Halal Membawa Berkat
Allah Subhanahuwata’ala memerintahkan kita supaya mengambil makanan daripada sumber yang halal dan terbaik, agar tubuh badan kita membesar dari sumber yang halal, yang diredhai Allah Subhanahuwata’ala. Malah bukan sahaja halal tetapi juga toyyiban iaitu baik dalam segala yang berkaitan dengannya. Dari situlah, akan lahir tubuh badan yang sihat dan akal yang sempurna.
Sesungguhnya jasad yang baik itu akan melahirkan akal yang sejahtera. Bahkan, yang lebih penting dari itu adalah pembinaan hati yang baik sebagai penentu kebaikan keseluruhan insan itu. Benarlah sabda junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam seperti yang diriwayatkan oleh sahabat Nu’man bin Basyir radhiallahu anhu,
أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ، صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ، فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung)''. Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599).
Hati atau jantung ini merupakan salah satu organ yang penting di dalam badan atau jasad manusia kerana ia akan menentukan sama ada baik atau buruknya jasad (akhlak) seseorang itu sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam hadith di atas.
Terdapat doa khusus yang telah diajar oleh Baginda Sallallahu'alaihiwasallam dalam memelihara hati ini daripada terpesong. Hadith tersebut telah diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi di dalam Jami’nya. Daripada Anas bin Malik RA berkata: Adapun Nabi Sallallahu'alaihiwasallam banyak membacakan doa,
يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، آمَنَّا بِكَ وَبِمَا جِئْتَ بِهِ فَهَلْ تَخَافُ عَلَيْنَا؟ قَالَ: نَعَمْ، إِنَّ القُلُوبَ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللَّهِ يُقَلِّبُهَا كَيْفَ يَشَاءُ
Maksudnya: “Wahai Dzat yang membolak balikkan hati, teguhkanlah hatiku agar ia berada di atas agamamu.” Kemudian aku pun bertanya: “Wahai Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, kami beriman kepadamu dan kepada apa yang kamu telah bawa. Lalu apakah kamu masih bimbang kepada kami?” Baginda Sallallahu'alaihiwasallam menjawab: “Ya, kerana sesungguhnya hati manusia itu berada di antara dua jari daripada jari-jari Allah Subhanahuwata'ala yang mana Dia akan membolak-balikkannya mengikut kehendak-Nya''. Riwayat al-Tirmizi (2140),Hadith ini adalah hasan mengikut penilaian Imam al-Tirmizi.
Hadith ini menunjukkan bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam memperbanyakkan berdoa dengan doa tersebut kerana hati ini kadang-kadang ia cenderung kepada ketaatan dan kadang-kadang pula ia cenderung kepada kemaksiatan. Selain itu juga, hati ini juga kadang-kadang cenderung kepada sedar dan kadang-kadang cenderung kepada alpa. Untuk itu, doa ini bertujuan agar ditetapkan hati ini di atas agama tanpa terpesong sedikitpun daripada agama yang mulia dan jalan (agama) yang lurus ini. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 291/6]
Makanan dari sumber yang haram atau syubhah (diragui) hanya akan menggelapkan hati, menimbus segala cahaya dan nilai kebaikan. Hati akan lebih cenderung kepada sifat atau tingkah laku yang berlawanan dengan kebaikan, ia dikuasai oleh nafsu yang tunduk kepada hasutan syaitan. Hati yang tumbuh dengan makanan dan sumber yang haram adalah istana bagi sekalian syaitan yang bermaharajalela. Akhirnya seseorang insan akan tewas dan terjerumus ke lembah dosa, noda dan neraka kerana setiap daging insan yang tumbuh dari sumber yang haram, maka api neraka sedang menunggunya.
Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,
لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ لَحْمٌ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ، وَكُلُّ لَحْمٍ نَبَتَ مِنَ الْحَرَامِ فَالنَّارُ أَوْلَى بِه
Maksudnya: "Tidak masuk syurga daging yang tumbuh dari harta yang haram, dan setiap daging yang tumbuh dari yang haram, maka neraka lebih utama baginya''.
Haditg ini diriwayatkan oleh Imam at-Thabrani dalam Al-Kabir, Ibnu Hibban, dan al-Hakim. Hadith ini dinilai sebagai sahih atau hasan oleh para ulama (Sahihul Jami')
Dalam Islam setiap perkara yang halal mahupun haram telah ditetapkan dalam nas-nas syarak. Hal ini telah dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda
إنَّ الحَلالَ بَيِّنٌ، وإنَّ الحَرامَ بَيِّنٌ
Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu sudah dijelaskan dan perkara yang haram itu pun jelas''. Riwayat al-Bukhari (52)
Oleh yang demikian, kita mestilah memberikan perhatian yang serius terhadap makanan yang halal dan toyyiban (yang baik-baik) bermula dari peringkat awal pendidikan anak-anak, sehinggalah dewasa. Sudah sampai masanya kita berani merubah dan berubah lebih serius untuk meningkatkan kefahaman dalam semua hal yang berkaitan dengan isu halalan toyyiban.
Marilah kita bersama-sama menghayati firman Allah Subhanahuwata’ala dalam Surah al-Ma’idah ayat 88,
وَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلَالًا طَيِّبًا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي أَنْتُمْ بِهِ مُؤْمِنُونَ
Maksudnya:''Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu, dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya''.
Halalan Toyyiban bermaksud makanan atau produk yang bukan sahaja halal (dibenarkan syarak) tetapi juga baik, bersih, selamat, bernutrisi, dan berkualiti tinggi. Konsep ini merangkumi keseluruhan rantaian bekalan termasuk bahan mentah, pemprosesan, penyimpanan, dan pengangkutan yang bebas daripada najis atau bahan berbahaya. Ia berlandaskan tuntutan al-Quran (contoh: Surah al-Baqarah, ayat 168) dan bertujuan menjaga keselamatan nyawa serta akal.
يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
Maksudnya:'' Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.
Daripada Abdullah bin Mas’ud, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:
إِنَّ لِلشَّيْطَانِ لَمَّةً بِابْنِ آدَمَ
Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan merasuk dan mengganggu manusia''. Riwayat al-Tirmizi (3256)
Daripada Sofiyyah binti Huyay R.Anha, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:
إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنْ ابْنِ آدَمَ مَجْرَى الدَّمِ
Maksudnya: ''Sesungguhnya syaitan itu bergerak di dalam diri anak-anak Adam melaui saluran darah''. Riwayat al-Bukhari (2039)
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
الشَّيْطَانُ جَاثِمٌ عَلَى قَلْبِ ابْنِ آدَمَ ، فَإِذَا ذَكَرَ اللهَ خَنَسَ وَإِذَا غَفَلَ وَسْوَسَ
Maksudnya: ''Syaitan itu duduk bercangkung di atas hati manusia, apabila manusia menyebut nama Allah, dia (syaitan) akan mengundurkan diri dan apabila manusia lalai, dia (syaitan) akan membisikkan kejahatan''. Rujuk kitab Fath al-Bari oleh Imam Ibn al-Hajar al-Asqalani (8/614)
Syaitan akan membisikkan bisikan ke dalam hati-hati anak Adam ketika anak Adam berada dalam keadaan sedih dan gembira. Jika manusia itu berjaya untuk mengingati Tuhannya, maka syaitan itu akan menjauhinya. Rujuk Tafsir Ibn Kathir (4/750)
Betapa pentingnya kesedaran masyarakat tentang memilih dan mengutamakan makanan dan produk yang halal lagi baik. Halal dari sudut hukumnya, iaitu tidak bercanggah dengan syariat Allah. Demikian juga sumber makanan dari sembelihan haiwan, mestilah diyakini bahawa haiwan itu telah disembelih mengikut ketetapan syariat. Manakala aspek toyyiban pula adalah dari segi proses penghasilan dan pengurusannya.
Produk makanan umat Islam mestilah daripada sumber bahan mentah yang halal lagi suci. Sebaliknya, sumber bahan mentah daripada haiwan haram mahupun haiwan yang tidak disembelih mengikut hukum syarak, maka jelaslah produk makanan tersebut daripada sumber yang haram. Sehubungan itu, pengguna Muslim perlu bijak dalam membuat penelitian terhadap bahan-bahan yang dibeli sama ada bebas daripada unsur haram mahupun sebaliknya. Pengguna Muslim perlu berpegang pada prinsip yakini produk halal yang bebas daripada unsur haram serta teknik penyediaan yang menepati kehendak syarak. Panduan tersebut terbina atas dasar kaedah fiqh berikut,
اليقين لا يزول بالشكّ
Maksudnya: Keyakinan tidak terluput dengan syak.
Namun, sekiranya ragu-ragu terhadap sebarang produk makanan yang tiada logo halal yang diiktiraf mahupun melihat cara penyediaan yang tidak menepati kehendak syarak seperti penyediaan makanan daripada telur ayam yang tidak dibasuh dan dikhuatiri masih melekat najis maka perlu ditinggalkan. Panduan tersebut terbina berdasarkan hadith berikut,
Daripada Hasan bin Ali R.Anhuma, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:
دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ
Maksudnya: “Tinggallah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan”. Riwayat al-Tirmizi (2518) dan al-Nasa'i (5711). Imam al-Tirmizi berkata hadith ini adalah Hasan Sahih.
Hadith ini mendidik mukmin untuk menjadi Warak (berhati-hati) dengan tidak membiarkan diri terjebak dalam hal-hal samar. Dimana kebenaran, kejujuran dan perkara halal akan membawa ketenangan hati, manakala keraguan dan dusta membawa gelisah. Namun, jika timbul was-was atau keraguan dalam hati mengenai sesuatu perkara (samar antara halal/haram), hendaklah ditinggalkan dan pilih perkara yang jelas benar. Hadith ini juga sering digunakan sebagai solusi untuk mengatasi was-was dalam ibadah, yaitu dengan memegang perkara yang yakin (misalnya yakin sudah wudhu, ragu batal atau tidak, maka pilih yakin belum batal.
Kita hendaklah mendidik dan mengajar ahli keluarga kita supaya mengutamakan yang halal walau di mana sahaja berada. Kenalilah Logo Halal yang diiktiraf bagi memastikan produk yang dipilih adalah diyakini sebenar-benarnya halal. Jadikanlah amalan ini sebagai budaya dalam hidup kita. Bermula dari keluarga akhirnya menjadi budaya dalam masyarakat kita. Hanya dengan usaha yang bersungguh-sungguh ini sahaja kita akan memahami dan menghayati, hikmah Allah Subhanahuwata’ala memerintahkan kita supaya mendapatkan makanan dan sumber yang halal lagi baik. Demikianlah Allah Subhanahuwata’ala berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 172,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah.
Justeru, setiap pengusaha, peniaga, pengeluar atau penghasil barangan makanan dan pengguna agar memastikan harta yang diperolehi adalah dari sumber yang halal. Yakinlah hanya “dengan halal hidup lebih berkat”, hanya dengan halal, hidup dalam rahmat, dengan halal hidup akan lebih selamat, hanya dengan halal, negeri akan sejahtera. Untuk itu kita hendaklah memastikan harta dan sumber rezeki kita adalah halal dan sentiasa menjauhi yang haram.
Hal ini kerana pengusaha Muslim lebih jelas serta faham terhadap perkara yang telah diharamkan dalam Islam.
الْأَصْلُ بَرَاءَةُ الذِّمَّةِ
Maksudnya: ''Asal seseorang bebas daripada sebarang tanggungan''.
Berdasarkan kaedah ini, asal pengusaha Muslim itu dianggap bebas daripada sebarang perkara yang haram dan najis kecuali terdapat bukti sebaliknya. Seterusnya, pengusaha produk Muslim perlu terus memasarkan produk-produk halal yang akan terus menjadi pilihan utama untuk kegunaan seharian para pengguna Muslim.
Akan tiba satu zaman, manusia tidak mempedulikan hal ehwal halal dan haram sama ada dalam bentuk makanan atau minuman, harta yang diperoleh, kelakuan dan percakapan. Situasi ini merujuk kepada keadaan manusia akhir zaman yang lebih mementingkan sumber kewangan, kekayaan semata-mata tanpa melihat pertimbangan yang sebaik mungkin berdasarkan agama dan moral. Terdapat jenis-jenis pekerjaan dan sumber pendapatan yang haram melibatkan ramai umat Islam.
Sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahu anhu bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيَأْتِيَنَّ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ لَا يُبَالِي الْمَرْءُ بِمَا أَخَذَ الْمَالَ أَمِنْ حَلَالٍ أَمْ مِنْ حَرَامٍ
Maksudnya:''Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi Sallallahu'alaihiwasallam, sabda baginda:''Akan tiba suatu zaman, seseorang tidak mempedulikan daripada mana hartanya diperoleh, adakah daripada jalan yang halal atau haram''. Riwayat al-Bukhari (2083)
Hadith ini memberi amaran tentang tahap keruntuhan akhlak dan keimanan di mana mengejar kekayaan material melebihi tuntutan agama. Manusia pada zaman tersebut hanya fokus kepada jumlah harta, bukan keberkatan atau sumbernya. Fenomena ini sering dikaitkan dengan peningkatan transaksi riba dan perniagaan tidak sah yang semakin normal dalam masyarakat.
Firman Allah Subhanahuwata’ala,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya''. Surah al-Maidah ayat 90.
Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini dengan menyebut satu riwayat daripada Abd al-Rahim bin Ghanm RA, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
وإنَّ الخَمرَ حَرامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ، وَإِنَّ الْخَمْرَ حَرَامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ، وَإِنَّ الْخَمْرَ حَرَامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram''.
Riwayat Ahmad dalam Musnad (17995). Syeikh Syuaib al-Arnaut di dalam Takhrij al-Musnad (17995) berkata hadis ini sahih li ghairih.
Justeru itu, bagi seorang mukmin hendaklah dia bertaqwa kepada Allah dengan menghindari diri daripada terlibat daripada apa-apa pekerjaan yang terlibat dengan arak dan segala apa yang haram selainnya.
No comments:
Post a Comment