Thursday, September 19, 2024

Mendirikan Masyarakat Atas Dasar Aqidah Islam.

Mendirikan Masyarakat Atas Dasar Aqidah Islam.

Aqidah yang dimaksudkan dalam membentuk masyarakat Islam ialah aqidah yang berpandukan,


لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ


Maksudnya:”.....Tidak ada tuhan yang layak disembah selain Allah Subhanahuwata'ala dan Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam merupakan pesuruh Allah Subhanahuwata'ala”.... Riwayat Muslim (9)


Cara untuk mewujudkan masyarakat Islam berdasarkan Aqidah Islam adalah dengan melahirkan kehormatan dan mensucikan aqidah tersebut.


Seterusnya melakukan kerja-kerja yang boleh membawa kearah penerapan aqidah tersebut ke dalam hati-hati setiap individu dalam masyarakat.


Seperkara lagi adalah dengan mendidik dan mentarbiah orang-orang Islam yang berada di dalam masyarakat berdasarkan saluran tuntutan aqidah tersebut. Menepis Dan menolak segala dakwaan palsu yang merupakan cemuhan dan tohmahan terhadap aqidah tersebut. Menolak segala syubhat yang menyesatkan dan mengelirukan masyarakat. Membaiki dan mencantikkan kelebihan Dan kemuliaan aqidah tersebut dalam sanubari individu mahupun masyarakat dengan menggunakan jalan yang menuju kepada tertegaknya masyarakat Islam samaada melalui masjid, sekolah, pejabat, media massa dan setiap sudut yang menyalur kerah tersebut dengan pelbagai kesenian dan tarikan yang sama sekali tidak menyinggung sekaligus menenangkan semua pihak.


Bukanlah yang dimaksudkan mendirikan masyarakat Islam itu dengan memaksa setiap orang yang bukan Islam untuk meninggalkan kepercayaan dan pegangan yang mereka anuti selama ini untuk masuk Islam. Tidak sama sekali, Islam tidak pernah menyuruh umatnya untuk melakukan sebarang paksaan dalam semua sudut apatah lagi dalam aspek kepercayaan dan anutan agama. Malah perkara tersebut tidak pernah diajar kepada umat terdahulu mahupun yang terkemudian. Sejak awal lagi Islam menegah perkara tersebut. Bahkan banyak di dalam ayat-ayat al-Quran yang jelas dan nyata menolak konsep paksaan tersebut.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انْفِصَامَ لَهَا ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ.


Maksudnya:”Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Karena itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. Al-Baqarah ayat 256.


Telah tercatat dalam sejarah kerajaan Islam pada zaman kegemilangannya, bahawa Islam banyak bertolak ansur dengan mereka yang bukan beragama Islam dalam menangani masalah kepercayaan dan pegangan aqidah dengan melihat Dari pelbagai sudut diri mereka.   


Yang dimaksudkan bertolak ansur dengan mereka yang bukan beragama Islam dalam beberapa perkara selama mana tidak memburukkan dan menghina Islam seperti memberi mereka ruang menyambut hari perayaan mereka. Bahkan Allah Subhanahuwata'ala melarang umatnya untuk menghina Dan mencaci tuhan-tuhan mereka kerana perbuatan itu akan menyebarkan perpecahan dan peperangan.



وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ.


Maksudnya:”Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan”. Al-An’am ayat 108.


Makna mendirikan masyarakat Islam berdasarkan Aqidah Islam adalah dengan tidak membiarkan masyarakat berada dalam keadaan terbiar dan sia-sia, tetapi membawa masyarakat kearah lebih bersistem. Untuk melaksanakan aqidah Islam dalam sistem masyarakat adalah dengan tidak menyuburkan masyarakat yang madiyah(kebenaran semata-mata iaitu materialisme), sekularisme (memisahkan antara agama dan urusan dunia), wathaniyan (mensyirikkan Allah Subhanahuwata'ala), Yahudi, Nasrani, liberalisme, atau anutan marks (tidak mempercayai tuhan). 


Yang dikehendaki dengan maksud membawa masyarakat yang menganuti aqidah Tauhid iaitu Agama Islam, iaitu dengan melaksanakan kepercayaan bahawa tiada agama dan anutan lain yang yang lebih tinggi dan mulia berbanding Islam. Hakikatnya agama Islam itu tinggi (mulia),tiada agama atau anutan lain yang lebih tinggi (mulia) daripadanya. Islam sekali tidak akan menerima akan percampuran urusan agama dalam masalah Aqidah Tauhid.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


… وَلَن يَجۡعَلَ ٱللَّهُ لِلۡكَٰفِرِينَ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ سَبِيلًا 


Maksudnya:”…Dan Allah sekali-kali tidak akan memberikan jalan kepada orang-orang kafir untuk lebih tinggi memusnahkan orang-orang yang beriman”. Al-Nisa’: 141]


Daripada ‘A’iz bin ‘Amr al-Muzani Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,


‌الْإِسْلَامِ ‌يَعْلُو ‌وَلَا ‌يُعْلَى.


Maksudnya:”Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya”. Riwayat al-Daraqutni, Sunan al-Daraqutni, Kitab al-Nikah, No. 3620.


Islam tidak akan bersetuju untuk bertukar-tukar sebahagian dalam Aqidah Tauhid dengan agama lain. Pada zaman Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam, Baginda telah ditawar oleh pihak musyrikin untuk sama-sama bertukar-tukar dan mencampurkan akan perkara dalam ruang lingkup aqidah. Kaum musyrikin ingin membuat perjanjian bersama Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam iaitu mereka akan menyembah tuhan bagi umat Islam selama setahun dan Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam juga mesti menyembah tuhan mereka selama setahun. Lalu atas peristiwa itu Allah Subhanahuwata'ala telah menurunkan surah al-Kafirun sebagai jawapan atas perjanjian yang ingin mereka meterai bersama Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


قُلْ يَاأَيُّهَا الْكَافِرُونَ (1) لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ (2) وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (3) وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَا عَبَدْتُمْ (4) وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (5) لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ(6


Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku”. Surah al-Kafirun ayat 1-6.


Masih belum layak untuk mengatakan bahawa sebuah masyarakat itu ialah masyarakat yang berdiri di atas landasan Islam sekiranya hukum Islam hanya dilaksanakan sebahagian sahaja dan bukan menyeluruh. Bahkan Islam bersifat syumul iaitu menyeluruh dalam segenap urusan manusia yakni daripada sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara. Perlaksanaan Islam perlu dilakukan secara menyeluruh dalam segala aspek kehidupan bukan hanya melaksanakan sebahagian dan sebahagian lain pula ditolak ke tepi.


Bukan dinamakan mendirikan masyarakat Islam dengan menyembunyikan nama Allah Subhanahuwata'ala dalam semua perkara dan dalam masa yang sama melahirkan atau mengagungkan sifat atau kuasa semula jadi seperti mengatakan bahawa sungai merupakan perkara semulajadi dan hutan rimba kurniaan sejak dahulu lagi. Bahkan dengan mengatakan semua yang wujud adalah perkara yang semula jadi, seolah-olah semua perkara yang wujud tidak ada pencipta baginya maka bukan Allah Subhanahuwata'ala yang mencipta segala-galanya dan mentadbir setiap perkara yang berlaku di alam ini. Dengan menyembunyikan nama Allah Subhanahuwata'ala dan mengangkat nama alam serta sifat semula jadi adalah seolah-olah tidak memperakui akan keagungan dan kekuasaan Allah Subhanahuwata'ala. Kepercayaan sebegini merupakan seperti kepercayaan Atheist yang tidak mempercayai akan kewujudan dan kekuasaan tuhan.


Bagaimana boleh dikatakan masyarakat Islam seandainya masyarakat tersebut tidak memperakui kekuasaan Allah Subhanahuwata'ala?


Gambaran yang boleh dinukilkan bagi masyarakat Barat terhadap konteks ketuhanan dan ikatan kehidupan dengan alam ini, ialah wujudnya kuasa tuhan yang merupakan pencipta alam tetapi dibiarkan alam ini tanpa penjaga, pengawasan dan tidak ditadbir seperti yang sepatutnya. Seolah-olah alam ini diserahkan sepenuhnya kepada mereka untuk melakukan apa sahaja kerana bagi mereka tuhan tidak mentadbir dan menjaga alam ini.


Jika ditinjau kembali, gambaran ini samalah seperti gambaran yang telah dihasilkan oleh para falsafah (pemikir) Yunani mengenai konteks ketuhanan pada zaman dahulu khususnya Aristotle yang tidak mengetahui sesuatu pun mengenai ketuhanan melainkan zat dirinya sendiri sahaja. Lebih pelik lagi Alflatun (Plato) juga tidak mengetahui apa-apa pun mengenai ketuhanan bahkan juga hakikat bagi zat dirinya. 


Adapun gambaran bagi masyarakat Islam dalam konteks ketuhanan telah disebutkan dalam al-Quran melalui firman Allah Subhanahuwata'ala,


 سَبَّحَ لِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ. لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ يُحْيِي وَيُمِيتُ ۖ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. هُوَ الْأَوَّلُ وَالْآخِرُ وَالظَّاهِرُ وَالْبَاطِنُ ۖ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ. هُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَىٰ عَلَى الْعَرْشِ ۚ يَعْلَمُ مَا يَلِجُ فِي الْأَرْضِ وَمَا يَخْرُجُ مِنْهَا وَمَا يَنْزِلُ مِنَ السَّمَاءِ وَمَا يَعْرُجُ فِيهَا ۖ وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنْتُمْ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ. لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ وَإِلَى اللَّهِ تُرْجَعُ الْأُمُورُ. يُولِجُ اللَّيْلَ فِي النَّهَارِ وَيُولِجُ النَّهَارَ فِي اللَّيْلِ ۚ وَهُوَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ.


Maksudnya:”Semua yang berada di langit dan yang berada di bumi bertasbih kepada Allah (menyatakan kebesaran Allah). Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kepunyaan-Nya-lah kerajaan langit dan bumi, Dia menghidupkan dan mematikan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Dialah Yang Awal dan Yang Akhir Yang Zhahir dan Yang Bathin; dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu. Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa: Kemudian Dia bersemayam di atas 'Arsy. Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar daripadanya dan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepada-Nya. Dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. Kepunyaan-Nya-lah kerajaan langit dan bumi. Dan kepada Allah-lah dikembalikan segala urusan. Dialah yang memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam. Dan Dia Maha Mengetahui segala isi hati”. Al-Hadid ayat 1-6


Bukanlah ditakdirkan sebagai masyarakat Islam seandainya beriman kepada Allah dan hari Akhirat tetapi, dalam masa yang sama juga beriman terhadap kewujudan benda-benda lain seperti tanah air atau apa sahaja daripada sembahan berhala yang disembah oleh manusia. Jelas keimanan tersebut berasingan dengan pengertian beriman kepada Allah Subhanahuwata'ala atau bersama-sama (bersekutu) dengan keimanan kepada Allah Subhanahuwata'ala.


Tambahan lagi apabila masyarakat tersebut turut mengagung-agungkan pembesar-pembesar lain lebih daripada Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam.


Tidak juga dilebalkan sebagai masyarakat Islam apabila mereka memiliki kitab Allah Subhanahuwata'ala iaitu al-Quran sebagai hidayah, undang-undang dan pensyariatan namun hanya dibiarkan tetapi mereka pula mengambil manhaj atau sumber-sumber daripada kitab lain sebagai pensyariatan dan undang-undang bagi kehidupan yang disandarkan kepada kitab-kitab tersebut sebagai satu timbangan dan nilaian kehidupan. 


Bukanlah dikatakan masyarakat Islam sekiranya hanya membiarkan dan berdiam seribu bahasa apabila ada pihak-pihak yang mencela Allah, Rasul-Nya serta kitab-Nya tanpa mampu berbuat apa-apa atau mengambil sebarang tindakan terhadap pihak-pihak tersebut atas kekufuran, kemurtadan dan kefasikan mereka yang tercela, sehingga mereka berani menyuarakan di dalam media massa secara terang-terangan dengan mengatakan Islam kini telah tercedera, lemah dan hanya mampu tersimpan di dalam muzium tanpa mampu melakukan sesuatu apa pun.


Bukanlah dinamakan sesebuah masyarakat itu sebagai masyarakat Islam sekiranya mereka bertolak ansur dengan memberi ruang dan kuasa kepada aqidah-aqidah lain yang memusuhi Islam atau mencampuradukkan Islam dalam ruang lingkup aqidah seperti komunis atau apa-apa sahaja daripada ideologi-idelogi songsang yang merampas kuasa. Malah menjadi suatu kesalahan sekiranya menganggap ideologi-ideologi seperti sekularisme, liberalisme, pluralisme, atheist dan lain-lain bukan daripada kelompok aqidah yang memusuhi Islam.


Sesungguhnya hal ini merupakan satu gerakan ataupun mazhab berunsurkan ekonomi atau kemasyarakatan yang menggunakan satu unsur atau idea tertentu dalam menyusun sesuatu cara hidup dan perkara-perkara yang berkaitan. Ideologi-ideologi tersebut tidak ada tabiat semulajadi yang berunsur keagamaan sehingga boleh dinamakan sebagai aqidah. Hakikat yang berlaku ialah, ideologi-ideologi tersebut merupakan satu falsafah bagi kehidupan yang sempurna dan aqidah yang menyeluruh, meliputi sudut pandangan manusia terhadap alam sejagat, sejarah, kehidupan, sesama makhluk, ketuhanan, yang sebahagiannya bukanlah pandangan Islam. Sesetengah ulamak menamakan perkara ini, iaitu ideologi-ideologi yang bertentang dengan Islam adalah sebagai agama tanpa wahyu.


Bukanlah masyarakat Islam sekiranya hanya menjadikan aqidah sebagai perkara sampingan dalam kehidupan dan hanya menggunakannya sebagai manhaj atau perjalanan dari segi pendidikan, pembelajaran, pengetahuan, pemikiran dan petunjuk tetapi hanya terhad pada ruang lingkup yang terlalu kecil. Masyarakat sebegini juga tidak menjadikan aqidah sebagai asas atau dasar yang utama dalam kehidupan individu, Kekeluargaan mahupun kemasyarakatan. Malah, mereka turut menjadikan aqidah sebagai pilihan kedua dalam setiap perkara dengan seolah-olah meletakkan aqidah dihujung ekor atau ditempat yang terakhir dalam membuat pemilihan, itu pun sekiranya ada tempat yang disediakan. 


Aqidah pada tanggapan masyarakat Islam yang dibangunkan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, kemudian diwarisi oleh para sahabat, tabiin dan golongan selepas mereka merupakan perkara dan rujukan yang pertama dalam masyarakat Dan kehidupan. 


Aqidah merupakan masdar atau rujukan bagi permasaalahan dan pemikiran. Aqidah merupakan asas bagi sesebuah ikatan dalam konteks hubungan kemasyarakatan serta merupakan asas bagi perundangan.


Aqidah membina dan melahirkan akhlak-akhlak yang baik lagi terpuji, hal ini demikian kerana bermula dari aqidah Islam, manusia akan melakukan segala pentaklifan yang dikenakan ke atas mereka seterusnya keberkesanan dalam melaksanakan pentaklifan tersebut akan menghasilkan akhlak yang terpuji. Kesemua ini kemudiannya membentuk keperkasaan serta kegagahan di medan jihad, pertempuran dan dalam setiap bidang yang memerlukan usaha yang besar dan bersungguh-sungguh. 


Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Muaz bin Jabal r.a. Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,


رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلَامُ، وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ، وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الجِهَادُ


Maksudnya: “Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah jihad”. Riwayat al-Tirmizi (2616)


Demikianlah aqidah yang dibawa oleh Islam dan kesannya kepada masyarakat Islam yang wajib untuk dilaksanakan serta akan memberi kesan kepada setiap masyarakat yang mengingini dan diingini untuk menjadi Muslim yang sejati.


Aqidah Islam beserta dengan rukun-rukunnya merupakan asas yang kuat dalam menjadikan setiap masyarakat berada dalam keadaan yang kukuh lagi utuh. Bagi mana-mana masyarakat yang didirikan atas faktor selain daripada aqidah Islam, Maka apa yang terbina itu merupakan suatu binaan yang goyah dan rapuh, yang hanya menunggu waktu untuk runtuh dan roboh.


Perkara yang sangat buruk dan keji adalah dengan mendirikan masyarakat yang bergelar dan bercerminkan nama Islam, namun keselarasan dan perjalanan sistem yang dilaksanakan tidak mengikut Islam bahkan mengambil ideologi-ideologi Barat yang menyesatkan. Sesungguhnya, gelaran Islam yang dipamerkan hanyalah sebagai tarikan kepada manusia. Perkara tersebut merupakan sebuah penipuan yang keji lagi menyesatkan bagi setiap asas dalam pembinaan masyarakat.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


أَفَمَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَىٰ تَقْوَىٰ مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٍ خَيْرٌ أَمْ مَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَىٰ شَفَا جُرُفٍ هَارٍ فَانْهَارَ بِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ.


Maksudnya:”Maka apakah orang-orang yang mendirikan mesjidnya di atas dasar takwa kepada Allah dan keridhaan-(Nya) itu yang baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam neraka Jahannam. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim”. Al-Taubah ayat 109.


Kita telah melihat sejarah yang telah berlaku dalam masyarakat komunis sewaktu zaman kegemilangannya, yang membentuk aqidah atau anutan Marks dan juga falsafah kebendaan yang lebih dikenali sebagai materialistik. Perlembagaan dalam masyarakat komunis tersebut menyebarkan ajarannya iaitu kehidupan yang tidak bertuhan dan hanya mementingkan sifat kebendaan dan kekayaan sebagai matlamat utama dalam kehidupan.


Bukan terhadap perlembagaannya sahaja malah anutan ini tersebar kepada perundangan, pendidikan, pengetahuan dan politik.


Maka tidak hairanlah jika mengatakan bahawa anutan ini sememangnya berlawanan dengan aqidah Islam jika ditinjau dari sudut yang sama kerana aqidah 

Islam membawa pandangan manusia kepada penciptaan manusia dan alam semesta dalam mentauhidkan Tuhan yang Esa.

Wednesday, September 11, 2024

Taat Kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam Bererti Taat Kepada Allah Subhanahuwata'ala.

Taat Kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam Bererti Taat Kepada Allah Subhanahuwata'ala.


Tidak dapat disangkal bahawa menyerahkan ketaatan kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam juga bererti menyerahkan ketaatan kepada Allah Subhanahuwata'ala. Hal ini kerana telah dijelaskan oleh Allah Subhanahuwata'ala dalam al-Quran.

.

Firman Allah Subhanahuwata'ala,


مَنْ يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ ۖ وَمَنْ تَوَلَّىٰ فَمَا أَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا.


Maksudnya:”Barangsiapa yang mentaati Rasul itu, sesungguhnya ia telah mentaati Allah. Dan barangsiapa yang berpaling (dari ketaatan itu), maka Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pemelihara bagi mereka”. Al-Nisa ayat 80


Maka mengikuti jejak langkah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam yang Sebaik-baik qudwah hasanah (contoh teladan) adalah tanda-tanda mengasihi Allah Subhanahuwata'ala. 


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ.


Maksudnya:”Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu". Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. Ali Imran ayat 31.


Sifat redha dan taat Kepada penghakiman Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dan syariat yang dibawanya bukanlah perkara yang berbeza dalam konteks mentaati Allah Subhanahuwata'ala. Bahkan kedua-duanya merupakan satu juzuk yang tidak dapat dipisahkan. Jika diasingkan, maka kedua-duanya dikira rosak. Hal ini kerana syariat dan undang-undang yang dibawakan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam adalah pada hakikatnya juga dari Allah Subhanahuwata'ala. 


Allah Subhanahuwata'ala telah menurunkan dan mewahyukan syariat dan Al-Kitab kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bagi menyampai dan menerangkan kepada sekakian manusia.


Allah Subhanahuwata'ala menciptakan manusia, Dia yang Maha Mengetahui kelemahan dan kekurangan manusia.


Manusia tidak mungkin mampu mengetahui hakikat sebenar ketuhanan dan hidayah tanpa ada utusan daripada Allah Subhanahuwata'ala. Maka dengan sebab itulah, manusia perlu mentaati dan mengikuti Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam. Tidak bergelar orang Mukmin jika berhakimkan dengan selain daripada kehakiman yang ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam atau menolak hukum-Nya atau merasa ragu-ragu dengan hukum-Nya, seperti buruk sangka terhadap hukum hudud yang telah ditetapkan-Nya.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا.


Maksudnya:”Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata”. Al-Ahzab ayat 36.


Begitulah bagi seseorang yang bergelar Mukmin. Mereka yang bergelar Mukmin ialah mereka yang mentaati Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dan mentaati Allah Subhanahuwata'ala. Mereka mengasihi Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dan mengasihi Allah Subhanahuwata'ala. Mengikuti ajaran-ajaran yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dan mengikuti jejak langkah Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam untuk mencapai keredhaan Allah Subhanahuwata'ala.


Berbeza pula perihal orang-orang munafik. Keperibadian mereka tidak seperti keperibadian orang-orang Mukmin, pendirian mereka tidak tetap dan sentiasa berubah-ubah berdasarkan pulangan yang akan memberikan keuntungan kepada diri mereka semata-mata. Mereka bersifat berbolak-balik dalam menjalankan hukum Allah Subhanahuwata'ala yang dibawa oleh utusan-Nya. Mereka mengambil apa yang mereka suka dan menepati Hawa nafsu dan meninggalkan apa yang dirasakan menyusahkan dan tidak menepati Hawa nafsu mereka.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَيَقُولُونَ آمَنَّا بِاللَّهِ وَبِالرَّسُولِ وَأَطَعْنَا ثُمَّ يَتَوَلَّىٰ فَرِيقٌ مِنْهُمْ مِنْ بَعْدِ ذَٰلِكَ ۚ وَمَا أُولَٰئِكَ بِالْمُؤْمِنِينَ.وَإِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ إِذَا فَرِيقٌ مِنْهُمْ مُعْرِضُونَ. وَإِنْ يَكُنْ لَهُمُ الْحَقُّ يَأْتُوا إِلَيْهِ مُذْعِنِينَ. أَفِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ أَمِ ارْتَابُوا أَمْ يَخَافُونَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ وَرَسُولُهُ ۚ بَلْ أُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ. إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ الْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَنْ يَقُولُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ.


Maksudnya:’Dan mereka berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan rasul, dan kami mentaati (keduanya)". Kemudian sebahagian dari mereka berpaling sesudah itu, sekali-kali mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman. Dan apabila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya, agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka, tiba-tiba sebagian dari mereka menolak untuk datang. Tetapi jika keputusan itu untuk (kemaslahatan) mereka, mereka datang kepada rasul dengan patuh. Apakah (ketidak datangan mereka itu kerana) dalam hati mereka ada penyakit, atau (kerana) mereka ragu-ragu ataukah (kerana) takut kalau-kalau Allah dan rasul-Nya berlaku zalim kepada mereka? Sebenarnya, mereka itulah orang-orang yang zalim. Sesungguhnya jawapan oran-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan. "Kami mendengar, dan kami patuh". Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung. Al-Nur ayat 47-51


Al-Quran juga ada meriwayatkan kisah mengenai orang yang dalam keadaan ragu-ragu untuk melaksanakan hukum Allah Subhanahuwata'ala, malah reda untuk melaksanakan hukum yang diperbuat daripada tangan-tangan manusia. Golongan tersebut ialah Yahudi.


Firman Allah Subhanahuwata'ala, 


أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ آمَنُوا بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَنْ يَتَحَاكَمُوا إِلَى الطَّاغُوتِ وَقَدْ أُمِرُوا أَنْ يَكْفُرُوا بِهِ وَيُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُضِلَّهُمْ ضَلَالًا بَعِيدًا. وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا إِلَىٰ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسُولِ رَأَيْتَ الْمُنَافِقِينَ يَصُدُّونَ عَنْكَ صُدُودًا.


Maksudnya:”Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada thaghut, padahal mereka telah diperintah mengingkari thaghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya. Apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah kamu (tunduk) kepada hukum yang Allah telah turunkan dan kepada hukum Rasul", niscaya kamu lihat orang-orang munafik menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya dari (mendekati) kamu. Al-Nisa ayat 60-61


Sehinggalah Allah Subhanahuwata'ala bersumpah dalam surah yang sama, firman-Nya:


فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا.


Maksudnya:”Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakekatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya. Al-Nisa ayat 65.


Inilah perbezaan yang amat ketara antara orang Mukmin dan orang munafik. Orang Mukmin bersama-sama apa yang disampaikan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam samaada dari aspek syariat dan kehakiman. Tidak ada sedikit pun perasaan ragu-ragu dalam jiwa mereka terhadap ajaran yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam walaupun sebesar debu. Mereka Mengutamakan urusan Allah Subhanahuwata'ala dan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam. Bagi mereka, tidak ada urusan yang lebih penting berbanding daripada urusan Allah Subhanahuwata'ala dan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam. Inilah golongan yang disifatkan dalam al-Quran dengan sifat yang apabila dibacakan suruhan Allah Subhanahuwata'ala dan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam mereka mengatakan “kami dengar dan kami taat”.

…وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا…


Maksudnya:”...dan mereka mengatakan: "Kami dengar dan kami taat"... Al-Baqarah ayat 285.


Tidak ada sedikit pun perasaan ragu-ragu dalam jiwa mereka terhadap ajaran yang dibawakan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam walaupun sebesar debu.


Berbeza pula dengan orang munafik, mereka meragui akan hukum yang diturunkan oleh Allah Subhanahuwata'ala dan meredhai kehakiman atau undang-undang yang bukan diturunkan oleh Allah Subhanahuwata'ala melalui utusan-Nya. 


Setiap apa yang didatangkan selain daripada Allah Subhanahuwata'ala dan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dipanggil sebagai thaghut.


Secara tidak langsung sesiapa yang menghakimi dengan berlandaskan undang-undang yang ditetapkan oleh Allah Subhanahuwata'ala dan Rasul-Nya, maka dia telah berhakimkan thaghut. Hal ini, demikian adalah kerana hukum Dan undang-undang hanya ada dua sahaja, samaada undang-undang Allah Subhanahuwata'ala atau undang-undang thaghut.


Firman Allah Subhanahuwata’ala,


أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ آمَنُوا بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَنْ يَتَحَاكَمُوا إِلَى الطَّاغُوتِ وَقَدْ أُمِرُوا أَنْ يَكْفُرُوا بِهِ وَيُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُضِلَّهُمْ ضَلَالًا بَعِيدًا.


Maksudnya:”Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada thaghut, padahal mereka telah diperintah mengingkari thaghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya”. Al-Nisa ayat 60.


Di dalam al-Quran ada sebuah kisah yang menceritakan perwatakan dan perihal orang-orang munafik ketika mana mereka disuruh untuk melaksanakan perintah Allah Subhanahuwata'ala dan Rasul-Nya.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا إِلَىٰ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسُولِ رَأَيْتَ الْمُنَافِقِينَ يَصُدُّونَ عَنْكَ صُدُودًا.


Maksudnya:”Apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah kamu (tunduk) kepada hukum yang Allah telah turunkan dan kepada hukum Rasul", niscaya kamu lihat orang-orang munafik menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya dari (mendekati) kamu”. Al-Nisa ayat 61.


Maka ternafilah Iman bagi sesiapa yang tidak melaksanakan undang-undang sebagaimana perlaksanaan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam ketika hayatnya dan melaksanakan sunahnya selepas kewafatan Baginda. Bahkan tidak memadai begitu sahaja, diisyaratkan juga perlu disertai sifat redha dan berserah diri kepada undang-undang yang diturunkan oleh Allah Subhanahuwata'ala. Inilah hakikat sebenar bagi Iman dan cabang-cabangnya.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا.


Maksudnya:”Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakekatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya”. Al-Nisa ayat 65.

Thursday, September 5, 2024

Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam pesuruh Allah Subhanahuwata'ala

Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam pesuruh Allah Subhanahuwata'ala 


Kalimah Syahadah yang kedua ialah bersaksi bahawa Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam adalah pesuruh Allah Subhanahuwata'ala. Baginda Sallallahu'alaihiwasallam adalah utusan Allah Subhanahuwata'ala dan diutus ke dunia ini untuk menyeru kearah mentauhidkan Tuhan Yang Esa serta bagi menghapuskan kepercayaan adanya tuhan yang pelbagai.


Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan ditengah-tengah masyarakat yang ketika itu penuh dengan pelbagai perkara yang karut.


Ada kaum yang bergelar kaum Majusi yang menyembah matahari dan api. Kaum musyrikin Makkah pula menyembah patung-patung berhala. Setiap kabilah memiliki sekurang-kurangnya satu patung berhala yang diletakkan di dalam Kaabah dan sekitarnya. Kaabah pada ketika itu dikelilingi dengan ratusan dan ribuan patung berhala kepunyaan setiap kabilah (di sekitar Kaabah ketika itu terdapat lebih 360 patung berhala besar). Ada yang besar dan ada yang kecil.


Kaum Yahudi dan Nasrani juga begitu, masing-masing pada ketika itu mempunyai kepercayaan karut bahkan sesat lagi menyesatkan dan ketika itulah diutuskan Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam ke dunia ini.


Ketahuilah jika hanya berikrar dengan keesaan Allah Subhanahuwata'ala uluhiyyah dan rububiyyah sahaja masih tidak mencukupi. Bahkan masih memerlukan kepada kalimah yang kedua iaitu mengakui akan Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam sebagai pesuruh Allah Subhanahuwata'ala. Pengakuan ke atas Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam sebagai pesuruh Allah Subhanahuwata'ala merupakan pelengkap bagi dua kalimah Syahadah. Tanpanya kepercayaan manusia masih sesat. 


Pada zaman dahulu para Ahli Kitab mempercayai Keesaan Allah Subhanahuwata'ala namun mereka mengingkari kenabian Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam sebagai utusan yang terakhir. Jelas dua kalimah Syahadah ini saling melengkapi  antara satu sama lain. Seseorang akan dikira memasuki Islam dengan memberikan penyaksian terhadap satu kalimah sahaja Maka masih belum layak untuk bergelar Muslim. 


Sesungguhnya Allah Subhanahuwata'ala menciptakan manusia bukan sia-sia. Selepas Allah Subhanahuwata'ala menciptakan manusia, Allah Subhanahuwata'ala telah mengatur untuk membangkitkan para Rasul dalam kalangan manusia. Tujuannya semata-mata untuk membimbing manusia kearah yang di redhai-Nya dan sama sekali tidak akan membiarkan manusia hidup dalam keadaan terbiar atau hidup tanpa arah tuju yang benar, dan juga untuk menyampaikan hidayah-Nya serta mengancam mereka supaya menjauhi perkara-perkara yang boleh membawa kepada kemurkaan Allah Subhanahuwata'ala.


Penciptaan manusia bukanlah penciptaan yang sia-sia bahkan manusia diciptakan untuk mengabaikan diri kepada Allah Subhanahuwata'ala dan menjadi khalifah di atas muka bumi ini untuk memakmurkan dunia ini sebagai khalifah.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


رُسُلًا مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَى اللَّهِ حُجَّةٌ بَعْدَ الرُّسُلِ ۚ وَكَانَ اللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًا.


Maksudnya:”(Mereka Kami utus) selaku rasul-rasul pembawa berita gembira dan pemberi peringatan agar supaya tidak ada alasan bagi manusia membantah Allah sesudah diutusnya rasul-rasul itu. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. Al-Nisa’ ayat 165.


Kepentingan para rasul yang diutuskan oleh Allah Subhanahuwata'ala di atas muka bumi ini tidak lain tidak bukan adalah untuk meletakkan nilai-nilai hidup yang sebenar dan mengatur sistem kemasyarakatan dalam kehidupan manusia. Mereka diutuskan untuk menyampaikan hidayah kepada seluruh kaum dan masyarakat, menghakimi manusia dalam pertelingkahan, menyelesaikan permasalahan yang boleh membawa kepada perselisihan, mengangkat dan mengiktiraf perkara yang hak sekaligus melenyapkan kebatilan, memberikan keadilan dan kebajikan saksama kepada segenap lapisan masyarakat tanpa ada perbezaan antara mereka samaada dari segi warna kulit, kaum dan iklim kerana yang dinilai disisi Allah Subhanahuwata'ala ialah Takwa, 


Firman Allah Subhanahuwata’ala,


لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنْزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ ۖ وَأَنْزَلْنَا الْحَدِيدَ فِيهِ بَأْسٌ شَدِيدٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ وَرُسُلَهُ بِالْغَيْبِ ۚ إِنَّ اللَّهَ قَوِيٌّ عَزِيزٌ.


Maksudnya:”Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka Al Kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan. Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia, (supaya mereka mempergunakan besi itu) dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)Nya dan rasul-rasul-Nya padahal Allah tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa”. Al-Hadid ayat 25.


Maka dengan itulah Allah Subhanahuwata'ala menurunkan ke atas utusan-Nya iaitu Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam Al-Kitab sebagai dalil-dalil dan hujah-hujah daripada Ilahi yang tidak ada kesamaran mahupun cacat cela sebagai penguat dan penyokong ke atas kebangkitan mereka selaku utusan Allah Subhanahuwata'ala.


Manakala penimbang yang disebut dalam ayat di atas memberi makna nilaian dan timbangan daripada tuhan yang didatangkan oleh para utusan Allah Subhanahuwata'ala dengan memertabatkan dan memuliakan manusia mengikut acuan sebagaimana acuan yang digariskan di dalam al- Kitab. Seandainya tidak ada utusan Allah iaitu para rasul nescaya sekalian manusia akan berada dalam kesesatan yang nyata dalam mencari hidup yang sebenar. Mereka juga akan tersimpang dalam mencari hakikat sebenar ketuhanan dan tersasar jalan dalam mendapatkan keredhaan tuhan dan sebagainya. Hal ini kerana, akal yang dimiliki mempunyai batasan yang tidak mampu dilepasi jika manusia mencari ketuhanan dengan hanya berlandaskan akal semata-mata nescaya mereka akan tersimpang jauh.


Lihat sahaja pada zaman jahiliyah, ketika mana sebelum Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam dibangkitkan untuk menghapuskan unsur-unsur yang karut dan sesat. Manusia hidup dalam keadaan yang tidak teratur dan saling menindas serta menzalimi antara satu dengan yang lain. Ketika itu wujudnya sifat yang taasub dalam kalangan kabilah yang merupakan punca terbesar dalam setiap pergaduhan. 


Rasul yang terakhir, Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam, Baginda diutuskan untuk menyampaikan suruhan-Nya, larangan-Nya dan syariat-Nya.


Maka dengan kedatangan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, kita dapat mengetahui apa yang diperintahkan atau apa yang dilarang oleh Allah Subhanahuwata'ala ke atas kita. Berlandaskan hakikat itu juga, kita juga dapat mengetahui sususan perjalanan hidup kita di atas muka bumi ini dan apakah jalan yang sepatutnya kita tempuhi. 


Kita akan turut diingatkan mengenai perkara-perkara halal dan haram serta tentang kewajipan dan kefarduan yang perlu kita lakukan. Sekiranya Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam tidak diutuskan oleh Allah Subhanahuwata'ala sebagai utusan-Nya, sudah tentu kita hidup dalam kesesatan yang nyata, kita tidak dapat mengetahui apakah penghujunnya kehidupan ini dan kita juga tidak dapat mencari hidayah Allah Subhanahuwata'ala. Sebagaimana yang dijelaskan oleh firman Allah Subhanahuwata'ala,


يَا أَهْلَ الْكِتَابِ قَدْ جَاءَكُمْ رَسُولُنَا يُبَيِّنُ لَكُمْ كَثِيرًا مِمَّا كُنْتُمْ تُخْفُونَ مِنَ الْكِتَابِ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ ۚ قَدْ جَاءَكُمْ مِنَ اللَّهِ نُورٌ وَكِتَابٌ مُبِينٌ. يَهْدِي بِهِ اللَّهُ مَنِ اتَّبَعَ رِضْوَانَهُ سُبُلَ السَّلَامِ وَيُخْرِجُهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِهِ وَيَهْدِيهِمْ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.


Maksudnya:”Wahai Ahli Kitab, sesungguhnya telah datang kepadamu Rasul Kami, menjelaskan kepadamu banyak dari isi Al Kitab yang kamu sembunyi kan, dan banyak (pula yang) dibiarkannya. Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan Kitab yang menerangkan. Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan keselamatan, dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gulita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizin-Nya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus”. Al-Maidah ayat 15-16.


Dengan kebangkitan Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam sebagai utusan-Nya, kita dapat mengetahui adanya kehidupan selepas kematian, iaitu kehidupan yang abadi di akhirat kelak 


Kita dapat mengetahui bahawa kehidupan di dunia ini merupakan persinggahan bagi mengutip bekalan untuk menuju kehidupan yang kekal abadi. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a mengatakan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam berpesan kepadanya bahawa dunia merupakan suatu tempat persinggahan yang sementara bagi seseorang yang mengembara bagi mendapatkan bekalan ke tempat yang dituju yang bersifat kekal.


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَنْكِبِي فَقَالَ كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يَقُولُ إِذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الصَّبَاحَ وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الْمَسَاءَ وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ


Maksudnya:"Dari Abdullah bin Umar radhiallahu'anhuma dia berkata, "Rasulullah ﷺ pernah memegang bahuku dan bersabda, 'Jadilah kamu di dunia ini seakan-akan orang asing atau seorang pengembara." Ibnu Umar juga berkata; 'Bila kamu berada di petang hari, maka janganlah kamu menunggu datangnya waktu pagi, dan bila kamu berada di pagi hari, maka janganlah menunggu waktu petang, pergunakanlah waktu sihatmu sebelum sakitmu, dan hidupmu sebelum matimu". Bukhari (5937)


Ath Thibiy mengatakan:"Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam memisalkan orang yang hidup di dunia ini seperti orang asing (al ghorib) yang tidak memiliki tempat berbaring dan tempat tinggal. 

Kemudian beliau Sallallahu‘alaihiwasallam mengatakan lebih lagi iaitu memisalkan seperti pengembara. 

Orang asing dapat tinggal di negeri asing. 

Hal ini berbeza dengan seorang pengembara yang bermaksud menuju negeri yang jauh, di kanan kirinya terdapat lembah-lembah, akan ditemui tempat yang membinasakan, dia akan melalui padang pasir yang mengsengsarakan dan juga terdapat perampok. 

Orang seperti ini tidaklah tinggal kecuali hanya sebentar sekali, sekejap mata.” 

(Fathul Bari, 18/224)


Negeri asing dan tempat pengembaraan yang dimaksudkan dalam hadith ini adalah dunia dan negeri tujuannya adalah akhirat. Jadinya, hadith ini mengingatkan kita dengan kematian sehingga kita jangan berpanjang angan-angan. Hadith ini juga mengingatkan kita supaya mempersiapkan diri untuk negeri akhirat dengan amal saleh. (Lihat Fathul Qowil Matin)


Dalam hadith lainnya, Daripada Abdullah:

Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا لِي وَلِلدُّنْيَا مَا أَنَا وَالدُّنْيَا إِنَّمَا مَثَلِي وَمَثَلُ الدُّنْيَا كَرَاكِبٍ ظَلَّ تَحْتَ شَجَرَةٍ ثُمَّ رَاحَ وَتَرَكَهَا


Maksudnya:”Rasulullah ﷺ bersabda, "Apa urusanku dengan dunia ini? Apalah aku dan dunia? Sesungguhnya perumpamaan aku dengan dunia hanyalah seperti seorang pengembara yang berteduh di bawah sebatang pohon kemudian beristirahat dan meninggalkannya”. Ahmad(3525)


Dengan itu, kita akan bersungguh-sungguh dalam melakukan amalan-amalan yang boleh dijadikan bekalan di Akhirat kelak. Kita sama sekali tidak akan menjadi seperti penganut agama lain yang tidak mempercayai kehidupan selepas kematian.


Segala amalan yang baik akan dibalas dengan ganjaran yang berlipat ganda dan segala amalan yang buruk akan dibalas setimpal dengannya.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ. وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ.


Maksudnya:”Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat dzarrahpun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar dzarrahpun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya pula”. Zalzalah ayat 7-8.


Melalui kedatangan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, dapat kita mengetahui adanya hari pertimbangan dan perhitungan, dosa dan pahala, syurga dan Neraka. Semua ini dapat kita ketahui perutusan daripada Allah Subhanahuwata'ala. Mana mungkin kita dapat ketahui semua ini tanpa perutusan daripada-Nya.


Melalui kedatangan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, diperlihatkan kepada kita dasar-dasar dan prinsip-prinsip kebenaran, kaedah-kaedah dan unsur-unsur keadilan di dalam syariat yang benar lagi tidak menyesatkan. Syariat diturunkan oleh Allah Subhanahuwata'ala, Tuhan yang  mempunyai pengetahuan meliputi seluas langit dan bumi. Tuhan yang mengetahui perkara yang ghaib lagi nyata. Tidak ada perkara yang tersembunyi daripada-Nya.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


أَلَا يَعْلَمُ مَنْ خَلَقَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ.


Maksudnya:”Apakah Allah Yang menciptakan itu tidak mengetahui (yang kamu lahirkan atau rahasiakan); dan Dia Maha Halus lagi Maha Mengetahui?”. Al-Mulk ayat 14.


Berdasarkan keterangan-keterangan di atas, maka jelaslah bahawa kalimah “ Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam ialah pesuruh Allah Subhanahuwata'ala ialah pelengkap bagi kalimah yang pertama iaitu “Tiada Tuhan melainkan Allah Subhanahuwata'ala” di dalam Syahadah. Fokusnya hanya Allah Subhanahuwata'ala, tuhan yang wajib disembahkan, tiada Tuhan melainkan Dia dan tiada syariat atau jalan-jalan yang wajib diikuti melainkan syariat yang didatangkan oleh utusan-Nya melalui wahyu-Nya ke atas utusan-Nya.

Mendirikan Masyarakat Atas Dasar Aqidah Islam.

Mendirikan Masyarakat Atas Dasar Aqidah Islam. Aqidah yang dimaksudkan dalam membentuk masyarakat Islam ialah aqidah yang berpandukan, لَا إ...