Wednesday, July 23, 2025

Penuhilah Kewajipan Solatmu Dan Ahli Keluargamu

Penuhilah Kewajipan Solatmu Dan Ahli Keluargamu

Solat merupakan kewajipan yang diperintahkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam, yang diterima langsung daripada Allah Subhanahuwata’ala tanpa melalui perantaraan malaikat untuk disampaikan kepada umatnya. Ini menunjukkan betapa pentingnya solat sebagai medium untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala. Adalah menjadi kewajipan utama dalam kehidupan setiap muslim yang mukallaf iaitu yang baligh dan berakal melaksanakannya. Sebagai umat Islam, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sejarah, bahkan mengingatkan kita tentang kewajipan besar untuk memastikan bahawa solat bukan hanya menjadi amalan kita sendiri tetapi juga amalan yang berterusan dalam keluarga kita, termasuklah anak dan isteri.

Ketahuilah, bahawa solat merupakan perkara yang mula-mula sekali akan diperhitungkan oleh Allah Subhanahuwata’ala pada hari akhirat kelak. Oleh itu, jika seseorang itu melaksanakan solatnya dengan sempurna, maka berbahagia dan beruntunglah dia. Jika sebaliknya, maka akan rugi dan menyesallah dia kelak. Terdapat satu hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A menceritakan bahawa jika baik dan sempurna solat maka baiklah amalan lainnya, sebaliknya jika buruk solatnya maka buruklah amalan lainnya. Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

أَوَّلُ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ الصَّلَاةُ، فَإِنْ صَلَحَتْ صَلَحَ لَهُ سَائِرُ عَمَلِهِ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَسَدَ سَائِرُ عَمَلِهِ

Maksudnya: ''Sesungguhnya amalan yang mula dihisab atas seseorang hamba pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya baik solatnya maka baik segala amalannya, sekiranya buruk solatnya maka buruk segala amalannya''. Riwayat al-Thabrani (1859)

Dalam riwayat yang lain, terdapat hadith menceritakan tentang perkara ini yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلاَتُهُ فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ فَإِنِ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيضَتِهِ شَيْءٌ قَالَ الرَّبُّ عَزَّ وَجَلَّ انْظُرُوا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ فَيُكَمَّلَ بِهَا مَا انْتَقَصَ مِنَ الْفَرِيضَةِ ثُمَّ يَكُونُ سَائِرُ عَمَلِهِ عَلَى ذَلِكَ

Maksudnya: Sesungguhnya amalan pertama yang dihisab seseorang hamba pada hari kiamat adalah daripada amalan solatnya. Jika baik solatnya maka berbahagia dan berjayalah ia. Jika buruk solatnya maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya solat fardunya tidak sempurna, maka tuhan ‘Azza wa Jalla berfirman: Periksalah, adakah hamba-Ku ini menunaikan solat-solat sunat untuk menampung kekurangan solat fardunya itu. Kemudian dihitung seperti ini jua pada amalan-amalan yang lain''.Riwayat al-Tirmizi (413)

Imam Munawi dalam menjelaskan hadith di atas menyatakan bahawa (صلح له سائر عمله) memberi maksud bahawa jika amalan solatnya sempurna dan diterima oleh Allah, maka Allah akan mempermudahkan proses perhitungan dan pemeriksaan amalan-amalan yang lain. Begitu juga maksud (فسد سائر عمله) iaitu amalan-amalan yang selain solat akan rosak jika solat tidak sempurna dan tidak diterima yang mana membawa maksud Allah akan menyempitkan proses penilaian amalan-amalan yang lain selain solat lima waktu. Lihat Faid al-Qadir Syarh al-Jami’e al-Saghir, (Mesir: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 1356H) 3/87

Hal ini menjelaskan bahawa peri pentingnya ibadah solat sehingga Allah Subhanhuwata'ala mengancam dengan azab yang sangat berat. Imam al-Ghazali menukilkan hadith Nabi Sallallahu'alaihiwasallam sabdanya, mereka yang meninggalkan solat maka Allah Subhanhuwata'ala sahaja yang akan menentukan nasib mereka, sama ada diberi ganjaran syurga atau balasan api neraka. Lihat Ihya’ ‘Ulum al-Din (Beirut: Dar Ma’rifah) 1/146

Meninggalkan solat sama ada dengan sengaja atau tidak merupakan satu dosa yang sangat besar dan diberi amaran dengan ancaman yang berat di sisi syarak bahkan mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja dan mengingkari kewajipannya, para ulama bersepakat bahawa mereka itu terkeluar daripada agama Islam dan dihukum sebagai kafir. Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy, 1392) 2/70

Selain itu, sekiranya meninggalkannya kerana malas tetapi tidak mengingkari kewajipannya, maka para ulama berbeza pandangan berkenaan dengannya. Menurut mazhab Maliki dan al-Syafi’i serta jumhur para salaf berpandangan tidak dihukum kafir akan tetapi fasik dan wajib bertaubat. Sekiranya enggan bertaubat setelah diberi peluang maka hendaklah dijatuhkan hukuman hudud iaitu hukuman bunuh.

Meninggalkan solat merupakan perkara yang sangat berat dalam Islam. Ini kerana solat merupakan salah satu rukun Islam dan menjadi kewajipan bagi setiap individu muslim. Begitu juga solat sebagai tanda keimanan dan ketakwaan seseorang hamba kepada Allah Subhanhuwata'ala. Dengan meninggalkannya akan mengundang kemurkaan dan azab daripada Allah Subhanhuwata'ala. Menurut pandangan mazhab al-Syafi’i, individu yang meninggalkan solat kerana malas pada masa yang sama tidak mengingkari kewajipannya maka ia dikategorikan sebagai fasik dan hendaklah bertaubat serta menggantikannya.

Namun dari segi ganjaran amalan baik yang lain, Allah Subhanhuwata'ala akan mengambil kira amalan tersebut walaupun sebesar mana sekali pun, sama ada baik atau buruk. Hal ini berdasarkan firman Allah Subhanhuwata'ala,

فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ. وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ

Maksudnya: ''Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (7) Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (8)''. Al-Zalzalah ayat 7-8.

Walaubagaimana pun, sememangnya ada sebahagian ulama yang menyatakan bahawa orang meninggalkan seluruh solat fardu dengan sengaja, maka amalan-amalan soleh yang lain tidak diterima oleh Allah.

Solat merupakan tiang agama yang menjadi kewajipan paling utama bagi setiap muslim. Namun, sebagai ketua keluarga adakah kita telah melaksanakan peranan dalam memimpin dan mengawasi ibadah solat ahli keluarga kita? Firman Allah Subhanahuwata’ala dalam Surah At-Tahrim ayat 6,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Maksudnya:''Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan''.

Allah Subhanahuwata’ala mengingatkan kita untuk menjaga diri dan keluarga agar terhindar daripada azab neraka. Ini termasuklah memastikan setiap ahli keluarga kita, terutamanya anak dan isteri, tidak meninggalkan solat dan terus berpegang teguh pada ajaran Islam. Firman Allah Subhanahuwata'ala,

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا قُوْٓا اَنْفُسَكُمْ وَاَهْلِيْكُمْ نَارًا وَّقُوْدُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلٰۤىِٕكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُوْنَ اللّٰهَ مَآ اَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُوْنَ مَا يُؤْمَرُوْنَ 

Maksudnya:''Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu. Penjaganya adalah malaikat-malaikat yang kasar dan keras. Mereka tidak durhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepadanya dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan''.Al- Tahrim Ayat 6

Rasulullah Sallallahu'alaihiwasalam bersabda,

عَنْ نَافِعٍ عَنِ ابْنِ عُمَرَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ أَلَا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِه

Maksudnya:''Daripada Ibnu Umar, daripada Nabi Sallallahu'alaihiwasalam, beliau bersabda: “Ketahuilah Setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpin. Seorang raja adalah pemimpin bagi rakyatnya, dan dia akan diminta pertanggungjawaban terhadap yang dipimpin. Seorang suami adalah pemimpin bagi anggota keluarganya, dan ia akan diminta pertanggungjawaban terhadap mereka. Seorang isteri adalah pemimpin bagi rumah tangga,suami dan anak-anaknya, dan akan diminta pertanggungjawaban terhadap yang dipimpinnya. Seorang hamba adalah pemimpin bagi harta tuannya, dan dia juga akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpinnya. Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan diminta pertanggungjawaban atas apa yang kamu pimpin''. Riwayat Muslim (3408)

Suami yang bertanggungjawab, hendaklah memberi perhatian dan galakan serta bimbingan kepada anak dan isteri agar mereka tidak terlepas daripada kewajiban solat. Solat bukan hanya menjaga hubungan kita dengan Allah, tetapi ia juga memberi kesan positif kepada keharmonian, keberkatan, kemesraan dan ketenangan sesebuah keluarga. Berikanlah mereka peringatan, motivasi dan dorongan agar solat menjadi kebiasaan dalam kehidupan mereka. Semoga Allah Subhanahuwata’ala memberi taufik dan hidayah kepada kita semua dalam mendidik keluarga kita ke jalan yang benar. Berdoalah kepada Allah subhanahu wata’ala sebagaimana doa Nabi Ibrahim alahissalam agar tetap mendirikan solat untuk diri dan keturunan sebagaimana firman Allah Subhanahuwata’ala dalam surah Ibrahim ayat 40,

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya":Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku''.

Suami atau ayah hendaklah memastikan isterinya menunaikan fardu solat kerana merekalah yang berperanan dalam mendidik anak-anak dalam melaksanakan kewajiban ini. Meninggalkan solat fardu lima waktu dengan sengaja adalah haram dan berdosa besar. Allah subhanahu wata’ala telah menjanjikan neraka Saqar bagi mereka yang meninggalkan solat. Firman Allah Subhanahu wata’ala dalam Surah al-Muddathir ayat 42 dan 43,

مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ. قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ

Maksudnya:''Apakah yang memasukkan kamu ke dalam Saqar (neraka)?". Mereka menjawab: "Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan solat''.

Sayangilah anak dan keturunan kita supaya mereka tidak mencuaikan solat serta tidak menurut hawa nafsu (melakukan maksiat) agar mereka selamat dari azab neraka. Firman Allah Subhanahuwata’ala dalam Surah Maryam ayat 59,

فَخَلَفَ مِنْ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ ۖ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا

Maksudnya:''Maka datanglah sesudah mereka, pengganti (yang jelek) yang menyia-nyiakan solat dan memperturutkan hawa nafsunya, maka mereka kelak akan menemui kesesatan''.

Sesungguhnya, kesan meninggalkan solat dapat membawa kerosakan kepada umat itu sendiri. Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam ketika hampir wafat turut memberi wasiat penting agar menjaga solat. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah RA,

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ قَالَتْ كَانَ مِنْ آخِرِ وَصِيَّةِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الصَّلَاةَ الصَّلَاةَ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ حَتَّى جَعَلَ نَبِيُّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُلَجْلِجُهَا فِي صَدْرِهِ وَمَا يَفِيصُ بِهَا لِسَانُهُ

Maksudnya:''Diriwayatkan dari Ummu Salamah RA, dia berkata: "Wasiat terakhir Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam adalah 'Jagalah solat, jagalah solat, dan apa yang ada di tangan kananmu (budak atau harta benda).' Nabi Sallallahu'alaihiwasallam sampai mengulang-ulangnya di dalam dada, tetapi lisan beliau tidak mampu menyampaikannya secara jelas''. Riwayat Ahmad(26483, 26684)

Hendaklah kita mengambil peringatan ini dengan sebenar-benarnya. Setiap keluarga perlu berperanan membentuk umat yang bertakwa dengan memelihara agama dalam lingkungannya. Bersama-samalah dengan isteri kita memantau anak-anak menerusi solat mereka dan kemudian bertawakkallah kepada Allah Subhanahuwata’ala. Solat yang baik pasti akan mencegah seseorang dari melakukan mungkar. Jika solat tidak mencegahnya, maka perhatikanlah kualiti solatnya. Jika ianya dilakukan dengan ikhlas dan khusyu’ serta terpelihara dari riya’, mampu menghalang seseorang dari perkara mungkar. Solat dapat menjadi satu benteng yang menghalang seseorang itu daripada melakukan kemungkaran dan kemaksiatan, sebagaimana firman Allah Subhanahuwata''ala,

إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar''. Al-‘Ankabut Ayat 45

Semoga dengan menjaga solat, Allah Subhanahuwata’ala memelihara anak-anak kita dari terjebak dalam pelbagai masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah, meminum arak, pergi ke kelab-kelab malam, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, berzina dan sebagainya. Lakukan solat kerana kecintaan kita kepada Allah Subhanahuwata’ala. Justeru, inilah merupakan kunci utama penyelesaian kepada setiap masalah bagi mencapai keluarga sakinah (tenang) dan mawaddah (kasih sayang). Solat membentuk disiplin diri, hati akan menjadi tenang, mendapat keredaan dan keampunan Allah serta membuka pintu rezeki.Jagalah hak Allah, pasti Allah akan menjaga kita. Daripada Ibnu Abbas radhiallahu anhu, beliau berkata: Pada suatu hari aku pernah menunggang kenderaan di belakang Nabi Sallallahu'alaihiwasallam. Baginda bersabda,

 عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ كُنْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا فَقَالَ يَا غُلَامُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ رُفِعَتْ الْأَقْلَامُ وَجَفَّتْ الصُّحُفُ قَالَ هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ

Maksudnya:''Dari Ibnu Abbas, ia berkata: "Pada suatu hari aku pernah berada di belakang Rasulullah ﷺ, kemudian beliau bersabda, 'Hai Anak, aku akan mengajarimu beberapa kalimat; jagalah Allah, nescaya Dia akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya engkau akan menemui-Nya di hadapanmu. Bila engkau ingin meminta, mintalah kepada Allah, dan bila engkau ingin meminta pertolongan, mintalah kepada Allah. Ketahuilah, bahwa seandainya bila ada suatu umat yang bersatu untuk memberimu manfaat, niscaya mereka tidak akan mampu memberimu manfaat apa pun selain apa yang telah Allah takdirkan untukmu. Dan seandainya bila mereka bersatu untuk membahayakanmu, mereka tidak akan mampu membahayakanmu sama sekali kecuali apa yang telah Allah takdirkan untukmu. Pena-pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering (takdir telah ditetapkan -pent)''.Abu Isa berkata: Hadis ini hasan sahih.(2516)



No comments:

Post a Comment

Penuhilah Kewajipan Solatmu Dan Ahli Keluargamu

Penuhilah Kewajipan Solatmu Dan Ahli Keluargamu Solat merupakan kewajipan yang diperintahkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasal...