Thursday, May 21, 2026

Guru

Guru

Guru atau pendidik di dalam bahasa arab dinamakan المُعَلِّم. Di dalam Lisan al-‘Arab, perkataan المُعَلِّم berasal daripada العِلْمُ atau fe’elnya iaitu (عَلِمَ). Ilmu adalah lawan bagi kejahilan dan orang yang berilmu digelar sebagai ulama’. Menurut kamus dewan, guru bermaksud orang yang mengajar, mendidik atau mengasuh. Pendidik atau guru di dalam Islam ialah sesiapa sahaja yang bertanggungjawab terhadap perkembangan anak didiknya. Dalam Islam juga, orang yang paling utama atau bertanggungjawab dalam mendidik adalah ibubapa. Untuk itu, ibubapa adalah pendidik yang utama dan juga yang pertama dalam diri seorang insan itu. Berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda,

مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ، أو يُنَصِّرَانِهِ، أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Maksudnya: “Tidaklah dilahirkan seorang anak itu melainkan dia lahir dalam keadaan fitrah. Maka kedua  ibubapanya yang bertanggugjawab meyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya”. Riwayat Muslim (4805).

Guru merupakan insan yang amat mulia dalam kehidupan kita. Mereka bukan sekadar penyampai maklumat atau pengajar subjek di dalam bilik darjah, tetapi mereka adalah 'Murabbi' – pendidik jiwa dan pembentuk sahsiah. Seorang guru yang berjiwa besar dan bersikap lemah lembut(ar-Rifqu) terhadap pelajarnya akan melihat anak didiknya bukan sekadar sebagai pelajar, tetapi sebagai amanah Allah Subhanahu wata'ala yang perlu dicorakkan dengan iman dan amal soleh.

Salah satu sifat mulia ini ada disebutkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Aisyah radhiyallahu‘anha, beliau berkata, Rasulallah Sallallahu'alaihiwasallam pernah bersabda,

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: « إِنَّ اللَّهَ رَفِيقٌ يُحِبُّ الرِّفْقَ فِي الْأَمْرِ كُلِّه

Maksudnya:''Sesungguhnya Allah Maha Lembut dan mencintai kelembutan dalam setiap urusan''. Riwayat Bukhari (6024), Muslim (2165)

Hadith Riwayat oleh Imam Muslim dari Aisyah radhiyallahu‘anha, beliau berkata, bahawa Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: « إِنَّ اللَّهَ رَفِيقٌ يُحِبُّ الرِّفْقَ وَيُعْطِى عَلَى الرِّفْقِ مَا لاَ يُعْطِى عَلَى الْعُنْفِ وَمَا لاَ يُعْطِى عَلَى مَا سِوَاهُ

Maksudnya:''Sesungguhnya Allah Maha Lembut yang mencintai kelembutan. Dan Allah memberi pada kelembutan apa yang tidak diberikan pada kekerasan, tidak pula diberikan kepada selainnya'' . Riwayat Muslim no: 2593].

Yang dinamakan dengan ar-Rifqu ialah sikap lemah lembut baik dari sisi ucapan atau pun tingkah laku dan kalimat ini adalah lawan dari kekerasan. Terkadang makna ar-Rifqu ini juga dibawa pada erti sikap tidak tergesa-gesa dalam segala urusan serta sabar dalam menyikapi permasalahan.

Pendidikan adalah tunjang utama dalam membina sesebuah tamadun. Tanpa guru, ilmu akan terputus sanadnya, dan tanpa bimbingan, akal manusia boleh tersesat dalam lautan maklumat yang tidak bertepi. Daripada Abi Darda’ radhiyallahu‘anhu, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

إِنَّمَا الْعِلْمُ بِالتَّعَلُّمِ

Maksudnya: “Adapun sesungguhnya ilmu itu dengan mempelajarinya”. Riwayat al-Thabarani (2663) di dalam Mu’jam al-Awsath.

Hadith riwayat Abu Darda’ radhiyallahu ‘anhu di atas terdapat syahid atau syawahid  dari hadith yang diriwayatkan oleh Muawiyah bin Abi Sufiyan radhiyallahu‘anhu . Beliau telah mendengar Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إنَّمَا الْعِلْمُ بِالتَّعَلُّمَ وَالْفِقْه بِالتَّفَقُّهِ

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, adapun sesungguhnya ilmu itu dengan mempelajarinya dan fiqh itu dengan memahaminya”. Riwayat al-Thabarani (929) di dalam Mu’jam al-Kabir.

Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

عَنْ كَثِيرِ بْنِ قَيْسٍ قَالَ كُنْتُ جَالِسًا عِنْدَ أَبِي الدَّرْدَاءِ فِي مَسْجِدِ دِمَشْقَ فَأَتَاهُ رَجُلٌ فَقَالَ يَا أَبَا الدَّرْدَاءِ أَتَيْتُكَ مِنْ الْمَدِينَةِ مَدِينَةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِحَدِيثٍ بَلَغَنِي أَنَّكَ تُحَدِّثُ بِهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَمَا جَاءَ بِكَ تِجَارَةٌ قَالَ لَا قَالَ وَلَا جَاءَ بِكَ غَيْرُهُ قَالَ لَا قَالَ فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ وَإِنَّ طَالِبَ الْعِلْمِ يَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ حَتَّى الْحِيتَانِ فِي الْمَاءِ وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ إِنَّ الْعُلَمَاءَ هُمْ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ إِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya:"Dari Katsir bin Qais ia berkata; "Ketika aku sedang duduk di samping [Abu Darda] di masjid Damaskus, tiba-tiba datang seseorang seraya berkata; "Hai Abu Darda, aku mendatangi anda dari kota Madinah, kota Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam kerana satu hadith yang telah sampai kepadaku, bahawa engkau telah menceritakannya dari Nabi Sallallahu'alaihiwasallam! " Lalu Abu Darda bertanya; "Apakah engkau datang kerana berniaga?" Katsir bin Qais menjawab; "Bukan, " Abu Darda` bertanya lagi, "Apakah kerana ada urusan yang lainnya?" Katsir bin Qais menjawab; "Bukan, " Katsir bin Qais berkata; "Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Barangsiapa meniti jalan untuk mencari ilmu, Allah akan permudahkan baginya jalan menuju syurga. Para Malaikat akan membentangkan sayapnya kerana reda kepada penuntut ilmu. Dan seorang penuntut ilmu akan dimintakan ampunan oleh penghuni langit dan bumi hingga ikan yang ada di air. Sungguh, keutamaan seorang alim dibanding seorang ahli ibadah adalah ibarat bulan purnama atas semua bintang. Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para Nabi, dan para Nabi tidak mewariskan dinar mahupun dirham, akan tetapi mereka mewariskan ilmu. Barangsiapa mengambilnya, maka ia telah mengambil bahagian yang sangat besar". Ibnu Majah (219)

Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ

Maksudnya:"Dari Abu Hurairah dia berkata; Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Barangsiapa berjalan di suatu jalan untuk mencari ilmu, niscaya Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga". Riwayat Tirmizi (2570)

Kewajipan menuntut ilmu adalah satu proses yang berlanjutan, sepanjang hidup seorang muslim di manapun dia berada. Di sinilah ketinggian Islam dalam memuliakan pencarian ilmu dan menanamkan budaya ilmu yang tinggi bagi para penuntutnya.

Walaupun begitu mencari ilmu itu ada adabnya. Meskipun mencari ilmu adalah perbuatan yang mulia, tetapi ia juga perkara yang sulit (طَلَبُ الْعِلْمِ مِنْ عَلَى الأَمْرِ وَاشَعَابِهَا), demikian kata Imam al-Zarnuji dalam kitabnya  (تَعَلِيْمُ الْمُتَعَلِّمِ فِي طَرِيْقِِ الْتَعَلُّمِ). 

Ini kerana seseorang yang mencari ilmu melalui sumber yang tidak mempunyai authority di dalam bidangnya misalnya, boleh mengelirukan fikirannya, kerana ilmu yang diperolehnya tidak benar. 

Justeru itu, kehadiran guru sebagai pembimbing dalam belajar menjadi sangat penting, agar pencari ilmu tidak jatuh ke dalam keraguan dan kebimbangan. Sebagaimana kata Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali  :

فَاعْلَمْ أَنَّ الْأُسْتَاذَ فَاتِحٌ وَمُسَهِّلٌ، وَالتَّحْصِيْلُ مَعَهُ أَسْهَلُ وَأَرْوَحُ

Maksudnya: ''Ketahuilah olehmu, bahawasanya guru itu adalah pembuka (yang tertutup) dan memudahkan (yang rumit). Mendapatkan ilmu dengan adanya bimbingan guru akan lebih mudah dan lebih menyenangkan''.(Lihat Minhajul 'Abidin ilaa Janhati Rabbil 'Alamiin, halaman 8).

Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala:

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya: ''Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)''.Surah al-Taubah (122)

Al-Alusi berkata: “Hakikatnya, penggunaan 'untuk mengajar' (لِيُعْلِمُوْا) lebih sesuai berbanding 'memberi peringatan' (لِيُنذِرُوا) dan 'supaya mereka faqih' (يَتَفَقَّهُوْا) berbanding 'berjaga-jaga dari melakukan larangan Allah' (يَحْذَرُونَ). Akan tetapi, dipilih perkataan-perkataan tersebut berbanding istilah yang satu lagi sebagai isyarat bahawa matlamat guru hendaklah untuk memberi petunjuk dan peringatan. Sedangkan matlamat penuntut ilmu pula adalah untuk meraih rasa takut kerana Allah Allah Subhanahu Wa Ta'ala, bukan bersenangan dan merasa takabbur dengan ilmu. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 11/48)

Dengan memahami petunjuk dari nas Ilahi di atas, jelas menunjukkan perintah untuk menuntut ilmu melalui pembelajaran dan berguru. Inilah yang asalnya. Hal ini diperkuatkan lagi dengan hadith daripada Abi Darda’ R.A, sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إنَّمَا الْعِلْمُ بِالتَّعَلُّمَ وَالْفِقْه بِالتَّفَقُّهِ

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, adapun sesungguhnya ilmu itu dengan mempelajarinya dan fiqh itu dengan tafaqquh (memahaminya)''. Hadith Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (395)

Berkata Al-Hafiz Abu Bakr al-Khatib al-Baghdadi berkata: “Tidak diambil sesuatu ilmu agama melainkan daripada mulut-mulut para ulama''.(Lihat al-Faqih wa al-Mutafaqqih, 2/192)

Inilah diantara beberapa petunjuk yang menunjukkan dituntut agar memilih guru dalam mengambil ilmu agama, dan tidak boleh sembarangan. Dan inilah yang disuruh oleh para ulama yang terdahulu. Diantaranya Muhammad bin Sirin rahimahullah, beliau mengatakan,

إنْ هَذَا العِلْمَ دِيْنٌ فَانْظُرُوا عَمَّنْ تَأخُذُونَ دِيَنَكُمْ

Maksudnya:“Ilmu ini adalah bahagian dari agama kamu, maka perhatikanlah baik-baik dari siapa kamu mengambil ilmu agama kamu''. (Diriwayatkan oleh Ibnu Rajab dalam Al Ilal, 1/355).

Imam Muslim juga menuqilkan dalam muqaddimah kitab Sahih Muslim daripada Muhammad ibn Sirin bahawa dia berkata,

إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِيْنٌ فَانظُرُوْا عَمَّنْ تَأْخُذُوْنَ دِيْنَكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama maka kamu lihatlah daripada siapakah kamu mengambil agama kamu''. (Lihat Muqaddimah Sahih Muslim, 1/11)

Abdullah Ibn al-Mubarak pula berkata,

الْإِسْنَادُ مِنَ الدِّيْنِ لَوْ لَا الْإِسْنَادُ لَقَالَ مَنْ شَاءَ مَا شَاءَ

Maksudnya: "Isnad itu adalah sebahagian daripada agama, sekiranya tidak ada isnad maka berkatalah seseorang itu apa yang hendak dikatakannya (bergantung kepada hawa nafsunya)'' .(Lihat Muqaddimah Sahih Muslim, 1/12)

Dalam kitab Al-Fawaaidul Makkiyyah, halaman 25 dan kitab Taudhihul Adillah, juz III, halaman 147, terdapat syair :

مَنْ يَأْخُذِ الْعِلْمَ عَنْ شَيْخٍ مُشَافَهَةً # يَكُنْ عَنِ الزَّيْغِ وَالتَّحْرِيْفِ فِى حَرَمٍ

Maksudnya:"Barang siapa yang mengambil ilmu dari seorang guru secara langsung berhadap-hadapan # niscaya akan terjagalah dia dari kesesatan dan kekeliruan''.

Mempelajari ilmu agama hendaklah dilakukan melalui guru. Meskipun di saat ini banyak sekali teknologi yang semakin memudahkan seseorang untuk belajar agama, tetapi hendaknya tetap memiliki guru untuk mendapatkan pengajaran agama yang tepat.

Ada ungkapan dan nasihat bagus agar kita tidak menjadikan sebuah kitab sebagai satu-satunya guru sekaligus sebagai peringatan bagi orang yang belajar tanpa guru.

مَنْ كَانَ شَيْخَهُ كِتَابُهُ فَخُطَؤُهُ أَكْثَرْ مِنْ صَوَابِهِ

Maksudnya:“Barangsiapa gurunya adalah sebuah kitab maka kesalahannya akan lebih banyak dari pada benarnya”.

Sesungguhnya seseorang yang telah tersesat di dalam mempelajari ilmu agama, maka tidak akan mendapatkan apa-apa munafaat apapun.

Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda,

مَنْ أَحْدَثَ فِى أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya:“Barangsiapa membuat suatu perkara baru dalam urusan kami ini (urusan agama) yang tidak ada asalnya, maka perkara tersebut tertolak”. Riwayat Bukhari (2697) dan Muslim (1718)

Belajar tanpa guru dibimbangi akan terjerumus ke dalam ajaran yang salah. Mempelajari agama Islam tanpa guru boleh menyebabkan kebingungan bagi diri sendiri kerana tidak adanya keteguhan dalam belajar, juga ditakuti seseorang pelajar itu akan membuat kesimpulan sesuatu kemusykilan agama pada natijah yang salah. Terkadang mempelajari ilmu agama tanpa berguru boleh menyebabkan seseorang itu menjadi fanatik pada satu-satu pandangan yang dia gemari atau sukai sahaja tanpa membandingkan dengan pandangan-pandangan yang lain. 

Syaikh Abu Yazid al Bustamiy (wafat 261 H, seorang sufi, bermazhab Hanafi mengatakan:

مَنْ لَمْ يَكُنْ لَهُ شَيْخٌ فَشِيْخُهُ الشَيْطَانُ

Maksudnya:''Barangsiapa tidak memiliki guru maka gurunya adalah syaitan''. (Tafsir Ruhul Bayan, 5/264).

Perhatian: Ini bukan hadith Nabi Sallahuallaihiwasallam sebagaimana Salah sangka bagi sesetengah orang. 

Salah satu dari semangat para ulama dalam menuntut ilmu tercermin dalam usaha mereka untuk belajar dengan banyak guru. Para ulama berusaha mendapatkan ilmu dan faidah dari berbagai guru, kerana setiap guru terkadang memiliki keahlian masing-masing. Hal ini juga akan membuat mereka tidak terlalu fanatik dengan guru atau mazhab atau pendapat tertentu.

Ibrahim An Nakha’i rahimahullah mengatakan:

كَانُوا إِذَا أَتَوْا الرَّجُلَ لِيَأْخُذُوا عَنْهُ، نَظَرُوا إِلَى هديه، وَإِلَى سَمْتِهِ، وَ صلاته, ثم أخذوا عنه

Maksudnya:''Para salaf dahulu jika mendatangi seseorang untuk diambil ilmunya, mereka memperhatikan dulu bagaimana akidahnya, bagaimana akhlaknya, bagaimana solatnya, baru setelah itu mereka mengambil ilmu darinya''. Diriwayatkan oleh Ad Darimi dalam Sunan-nya, (434).

Bukan hanya dalam belajar agama saja,malahan belajar dalam bidang apa sekalipun akan lebih efektif kalau berguru. Daripada hanya sekadar membaca apa yang tertulis.

Dengan adanya guru, terutama apabila guru itu sangat menguasai ilmunya, kita akan lebih leluasa menggali ilmu itu. Misalnya dengan soaljawab, dialog bahkan kita boleh meminta guru itu mengulangi penjelasannya dengan cara yang berbeza. 

Dan apabila guru itu adalah guru yang baik,maka sudah tentu beliau mempunya kayu ukur tentang keberhasilan dalam mendidik muridnya. Guru juga akan tahu apakah penjelasan itu difahami dengan mudah oleh muridnya ataupun tidak. Andaikata ternyata tidak, maka guru itu akan menggunakan variasi metode lain yang sekiranya dapat menyampaikan muridnya memahami maksudnya.

Terutama dalam ilmu mempelajari bahasa Arab dan juga membunyikan ayat-ayat Al-Quran. Kedua-dua ilmu ini hampir tidak mungkin dikuasai oleh seseorang melainkan dengan cara berguru. Sebab belajar bahasa Arab dan juga melancarkan membaca Al-Quran adalah bukan semata-mata informasi, melainkan dengan skill. 

Ilmu yang bersifat skill sudah tentu sangat berbeza karakternya dengan ilmu yang bersifat informasi. Untuk berinteraksi dengan ilmu bersifat skill adalah memerlukan kegigihan dan lebih fokus serta bimbingan berbanding berinteraksi dengan ilmu yang bersifat informatif.

Andaikata jika kita telusuri ilmu-ilmu ke-Islaman yang berada pada landasan ilmunya, adalah ilmu bahasa Arab dan membaca Al-Quran. Seseorang itu tidak akan dapat menguasai ilmu-ilmu ke-Islaman yang lain,sedangkan dia belum menguasai bahasa Arab, apatahlagi kemampuan untuk membaca Al-Quran. Dan kedua-duanya bukan bersifat informatif melainkan bersifat skill.

Bagi mereka yang sudah mempelajari dan memahami ilmu alat seperti Nahu, Sorof, Balaghah, Adab, Bahasa Arab di samping pelbagai disiplin ilmu seperti ilmu fiqh, ilmu usul fiqh, ilmu qawaid fiqhiyah, ilmu aqidah atau tauhid,ilmu tadawwuf,  ilmu hadis, ilmu tafsir makanya mereka boleh membaca dan mentelaah dalam mendapatkan ilmu. Begitu juga mendapatkan ilmu melalui internet sebagai nilai tambah atau maklumat tambahan serta pengetahuan adalah dibolehkan tetapi bukan hanya semata-mata bergantung kepada internet. Hal ini kerana adakalanya maklumat yang diletakkan dalam internet kadang-kadang bercampur antara kebenaran dan kebatilan begitu juga sebahagiannya tidak mengikut disiplin ilmu. Kaedah yang masyhur menyebut:

إِنْ كُنْتَ نَاقِلًا فَعَلَيْكَ بِالتَّصْحِيحِ    وَإِنْ كُنْتَ مُدَّعِيًا فَعَلَيْكَ باِلدَّلِيلِ

Maksudnya: ''Jika sekiranya kamu menyatakan sesuatu hendaklah kamu mensahihkan dahulu berita itu, dan sekiranya kamu mendakwa hendaklah kamu menyatakan dalil atau bukti''.[Dawabit al-Ma'rifah wa Usul al-Istidlal wa al-Munazarah (hlm. 368 dan 381).]

Maka belajar tentang agama Islam memang memerlukan guru, tetapi bukan bererti membaca sendiri tidak boleh. Justeru itu, apabila dasar-dasar keilmuwan sudah kita miliki, selebihnya tinggal lagi mengembangkannya. Dan kunci pengembangan ilmu adalah banyak membaca. Dengan membaca, wawasan kita pun juga akan semakin luas. Kedalaman ilmu juga semakin bertambah.

Maka kedua-duanya adalah padanan metode belajar Islam yang sangat mendasar, iaitu berguru dan juga membaca.

Justeru itu, kehadiran guru sebagai pembimbing dalam belajar menjadi sangat penting, agar pencari ilmu tidak jatuh ke dalam keraguan dan kebimbangan. Sebagaimana kata Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali  :

فَاعْلَمْ أَنَّ الْأُسْتَاذَ فَاتِحٌ وَمُسَهِّلٌ، وَالتَّحْصِيْلُ مَعَهُ أَسْهَلُ وَأَرْوَحُ

Maksudnya: ''Ketahuilah olehmu, bahawasanya guru itu adalah pembuka (yang tertutup) dan memudahkan (yang rumit). Mendapatkan ilmu dengan adanya bimbingan guru akan lebih mudah dan lebih menyenangkan''.(Minhajul 'Abidin ilaa Janhati Rabbil 'Alamiin, halaman 8).

Manusia mempunyai pelbagai keistimewaan dan ragamnya, tetapi secara khusus dapatlah dibahagikan kepada tiga. Yang berilmu, yang belajar dan yang tidak berilmu dan tidak belajar. Justeru itu, Saidina Ali radhiyallahu ‘anhu berkata,

النَّاسُ ثَلَاثَةٌ: فَعَالِمٌ رَبَّانِيٌّ، وَمُتَعَلِّمٌ عَلَى سَبِيلِ نَجَاةٍ، وَهَمَجٌ رَعَاعٌ أَتْبَاعُ كُلِّ نَاعِقٍ، يَمِيلُونَ مَعَ كُلِّ رِيحٍ

Maksudnya: ''Manusia ada tiga jenis: Seorang alim rabbani (yang takut kepada Allah Subhanahuwata’ala) dan seorang murid (pelajar) yang ingin selamat, dan selain itu rakyat jelata pengikut tiap suara seruan, condong mengikut arah angin''.

Beliau juga berkata,

الْعِلْمُ خَيْرٌ مِنَ الْمَالِ، الْعِلْمُ يَحْرُسُكَ، وَأَنْتَ تَحْرُسُ الْمَالَ، الْعِلْمُ يَزْكُو عَلَى الْعَمَلِ، وَالْمَالُ تُنْقِصُهُ النَّفَقَةُ... وَالْعُلَمَاءُ بَاقُونَ مَا بَقِيَ الدَّهْرُ، أَعْيَانُهُمْ مَفْقُودَةٌ، وَأَمْثَالُهُمْ فِي الْقُلُوبِ مَوْجُودَةٌ،

Maksudnya:''Ilmu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga dirimu, sedangkan kamu menjaga harta, dan ilmu bertambah jika disiarkan sedangkan harta berkurangan jika dibelanjakan…Dan ulama’ itu akan tetap hidup selamanya meskipun jasadnya tidak ada, dan ajaran mereka selalu diingati dalam hati''. (Lihat Hilyah al-Auliya’, 1/80, Tarikh Dimasyq, 14/18, Tazkirah al-Huffaz, 1/11 dan Tahzib al-Kamal, 24/220)

Sinergi antara guru dan pelajar atau belia adalah kunci utama dalam membina Insan Sejahtera iaitu individu yang seimbang dari sudut jasmani,emosi, rohani, dan intelek. Sejahtera bukan bermaksud kaya harta semata-mata, tetapi sejahtera adalah apabila hati tenang dengan zikrullah, akal cerdik dengan ilmu, dan tubuh badan cergas dengan amal.

Guru berperanan menyemai benih-benih kesejahteraan ini. Di sekolah, guru mengajar adab sebelum ilmu. Sebabnya, ilmu tanpa adab hanya akan melahirkan insan yang sombong dan tamak. Manakala adab tanpa ilmu akan melahirkan insan yang mudah ditipu. Maka, gabungan kedua-duanya di bawah bimbingan guru yang ikhlas akan melahirkan belia yang berwibawa.

Islam juga amat menitikberatkan peranan pemuda. Lihatlah bagaimana sejarah mencatatkan kehebatan pemuda seperti Saidina Ali bin Abi Talib, Usamah bin Zaid, dan Mus'ab bin Umair radiallahu anhum. Mereka adalah tokoh belia yang mempunyai integriti, keberanian, dan ilmu yang mendalam. Mereka tidak hanya belajar untuk diri sendiri, tetapi belajar untuk memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling.

Cabaran dunia hari ini amat hebat. Belia kita berhadapan dengan serangan pemikiran melalui media sosial, pengaruh budaya kuning, dan krisis identiti. Di sinilah letaknya kebijaksanaan seorang guru untuk menjadi rakan pembimbing atau 'mentor' kepada belia. Guru perlu mendekati belia dengan penuh kasih sayang, memahami kegelisahan mereka, dan memberikan solusi berlandaskan al-Quran dan Sunnah.

Selain itu, belia juga perlu mempunyai kesedaran diri. Wahai para pelajar atau belia, hargailah jasa guru-guru kalian. Rendahkanlah sayap kehinaan di hadapan mereka, kerana keberkatan ilmu itu terletak pada keredaan seorang guru. Janganlah sekali-kali kita menyakiti hati mereka atau memperlekehkan ilmu yang mereka sampaikan. Daripada Ubadah bin as-Somit radiallahu anhu, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يُجِلَّ كَبِيْرَنَا وَيَرْحَمْ صَغِيْرَنَا وَيَعْرِف لِعَالِمِنَا حَقَّهُ

Maksudnya:''Bukan termasuk golongan kami orang yang tidak menghormati yang tua dan tidak menyayangi yang muda dari kami serta tidak mengenal hak orang alim dari kami''. Musnad Ahmad (3/432)

Akhir sekali, marilah kita berdoa agar Allah Subhanahuwata'ala sentiasa merahmati para guru kita, menguatkan semangat para pelajar atau belia kita.

No comments:

Post a Comment

Guru

Guru Guru atau pendidik di dalam bahasa arab dinamakan المُعَلِّم. Di dalam Lisan al-‘Arab, perkataan المُعَلِّم berasal daripada العِلْمُ a...