Thursday, May 7, 2026

Pemimpin menurut perspektif Islam dan Pemimpin adalah cerminan rakyat

Pemimpin menurut perspektif Islam dan Pemimpin adalah cerminan rakyat 

Seorang pemimpin merupakan khalifah Allah untuk melaksanakan amanah yang diberikan oleh Allah Subhanahuwata’ala di atas muka bumi ini. Salah satu amanah sebagai khalifah Allah ialah menyebarkan dasar Islam sebagai agama pembawa rahmat kepada manusia. Antara rahmat yang perlu disebar ialah berlaku adil kepada sesama manusia iaitu tidak membenci, tidak berlaku zalim, tidak melakukan penindasan, penipuan dan tidak mengabaikan tanggungjawabnya kepada manusia dan alam. Sifat adil pula merupakan ciri-ciri ketakwaan dalam Islam. Firman Allah Subhanahuwata’ala dalam surah an-Nahl ayat 90,

 اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya:''Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran''.

Pemimpin yang berlaku adil kepada rakyat akan mendapat pahala daripada Allah Subhanahuwata’ala. Begitu juga bagi rakyat yang mentaati pemimpin akan mendapat ganjaran yang sama. Sabda Rasullullah Sallallahualaihiwasallam,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّمَا الْإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ فَإِنْ أَمَرَ بِتَقْوَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَعَدَلَ كَانَ لَهُ بِذَلِكَ أَجْرٌ وَإِنْ يَأْمُرْ بِغَيْرِهِ كَانَ عَلَيْهِ مِنْهُ

Maksudnya:'' Dari Abu Hurairah, Rasullullah Sallallahualaihiwasallam bersabda, Sesungguhnya imam (pemimpin) itu adalah perisai, rakyat akan berperang di belakangnya serta berlindung dengannya. Apabila ia memerintahkan untuk bertaqwa kepada Allah 'Azza wa Jalla serta bertindak adil, maka ia akan mendapat pahala. Tetapi jika ia memerintahkan dengan selain itu, maka ia akan mendapat akibat buruk hasil perbuatannya''. Riwayat Muslim (3428), Bukhari (1809)

Dalam beberapa hadith yang lain dinyatakan bahawa pemimpin yang adil akan dimakbulkan doanya oleh Allah Subhanahuwata’ala, tindakannya bijaksana dan nasihatnya menjadi pedoman. Berkaitan dengan hal ini, Abu Hurairah radiallahu anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

ثَلَاثةٌ لا تُرَدُّ دَعوَتُهُمُ؛ الإمامُ العادِلُ، والصّائمُ حَتَّى يُفطِرَ، ودَعوَةُ المَظلومِ تُحمَلُ على الغَمامِ وتُفتَحُ لَها أبوابُ السَّماءِ، ويَقولُ الرَّبُّ: وعِزَّتِى لأنصُرَنَّكِ ولَو بَعدَ حينٍ

Artinya, “Tiga golongan yang tidak ditolak doanya: pemimpin yang adil, orang yang berpuasa hingga ia berbuka, dan doa orang yang terzalimi yang diangkat oleh Allah di atas awan, dibukakan baginya pintu-pintu langit, lalu Allah berfirman: ‘Demi kemuliaan-Ku, Aku pasti akan menolongmu meski setelah beberapa waktu''.Riwayat Al-Baihaqi dalam As-Sunan Al-Kubra, Sunan Ibnu Majah, dan Sunan At-Tirmidzi.

Hadith di atas menegaskan keutamaan tiga golongan yang memiliki keistimewaan dalam berdoa, iaitu pemimpin yang adil, orang yang berpuasa, dan orang yang terzalimi. Mula Al-Qari menjelaskan, bahawa cepatnya pengabulan doa disebabkan oleh kebaikan orang yang berdoa, atau kerana kerendahan hati dan kesungguhannya dalam berdoa kepada Allah Subhanhuwata’ala". Lihat Mirqatul Mafatih syarh Misykatil Mashabih, [Beirut, Darul Fikr, 2002], jilid IV, hlm. 1435].

Kemudian, setiap golongan yang disebut dalam hadith ini tentu memiliki alasan khusus mengapa doa mereka dijamin terkabul, dan salah satu yang mendapat kesempatan tersebut adalah pemimpin yang adil.

Pemimpin yang adil disebut pertama kali dalam hadith ini. Ertinya, sifat adil dalam diri seorang pemimpin menunjukkan kemuliaan, tidak hanya di sisi manusia, namun di sisi Sang Penerima Doa. Meskipun demikian, versi lain hadith ini tidak selalu menyebut pemimpin yang adil dalam urutan pertama.

Pemimpin yang adil memiliki kemuliaan di sisi Allah. Imam An-Nawawi menjelaskan, pemimpin yang adil ialah orang yang bertanggung jawab atas urusan kaum Muslimin, baik dari kalangan pemimpin mahupun hakim, harus mengutamakan hal yang memiliki banyak manfaat dan maslahat yang luas bagi umat. Hal ini disebabkan oleh pentingnya maslahat tersebut dan kesannya yang lebih umum pada sebahagian besar urusan". Lihat Syarh Shahih Muslim, [Beirut, Dar Ihya at-Turats al-‘Arabiy, 1392], jilid VII, hlm. 121).

Pemimpin yang adil disayangi rakyat jelata dan merupakan golongan yang terhormat di sisi Allah Subhanahuwata’ala. Manakala rakyat sentiasa berdoa supaya rahmat berkekalan dicurahkan oleh Allah Subhanahuwata'ala ke atas pentadbirannya. Manakala tempatnya di akhirat nanti akan mendapat naungan Allah Subhanahuwata'ala. Hadith riwayat Abu Hurairah radliyallaahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

قَالَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ، فِي ظِلِّهِ، يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلاَّ ظِلُّهُ، اْلإِمَامُ الْعَادِلُ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ، اجْتَمَعَا عَلَيْهِ، وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ، وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ، وَجَمَالٍ، فَقَالَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ أَخْفَى، حَتَّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا، فَفَاضَتْ عَيْنَاه

Maksudnya:''Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah Subhanahuwata'ala pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya. Pemimpin yang adil, pemuda yang menyibukkan dirinya beribadah kepada Allah subhanahu wata'ala, seorang yang hatinya selalu terikat dengan masjid, dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul dan berpisahnya kerana Allah, seseorang lelaki yang diajak berzina oleh wanita yang kaya dan cantik, lalu ia menolaknya sambil berkata ‘aku takut kepada Allah’. Seseorang yang bersedekah dengan secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya, serta seorang yang berzikir mengingati Allah dikala bersendirian hingga mengalir air matanya''. Riwayat Bukhari (620)

Pemimpin di sini termasuk Ketua Negara, Presiden, Gabenor, Ketua Daerah, ketua pejabat, penghulu, ketua rumah tangga (suami) atau ketua pelajar. Kerana setiap kita adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan oleh Allah Subhanahuwata'ala kelak. Untuk itu, seorang pemimpin perlu bertindak adil sehingga semua orang yang dipimpinya boleh merasakan perkhidmatan yang maksimum dan menegakkan peruntukan undang-undang yang sebenar.

Pemimpin adalah cerminan rakyat atau pengikut cenderung mencontohi gaya hidup, sikap, dan agama (cara hidup) pemimpin mereka. Jika pemimpinnya baik, beramanah, dan berakhlak, maka rakyat akan cenderung menjadi baik. Sebaliknya, jika pemimpinnya melakukan keburukan, rakyat akan terikut sama. Ia menepati realiti kemasyarakatan di mana dasar dan peribadi pemimpin membentuk budaya sesebuah negara.

Terdapat ungkapan berkenaan hubung kait antara pemimpin dan rakyat dalam kitab Syarh Bulugh al-Maram yang menyatakan:

النَاسُ عَلَى دِينِ مُلُوكِهِمْ

Maksudnya: ''Manusia adalah berdasarkan agama (cara hidup) pemimpinnya''. Lihat Salim, ‘Atiyyah bin Muhammad, Syarh Bulugh al-Maram. (T:Tp, 1431H), 136/10.

Ucapan ini adalah menepati realiti kemasyarakatan dan inilah yang berlaku dalam kebanyakan kehidupan manusia. Justeru, dengan baiknya, pemimpin yang menjadi suri teladan, maka sudah barang tentu akan memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat dan orang bawahannya.

Pernah terjadi, rakyat di zaman Umar bin Abdul Aziz begitu kuat taat dan Qiamullail. Ini kerana kesan daripada beliau sendiri yang cintakan Qiamullail. Justeru, sesungguhnya pemimpin benar-benar dapat mempengaruhi rakyat dan mereka begitu gembira melakukan amalan mengikut apa yang dilakukan oleh ketua mereka.

Seseorang yang bergelar pemimpin mestilah sedar bahawa keutamaannya adalah untuk berkhidmat kepada rakyat yang berada di bawah tanggungannya. Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,

أَلَا ‌كُلُّكُمْ ‌رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالإِمَامُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Maksudnya: “Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin, kesemuanya bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Imam adalah pemimpin ke atas orang ramai dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya''.Riwayat bukhari (7138)

Imam al-Mawardi telah menjelaskan beberapa perkara berkaitan kewajipan bagi seorang pemimpin terhadap rakyatnya. Antaranya adalah memperkasa hal ehwal agama masyarakat di tempat tersebut berdasarkan manhaj tertentu yang dipegang olehnya atau mengikut uruf (kebiasaan setempat), memastikan ibadah-ibadah umat Islam seperti solat Jumaat, solat hari raya dan peristiwa-peristiwa penting mengikut takwim Islam dapat dilaksanakan, memelihara kebajikan rumah-rumah ibadat, memastikan keamanan di setiap tempat dalam negeri, memelihara harta rakyat dan menegakkan hukum hakam Allah Subhanahuwata'ala. (Lihat Abu al-Hasan Ali al-Mawardi, Nasihat al-Muluk). Perkara ini menunjukkan bahawa tanggungjawab utama bagi pemimpin adalah menguruskan hal ehwal rakyat di bawahnya meliputi aspek-aspek seperti keagamaan, ekonomi, kebajikan, keselamatan dan sebagainya.

Pemimpin merupakan wakil yang telah dilantik oleh masyarakat untuk menunaikan tanggungjawab yang telah diberikan kepada dirinya. Pada masa yang sama, mereka juga ialah individu yang sukarela menawarkan diri untuk mengambil tanggungjawab tersebut. Sebagai pemimpin juga termasuklah ahli politik yang mempunyai tanggungjawab untuk berkhidmat di kawasan masing-masing. Oleh itu, perkara utama yang wajib dilakukan oleh pemimpin adalah menunaikan segala amanah yang telah diberikan. Berdasarkan dalil daripada al-Quran, Allah Subhanahuwata'ala telah berfirman:

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan''. Surah al-Ahzab ayat 72

Amanah yang digalas itu adalah lambang keimanan bagi seorang pemimpin dan pemerintah, bahkan ditegaskan lagi dalam sebuah hadith,

لا إيمان لمن لا أمانة له، ولا دين لمن لا عهد له

Maksudnya: ''Tidak sempurna Imam seseorang yang tidak amanah dan tidak sempurna agama bagi orang yang tidak menunaikan janji''. Riwayat Baihaqi(18851)

Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa jawatan dan kepimpinan bukanlah satu perkara yang boleh dimegah dan dibanggakan sebaliknya ia adalah satu tanggungjawab dan amanah yang berat untuk digalas bagi seseorang yang bergelar pemimpin.

No comments:

Post a Comment

Pemimpin menurut perspektif Islam dan Pemimpin adalah cerminan rakyat

Pemimpin menurut perspektif Islam dan Pemimpin adalah cerminan rakyat  Seorang pemimpin merupakan khalifah Allah untuk melaksanakan amanah y...