Thursday, September 19, 2024

Mendirikan Masyarakat Atas Dasar Aqidah Islam.

Mendirikan Masyarakat Atas Dasar Aqidah Islam.

Aqidah yang dimaksudkan dalam membentuk masyarakat Islam ialah aqidah yang berpandukan,


لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ


Maksudnya:”.....Tidak ada tuhan yang layak disembah selain Allah Subhanahuwata'ala dan Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam merupakan pesuruh Allah Subhanahuwata'ala”.... Riwayat Muslim (9)


Cara untuk mewujudkan masyarakat Islam berdasarkan Aqidah Islam adalah dengan melahirkan kehormatan dan mensucikan aqidah tersebut.


Seterusnya melakukan kerja-kerja yang boleh membawa kearah penerapan aqidah tersebut ke dalam hati-hati setiap individu dalam masyarakat.


Seperkara lagi adalah dengan mendidik dan mentarbiah orang-orang Islam yang berada di dalam masyarakat berdasarkan saluran tuntutan aqidah tersebut. Menepis Dan menolak segala dakwaan palsu yang merupakan cemuhan dan tohmahan terhadap aqidah tersebut. Menolak segala syubhat yang menyesatkan dan mengelirukan masyarakat. Membaiki dan mencantikkan kelebihan Dan kemuliaan aqidah tersebut dalam sanubari individu mahupun masyarakat dengan menggunakan jalan yang menuju kepada tertegaknya masyarakat Islam samaada melalui masjid, sekolah, pejabat, media massa dan setiap sudut yang menyalur kerah tersebut dengan pelbagai kesenian dan tarikan yang sama sekali tidak menyinggung sekaligus menenangkan semua pihak.


Bukanlah yang dimaksudkan mendirikan masyarakat Islam itu dengan memaksa setiap orang yang bukan Islam untuk meninggalkan kepercayaan dan pegangan yang mereka anuti selama ini untuk masuk Islam. Tidak sama sekali, Islam tidak pernah menyuruh umatnya untuk melakukan sebarang paksaan dalam semua sudut apatah lagi dalam aspek kepercayaan dan anutan agama. Malah perkara tersebut tidak pernah diajar kepada umat terdahulu mahupun yang terkemudian. Sejak awal lagi Islam menegah perkara tersebut. Bahkan banyak di dalam ayat-ayat al-Quran yang jelas dan nyata menolak konsep paksaan tersebut.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انْفِصَامَ لَهَا ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ.


Maksudnya:”Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Karena itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. Al-Baqarah ayat 256.


Telah tercatat dalam sejarah kerajaan Islam pada zaman kegemilangannya, bahawa Islam banyak bertolak ansur dengan mereka yang bukan beragama Islam dalam menangani masalah kepercayaan dan pegangan aqidah dengan melihat Dari pelbagai sudut diri mereka.   


Yang dimaksudkan bertolak ansur dengan mereka yang bukan beragama Islam dalam beberapa perkara selama mana tidak memburukkan dan menghina Islam seperti memberi mereka ruang menyambut hari perayaan mereka. Bahkan Allah Subhanahuwata'ala melarang umatnya untuk menghina Dan mencaci tuhan-tuhan mereka kerana perbuatan itu akan menyebarkan perpecahan dan peperangan.



وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ.


Maksudnya:”Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan”. Al-An’am ayat 108.


Makna mendirikan masyarakat Islam berdasarkan Aqidah Islam adalah dengan tidak membiarkan masyarakat berada dalam keadaan terbiar dan sia-sia, tetapi membawa masyarakat kearah lebih bersistem. Untuk melaksanakan aqidah Islam dalam sistem masyarakat adalah dengan tidak menyuburkan masyarakat yang madiyah(kebenaran semata-mata iaitu materialisme), sekularisme (memisahkan antara agama dan urusan dunia), wathaniyan (mensyirikkan Allah Subhanahuwata'ala), Yahudi, Nasrani, liberalisme, atau anutan marks (tidak mempercayai tuhan). 


Yang dikehendaki dengan maksud membawa masyarakat yang menganuti aqidah Tauhid iaitu Agama Islam, iaitu dengan melaksanakan kepercayaan bahawa tiada agama dan anutan lain yang yang lebih tinggi dan mulia berbanding Islam. Hakikatnya agama Islam itu tinggi (mulia),tiada agama atau anutan lain yang lebih tinggi (mulia) daripadanya. Islam sekali tidak akan menerima akan percampuran urusan agama dalam masalah Aqidah Tauhid.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


… وَلَن يَجۡعَلَ ٱللَّهُ لِلۡكَٰفِرِينَ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ سَبِيلًا 


Maksudnya:”…Dan Allah sekali-kali tidak akan memberikan jalan kepada orang-orang kafir untuk lebih tinggi memusnahkan orang-orang yang beriman”. Al-Nisa’: 141]


Daripada ‘A’iz bin ‘Amr al-Muzani Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,


‌الْإِسْلَامِ ‌يَعْلُو ‌وَلَا ‌يُعْلَى.


Maksudnya:”Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya”. Riwayat al-Daraqutni, Sunan al-Daraqutni, Kitab al-Nikah, No. 3620.


Islam tidak akan bersetuju untuk bertukar-tukar sebahagian dalam Aqidah Tauhid dengan agama lain. Pada zaman Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam, Baginda telah ditawar oleh pihak musyrikin untuk sama-sama bertukar-tukar dan mencampurkan akan perkara dalam ruang lingkup aqidah. Kaum musyrikin ingin membuat perjanjian bersama Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam iaitu mereka akan menyembah tuhan bagi umat Islam selama setahun dan Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam juga mesti menyembah tuhan mereka selama setahun. Lalu atas peristiwa itu Allah Subhanahuwata'ala telah menurunkan surah al-Kafirun sebagai jawapan atas perjanjian yang ingin mereka meterai bersama Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


قُلْ يَاأَيُّهَا الْكَافِرُونَ (1) لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ (2) وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (3) وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَا عَبَدْتُمْ (4) وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (5) لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ(6


Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku”. Surah al-Kafirun ayat 1-6.


Masih belum layak untuk mengatakan bahawa sebuah masyarakat itu ialah masyarakat yang berdiri di atas landasan Islam sekiranya hukum Islam hanya dilaksanakan sebahagian sahaja dan bukan menyeluruh. Bahkan Islam bersifat syumul iaitu menyeluruh dalam segenap urusan manusia yakni daripada sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara. Perlaksanaan Islam perlu dilakukan secara menyeluruh dalam segala aspek kehidupan bukan hanya melaksanakan sebahagian dan sebahagian lain pula ditolak ke tepi.


Bukan dinamakan mendirikan masyarakat Islam dengan menyembunyikan nama Allah Subhanahuwata'ala dalam semua perkara dan dalam masa yang sama melahirkan atau mengagungkan sifat atau kuasa semula jadi seperti mengatakan bahawa sungai merupakan perkara semulajadi dan hutan rimba kurniaan sejak dahulu lagi. Bahkan dengan mengatakan semua yang wujud adalah perkara yang semula jadi, seolah-olah semua perkara yang wujud tidak ada pencipta baginya maka bukan Allah Subhanahuwata'ala yang mencipta segala-galanya dan mentadbir setiap perkara yang berlaku di alam ini. Dengan menyembunyikan nama Allah Subhanahuwata'ala dan mengangkat nama alam serta sifat semula jadi adalah seolah-olah tidak memperakui akan keagungan dan kekuasaan Allah Subhanahuwata'ala. Kepercayaan sebegini merupakan seperti kepercayaan Atheist yang tidak mempercayai akan kewujudan dan kekuasaan tuhan.


Bagaimana boleh dikatakan masyarakat Islam seandainya masyarakat tersebut tidak memperakui kekuasaan Allah Subhanahuwata'ala?


Gambaran yang boleh dinukilkan bagi masyarakat Barat terhadap konteks ketuhanan dan ikatan kehidupan dengan alam ini, ialah wujudnya kuasa tuhan yang merupakan pencipta alam tetapi dibiarkan alam ini tanpa penjaga, pengawasan dan tidak ditadbir seperti yang sepatutnya. Seolah-olah alam ini diserahkan sepenuhnya kepada mereka untuk melakukan apa sahaja kerana bagi mereka tuhan tidak mentadbir dan menjaga alam ini.


Jika ditinjau kembali, gambaran ini samalah seperti gambaran yang telah dihasilkan oleh para falsafah (pemikir) Yunani mengenai konteks ketuhanan pada zaman dahulu khususnya Aristotle yang tidak mengetahui sesuatu pun mengenai ketuhanan melainkan zat dirinya sendiri sahaja. Lebih pelik lagi Alflatun (Plato) juga tidak mengetahui apa-apa pun mengenai ketuhanan bahkan juga hakikat bagi zat dirinya. 


Adapun gambaran bagi masyarakat Islam dalam konteks ketuhanan telah disebutkan dalam al-Quran melalui firman Allah Subhanahuwata'ala,


 سَبَّحَ لِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ. لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ يُحْيِي وَيُمِيتُ ۖ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. هُوَ الْأَوَّلُ وَالْآخِرُ وَالظَّاهِرُ وَالْبَاطِنُ ۖ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ. هُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَىٰ عَلَى الْعَرْشِ ۚ يَعْلَمُ مَا يَلِجُ فِي الْأَرْضِ وَمَا يَخْرُجُ مِنْهَا وَمَا يَنْزِلُ مِنَ السَّمَاءِ وَمَا يَعْرُجُ فِيهَا ۖ وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنْتُمْ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ. لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ وَإِلَى اللَّهِ تُرْجَعُ الْأُمُورُ. يُولِجُ اللَّيْلَ فِي النَّهَارِ وَيُولِجُ النَّهَارَ فِي اللَّيْلِ ۚ وَهُوَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ.


Maksudnya:”Semua yang berada di langit dan yang berada di bumi bertasbih kepada Allah (menyatakan kebesaran Allah). Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kepunyaan-Nya-lah kerajaan langit dan bumi, Dia menghidupkan dan mematikan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Dialah Yang Awal dan Yang Akhir Yang Zhahir dan Yang Bathin; dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu. Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa: Kemudian Dia bersemayam di atas 'Arsy. Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar daripadanya dan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepada-Nya. Dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. Kepunyaan-Nya-lah kerajaan langit dan bumi. Dan kepada Allah-lah dikembalikan segala urusan. Dialah yang memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam. Dan Dia Maha Mengetahui segala isi hati”. Al-Hadid ayat 1-6


Bukanlah ditakdirkan sebagai masyarakat Islam seandainya beriman kepada Allah dan hari Akhirat tetapi, dalam masa yang sama juga beriman terhadap kewujudan benda-benda lain seperti tanah air atau apa sahaja daripada sembahan berhala yang disembah oleh manusia. Jelas keimanan tersebut berasingan dengan pengertian beriman kepada Allah Subhanahuwata'ala atau bersama-sama (bersekutu) dengan keimanan kepada Allah Subhanahuwata'ala.


Tambahan lagi apabila masyarakat tersebut turut mengagung-agungkan pembesar-pembesar lain lebih daripada Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam.


Tidak juga dilebalkan sebagai masyarakat Islam apabila mereka memiliki kitab Allah Subhanahuwata'ala iaitu al-Quran sebagai hidayah, undang-undang dan pensyariatan namun hanya dibiarkan tetapi mereka pula mengambil manhaj atau sumber-sumber daripada kitab lain sebagai pensyariatan dan undang-undang bagi kehidupan yang disandarkan kepada kitab-kitab tersebut sebagai satu timbangan dan nilaian kehidupan. 


Bukanlah dikatakan masyarakat Islam sekiranya hanya membiarkan dan berdiam seribu bahasa apabila ada pihak-pihak yang mencela Allah, Rasul-Nya serta kitab-Nya tanpa mampu berbuat apa-apa atau mengambil sebarang tindakan terhadap pihak-pihak tersebut atas kekufuran, kemurtadan dan kefasikan mereka yang tercela, sehingga mereka berani menyuarakan di dalam media massa secara terang-terangan dengan mengatakan Islam kini telah tercedera, lemah dan hanya mampu tersimpan di dalam muzium tanpa mampu melakukan sesuatu apa pun.


Bukanlah dinamakan sesebuah masyarakat itu sebagai masyarakat Islam sekiranya mereka bertolak ansur dengan memberi ruang dan kuasa kepada aqidah-aqidah lain yang memusuhi Islam atau mencampuradukkan Islam dalam ruang lingkup aqidah seperti komunis atau apa-apa sahaja daripada ideologi-idelogi songsang yang merampas kuasa. Malah menjadi suatu kesalahan sekiranya menganggap ideologi-ideologi seperti sekularisme, liberalisme, pluralisme, atheist dan lain-lain bukan daripada kelompok aqidah yang memusuhi Islam.


Sesungguhnya hal ini merupakan satu gerakan ataupun mazhab berunsurkan ekonomi atau kemasyarakatan yang menggunakan satu unsur atau idea tertentu dalam menyusun sesuatu cara hidup dan perkara-perkara yang berkaitan. Ideologi-ideologi tersebut tidak ada tabiat semulajadi yang berunsur keagamaan sehingga boleh dinamakan sebagai aqidah. Hakikat yang berlaku ialah, ideologi-ideologi tersebut merupakan satu falsafah bagi kehidupan yang sempurna dan aqidah yang menyeluruh, meliputi sudut pandangan manusia terhadap alam sejagat, sejarah, kehidupan, sesama makhluk, ketuhanan, yang sebahagiannya bukanlah pandangan Islam. Sesetengah ulamak menamakan perkara ini, iaitu ideologi-ideologi yang bertentang dengan Islam adalah sebagai agama tanpa wahyu.


Bukanlah masyarakat Islam sekiranya hanya menjadikan aqidah sebagai perkara sampingan dalam kehidupan dan hanya menggunakannya sebagai manhaj atau perjalanan dari segi pendidikan, pembelajaran, pengetahuan, pemikiran dan petunjuk tetapi hanya terhad pada ruang lingkup yang terlalu kecil. Masyarakat sebegini juga tidak menjadikan aqidah sebagai asas atau dasar yang utama dalam kehidupan individu, Kekeluargaan mahupun kemasyarakatan. Malah, mereka turut menjadikan aqidah sebagai pilihan kedua dalam setiap perkara dengan seolah-olah meletakkan aqidah dihujung ekor atau ditempat yang terakhir dalam membuat pemilihan, itu pun sekiranya ada tempat yang disediakan. 


Aqidah pada tanggapan masyarakat Islam yang dibangunkan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, kemudian diwarisi oleh para sahabat, tabiin dan golongan selepas mereka merupakan perkara dan rujukan yang pertama dalam masyarakat Dan kehidupan. 


Aqidah merupakan masdar atau rujukan bagi permasaalahan dan pemikiran. Aqidah merupakan asas bagi sesebuah ikatan dalam konteks hubungan kemasyarakatan serta merupakan asas bagi perundangan.


Aqidah membina dan melahirkan akhlak-akhlak yang baik lagi terpuji, hal ini demikian kerana bermula dari aqidah Islam, manusia akan melakukan segala pentaklifan yang dikenakan ke atas mereka seterusnya keberkesanan dalam melaksanakan pentaklifan tersebut akan menghasilkan akhlak yang terpuji. Kesemua ini kemudiannya membentuk keperkasaan serta kegagahan di medan jihad, pertempuran dan dalam setiap bidang yang memerlukan usaha yang besar dan bersungguh-sungguh. 


Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Muaz bin Jabal r.a. Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,


رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلَامُ، وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ، وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الجِهَادُ


Maksudnya: “Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah jihad”. Riwayat al-Tirmizi (2616)


Demikianlah aqidah yang dibawa oleh Islam dan kesannya kepada masyarakat Islam yang wajib untuk dilaksanakan serta akan memberi kesan kepada setiap masyarakat yang mengingini dan diingini untuk menjadi Muslim yang sejati.


Aqidah Islam beserta dengan rukun-rukunnya merupakan asas yang kuat dalam menjadikan setiap masyarakat berada dalam keadaan yang kukuh lagi utuh. Bagi mana-mana masyarakat yang didirikan atas faktor selain daripada aqidah Islam, Maka apa yang terbina itu merupakan suatu binaan yang goyah dan rapuh, yang hanya menunggu waktu untuk runtuh dan roboh.


Perkara yang sangat buruk dan keji adalah dengan mendirikan masyarakat yang bergelar dan bercerminkan nama Islam, namun keselarasan dan perjalanan sistem yang dilaksanakan tidak mengikut Islam bahkan mengambil ideologi-ideologi Barat yang menyesatkan. Sesungguhnya, gelaran Islam yang dipamerkan hanyalah sebagai tarikan kepada manusia. Perkara tersebut merupakan sebuah penipuan yang keji lagi menyesatkan bagi setiap asas dalam pembinaan masyarakat.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


أَفَمَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَىٰ تَقْوَىٰ مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٍ خَيْرٌ أَمْ مَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَىٰ شَفَا جُرُفٍ هَارٍ فَانْهَارَ بِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ.


Maksudnya:”Maka apakah orang-orang yang mendirikan mesjidnya di atas dasar takwa kepada Allah dan keridhaan-(Nya) itu yang baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam neraka Jahannam. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim”. Al-Taubah ayat 109.


Kita telah melihat sejarah yang telah berlaku dalam masyarakat komunis sewaktu zaman kegemilangannya, yang membentuk aqidah atau anutan Marks dan juga falsafah kebendaan yang lebih dikenali sebagai materialistik. Perlembagaan dalam masyarakat komunis tersebut menyebarkan ajarannya iaitu kehidupan yang tidak bertuhan dan hanya mementingkan sifat kebendaan dan kekayaan sebagai matlamat utama dalam kehidupan.


Bukan terhadap perlembagaannya sahaja malah anutan ini tersebar kepada perundangan, pendidikan, pengetahuan dan politik.


Maka tidak hairanlah jika mengatakan bahawa anutan ini sememangnya berlawanan dengan aqidah Islam jika ditinjau dari sudut yang sama kerana aqidah 

Islam membawa pandangan manusia kepada penciptaan manusia dan alam semesta dalam mentauhidkan Tuhan yang Esa.

No comments:

Post a Comment

Mendirikan Masyarakat Atas Dasar Aqidah Islam.

Mendirikan Masyarakat Atas Dasar Aqidah Islam. Aqidah yang dimaksudkan dalam membentuk masyarakat Islam ialah aqidah yang berpandukan, لَا إ...