Wednesday, April 30, 2025

Kematian, Ziarah kematian, solat jenazah dan mengiringi jenazah kekubur

Kematian, Ziarah kematian, solat jenazah dan mengiringi jenazah kekubur

Kematian adalah suatu kenyataan yang pasti dihadapi oleh setiap makhluk hidup, tanpa mengetahui bila akan terjadinya. Sebagai seorang muslim, selalu diajarkan untuk memaknai kematian bukan hanya sebagai akhir dari kehidupan di dunia, tetapi juga sebagai pintu gerbang menuju kehidupan yang lebih abadi di akhirat. Melalui Al-Qur’an dan hadith, Islam memberikan panduan bagaimana seharusnya memandang kematian dan apa yang dapat dipelajari darinya.Kematian adalah ketetapan Allah yang tidak dapat ditolak atau dihindari. Firman Allah Subhanahuwata'ala,

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

Ertinya: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya''.Surah Ali ‘Imran ayat 185.

Ayat ini menegaskan bahawa kematian adalah kepastian yang akan dialami oleh setiap makhluk. Tidak ada yang dapat menolak atau menghindarinya. Dengan menyedari hal ini, seorang Muslim seharusnya sentiasa bersiap diri dan menjalani kehidupan di dunia ini dengan penuh kesedaran bahawa segala sesuatu yang dimiliki hanyalah titipan sementara.

Kematian juga merupakan pengingat yang kuat bagi kita untuk selalu berbuat kebaikan. Daripada Syaddad bin Aus R.A, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah bersabda,

الْكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ وَالْعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللَّهِ

Ertinya: Orang yang cerdik, siapa yang merendahkan dirinya dan beramal untuk bekalan selepas mati. Sedangkan orang yang lemah, siapa yang mengikut hawa nafsunya dan hanya bercita-cita kepada Allah''.Riwayat al-Tirmizi (2459) dan Ibn Majah (4260)

Hal ini berbetulan dengan nasihat Saidina Umar al-Khattab R.A yang berkata,

حَاسِبُوا أَنْفُسَكُمْ قَبْلَ أَنْ تُحَاسَبُوا وَتَزَيّنُوا لِلْعَرْضِ الأَكْبَرِ وَإِنّمَا يَخِفّ الْحَسَابُ يَوْمَ القِيَامَةِ عَلَى مَنْ حَاسَبَ نَفْسَهُ في الدّنْيَا

Ertinya: Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab. Dan berhiaslah untuk hari pembentangan yang agung. Sesungguhnya ringanlah penghisaban di hari Akhirat bagi sesiapa yang telah menghisab dirinya di dunia''. Riwayat Tirmizi(2383),Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/156

Hadith ini menunjukkan bahawa orang yang bijak adalah mereka yang menyedari bahawa kehidupan dunia ini hanya sementara, dan kehidupan yang abadi adalah di akhirat. Oleh kerana itu, mereka akan selalu berusaha untuk memperbanyak amal soleh, kerana hanya amal kebaikan yang akan menjadi bekal di alam kubur dan akhirat kelak.

Kematian mengingatkan kita akan hakikat kehidupan yang sebenarnya. Hidup di dunia ini hanyalah perjalanan singkat menuju kehidupan yang lebih kekal. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata: Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam telah memegang bahuku lantas bersabda:

كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيْبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيْلٍ. وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا يَقُوْلُ: إِذَا أَمْسَيْتَ فَلا تَنْتَظِرِ الصَّبَاحَ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلا تَنْتَظِرِ المَسَاءَ. وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ، وَمِنْ حَيَاتِكَ لمَوْتِكَ

Ertinya: “Jadilah kamu di dunia ini seperti orang asing atau yang musafir.”  Ibn Umar R.Anhuma berkata: ” Apabila kamu berada di waktu petang, janganlah kamu tunggu sehingga ke pagi, dan jika kamu berada di waktu pagi janganlah ditunggu sehingga ke petang. Gunalah masa sihatmu sebelum masa sakitmu dan gunalah masa hidupmu sebelum waktu matimu''.Riwayat al-Bukhari (4616)

Hadith ini mengajarkan kita agar tidak terlalu terikat dengan kehidupan dunia, kerana dunia ini bukanlah tujuan akhir. Seorang Muslim seharusnya selalu menyedari bahawa kehidupan dunia ini sementara dan tujuan hidup yang sejati adalah mencapai kebahagiaan di akhirat.

Menziarahi kematian dan mengucapkan takziah di dalam Islam pada umumnya adalah sunat yang dituntut. Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu ‘Umarah R.A bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda :

مَا مِنْ مُؤْمِنٍ يُعَزِّي أَخَاهُ بِمُصِيبَةٍ إِلاَّ كَسَاهُ اللَّهُ سُبْحَانَهُ مِنْ حُلَلِ الْكَرَامَةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Tidak ada seorang mukmin yang mengucapkan takziah kepada saudaranya disebabkan suatu musibah melainkan Allah Subhanahuwata'ala akan memakaikannya dengan pakaian kemuliaan pada hari kiamat kelak''.Riwayat Ibn Majah (1601)

Takziah bermaksud: ‘’Memberikan ketenangan kepada keluarga si mati dan menggalakkan mereka untuk bersabar dengan jaminan pahala (terhadap perbuatan tersebut), serta mendoakan jenazah si mati yang beragama Islam dan juga doa kepada mereka yang ditimpa musibah.

Ucapan takziah yang paling terbaik adalah sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,

إنَّ لِلَّهِ مَا أَخَذَ، وَلَهُ مَا أَعْطَى، وَكُلُّ شَىْءٍ عِنْدَهُ بِأَجَلٍ مُسَمًّى، فَلْتَصْبِرْ وَلْتَحْتَسِبْ

Ertinya: ‘’Sesungguhnya bagi Allah Subhanahuwata'ala apa yang Dia ambil dan milik-Nya jualah apa yang Dia berikan. Kesemuanya terdapat ajal (tempoh masa) yang tertentu di sisi-Nya’. Maka bersabarlah nescaya kamu akan mendapat ganjaran''. Al-Nasaei (1845)

Menziarahi kematian pula mempunyai ganjaran yang besar bagi mereka yang melakukannya. Begitu juga mereka yang mengiringi jenazah ke tanah perkuburan. Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

مَنْ شَهِدَ الْجَنَازَةَ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهَا فَلَهُ قِيرَاطٌ، وَمَنْ شَهِدَهَا حَتَّى تُدْفَنَ فَلَهُ قِيرَاطَانِ. قِيلَ: وَمَا الْقِيرَاطَانِ؟ قَالَ: مِثْلُ الْجَبَلَيْنِ الْعَظِيمَيْنِ

Ertinya: “Sesiapa yang menghadiri solat jenazah sehingga ia disolatkan ke atasnya, maka baginya satu qirat. Sesiapa yang mengiringi jenazah sehingga ia dikebumikan, maka baginya dua qirat. Ditanyakan kepada Baginda Sallallahu'alaihiwasallam: ‘Apakah yang dimaksudkan dengan dua qirat? Baginda Sallallahu'alaihiwasallam menjawab: ‘Seperti dua gunung yang besar''. Riwayat al-Bukhari (1325) dan Muslim (945)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan:

Secara zahirnya, riwayat-riwayat ini memberi petunjuk bahawa “qirat” hanya diperoleh oleh mereka yang telah hadir sejak awal penyelenggaraan jenazah hingga selesai solat. Pandangan seperti inilah yang dinyatakan secara tegas oleh al-Muhib al-Tabari serta ulama selain beliau. Menurutku, bahawa “qirat” diperoleh juga oleh mereka yang sempat solat meskipun tidak hadir sejak awal pengurusan jenazah, sebab semua pekerjaan sebelum solat hanya sebagai wasilah (perkara untuk menyampaikan) menuju pelaksanaan solat. Akan tetapi, “qirat” mereka yang hanya solat tentu tidak sebanding dengan “qirat” orang yang telah hadir sejak awal lalu ikut mensolatkannya.

Begitu juga hadith daripada riwayat Thauban R.A bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

‏ مَنْ صَلَّى عَلَى جَنَازَةٍ فَلَهُ قِيرَاطٌ فَإِنْ شَهِدَ دَفْنَهَا فَلَهُ قِيرَاطَانِ الْقِيرَاطُ مِثْلُ أُحُدٍ

Ertinya: “Sesiapa yang mengerjakan solat jenazah maka dia akan mendapat pahala sebanyak satu qirat. Jika sekiranya dia menyaksikan pengebumian jenazah maka dia akan mendapat dua qirat, dan satu qirat itu ganjarannya sebesar bukit Uhud''.Riwayat Muslim (946)

Selain itu, besarnya pahala qirat itu dapat dilihat melalui riwayat daripada terdapat riwayat daripada Nafi‘, dia berkata, diceritakan kepada Ibn Umar R.A bahawa Abu Hurairah R.A berkata:

مَنْ تَبِعَ جَنَازَةً فَلَهُ قِيرَاطٌ فَقَالَ: أَكْثَرَ أَبُو هُرَيْرَةَ عَلَيْنَا فَصَدَّقَتْ يَعْنِي عَائِشَةَ أَبَا هُرَيْرَةَ، وَقَالَتْ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُهُ فَقَالَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: لَقَدْ فَرَّطْنَا فِي قَرَارِيطَ كَثِيرَةٍ فَرَّطْتُ: ضَيَّعْتُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengiringi jenazah, maka baginya satu qirat.” Maka Ibn Umar berkata: “Abu Hurairah R.A telah berlebihan (dalam menyebutkan pahala) kepada kita.” Maka beliau — iaitu Aisyah R.Anha — membenarkan Abu Hurairah R.A dengan berkata: “Aku mendengar Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam mengatakannya.” Maka Ibn Umar berkata: “Sesungguhnya (kami telah) mensia-siakan qirat yang banyak.”[a] Kalimah (فَرَّطْتُ) bermaksud: “Mensia-siakan sesuatu daripada urusan Allah''. Riwayat al-Bukhari (1323-1324)

[a] Yakni kami telah mensia-siakan pahala yang banyak kerana kami tidak selalu mengiringi jenazah dan tidak menghadiri pengebumiannya.

Mereka yang mendirikan solat jenazah hingga proses pengebumiannya dan langsung tidak meninggalkannya (sehinggalah selesai), baginya ganjaran atau pahala setara dengan dua qirat. Satu qirat setara dengan gunung yang besar dan dalam riwayat yang lain, ia diumpamakan sebagai sebuah gunung Uhud. Namun, bagi mereka yang hanya menunaikan solat jenazah tetapi tidak mengiringi jenazah itu hingga ke kubur, separuh daripada ganjaran besar ini sudah lenyap atau tergugur daripadanya.

Di samping itu, hadith ini juga mengandungi anjuran syarak untuk menghadiri proses pengebumian jenazah kerana terdapatnya manfaat besar hal itu. Ini termasuklah memenuhi hak orang yang meninggal dunia dengan berdoa buatnya, melakukan solat jenazah ke atasnya, memenuhi atau menunaikan hak ahli keluarganya dengan menenangkan dan menghiburkan mereka atas musibah kematian yang menimpa mereka, mendapat ganjaran dan pahala untuk mereka yang mengiringi jenazah, serta mendapat pengajaran di samping mengambil iktibar dengan melihat kematian dan kubur-kubur, dan lain-lain perkara daripada hukum yang Allah telah tetapkan dalam syariat-Nya.

Di sana pula terdapat kelebihan dan fadhilat bagi solat jenazah 40 orang atau lebih, di mana Allah Subhanahuwata'ala memberikan syafaat dari mereka yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu apapun yang mendirikan solat jenazah buat diri jenazah tersebut.

Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ فَيَقُومُ عَلَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلاً لاَ يُشْرِكُونَ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلاَّ شَفَّعَهُمُ اللَّهُ فِيهِ

Ertinya: “Tidak ada seorang lelaki Muslim yang meninggal dunia, kemudian terdapat empat puluh orang lelaki yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun mendirikan solat jenazah ke atasnya, melainkan Allah akan memberikan syafaat dari mereka buat dirinya (jenazah tersebut)''.

Riwayat Muslim (948); Abu Daud (3170); Ahmad (2509) dan Ibn Hibban (3082)

Kelebihan dan fadhilat wujudnya empat puluh orang lelaki Muslim yang menunaikan solat jenazah untuk si mati dan mereka memberi syafaat untuknya sebagai suatu penegasan bahawasanya keinginan yang mulia ini daripada Allah Subhanahuwata'ala, lalu Dia menerima doa mereka di dalamnya dan memberikan syafaat dari mereka buat diri jenazah tersebut.

Selain itu, hadith ini juga mengandungi fadhilat mentauhidkan Allah Subhanahuwata'ala dan mengesakan-Nya dalam ibadah, serta menjauhi syirik dan segala jalan-jalan yang membawa kepadanya, yang termasuk dalam hal itu sikap berlebih-lebihan (ghulu) terhadap makhluk-makhluk ciptaan-Nya. Tambahan lagi, mengikhlaskan diri dalam mentauhidkan kepada-Nya merupakan sebab yang kuat bagi suatu doa atau permohonan itu dikabulkan.

Begitu juga, ada pula kelebihan membentuk saf untuk solat Jenazah sekurang-kurangnya tiga saf atau lebih berdasarkan nas hadith dan istinbat ulama’. Adapun kedudukan antara saf pertama dan kedua boleh dirapatkan dan tidak perlu dijarakkan untuk rukuk dan sujud kerana pada solat Jenazah tiada rukuk dan sujud.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Umamah R.A, beliau berkata:

صلَّى رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ علَى جنازَةٍ ومعَهُ سبعَةُ نَفَرٍ فجَعَلَ ثَلَاثَةً صفًّا واثنينِ صفًّا واثنينِ صَفًّا

Ertinya: “Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam mensolatkan satu jenazah bersama tujuh orang. Lalu Baginda menyusun tiga orang di saf (pertama), dua orang di satu saf (kedua) dan dua orang di satu saf (ketiga).

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (7785)

Manakala dalam hadith yang diriwayatkan daripada Malik bin Hubairah, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

ما مِن مسلمٍ يموتُ فَيُصَلِّي عليه ثلاثةُ صفوفٍ من المسلمينَ إلا أَوْجَبَ

Ertinya: “Tidak ada seorang Muslim yang meninggal dunia, kemudian disolatkan ke atasnya tiga saf dari orang-orang Islam, kecuali pasti akan dikabulkan (doanya).

Riwayat Abu Daud (3166), al-Tirmizi (1028), Ibn Majah (1490) dan Ahmad (16724)

Imam Nawawi berkata: Dan disunatkan untuk menyusun saf sekurang-kurangnya tiga baris dan lebih berdasarkan hadith Malik bin Hubairah. Dan lebihan daripada tiga saf, maka ia lebih afdhal. (Lihat al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, 5/215)

Begitu juga hadith-hadith ini menunjukkan bahawa disunatkan untuk mendirikan solat jenazah secara berjemaah berdasarkan ijma‘ kaum Muslimin dan begitu juga berdasarkan kepada perbuatan dan amalan Nabi Sallallahu'alaihiwasallam, juga para sahabat selepasnya dan hal itu berterusan menjadi amalan kaum Muslimin.

Mati adalah penamatan hidup di dunia. Apabila tiba pengakhiran hidup dengan kematian, ianya tetap akan berlaku dan tidak akan dapat ditangguhkan atau dipercepatkan walaupun sesaat pun. Hikmah kematian bukan sahaja pada diri si mati, bahkan juga pada yang masih hidup supaya menjadi peringatan kepada kematian dan menjadikannya hamba yang sentiasa beramal soleh untuk bekal kepada hari akhirat. Pengakhir riwayat hidup individu mengandungi kebaikan dan bagi yang mati ia sebagai satu pengiktibaran, menimbulkan keinsafan, mempertingkatkan amalan, muhasabah diri, membuat persediaan untuk menemui Allah dan sebagainya bagi yang masih hidup.

No comments:

Post a Comment

Amalan-amalan bermanfaat yang dilakukan oleh Orang Hidup untuk Si Mati

Amalan-amalan bermanfaat yang dilakukan oleh Orang Hidup untuk Si Mati Semua manusia setelah meninggal dunia, mereka akan berada di Alam Bar...