Wednesday, August 20, 2025

Buli adalah satu kezaliman (Justice for Zara Qairina)

Buli adalah satu kezaliman (Justice for Zara Qairina)

Kata zalim berasal dari bahasa Arab, dengan huruf ظ ل م yang bermaksud gelap.

Al-Qur’an menggunakan kata ظُلْمٌ selain itu juga digunakan kata بَغْيٌ, yang ertinya sama dengan zalim iaitu melanggar hak orang lain.

Namun pengertian zalim lebih luas maknanya berbanding بَغْيٌ, ianya bergantung pada kalimat yang disandarkannya.

Dalam hadith Qudsi Nabi Sallallahu'alaihiwasallam menyebutkan bahawa Allah Subhanahuata'ala berfirman,

إِنِّي حَرَّمْتُ عَلَى نَفْسِي الظُّلْمَ وَعَلَى عِبَادِي فَلَا تَظَالَمُوا

Maksudnya:"Wahai hamba Ku, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman atas diri-Ku, lalu Aku mengharamkannya atas kalian semua, maka janganlah kalian saling menzalimi". Muslim (2557)

Setiap Muslim diajarkan agar tidak melakukan perbuatan zalim atau aniaya kepada orang lain dan terhadap dirinya sendiri. Bahkan Allah Subhanahuwata'ala menjanjikan azab bagi orang yang zalim.

Hal ini sebagaimana yang ditegaskan dalam firman-Nya pada surat Al-Furqan ayat ke-19,

  وَمَنْ يَظْلِمْ مِنْكُمْ نُذِقْهُ عَذَابًا كَبِيرًا

Maksudnya:"Barangsiapa di antara kamu yang berbuat zalim, nescaya kami rasakan kepadanya azab yang besar".

Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pula bersabda,

اِتَّقُوا اَلظُّلْمَ فَإِنَّ اَلظُّلْمَ ظُلُمَاتٌ يَوْمَ اَلْقِيَامَةِ

Maksudnya:“Jauhilah perbuatan zalim, kerana sesungguhnya kezaliman adalah kegelapan pada hari kiamat”. Muslim (2587)

Orang yang zalim di waktu merasakan azab Allah,

لَا تَرْكُضُوا وَارْجِعُوا إِلَىٰ مَا أُتْرِفْتُمْ فِيهِ وَمَسَاكِنِكُمْ لَعَلَّكُمْ تُسْأَلُونَ

Maksudnya:"Janganlah kamu lari tergesa-gesa; kembalilah kamu kepada nikmat yang telah kamu rasakan dan kepada tempat-tempat kediamanmu (yang baik), supaya kamu ditanya". Al-Anbiya ayat 13.

Buli bermaksud perbuatan mengasari atau mengganggu orang lain, terutamanya mereka yang lebih lemah, dengan tujuan untuk menakutkan, mengancam, atau menyakiti mereka secara fizikal atau emosi. Ia melibatkan tindakan berulang yang bertujuan untuk menunjukkan kekuasaan atau menguasai orang lain, seringkali melibatkan ketidakseimbangan kuasa antara pembuli dan mangsa. Buli boleh memberi kesan buruk kepada mangsa, termasuk masalah kesihatan mental, fizikal, dan emosi. Ia juga boleh memberi kesan negatif kepada pembuli dan persekitaran sosial secara keseluruhan.

Secara lebih terperinci, buli boleh dibahagikan kepada beberapa jenis:

1-Buli fizikal:

Melibatkan tindakan fizikal seperti memukul, menendang, menolak, atau mencederakan mangsa.

2-Buli lisan (verbal):

Melibatkan kata-kata kasar, ejekan, ancaman, penyebaran khabar angin, atau hinaan.

3-Buli emosi (psikologi):

Melibatkan tindakan yang bertujuan untuk menyakiti perasaan mangsa, seperti mengabaikan, mengasingkan, atau membuat mereka berasa tidak berharga.

4-Buli siber:

Buli yang berlaku melalui media sosial, e-mail, atau platform dalam talian lain, termasuk penyebaran maklumat palsu, ancaman, atau penghinaan.

Budaya membuli dapat berkembang dalam konteks dimanapun manusia saling berinteraksi. Ini mungkin merangkumi sekolah, keluarga, tempat kerja,[1] rumah, dan kawasan kejiranan. Platform utama pembuli dalam budaya kontemporari adalah di laman sesawang media sosial.[2] Satu kajian oleh The Lancet Child & Adolescent Health pada tahun 2019 menunjukkan hubungan antara penggunaan media sosial dengan kanak-kanak perempuan dan peningkatan pendedahan mereka terhadap pembulian.[3]

Rujukan:

1- Lihat Williams, Ray (3 May 2011). "The Silent Epidemic: Workplace Bullying".

2-Lihat Whittaker, E (2016). "Cyberbullying via social media". Journal of School Violence: 11–29.

3-Social Media Use May Harm Teens' Mental Health By Disrupting Positive Activities, Study Says". 2019-08-13.

Sebagaimana kita sedia maklum, buli merupakan satu ancaman yang membimbangkan dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa kini. Sebagaimana keterangan di atas, buli merujuk kepada perbuatan oleh seseorang atau beberapa orang yang menggunakan kekuatan atau kekerasan untuk menakutkan, mengganggu, menghina atau menyakitkan orang lain melalui pelbagai kaedah, sama ada secara fizikal, mental atau emosi yang mengakibatkan kecederaan fizikal atau gangguan emosi kepada mangsa. Jenis salah laku buli dalam kalangan murid yang biasa berlaku termasuk fizikal, lisan, bukan lisan dan buli siber.

Laporan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tahun 2023 menyatakan Malaysia menduduki tangga kelima di dunia dan kedua di Asia dalam kes buli siber. Akhbar Berita Harian bertarikh 22 Mac 2024 ada melaporkan kes kematian seorang murid di sebuah kolej akibat dibuli oleh 13 orang rakan mangsa. Walaupun Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman mati pada Julai 2024 terhadap enam orang pembuli di sebuah universiti awam, kes buli masih lagi berlaku seperti tidak berkesudahan.

Kita perlu sedar bahawa sekecil-kecil perkara pun akan dibawa ke perbicaraan mahkamah teragung di hadapan Allah Subhanahuwata'ala. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah al-Kahfi ayat 49,

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Maksudnya:''Dan diletakkanlah kitab, lalu kamu akan melihat orang-orang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata: "Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis). Dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang juapun''.

Allah Subhanahuwata'ala mengingatkan kita bahawa manusia dicipta dengan penuh kemuliaan dan keistimewaan. Kita diberi akal fikiran, kemampuan untuk mengurus kehidupan di darat dan di laut, dikurniakan rezeki dari pelbagai bentuk, dan dilebihkan berbanding makhluk lain.Namun persoalannya; Adakah kita benar-benar menghargai kemuliaan ini?Adakah kita hidup sebagai insan yang menjaga maruah, beradab dan penuh rasa syukur terhadap nikmat Allah?

Kemuliaan bukan sekadar anugerah, tetapi amanah. Sebagai anak-anak Adam, kita dituntut untuk hidup dengan penuh tanggungjawab, menegakkan keadilan, menyebarkan kasih sayang dan menghindari kerosakan di bumi.Dalam menjelaskan hal ini, Allah Subhanahuwata'ala, berfirman,

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya Kami telah muliakan anak Adam. Al-Isra ayat 70.

Ketika menafsirkan ayat ini, al-Hafiz Ibn Kathir rahimahullah berkata: Allah Subhanahuwata'ala mengkhabarkan bahawa Dia memuliakan anak Adam dengan cara Dia menciptakan mereka dengan sebaik-baik kejadian. Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim (5/97).

Perbuatan membuli memang tidak dinafikan akan meninggalkan kesan kepada mangsa yang menghadapinya. Kesan yang terhasil sama ada bersifat kekal atau sementara. Begitu juga kesan terhadap fizikal dan mental mangsa buli. Berikut dikongsikan beberapa kesan-kesan buli terhadap mangsa:

1- Trauma.

Inilah kesan buruk dari sudut emosi bagi mangsa-mangsa yang dibuli. Bahkan dilaporkan beberapa kes yang menceritakan mangsa buli rasa takut untuk kembali ke sekolah. Bahkan terdapat sebuah kes di Kelantan, seorang mangsa buli di salah sebuah sekolah berasa trauma ekoran diugut oleh pelajar-pelajar yang membulinya agar merahsiakan kejadian tersebut.

2- Kesan fizikal.

Kesan-kesan fizikal ini melibatkan kecederaan kepada anggota tubuh mangsa buli. Terdapat kesan yang bersifat kekal dan ada juga yang bersifat sementara serta ada juga yang menyebabkan kematian.

Perbuatan buli memberi kesan yang amat besar pada diri mangsa, pembuli dan keluarga. Mangsa buli akan mengalami tekanan dan gangguan emosi sepanjang hayat terutama apabila dibuli terhadap perasaan dan psikologi. Buli fizikal boleh memberikan kesan seperti kecatatan atau parut yang kekal selamanya.

Bagi si pembuli pula, kesan kepada diri sendiri amat besar apabila disabitkan dengan jenayah tersebut. Bagaimanakah gambaran masa depan mereka dan keluarga jika dikenakan hukuman penjara mahupun sebatan sehingga memusnahkan kehidupan. Jangan kerana inginkan keseronokan dan penyelesaian sementara, menjadikan kehidupan kita sia-sia.

Mengapakah buli ini terjadi?

Pertama: Kelemahan institusi kekeluargaan. Pengabaian didikan ibu bapa dan kurang kasih sayang di samping cara didikan yang kasar menyebabkan anak menjadi pembuli. Tidakkah kita tahu bahawa ayah dan ibu memberi kesan dalam pembentukan adab dan akhlak anak-anak. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Maksudnya: Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi''. Riwayat al-Bukhari (1385)

Kedua: Pengaruh media sosial. Statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan bahawa 28 juta rakyat Malaysia aktif menggunakan media sosial. Keganasan, kelucahan dan ejekan terhadap fizikal seseorang menjadi paparan utama media sosial sehingga dirasakan normal, melucukan, dan menjadi ikutan masyarakat.

Ketiga: Sikap individu yang mementingkan diri. Sifat ego, panas baran dan kurang empati mendorong kepada berlakunya kes buli dalam kalangan masyarakat. Sebagai contoh, seseorang yang merasakan dirinya hebat atau kuat sering mengejek dan memandang rendah kepada orang lain sehingga melakukan penindasan secara sedar ataupun tidak.

Islam datang dengan membawa kesejahteraan dan keamanan. Maksud Islam itu sendiri jika diterjemahkan dalam bahasa Melayu membawa maksud sejahtera. Lafaz ucapan salam yang dianjurkan setiap kali bertemu sesama Islam melambangkan Islam akan menjamin kesejahteraan dan keamanan sesiapa sahaja yang menerima Islam dan tidak memusuhinya. Malah orang kafir zimmi (yang tidak memerangi Islam) pun akan dijaga dan tidak dibuli jika hidup di bawah kepimpinan Islam, apatah lagi sesama Islam. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah al-Taubah ayat ke 128;

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

Maksudnya: Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.

Kita dianjurkan untuk berakhlak dengan akhlak Islam yang sebenar seperti yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahua'laihiwasallam yang penuh hikmah serta kasih sayang. Dalam masa yang sama kita dinasihatkan supaya mendidik diri dan zuriat keturunan kita agar menjauhi budaya barat yang boleh menimbulkan suasana yang tidak harmoni.

Perkara penting yang perlu semua kita fahami, Islam adalah satu agama yang benar-benar menjaga dan memelihara karamah insaniah (kemuliaan insan). Sebab itu kita dapati bahawa di dalam Islam terdapatnya hukuman qisas yang mana antara takrifannya adalah: Hukuman yang ditentukan kadarnya dari sudut syarak sebagai hak kepada anak Adam. Firman Allah Subhanahuwata'ala,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى ۖ الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالْأُنْثَىٰ بِالْأُنْثَىٰ ۚ فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ ۗ ذَٰلِكَ تَخْفِيفٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَرَحْمَةٌ ۗ فَمَنِ اعْتَدَىٰ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ. وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ.

Maksudnya:''Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu qishaash berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh; orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, dan wanita dengan wanita. Maka barangsiapa yang mendapat suatu pemaafan dari saudaranya, hendaklah (yang memaafkan) mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi maaf) membayar (diat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik (pula). Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu dan suatu rahmat. Barangsiapa yang melampaui batas sesudah itu, maka baginya siksa yang sangat pedih.Dan dalam qishaash itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, hai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertakwa". Al-Baqarah ayat 178-179.

Qisas berasal dari bahasa Arab yang berarti "pembalasan" atau "mengikuti jejak". Dalam konteks hukum Islam, qisas adalah hukuman yang setimpal dengan perbuatan pelaku kejahatan, terutama dalam kes pembunuhan dan penganiayaan.

Hukuman qisas dalam Islam adalah hukuman balas yang setimpal dengan perbuatan pelaku kejahatan, khususnya dalam kes pembunuhan dan tindakan pidana yang melibatkan anggota badan. Intinya, "mata ganti mata, gigi ganti gigi". Ini bererti jika seseorang membunuh, maka pelaku boleh dihukum mati, dan jika melukai, maka pelaku boleh dilukai dengan cara yang sama.

وَكَتَبْنَا عَلَيْهِمْ فِيهَا أَنَّ النَّفْسَ بِالنَّفْسِ وَالْعَيْنَ بِالْعَيْنِ وَالْأَنْفَ بِالْأَنْفِ وَالْأُذُنَ بِالْأُذُنِ وَالسِّنَّ بِالسِّنِّ وَالْجُرُوحَ قِصَاصٌ ۚ فَمَنْ تَصَدَّقَ بِهِ فَهُوَ كَفَّارَةٌ لَهُ ۚ وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya:''Dan Kami telah tetapkan terhadap mereka di dalamnya (At Taurat) bahwasanya jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, dan luka luka (pun) ada qishaashnya. Barangsiapa yang melepaskan (hak qishaash)nya, maka melepaskan hak itu (menjadi) penebus dosa baginya. Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim". Al-Ma'idah ayat 45.

Tujuan utama hukuman qisas adalah untuk menegakkan keadilan, memberikan efek serik(tidak mahu mengulang lagi), dan meminimalisasi terjadinya kejahatan serupa di masa depan. Selain itu, hukuman ini juga bertujuan untuk memberikan ketenangan bagi keluarga korban dan memulihkan rasa keadilan.

Manakala larangan dan balasan buat mereka yang memukul orang lain adalah tersangat banyak seperti yang disebutkan di dalam al-Quran dan hadith-hadith. Firman Allah Subhanahuwata'ala,

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Maksudnya: Dan diletakkan kitab (buku amalan), maka kau dapat melihat golongan yang melakukan dosa-dosa berasa takut terhadap apa yang terdapat di dalamnya. Dan mereka berkata: “Alangkah celakanya kami ini, kitab apakah ini yang tidak terlepas dosa kecil dan dosa besar melainkan kesemuanya tercatat !”, mereka mendapati apa yang telah mereka kerjakan sebelum ini dan Tuhan kamu tidak pernah menzalimi seseorang pun''. Al-Kahf ayat 49.

Di dalam sebuah hadith, daripada Abu Hurairah R.anhu beliau meriwayatkan dari Nabi Sallallahu'alaihiwasallam baginda bersabda,

إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلاَةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَسَفَكَ دَمَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ ‏

Maksudnya: Sesungguhnya orang muflis dari kalangan umatku adalah sesiapa yang datang pada hari kiamat dengan solat, puasa, dan zakat. Dia juga datang dalam keadaan pernah mencela orang ini, menuduh orang ini, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang ini, memukul orang ini. Maka diberikan kepada orang-orang tersebut kebaikan-kebaikan dirinya. Sekiranya kebaikannya sudah habis dalam keadaan perhitungan ke atasnya belum lagi habis, maka diambil kejahatan-kejahatan mereka itu tadi lalu dicampakkan kepadanya dan kemudiannya dia dicampak ke dalam neraka.Riwayat Muslim (2581)

Kata al-Imam al-Nawawi rahimahullah ketika mensyarahkan hadith ini: Sangat benarlah Nabi Sallallahu'alaihiwasallam. Kerana sesungguhnya inilah sebenar-benar muflis. Adapun seorang yang muflis di dunia, maka sesungguhnya dunia itu datang dan pergi. Boleh jadi seseorang itu asalnya fakir, lalu dia berubah menjadi kaya ataupun sebaliknya. Akan tetapi, sebenar-benar muflis itu adalah ketika seorang itu muflis atas segala kebaikan yang dia telah berpenat lelah dalam mengerjakannya. Di hadapannya hari kiamat yang amalan kebaikannya akan menjadi saksi. Kemudian kebaikan tersebut diambil oleh si fulan dan si fulan. Pada hadis ini menunjukkan ancaman terhadap perbuatan melakukan kejahatan ke atas makhluk. Rujuk Riyadh al-Solihin, Al-Nawawi (1/251).

Allah Subhanahuwata'ala mengajar kita untuk menjadi seorang hamba yang taat kepada perintah-Nya, saling menghormati sesama manusia, berkasih sayang antara satu sama lain, serta menjaga hak-hak karamah insaniah. Ingatlah, apabila kita membuli orang lain boleh jadi kita juga bakal dibuli oleh orang lain dalam hari-hari yang mendatang. Boleh jadi anak-anak kita juga akan menjadi mangsa buli pada masa hadapan kelak.

Hendaklah setiap mereka yang terlibat dengan perbuatan buli ini merasa insaf, bahawa setiap tindakan dan amalan kita di atas bumi ini akan dinilai oleh Allah Subhanahuwata'ala. Dari sekecil-kecil perbuatan sehinggalah sebesar-besar perkara kesemuanya itu tidak terlepas dari catatan dan hitungan Malaikat. Tambahan pula perbuatan menzalimi manusia yang lain tanpa hak. Firman Allah Subhanahuwata'ala,

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Maksudnya: Dan diletakkan kitab (buku amalan), maka kau dapat melihat golongan yang melakukan dosa-dosa berasa takut terhadap apa yang terdapat di dalamnya. Dan mereka berkata: “Alangkah celakanya kami ini, kitab apakah ini yang tidak terlepas dosa kecil dan dosa besar melainkan kesemuanya tercatat !”, mereka mendapati apa yang telah mereka kerjakan sebelum ini dan Tuhan kamu tidak pernah menzalimi seseorang pun''. Al-Kahf ayat 49.

Allah Subhanahuwata'ala berfirman,

الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰ أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Maksudnya:''Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan''. Yasin ayat 65

Ketika mana kita menyedari hakikat ini, bahawa segala amalan kita akan dihitung dan dipertanggungjawabkan, maka sudah tentulah kita akan merasa insaf. Disuburkan pula dengan rasa hormat serta kasih sayang sesama manusia yang lain. Ingatlah bahawa kita semua akan kembali menemui Tuhan kita. Sekiranya baik segala amalan kita di dunia ini maka kita pasti akan mendapat kebaikan di akhirat sana. Sebaliknya, jika amal-amal buruk sahaja yang kita bawa sepanjang perjalanan di dunia ini, buruk jugalah balasan yang bakal kita terima.


No comments:

Post a Comment

Judi Dosa Besar

Judi Dosa Besar Para ulama telah mengkaryakan buku khusus berkenaan dosa-dosa besar. Antaranya Imam al-Zahabi melalui kitabnya al-Kabair dan...