Wednesday, December 3, 2025

Keberkatan Masa Dan Usia

Keberkatan Masa Dan Usia

Hidup dan mati merupakan ketentuan dan rahsia Allah Subhanahuwata’ala. Tiada siapa yang mampu mengetahuinya. Tidak seperti susunan kelahiran, ada abang, kakak, adik dan seterusnya.Kematian, tidak mempunyai susunan sedemikian. Yang tua, tidak semestinya pergi lebih dahulu. Yang muda, tidak semestinya akan lebih panjang usianya. Jika ajal dan kematian sampai, maka tiada sesiapa yang mampu menahan kematian kita. Firman Allah Subhanahuwata’ala di dalam Surah al-A’raaf, ayat 34,

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya:''Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat (pula) memajukannya''.

Syeikh al-Zuhaili ketika menafsirkan ayat ini mengatakan setiap umat daripada umat-umat yang ada dan begitu juga setiap generasi daripada generasi-generasi yang ada mempunyai ketetapan umar yang tertentu sebagaimana yang ada di dalam ilmu Allah Subhanahuwata'ala. Apabila ketetapan umur tersebut telah sampai ke penghujungnya, maka akan terputuslah kehidupannya dan dia akan mula berpisah dengan dunia tanpa cepat atau lambat walau sesaat pun. Lihat: Tafsir al-Wasit, 5/267

Kematian adalah sesuatu yang pasti dan setiap yang hidup akan merasai kematian bahkan tidak ada satu pun dari kalangan yang bernyawa akan terlepas daripada kematian. Firman Allah Subhanahuwata'ala,

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya :”Tiap-tiap diri( sudah tetap)a kan merasai mati kemudian kamu akan dikembalikan kepada kami (untuk menerima balasan)''. Surah al-’Ankabut ayat 57.

Imam al-Khatib al-Baghdadi ada menukilkan satu kata-kata yang pernah diucapkan oleh Abu Abdullah Ahmad bin Ayyub:

اغْتَنِمْ فِي الْفَرَاغِ فَضْلَ رُكُوعٍ ... فَعَسَى أَنْ يَكُونَ مَوْتُكَ بَغْتَةْ

كَمْ صَحِيحٌ رَأَيْتُ مِنَ غَيْرِ سُقْمٍ ... ذَهَبَتْ نَفْسُهُ الصَّحِيحَةُ فَلْتَةْ

Maksudnya: “Peliharalah keutamaan ruku’mu pada waktu lapang, disebabkan kematian boleh datang kepada kamu secara tiba-tiba, betapa ramai orang yang sihat dan tidak sakit, dirinya boleh pergi dalam keadaan yang sihat secara tiba-tiba''. Lihat: Iqtidha’ al-‘Ilm al-‘Amal, 106.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam telah bersabda,

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ ‏

Maksudnya: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya''. Riwayat Muslim (1631), al-Nasa’i (3651), al-Tirmizi (1376) dan Abu Daud (2880)

Imam Nawawi dalam menjelaskan hadith ini menyebut: Ulama berkata, makna hadith ini adalah bahawa amalan si mati akan terputus dengan sebab kematiannya dan terputus juga pembaharuan pahala baginya kecuali dengan tiga amalan ini. Ini kerana ia menjadi penyebabnya. Anak yang soleh daripada usahanya. Manakala ilmu yang ditinggalkannya adalah dengan sebab pengajaran atau karangannya. Begitu juga sedekah jariyah iaitu wakaf.

Dalam hadith ini juga terdapat galakan supaya berkahwin untuk mendapat anak yang soleh. Pada hadith ini juga menunjukkan sahnya asal wakaf dan besar pahalanya. Di samping itu, diterangkan kelebihan ilmu serta galakan untuk memperbanyakkannnya. Begitu juga menggalakkan untuk mewariskan ilmu dengan cara pengajaran dan karya serta penerangan. Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim ibn al-Hajjaj, 11/85. 

Berkenaan dengan takrif sedekah pada bahasa, ia dengan maksud kebenaran atau pemberian ikhlas dari hati yang bersih. Manakala pada istilah pula, ulama’ menyebut sebagai pemberian semata-mata untuk mendekatkan kepada Allah dan mencari keredhaan Allah Subhanahuwata'ala. Hal ini selaras dengan firman Allah Subhanahuwata'ala,

إِن تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُمْ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya: "Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan''. Al-Baqarah Ayat 271.

Syeikh al-Maraghi berkata: "Jika kamu mengeluarkan derma secara terbuka, maka cara seperti itu adalah lebih baik kerana ia akan menjadi teladan yang baik kepada orang lain, sehingga ada antara mereka yang akan menirunya. Di samping itu, zakat menjadi salah satu sendi ajaran Islam yang andaikata jika dia lakukan dengan sembunyi-sembunyi, maka orang yang enggan mengeluarkannya akan berasa bimbang untuk melakukannya. Tetapi jika kamu memberi kepada orang fakir secara diam-diam, maka itulah yang terbaik kerana ia dapat menjauhkan diri dari sifat riyak, bahkan sejajar dengan keterangan dalam hadith-hadith dan contoh-contoh perbuatan sahabat". Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/620. 

Sedekah secara umumnya adalah merangkumi sama ada yang sunat mahupun yang fardhu. Jika yang fardhu, ia dikenali dengan zakat.

Berkenaan dengan sedekah jariah pula ia memberi maksud mengalir kerana sedekah tersebut bersifat kekal dan manfaatnya boleh digunakan walaupun penyumbangnya sudah meninggal dunia.

Dalam al-Qamus al-Fiqhi (1/318) sedekah jariah juga dikenali sebagai wakaf berdasarkan beberapa hadith Nabi Sallallahu'alaihiwasallam.

Al-Khatib al-Syarbini berkata: Ulama telah mentafsirkan perkataan ‘sedekah jariah’ dalam hadith yang tersebut di atas itu dengan maksud wakaf, seperti mana kata Imam al-Rafi’i. Hal ini kerana pahala sedekah jariah terus menerus mengalir kepada orang yang melakukannya, sedangkan sedekah yang lain, pahalanya tidak berterusan mengalir sepertimana sedekah amal jariah atau wakaf. Lihat Mughni al-Muhtaj, 10/87.

Oleh itu, dapat difahami bahawa sedekah jariyah adalah sedekah yang dilakukan di mana pahalanya berterusan mengalir sekalipun seseorang telah meninggal dunia seperti amalan wakaf.

Diantara bentuk-bentuk Sedekah Jariyah, sebagaimana hadith riwayat dari Abu Hurairah R.A, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

إِنَّ مِمَّا يَلْحَقُ الْمُؤْمِنَ مِنْ عَمَلِهِ وَحَسَنَاتِهِ بَعْدَ مَوْتِهِ عِلْمًا عَلَّمَهُ وَنَشَرَهُ وَوَلَدًا صَالِحًا تَرَكَهُ وَمُصْحَفًا وَرَّثَهُ أَوْ مَسْجِدًا بَنَاهُ أَوْ بَيْتًا لِابْنِ السَّبِيلِ بَنَاهُ أَوْ نَهْرًا أَجْرَاهُ أَوْ صَدَقَةً أَخْرَجَهَا مِنْ مَالِهِ فِي صِحَّتِهِ وَحَيَاتِهِ يَلْحَقُهُ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya yang didapati oleh orang yang beriman dari amalan dan kebaikan yang dia lakukan setelah dia mati adalah:

-Ilmu yang dia ajarkan dan sebarkan.

-Anak soleh yang dia tinggalkan.

-Mushaf al-Qur’an yang dia wariskan.

-Masjid yang dibina.

-Rumah bagi ibnu sabil (musafir yang terputus perjalanan) yang dia bina

-Sungai yang dia alirkan.

-Sedekah yang dia keluarkan dari harta ketika dia sihat dan hidup.

Semua itu akan dihubungkan dengannya setelah dia mati.”

Riwayat Ibn Majah (242), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (3174). Hadith ini disahihkan oleh Ibn Khuzaimah dan dihasankan oleh al-Munziri.

Maka, cuba kita tanyakan diri kita, apakah persediaan yang telah kita lakukan bagi memastikan selepas kita mati nanti, pahala kita masih berterusan. Dalam hal ini, marilah sama-sama kita fahami anjuran Allah yang sangat jelas melalui firman-Nya dalam surah An-Nisaa’, ayat 36,

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنْبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ مَنْ كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا

Maksudnya:'' Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri''.

Sebelum kita membantu pihak - pihak yang lain, bantulah kedua ibu bapa kita dahulu. Hulurkanlah sebahagian gaji kita untuk dihadiahkan kepada keduanya. Apalah guna saudara, jika kita mempunyai rumah yang besar, pembantu rumah dan kenderaan serta kesenangan yang lain, tetapi kita tidak mampu memberikan wang kepada ibu bapa walau hanya sedikit? Atau kita tidak mampu berkongsi wang bersama adik beradik lain, di saat ibu bapa memerlukan seorang pembantu bagi menjaganya kerana semua anak bekerja?

Perkara pertama dan utama yang perlu kita lakukan ialah sentiasa berbuat baik kepada ibu bapa. Sentiasa menggembirakan mereka dan membantu mereka di saat mereka memerlukan kita, terutamanya pada hari - hari tua mereka. Janganlah kita tolak - menolak antara adik beradik dalam menjaga atau ketika ibu bapa memerlukan bantuan kewangan dari kita atas alasan “Kau abang, aku adik” atau, “Kau belum kahwin, aku ada anak isteri”, atau “Suami atau isteri aku tak suka” dan sebagainya. 

Selain ibu bapa, sebelum kita membantu orang lain, lihat juga dahulu adik beradik kita yang lain. Susah ke, senang ke mereka? Terutamanya adik - adik dan kakak -kakak kita yang kematian suami atau ditinggalkan suami. Siapakah yang membantu mereka, anak - anak mereka? Ingatlah, semua ini perlu kita dahulukan dan utamakan sebelum kita ingin membantu pihak lain. Kerana nafkah yang paling afdal, adalah apa yang kita hulurkan untuk membantu ahli keluarga kita sendiri yang dalam keperluan. 

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

دِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي سَبِيلِ اللهِ وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي رَقَبَةٍ، وَدِينَارٌ تَصَدَّقْتَ بِهِ عَلَى مِسْكِينٍ، وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ، أَعْظَمُهَا أَجْرًا الَّذِي أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ

Maksudnya: “Dan dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskan) dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu sedekahkan kepada keluargamu. Maka yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu sedekahkan kepada keluargamu”. Riwayat Muslim (995)

Imam al-Nawawi RA berkata bahawa memberi sedekah kepada ahli keluarga adalah lebih afdhal (lebih baik) berbanding memberi kepada orang asing (yang tidak mempunyai pertalian keluarga) jika mereka (ahli keluarga) berhajat kepadanya. Tambahan pula, ahli keluarga perlu diraikan hak mereka berdasarkan pertalian silaturrahim walaupun pertalian tersebut jauh. Ini kerana, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam memerintahkan kepada Abu Talhah untuk memberikan sedekahnya kepada ahli keluarganya maka beliau memberikannya kepada Ubaiy bin Ka’ab dan Hassan bin Thabit. Kedua sahabat ini berhimpun pada nasab datuk yang ke-7. Lihat: al-Minhaj, 86/7

Walaupun begitu, kita juga dituntut untuk memberi sedekah kepada selain daripada ahli keluarga melainkan jika ahli keluarga itu amat memerlukannya. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala,

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Perbandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas kurniaan-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya”. Al-Baqarah ayat 261

Ayat ini jelas menunjukkan akan kelebihan seseorang itu apabila dia menyedekahkan sebahagian hartanya di jalan Allah Subhanahuwata'ala. Di samping itu juga, keikhlasan amat penting agar apa yang kita sedekahkan atau belanjakan diterima oleh Allah Subhanahuwata'ala dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain supaya kita dikenali atau digelar sebagai seorang yang kuat bersedekah.

الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ثُمَّ لَا يُتْبِعُونَ مَا أَنفَقُوا مَنًّا وَلَا أَذًى ۙ لَّهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya:"Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita''. Al-Baqarah ayat 262

Ibn Kathir berkata: Ini merupakan perumpamaan yang diberikan Allah mengenai gandaan pahala untuk orang yang bernafkah hartanya pada jalan Allah kerana mencari keredaan-Nya. Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/526

Diriwayatkan daripada Mu’az bin Jabal RA, beliau berkata: Wahai Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, beritahu kepada saya suatu amalan yang akan memasukkan saya ke dalam syurga dan menjauhkan saya dari neraka. Baginda lalu bersabda:

لَقَدْ سَأَلْتَنِي عَنْ عَظِيمٍ ، وَإِنَّهُ لَيَسِيرٌ عَلَى مَنْ يَسَّرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ ، تَعْبُدُ اللَّهَ وَلاَ تُشْرِكْ بِهِ شَيْئًا ، وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ ، وَتُؤْتِي الزَّكَاةَ ، وَتَصُومُ رَمَضَانَ ، وَتَحُجُّ البَيْتَ, ثُمَّ قَالَ : أَلاَ أَدُلُّكَ عَلَى أَبْوَابِ الخَيْرِ : الصَّوْمُ جُنَّةٌ ، وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ

Maksudnya: “Demi Allah! Sesungguhnya kamu telah bertanya padaku tentang sesuatu yang besar. Sesungguhnya ia memang mudah bagi sesiapa yang dimudahkan oleh Allah kepadanya. Kamu menyembah Allah tanpa menyekutukan sesuatu dengan-Nya, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji di Baitullah. Kemudian Baginda bersabda lagi: Tidakkah kamu mahu aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan? Puasa itu perisai. Sedekah memadam dosa sepertimana air memadam api.”

Riwayat al-Tirmizi (2616), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (11394) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (103)

Al-Mubarakfuri berkata: Ungkapan “وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ” (Sedekah memadam dosa sepertimana air memadam api) dengan maksud menghilangkannya dan menghapuskan kesannya. Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/237

Marilah kita bersama-sama memohon kepada Allah agar dikurniakan husnul khatimah (kesudahan yang baik) sepertimana Nabi Sallallahu'alaihiwasallam berdoa,

اللّهُمَّ تُوَفِّنا مسلمين وَاحْيِناَ مُسْلِمِينَ وَأَلحِقْناَ بالصالحين

Maksudnya:”Ya Allah matikan kami dalam keadaan kami muslim, hidupkan kami sebagai Muslim dan masukkan kami dalam kalangan orang yang soleh''.Riwayat al-Bukhari (697) dalam Al-Adab Al-Mufrad


No comments:

Post a Comment

Keberkatan Masa Dan Usia

Keberkatan Masa Dan Usia Hidup dan mati merupakan ketentuan dan rahsia Allah Subhanahuwata’ala. Tiada siapa yang mampu mengetahuinya. Tidak ...