Wednesday, March 4, 2026

Bulan Ramadhan elakkan pembaziran Yang mana Pembaziran adalah Saudara Syaitan

Bulan Ramadhan elakkan pembaziran Yang mana Pembaziran adalah Saudara Syaitan

Bulan Ramadan adalah bulan yang diberkati dan mempunyai ruh dan semangatnya yang mampu menjadikan umat Islam menginsafi diri secara lebih bermakna. Matlamat untuk mencapai ketakwaan diri mempunyai hubungan yang signifikan dengan kedatangan Ramadhan bagi mengukuhkan sikap berhemah di dalam perbelanjaan dan mengelak pembaziran. Firman Allah Subhanahuwata'ala,

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: ''Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa''. Surah al-Baqarah ayat 183

Membazir ialah perbuatan berlebih-lebihan atau menggunakan harta atau sumber pada jalan yang salah, yang disifatkan dalam Islam sebagai amalan syaitan dan pelakunya dianggap bersaudara dengan syaitan. 

Definisi membazir merangkumi pembaziran makanan, wang, tenaga, masa, kesihatan, dan pakaian. Ia adalah penggunaan nikmat Allah pada perkara yang sia-sia atau melampaui batas. Orang yang membazir menyerupai syaitan dari segi sifat jahat dan kelakuan yang buruk, terutama dalam menolak untuk bersyukur atas nikmat Allah.

Berdasarkan Surah al-Isra' ayat 27, orang yang membazir adalah sangat ingkar kepada Tuhan, mencerminkan sifat syaitan yang kufur. 

إِنَّ ٱلْمُبَذِّرِينَ كَانُوٓا۟ إِخْوَٰنَ ٱلشَّيَٰطِينِ ۖ وَكَانَ ٱلشَّيْطَٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورًا

Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya".

Orang yang membazir menyerupai syaitan dari segi sifat jahat dan kelakuan yang buruk, terutama dalam menolak untuk bersyukur atas nikmat Allah.

وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا ﴿٢٦﴾ إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ

Maksudnya: Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau."Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan''. Surah al-Isra’ ayat 27

Ibn Mas’ud dan Ibn Abbas R.anhuma berkata: تَبْذِيرًا atau pembaziran adalah menginfaqkan sesuatu bukan pada jalan yang sebenar. Qatadah pula berpendapat yang dinamakan pembaziran adalah mengeluarkan nafkah dalam bentuk maksiat kepada Allah, pada jalan yang salah dan pada jalan untuk berbuat kerosakkan. [Lihat Tafsir Ibn Kathir 8/474-475]  

Begitu juga dengan hadith Rasulullah Sallallahu'alaihwasallam daripada al-Mughirah bin Syu’bah, Rasulullah Sallallahu'alaihwasallam bersabda,

إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ عُقُوقَ الأُمَّهَاتِ، وَمَنْعًا وَهَاتِ، وَوَأْدَ البَنَاتِ، وَكَرِهَ لَكُمْ: قِيلَ وَقَالَ، وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ، وَإِضَاعَةَ المَالِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kamu menderhaka Ibu bapa, membunuh anak perempuan, menegah daripada banyak kerenah, benci bercakap yang bukan-bukan dan banyak soal serta membazir harta''. Riwayat Bukhari (5975) dan Muslim (593)

Imam Ibn Hazm dalam kitabnya Al-Muhalla (7/503) menyebut pemborosan dan pembaziran adalah haram. Antara maksud pemborosan ialah:

1-Membelanjakan wang untuk perkara yang diharamkan oleh Allah sama ada banyak atau sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.

2-Pembaziran yang tidak ada keperluan dan tidak diperlukan.

3-Membazirkan wang walaupun dalam jumlah yang kecil tanpa tujuan adalah sia-sia.

Salah satu usaha meningkatkan ketakwaan diri ialah sentiasa berbelanja secara berhemah dan mengelak daripada berlakunya pembaziran yang keterlaluan melampaui batas akibat desakan hawa nafsu semata-mata. Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihwasallam,

عَنْ أَبِيْ ذَرٍّ جُنْدُبِ بنِ جُنَادَةَ وَأَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: (اتَّقِ اللهَ حَيْثُمَا كُنْتَ، وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الحَسَنَةَ تَمْحُهَا، وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ) رَوَاهُ التِّرْمِذِي وَقَالَ: حَدِيْثٌ حَسَنٌ..

Maksudnya:''Dari Abu Dzarr Jundub bin Junadah dan Abu ‘Abdirrahman Mu’adz bin Jabal radhiyallahu ‘anhuma, dari Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam, beliau bersabda, “Bertakwalah kepada Allah di mana pun engkau berada; iringilah perbuatan buruk dengan perbuatan baik, maka kebaikan akan menghapuskan keburukan itu; dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik''. Hadith Riwayat Tirmizi, ia mengatakan haditsnya itu hasan dalam sebahagian naskah disebutkan bahawa hadith ini hasan sahih) Riwayat Tirmizi (1987)dan Ahmad (5:153).

Namun takwa yang sempurna kata Ibnu Rajab Al Hambali adalah dengan mengerjakan kewajipan, meninggalkan keharaman dan perkara syubhat, juga mengerjakan perkara sunat dan meninggalkan yang makruh. Inilah darjah takwa yang paling tinggi.

Al-Hasan Al-Bashri rahimahullah berkata,

المُتَّقُوْنَ اتَّقَوا مَا حُرِّمَ عَلَيْهِمْ ، وَأدَّوْا مَا افْتُرِضَ عَلَيْهِمْ

Maksudnya:"Orang yang bertakwa adalah mereka yang menjauhi hal-hal yang diharamkan dan menunaikan berbagai kewajipan"."

‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz rahimahullah berkata,

لَيْسَ تَقْوَى اللهِ بِصِيَامِ النَّهَارِ ، وَلاَ بِقِيَامِ اللَّيْلِ ، وَالتَّخْلِيْطِ فِيْمَا بَيْنَ ذَلِكَ ، وَلَكِنْ تَقْوَى اللهِ تَرْكُ مَا حَرَّمَ اللهُ ، وَأَدَاءُ مَا افْتَرَضَ اللهُ ،فَمَنْ رُزِقَ بَعْدَ ذَلِكَ خَيْراً ، فَهُوَ خَيْرٌ إِلَى خَيْرٍ

Maksudnya:''Takwa bukanlah hanya dengan puasa di siang hari atau mendirikan solat malam, atau melakukan kedua-duanya. Namun takwa adalah meninggalkan yang Allah haramkan dan menunaikan yang Allah wajibkan. Siapa yang setelah itu dianugerahkan kebaikan, maka itu adalah kebaikan pada kebaikan.”

Thalq bin Habib rahimahullah mengatakan,

التَّقْوَى أَنْ تَعْمَلَ بِطَاعَةِ اللهِ ، عَلَى نُوْرٍ مِنَ اللهِ ، تَرْجُوْ ثَوَابَ اللهِ ، وَأَنْ تَتْرُكَ مَعْصِيَةَ اللهِ عَلَى نُوْرٍ مِنَ اللهِ تَخَافُ عِقَابَ اللهِ

Maksudnya:''Takwa bererti engkau menjalankan ketaatan pada Allah atas petunjuk cahaya dari Allah dan engkau mengharap pahala dari-Nya. Termasuk dalam takwa pula adalah menjauhi maksiat atas petunjuk cahaya dari Allah dan engkau takut akan siksa-Nya''.

Ibnu Mas’ud radhiyallahu ‘anhu ketika menafsirkan ayat “bertakwalah pada Allah dengan sebenar-benarnya takwa” yang terdapat dalam surah Ali Imran ayat 102, beliau berkata,

أَنْ يُطَاعَ فَلاَ يُعْصَى ، وَيُذْكَرُ فَلاَ يُنْسَى ، وَأَنْ يُشْكَرَ فَلاَ يُكَفَّرُ

Maksudnya:''Maksud ayat tersebut adalah Allah itu ditaati, tidak bermaksiat pada-Nya. Allah itu terus diingat, tidak melupakan-Nya. Nikmat Allah itu disyukuri, tidak diingkari.” (Hadith Riwayat Al-Hakim secara marfu’, namun mauquf lebih sahih, bererti hanya perkataan Ibnu Mas’ud). Yang dimaksud bersyukur kepada Allah di sini adalah dengan melakukan segala ketaatan pada-Nya.

Kehadiran Ramadhan Al-Mubarak pada tahun ini, ayuh sama-sama kita memupuk semangat untuk berbelanja secara berhemah dengan memberikan keutamaan kepada keperluan yang sepatutnya semasa berbuka puasa. Berbuka puasa dengan sederhana dan mengikut keperluan keluarga tanpa ada sebarang pembaziran merupakan amalan yang sangat dituntut. Mencontohi amalan Nabi Muhammad Sallallahu'alaihwasallam semasa berbuka puasa sangat dituntut agar ia menjadi pedoman buat insan agar menghargai makanan dan juga wang ringgit.

Hal ini dapat digambarkan melalui contoh ikutan Nabi Muhammad Sallallahu'alaihwasallam berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum bersolat Maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut, iaitu selepas berbuka dengan perkara-perkara tadi, lantas terus menunaikan solat. Ini menurut apa yang dikata oleh Anas Ibn Malik RA,

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يُفْطِرُ عَلَى رُطَبَاتٍ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّىَ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَعَلَى تَمَرَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ

Maksudnya: “Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam berbuka puasa dengan ruthab (kurma basah) sebelum solat maghrib. Jika tidak ada kurma basah, maka baginda berbuka dengan tamar (kurma kering). Dan jika tidak ada yang demikian baginda berbuka dengan seteguk air''. Riwayat Abu Daud dan Ahmad, hasan sahih.

Justeru, sebagai seorang Muslim yang benar-benar menghayati semangat ruh Ramadhan sewajarnya menginsafi masih ramai masyarakat di luar sana yang masih hidup serba kekurangan dan menghadapi kesulitan mendapatkan makanan untuk berbuka puasa. Muslim yang terdidik dengan iman dan ilmu pasti memahami keperluan untuk berbelanja secara berhemah bagi mengelak pembaziran adalah satu usaha permulaan bagi menyedarkan diri bahawa keperluan berhemah dan menabung sangat diutamakan dan ia mampu menjadikan seseorang itu bebas daripada pembaziran. Namun, jika seseorang yang dianugerahkan limpahan rezeki yang luas adalah dianjurkan untuk memberikan makanan kepada golongan yang memerlukan seperti fakir miskin, gelandangan, rumah kebajikan anak-anak yatim dan orang tua, jiran tetangga dan seumpamanya. Ini selaras dengan anjuran hadith Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam,

Daripada Zaid bin Khalid, bahawasanya Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda,

مَن فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِن أَجْرِ الصَّائِمِ شَيئًا

Maksudnya: “Siapa yang memberI makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa''. 

Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi

Daripada Ummu Ammarah, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda,

إِنَّ الصَّائِمِ إِذَا أَكَلَ عِندَهُ لمَ تَزَل تُصَلِّي عَلَيهِ المَلائِكَةُ حَتََى يَفْرُغَ مِن طَعَامِهِ

Maksudnya: ''Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan bersamanya orang berpuasa yang lain, maka sentiasalah para malaikat mengucap selawat ke atasnya sehingga selesai daripada makannya''. Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi

Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda,

الصَّائِمُ إِذَا أَكَلَتْ عِنْدَهُ المُفَاطِرُ صَلَّتْ عَلَيْهِ الملائِكَةُ

Maksudnya: ''Orang yang berpuasa apabila makan di sisinya orang-orang yang berbuka puasa, nescaya para malaikat berselawat ke atasnya''.R iwayat al-Tarmizi dan Ibn Majah

Agama Islam telah mengangkat tinggi kedudukan dan kemuliaan orang yang bertakwa. Islam sangat menitik beratkan hukum yang terkait dengan maslahah (kepentingan) ummah dan mencapai maqasid (objektif) yang dikehendaki di dalam Islam. Bulan Ramadhan mendidik jiwa Mukmin agar sentiasa menjaga amalannya termasuk di dalam soal berbelanja secara berhemah dan menjauhi pembaziran. Bagi mereka yang terlebih mampu dianjurkan untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang sangat-sangat memerlukan. Bagi mereka yang mempunyai pendapatan sederhana dan rendah dianjurkan agar sentiasa mengamalkan perbelanjaan secara berhemah dengan tidak keterlaluan membeli juadah berbuka yang berlebihan dibimbangi hanya terbuang begitu sahaja. Dengan memupuk sikap sedemikian mampu memberikan keinsafan buat diri agar sentiasa menghargai makanan dengan sebaik yang mungkin. Perbelanjaan secara berhemah mampu menjadikan lebihan duit sebagai simpanan pelaburan masa hadapan dapat memberikan pulangan masa depan yang lebih baik. Anjuran ini bertujuan memastikan kelangsungan hidup insan lebih terjamin di samping memupuk sikap baik untuk menghargai diri dan orang lain.

Sebagai penutup, cara mengelak pembaziran:

1-Hargai Makanan: Beli atau masak sekadar keperluan, jangan buang makanan.

2-Berjimat Cermat: Menguruskan wang dan sumber dengan bijak.

3-Sedekah: Memberi lebihan kepada mereka yang memerlukan, bukan membuangnya.

4-Istiqamah: Melatih diri menahan nafsu daripada boros. 

Membazir bukan sekadar membuang harta, tetapi tindakan yang mendekatkan diri kepada sifat kufur syaitan.

No comments:

Post a Comment

Bulan Ramadhan elakkan pembaziran Yang mana Pembaziran adalah Saudara Syaitan

Bulan Ramadhan elakkan pembaziran Yang mana Pembaziran adalah Saudara Syaitan Bulan Ramadan adalah bulan yang diberkati dan mempunyai ruh da...