarah ayat 196,

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ


Maksudnya” Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah semata-mata kerana Allah”. Surah Al-Baqarah ayat 196.


Pada dasarnya, semua amalan hendaklah dilakukan kerana Allah. Tetapi, di dalam ayat ini dikhususkan kepada ibadat haji dan umrah. Tujuannya adalah disebabkan orang Arab pergi menunaikan haji dengan tujuan untuk berkumpul dan menunjuk-nunjuk, bersaing, bermegah-megah, menunaikan pelbagai hajat dan membeli belah. Mereka tidak pergi dengan tujuan kerana Allah dan bukan dengan tujuan menunaikan kefarduan dan hak yang ditetapkan oleh Allah.


Justeru, Syeikh al-Maraghi berkata, tafsiran ayat ini ialah: “Kerjakanlah ibadat haji dan umrah dengan sempurna dan lengkap, secara lahiriyah. Ia dilakukan dengan menunaikan syariat dan rukun menurut yang sepatutnya. Sementara secara batiniah, ia dilaksanakan dengan penuh keikhlasan kerana Allah Subhanahuwata'ala dan bukan dengan tujuan untuk mencari sumber pendapatan menerusi dagangan atau menarik pujian orang dan nama. Meskipun begitu, dibenarkan berdagang dilakukan secara ikhlas, tetapi tujuan sebenar ke Mekah bukan untuk berdagang.” Lihat Tafsir al-Maraghi (1/393).


Hukum asal perintah menyempurnakan haji dan umrah dalam ayat وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ (Surah al-Baqarah, ayat 196) adalah wajib menurut jumhur ulama mazhab Syafi'i dan Hambali setelah seseorang itu mula mengerjakannya, manakala hukum umrah secara tersendiri adalah wajib sekali seumur hidup.


Seterusnya, Nabi Sallallahu’alaihiwasallam turut menegaskan berkenaan hal tersebut di dalam sabdanya yang berikut, 


بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ


Maksudnya: “Islam didirikan di atas lima perkara: Bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah Subhanahuwata'ala dan Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam adalah hambaNya dan pesuruhNya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji ke Baitullah, dan berpuasa di bulan Ramadhan.”

Riwayat Muslim (16)


Merujuk kepada persoalan di atas, hukum mengerjakan ibadah haji dan umrah adalah wajib dikerjakan sekali seumur hidup bagi mereka yang berkemampuan. Namun, ibadah haji dan umrah ini dikira sunat untuk dikerjakan secara berulang-ulang kali. Ini kerana terdapat banyak kelebihan yang telah dijanjikan kepada sesiapa yang melaksakan ibadah haji dan umrah dengan penuh keikhlasan dan ketakwaaan.


Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:


الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ


Maksudnya: “Ibadah umrah kepada umrah berikutnya adalah kaffarah (penghapusan dosa) di antara kedua-duanya. Dan haji yang mabrur tiada balasan (bagi pelakunya) melainkan syurga).”

Riwayat Al-Bukhari (1773) dan Muslim (1449)


Hadith di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa pensyariatan ibadah haji dan umrah merupakan satu pensyariatan yang agung di sisi Allah Subhanahuwata'ala. Hal ini jelas dapat dilihat berdasarkan hadith yang telah dinyatakan seperti di atas. Nabi Sallallahu’alaihiwasallam telah menjanjikan balasan syurga kepada sesiapa yang mencapai tahap mabrur dalam pelaksanaan ibadah hajinya. Begitu juga kepada sesiapa yang melaksanakan ibadah umrah secara berulang kali, dosa-dosa kecil mereka akan dihapuskan sepanjang tempoh jarak ibadah umrah tersebut.


KESIMPULAN


Wajib ke atas setiap Muslim yang berkemampuan untuk melaksanakan ibadah haji dan umrah paling kurang sekali seumur hidup mereka. Namun, bagi mereka yang mempunyai kecukupan dan kemampuan yang lebih, disunatkan bagi mereka untuk mengulangi ibadah haji dan umrah pada tahun-tahun yang berikutnya.


Di sini, saya mengambil peluang untuk saling menasihati kepada semua jemaah haji dan umrah agar menanam di dalam jiwa masing-masing niat dan tekad untuk menjadi dhuyuf al-Rahman walaupun sekali seumur hidup mereka. Justeru, berusahalah untuk melaksanakan ibadah haji dan umrah dengan sebaik mungkin, persiapkanlah bekalan dari segi mental dan fizikal agar kita dapat menumpukan sepenuh perhatian dalam pelaksanaan ibadah yang kita kerjakan.



No comments:

Post a Comment

Hukum menunaikan umrah buat kali pertama

Hukum menunaikan umrah buat kali pertama   Hukum menunaikan umrah buat kali pertama adalah wajib (sekali seumur hidup) bagi setiap Muslim m...