Wednesday, January 7, 2026

Agama Islam Agama Kedamaian

Agama Islam Agama Kedamaian

Islam terbukti membawa kedamaian kerana perintah Allah yang banyak di dalam al-Quran menganjurkan kedamaian, larangan menumpahkan darah tanpa hak, tidak memaksa orang bukan Islam memeluk Islam setelah disampaikan mesej Islam kepada mereka bahkan Islam mengajar kita supaya berhikmah dalam berdakwah. Justeru, memelihara kedamaian adalah sebahagian daripada tujuan penciptaan manusia sebagaimana ajaran Islam. Allah Subhanahuwata’ala berfirman di dalam surah al-Anfal ayat 61,

وَإِنْ جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya:''Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui''.

Sesungguhnya Islam adalah agama yang mencintai kedamaian. Islam melarang umatnya melakukan kerosakan, kejahatan, kemungkaran, kekerasan, kezaliman dan sebagainya. Islam menolak apa jua gerakan pelampau yang menggunakan kekerasan, pembunuhan dan peperangan sehingga menggugat keamanan Negara mahupun dunia. Justeru, sebagai umat Islam yang cintakan keharmonian dan keamanan, janganlah kita terlalu mudah mengambil sebarang tindakan sebagai balasan terhadap 

perbuatan jahat orang bukan Islam yang kelak hanya akan mendatangkan kemudaratan. Ingatlah, perbuatan tersebut tidak akan dapat memberi apa-apa kebaikan, bahkan mengundang sikap benci, fitnah-menfitnah serta prasangka yang berpanjangan. Firman Allah subhanahu wa ta’ala di dalam surah Fussilat ayat 34,

وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ

Maksudnya:''Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia''.

Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam sebagaimana riwayat Imam Al-Bukhari daripada Abdullah bin Amru bin Al-Ass RadhiAllahu anhuma bersabda,

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Maksudnya : Seorang muslim itu adalah mereka yang membuatkan muslim yang lain selamat dari kejahatan lidahnya dan juga tangannya''. Riwayat Al-Bukhari (6484)

Imam Ibn Battal dalam syarahan beliau ke atas hadith ini berkata,

والمراد بهذا الحديث الحض على ترك أذى المسلمين باللسان واليد والأذى كله

Maksudnya : Yang dimaksudkan dengan hadith ini adalah tuntutan supaya meninggalkan perbuatan menyakiti umat Islam dengan lidah, tangan, dan juga semua yang menyakitkan''. Rujuk Syarah Sahih Al-Bukhari, Ibn Battal (1/62)

Kewujudan pelbagai agama, kaum dan bangsa tidak menjadi penghalang untuk kita hidup dengan aman dan harmoni. Pelbagai kaum dan bangsa serta keturunan dengan pegangan agama masing-masing dapat membentuk masyarakat yang saling bertolak ansur. Firman Allah Subhanuwata'ala di dalam surah al-Hujurat ayat 13,

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Maksudnya:''Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal''.

Islam sebagai agama yang membawa rahmat ke seluruh alam, amat mementingkan keadilan ditegakkan dan mengembalikan hak-hak golongan yang dizalimi serta teraniaya.Islam bersikap tegas dan menganggap perlakuan yang mencetuskan perbalahan dan persengketaan adalah suatu kesalahan yang besar kerana ia menyanggahi maqasid as-Syariah. 

Walaupun begitu ada hadith yang menjadi sasaran segelintir pihak sejak dahulu hingga sekarang dengan melemparkan tohmahan bahawa Islam merupakan agama ekstrem kerana mengajar penganutnya untuk memerangi umat agama lain hingga mereka memeluk Islam.

Imam al-Nawawi telah meletakkan hadith tersebut pada nombor kelapan dalam himpunan hadith beliau. Hadith yang berbunyi,

أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ وَيُقِيمُوا الصَّلاَةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلاَّ بِحَقِّ الإِسْلاَمِ وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللهِ

Maksudnya: Aku telah diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad utusan Allah, sehingga mereka mendirikan solat dan membayar zakat. Apabila mereka telah berbuat demikian, maka mereka telah memelihara darah mereka dan harta mereka daripada aku, melainkan dengan hak lslam, dan hisab perhitungan amal mereka terserah kepada Allah Subhanahuwata'ala. Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Pertamanya, perlu diambil perhatian bahawa memahami hadith bukanlah dengan hanya memahami maksudnya secara literal lalu disyarahkan mengikut logik akal semata-mata. Tetapi ia memerlukan kepada alat-alatnya seperti ilmu hadith, syarah hadith, sebab hadith diucapkan(asbab al-wurud), ilmu bahasa Arab, selain keperluan untuk dibaca bersekali dengan ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith lain yang berkaitan jihad.

Sebahagian pihak telah tersilap dalam memahami hadith ini dengan mengatakan bahawa hadith ini menjadi dalil kepada perintah untuk memerangi seluruh bukan Islam sehinggalah mereka mengucapkan dua kalimah syahadah. Pemahaman seperti ini akan membawa kepada pemikiran yang ekstrim dan radikal terhadap seseorang individu muslim, bahkan boleh mengundang kepada tindakan-tindakan yang mengakibatkan perpecahan serta pertumpahan darah antara orang Islam dan bukan Islam.

Apabila ditelusuri karya-karya para ulama terdahulu dan kontemporari, jelas bahawa maksud hadith tersebut tidak seperti yang disalah fahami oleh sebilangan pihak.

Imam Syarafuddin al-Tibi menjelaskan bahawa ‘al-nas’ dalam hadith merujuk kepada golongan penyembah berhala (‘abadah al-wathan). Namun bukan semua golongan ini perlu diperangi, kerana seperti golongan Ahli Kitab yang tidak boleh diperangi jika mereka bersetuju membayar jizyah, begitu juga golongan musyrikin yang tidak boleh diperangi jika mereka telah mematerai perjanjian damai dengan umat Islam:

‌أن ‌عبدة ‌الأوثان إذا وقعت المهادنة معهم تسقط عنهم المقاتلة (وتثبت العصمة

Maksudnya: ''Sesungguhnya jika termeterai suatu perjanjian damai (al-mudahanah) dengan golongan penyembah berhala, gugurlah kewajiban untuk memerangi mereka dan nyawa mereka terpelihara''. [Lihat; Syarafuddin al-Tibi, al-Kasyif ‘an Haqaiq al-Sunan (Syarah Misykat al-Masabih), jld. 2: hlm. 452]

Malah, Syeikh Muhammad al-Ghazali dalam bukunya ‘Ilal wa Adwiyah menggelar hadis ini sebagai “hadith mazlum” (hadith yang dizalimi) kerana ramai pihak yang salah faham dan menyebarkan kekeliruan tentangnya. Menurut beliau, hadis itu pada hakikatnya merujuk kepada keharusan untuk memerangi golongan musyrikin Arab yang disebabkan penentangan mereka terhadap agama Islam dan umatnya, serta perbuatan mereka yang tidak menghormati perjanjian damai yang telah dimaterai antara kedua-dua belah pihak.[Lihat; Muhammad al-Ghazali, ‘Ilal wa Adwiyah (t.tp.: Dar al-Syuruq, t.t.), hlm. 207-209]

Tohmahan bahawa hadith ini menggalakkan orang Islam memerangi semua golongan bukan Islam juga tertolak melalui firman Allah Subhanahuwata'ala yang menyeru umat Islam agar berbuat baik dengan golongan kafir yang tidak menunjukkan permusuhan terhadap Islam,

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ ‎﴿٨﴾‏ إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ‎﴿٩﴾

Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. Surah al-Mumtahinah ayat 8-9

Almarhum Syeikh Yusuf al-Qaradhawi pula tatkala memberi komentar terhadap penulisan Imam al-San‘ani berkata:

وقيل: المراد بالحديث: المحاربون، ولفظ "الناس" من العموم الذي يراد به الخصوص.

وهذا التأويل الذي ذكره في الأخير، هو الذي يترجح عندي، فلفظة "الناس" يقصد بها "المحاربون" الذي ذكرتهم سورة براءة في أوائلها، وأعلنت البراءة منهم، وهم الذين (لَا يَرْقُبُونَ فِي مُؤْمِنٍ إِلًّا وَلَا ذِمَّةً ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُعْتَدُونَ)

Maksudnya: ''Kata Imam al-San‘ani: Ada pandangan yang menyebut: Hadith itu merujuk kepada mereka yang memerangi umat Islam, dan lafaz ‘al-nas’ itu merupakan suatu lafaz umum dan yang dimaksudkan dengannya ialah makna khusus''.

(Kata Syeikh al-Qaradhawi) Pandangan terakhir yang disebut oleh al-San‘ani inilah yang paling rajih menurutku; justeru lafaz ‘al-nas’ itu bermaksud mereka yang memerangi Islam seperti yang dijelaskan dalam Surah al-Taubah (ayat ke-10): “Mereka tidak menghormati pertalian kerabat dan perjanjian terhadap orang-orang yang beriman, dan merekalah golongan yang melampaui batas''. [Lihat; Yusuf al-Qaradhawi, Fiqh al-Jihad yang dimuatkan dalam Mausu‘ah al-A‘mal al-Kamilah li Samahah al-Imam Yusuf al-Qaradhawi, Cetakan Pertama (t.tp.: al-Dar al-Syamiah, 2022), jld. 23: hlm

Bagi menjaga keharmonian dan perpaduan, perkara-perkara yang perlu difahami oleh setiap masyarakat ialah konsep ta’aruf iaitu saling berkenalan antara kaum dan etnik di negara ini, tafahum iaitu saling memahami dan ta’awun iaitu saling membantu sebagai tanda kasih sayang. Kita seharusnya berhati-hati dalam meneliti sebarang propaganda, prasangka atau berita yang diterima tentang sesuatu kaum, agama dan sebagainya. Jauhilah perkara-perkara yang mengundang perselisihan serta perbalahan dan serulah kepada perpaduan dan kedamaian. Ingatlah bahawa seorang Muslim itu ialah mereka yang menjaga tutur kata, lidah dan tangannya. 



 

No comments:

Post a Comment

Bahaya Ajaran Sesat

Bahaya Ajaran Sesat Kemunculan ajaran sesat ini bukan sesuatu fenomena yang baharu. Bahkan ia telah wujud sejak dahulu lagi zaman berzaman s...