Wednesday, July 3, 2024

Sebuah pesanan kepada para Haji dan Hajjah

Sebuah pesanan kepada para Haji dan Hajjah.

Di hari-hari yang terbatas jumlahnya, pada awal bulan Zulhijah yang merupakan salah satu rangkaian proses ibadah yang paling agung dan paling utama, iaitu berhaji di rumah Allah Subhanahuwata’ala yang penuh kemuliaan. Melaksanakan ibadah haji merupakan salah rukun Islam yang wajib dilakukan oleh seorang muslim yang telah Allah mampukannya secara fizikal dan harta. Di dalam melaksakannya, dia telah mendapatkan kehormatan kerana dapat bertawaf mengelilingi rumah Allah Subhanahuwata’ala, berjalan sai di antara bukit Safa dan Marwah, wukuf di padang Arafah, serta melempar anak-anak batu di Jamrah(Arab: رمي الجمرات /melontar jamarat), dan amalan-amalan lainnya yang penuh kemuliaan.


Mereka yang telah diberi nikmat untuk beribadah kepada Allah Subhanahuwata’ala hendaklah bersyukur kepada-Nya atas taufik yang diberikan-Nya sehingga dapat menunaikan ibadah tersebut. Dan hendaknya dia berdoa kepada Allah Subhanahuwata’ala agar ibadah hajinya dan ibadah-ibadah lainnya diterima. Dia hendaklah mengetahui bahawa taufik yang Allah Subhanahuwata’ala berikan kepadanya untuk dapat menunaikan ibadah tersebut adalah suatu nikmat yang patut untuk disyukuri.


Jika dia bersyukur kepada Allah Subhanahuwata’ala dan berdoa kepada Allah agar ibadahnya diterima, maka ibadahnya tersebut layak diterima. Hal ini kerana itu,  jika seseorang mendapatkan taufik untuk berdoa, maka dia layak untuk dikabulkan doanya. Jika dia mendapatkan taufik untuk beribadah, maka ibadahnya layak diterima. Hendaknya dia penuhi semangat menjauhkan diri dari amal perbuatan yang buruk setelah Allah Subhanahuwata’ala berikannya anugerah untuk menghapuskannya.


Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


وَالحَجُّ المَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الجَنَّةُ


Maksudnya:”Haji mabrur, tidak ada balasan untuknya, kecuali syurga”. Riwayat Bukhari (1773) dan Muslim (1349)


Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam juga bersabda,


الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ، وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ


Maksudnya:”Solat lima waktu, solat Jumaat ke Jumaat berikutnya, dan puasa Ramadhan ke puasa Ramadhan berikutnya adalah penghapus dosa di antaranya, selama tidak melakukan dosa besar”. Muslim (233)


Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam juga bersabda,

الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا


Maksudnya:”Umrah ke umrah berikutnya adalah penghapus dosa di antara keduanya”. Riwayat Bukhari (1773) dan Muslim (1349)


Ini adalah tugas atau kewajipan setiap orang yang Allah Subhanahuwata’ala telah berikan nikmat untuk mendirikan ibadah, iaitu bersyukur kepada Allah dan berdoa agar ibadah tersebut itu diterima.


Bertakwalah kepada Allah Subhanahuwata’ala dalam menunaikan kewajipan ibadah yang lainnya seperti solat, zakat, berbakti kepada kedua orang tua, menyambung silaturahim, berbuat baik kepada sesama manusia dan haiwan, dan perintah Allah yang lainnya. Semua itu diringkas dalam firman Allah Subhanahuwata’ala,


إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاء ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاء وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ وَأَوْفُواْ بِعَهْدِ اللّهِ إِذَا عَاهَدتُّمْ وَلاَ تَنقُضُواْ الأَيْمَانَ بَعْدَ تَوْكِيدِهَا وَقَدْ جَعَلْتُمُ اللّهَ عَلَيْكُمْ كَفِيلاً إِنَّ اللّهَ يَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ


Maksudnya:”Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat. Dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran, dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran. Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu membatalkan sumpah-sumpah(mu) itu, sesudah meneguhkannya, sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai saksimu (terhadap sumpah-sumpahmu itu). Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu perbuat”. An-Nahl ayat 90-91.


Apa yang perlu ditekankan kembali terhadap apa yang telah dilakukan oleh jemaah haji di hari-hari yang terbatas jumlahnya pada awal bulan Zulhijah yang merupakan salah satu rangkaian proses ibadah yang paling agung dan paling utama, iaitu berhaji di rumah Allah Subhanahuwata’ala yang penuh kemuliaan. Melaksanakan ibadah haji merupakan salah rukun Islam yang wajib dilakukan oleh seorang muslim yang telah Allah mampukan secara fisik dan harta. Di dalam melaksakannya, dia telah mendapatkan kehormatan kerana dapat bertawaf mengelilingi rumah Allah Subhanahuwata’ala, berjalan sai di antara bukit Safa dan Marwah, wukuf di padang Arafah, serta melempar anak-anak batu di Jamarah, dan amalan-amalan lainnya yang penuh kemuliaan.


Pada detik kemudian, sebahagian dari jemaah haji telah pulang ke negara masing-masing, kembali kepada keluarga mereka yang telah menunggunya. Mereka pulang dengan membawa cerita-cerita bahagia atas kesempatan yang telah Allah berikan untuk menyelesaikan amalan haji yang tentu tidak mudah untuk dilakukan tersebut. Kepada semua saudaraku yang telah mendapatkan kehormatan untuk melaksanakan ibadah haji, inilah secebis nasihat untuk diriku dan nasihat untukmu:


Renungan pertama: 

Bersyukurlah kepada Allah Subhanahuwata’ala kerana telah memilihmu sebagai salah satu tamunya.


Teruslah bersyukur dan memuji Allah Subhanahuwata’ala atas limpahan kurnia yang telah Ia berikan kepadamu, baik itu berupa kenikmatan yang nampak, mahupun kebaikan dan kemudahan yang engkau dapatkan selama menjalankan rangkaian ibadah haji ini. Kerana, seberapa kaya pun seseorang itu, sesukses apa pun dirinya, dan setinggi mana pun jabatan yang dimilikinya, kesemuanya itu tidak dengan serta merta menjadikan dirinya dapat berangkat menunaikan ibadah badah haji dan menuntaskan seluruh rangkaian ibadah haji yang ada. Ketahuilah, Allahlah satu-satunya sumber semua kenikmatan ini, hanya dengan kehendak-Nyalah seseorang itu dapat berhaji dan dengan kehendak-Nyalah juga seseorang itu boleh tiba-tiba gagal untuk pergi berhaji. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,

وَمَا بِكُم مّن نّعْمَةٍ فَمِنَ اللَّهِ


Maksudnya:”Dan segala nikmat yang ada padamu (datangnya) dari Allah”. An-Nahl ayat 53.


Betapa banyaknya kenikmatan yang telah Allah berikan ini, sehingga Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


وَاِنْ تَعُدُّوْا نِعْمَةَ اللّٰهِ لَا تُحْصُوْهَا ۗاِنَّ اللّٰهَ لَغَفُوْرٌ رَّحِيْمٌ


Maksudnya:”Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya. Sungguh, Allah benar-benar Maha Pengampun, Maha Penyayang”. An-Nahl ayat 18.


Seseorang yang telah berangkat menunaikan ibadah haji hendaklah juga mengiringi rasa syukurnya dengan perasaan yang dipenuhi kebahagiaan dan kesenangan, kerana ia telah mendapatkan keutamaan dan taufik dari Allah Subhanahuwata’ala untuk menjalankan ketaatan dan ibadah tersebut. Kebahagiaan dan rasa senang semacam ini adalah hak mereka, kerana merupakan kebahagiaan yang hakiki lagi abadi. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


قُلْ بِفَضْلِ اللّٰهِ وَبِرَحْمَتِهٖ فَبِذٰلِكَ فَلْيَفْرَحُوْاۗ هُوَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُوْنَ


Maksudnya:”Katakanlah (Muhammad), ‘Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Itu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan”. Yunus ayat  58.


Renungan kedua: 

Berbaik sangkalah kepada Allah Subhanahuwata’ala, berharaplah kepada-Nya dari kebaikan yang berlimpah, kuatkan rasa harapmu kepada Allah Subhanahuwata’ala bahawa ia menerima ibadah haji dan amalanmu serta mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu.


Terdapat dalam sebuah hadith qudsi dari Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bahawasanya Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


أنا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بي


Maksudnya”Sesungguhnya Aku berdasarkan pada prasangka hamba-Ku kepada-Ku”. Riwayat Bukhari (7405) dan Muslim (2675)


Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam juga bersabda,


مَن حَجَّ لِلَّهِ فَلَمْ يَرْفُثْ، ولَمْ يَفْسُقْ، رَجَعَ كَيَومِ ولَدَتْهُ أُمُّهُ.


Maksudnya:” “Barangsiapa menunaikan ibadah haji ikhlas kerana Allah Subhanahuwata’ala, lalu ia tidak mengucapkan kata-kata kotor serta tidak berbuat kefasikan, maka ia pulang dalam keadaan (suci) seperti pada saat dilahirkan oleh ibunya”. Riwayat Bukhari (1521) dan Muslim (1350)


Renungan ketiga: 

Berhati-hatilah dari terjatuh kembali ke dalam lubang dosa dan kemaksiatan.


Wahai saudaraku, sesungguhnya engkau baru saja menyelesaikan ibadah haji. Rangkaian ketaatan yang penuh dengan ketundukan dan kerendahan hati kepada Allah Subhanahuwata’ala. Engkau pulang dalam kondisi selamat, serta dosa-dosamu telah Allah ampuni. Jangan sampai, engkau kotori dan engkau nodai kemuliaan ini dengan kembali melakukan kemaksiatan. Kemaksiatan yang akan menghancurleburkan pahala yang telah engkau kumpulkan, membatalkan ampunan Allah Subhanahuwata’ala terhadap dosa-dosa yang engkau lakukan. Allah Subhanahuwata’ala telah melarang kita dari perbuatan semacam ini. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


وَلَا تَكُوْنُوْا كَالَّتِيْ نَقَضَتْ غَزْلَهَا مِنْۢ بَعْدِ قُوَّةٍ اَنْكَاثًاۗ 


Maksudnya:”Dan janganlah kamu seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat, menjadi cerai berai kembali”. An-Nahl ayat 92.


Jangan engkau kotori lembaran putih yang telah Allah berikan ini dengan hitamnya dosa-dosa yang engkau lakukan. Sungguhnya, begitu indah apabila sebuah kebaikan diiringi dengan kebaikan-kebaikan lain setelahnya, dan betapa buruk sebuah kejelekan yang dilakukan setelah adanya kebaikan.


Renungan keempat: 

Haji yang mabrur dan diterima oleh Allah mempunyai tanda-tandanya, maka perhatikanlah!


Al-Imam al-Syaukani Rahimahullah (wafat 1255H) di dalam bukunya Nail al-Awtor menjelaskan bahawa:


  • Ibn Khalawaih salah seorang pakar bahasa Arab berasal dari Yaman (wafat 370H) berpendapat bahawa haji mabrur adalah haji yang maqbul (diterima oleh Allah SWT).

  • Ulama’ lain berpendapat bahawa ia adalah haji yang (pelaksanaannya) tidak dinodai oleh dosa. Pendapat ini dipilih dan dikuatkan oleh al-Imam al-Nawawi seorang faqih bermazhab Syafi’e dan pakar hadith.

  • Menurut al-Qurtubi, seorang pakar tafsir dan hukum (wafat 671H), pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh para pakar tentang haji mabrur adalah haji yang sempurna hukum-hukumnya sehingga terlaksana secara sempurna sebagaimana yang dituntut.

  • Al-Hasan al-Basri memberi jawapan maksud haji mabrur ialah apabila seseorang itu pulang ke tanah wafatnya dengan perasaan zuhud pada dunia dan inginkan akhirat.


Betapa indahnya apabila seseorang yang telah berhaji kemudian pulang kepada keluarganya sedangkan keimanannya telah bertambah, keistiqomahannya semakin menguat, menjadi baik perangainya, dan bertambah pula rasa wara’ dan ketakwaannya. Ibadah haji seharusnya semakin mendekatkan diri seseorang kepada Allah Subhanahuwata’ala. 


Apa gunanya ibadah haji bagi seseorang yang sepulangnya ia darinya masih saja menyia-nyiakan solat?! Apa pengaruhnya haji yang ia lakukan jika sekembalinya ia tetap tidak mahu mengeluarkan zakat, memakan harta riba, durhaka kepada kedua orang tua, dan memutus tali silaturahim?!


Wahai saudaraku, jadikanlah hajimu sebagai penghalang dari melakukan kemaksiatan dan pendorong untuk melakukan kebaikan. Kerana tidak ada garis akhir bagi seorang muslim untuk terus melakukan ketaatan, kecuali ajalnya sendiri. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتّٰى يَأْتِيَكَ الْيَقِيْنُ 


Maksudnya:”Dan sembahlah Tuhanmu sehingga yakin (ajal) datang kepadamu”. Al-Hijr ayat 99.


Renungan kelima: 

Ibadah haji adalah momentum keikhlasan, tauhid, dan ketundukan yang sempurna kepada Allah Subhanahuwata’ala.


Dari awal ibadah haji ini, kata yang selalu engkau ucapkan adalah kata-kata yang mengandungi penetapan tauhid untuk Allah Subhanahuwata’ala satu-satunya,


لَبَّيْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ لَبَّيْكَ


Maksudnya:”Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilanMu”.


Oleh kerana itu, tidak sepantasnya bagi dirimu untuk bermudah-mudahan di dalam memberikan doa, meminta pertolongan, dan menyembelih kepada selain Allah Subhanahuwata’ala. Bagaimana mungkin seseorang itu dianggap telah berhaji, sedangkan sekembalinya dari ibadah haji, ia masih tetap melakukan kesyirikan, mendatangi dukun, percaya ramalan, mengambil berkah dari kuburan, bebatuan, dan benda-benda keramat lainnya?! 


Bagaimana mungkin seseorang yang telah memenuhi panggilan Allah Subhanahuwata’ala  dengan berangkat berhaji lalu ia menjawab ajakan orang-orang yang melakukan kebid’ahan dan ajaran-ajaran sesat yang ada. Bagaimana mungkin hal-hal seperti ini terjadi, sedang Allah Subhanahuwata’ala telah memberinya kesempatan untuk mengunjungi rumahnya serta memenuhi panggilannya dengan berhaji?! Sungguh hal ini merupakan salah satu bentuk kufur nikmat yang paling besar. Kufur nikmat yang sudah semistinya dihindari oleh seorang muslim.



No comments:

Post a Comment

Mendirikan Masyarakat Atas Dasar Aqidah Islam.

Mendirikan Masyarakat Atas Dasar Aqidah Islam. Aqidah yang dimaksudkan dalam membentuk masyarakat Islam ialah aqidah yang berpandukan, لَا إ...