Wednesday, July 2, 2025

Fitrah Penuaan

Fitrah Penuaan

Dalam bahasa Arab, terdapat istilah yang berbeza untuk merujuk kepada fasa-fasa dalam proses pembangunan manusia, dari baligh, remaja, dewasa hingga tua. Menurut al-Thalibi (2000), seseorang yang berumur lebih dari 60 tahun membawa beberapa istilah khusus mengikut tahap perkembangan mereka. ثلب ,هدج ,مج, دب, دلق, توجه, كبر ,شاخ, شمط, شاب, الرجلالوت ,dalam mendefinisikan شيخ atau orang tua, Ibrahim al-Anis et al. (1972) dalam Al-Mu’jam Al-Wasit menegaskan bahawa شيخ atau orang tua ialah mereka yang berumur lebih dari 50 tahun dan antara peringkat كهل dan هزم . Selain itu, istilah هزم ditakrifkan sebagai orang yang terlalu tua, lemah dari segi fizikal dan mental. 

Manakala perkataan ‘كِبْرٌ’ disebut enam kali dalam al-Quran manakala ‘شَيْخٌ’ dan ‘عَجُوز’ disebut empat kali. (Fuad al-Baqi, 2002). Kronologi dalam surah al-Rum 30:54 telah di susun bermula dari kehidupan seorang bayi yang lemah dan berakhir juga dalam keadaan lemah iaitu usia tua. 

Firman Allah Subhanahuwata'ala,

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ ضَعْفٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنْ بَعْدِ ضَعْفٍ قُوَّةً ثُمَّ جَعَلَ مِنْ بَعْدِ قُوَّةٍ ضَعْفًا وَشَيْبَةً ۚ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ ۖ وَهُوَ الْعَلِيمُ الْقَدِيرُ

Maksudnya:''Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa''. Al-Rum ayat 54

Menurut al-Maraghi (2001, Tafsīr Al- Marāghī.) ayat ini menjelaskan kekuasaan Allah Subhanahuwata'ala dalam mengawasi manusia sehingga berlaku perubahan pada setiap tahap peringkat perkembangan manusia. Peringkat perkembangan manusia yang dimaksudkan ialah daripada lemah iaitu bayi kepada kuat menjadi dewasa dan setelah kuat kembali menjadi lemah kembali iaitu usia tua.

Hakikatnya manusia mengetahui tentang penuaan dan kesannya pada diri mereka sebagai satu fenomena tabi'i kerana ia adalah satu hakikat yang dapat dilihat dan alami oleh manusia. Ia juga bertepatan dengan dapatan sains. Sebutan dalam Al-Quran mengenai penuaan mempunyai signifikan tersendiri, iaitu pemberitahuan kepada bahawa Islam memberi perhatian akan persoalan ini dan menuntut Muslim agar turut berfikir dan mengambil perhatian tentangnya. Hal ini disokong oleh firman Allah Subhanahuwata'ala yang meletakkan usia 40 tahun sebagai masa kritikal untuk seorang Muslim melakukan refleksi akan masa lalunya dan masa akan datangnya iaitu masa tua. Allah Subhanahuwata'ala berfirman,

وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا ۖ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۖ وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا ۚ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي ۖ إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya:''Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapaknya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyapihnya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: "Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang Engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri". Al-Ahqaf ayat 15.

Al-Qurthubi berkata, “شَيْخٌ” (orang yang tua) adalah orang yang telah melewati 40 tahun, kekuatan dan fungsi organ tubuh mulai menurun. Dan kemerosotan ini berlaku secara berperingkat sebagaimana dahulu perkembangan bayi juga turut berlaku secara peringkat. Allah Subhanahuwata'ala juga menyatakan bahawa sangat rugi barang siapa yang di beri usia lanjut namun tidak digunakan dengan baik seperti dalam surah at-Tin 95 :5,

ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ

Maksudnya:''Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah''.

Usia 40 tahun sebagai stesen kehidupan dipilih kerana umumnya ia dianggap sebagai pemisah antara usia muda dan usia tua. Namun, sama penting dengan refleksi diri ialah anjuran ke atas Muslim untuk mengambil langkah-langkah persiapan bagi menghadapi fasa baru, pasca usia 40 tahun sebagai permulaan bagi usia tua, baik di peringkat individu atau masyarakat dan tidak bersikap sambil lewa serta menyerahkan pada keadaan semata-mata. Hal ini disokong oleh beberapa hadith, diantaranya;

Daripada Anas bin Malik RA, dikatakan bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

مَا أَكْرَمَ شَابٌّ شَيْخًا لِسِنِّهِ إِلَّا قَيَّضَ اللَّهُ لَهُ مَنْ يُكْرِمُهُ عِنْدَ سِنِّهِ

Maksudnya: “Tidaklah orang yang muda itu apabila dia memuliakan orang yang tua disebabkan usianya, melainkan Allah akan menetapkan pada usia tuanya nanti akan ada orang yang memuliakannya''. Riwayat al-Tirmizi (2022), Imam al-Tirmizi menilai hadith ini adalah gharib ,Imam al-Suyuthi menilai hadith ini sebagai hasan di dalam al-Jami’.

Hakikat penuaan adalah satu kitaran hidup secara fitrah yang ditentukan oleh Allah Subhanahuwata'ala, bermula daripada janin, bayi, orang muda, dewasa sehingga di usia tua. Firman Allah Subhanahu wata'ala dalam Surah Ghafir/Mu'min ayat 67:

هُوَ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ مِنْ نُطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ يُخْرِجُكُمْ طِفْلًا ثُمَّ لِتَبْلُغُوا أَشُدَّكُمْ ثُمَّ لِتَكُونُوا شُيُوخًا ۚ وَمِنْكُمْ مَنْ يُتَوَفَّىٰ مِنْ قَبْلُ ۖ وَلِتَبْلُغُوا أَجَلًا مُسَمًّى وَلَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

Maksudnya:''Dialah yang menciptakan kamu dari tanah kemudian dari setetes mani, sesudah itu dari segumpal darah, kemudian dilahirkannya kamu sebagai seorang anak, kemudian (kamu dibiarkan hidup) supaya kamu sampai kepada masa (dewasa), kemudian (dibiarkan kamu hidup lagi) sampai tua, di antara kamu ada yang diwafatkan sebelum itu. (Kami perbuat demikian) supaya kamu sampai kepada ajal yang ditentukan dan supaya kamu memahami(nya)''.

Fitrah penuaan merujuk kepada proses kitaran kehidupan yang telah disusun oleh Allah Subhanahuwata'ala ke atas semua makhluk termasuk manusia. Menginsafi hakikat tersebut, maka kita sebagai umat Islam perlu bersiap sedia menghadapinya seawal bermulanya kehidupan. Allah Subhanahuwata'ala telah menentukan ajal sejak azali, maka menghadapi ketentuan ini adalah satu kepastian kerana setiap kehidupan itu akan berakhir dengan kematian dan dibangkitkan semula pada hari kiamat. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam Surah al-Mu’minun, ayat 15 - 16,

ثُمَّ إِنَّكُمْ بَعْدَ ذَٰلِكَ لَمَيِّتُونَ. ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ تُبْعَثُونَ

Maksudnya:''Kemudian, sesudah itu, sesungguhnya kamu sekalian benar-benar akan mati. Kemudian, sesungguhnya kamu sekalian akan dibangkitkan (dari kuburmu) di hari kiamat". 

Individu yang telah mencapai peringkat tua boleh digambarkan dari pelbagai aspek ketuaan. Selain dari cerminan usia tua yang telah mencapai status warga emas, ia turut tercerna dari segi rupa paras fizikal, di samping fungsi mental dan kognitif serta peranan sosioemosi. Manakala kepercayaan dan tanggapan umum yang ada buat masa ini ialah bahawa tua itu sinonim dengan pelbagai bentuk keuzuran dan aneka jenis penyakit. Ia adalah seperti fasa tua itu tidak dapat dipisahkan dari semua itu.

Dalam peringkat umur tua inilah akan kelihatan tanda-tanda kelemahan bagi seseorang, sehingga kekuatannya mula merosot sedikit demi sedikit dari kemuncaknya menurun ke bawah, lalu ia menjadi lemah selepas suatu masa dahulu ia kuat. Peringkat umur ini dinamakan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihwasallam masa pergelutan dengan maut, iaitu umur enampuluhan hingga kepada tujuh puluhan. 

Baginda telah bersabda,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَعْذَرَ اللَّهُ إِلَى امْرِئٍ أَخَّرَ أَجَلَهُ حَتَّى بَلَّغَهُ سِتِّينَ سَنَةً

Maksudnya:''Abu Hurairah dari Nabi ﷺ Beliau bersabda, "Allah telah memberi uzur kepada seseorang dengan menangguhkan ajalnya hingga umur enam puluh tahun''.Riwayat al-Bukhari (5904)

Jika ditinjau dari sudut fizikal dan tahap kesihatan, sememangnya ketuaan itu berkaitan dengan kelemahan fungsi tubuh badan seperti kelemahan sistem imun, sel saraf dan otot. Pada masa yang sama, kelemahan tubuh badan ini berkait rapat pula dengan kepelbagaian jenis penyakit yang datang seiring dengan kelemahan tersebut dan akhirnya mengundang bermacam-macam jenis keuzuran dan penyakit. Di samping itu, merudumnya aspek kejiwaan atau spiritual dan longlainya peranan aspek tersebut di dalam diri seseorang individu juga turut boleh menambahkan lagi keterukan atau memburukkan lagi tahap kelemahan dan keuzuran yang mereka alami, baik dari aspek fizikal, sistem imun, mahupun aspek sosial mereka. Adakah perkara ini merupakan satu masalah?

Islam melihat tua dan ketuaan bukanlah satu masalah atau bebanan. Ia adalah satu proses dan proses itu hanya perlu diuruskan sebaiknya agar objektif dan matlamat akhir dari proses ketuaan itu dapat dicapai dengan jayanya. Sebenarnya setiap satu dari semua fasa dalam proses kehidupan dan perkembangan individu mempunyai objektif atau matlamat yang tersendiri, baik fasa bayi dalam kandungan, atau fasa bayi selepas kelahiran, fasa kanak-kanak, fasa remaja dan dewasa, dan akhirnya fasa tua. Setiap fasa memiliki proses dan objektif yang tersendiri yang perlu dilalui dan dicapai. Dalam setiap proses itu pula, ia pasti akan menyentuh aspek fizikal dan material, mental dan emosi, sosial serta spiritual.

Firman Allah Subhanahuwata'ala,

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنْ كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِنَ الْبَعْثِ فَإِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ مِنْ نُطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ مِنْ مُضْغَةٍ مُخَلَّقَةٍ وَغَيْرِ مُخَلَّقَةٍ لِنُبَيِّنَ لَكُمْ ۚ وَنُقِرُّ فِي الْأَرْحَامِ مَا نَشَاءُ إِلَىٰ أَجَلٍ مُسَمًّى ثُمَّ نُخْرِجُكُمْ طِفْلًا ثُمَّ لِتَبْلُغُوا أَشُدَّكُمْ ۖ وَمِنْكُمْ مَنْ يُتَوَفَّىٰ وَمِنْكُمْ مَنْ يُرَدُّ إِلَىٰ أَرْذَلِ الْعُمُرِ لِكَيْلَا يَعْلَمَ مِنْ بَعْدِ عِلْمٍ شَيْئًا ۚ وَتَرَى الْأَرْضَ هَامِدَةً فَإِذَا أَنْزَلْنَا عَلَيْهَا الْمَاءَ اهْتَزَّتْ وَرَبَتْ وَأَنْبَتَتْ مِنْ كُلِّ زَوْجٍ بَهِيجٍ

Maksudnya:''Hai manusia, jika kamu dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur), maka (ketahuilah) sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setetes mani, kemudian dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan dalam rahim, apa yang Kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian (dengan berangsur-angsur) kamu sampailah kepada kedewasaan, dan di antara kamu ada yang diwafatkan dan (adapula) di antara kamu yang dipanjangkan umurnya sampai pikun, supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatupun yang dahulunya telah diketahuinya. Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah''. Al-Haj ayat 5

Said Al-Nursi dalam Risalah Al-Nur menyatakan bahawa kelemahan dan kedhaifan yang terdapat pada waktu tua sebenarnya adalah jalan untuk mencari rahmat Ilahi serta inayah Rabbani. Malah beliau turut menyebut bahawa Allah merahmati orang-orang tua kerana kedhaifan dan kelemahan mereka. Ini kerana meskipun dalam lemah dan dhaif mereka masih rukuk menyembah Allah. Seperti dalam sabda Rasulullah Sallallahu'alaihwasallam,

فَإِنَّهُ لَوْلا شُيُوخٌ رُكَّعٌ، وَشَبَابٌ خُشَّعٌ، وَأَطْفَالٌ رُضَّعٌ، وَبَهَائِمُ رُتَّعٌ، لَصَبَّ عَلَيْكُمُ الْعَذَابَ صَبًّا

Maksudnya:''....jika bukan kerana orang-orang tua yang banyak rukuk, adanya orang muda yang khusyuk, dan bayi yang menyusu, nescaya akan di timpakan bala kepada kamu....''. Riwayat Abu Ya'la. Dhaif

Sebagai Muslim matlamat atau objektif yang perlu diperolehi dari proses penuaan dan dalam konteks ini, maqasid al-syariah boleh dijadikan sebagai kayu ukur untuk menilai objektif atau matlamat dalam proses penuaan.Dalam konteks maqasid, persediaan itu perlu dinilai dari sudut keperluan fitrah kejadian manusia meliputi aspek fizikal dan material, emosi dan mental serta sosial dan spiritual yang perlu dilaksanakan menurut ketetapan dan tuntutan syariat. Matlamat maqasid adalah untuk meningkatkan kemaslahatan dalam kehidupan manusia, dan pada masa yang sama berusaha untuk menghindarkan sebarang isu yang boleh mendatangkan kerosakan dan pemusnahan kepada mereka. Tuntutan maqasid al-syariah ialah memelihara kemaslahatan kehidupan manusia dari segi mendatangkan kebaikan dan manfaat untuk agama, jiwa, akal, keturunan dan harta, serta berdasarkan kepada tahap keperluan, sama ada dharuriyyat, hajiyyat atau tahsiniyyat. Manakala objektif dalam proses penuaan ialah membantu individu warga emas agar dapat menjalani kehidupan di usia emas secara lebih bermanfaat, positif dan produktif.

Walaupun usia emas dilihat sebagai fasa yang penuh dengan keuzuran, namun bukan sesuatu yang mustahil bagi setiap individu tersebut untuk memperolehi atau menjalani fasa kehidupan ini dengan positif, produktif dan aktif serta sihat. Adalah menjadi hak mereka juga untuk hidup sihat dan menerima penjagaan dan rawatan kesihatan yang sempurna dan baik seperti orang muda lain. Penjagaan kesihatan diri ini juga adalah tuntutan dalam maqasid al syariah kerana ia berusaha untuk memeliharan kemaslahatan diri dan nyawa, dan ia bukanlah mustahil untuk dicapai, sekalipun pada peringkat penghujung kehidupan. Untuk menghadapi fasa penuaan secara lebih sihat, seseorang individu perlu lebih bersedia dengan mengamalkan pelbagai aktiviti berkaitan dengan gaya hidup sihat, bukan bergelumang dengan pelbagai gejala yang merosak dan memusnahkan.

Jika ditinjau kepada pandangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), proses penuaan yang aktif digambarkan sebagai satu fasa bagi mengoptimakan segala peluang kesihatan, penglibatan dan jaminan kualiti kehidupan yang lebih kukuh, dan memberi peluang kepada mereka untuk menyedari segala potensi kesejahteraan yang ada, baik pada fizikal, sosial dan mental serta menggunakan peluang dan potensi itu secara yang lebih baik. Namun pada pandangan Islam, proses persediaan menuju fasa penuaaan itu sebenarnya bermula sejak awal kehidupan individu, bermula dari dalam kandungan ibu lagi, dan ia tidak berakhir dengan keluarnya roh dari jasad. Itulah tempoh di mana persediaan perlu diambilkira. Dan persediaan itu bermula daripada diri sendiri, serta perlu juga menyediakan orang lain dengan pelbagai ilmu dan kemahiran agar mereka bersedia berdasarkan kepada kemampuan mereka untuk menyediakan keperluan kita kelak semampunya, tatkala keuzuran telah melanda diri. Sesuai dalam konteks persediaan ini, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam ada bersabda.

Dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Sallallah‘alaihiwasallam pernah menasihati seseorang,

اِغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ : شَبَابَكَ قَبْلَ هَرَمِكَ وَ صِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ وَ غِنَاكَ قَبْلَ فَقْرِكَ وَفَرَاغَكَ قَبْلَ شَغْلِكَ وَ حَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ

Maksudnya: "Manfaatkanlah/sebutkanlah lima perkara sebelum lima perkara; Waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu.Waktu sehatmu sebelum datang waktu sakitmu.Masa kayamu sebelum datang masa kefakiranmu.Masa luangmu sebelum datang masa sibukmu.Hidupmu sebelum datang matimu".

Al-Hakim dalam Al Mustadroknya 4: 341. Al Hakim mengatakan bahwa hadith ini sahih sesuai syarat Bukhari Muslim namun keduanya tidak mengeluarkannya. Dikatakan oleh Adz Dzahabiy dalam At Talkhish berdasarkan syarat Bukhari-Muslim.

Meskipun warga emas sinonim dengan keterbatasan fizikal, lemah dan sebagainya namun Allah menyeru agar Muslim untuk sentiasa kuat dan tidak berputus asa. Hal ini di teladani oleh sahabat nabi Abu Talhah yang sudah uzur namun tidak menjadikan lemah sebagai alasan untuk tidak ke medan jihad meskipun beliau di halang oleh anak-anak dengan berkata “bukankah Allah berfirman dalam surah al-Taubah ayat 9:41,

انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya:''Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan mahupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui''.Al-Taubah ayat 41

Perkara ini menunjukkan bahawa penghujung usia warga emas itu tidak boleh berlalu dalam keadaan lesu dan berserah seolah-olah menunggu hari kematian menjemput tiba. Isu kematian dan makna hidup penting bagi warga emas. Justeru, warga emas yang mempunyai kesedaran akan kematian serta menerima hakikat penuaan, akan menunjukkan kurang takut dan lebih bersedia dengan amal ibadat. Malah mereka memandang penuaan sebagai kerehatan dari kesibukan dunia serta mengurus keluarga sewaktu muda dahulu. Terkadang terdapat juga warga emas lebih gemar bersendirian untuk muhasabah diri dan berehat di hujung usia mereka. 

No comments:

Post a Comment

Fitrah Penuaan

Fitrah Penuaan Dalam bahasa Arab, terdapat istilah yang berbeza untuk merujuk kepada fasa-fasa dalam proses pembangunan manusia, dari baligh...