Hidup Ceria Bebas Dari Kemungkaran
Kehidupan manusia sememangnya dipandu dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahuwata'ala. Perkara yang berkaitan dengan halal dan haram adalah garis pemisah antara orang yang taat dan orang yang ingkar terhadap perintah Allah Subhanahuwata'ala. Peraturan ini dikenal sebagai syariat, yang mencakup berbagai aspek kehidupan, baik ibadah, akhlak, mahupun muamalah (hubungan sesama manusia). Syariat ini bertujuan untuk membawa kesejahteraan bagi manusia di dunia dan akhirat.
Allah Subhanahuwata'ala berfirman,
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: “Dan Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk''. Surah al-A’raf ayat 157
Al-Sobuni berkata: “Diharamkan ke atas mereka, apa yang kotor dan keji seperti darah, bangkai dan daging khinzir''. Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/442.
Dari segi bahasa syariat berasal daripada perkataan Arab iaitu syir’ah yang mempunyai dua maksud iaitu sumber air dan jalan yang lurus. Dari segi istilah, syariat ialah hukum yang telah ditetapkan oleh Allah untuk hamba-Nya melalui perantaraan para Rasul-Nya. Allah menuntut hamba-Nya mentaati dan melaksanakannya tanpa sebarang perubahan dan pengurangan. Peraturan dan hukum ini dinamakan syariat kerana ia betul sepertimana jalan yang lurus, tanpa ada kepalsuan (simpang-siur) dari jalan yang benar. Syariat juga membawa pengertian mengenai segala perintah Allah ke atas hamba-Nya yang terdiri daripada seluruh hukum yang diturunkan melalui para Rasul-Nya sama ada perintah tersebut berkaitan dengan perbuatan amali ataupun iktikadi. Syariat juga membawa maksud al-din (pergantungan) dan juga al-millah (kecenderungan).
Firman Allah Subhanahuwata'ala,
ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَىٰ شَرِيعَةٍ مِنَ الْأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya:''Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama itu), maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui''. Al-Jasiyah ayat 18
Berdasarkan kepada ayat suci al-Quran dan kitab yang ditulis oleh para ulama, didapati perkataan syariah digunakan untuk dua pengertian iaitu umum dan khusus. Pengertian umum adalah berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala,
شَرَعَ لَكُمْ مِنَ الدِّينِ مَا وَصَّىٰ بِهِ نُوحًا وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ وَمَا وَصَّيْنَا بِهِ إِبْرَاهِيمَ وَمُوسَىٰ وَعِيسَىٰ ۖ أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ ۚ كَبُرَ عَلَى الْمُشْرِكِينَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ ۚ اللَّهُ يَجْتَبِي إِلَيْهِ مَنْ يَشَاءُ وَيَهْدِي إِلَيْهِ مَنْ يُنِيبُ
Maksudnya:''Dia telah mensyari'atkan bagi kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa yaitu: Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya. Amat berat bagi orang-orang musyrik agama yang kamu seru mereka kepadanya. Allah menarik kepada agama itu orang yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada (agama)-Nya orang yang kembali (kepada-Nya)''. Al-Syura ayat 13
Ayat ini menunjukkan bahawa syariah ialah agama atau al-din itu sendiri, iaitu yang merangkumi perkara-perkara dasar, prinsip-prinsip asas, tasawur serta nilai-nilai yang utama yang disyariatkan kepada nabi-nabi.
Manakala pengertian khusus pula ialah hukum yang diperundangkan oleh Allah untuk mengatur kehidupan dalam pelbagai bidang seperti muamalat, munakahat, jenayah dan sebagainya. Ia adalah sebahagian dari kandungan Islam iaitu pembahagian yang diperincikan oleh ulama bahawa Islam itu mengandungi akidah, syariah dan akhlak. Syariah yang dimaksudkan di sini ialah satu aspek dari isi kandungan al-Din Islam, iaitu berkaitan dengan hukum yang mengatur urusan kehidupan dalam semua bidang. Hukum ini adalah berbeza di antara Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam dengan nabi-nabi yang sebelumnya. Ini dijelaskan oleh Allah melalui firman-Nya,
وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ الْكِتَابِ وَمُهَيْمِنًا عَلَيْهِ ۖ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ عَمَّا جَاءَكَ مِنَ الْحَقِّ ۚ لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا ۚ وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَٰكِنْ لِيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ ۖ فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ ۚ إِلَى اللَّهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًا فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ
Maksudnya:''Dan Kami telah turunkan kepadamu Al Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, yaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat diantara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, niscaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlomba-lombalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu''. Al-Maidah ayat 48.
Secara ringkasnya, syariah adalah peraturan hidup yang digaris dan digubal oleh Allah yang disampaikan kepada makhluk-Nya melalui wahyu yang dibawa oleh malaikat Jibril kepada Rasul yang dipilih oleh Allah dari kalangan manusia sendiri. Peraturan yang digubal oleh Allah bukan hanya mengatur hubungan manusia dan Tuhan, malah meliputi semua aspek kehidupan sama ada urusan peribadi, keluarga, masyarakat, negara dan antarabangsa tetapi juga berkaitan dengan makhluk yang lain di dunia ini.
Menjadi tanggungjawab yang besar bagi setiap orang yang beriman untuk memelihara diri mereka daripada segala bentuk kemungkaran dalam kehidupan. Hal ini dapat dilihat dalam sejarah umat yang terdahulu. Allah Subhanahuwata'ala memberikan kelebihan kepada mereka sebagai suatu nikmat yang besar dalam kehidupan. Ada kaum yang dikurniakan kebijaksanaan dalam membuat bangunan. Ada juga yang diberi nikmat kekuatan dan kehebatan dalam peperangan. Malah ada juga yang dikurniakan nikmat rezeki dalam bentuk tanah yang subur untuk bercucuk tanam. Namun, semua umat itu telah dibinasakan oleh Allah Subhanahuwata'ala kerana sikap mereka yang lalai dan melampaui batas. Allah Subhanahuwata'ala menurunkan azab-Nya dengan sekelip mata, sehingga mereka tidak sempat untuk berbuat apa pun. Inilah peringatan yang menjadi garis panduan bagi kita umat pada zaman ini. Azab ini merupakan sebuah peringatan yang besar supaya kita tidak mengikut jejak langkah umat yang terdahulu yang pernah diazab. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah al-Kahfi ayat ke 59,
وَتِلْكَ الْقُرَىٰ أَهْلَكْنَاهُمْ لَمَّا ظَلَمُوا وَجَعَلْنَا لِمَهْلِكِهِمْ مَوْعِدًا
Maksudnya:''Dan (penduduk) negeri telah Kami binasakan ketika mereka berbuat zalim, dan telah Kami tetapkan waktu tertentu bagi kebinasaan mereka.
Pada hari ini, kemaksiatan dan kemungkaran semakin berleluasa dan sebahagian umat Islam sudah tidak merasa malu lagi untuk melakukannya. Kebanyakan kemungkaran yang berlaku pada masa ini seperti mencuri, meragut, berzina, mencabul kehormatan dan bunuh; berpunca daripada penyalahgunaan dadah dan bahan-bahan terlarang atau beracun sebagai cara untuk mengkhayalkan diri. Antara contoh penyalahgunaan bahan terlarang ialah rokok, daun ketum, gam, aerosol, arak dan ubat batuk. Kesan penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang serta beracun ini adalah sama dengan kesan meminum arak kerana ia boleh menimbulkan ketagihan serta menghilangkan kewarasan akal. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah menyebut sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar radiallahu anhu yang berbunyi,
كُلَّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ وَأَنَّ كُلَّ خَمْرٍ حَرَامٌ
Maksudnya: “Setiap yang memabukkan adalah arak dan setiap arak adalah haram''
Riwayat Muslim (2003)
Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam yang diriwayatkan daripada Jabir Ibn Abdillah R.A,
مَا أَسْكَرَ كَثِيرُهُ فَقَلِيلُهُ حَرَامٌ
Maksudnya: “Apa sahaja yang memabukkan sama ada banyak atau sedikit, ia adalah haram''. Riwayat Abu Daud (3681) dan al-Tirmizi (1865)
Ibn Rajab al-Hanbali berkata: Setiap yang memabukkan haram sepertimana sabda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam, adalah merangkumi semua jenis yang mabuk, sama ada yang wujud pada zaman Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam atau yang selepas daripadanya. Lihat Jami' al-'Ulum wa al-Hikam, hlm. 472.
Penagihan dadah tentunya akan memberi kesan mudarat yang cukup besar kepada individu itu sendiri dan keluarga. Maka, syarak tidak akan sesekali membiarkan sesiapa pun dari terhumban dalam kemudaratan seperti sabda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam yang diriwayatkan oleh Yahya al-Mazini, bahawa Baginda Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Maksudnya: Tidak boleh memudaratkan diri dan memudaratkan orang lain''.Riwayat Malik (1435) Ibn Majah (2341)
Selain itu, mereka yang terlibat dengan penagihan dadah ini ternyata telah melanggar syariat Islam yang mengharamkannya penyalahgunaanya. Ibn Hajar al-Haitami menyatakan
وحكى القرافي وهو من أئمة المالكية، وابن تيمية الإجماع على تحريم الحشيش
Maksudnya: ''Dan disebutkan oleh al-Qarafi yang merupakan ulama’ besar mazhab Maliki, dan Ibn Taimiyyah bahawa (telah menjadi) ijma’ untuk pengharaman ganja''. Lihat al-Zawajir (1/213).
Bermula dengan rasa ingin untuk mencuba, kemudian berakhir dengan kehancuran yang tidak pernah terjangka oleh sesiapa. Fikiran yang tenang menjadi kusut, jiwa yang tenteram menjadi serabut, badan yang sihat menjadi susut, keluarga yang harmoni bertukar kelam-kabut, semakin berleluasa jenayah mencuri dan meragut, akhirnya masyarakat yang sedia tenat semakin mereput.
Pada masa kini, trend penyalahgunaan dadah dan bahan telah bertukar daripada dadah berasaskan tumbuhan seperti ganja, heroin dan morfin kepada dadah sintetik seperti syabu, pil kuda, ekstasi dan lain-lain. Bahan dadah sintetik ini juga telah digunakan di dalam flavorvape. Pengambilan dadah jenis sintetik ini boleh mengundang jenayah kejam seperti yang pernah dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia bertarikh 4 Disember 2024. Berita tersebut menyatakan bahawa seorang pemuda berusia 20-an sanggup menikam ibu kandungnya sehingga mati kerana disyaki berang ditegur menghisap vape yang mengandungi dadah.
Hukum penyalahgunaan dadah dan bahan dalam Islam adalah jelas, iaitu haram. Pengharaman ini adalah kerana penyalahgunaan dadah dan bahan boleh mendatangkan kerosakan (mafsadah) yang besar, sama ada kemudaratan kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, mahupun menggugat kestabilan negara. Justeru, umat Islam wajib menghindarkan diri daripada penyalahgunaan dadah yang boleh mendatangkan akibat yang amat dahsyat. Pepatah Arab ada mengatakan,
الوِقَايَةُ خَيْرٌ مِنَ العِلَاجِ
Maksudnya:"Mencegah itu lebih baik daripada mengubati''.
Ketahuilah bahawa penyalahgunaan dadah boleh menyebabkan orang yang melakukannya itu lupa diri, lupa agama dan lupa dunia kerana ia memberi kesan buruk kepada akal, melemahkan fikiran dan kecerdasan, mengakibatkan penyakit urat saraf serta boleh menggangu kesihatan mental dan fizikal. Maka jelas bahawa menyalahgunakan dadah ini adalah perbuatan senghaja mencampakkan diri ke dalam kebinasaan. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam Surah Al-Baqarah ayat 195,
وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
Maksudnya:''Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, karena sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik''.
Penyalahgunaan dadah juga boleh mengakibatkan meningkatnya perlakuan jenayah dalam masyarakat seperti mencuri, merompak, peras ugut, mencederakan orang lain dan membunuh. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa ketagihan dadah boleh membawa kepada masalah mental yang mengakibatkan penagih hilang keseimbangan dan keupayaan untuk berfikir secara normal.
Sebagai umat Islam, kita mempunyai tanggungjawab untuk menjaga diri, keluarga dan masyarakat daripada terjerumus dalam kancah penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang serta beracun ini. Jika kita langsung tidak ambil peduli urusan dalam keluarga dan masyarakat, malah membiarkan kemungkaran ini terus bermaharajalela, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kesan buruknya.
Pada masa yang sama, masyarakat perlu mengubah stigma dan tanggapan yang negatif kepada klien yang sudah pulih sepenuhnya. Sebagai masyarakat yang prihatin dan budiman hendaklah menerima kembali mereka yang telah bertaubat dan tidak menghukum atau membiarkan mereka tanpa bantuan. Oleh yang demikian, mereka perlu diberi peluang untuk membaiki kelemahan diri dan kembali menjadi sebahagian daripada anggota masyarakat. Sikap yang positif daripada masyarakat amat diperlukan bagi memastikan golongan tersebut terus dibimbing dan dihargai.Tanpa adanya dorongan keluarga atau masyarakat, mereka akan rasa terpinggir kerana memang di dalam pemikiran, mereka tidak lagi diterima oleh keluarga apatah lagi masyarakat. Bagi diri si penagih dadah pula, proses pemulihan bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang ringan. Banyak dugaan dan cabaran yang akan dihadapinya disepanjang tempoh pemulihan dalam komuniti seperti pengaruh dan ajakan dari kawan-kawan yang tidak jemu-jemu untuk membawa bergiat kembali dalam penagihan dadah.
Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam Surah At-Taubah ayat 71,
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ
الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِي
Maksudnya:''Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana''
Akhirnya sama-samalah kita berdoa agar selamat dan terhindar dari apa juga perkara yang diharamkan oleh Allah Subhanahuwata'ala. Amin Ya Rabbal Alamin.
No comments:
Post a Comment