Wednesday, July 30, 2025

Hidup Ceria Bebas Dari Kemungkaran

Hidup Ceria Bebas Dari Kemungkaran

Kehidupan manusia sememangnya dipandu dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahuwata'ala. Perkara yang berkaitan dengan halal dan haram adalah garis pemisah antara orang yang taat dan orang yang ingkar terhadap perintah Allah Subhanahuwata'ala. Peraturan ini dikenal sebagai syariat, yang mencakup berbagai aspek kehidupan, baik ibadah, akhlak, mahupun muamalah (hubungan sesama manusia). Syariat ini bertujuan untuk membawa kesejahteraan bagi manusia di dunia dan akhirat. 

Allah Subhanahuwata'ala berfirman,

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk''. Surah al-A’raf ayat 157

Al-Sobuni berkata: “Diharamkan ke atas mereka, apa yang kotor dan keji seperti darah, bangkai dan daging khinzir''. Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/442.

Dari segi bahasa syariat berasal daripada perkataan Arab iaitu syir’ah yang mempunyai dua maksud iaitu sumber air dan jalan yang lurus. Dari segi istilah, syariat ialah hukum yang telah ditetapkan oleh Allah untuk hamba-Nya melalui perantaraan para Rasul-Nya. Allah menuntut hamba-Nya mentaati dan melaksanakannya tanpa sebarang perubahan dan pengurangan. Peraturan dan hukum ini dinamakan syariat kerana ia betul sepertimana jalan yang lurus, tanpa ada kepalsuan (simpang-siur) dari jalan yang benar. Syariat juga membawa pengertian mengenai segala perintah Allah ke atas hamba-Nya yang terdiri daripada seluruh hukum yang diturunkan melalui para Rasul-Nya sama ada perintah tersebut berkaitan dengan perbuatan amali ataupun iktikadi. Syariat juga membawa maksud al-din (pergantungan) dan juga al-millah (kecenderungan). 

Firman Allah Subhanahuwata'ala,

ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَىٰ شَرِيعَةٍ مِنَ الْأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya:''Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama itu), maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui''. Al-Jasiyah ayat 18

Berdasarkan kepada ayat suci al-Quran dan kitab yang ditulis oleh para ulama, didapati perkataan syariah digunakan untuk dua pengertian iaitu umum dan khusus. Pengertian umum adalah berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala,

شَرَعَ لَكُمْ مِنَ الدِّينِ مَا وَصَّىٰ بِهِ نُوحًا وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ وَمَا وَصَّيْنَا بِهِ إِبْرَاهِيمَ وَمُوسَىٰ وَعِيسَىٰ ۖ أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ ۚ كَبُرَ عَلَى الْمُشْرِكِينَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ ۚ اللَّهُ يَجْتَبِي إِلَيْهِ مَنْ يَشَاءُ وَيَهْدِي إِلَيْهِ مَنْ يُنِيبُ

Maksudnya:''Dia telah mensyari'atkan bagi kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa yaitu: Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya. Amat berat bagi orang-orang musyrik agama yang kamu seru mereka kepadanya. Allah menarik kepada agama itu orang yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada (agama)-Nya orang yang kembali (kepada-Nya)''. Al-Syura ayat 13

Ayat ini menunjukkan bahawa syariah ialah agama atau al-din itu sendiri, iaitu yang merangkumi perkara-perkara dasar, prinsip-prinsip asas, tasawur serta nilai-nilai yang utama yang disyariatkan kepada nabi-nabi.

Manakala pengertian khusus pula ialah hukum yang diperundangkan oleh Allah untuk mengatur kehidupan dalam pelbagai bidang seperti muamalat, munakahat, jenayah dan sebagainya. Ia adalah sebahagian dari kandungan Islam iaitu pembahagian yang diperincikan oleh ulama bahawa Islam itu mengandungi akidah, syariah dan akhlak. Syariah yang dimaksudkan di sini ialah satu aspek dari isi kandungan al-Din Islam, iaitu berkaitan dengan hukum yang mengatur urusan kehidupan dalam semua bidang. Hukum ini adalah berbeza di antara Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam dengan nabi-nabi yang sebelumnya. Ini dijelaskan oleh Allah melalui firman-Nya,

وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ الْكِتَابِ وَمُهَيْمِنًا عَلَيْهِ ۖ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ عَمَّا جَاءَكَ مِنَ الْحَقِّ ۚ لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا ۚ وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَٰكِنْ لِيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ ۖ فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ ۚ إِلَى اللَّهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًا فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ

Maksudnya:''Dan Kami telah turunkan kepadamu Al Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, yaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat diantara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, niscaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlomba-lombalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu''. Al-Maidah ayat 48.

Secara ringkasnya, syariah adalah peraturan hidup yang digaris dan digubal oleh Allah yang disampaikan kepada makhluk-Nya melalui wahyu yang dibawa oleh malaikat Jibril kepada Rasul yang dipilih oleh Allah dari kalangan manusia sendiri. Peraturan yang digubal oleh Allah bukan hanya mengatur hubungan manusia dan Tuhan, malah meliputi semua aspek kehidupan sama ada urusan peribadi, keluarga, masyarakat, negara dan antarabangsa tetapi juga berkaitan dengan makhluk yang lain di dunia ini.

Menjadi tanggungjawab yang besar bagi setiap orang yang beriman untuk memelihara diri mereka daripada segala bentuk kemungkaran dalam kehidupan. Hal ini dapat dilihat dalam sejarah umat yang terdahulu. Allah Subhanahuwata'ala memberikan kelebihan kepada mereka sebagai suatu nikmat yang besar dalam kehidupan. Ada kaum yang dikurniakan kebijaksanaan dalam membuat bangunan. Ada juga yang diberi nikmat kekuatan dan kehebatan dalam peperangan. Malah ada juga yang dikurniakan nikmat rezeki dalam bentuk tanah yang subur untuk bercucuk tanam. Namun, semua umat itu telah dibinasakan oleh Allah Subhanahuwata'ala kerana sikap mereka yang lalai dan melampaui batas. Allah Subhanahuwata'ala menurunkan azab-Nya dengan sekelip mata, sehingga mereka tidak sempat untuk berbuat apa pun. Inilah peringatan yang menjadi garis panduan bagi kita umat pada zaman ini. Azab ini merupakan sebuah peringatan yang besar supaya kita tidak mengikut jejak langkah umat yang terdahulu yang pernah diazab. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah al-Kahfi ayat ke 59,

وَتِلْكَ الْقُرَىٰ أَهْلَكْنَاهُمْ لَمَّا ظَلَمُوا وَجَعَلْنَا لِمَهْلِكِهِمْ مَوْعِدًا

Maksudnya:''Dan (penduduk) negeri telah Kami binasakan ketika mereka berbuat zalim, dan telah Kami tetapkan waktu tertentu bagi kebinasaan mereka.

Pada hari ini, kemaksiatan dan kemungkaran semakin berleluasa dan sebahagian umat Islam sudah tidak merasa malu lagi untuk melakukannya. Kebanyakan kemungkaran yang berlaku pada masa ini seperti mencuri, meragut, berzina, mencabul kehormatan dan bunuh; berpunca daripada penyalahgunaan dadah dan bahan-bahan terlarang atau beracun sebagai cara untuk mengkhayalkan diri. Antara contoh penyalahgunaan bahan terlarang ialah rokok, daun ketum, gam, aerosol, arak dan ubat batuk. Kesan penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang serta beracun ini adalah sama dengan kesan meminum arak kerana ia boleh menimbulkan ketagihan serta menghilangkan kewarasan akal. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah menyebut sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar radiallahu anhu yang berbunyi,

كُلَّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ وَأَنَّ كُلَّ خَمْرٍ حَرَامٌ

Maksudnya: “Setiap yang memabukkan adalah arak dan setiap arak adalah haram''

Riwayat Muslim (2003)

Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam yang diriwayatkan daripada Jabir Ibn Abdillah R.A,

مَا أَسْكَرَ كَثِيرُهُ فَقَلِيلُهُ حَرَامٌ

Maksudnya: “Apa sahaja yang memabukkan sama ada banyak atau sedikit, ia adalah haram''. Riwayat Abu Daud (3681) dan al-Tirmizi (1865)

Ibn Rajab al-Hanbali berkata: Setiap yang memabukkan haram sepertimana sabda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam, adalah merangkumi semua jenis yang mabuk, sama ada yang wujud pada zaman Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam atau yang selepas daripadanya. Lihat Jami' al-'Ulum wa al-Hikam, hlm. 472.

Penagihan dadah tentunya akan memberi kesan mudarat yang cukup besar kepada individu itu sendiri dan keluarga. Maka, syarak tidak akan sesekali membiarkan sesiapa pun dari terhumban dalam kemudaratan seperti sabda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam yang diriwayatkan oleh Yahya al-Mazini, bahawa Baginda Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: Tidak boleh memudaratkan diri dan memudaratkan orang lain''.Riwayat Malik (1435) Ibn Majah (2341)

Selain itu, mereka yang terlibat dengan penagihan dadah ini ternyata telah melanggar syariat Islam yang mengharamkannya penyalahgunaanya. Ibn Hajar al-Haitami menyatakan

وحكى القرافي وهو من أئمة المالكية، وابن تيمية الإجماع على تحريم الحشيش

Maksudnya: ''Dan disebutkan oleh al-Qarafi yang merupakan ulama’ besar mazhab Maliki, dan Ibn Taimiyyah bahawa (telah menjadi) ijma’ untuk pengharaman ganja''. Lihat al-Zawajir (1/213).

Bermula dengan rasa ingin untuk mencuba, kemudian berakhir dengan kehancuran yang tidak pernah terjangka oleh sesiapa. Fikiran yang tenang menjadi kusut, jiwa yang tenteram menjadi serabut, badan yang sihat menjadi susut, keluarga yang harmoni bertukar kelam-kabut, semakin berleluasa jenayah mencuri dan meragut, akhirnya masyarakat yang sedia tenat semakin mereput.

Pada masa kini, trend penyalahgunaan dadah dan bahan telah bertukar daripada dadah berasaskan tumbuhan seperti ganja, heroin dan morfin kepada dadah sintetik seperti syabu, pil kuda, ekstasi dan lain-lain. Bahan dadah sintetik ini juga telah digunakan di dalam flavorvape. Pengambilan dadah jenis sintetik ini boleh mengundang jenayah kejam seperti yang pernah dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia bertarikh 4 Disember 2024. Berita tersebut menyatakan bahawa seorang pemuda berusia 20-an sanggup menikam ibu kandungnya sehingga mati kerana disyaki berang ditegur menghisap vape yang mengandungi dadah.

Hukum penyalahgunaan dadah dan bahan dalam Islam adalah jelas, iaitu haram. Pengharaman ini adalah kerana penyalahgunaan dadah dan bahan boleh mendatangkan kerosakan (mafsadah) yang besar, sama ada kemudaratan kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, mahupun menggugat kestabilan negara. Justeru, umat Islam wajib menghindarkan diri daripada penyalahgunaan dadah yang boleh mendatangkan akibat yang amat dahsyat. Pepatah Arab ada mengatakan,

الوِقَايَةُ خَيْرٌ مِنَ العِلَاجِ

Maksudnya:"Mencegah itu lebih baik daripada mengubati''.

Ketahuilah bahawa penyalahgunaan dadah boleh menyebabkan orang yang melakukannya itu lupa diri, lupa agama dan lupa dunia kerana ia memberi kesan buruk kepada akal, melemahkan fikiran dan kecerdasan, mengakibatkan penyakit urat saraf serta boleh menggangu kesihatan mental dan fizikal. Maka jelas bahawa menyalahgunakan dadah ini adalah perbuatan senghaja mencampakkan diri ke dalam kebinasaan. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam Surah Al-Baqarah ayat 195,

وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya:''Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, karena sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik''.

Penyalahgunaan dadah juga boleh mengakibatkan meningkatnya perlakuan jenayah dalam masyarakat seperti mencuri, merompak, peras ugut, mencederakan orang lain dan membunuh. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa ketagihan dadah boleh membawa kepada masalah mental yang mengakibatkan penagih hilang keseimbangan dan keupayaan untuk berfikir secara normal.

Sebagai umat Islam, kita mempunyai tanggungjawab untuk menjaga diri, keluarga dan masyarakat daripada terjerumus dalam kancah penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang serta beracun ini. Jika kita langsung tidak ambil peduli urusan dalam keluarga dan masyarakat, malah membiarkan kemungkaran ini terus bermaharajalela, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kesan buruknya.

Pada masa yang sama, masyarakat perlu mengubah stigma dan tanggapan yang negatif kepada klien yang sudah pulih sepenuhnya. Sebagai masyarakat yang prihatin dan budiman hendaklah menerima kembali mereka yang telah bertaubat dan tidak menghukum atau membiarkan mereka tanpa bantuan. Oleh yang demikian, mereka perlu diberi peluang untuk membaiki kelemahan diri dan kembali menjadi sebahagian daripada anggota masyarakat. Sikap yang positif daripada masyarakat amat diperlukan bagi memastikan golongan tersebut terus dibimbing dan dihargai.Tanpa adanya dorongan keluarga atau masyarakat, mereka akan rasa terpinggir kerana memang di dalam pemikiran, mereka tidak lagi diterima oleh keluarga apatah lagi masyarakat. Bagi diri si penagih dadah pula, proses pemulihan bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang ringan. Banyak dugaan dan cabaran yang akan dihadapinya disepanjang tempoh pemulihan dalam komuniti seperti pengaruh dan ajakan dari kawan-kawan yang tidak jemu-jemu untuk membawa bergiat kembali dalam penagihan dadah. 

Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam Surah At-Taubah ayat 71,

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ 

الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِي

Maksudnya:''Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana''

Akhirnya sama-samalah kita berdoa agar selamat dan terhindar dari apa juga perkara yang diharamkan oleh Allah Subhanahuwata'ala. Amin Ya Rabbal Alamin.




Wednesday, July 23, 2025

Penuhilah Kewajipan Solatmu Dan Ahli Keluargamu

Penuhilah Kewajipan Solatmu Dan Ahli Keluargamu

Solat merupakan kewajipan yang diperintahkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam, yang diterima langsung daripada Allah Subhanahuwata’ala tanpa melalui perantaraan malaikat untuk disampaikan kepada umatnya. Ini menunjukkan betapa pentingnya solat sebagai medium untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala. Adalah menjadi kewajipan utama dalam kehidupan setiap muslim yang mukallaf iaitu yang baligh dan berakal melaksanakannya. Sebagai umat Islam, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sejarah, bahkan mengingatkan kita tentang kewajipan besar untuk memastikan bahawa solat bukan hanya menjadi amalan kita sendiri tetapi juga amalan yang berterusan dalam keluarga kita, termasuklah anak dan isteri.

Ketahuilah, bahawa solat merupakan perkara yang mula-mula sekali akan diperhitungkan oleh Allah Subhanahuwata’ala pada hari akhirat kelak. Oleh itu, jika seseorang itu melaksanakan solatnya dengan sempurna, maka berbahagia dan beruntunglah dia. Jika sebaliknya, maka akan rugi dan menyesallah dia kelak. Terdapat satu hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A menceritakan bahawa jika baik dan sempurna solat maka baiklah amalan lainnya, sebaliknya jika buruk solatnya maka buruklah amalan lainnya. Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

أَوَّلُ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ الصَّلَاةُ، فَإِنْ صَلَحَتْ صَلَحَ لَهُ سَائِرُ عَمَلِهِ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَسَدَ سَائِرُ عَمَلِهِ

Maksudnya: ''Sesungguhnya amalan yang mula dihisab atas seseorang hamba pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya baik solatnya maka baik segala amalannya, sekiranya buruk solatnya maka buruk segala amalannya''. Riwayat al-Thabrani (1859)

Dalam riwayat yang lain, terdapat hadith menceritakan tentang perkara ini yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلاَتُهُ فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ فَإِنِ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيضَتِهِ شَيْءٌ قَالَ الرَّبُّ عَزَّ وَجَلَّ انْظُرُوا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ فَيُكَمَّلَ بِهَا مَا انْتَقَصَ مِنَ الْفَرِيضَةِ ثُمَّ يَكُونُ سَائِرُ عَمَلِهِ عَلَى ذَلِكَ

Maksudnya: Sesungguhnya amalan pertama yang dihisab seseorang hamba pada hari kiamat adalah daripada amalan solatnya. Jika baik solatnya maka berbahagia dan berjayalah ia. Jika buruk solatnya maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya solat fardunya tidak sempurna, maka tuhan ‘Azza wa Jalla berfirman: Periksalah, adakah hamba-Ku ini menunaikan solat-solat sunat untuk menampung kekurangan solat fardunya itu. Kemudian dihitung seperti ini jua pada amalan-amalan yang lain''.Riwayat al-Tirmizi (413)

Imam Munawi dalam menjelaskan hadith di atas menyatakan bahawa (صلح له سائر عمله) memberi maksud bahawa jika amalan solatnya sempurna dan diterima oleh Allah, maka Allah akan mempermudahkan proses perhitungan dan pemeriksaan amalan-amalan yang lain. Begitu juga maksud (فسد سائر عمله) iaitu amalan-amalan yang selain solat akan rosak jika solat tidak sempurna dan tidak diterima yang mana membawa maksud Allah akan menyempitkan proses penilaian amalan-amalan yang lain selain solat lima waktu. Lihat Faid al-Qadir Syarh al-Jami’e al-Saghir, (Mesir: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 1356H) 3/87

Hal ini menjelaskan bahawa peri pentingnya ibadah solat sehingga Allah Subhanhuwata'ala mengancam dengan azab yang sangat berat. Imam al-Ghazali menukilkan hadith Nabi Sallallahu'alaihiwasallam sabdanya, mereka yang meninggalkan solat maka Allah Subhanhuwata'ala sahaja yang akan menentukan nasib mereka, sama ada diberi ganjaran syurga atau balasan api neraka. Lihat Ihya’ ‘Ulum al-Din (Beirut: Dar Ma’rifah) 1/146

Meninggalkan solat sama ada dengan sengaja atau tidak merupakan satu dosa yang sangat besar dan diberi amaran dengan ancaman yang berat di sisi syarak bahkan mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja dan mengingkari kewajipannya, para ulama bersepakat bahawa mereka itu terkeluar daripada agama Islam dan dihukum sebagai kafir. Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy, 1392) 2/70

Selain itu, sekiranya meninggalkannya kerana malas tetapi tidak mengingkari kewajipannya, maka para ulama berbeza pandangan berkenaan dengannya. Menurut mazhab Maliki dan al-Syafi’i serta jumhur para salaf berpandangan tidak dihukum kafir akan tetapi fasik dan wajib bertaubat. Sekiranya enggan bertaubat setelah diberi peluang maka hendaklah dijatuhkan hukuman hudud iaitu hukuman bunuh.

Meninggalkan solat merupakan perkara yang sangat berat dalam Islam. Ini kerana solat merupakan salah satu rukun Islam dan menjadi kewajipan bagi setiap individu muslim. Begitu juga solat sebagai tanda keimanan dan ketakwaan seseorang hamba kepada Allah Subhanhuwata'ala. Dengan meninggalkannya akan mengundang kemurkaan dan azab daripada Allah Subhanhuwata'ala. Menurut pandangan mazhab al-Syafi’i, individu yang meninggalkan solat kerana malas pada masa yang sama tidak mengingkari kewajipannya maka ia dikategorikan sebagai fasik dan hendaklah bertaubat serta menggantikannya.

Namun dari segi ganjaran amalan baik yang lain, Allah Subhanhuwata'ala akan mengambil kira amalan tersebut walaupun sebesar mana sekali pun, sama ada baik atau buruk. Hal ini berdasarkan firman Allah Subhanhuwata'ala,

فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ. وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ

Maksudnya: ''Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (7) Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (8)''. Al-Zalzalah ayat 7-8.

Walaubagaimana pun, sememangnya ada sebahagian ulama yang menyatakan bahawa orang meninggalkan seluruh solat fardu dengan sengaja, maka amalan-amalan soleh yang lain tidak diterima oleh Allah.

Solat merupakan tiang agama yang menjadi kewajipan paling utama bagi setiap muslim. Namun, sebagai ketua keluarga adakah kita telah melaksanakan peranan dalam memimpin dan mengawasi ibadah solat ahli keluarga kita? Firman Allah Subhanahuwata’ala dalam Surah At-Tahrim ayat 6,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Maksudnya:''Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan''.

Allah Subhanahuwata’ala mengingatkan kita untuk menjaga diri dan keluarga agar terhindar daripada azab neraka. Ini termasuklah memastikan setiap ahli keluarga kita, terutamanya anak dan isteri, tidak meninggalkan solat dan terus berpegang teguh pada ajaran Islam. Firman Allah Subhanahuwata'ala,

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا قُوْٓا اَنْفُسَكُمْ وَاَهْلِيْكُمْ نَارًا وَّقُوْدُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلٰۤىِٕكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُوْنَ اللّٰهَ مَآ اَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُوْنَ مَا يُؤْمَرُوْنَ 

Maksudnya:''Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu. Penjaganya adalah malaikat-malaikat yang kasar dan keras. Mereka tidak durhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepadanya dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan''.Al- Tahrim Ayat 6

Rasulullah Sallallahu'alaihiwasalam bersabda,

عَنْ نَافِعٍ عَنِ ابْنِ عُمَرَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ أَلَا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِه

Maksudnya:''Daripada Ibnu Umar, daripada Nabi Sallallahu'alaihiwasalam, beliau bersabda: “Ketahuilah Setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpin. Seorang raja adalah pemimpin bagi rakyatnya, dan dia akan diminta pertanggungjawaban terhadap yang dipimpin. Seorang suami adalah pemimpin bagi anggota keluarganya, dan ia akan diminta pertanggungjawaban terhadap mereka. Seorang isteri adalah pemimpin bagi rumah tangga,suami dan anak-anaknya, dan akan diminta pertanggungjawaban terhadap yang dipimpinnya. Seorang hamba adalah pemimpin bagi harta tuannya, dan dia juga akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpinnya. Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan diminta pertanggungjawaban atas apa yang kamu pimpin''. Riwayat Muslim (3408)

Suami yang bertanggungjawab, hendaklah memberi perhatian dan galakan serta bimbingan kepada anak dan isteri agar mereka tidak terlepas daripada kewajiban solat. Solat bukan hanya menjaga hubungan kita dengan Allah, tetapi ia juga memberi kesan positif kepada keharmonian, keberkatan, kemesraan dan ketenangan sesebuah keluarga. Berikanlah mereka peringatan, motivasi dan dorongan agar solat menjadi kebiasaan dalam kehidupan mereka. Semoga Allah Subhanahuwata’ala memberi taufik dan hidayah kepada kita semua dalam mendidik keluarga kita ke jalan yang benar. Berdoalah kepada Allah subhanahu wata’ala sebagaimana doa Nabi Ibrahim alahissalam agar tetap mendirikan solat untuk diri dan keturunan sebagaimana firman Allah Subhanahuwata’ala dalam surah Ibrahim ayat 40,

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya":Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku''.

Suami atau ayah hendaklah memastikan isterinya menunaikan fardu solat kerana merekalah yang berperanan dalam mendidik anak-anak dalam melaksanakan kewajiban ini. Meninggalkan solat fardu lima waktu dengan sengaja adalah haram dan berdosa besar. Allah subhanahu wata’ala telah menjanjikan neraka Saqar bagi mereka yang meninggalkan solat. Firman Allah Subhanahu wata’ala dalam Surah al-Muddathir ayat 42 dan 43,

مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ. قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ

Maksudnya:''Apakah yang memasukkan kamu ke dalam Saqar (neraka)?". Mereka menjawab: "Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan solat''.

Sayangilah anak dan keturunan kita supaya mereka tidak mencuaikan solat serta tidak menurut hawa nafsu (melakukan maksiat) agar mereka selamat dari azab neraka. Firman Allah Subhanahuwata’ala dalam Surah Maryam ayat 59,

فَخَلَفَ مِنْ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ ۖ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا

Maksudnya:''Maka datanglah sesudah mereka, pengganti (yang jelek) yang menyia-nyiakan solat dan memperturutkan hawa nafsunya, maka mereka kelak akan menemui kesesatan''.

Sesungguhnya, kesan meninggalkan solat dapat membawa kerosakan kepada umat itu sendiri. Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam ketika hampir wafat turut memberi wasiat penting agar menjaga solat. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah RA,

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ قَالَتْ كَانَ مِنْ آخِرِ وَصِيَّةِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الصَّلَاةَ الصَّلَاةَ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ حَتَّى جَعَلَ نَبِيُّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُلَجْلِجُهَا فِي صَدْرِهِ وَمَا يَفِيصُ بِهَا لِسَانُهُ

Maksudnya:''Diriwayatkan dari Ummu Salamah RA, dia berkata: "Wasiat terakhir Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam adalah 'Jagalah solat, jagalah solat, dan apa yang ada di tangan kananmu (budak atau harta benda).' Nabi Sallallahu'alaihiwasallam sampai mengulang-ulangnya di dalam dada, tetapi lisan beliau tidak mampu menyampaikannya secara jelas''. Riwayat Ahmad(26483, 26684)

Hendaklah kita mengambil peringatan ini dengan sebenar-benarnya. Setiap keluarga perlu berperanan membentuk umat yang bertakwa dengan memelihara agama dalam lingkungannya. Bersama-samalah dengan isteri kita memantau anak-anak menerusi solat mereka dan kemudian bertawakkallah kepada Allah Subhanahuwata’ala. Solat yang baik pasti akan mencegah seseorang dari melakukan mungkar. Jika solat tidak mencegahnya, maka perhatikanlah kualiti solatnya. Jika ianya dilakukan dengan ikhlas dan khusyu’ serta terpelihara dari riya’, mampu menghalang seseorang dari perkara mungkar. Solat dapat menjadi satu benteng yang menghalang seseorang itu daripada melakukan kemungkaran dan kemaksiatan, sebagaimana firman Allah Subhanahuwata''ala,

إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar''. Al-‘Ankabut Ayat 45

Semoga dengan menjaga solat, Allah Subhanahuwata’ala memelihara anak-anak kita dari terjebak dalam pelbagai masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah, meminum arak, pergi ke kelab-kelab malam, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, berzina dan sebagainya. Lakukan solat kerana kecintaan kita kepada Allah Subhanahuwata’ala. Justeru, inilah merupakan kunci utama penyelesaian kepada setiap masalah bagi mencapai keluarga sakinah (tenang) dan mawaddah (kasih sayang). Solat membentuk disiplin diri, hati akan menjadi tenang, mendapat keredaan dan keampunan Allah serta membuka pintu rezeki.Jagalah hak Allah, pasti Allah akan menjaga kita. Daripada Ibnu Abbas radhiallahu anhu, beliau berkata: Pada suatu hari aku pernah menunggang kenderaan di belakang Nabi Sallallahu'alaihiwasallam. Baginda bersabda,

 عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ كُنْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا فَقَالَ يَا غُلَامُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ رُفِعَتْ الْأَقْلَامُ وَجَفَّتْ الصُّحُفُ قَالَ هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ

Maksudnya:''Dari Ibnu Abbas, ia berkata: "Pada suatu hari aku pernah berada di belakang Rasulullah ﷺ, kemudian beliau bersabda, 'Hai Anak, aku akan mengajarimu beberapa kalimat; jagalah Allah, nescaya Dia akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya engkau akan menemui-Nya di hadapanmu. Bila engkau ingin meminta, mintalah kepada Allah, dan bila engkau ingin meminta pertolongan, mintalah kepada Allah. Ketahuilah, bahwa seandainya bila ada suatu umat yang bersatu untuk memberimu manfaat, niscaya mereka tidak akan mampu memberimu manfaat apa pun selain apa yang telah Allah takdirkan untukmu. Dan seandainya bila mereka bersatu untuk membahayakanmu, mereka tidak akan mampu membahayakanmu sama sekali kecuali apa yang telah Allah takdirkan untukmu. Pena-pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering (takdir telah ditetapkan -pent)''.Abu Isa berkata: Hadis ini hasan sahih.(2516)



Wednesday, July 16, 2025

Hubungan adik-beradik

Hubungan adik-beradik

Perbicaraan mengenai kaum kerabat dan kewajipan saling bertanggungjawab sesama mereka, ini diutamakan kepada adik-beradik kerana merekalah puncak kerabat vang paling hampir dan terpenting. Di dalam sesuatu masyarakat, seseorang itu dapat melihat apa yang boleh dianggap sebagai suatu tragedi pahit di dalam hubungan adik-beradik antara satu sama lain. Adik-beradik yang lahir dari satu benih, sama-sama dibesarkan di dalam sebuah rumah, yang makan bersama-sama dan kadang-kadang pula bertukar-tukar pakaian dan tempat tidur, sesudah kematian si bapa, anda lihat mereka sentiasa berada di gelanggang pertelagahan tiada henti-hentinya. Biasanya hal-hal dunia itulah yang menjadi sebab-musabbab perselisihan tersebut, sehinggakan perselisihan-perselisihan di antara saudara-saudara itu kebanyakannya ada hubungkait dengan pesaka dan harta kekayaan. Inilah satu daripada penyakit-penyakit kekayaan. Pertelagahan ini berjalan terus hingga tiba ke peringkat yang menjadikan rasa cinta sesama saudara itu suatu perkara yang tiada boleh berlaku lagi. Dan kalau pun sesiapa yang menunjukkan sikap kasih sayang kepada saudaranya, samada lelaki ataupun perempuan, maka itu akan dijadikan suatu tauladan kasih sayang dan saling mengerti. 

Hubungan adik-beradik dalam Islam sangat penting dan ditekankan, digambarkan sebagai hubungan yang akrab dan tidak mudah dipisahkan. Islam menggalakkan umatnya untuk menjaga hubungan silaturahim sesama adik-beradik, termasuklah dengan memberi sokongan, kasih sayang, dan saling membantu. Walaupun mungkin berlaku perselisihan, Islam mengajar untuk saling memaafkan dan mengutamakan keharmonian keluarga. Terdapat sebuah hadith yang menceritakan hukuman bagi orang yang bertengkar atau tidak bertegur dalam tempoh yang lama iaitu daripada Abi Khirash al-Sulami bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

مَنْ هَجَرَ أَخَاهُ سَنَةً فَهُوَ كَسَفْكِ دَمِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang tidak bertegur saudaranya selama setahun sama seperti dia telah menumpahkan darahnya''. Riwayat Abu Daud (4915),Syeikh Syu’aib al-Arna’outh telah menilai sanad hadith ini sebagai sahih.

Dimaksudkan dengan saudara di dalam hadith di atas adalah saudara seagama selama satu tahun maka ia seperti mengalirkan darahnya dalam hal bertambahnya dosa dan bukan pada kadarnya. Lihat: Aun al-Ma’bud, 13/176.

Orang yang memutuskan pertalian persaudaraan tidak akan masuk syurga berdasarkan kepada sebuah hadith yang sahih,Daripada Jubair bin Mut’im RA bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

لاَ يَدْخُلُ الجَنَّةَ قَاطِعٌ

Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan (silaturrahim)''. Riwayat al-Bukhari (5984).

Daripada Abu Ayyub al-Ansari RA bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ

Maksudnya: “Tidak halal bagi seorang muslim untuk tidak bertegur saudaranya melebihi tiga hari''. Riwayat Muslim (2560)

Ya Allah! Bagaimana boleh perkara-perkara dunia itu mempengaruhi dan memisahkan seorang manusia dari orang yang paling hampir kepadanya serta melemahkan atau memutuskan ikatan tali persaudaraan yang kukuh itu?

Pengkajian terhadap al-Quran al-Karim menunjukkan bahawa ikatan persaudaraan itu adalah setinggi-tinggi darjat ikatan. Tiap-tiap hubungan yang baik itu disifatkan dengan persaudaraan. Tiap-tiap orang yang berkasih sayang itu dimisalkan sebagai orang yang bersaudara. Marilah kita baca bersama-sama firman Allah Subhanahuwata'ala berikut,

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا

Maksudnya:''Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara...''. Ali-Imran ayat 103

وَنَزَعْنَا مَا فِي صُدُورِهِمْ مِنْ غِلٍّ إِخْوَانًا عَلَىٰ سُرُرٍ مُتَقَابِلِينَ

Maksudnya:''Dan Kami lenyapkan segala rasa dendam yang berada dalam hati mereka, sedang mereka merasa bersaudara duduk berhadap-hadapan di atas ranjang''. Al-Hijr ayat 47

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya:''Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat''. Al-Hujurat ayat 10

Ayat-ayat penjelas ini terang menunjukkan bahawa saudara-saudara itu mestilah begitu keadaannya, kemesraan mengikat jiwa mereka, hati mereka kosong daripada rasa dengki serta mereka dipadukan oleh ikatan paling tinggi. 

Allah Subhanahuwata'ala berfirman,

وَالَّذِينَ آمَنُوا مِن بَعْدُ وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا مَعَكُمْ فَأُولَـٰئِكَ مِنكُمْ ۚ وَأُولُو الْأَرْحَامِ بَعْضُهُمْ أَوْلَىٰ بِبَعْضٍ فِي كِتَابِ اللَّـهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Maksudnya: ''Dan orang-orang yang beriman sesudah itu, kemudian mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu, maka adalah mereka dari golongan kamu. Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang (lain) menurut (hukum) Kitab Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu''. Al-Anfal ayat 75

Ibn Kathir berkata: Bukanlah yang dimaksudkan dengan firman Allah Subhanahuwata'ala: “وَأُولُو الْأَرْحَامِ” (orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat) dengan bersifat khusus sepertimana yang dikemukakan oleh para ulama' ahli ilmu faraidh, iaitu kaum kerabat yang tidak hanya mempunyai hak pewarisan secara fardhu dan juga asobah, tetapi semua pewaris seperti ibu saudara dan bapa saudara dari sebelah ibu, ibu saudara dari sebelah ayah, anak lelaki daripada anak perempuan (cucu), anak lelaki daripada saudara perempuan (anak saudara) dan lain-lain sebagaimana yang diakui oleh sebahagian mereka dengan menggunakan dalil ayat al-Quran, bahkan mereka meyakini hal itu dengan jelas. Namun, yang benar adalah bahawa ayat tersebut bersifat umum yang merangkumi seluruh kerabat seperti yang ditegaskan oleh Ibn Abbas, Mujahid, Ikrimah, al-Hasan al-Basri, Qatadah dan ulama yang lain. Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, (2/302)

Allah Subhanahuwata'ala juga berfirman,

وَالَّذِينَ يَصِلُونَ مَا أَمَرَ اللَّـهُ بِهِ أَن يُوصَلَ وَيَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ وَيَخَافُونَ سُوءَ الْحِسَابِ

Maksudnya: ''Dan orang-orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, dan yang menaruh bimbang akan kemurkaan Tuhan mereka, serta takut kepada kesukaran yang akan dihadapi semasa soaljawab dan hitungan amal (pada hari kiamat)''. Al-Ra’d ayat 21

 Perkataan silaturrahim (صلة الرحم) berasal daripada dua perkataan Arab iaitu “صلة” dan “الرحم”. Al-Raghib al-Asfahani menyebut:

الرَّحِمُ: رَحِمُ المرأة (أي بيت منبت ولدها ووعاؤه) . ومنه استعير الرَّحِمُ للقرابة، لكونهم خارجين من رحم واحدة

Maksudnya:''Al-Rahim yang dimaksudkan adalah rahim wanita iaitu tempat di mana janin berkembang dan terlindung (dalam perut wanita). Dan istilah al-rahim digunakan untuk menyebut kaum kerabat kerana mereka berasal dari satu rahim''. Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 347.

Antara hadith yang menyebut berkenaan menyambung silaturrahim, sepertimana sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya: ''Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim''. Riwayat al-Bukhari (5986) dan Muslim (2557)

Imam Nawawi dalam menjelaskan hadith ini berkata: Yang dimaksudkan dengan ‘أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ’ adalah diluaskan dan dijadikan banyak hartanya. Menurut pendapat yang lain, maksudnya diberi keberkatan harta. Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, (16/114)

Manakala dalam hadith daripada Abu Ayyub al-Ansari R.A, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah ditanya berkenaan amalan yang dapat memasukkan ke dalam syurga, lalu Baginda Sallallahu'alaihiwasallam menjawab,

تَعْبُدُ اللَّهَ لاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا ، وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ ، وَتُؤْتِى الزَّكَاةَ ، وَتَصِلُ الرَّحِمَ

Maksudnya: ''Sembahlah Allah dan jangan melakukan syirik pada-Nya, dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan jalinlah tali silaturrahim''.Riwayat al-Bukhari (5983)

Imam Nawawi menyebut: “Adapun maksud silaturrahim, ia adalah berbuat baik kepada kaum kerabat sesuai dengan keadaan orang yang hendak menghubungkan dan keadaan orang yang hendak dihubungkan. Terkadang dalam bentuk kebaikan dengan harta, terkadang dengan memberi bantuan tenaga, terkadang dengan mengunjunginya, dengan memberi salam, dan sebagainya''. Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, (1/287)

Di dalam al-Quran al-Karim juga terdapat ayat-ayat lain yang menunjukkan bahawa penyingkiran seorang saudara atau permusuhan ke atasnya adalah suatu dosa dan kehinaan yang amat buruk. Pemulauan ke atasnya hanya berlaku pada hari perhitungan kelak (Qiamat) ketika tiap-tiap seorang terikat dengan amalannya dan tiada mengindahkan orang lain. Bacalah firman Allah Subhanahuwata'ala,

أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ

Maksudnya:''...Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya...''. Al-Hujurat ayat 12

يَوْمَ يَفِرُّ الْمَرْءُ مِنْ أَخِيهِ. وَأُمِّهِ وَأَبِيهِ. وَصَاحِبَتِهِ وَبَنِيهِ. لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ يَوْمَئِذٍ شَأْنٌ يُغْنِيهِ

Maksudnya:''Pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, dari ibu dan bapaknya, dari istri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya''. ' Abasa ayat 34-37

Hak seorang saudara terhadap saudaranya meliputi segi-segi kebendaan dan moral, hak memberi bantuan hartabenda ketika dihajatkan kepada hartabenda dan memberi nasihat yang baik ketika dihajatkan kepada nasihat, serta memberikan pertolongan ketikan dia dimusuhi. Harus semua pengertian ini ada terkandung didalam hadith yang mulia berbunyi,

Dari Anas radhiyallahu ‘anhu, ia berkata bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا

Maksudnya:''Tolonglah saudaramu yang berbuat zalim dan yang dizalimi.”

فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنْصُرُهُ إِذَا كَانَ مَظْلُومًا ، أَفَرَأَيْتَ إِذَا كَانَ ظَالِمًا كَيْفَ أَنْصُرُهُ قَالَ « تَحْجُزُهُ أَوْ تَمْنَعُهُ مِنَ الظُّلْمِ ، فَإِنَّ ذَلِكَ نَصْرُهُ 

Maksudnya:''Kemudian ada seseorang bertanya tentang bagaimana cara menolong orang yang berbuat zalim?. Beliau menjawab, “Kamu cegah dia dari berbuat zalim, maka sesungguhnya engkau telah menolongnya''. Riwayat Bukhari (6952), Muslim (2584)

Di sana ada suatu Hadith lain yang mengangkat hubungan diantara dua orang saudara itu hingga ke darjat kasih sayang yang bukan hanya terbatas kepada bantuan material dan moral. Daripada Anas bin Malik Ra, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, 

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ، حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Maksudnya: “Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri''. Riwayat al-Bukhari (13).

Setengah-setengah para penyelidik berpendapat bahawa maksud hadith ini ialah saudara di dalam Islam, bukan saudara dalam nasab keturunan saja. Berdasar kepada ini, maka saudara sedarah dan seagama itu adalah lebih utama dan lebih mustahak.

Dalam sebuah hadith Nabi Sallallahu'alaihiwasallam ketika Baginda sampai ke kota Madinah dengan bersabda,

أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشوا السَّلامَ، وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ، وصلوا الأرحام وَصَلُّوا باللَّيْل وَالنَّاسُ نِيامٌ، تَدخُلُوا الجَنَّةَ بِسَلامٍ

Maksudnya: ''Hai orang ramai. Sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturrahim dan solatlah di waktu malam ketika mana manusia sedang tidur, nescaya kamu dapat masuk Syurga dengan sejahtera dan selamat''. Riwayat Ibnu Majah (3251)

Sekiranya benar terdapat banyak saudara-saudara yang memusuhi saudaranya yang lain semata-mata kerana mahu mendapatkan bahagian hartabenda yang lebih besar bagi anak-anak mereka, maka dibisikkan di telinga orang-orang ini bahawa anak-anak mereka juga akan menjadi saudara, satu dengan yang lain dan mereka ini tidak mustahil pula akan mewarisi sifat-sifat bapa mereka ini, bererti pada suatu hari kelak tiap-tiap seorangnya nanti akan menentang saudaranya sebagaimana sikap bapa mereka pada suatu masa dahulu. Biarlah kita menjadi contoh yang baik kepada anak-anak kita, agar mereka layak memegang gelaran yang ditunjuk oleh tabi'at semulajadi manusia; iaitu gelaran persaudaraan dan supaya hubungan baik di antara seorang saudara dan saudaranya melebihi segala rupa benda dan melebihi segala kekayaan. 



Wednesday, July 9, 2025

Keteguhan Iman

Keteguhan Iman

Dari segi bahasa, iman berarti "percaya" atau "membenarkan". Iman bermaksud kepercayaan atau keyakinan yang teguh terhadap Allah dan ajaran-ajaran agama Islam. Dalam konteks agama Islam, iman mencakup kepercayaan dengan hati, pengakuan dengan lisan, dan perbuatan dengan anggota badan. 

إِقْرَارٌ بِاللِّسَان ِ،وتَصْدِيْقٌ بِاْلقَلْبِ، وَعَمَلٌ بِاْلأَرْكَانِ.

Maksudnya:''Mengikrarkan dengan lisan, membenarkan dengan hati, dan mengamalkan dengan anggota badan".

Keteguhan iman merujuk kepada kekuatan keyakinan dan kepercayaan yang mendalam terhadap Allah Subhanahuwata'ala dan ajaran agama Islam. Ia adalah cahaya yang menerangi jalan hidup seseorang, memberikan kekuatan dalam menghadapi ujian dan tantangan.

Keteguhan Iman bukanlah dicerminkan melalui bentuk amalan tertentu, ataupun dengan berpeluk tubuh dan bergantung harapan atau berdoa sahaja. Sebenarnya, ia melahirkan sikap pengorbanan dan disiplin dalam diri agar kita sentiasa mencari huraian serta mengukir kejayaan di dunia ini lagi dan di akhirat kelak.Sehingga tercermin dalam perilaku dan tindakan sehari-hari, seperti berpegang teguh pada ajaran agama, beribadah dengan khusyuk dan berakhlak mulia

Daya tahan keimanan ini mempunyai tiga ciri penting:

Ciri pertama; ialah ujian dijadikan peluang untuk kita menjadi seorang insan dan mukmin yang lebih baik. Ia peluang untuk kita melatih diri bagaimana mencari huraian yang terbaik dan kreatif. Ujian adalah peluang untuk kita menggilap potensi yang sebenarnya ada pada diri kita. Sebagai contoh, kita mungkin pernah mendengar kisah mereka yang hilang pekerjaan kerana sesuatu sebab tertentu. Disebabkan desakan keperluan untuk mencari rezeki, mereka mula berniaga kecil-kecilan, dan kerana didorong semangat ingin maju, mereka mencari jalan kreatif untuk melariskan barangan atau khidmatnya sehinggalah akhirnya perniagaannya mula berhasil. Cuba kita renungkan, walaupun hilangnya pekerjaan itu biasanya adalah satu musibah, namun ada yang dapat meraih kebaikan dan membangun potensi diri sebagai impak daripadanya. Ujian boleh melahirkan kebaikan, jika bersikap positif dan mempunyai daya tahan yang kuat. Dan ingatlah bahawa Allah Subhanahuwata'ala tidak akan menguji kita kecuali Allah Subhanahuwata'ala tahu kita mempunyai potensi bagi mengatasinya. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah al-Baqarah ayat 286,

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنْتَ مَوْلَانَا فَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya:''Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir''. Al-Baqarah ayat 286

Ciri kedua; adalah orang yang beriman akan selalu memberikan yang terbaik dalam apa jua bidang kehidupan. Apakah sebabnya? Jiwa yang beriman dengan pembalasan Tuhan sedar bahawa segala yang dilakukannya adalah satu bentuk ibadah. Sama ada pelajaran, pekerjaan, kehidupan berkeluarga mahupun sebagai jiran tetangga, seorang Mukmin akan hanya memberikan yang terbaik mungkin. Itulah maksud daripada perkataan “wasata” (الوسط) dalam Surah al-Baqarah ayat 143,

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا ۗ وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنْتَ عَلَيْهَا إِلَّا لِنَعْلَمَ مَنْ يَتَّبِعُ الرَّسُولَ مِمَّنْ يَنْقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ ۚ وَإِنْ كَانَتْ لَكَبِيرَةً إِلَّا عَلَى الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ ۗ وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَانَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَحِيمٌ

Maksudnya:''Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. Dan Kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu (sekarang) melainkan agar Kami mengetahui (supaya nyata) siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang membelot. Dan sungguh (pemindahan kiblat) itu terasa amat berat, kecuali bagi orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah; dan Allah tidak akan menyia-nyiakan imanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia''. Al-Baqarah ayat 143

Ibnu Katsir menjelaskan bahawa al-wasath (الوسط) dalam ayat ini ertinya pilihan dan yang terbaik. Allah menjadikan umat Islam sebagai umat terbaik. Allah telah mengkhususkannya dengan syariat yang paling sempurna, tuntunan paling lurus, dan jalan yang paling jelas. Sebagaimana firman Allah dalam Surat Al-Hajj ayat 78.

وَجَاهِدُوا فِي اللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِ ۚ هُوَ اجْتَبَاكُمْ وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ ۚ مِلَّةَ أَبِيكُمْ إِبْرَاهِيمَ ۚ هُوَ سَمَّاكُمُ الْمُسْلِمِينَ مِنْ قَبْلُ وَفِي هَٰذَا لِيَكُونَ الرَّسُولُ شَهِيدًا عَلَيْكُمْ وَتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ ۚ فَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَاعْتَصِمُوا بِاللَّهِ هُوَ مَوْلَاكُمْ ۖ فَنِعْمَ الْمَوْلَىٰ وَنِعْمَ النَّصِيرُ

Maksudnya:''Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah Pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong''. Al-Hajj ayat 78

Menurut tafsiran ini perkataan ”الوسط” bererti cemerlang dan terbaik. Ini bererti bahawa Allah Subhanahuwata'ala tidak menghendaki kita untuk menjadi masyarakat yang merasa cukup dengan sekadarnya, atau boleh diistilah sebagai masyarakat “ala kadar”. Allah Subhanahuwata'ala menghendaki bagi kita untuk menjadi masyarakat beriman yang kukuh dan cemerlang dari semua sudut: kerohanian, ekonomi, sosial dan intelektual. Maka, tanggungjawab kita adalah terus mempertingkatkan potensi diri pada setiap ketika. Jangan pernah merasa selesa mahupun cukup dengan kemahiran dan ilmu yang ada. Peningkatan ini ke arah kebaikan adalah ibadah. Ia adalah usaha suci. Tanamkan azam bahawa dengan kemahiran yang baru bukan sahaja kita akan memanfaatkan diri tetapi keluarga dan masyarakat.

Erti lain al-wasath (الوسط) menurut Ibnu Katsir adalah adil. Umat Islam adalah umat yang adil sehingga Allah menjadikan mereka saksi atas umat-umat terdahulu. Sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam,

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُدْعَى نُوحٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيَقُولُ لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ يَا رَبِّ فَيَقُولُ هَلْ بَلَّغْتَ فَيَقُولُ نَعَمْ فَيُقَالُ لِأُمَّتِهِ هَلْ بَلَّغَكُمْ فَيَقُولُونَ مَا أَتَانَا مِنْ نَذِيرٍ فَيَقُولُ مَنْ يَشْهَدُ لَكَ فَيَقُولُ مُحَمَّدٌ وَأُمَّتُهُ فَتَشْهَدُونَ أَنَّهُ قَدْ بَلَّغَ { وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا } فَذَلِكَ قَوْلُهُ جَلَّ ذِكْرُهُ { وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا } وَالْوَسَطُ الْعَدْلُ

Maksudnya:''Dari Abu Sa'id Al Khudri berkata, Rasulullah ﷺ pernah bersabda, "Pada hari kiamat, Nuh akan dipanggil (Allah) dan ia akan menjawab, 'لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ, wahai Tuhanku!' lalu Allah bertanya: 'Apakah telah kau sampaikan pesan Kami?' Nuh menjawab, 'Ya.' Kemudian Allah akan bertanya kepada bangsa (umat) Nuh: 'Apakah ia telah menyampaikan pesan kami kepadamu sekalian?' Mereka akan berkata, 'Tidak ada yang memberikan peringatan kepada kami.' Maka Allah bertanya: 'Siapa yang menjadi saksimu?' Nuh menjawab, 'Muhammad ﷺ dan para pengikutnya.' Maka mereka (umat muslim) akan bersaksi bahwa Nuh telah menyampaikan pesan (Allah). Kemudian Rasul (Muhammad ﷺ) akan menjadi saksi untukmu sekalian dan itulah maksud dari firman Allah: 'Demikianlah kami jadikan kalian sebagai umat yang adil supaya kamu menjadi saksi atas manusia. Dan Rasul menjadi saksi atas kalian." (QS. Al-Baqarah (2): 143). Al-Bukhari (4127)

Ciri ketiga; orang yang beriman adalah mereka sering bermuhasabah dan berfikir dan tidak hanya menerima sesuatu tanpa penilaian. Daya tahan keimanan juga bermakna kita menyibukkan diri dengan perkara yang bermanfaat, yang membawa kebaikan dan kesejahteraan, dan menjaga kebajikan diri dan masyarakat. Dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi dewasa ini, kita menjadi lebih terdedah kepada pelbagai pengaruh sama ada yang baik ataupun sebaliknya. Hampir setiap kita memiliki alat yang menyampaikan jutaan maklumat, alat yang begitu hebat kuasanya dan begitu mudah digunakan, tetapi boleh memusnahkan umat dan masyarakat jika dimiliki oleh jiwa yang lemah daya tahannya. Jiwa yang mudah termakan dengan diayah serta agenda pihak-pihak yang ingin perpecahan dan kemusnahan. Berita atau sebarang maklumat yang diterima seharusnya diteliti dan dipastikan dahulu kebenarannya dan ketepatan informasi bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti menfitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebenciaan. Justeru, kita telah diingatkan Allah Subhanahuwata'ala di dalam surah al-Hujurat ayat 6,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya:''Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu''. Al-Hujurat ayat 6

Ibn Kathir berkata: Allah memerintahkan agar kita benar-benar menyemak berita dari orang fasik dengan berwaspada seupaya tidak berlaku sebarang pendustaan dan kekeliruan. Kebanyakan ahli tafsir menyebut turunnya ayat ini kepada al-Walid bin ‘Uqbah bin Abi Mu’it ketika menjadi utusan Rasulullah untuk memungut zakat daripada Bani Mustaliq. Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim. Muassasah al-Rayyan (4/264).

Imam al-Syaukani berkata: yang dimaksudkan dengan tabayyun adalah memeriksa dengan teliti dan  yang dimaksudkan dengan tasabbut adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan khabar yang datang, hingga menjadi jelas dan terang baginya. 

Adab atau sikap yang terkait dengan tabayyun agar tidak terjerumus dalam kancah fitnah termasuk juga mengelakkan daripada mendengar atau membaca berita yang membahaskan keaiban dan membahayakan pemikiran.

Sebab itulah dalam Surah al-Hujurat juga, prinsip tabayyun diseiringkan dengan ayat yang menuntut umat bersangka baik dan tidak mudah menjatuhkan hukum atau kesimpulan sebagaimana yang disebut ayat 12 dalam surah yang sama,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ

Maksudnya:Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan purba-sangka (kecurigaan), karena sebagian dari purba-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang''. Al-Hujurat ayat 12

Demikianlah akhlak dan prinsip al-Quran mengajar untuk sentiasa bersangka baik dan tidak gopoh dalam membuat kesimpulan akan sesuatu perkhabaran. Kegagalan mengamalkan tabayyun akan menatijahkan musibah kepada diri dan ummah sehingga membawa kepada penyesalan diri yang teramat di dunia dan akhirat. 

Dalam berhadapan dengan zaman fitnah dengan bantuan teknologi maklumat begitu canggih masa kini, umat seharusnya lebih berhati-hati dan mengamalkan prinsip tabayyun sebelum menyebarkan mahupun berkongsi satu-satu berita.     

Di samping itu juga, pemberitaan atau perkhabaran yang mudah diterima pada hari ini melalui Facebook, emel, twitter, surat khabar, majalah atau sebagainya tidak pasti akan ketepatan dan kesahihan maklumat. Perkara ini amat penting bagi kita semua, kerana perkhabaran atau berita yang tidak mempunyai asas atau dalil, menjadikan kita hanya sebagai manusia yang diibaratkan seperti tin yang kosong, bunyinya kuat tetapi tidak mempunyai maklumat atau berita yang sia-sia sahaja.

Tambahan dari itu juga, medium ini seperti WhatsApp, Facebook, e-mail dan sebagainya dijadikan tempat untuk memburukkan seseorang individu, penyebaran berita palsu yang boleh membawa kepada perpecahan dan permusuhan sesama manusia. Oleh itu satu kaedah menyatakan:

إِنْ كُنْتَ نَاقِلًا فَعَلَيْكَ بِالتَّصْحِيحِ وَإِنْ كُنْتَ مُدَّعِيًا فَعَلَيْكَ باِلدَّلِيلِ

Maksudnya: ''Jika sekiranya kamu menyatakan sesuatu hendaklah kamu mensahihkan dahulu berita itu, dan sekiranya kamu mendakwa hendaklah kamu menyatakan dalil atau bukti''.

Perpaduan atau tali persaudaraan yang telah dibina selama ini mampu dileraikan atau diputuskan akibat daripada maklumat serta berita yang disampaikan ini tidak tepat dan dusta. Agenda menfitnah, menipu dan membuka aib orang lain begitu mudah untuk disebarkan berlandaskan segala ruangan yang ada dan sangat mudah untuk dilayari melalui internet seperti Facebook, YouTube dan sebagainya.

Semua laman ini amat berbahaya kepada kita, sekiranya ruangan ini dijadikan sebagai medan untuk melakukan perkara sedemikian.

وَاتْرُكِ القَالَ وَ القِيلَ

Maksudnya: Tinggalkanlah apa yang orang kata, dan apa yang dikatakannya.

Di samping itu juga, sekiranya tabiat sebegini yang disemai di dalam jiwa masyarakat kita pada hari ini, maka keamanan, persaudaraan dan masyarakat harmoni hanyalah menjadi satu harapan atau angan-angan yang tidak berkesudahan. Oleh itu, penekanan kepada semangat untuk mencari dan menyampaikan kebenaran perlu ditekankan dan diteruskan.

Kita akan kembali menghadap Allah Subhanahuwata'ala. Segala amalan kita akan diperhitungkan, dan kemudian akan disempurnakan balasannya oleh Allah Subhanahuwata'ala. Marilah kita meneruskan segala usaha yang baik, dan memperbaiki segala kekurangan pada diri kita. Semoga Allah Subhanahuwata'ala membekalkan kita dengan daya tahan keimanan yang dapat membantu kita mengharungi segala ujian di dunia. Semoga Allah Subhanahuwata'ala juga sentiasa membimbing kita ke arah yang diredai-Nya dan sekaligus tergolong dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang berjaya dalam kehidupan di dunia dan di Akhirat.

Firman Allah Subhanahuwata'ala,

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Maksudnya:''Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya''. Al-A'raf ayat 96



Wednesday, July 2, 2025

Fitrah Penuaan

Fitrah Penuaan

Dalam bahasa Arab, terdapat istilah yang berbeza untuk merujuk kepada fasa-fasa dalam proses pembangunan manusia, dari baligh, remaja, dewasa hingga tua. Menurut al-Thalibi (2000), seseorang yang berumur lebih dari 60 tahun membawa beberapa istilah khusus mengikut tahap perkembangan mereka. ثلب ,هدج ,مج, دب, دلق, توجه, كبر ,شاخ, شمط, شاب, الرجلالوت ,dalam mendefinisikan شيخ atau orang tua, Ibrahim al-Anis et al. (1972) dalam Al-Mu’jam Al-Wasit menegaskan bahawa شيخ atau orang tua ialah mereka yang berumur lebih dari 50 tahun dan antara peringkat كهل dan هزم . Selain itu, istilah هزم ditakrifkan sebagai orang yang terlalu tua, lemah dari segi fizikal dan mental. 

Manakala perkataan ‘كِبْرٌ’ disebut enam kali dalam al-Quran manakala ‘شَيْخٌ’ dan ‘عَجُوز’ disebut empat kali. (Fuad al-Baqi, 2002). Kronologi dalam surah al-Rum 30:54 telah di susun bermula dari kehidupan seorang bayi yang lemah dan berakhir juga dalam keadaan lemah iaitu usia tua. 

Firman Allah Subhanahuwata'ala,

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ ضَعْفٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنْ بَعْدِ ضَعْفٍ قُوَّةً ثُمَّ جَعَلَ مِنْ بَعْدِ قُوَّةٍ ضَعْفًا وَشَيْبَةً ۚ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ ۖ وَهُوَ الْعَلِيمُ الْقَدِيرُ

Maksudnya:''Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa''. Al-Rum ayat 54

Menurut al-Maraghi (2001, Tafsīr Al- Marāghī.) ayat ini menjelaskan kekuasaan Allah Subhanahuwata'ala dalam mengawasi manusia sehingga berlaku perubahan pada setiap tahap peringkat perkembangan manusia. Peringkat perkembangan manusia yang dimaksudkan ialah daripada lemah iaitu bayi kepada kuat menjadi dewasa dan setelah kuat kembali menjadi lemah kembali iaitu usia tua.

Hakikatnya manusia mengetahui tentang penuaan dan kesannya pada diri mereka sebagai satu fenomena tabi'i kerana ia adalah satu hakikat yang dapat dilihat dan alami oleh manusia. Ia juga bertepatan dengan dapatan sains. Sebutan dalam Al-Quran mengenai penuaan mempunyai signifikan tersendiri, iaitu pemberitahuan kepada bahawa Islam memberi perhatian akan persoalan ini dan menuntut Muslim agar turut berfikir dan mengambil perhatian tentangnya. Hal ini disokong oleh firman Allah Subhanahuwata'ala yang meletakkan usia 40 tahun sebagai masa kritikal untuk seorang Muslim melakukan refleksi akan masa lalunya dan masa akan datangnya iaitu masa tua. Allah Subhanahuwata'ala berfirman,

وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا ۖ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۖ وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا ۚ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي ۖ إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya:''Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapaknya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyapihnya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: "Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang Engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri". Al-Ahqaf ayat 15.

Al-Qurthubi berkata, “شَيْخٌ” (orang yang tua) adalah orang yang telah melewati 40 tahun, kekuatan dan fungsi organ tubuh mulai menurun. Dan kemerosotan ini berlaku secara berperingkat sebagaimana dahulu perkembangan bayi juga turut berlaku secara peringkat. Allah Subhanahuwata'ala juga menyatakan bahawa sangat rugi barang siapa yang di beri usia lanjut namun tidak digunakan dengan baik seperti dalam surah at-Tin 95 :5,

ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ

Maksudnya:''Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah''.

Usia 40 tahun sebagai stesen kehidupan dipilih kerana umumnya ia dianggap sebagai pemisah antara usia muda dan usia tua. Namun, sama penting dengan refleksi diri ialah anjuran ke atas Muslim untuk mengambil langkah-langkah persiapan bagi menghadapi fasa baru, pasca usia 40 tahun sebagai permulaan bagi usia tua, baik di peringkat individu atau masyarakat dan tidak bersikap sambil lewa serta menyerahkan pada keadaan semata-mata. Hal ini disokong oleh beberapa hadith, diantaranya;

Daripada Anas bin Malik RA, dikatakan bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

مَا أَكْرَمَ شَابٌّ شَيْخًا لِسِنِّهِ إِلَّا قَيَّضَ اللَّهُ لَهُ مَنْ يُكْرِمُهُ عِنْدَ سِنِّهِ

Maksudnya: “Tidaklah orang yang muda itu apabila dia memuliakan orang yang tua disebabkan usianya, melainkan Allah akan menetapkan pada usia tuanya nanti akan ada orang yang memuliakannya''. Riwayat al-Tirmizi (2022), Imam al-Tirmizi menilai hadith ini adalah gharib ,Imam al-Suyuthi menilai hadith ini sebagai hasan di dalam al-Jami’.

Hakikat penuaan adalah satu kitaran hidup secara fitrah yang ditentukan oleh Allah Subhanahuwata'ala, bermula daripada janin, bayi, orang muda, dewasa sehingga di usia tua. Firman Allah Subhanahu wata'ala dalam Surah Ghafir/Mu'min ayat 67:

هُوَ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ مِنْ نُطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ يُخْرِجُكُمْ طِفْلًا ثُمَّ لِتَبْلُغُوا أَشُدَّكُمْ ثُمَّ لِتَكُونُوا شُيُوخًا ۚ وَمِنْكُمْ مَنْ يُتَوَفَّىٰ مِنْ قَبْلُ ۖ وَلِتَبْلُغُوا أَجَلًا مُسَمًّى وَلَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

Maksudnya:''Dialah yang menciptakan kamu dari tanah kemudian dari setetes mani, sesudah itu dari segumpal darah, kemudian dilahirkannya kamu sebagai seorang anak, kemudian (kamu dibiarkan hidup) supaya kamu sampai kepada masa (dewasa), kemudian (dibiarkan kamu hidup lagi) sampai tua, di antara kamu ada yang diwafatkan sebelum itu. (Kami perbuat demikian) supaya kamu sampai kepada ajal yang ditentukan dan supaya kamu memahami(nya)''.

Fitrah penuaan merujuk kepada proses kitaran kehidupan yang telah disusun oleh Allah Subhanahuwata'ala ke atas semua makhluk termasuk manusia. Menginsafi hakikat tersebut, maka kita sebagai umat Islam perlu bersiap sedia menghadapinya seawal bermulanya kehidupan. Allah Subhanahuwata'ala telah menentukan ajal sejak azali, maka menghadapi ketentuan ini adalah satu kepastian kerana setiap kehidupan itu akan berakhir dengan kematian dan dibangkitkan semula pada hari kiamat. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam Surah al-Mu’minun, ayat 15 - 16,

ثُمَّ إِنَّكُمْ بَعْدَ ذَٰلِكَ لَمَيِّتُونَ. ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ تُبْعَثُونَ

Maksudnya:''Kemudian, sesudah itu, sesungguhnya kamu sekalian benar-benar akan mati. Kemudian, sesungguhnya kamu sekalian akan dibangkitkan (dari kuburmu) di hari kiamat". 

Individu yang telah mencapai peringkat tua boleh digambarkan dari pelbagai aspek ketuaan. Selain dari cerminan usia tua yang telah mencapai status warga emas, ia turut tercerna dari segi rupa paras fizikal, di samping fungsi mental dan kognitif serta peranan sosioemosi. Manakala kepercayaan dan tanggapan umum yang ada buat masa ini ialah bahawa tua itu sinonim dengan pelbagai bentuk keuzuran dan aneka jenis penyakit. Ia adalah seperti fasa tua itu tidak dapat dipisahkan dari semua itu.

Dalam peringkat umur tua inilah akan kelihatan tanda-tanda kelemahan bagi seseorang, sehingga kekuatannya mula merosot sedikit demi sedikit dari kemuncaknya menurun ke bawah, lalu ia menjadi lemah selepas suatu masa dahulu ia kuat. Peringkat umur ini dinamakan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihwasallam masa pergelutan dengan maut, iaitu umur enampuluhan hingga kepada tujuh puluhan. 

Baginda telah bersabda,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَعْذَرَ اللَّهُ إِلَى امْرِئٍ أَخَّرَ أَجَلَهُ حَتَّى بَلَّغَهُ سِتِّينَ سَنَةً

Maksudnya:''Abu Hurairah dari Nabi ﷺ Beliau bersabda, "Allah telah memberi uzur kepada seseorang dengan menangguhkan ajalnya hingga umur enam puluh tahun''.Riwayat al-Bukhari (5904)

Jika ditinjau dari sudut fizikal dan tahap kesihatan, sememangnya ketuaan itu berkaitan dengan kelemahan fungsi tubuh badan seperti kelemahan sistem imun, sel saraf dan otot. Pada masa yang sama, kelemahan tubuh badan ini berkait rapat pula dengan kepelbagaian jenis penyakit yang datang seiring dengan kelemahan tersebut dan akhirnya mengundang bermacam-macam jenis keuzuran dan penyakit. Di samping itu, merudumnya aspek kejiwaan atau spiritual dan longlainya peranan aspek tersebut di dalam diri seseorang individu juga turut boleh menambahkan lagi keterukan atau memburukkan lagi tahap kelemahan dan keuzuran yang mereka alami, baik dari aspek fizikal, sistem imun, mahupun aspek sosial mereka. Adakah perkara ini merupakan satu masalah?

Islam melihat tua dan ketuaan bukanlah satu masalah atau bebanan. Ia adalah satu proses dan proses itu hanya perlu diuruskan sebaiknya agar objektif dan matlamat akhir dari proses ketuaan itu dapat dicapai dengan jayanya. Sebenarnya setiap satu dari semua fasa dalam proses kehidupan dan perkembangan individu mempunyai objektif atau matlamat yang tersendiri, baik fasa bayi dalam kandungan, atau fasa bayi selepas kelahiran, fasa kanak-kanak, fasa remaja dan dewasa, dan akhirnya fasa tua. Setiap fasa memiliki proses dan objektif yang tersendiri yang perlu dilalui dan dicapai. Dalam setiap proses itu pula, ia pasti akan menyentuh aspek fizikal dan material, mental dan emosi, sosial serta spiritual.

Firman Allah Subhanahuwata'ala,

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنْ كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِنَ الْبَعْثِ فَإِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ مِنْ نُطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ مِنْ مُضْغَةٍ مُخَلَّقَةٍ وَغَيْرِ مُخَلَّقَةٍ لِنُبَيِّنَ لَكُمْ ۚ وَنُقِرُّ فِي الْأَرْحَامِ مَا نَشَاءُ إِلَىٰ أَجَلٍ مُسَمًّى ثُمَّ نُخْرِجُكُمْ طِفْلًا ثُمَّ لِتَبْلُغُوا أَشُدَّكُمْ ۖ وَمِنْكُمْ مَنْ يُتَوَفَّىٰ وَمِنْكُمْ مَنْ يُرَدُّ إِلَىٰ أَرْذَلِ الْعُمُرِ لِكَيْلَا يَعْلَمَ مِنْ بَعْدِ عِلْمٍ شَيْئًا ۚ وَتَرَى الْأَرْضَ هَامِدَةً فَإِذَا أَنْزَلْنَا عَلَيْهَا الْمَاءَ اهْتَزَّتْ وَرَبَتْ وَأَنْبَتَتْ مِنْ كُلِّ زَوْجٍ بَهِيجٍ

Maksudnya:''Hai manusia, jika kamu dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur), maka (ketahuilah) sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setetes mani, kemudian dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan dalam rahim, apa yang Kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian (dengan berangsur-angsur) kamu sampailah kepada kedewasaan, dan di antara kamu ada yang diwafatkan dan (adapula) di antara kamu yang dipanjangkan umurnya sampai pikun, supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatupun yang dahulunya telah diketahuinya. Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah''. Al-Haj ayat 5

Said Al-Nursi dalam Risalah Al-Nur menyatakan bahawa kelemahan dan kedhaifan yang terdapat pada waktu tua sebenarnya adalah jalan untuk mencari rahmat Ilahi serta inayah Rabbani. Malah beliau turut menyebut bahawa Allah merahmati orang-orang tua kerana kedhaifan dan kelemahan mereka. Ini kerana meskipun dalam lemah dan dhaif mereka masih rukuk menyembah Allah. Seperti dalam sabda Rasulullah Sallallahu'alaihwasallam,

فَإِنَّهُ لَوْلا شُيُوخٌ رُكَّعٌ، وَشَبَابٌ خُشَّعٌ، وَأَطْفَالٌ رُضَّعٌ، وَبَهَائِمُ رُتَّعٌ، لَصَبَّ عَلَيْكُمُ الْعَذَابَ صَبًّا

Maksudnya:''....jika bukan kerana orang-orang tua yang banyak rukuk, adanya orang muda yang khusyuk, dan bayi yang menyusu, nescaya akan di timpakan bala kepada kamu....''. Riwayat Abu Ya'la. Dhaif

Sebagai Muslim matlamat atau objektif yang perlu diperolehi dari proses penuaan dan dalam konteks ini, maqasid al-syariah boleh dijadikan sebagai kayu ukur untuk menilai objektif atau matlamat dalam proses penuaan.Dalam konteks maqasid, persediaan itu perlu dinilai dari sudut keperluan fitrah kejadian manusia meliputi aspek fizikal dan material, emosi dan mental serta sosial dan spiritual yang perlu dilaksanakan menurut ketetapan dan tuntutan syariat. Matlamat maqasid adalah untuk meningkatkan kemaslahatan dalam kehidupan manusia, dan pada masa yang sama berusaha untuk menghindarkan sebarang isu yang boleh mendatangkan kerosakan dan pemusnahan kepada mereka. Tuntutan maqasid al-syariah ialah memelihara kemaslahatan kehidupan manusia dari segi mendatangkan kebaikan dan manfaat untuk agama, jiwa, akal, keturunan dan harta, serta berdasarkan kepada tahap keperluan, sama ada dharuriyyat, hajiyyat atau tahsiniyyat. Manakala objektif dalam proses penuaan ialah membantu individu warga emas agar dapat menjalani kehidupan di usia emas secara lebih bermanfaat, positif dan produktif.

Walaupun usia emas dilihat sebagai fasa yang penuh dengan keuzuran, namun bukan sesuatu yang mustahil bagi setiap individu tersebut untuk memperolehi atau menjalani fasa kehidupan ini dengan positif, produktif dan aktif serta sihat. Adalah menjadi hak mereka juga untuk hidup sihat dan menerima penjagaan dan rawatan kesihatan yang sempurna dan baik seperti orang muda lain. Penjagaan kesihatan diri ini juga adalah tuntutan dalam maqasid al syariah kerana ia berusaha untuk memeliharan kemaslahatan diri dan nyawa, dan ia bukanlah mustahil untuk dicapai, sekalipun pada peringkat penghujung kehidupan. Untuk menghadapi fasa penuaan secara lebih sihat, seseorang individu perlu lebih bersedia dengan mengamalkan pelbagai aktiviti berkaitan dengan gaya hidup sihat, bukan bergelumang dengan pelbagai gejala yang merosak dan memusnahkan.

Jika ditinjau kepada pandangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), proses penuaan yang aktif digambarkan sebagai satu fasa bagi mengoptimakan segala peluang kesihatan, penglibatan dan jaminan kualiti kehidupan yang lebih kukuh, dan memberi peluang kepada mereka untuk menyedari segala potensi kesejahteraan yang ada, baik pada fizikal, sosial dan mental serta menggunakan peluang dan potensi itu secara yang lebih baik. Namun pada pandangan Islam, proses persediaan menuju fasa penuaaan itu sebenarnya bermula sejak awal kehidupan individu, bermula dari dalam kandungan ibu lagi, dan ia tidak berakhir dengan keluarnya roh dari jasad. Itulah tempoh di mana persediaan perlu diambilkira. Dan persediaan itu bermula daripada diri sendiri, serta perlu juga menyediakan orang lain dengan pelbagai ilmu dan kemahiran agar mereka bersedia berdasarkan kepada kemampuan mereka untuk menyediakan keperluan kita kelak semampunya, tatkala keuzuran telah melanda diri. Sesuai dalam konteks persediaan ini, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam ada bersabda.

Dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Sallallah‘alaihiwasallam pernah menasihati seseorang,

اِغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ : شَبَابَكَ قَبْلَ هَرَمِكَ وَ صِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ وَ غِنَاكَ قَبْلَ فَقْرِكَ وَفَرَاغَكَ قَبْلَ شَغْلِكَ وَ حَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ

Maksudnya: "Manfaatkanlah/sebutkanlah lima perkara sebelum lima perkara; Waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu.Waktu sehatmu sebelum datang waktu sakitmu.Masa kayamu sebelum datang masa kefakiranmu.Masa luangmu sebelum datang masa sibukmu.Hidupmu sebelum datang matimu".

Al-Hakim dalam Al Mustadroknya 4: 341. Al Hakim mengatakan bahwa hadith ini sahih sesuai syarat Bukhari Muslim namun keduanya tidak mengeluarkannya. Dikatakan oleh Adz Dzahabiy dalam At Talkhish berdasarkan syarat Bukhari-Muslim.

Meskipun warga emas sinonim dengan keterbatasan fizikal, lemah dan sebagainya namun Allah menyeru agar Muslim untuk sentiasa kuat dan tidak berputus asa. Hal ini di teladani oleh sahabat nabi Abu Talhah yang sudah uzur namun tidak menjadikan lemah sebagai alasan untuk tidak ke medan jihad meskipun beliau di halang oleh anak-anak dengan berkata “bukankah Allah berfirman dalam surah al-Taubah ayat 9:41,

انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya:''Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan mahupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui''.Al-Taubah ayat 41

Perkara ini menunjukkan bahawa penghujung usia warga emas itu tidak boleh berlalu dalam keadaan lesu dan berserah seolah-olah menunggu hari kematian menjemput tiba. Isu kematian dan makna hidup penting bagi warga emas. Justeru, warga emas yang mempunyai kesedaran akan kematian serta menerima hakikat penuaan, akan menunjukkan kurang takut dan lebih bersedia dengan amal ibadat. Malah mereka memandang penuaan sebagai kerehatan dari kesibukan dunia serta mengurus keluarga sewaktu muda dahulu. Terkadang terdapat juga warga emas lebih gemar bersendirian untuk muhasabah diri dan berehat di hujung usia mereka. 

Neraka seburuk-buruk tempat kembali dan 9 jenis neraka

Neraka seburuk-buruk tempat kembali dan 9 jenis neraka. Segelintir manusia membayangkan kehidupan dalam neraka seperti kehidupan banduan dal...