Monday, September 27, 2021

Harta pusaka menurut perspektif Islam

Harta pusaka menurut perspektif Islam


Harta pusaka adalah semua harta yang dimiliki oleh si mati semasa hayatnya secara halal dan berterusan hak miliknya hingga kematiannya.

Faraid dari segi bahasa adalah ketetapan. 

Faraid menurut istilah syarak adalah pembahagian harta pusaka seorang Islam selepas kematian yang telah ditetapkan oleh hukum Syarak keatas waris-waris yang sah dan layak seperti anak, ayah, ibu, suami, isteri dan seterusnya. 


Ilmu faraidh pada Syarak bermaksud pengetahuan mendalam tentang pusaka dan ilmu kira-kira yang membolehkan kita mengetahui bahagian pusaka yang berhak diterima oleh orang-orang yang berhak. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/273)


Hukum pusaka ini telah disyariatkan dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Orang-orang yang mengingkari pensyariatan hukum pusaka adalah kafir dan keluar daripada Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala:


لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا


Maksudnya: Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).                

Surah al-Nisa’ ayat 7.


Ayat-ayat berkenaan pusaka di dalam al-Quran jelas mengesahkan bahawa pusaka adalah disyariatkan. Begitu juga hadith-hadith Nabi Sallallahu'alaihiwasallam berkenaan isu ini. Antaranya ialah, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا ، فَمَا بَقِيَ فَهُوَ لِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ


Maksudnya: “Bahagikanlah harta perwarisan kepada yang berhak dalam kalangan ahli waris. Sekiranya ada yang berbaki maka yang lelaki dalam kalangan kamulah yang lebih berhak.”

Riwayat al-Bukhari (6351) dan Muslim (1615)


Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (3/284-286), antara lain menyebut: “Pelaksanaan hukum pusaka adalah wajib. Sistem pusaka adalah suatu sistem yang sah berdasarkan kepada nas-nas al-Quran, al-Sunnah dan ijma’ ulama’. Ia sama seperti hukum berkenaan sembahyang, zakat, muamalat dan hudud. Ia wajib dilaksana dan diamalkan. Tidak harus diubah atau diabaikan sekalipun ia telah lama disyariatkan.


Ia merupakan syariat Allah yang Maha Bijaksana dan Terpuji. Ia memelihara kepentingan semua orang. Walaubagaimana sekalipun manusia merasakan pandangan mereka lebih baik, namun undang-undang Allah Subhanahuwata'ala tetap merupakan undang-undang yang terbaik.


Allah Subhanahuwata'ala berfirman:


تِلْكَ حُدُودُ اللَّـهِ ۚ وَمَن يُطِعِ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ۚ وَذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ﴿١٣﴾ وَمَن يَعْصِ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُ يُدْخِلْهُ نَارًا خَالِدًا فِيهَا وَلَهُ عَذَابٌ مُّهِينٌ


Maksudnya: Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, dan melampaui batas-batas syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.

Surah al-Nisa’ ayat 13-14.


Harta-harta yang dibahagikan kepada waris-waris adalah baki harta yang ditinggalkan oleh simati, iaitu baki harta setelah ditunaikan segala kewajipan-kewajipan yang tertentu. Antara kewajipannya adalah seperti berikut:


1-Hendaklah mendahulukan daripada harta peninggalan si mati belanja kematian dan pengebumiannya.

2-Melangsaikan hutang si mati sama ada hutang dengan Allah dan hutang dengan manusia. (Jika bergantung pada ain harta peninggalan itu hak seperti zakat, gadaian dan sebagainya hendaklah didahulukan daripada belanja kematian dan pengebumian)

3-Melaksanakan segala wasiat daripada 1/3 baki harta si mati berdasarkan ketetapan syarak.

4-Pembahagian pusaka dikalangan ahli waris jika harta masih berbaki. 

(Lihat Kitab Matla’ al-Badrain) 


Harta pusaka adalah harta yang dimiliki atau diusahakan oleh simati semasa hidup. Bentuk harta yang boleh dibahagikan secara faraid(Harta Pusaka) termasuk:


1-Semua harta yang diperolehi secara halal melalui jual beli, hibah, wasiat, pembahagian pusaka, hadiah, sedekah dan sebagainya. Seumpama bangunan, tanah, binatang ternak seperti lembu kambing dan sebagainya, barang kemas seperti emas, perak dan lain-lain. 

2-Sewa yang masih belum dijelaskan kepada si mati.

3-Hutang kepada si mati yang dijelaskan selepas kematiannya.

4-Dividen/faedah yang terbit daripada harta si mati. Termasuk bon, Wang tunai dan lain-lain(samada dilaburkan atau tidak) 

5-Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

6-Barang yang terbit selepas kematiannya dari usaha semasa hayatnya, misalnya ikan yang masuk ke dalam bubu yang ditahan oleh si mati.


Harta Pusaka tidak termasuk:


1-Harta yang telah diberi (hibah), dijual, diwakafkan, dan dipegang amanah oleh si mati kepada seseorang semasa hayatnya.

2-Khairat kematian.

3-Pemberian oleh orang yang menziarahi kematian.

4-Imbuhan, pampasan dan saguhati.

5-Pencen terbitan.

6-Bayaran-bayaran di bawah Akta 7-Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO)

8-Harta yang dipinjamkan daripada orang semasa hayatnya.


Pengurusan atau pengagihan harta pusaka bukanlah suatu hal yang tidak perlu diambil peduli bahkan ia perlu dilaksanakan dengan sesegera mungkin bagi mengelakkan dari terjadinya hal-hal yang lebih rumit seperti bilangan waris bertambah disebabkan ada kematian yang berlapis, harta tidak terurus dan terbiar, juga kehilangan dokumen-dokumen penting antaranya sijil kematian, surat perjanjian, dokumen hak milik, perjanjian jual beli dan sebagainya.


Ini bertepatan dengan kaedah Usul Fiqh:


ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب


Maksudnya: Sesuatu kewajipan yang tidak sempurna melainkan dengannya, maka ia wajib. / Sesuatu perkara akan menjadi wajib apabila melalui wasilahnya sahaja objektif hukum (wajib) boleh tercapai.


Kaedah ini merupakan salah satu kaedah Usuliyyah. Ulama’-ulama’ Usul menyatakannya sebagai ‘muqaddimah’ wajib atau permulaan kepada wajib. [Lihat: Ma’lamah Zayid; 27/429-431]. 

Maka, di sini, pengagihan harta pusaka adalah perkara yang wajib, ia tidak dapat dilaksanakan melainkan dengan adanya urusan pengagihan yang dijalankan atau diuruskan oleh badan-badan atau seseorang seperti Mahkamah Tinggi atau Amanah Raya dan sebagainya. 


Pada dasarnya, pengurusan harta pusaka termasuk dalam empat kewajipan yang perlu ditunaikan sementelah seseorang itu meninggal dunia. Pengurusan harta pusaka ini merupakan pengurusan lebihan harta yang ditinggalkan oleh si mati setelah dibiayai kos pengurusan jenazahnya terlebih dahulu, kemudian dilangsaikan hutang-hutangnya dan seterusnya dipenuhi wasiatnya jika ada. [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab; 16/49-53].


Ibnu Mulaqqin juga berkata:


يبدأ من تركة الميت بمؤنة تجهيزه إن لم يتعلق بعينها حق، ثم بدين الله، ثم بدين الآدمي، ثم بالوصايا من ثلث الباقي، ثم يقسم الباقي بين الورثة.


Maksudnya: “Urusan peninggalan si mati dimulakan dengan pembiayaan pengurusan jenazahnya, kemudian hutangnya dengan Allah Subhanahuwata'ala (nazar, kafarah, dll) kemudian hutangnya terhadap manusia, kemudian ditunaikan wasiatnya 1/3 dan akhirnya dibahagikan baki harta tersebut dalam kalangan ahli waris yang layak”. [Lihat: al-Tazkirah fi al-Fiqh al-Syafi’I; m/s 86].


Pembahagian harta pusaka menurut Islam adalah selepas berlakunya kematian terhadap seseorang Muslim maka wujudlah hak-hak tertentu terhadap harta yang ditinggalkan. Hak-hak tersebut telahpun ditetapkan sendiri oleh Allah Sibhanahuwata'ala secara khusus di bawah hukum faraid. 


Pembahagian faraid kepada yang berhak  adalah wajib untuk ditunaikan dan fardhu kifayah kepada umat Islam, khususnya waris-waris untuk menyelesaikannya. Pada umumnya ada tiga golongan yang berhak mendapat harta pusaka, iaitu dengan sebab:


1-Perkahwinan

2-Keturunan

3-Islam


Dari tiga golongan ini, tidak semua yang layak mendapat harta pusaka yang ditinggalkan. Hanya sebahagian sahaja yang akan mewarisi harya simati, sekiranya mereka masih hidup. Allah telah menetapkan bahawa terdapat 25 golongan sahaja yang layak untuk menerima harya simati. Hal ini boleh dirujuk Surah Al-Nisa’ ayat 11,12,176.


Juga sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam:


أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا ، فَمَا بَقِيَ فَهُوَ لِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ


Maksudnya: “Bahagikanlah harta perwarisan kepada yang berhak dalam kalangan ahli waris. Sekiranya ada yang berbaki maka yang lelaki dalam kalangan kamulah yang lebih berhak.”

Riwayat al-Bukhari (6351) dan Muslim (1615)


Cara mewarisi harta pusaka sama ada seseorang waris itu berhak atau tidak berhak adalah tertakluk kepada golongan-golongan waris seperti berikut:


1. Ashab al-Furud

Waris ashabul-furud  menerima harta pusaka menurut bahagian yang telah ditetapkan oleh Hukum Syarak iaitu sama ada 1/2, 1/3, 1/4, 2/3, 1/6, 1/8 atau 1/3 baki. Mereka terdiri daripada isteri atau suami, ibu atau nenek, bapa atau datuk, anak perempuan atau cucu perempuan, saudara perempuan kandung, saudara perempuan sebapa dan saudara seibu.


2. Asabah

Asabah adalah waris yang tidak mendapat bahagian secara fardu yang ditetapkan. Terdapat 3 jenis asabah iaitu:


(a)  Asabah Bi al-Nafsi

(b)  Asabah Bi al-Ghairi

(c)  Asabah Ma’a al-Ghairi.


(a) Asabah Bi al-Nafsi

Asabah dengan diri sendiri iaitu seseorang menjadi asabah tanpa memerlukan kepada orang lain untuk mengasabahkannya. Kadar  bahagian mereka tidak menentu. Adakalanya mereka mewarisi kesemua harta atau mengambil baki setelah diberi bahagian waris fardu dan adakalanya tidak mendapat bahagian langsung kerana telah dihabiskan oleh waris fardu. Mereka yang mewarisi secara asabah bi al-nafsi ialah semua waris lelaki kecuali suami dan saudara seibu. Namun, jika terdapat ramai waris yang boleh mewarisi harta pusaka secara asabah bi al-nafsi ini, maka yang diutamakan adalah waris yang paling hampir dengan si mati. Waris yang lebih jauh akan terdinding atau gugur.


 (b) Asabah Bi al-Ghairi

Asabah bersama dengan orang lain iaitu seseorang mewarisi harta pusaka apabila si mati meninggalkan waris lelaki dan waris perempuan yang sama darjat di mana bahagian mereka telah ditetapkan iaitu bahagian waris lelaki adalah dua kali lebih daripada bahagian perempuan. Mereka terdiri daripada 4 golongan, iaitu: anak lelaki dan perempuan, cucu lelaki dan cucu perempuan, saudara seibu sebapa lelaki dan saudara seibu sebapa perempuan dan saudara sebapa lelaki dan saudara sebapa perempuan.


(c) Asabah Ma’a al-Ghairi

Asabah berserta dengan orang lain bermaksud waris perempuan iaitu saudara seibu sebapa perempuan atau saudara sebapa perempuan menjadi asabah apabila si mati meninggalkan bersertanya anak perempuan atau cucu perempuan dengan syarat tidak ada saudara seibu sebapa lelaki atau saudara sebapa lelaki yang mengasabahkan saudara-saudara perempuan tersebut menjadi asabah bi al-ghairi.


3. Dhawi al-Arham

Dhawi al-arham ialah waris yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan si mati selain daripada waris fardu dan waris asabah. Ulama’ telah berselisih pendapat tentang kedudukan mereka, sama ada mereka boleh mewarisi harta pusaka atau tidak. Golongan pertama berpendapat mereka berhak mewarisi sekiranya si mati tidak meninggalkan waris asabah yang dapat menghabisi harta pusaka, atau tidak ada waris fardu boleh diradkan baki harta kepada mereka. Golongan kedua pula berpendapat mereka tidak berhak mewarisi. Oleh itu, sekiranya si mati tidak meninggalkan waris asabah atau meninggalkan waris fardu yang tidak dapat menghabiskan harta pusaka, baki harta pusaka si mati hendaklah diserahkan ke Baitulmal walaupun si mati meninggalkan ramai waris dhawi al-arham.


Harta pusaka yang terhak kepada Baitulmal adalah harta yang ditinggalkan oleh si mati yang tiada waris atau tiada waris yang layak menghabisi harta tersebut setelah dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum syarak. 

Lihat kitab Raudah al-Talibin karangan Imam An-Nawawi jilid 5, halaman 6-7.


Dalam hal yang berkaitan gugurnya hak faraid, 

1-Membunuh

2-Berlainan Agama

3-Murtad


Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


القاتلُ لا يَرِثُ


Maksudnya:"Pembunuh tidak akan mewarisi harta pusaka".Riwayat at-Tirmizi(2035)


Hak faraid juga boleh gugur dalam keadaan di mana waris si mati berlainan agama sebagaimana hadis daripada Usamah bin Zaid r.a. bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


لا يرِثُ المسلمُ الكافرَ ولا الكافِرُ المُسْلِمَ


Maksudnya:"Orang Islam tidak mewarisi orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi orang Islam.” (Riwayat al-Bukhari(6267)


Sebagai penutup:

Jika umat Islam tidak melaksanakan atau mengabaikan pembahagian harta pusaka dengan menggunakan sistem faraid ini, dikhuatiri perkara-perkara berikut akan berlaku:


1- Memakan harta anak yatim

2- Memakan harta saudara mara. 

3- Memakan harta Baitulmal. 


Allah Subhanahuwata'ala memberi ancaman dengan siksaan neraka kepada sesesiapa yang memperolehi harta dengan cara batil, 


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا. وَمَنْ يَفْعَلْ ذَٰلِكَ عُدْوَانًا وَظُلْمًا فَسَوْفَ نُصْلِيهِ نَارًا ۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرًا


Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama-suka di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu.Dan barangsiapa berbuat demikian dengan melanggar hak dan aniaya, maka Kami kelak akan memasukkannya ke dalam neraka. Yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. Al-Nisa ayat 29-30.


Kita berdoa kepada Alah, semoga Allah sentiasa menunjukkan kita ke jalan yang benar dan diredhai-Nya:


اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اِجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

1 comment:

  1. TETONNIC - TATONNIC - TOTONNIC | Tatonnica - Tatonnica
    TETONNIC. TETONNIC. TATONNIC. TATONNIC. TATONNIC. TATONNIC. TATONNIC. TATONNIC. TATONNIC. micro touch hair trimmer TATONNIC. TATONNIC. men\'s titanium wedding bands TATONNIC. TATONNIC. TATONNIC. columbia titanium jacket TATONNIC. TATONNIC. properties of titanium TATONNIC. TATONNIC. TATONNIC. TATONNIC. TATONNIC. TATONNIC. camillus titanium TATONNIC. TATONNIC. TATONNIC. TATONNIC

    ReplyDelete

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...