Thursday, February 26, 2026

BuIan Ramadhan; Bulan Mulia, Bulan keberkatan dan keampunan

BuIan Ramadhan; Bulan Mulia, Bulan keberkatan dan keampunan

Ramadhan merupakan bulan Islam yang kesembilan selepas bulan Syaaban dan terletak padanya kewajipan berpuasa ke atas seluruh umat Islam. Ia merupakan bulan yang ditunggu-tunggu berikutan terdapat ganjaran yang cukup istimewa kepada umat Islam.

Bulan Ramadhan ialah bulan mulia yang penuh keberkatan, rahmat, dan keampunan, dianggap seperti permata berharga dengan ganjaran pahala yang digandakan. Ia adalah masa utama untuk meningkatkan ibadah, bersedekah, dan menghidupkan malam dengan solat terawih. Umat Islam digalakkan menyebarkan salam, memberi makan, serta menyambung silaturrahim untuk meraih keredhaan Allah Subhanahuwata'ala.

Sebagai bulan meningkatkan ibadah dan bulan memperolehi ganjaran berlipat kali ganda, banyak amal baik yang boleh kita cuba lakukan dan berazam untuk meneruskannya dengan istiqamah agar ia dapat mengubah diri daripada tidak baik kepada baik, daripada baik kepada lebih baik.

Bulan Ramadhan dianggap mulia kerana ia adalah bulan suci yang penuh keberkatan, rahmat, dan keampunan, di mana umat Islam diwajibkan berpuasa, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup, dan syaitan dibelenggu. Ia juga istimewa kerana penurunan Al-Quran (Nuzul Quran) dan mengandungi Lailatulqadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

1- Bulan ini dipilih sebagai bulan untuk berpuasa dan pada bulan ini pula Al-Qur’an diturunkan. Sebagaimana Allah Ta’ala berfirman,

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ

Maksudnya:''(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu''.  Al Baqarah ayat 185.

Ibnu Katsir rahimahullah tatkala menafsirkan ayat yang mulia ini mengatakan, ”(Dalam ayat ini) Allah Ta’ala memuji bulan puasa –Iaitu bulan Ramadhan- dari bulan-bulan lainnya. Allah memuji demikian kerana bulan ini telah Allah pilih sebagai bulan diturunkannya Al-Qur’an dari bulan-bulan lainnya. Sebagaimana pula pada bulan Ramadhan ini Allah telah menurunkan kitab ilahiyah lainnya pada para Nabi ’alaihimus salam''. Lihat Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim, 2/179.

2- Syaitan-syaitan dibelenggu, pintu-pintu Neraka ditutup dan pintu-pintu Syurga dibuka ketika Ramadhan tiba. Dari Abu Hurairah radhiyallahu'anhu bahawa Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,

إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ

Maksudnya:''Apabila Ramadhan tiba, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup, dan syaitan pun dibelenggu''. Riwayat Bukhari (3277) dan Muslim (1079).

Al-Qodhi ‘Iyadh (476-544 H/1083-1149M dari Andalusia (Ceuta) ) mengatakan, “Hadith di atas boleh bermaksud, terbukanya pintu syurga dan tertutupnya pintu Jahannam dan terbelenggunya syaitan-syaitan sebagai tanda masuknya bulan Ramadhan dan mulianya bulan tersebut'' .Lanjutnya Al Qodhi ‘Iyadh, berkata,''Juga boleh bermaksud terbukanya pintu syurga kerana Allah memudahkan berbagai ketaatan pada hamba-Nya di bulan Ramadhan seperti puasa dan solat malam. Hal ini berbeza dengan bulan-bulan lainnya. Di bulan Ramadhan, orang akan lebih sibuk melakukan kebaikan daripada melakukan kemaksiatan. Inilah sebab mereka dapat memasuki syurga dan pintunya. Sedangkan tertutupnya pintu neraka dan terbelenggunya syaitan, inilah yang mengakibatkan seseorang mudah menjauhi maksiat ketika itu''. Lihat Al Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/188.

3- Terdapat malam yang penuh kemuliaan dan Keberkatan. Pada bulan Ramadhan terdapat suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu lailatul qadar (malam kemuliaan) dan pada malam itu juga al-Qur'an diturunkan.

Allah Subhanahuwata’ala berfirman,

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ . وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ . لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ.

Maksudnya:''Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada lailatul qadar (malam kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan''. Surah Al Qadr ayat 1-3.

Dan Allah Subhanahuwata’ala juga berfirman,

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ

Maksudnya:''Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkahi dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan''. Surah Ad-Dukhan ayat 3.

Yang dimaksud malam yang diberkati di sini adalah malam lailatul qadr. Inilah pendapat yang dikuatkan oleh Ibnu Jarir Ath Thobari rahimahullah. Lihat Tafsir Ath Thobari, 21/6. Inilah yang menjadi pendapat jumhur ulama di antaranya Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma. Lihat Zaadul Masiir, 7/336-337

4. Bulan Ramadhan adalah salah satu waktu dimakbulkan doa. Dari Jabir bin ‘Abdillah, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,

إِنَّ لِلّهِ فِى كُلِّ يَوْمٍ عِتْقَاءَ مِنَ النَّارِ فِى شَهْرِ رَمَضَانَ ,وَإِنَّ لِكُلِّ مُسْلِمٍ دَعْوَةً يَدْعُوْ بِهَا فَيَسْتَجِيْبُ لَهُ

Maksudnya:''Sesungguhnya Allah membebaskan beberapa orang dari api neraka pada setiap hari di bulan Ramadhan,dan setiap muslim apabila dia memanjatkan doa maka pasti dikabulkan''. Riwayat Al Bazaar. Al Haitsami dalam Majma’ Az Zawaid (10/149) mengatakan bahwa perowinya tsiqoh (terpercaya). Lihat Jaami’ul Ahadits, 9/224.

Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

ثَلاَثَةٌ لاَ تُرَدُّ دَعْوَتُهُمُ الصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ وَالإِمَامُ الْعَادِلُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

Maksudnya:"Tiga orang yang doanya tidak tertolak: orang yang berpuasa sehingga ia berbuka, pemimpin yang adil, dan doa orang yang dizolimi''. Al-Tirmidzi (3598)

Imam An-Nawawi rahimahullah menjelaskan, “Hadith ini menunjukkan bahawa disunatkan bagi orang yang berpuasa untuk berdoa dari awal ia berpuasa hingga akhirnya kerana ia dinamakan orang yang berpuasa ketika itu''. Lihat Al Majmu’, 6/375. Imam An-Nawawi rahimahullah mengatakan pula, “Disunatkan bagi orang yang berpuasa ketika ia dalam keadaan berpuasa untuk berdoa demi keperluan akhirat dan dunianya, juga pada perkara yang ia sukai serta jangan lupa pula untuk mendoakan kaum muslimin lainnya.

Bulan Ramadhan juga dikenali dengan nama شهرالمبارك bermaksud "Bulan yang Penuh Keberkatan" atau "Bulan yang Diberkati". Ia merupakan salah satu julukan atau sebutan bagi bulan Ramadhan, yang menandakan waktu tersebut dipenuhi dengan kebaikan, rahmat, keampunan, serta ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahuwata'ala.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan kerana ia merupakan waktu suci yang diwajibkan berpuasa, membuka pintu rahmat dan pengampunan (maghfirah), serta melipatgandakan pahala ibadah. Ia menjadi medan penyucian jiwa daripada dosa, mendidik kesabaran, serta memperkukuh hubungan spiritual antara hamba dan Allah Subhanahuwata'ala.

Bulan Ramadhan ialah bulan penuh rahmat, keberkatan, keampunan Allah Subhanahuwata'ala dan ia merupakan satu tempoh istimewa yang dijanjikan Allah Subhaahuwata’ala untuk dilipat gandakan pahala setiap amalan yang dilakukan oleh umat Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam yang dilakukan dengan keimanan dan keikhlasan. Ia adalah waktu di mana pintu taubat dibuka luas, pintu syurga dibuka, dan pintu neraka ditutup, menjadikannya peluang terbaik untuk menghapuskan dosa lalu melalui ibadah, doa, dan sedekah. Setiap amalan yang dilakukan oleh umat Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam akan dilipat-gandakan oleh Allah Subhanahuwata’ala khusus kepada mereka. (Rujuk Lathaif al-Ma’arif: 209)

Dalam riwayat Imam Muslim disebutkan:

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعمِائَة ضِعْفٍ قَالَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي.

Maksudnya:''Setiap amal yang dilakukan anak Adam akan dilipatgandakan. Satu kebaikan dilipatgandakan menjadi sepuluh sampai tujuh ratus kali lipat. Lalu Allah Azza wa Jalla berfirman, “Kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk-Ku dan Aku-lah yang memberi ganjarannya. Orang yang berpuasa meninggalkan syahwat dan makannya demi Aku semata''. [Sahih Muslim (II/807) Kitaabush Shiyaam bab Fadhlush Shiyaam]

Imam an-Nawawi rahimahullah mengatakan, “Firman Allah Subhaahuwata’ala yang menyatakan, ‘Dan Aku-lah yang memberi ganjarannya,’ merupakan penjelasan yang nyata tentang kebesaran kurniaan Allah dan melimpahnya balasan pahala-Nya kerana sesungguhnya orang yang mulia dan dermawan jika mengabarkan bahawa dia sendiri yang akan menanggung balasannya, ini menunjukkan betapa besar kadar balasan yang dia persembahkan dan betapa luas pemberian yang Dia berikan.” [ Syarhun Nawawi li Sahiih Muslim (VIII/29)]

Pahala mengerjakan umrah di bulan Ramadhan sama pahala ganjaran mengerjakan haji. Ini berdasarkan hadith sahih bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda kepada seorang wanita Ansar,

 فَإِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فَاعْتَمِرِي ، فَإِنَّ عُمْرَةً فِيهِ تَعْدِلُ حَجَّةً

Maksudnya: Sekiranya telah tiba bulan Ramadhan, maka hendaklah kamu mengerjakan umrah. Ini kerana umrah pada bulan tersebut menyamai pahalanya seperti mengerjakan haji. Dalam riwayat Muslim: seperti mengerjakan haji bersama aku (Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam)''. Riwayat al-Bukhari (1782) dan Muslim (1256)

Terdapat banyak dalil yang menunjukkan kelebihan menjamu mereka yang berpuasa. Diantaranya, Daripada Zaid bin Khalid, bahawasanya Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

مَن فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِن أَجْرِ الصَّائِمِ شَيئًا

Maksudnya: “Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa.” (Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi)

Daripada Ummu Ammarah, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

إِنَّ الصَّائِمِ إِذَا أَكَلَ عِندَهُ لمَ تَزَل تُصَلِّي عَلَيهِ المَلائِكَةُ حَتََى يَفْرُغَ مِن طَعَامِهِ

Maksudnya: ''Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan bersamanya orang berpuasa yang lain, maka sentiasalah para malaikat mengucap selawat ke atasnya sehingga selesai daripada makannya''.(Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi)

 Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

الصَّائِمُ إِذَا أَكَلَتْ عِنْدَهُ المُفَاطِرُ صَلَّتْ عَلَيْهِ الملائِكَةُ

Maksudnya: “Orang yang berpuasa apabila makan di sisinya orang-orang yang berbuka puasa, nescaya para malaikat berselawat ke atasnya''. Riwayat al-Tarmizi dan Ibn Majah

Berdasarkan nas hadith di atas jelas menunjukkan kelebihan bagi mereka yang memberi makan orang yang berpuasa, apatah lagi mereka yang amat memerlukan seperti anak-anak yatim, fakir miskin dan golongan yang berhajat. Justeru itu, maka teramat wajarlah bagi yang berkelapangan rezeki serta harta menjamu mereka yang berpuasa. 

Bulan Ramadhan juga dikenali dengan nama Syahrul Maghfirah (شَهْرُ الْمَغْفِرَةِ) secara harfiah bererti "Bulan Ampunan". Di mana Allah Subhanahuwata'ala membukakan samudera keampunan-Nya seluas-luasnya, menghapus dosa-dosa hamba yang taat berpuasa, serta menjadi waktu yang tepat untuk bertaubat.

Bulan Ramadhan ialah bulan keampunan kerana ia merupakan tempoh istimewa yang dijanjikan Allah Subhaahuwata’ala untuk mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya yang berpuasa dengan keimanan dan keikhlasan. Ia adalah waktu di mana pintu taubat dibuka luas, pintu syurga dibuka, dan pintu neraka ditutup, menjadikannya peluang terbaik untuk menghapuskan dosa lalu melalui ibadah, doa, dan sedekah.

Sesiapa yang berpuasa dengan ikhlas akan diampuni dosa-dosanya yang lalu. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu''. Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760)

Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini berkata, yang dimaksudkan dengan keimanan adalah beri’tiqad akan hak kefardhuan puasa. Adapun yang dimaksudkan dengan pengharapan pula adalah memohon ganjaran daripada Allah Subhanahuwata'ala. Selain itu, Imam al-Khattabi berkata, yang dimaksudkan dengan pengharapan adalah azimah iaitu seseorang itu berpuasa dalam keadaan amat mengharapkan ganjaran yang baik daripada Allah Subhanahuwata'ala untuk dirinya tanpa merasa berat serta panjang hari-harinya. [Lihat: Fath al-Bari, 4/115]

Penerimaan Taubat: Allah Subhanahuwata'ala menerima taubat hamba-Nya yang bertaubat dengan tulus.

وَهُوَ الَّذِي يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِ وَيَعْفُو عَنِ السَّيِّئَاتِ وَيَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ

Maksudnya:''Dan Dialah yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya dan memaafkan kesalahan-kesalahan dan mengetahui apa yang kamu kerjakan''. Asy-Syura ayat 25

Pendapat majoriti ulama menyebut bahawa orang yang benar-benar bertaubat dengan memenuhi segala rukun dan syarat taubat, maka dapat dipastikan penerimaan taubatnya di sisi Allah Subhanahuwata'ala. Hal ini sepertimana disebut oleh Ibn Rajab:

أَنَّ مَنْ تَابَ إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا، وَاجْتَمَعَتْ شُرُوطُ التَّوْبَةِ فِي حَقِّهِ، فَإِنَّهُ يُقْطَعُ بِقَبُولِ اللَّهِ تَوْبَتَهُ، كَمَا يُقْطَعُ بِقَبُولِ إِسْلَامِ الْكَافِرِ إِذَا أَسْلَمَ إِسْلَامًا صَحِيحًا، وَهَذَا قَوْلُ الْجُمْهُورِ، وَكَلَامُ ابْنِ عَبْدِ الْبَرِّ يَدُلُّ عَلَى أَنَّهُ إِجْمَاعٌ

Maksudnya:''Orang yang bertaubat kepada Allah Subhanahuwata'ala dengan taubat nasuha, memenuhi semua syarat taubat bagi dirinya, maka boleh dipastikan Allah Subhanahuwata'ala menerima taubat dirinya. Ini sepertimana boleh dipastikan Islam orang kafir yang masuk Islam dengan benar. Inilah pendapat majoriti ulama. Keterangan Ibn Abd al-Bar menunjukkan bahawa perkara tersebut telah menjadi kesepakatan ulama''. (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/418)

Keampunan dengan sebab solat malam. Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

 مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ 

Maksudnya: "Barangsiapa melaksanakan solat malam pada bulan Ramadhan kerana iman dan ingin mendapatkan pahala, maka dia diampuni semua dosanya yang telah lalu. Riwayat Muslim (1778)

Keampunan dengan sebab zakat fitrah. Dari Ibnu Abbas radhiyallahu‘anhuma, ia berkata,

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلاَةِ فَهِىَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلاَةِ فَهِىَ صَدَقَةٌ مِنَ الصَّدَقَاتِ.

Maksudnya:“Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang yang berpuasa dari bersenda gurau dan kata-kata keji, dan juga untuk memberi makan orang miskin. Barangsiapa yang menunaikannya sebelum solat maka zakatnya diterima dan barangsiapa yang menunaikannya setelah solat maka itu hanya dianggap sebagai sedekah di antara berbagai sedekah.” Riwayat Abu Daud 1609; Ibnu Majah 1827. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa sanad hadith ini hasan.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam,

أنَّ النَّبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم صَعِدَ المِنْبَرَ فَقَالَ آمِيْنَ آمِيْنَ آمِيْنَ قِيْلَ يَا رَسُوْلَ اللهِ إنَّكَ صَعِدْتَ المِنْبَرَ فَقُلْتَ آمِيْنَ آمِيْنَ آمِيْنَ فَقَالَ إنَّ جِبْرِيْلَ عَلَيْهِ السَّلَامُ أَتَانِيْ فَقَالَ مَنْ أَدْرَكَ شَهْرَ رَمَضَانَ فَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ فَدَخَلَ النَّارَ فَأَبْعَدَهُ اللَّهُ قُلْ آمِيْنَ فَقُلْتُ آمِيْنَ

Maksudnya: Ketika Nabi Sallallahu'alaihiwasallam menaiki mimbar, Baginda Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: “Amin, Amin , Amin (sebanyak 3 kali)”. Baginda Sallallahu'alaihiwasallam ditanya: “Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin , amin”. Maka Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, “Sesungguhnya Jibril AS telah datang kepadaku, lalu dia (Jibril) berkata: Barangsiapa yang bertemu dengan bulan Ramadhan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah Subhanahuwata'ala. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin''. Riwayat Ibn Hibban (907)

Begitu banyak keampunan di dalam bulan Ramadhan, sehingga apabila ada yang tidak diampuni di bulan Ramadhan maka adalah benar-benar “keterlaluan” dan buruknya amalannya disepanjang bulan Ramadhan.

Ibnu Rajab menukilkan perkataan salaf,

من لم يغفرْ لَه في رمضان فلن يغفر له فيما سواه؛

Maksudnya:“Barangsiapa yang tidak diampuni dosa-dosanya di bulan Ramadhan, maka tidak akan diampuni dosa-dosanya di bulan-bulan lainnya”. [Latha-if Al-Ma’arif, hal. 297]

Puasa bukan sekadar meninggalkan makan dan minum, tetapi kita berusaha ‘menjinakkan’ hawa nafsu. Alangkah rugi sekiranya kita tergolong dalam kalangan mereka yang tidak memanfaatkan kehadiran Ramadhan.Lebih teruk apabila ada yang merasakan kehadiran Ramadhan itu memberi kesusahan pada diri mereka.

No comments:

Post a Comment

BuIan Ramadhan; Bulan Mulia, Bulan keberkatan dan keampunan

BuIan Ramadhan; Bulan Mulia, Bulan keberkatan dan keampunan Ramadhan merupakan bulan Islam yang kesembilan selepas bulan Syaaban dan terleta...