Mujahadah (المجاهدة) Dan Riyadah (الرياضة) dalam beribadah.
Apakah mujahadah(المجاهدة)? Mujahadah ialah usaha bersungguh-sungguh memerangi hawa nafsu, sifat keji dan keinginan melampau yang bertujuan menyucikan jiwa untuk mendapatkan keredaan Allah Subhanahuwata'ala.
Dalam erti kata lain, mujahadah merupakan bentuk melawan nafsu amarah demi membentuk jiwa yang murni dan usaha bersungguh-sungguh ini dijelaskan dalam al-Quran melalui Surah al-Ankabut ayat 69,
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
Maksudnya:''Dan orang-orang yang berjihad (orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami) untuk Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik (orang-orang yang berusaha membaiki amalannya)''.
Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,
المجاِهدُ مَن جاهدَ نفسَهُ في طاعةِ اللَّهِ
Maksudnya: ''Seorang mujahid (pejuang) yang sebenar ialah mereka yang bermujahadah melawan nafsunya dalam melakukan ketaatan kepada Allah''. Riwayat Tirmizi(1621)
Nafsu Amarah (atau Nafsu Ammarah) merujuk kepada peringkat jiwa yang paling rendah dalam Islam. Ia mendorong manusia ke arah keburukan, dosa, dan dikuasai nafsu serta sentiasa mendorong hati dan akal melakukan maksiat serta mengikut bisikan syaitan. Kesannya akan menjadikan manusia hamba kepada kehendak duniawi sehingga sukar membezakan yang baik dan buruk.
Firman Allah Subhanahuwata'ala,
وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي ۚ إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي ۚ إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya:''Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang''.
Bagaimana pula dengan riadah(الرياضة)? Riadah atau latihan rohani merupakan suatu proses melatih jiwa secara berperingkat daripada perkara yang mudah kepada perkara yang lebih sukar dengan tujuan mencapai kebaikan.
Melalui proses ini, perkara-perkara yang pada mulanya dirasakan berat, lambat laun akan menjadi lebih mudah dan ringan. Riadah merupakan satu usaha yang penuh cabaran untuk melatih jiwa dan memberi impak positif untuk jangka panjang.
Melaluinya, jiwa membuang sifat tercela dan berusaha mengamalkan sifat terpuji sehingga menjadi kebiasaan.
Riadah yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh mampu menghapuskan akhlak buruk dan membentuk akhlak baik. Secara ringkasnya, riadah ialah proses melatih diri secara beransur-ansur menuju kebaikan untuk mendekatkan diri pada Allah.
Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ وَفِي كُلٍّ خَيْرٌ احْرِصْ عَلَى مَا يَنْفَعُكَ وَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَلَا تَعْجَزْ وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ فَلَا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللَّهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ
Maksudnya:''Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, katanya: Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah, dan pada kedua-duanya ada kebaikan. Bersungguh-sungguhlah terhadap perkara yang bermanfaat bagimu, mohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah kamu lemah. Dan jika kamu ditimpa sesuatu, maka janganlah kamu berkata: 'Sekiranya aku melakukan demikian, nescaya akan begini dan begitu,' tetapi katakanlah: 'قَدَرُ اللَّهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ (Inilah takdir Allah dan apa sahaja yang dikehendaki oleh-Nya tentu Dia melaksanakannya), sebab sesungguhnya ucapan ‘andaikata’ itu membuka pintu godaan syaitan.''. Riwayat Muslim (4816)
Apabila kita meneliti sirah pengorbanan Nabi Ibrahim alaihissalam, baginda diuji dengan perintah yang berat, namun, kerana paksi imannya yang teguh dan bersendikan wahyu ilahi, perintah itu dilaksanakan dengan penuh ketundukan.
Pada hari ini, ujian kita adalah mujahadah melawan musuh yang tidak kelihatan, iaitu hawa nafsu yang bersarang di dalam dada, serta kesibukan duniawi yang sering melalaikan. Mari kita muhasabah diri kita melalui tiga dimensi mujahadah yang amat penting pada hari ini:
Pertama: Mujahadah Masa.
Kehidupan moden hari ini dipenuhi dengan pelbagai gajet dan hiburan yang mampu memukau kita sehingga larut malam. Maka di sinilah letaknya mujahadah. Sanggupkah kita mengorbankan sedikit waktu tidur yang lena, membaling selimut yang empuk pada sepertiga malam, semata-mata untuk bangun berdiri menunaikan solat sunat Tahajud dan bersujud memohon keampunan daripada Allah Subhanahuwata'ala? Sanggupkah kita meluangkan masa di tengah kesibukan kerja untuk melangkah ke masjid bagi solat berjemaah?
Kehidupan manusia adalah bergantung kepada penggunaan masanya. Oleh itu, Islam amat mengambil berat tentang masa dan memberitahu manusia bahawa setiap detik masanya adalah amat berharga. Sudah cukup untuk menggambarkan betapa besarnya nilai masa dalam Islam dengan Allah sendiri bersumpah dengan masa dalam firman-Nya yang selalu didengar;
وَالْعَصْرِ.إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ. إِلَّا الَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ.
Maksudnya:''Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran''. Surah al-‘Asr ayat 1-3
Dalam ayat di atas Allah bersumpah dengan masa bagi menunjukkan kepada manusia sekeliannya bahawa masa menjadi saksi terhadap berjaya atau gagalnya manusia, untung atau ruginya mereka. Manusia yang berjaya dan beruntung ialah manusia yang memanfaatkannya masanya di dunia (untuk beriman, beramal soleh, melaksanakan perintah Allah dan sebagainya bagi bekalan ke akhirat) dan manusia yang gagal dan rugi ialah manusia yang mensia-siakan masanya.
Imam asy-Syafi’ie pernah dalam satu ungkapannya berkata tentang surah ini;
لَوْ تَدَبَّرَ النَّاْسُ هَذِهِ السُّوْرَةَ لَوَسِعَتْهُمْ
Maksudnya:''Jika manusia memerhati dan mengambil pengajaran dari surah ini, maka memadailah bagi mereka''.
Dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah menasihati seseorang,
اِغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ : شَبَابَكَ قَبْلَ هَرَمِكَ وَ صِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ وَ غِنَاكَ قَبْلَ فَقْرِكَ وَفَرَاغَكَ قَبْلَ شَغْلِكَ وَ حَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ
Maksudnya: "Manfaatkanlah/sebutkanlah lima perkara sebelum lima perkara; Waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu.Waktu sehatmu sebelum datang waktu sakitmu.Masa kayamu sebelum datang masa kefakiranmu.Masa luangmu sebelum datang masa sibukmu.Hidupmu sebelum datang matimu".
Al-Hakim dalam Al Mustadroknya 4: 341. Al Hakim mengatakan bahwa hadith ini sahih sesuai syarat Bukhari Muslim namun keduanya tidak mengeluarkannya. Dikatakan oleh Adz Dzahabiy dalam At Talkhish berdasarkan syarat Bukhari-Muslim.
Kedua: Mujahadah Harta.
Sifat asas manusia adalah menyayangi harta benda yang dihimpunnya. Namun, Islam mengajar kita bahawa dalam rezeki kita, ada hak orang lain. Mujahadah harta menuntut kita mempersoalkan diri: Sanggupkah kita mengetepikan sebahagian daripada pendapatan bulanan kita untuk dizakatkan, disedekahkan, dan digunakan untuk melaksanakan ibadah korban. Mengeluarkan duit untuk membeli binatang korban memerlukan mujahadah bagi mengikis sifat bakhil dan kedekut.
Jihad dengan Harta (Al-Jihad bil Mal), melibatkan perbelanjaan kekayaan untuk kebaikan umat. Pelaksanaannya ialah dengan cara berinfak, bersedekah, membayar zakat, mewakafkan harta, dan membiayai usaha dakwah atau golongan yang memerlukan. Ia adalah bertujuan untuk membantu golongan lemah, membina institusi Islam, dan menyokong perjuangan agama.
Firman Allah Subhanahuwata'ala,
انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya:''Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan maupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui''. Al-Taubah ayat 41
Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,
جَاهِدُوا الْمُشْرِكِيْنَ بِاَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسكْمْ وأَلِْسنَتِكُمْ
Maksudnya: “Berjihadlah menentang orang-orang Musyrikin dengan harta, diri dan lidah kamu”. Riwayat Al-Darami(2324)
Hadith ini menyebut ketiga-tiga jenis jihad di atas sekaligus.
Ketiga: Mujahadah Jiwa (al-Nafs)
Mujahadah jiwa merujuk kepada perjuangan dan usaha bersungguh-sungguh melawan nafsu serakah serta godaan syaitan demi menyucikan hati. Ia merupakan proses mendidik jiwa (tasawuf) agar sentiasa patuh kepada perintah Allah Subhanahuwata'ala dan menjauhi larangan-Nya.
Konsep penting dalam mujahadah jiwa meliputi:
1-Penyucian Hati: Membuang sifat mazmumah (keji) seperti riak, hasad, dan sombong.
2-Pengisian Rohani: Menghiasi diri dengan sifat mahmudah (terpuji) seperti ikhlas, sabar, dan tawakal.
Ini adalah mujahadah yang paling sukar. Sanggupkah kita membuang ego yang tinggi, mengikis sifat hasad dengki, menjauhkan perasaan bangga diri (ujub), dan meruntuhkan tembok mementingkan diri (egoistik) demi menjaga ukhuwah sesama Muslim? Mujahadah jiwa menuntut kita memaafkan kesalahan orang lain dan merendahkan diri demi kedamaian ummah.Tanpa mujahadah, ibadah yang kita lakukan setiap hari akan menjadi kosong, hambar, dan sekadar ritual luaran semata-mata—bak kata pepatah, "sekadar melepaskan batuk di tangga". Ketahuilah, orang yang bermujahadah dalam ibadah akan sentiasa merasai kelazatan iman dan kemanisan bermunajat kepada Allah Subhanahuwata'ala, walaupun ketika itu mereka sedang diuji dengan pelbagai tribulasi, badai ujian, dan kepayahan hidup.
Dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang memperkatakan tentang jihad al-Nafs, yakni jihad melawan hawa nafsu. Antaranya sepertimana firman Allah Subhanahuwata'ala,
وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَىٰ. فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَىٰ
Maksudnya: “Manakala orang yang takut kepada kedudukan Tuhannya lalu dia menahan jiwanya daripada mengikut hawa nafsunya. Maka sesungguhnya syurga itulah tempat kediamannya''. Surah al-Nazi‘at ayat 40-41
Menurut al-Razi dan beberapa orang ulama, mereka bersepakat menegaskan bahawa maksud ‘menahan diri daripada hawa nafsu’ ialah jihad al-Nafs. Dalam erti kata, usaha seseorang Muslim berjuang menentang hawa nafsunya. Persoalan ini turut dijelaskan oleh Ali bin Abu Talib R.A dengan mengemukakan kebimbangannya terhadap orang yang menjadi hamba kepada hawa nafsu, katanya: “Sesungguhnya ada dua perkara yang aku takutkan terjadi ke atas kamu, iaitu bertindak mengikut hawa nafsu dan berangan-angan tinggi. Mengikut hawa nafsu akan memesongkan kamu daripada kebenaran, manakala angan-angan yang tinggi membuatkan seseorang itu lupa kepada akhirat''. (Lihat Tafsir al-Razi, 23/72)
Jelaslah hawa nafsu merupakan punca segala-galanya; kecuaiannya mendedahkan manusia kepada bahaya hasutan syaitan dan tipu daya iblis yang sentiasa mencari jalan untuk membawa manusia ke lembah kehancuran. Malah, sejarah umat-umat terdahulu menjadi bukti yang jelas bagaimana kehancuran dan kemusnahan yang ditimpakan kepada mereka disebabkan oleh keangkuhan, kesombongan, kelalaian serta keseronokan mempertuhankan hawa nafsu tanpa menghiraukan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahuwata'ala kepada mereka, dengan membelakangi ajaran-ajaran para rasul yang diutuskan kepada mereka.
Untuk mencapai satu matlamat, manusia mesti berusaha dengan bersungguh-sungguh. Hal ini bersesuaian dengan pepatah من جد وجد yang bermaksud siapa yang berusaha akan berjaya. Tanpa usaha, doa dan tawakal, cita-cita yang diinginkan akan menjadi angan-angan.
Pelaksanaan al-mujahadah dan ar-riyadah adalah tanggungjawab diri sendiri kerana seseorang itu perlu ada kesedaran untuk berubah menjadi lebih baik.
No comments:
Post a Comment