Wednesday, December 31, 2025

Merancang Tahun Hadapan

Merancang Tahun Hadapan

Peristiwa suka dan duka yang telah kita lalui sepanjang tahun 2025 adalah merupakan warna-warni, suka-duka kehidupan yang menggambarkan pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang tahun, itulah lumrah dalam kehidupan. Benarlah firman Allah Subhanahuwata'ala,

وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ

Maksudnya: Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran)''. Surah Ali Imran ayat 140.

Nikmat yang kita kecapi, kesusahan yang kita hadapi adalah sebahagian daripada rencam kehidupan yang ditempuhi oleh setiap orang. Hanya cara dan sikap kita menguruskannya yang menjadikan nikmat dan kesusahan itu bermanfaat kembali kepada diri kita sendiri. Nikmat yang diterima adalah ujian sama ada kita bersyukur atau sebaliknya. Manakala kesusahan yang dibentangkan adalah ujian keimanan, kebijaksanaan serta keteguhan semangat kita dalam menghadapi dan mengatasinya. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah al-Anbia' ayat 35,

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً ۖ وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya:''Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan''.

Al-Hafiz Ibnu Katsir menjelaskan maksud ayat diatas dalam tafsirnya: “Allah ta’ala mengkhabarkan secara umum bahawa seluruh makhluk yang dikurnia nyawa pasti dirinya akan merasakan kematian. Ayat ini senada dengan firman-Nya:

كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا فَانٍ. وَيَبْقَىٰ وَجْهُ رَبِّكَ ذُو الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ

Maksudnya:''Semua yang ada di bumi itu akan binasa.Dan tetap kekal Dzat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan''. Surah Al-Rahman ayat 26-27

Firman Allah Subhanahuwata'ala

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan). Maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka kemudiankan dan tidak pula dapat mereka dahulukan walau sesaat pun''. Surah Al-A’raf ayat 34

Syeikh al-Zuhaili ketika menafsirkan ayat ini mengatakan setiap umat daripada umat-umat yang ada dan begitu juga setiap generasi daripada generasi-generasi yang ada mempunyai ketetapan umar yang tertentu sebagaimana yang ada di dalam ilmu Allah SWT. Apabila ketetapan umur tersebut telah sampai ke penghujungnya, maka akan terputuslah kehidupannya dan dia akan mula berpisah dengan dunia tanpa cepat atau lambat walau sesaat pun. [Lihat: Tafsir al-Wasit, 5/267

Imam Jalaluddin as-Suyuti rahimahullah, dalam Tafsir al-Jalalain menjelaskan bahawa manusia akan diuji oleh Allah Subhanahuwata'ala dengan keburukan dan kebaikan seperti kefakiran, kekayaan, kesakitan dan kesihatan sama ada mereka menghadapinya dengan kesabaran dan kesyukuran atau sebaliknya. Kemudian, masing-masing akan kembali kepada Allah Subhanahuwata'ala untuk menerima balasan yang sesuai dengan amalan yang telah dilakukannya.

Begitulah hakikat kehidupan kita. Nyawa dan usia hanyalah pinjaman. Dengan waktu yang singkat ini kita diamanahkan untuk mengurus kehidupan berpandukan ajaran Islam. Dalam membuat persediaan untuk kehidupan hari esok (dalam dunia) yang tidak pasti, janganlah sampai kita lupa hari esok yang kita semua pasti akan temui iaitu kematian dan hari akhirat yang kekal abadi.

Imam Ibnu Abi al-Dun-ya rahimahullah dalam kitabnya al-Yakin menukilkan kata-kata Imam al-Hasan al-Basri rahimahullah 

مَا رَأَيْْتُ يَقِينًا لَا شَكَّ فِيهِ، أَشْبَهَ مِنْ شَكٍّ لاَ يَقِيْنَ فِيْهِ مِنْ أَمْرِنَا هَذَا 

Maksudnya: ''Aku tidak pernah melihat sesuatu yang begitu pasti tanpa keraguan, namun dianggap oleh manusia seolah-olah sesuatu yang ragu dan tidak pasti. Perkara tersebut adalah kematian''.

Kematian adalah sesuatu yang sangat pasti (pasti terjadi), tetapi seringkali dianggap oleh manusia seperti sesuatu yang meragukan atau tidak pasti, seolah-olah tidak akan pernah terjadi pada diri mereka. Ungkapan ini menekankan ironi bahawa hal paling pasti dalam hidup, iaitu kematian, justru diabaikan oleh banyak orang. 

Dalam sesetengah ayat yakin/الْيَقِينُ merujuk kepada kematian yang pasti akan datang, sebagai tanda berakhirnya kehidupan dunia. Sebagaimana pada surah Al-Hijr ayat 99, bahawa Allah Subhanahuwata'ala memerintahkan agar terus beribadat dan menyembah kepada-Nya sehingga datangnya kematian,

وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ

Maksudnya:''dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal)". Surah al-Hijr ayat 99

Ayat ini menekankan kewajipan beribadah tanpa henti sehingga datangnya kematian ("al-yaqin", atau kepastian), terutama ketika berdepan dengan kesulitan atau desakan musuh, dengan beralih kepada zikir dan solat untuk menenangkan hati dan mencari pertolongan Allah. 

Justeru, perkara yang amat penting bagi kita umat Islam berkaitan dengan kehidupan ini ialah kita persiapan menuju kehidupan abadi di akhirat kelak tanpa mengabaikan kesejahteraan kehidupan di dunia, termasuklah pelaksanaan kewajipan sebagai umat Islam, persiapan amal, hubungan kita dengan Allah Subhanahuwata'ala, juga hubungan sesama manusia semasa hidup di dunia ini.

Daripada Syaddad bin Aus radiallahu anhu bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

الكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ ، وَالعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللَّهِ

Maksudnya: ''Orang yang cerdik (yang berakal) adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian, sedangkan orang yang lemah (imannya) adalah orang yang jiwanya mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah SWT (bahawa Allah akan mengampuninya)''.

Riwayat al-Tirmizi (2459), Ibn Majah (4260), Ahmad (17123) dan al-Baihaqid alam al-Sunan al-Kubra (6749) dan Syu'ab al-Iman (10061)

Oleh itu, setiap orang hendaklah berusaha melawan dan menundukkan jiwa dan nafsunya yang tercela sehinggalah mencapai apa yang disebut sebagai jiwa yang tenang (nafsu al-mutma’innah), yang akan diseru oleh Allah Subhanahuwata'ala pada hari Kiamat nanti sebagaimana firman-Nya:

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ﴿٢٧﴾ ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً ﴿٢٨﴾ فَادْخُلِي فِي عِبَادِي ﴿٢٩﴾ وَادْخُلِي جَنَّتِي

Maksudnya: (Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! - "Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! - "Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia - "Dan masuklah ke dalam SyurgaKu!''. Surah al-Fajr ayat 27-30.

Imam Ibn Kathir menjelaskan bahawa ayat ini menerangkan tentang jiwa yang tenang yang diseru oleh Allah Subhanahuwata'ala dan akan ditunaikan janji pada mereka untuk masuk syurga. Mereka redha pada jiwanya dan Allah juga redha pada mereka. Mereka diajak masuk ke dalam golongan hamba-hamba Allah yang soleh dan mereka juga diajak untuk masuk ke dalam syurga.

Ibn Kathir berkata, ini adalah panggilan Allah Subhanahuwata'ala kepada seseorang menjelang sakaratul maut dan juga ketika bangkit pada hari kiamat. Sebagaimana para malaikat memberikan khabar gembira seperti ini kepada seorang mukmin ketika dia menjelang sakaratul maut dan bangkit dari kuburnya. Sama halnya seperti ayat ini. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 7/564)

Islam menuntut umatnya untuk sentiasa mempersiapkan masa depan yang lebih baik dalam pelbagai ruang lingkup kehidupan, termasuk aspek spiritual, moral, intelektual, dan material. Persiapan ini selaras dengan ajaran al-Quran dan hadith yang menekankan pentingnya berusaha, beramal soleh, dan menjaga amanah Allah Subhanahuwata'ala.

Tahun-tahun yang mendatang pastinya memiliki cabarannya yang tersendiri. Allah Subhanahuwata'ala mengingatkan kita supaya merancang dengan baik masa depan kita termasuklah persediaan menuju alam akhirat. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah al-Hasyr ayat 18,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Maksudnya:''Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan''.

Mengajak diri dan keluarga bersama-sama bermuhasabah akan segala apa yang telah dilalui sepanjang setahun yang lepas dan azam baharu untuk dicapai pada tahun mendatang. Terutamanya dalam menggapai redha dan rahmat Allah Subhanahuwata'ala di dunia dan akhirat. Ia sebagaimana kata Fudhayl bin Iyadh:

تُحْسِنُ فِيمَا بَقِيَ يُغْفَرُ لَكَ مَا مَضَى وَمَا بَقِيَ , فَإِنَّكَ إِنْ أَسَأْتَ فِيمَا بَقِيَ أُخِذْتَ بِمَا مَضَى وَمَا بَقِيَ

Maksudnya, “Berbuat baiklah dengan masa yang berbaki, moga diampunkan bagi kamu apa yang telah lalu dan apa yang berbaki, namun sesungguhnya jika kamu berbuat buruk pada masa yang berbaki, maka kamu akan dibalas dengan keburukan yang telah lalu dan berbaki.” (Lihat Hilyah al-Auliya, 8/113)

Sambutan Tahun Baharu tidak lain kecuali sebagai hari kesyukuran atas segala nikmat dan rahmat yang telah dikurniakan Allah Subhanahuwata'ala kepada kita. Contohilah junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam saat Baginda diberikan kemenangan besar dalam peristiwa pembukaan Kota Makkah. Ia tidak sesekali disambut dengan pesta dan majlis keramaian yang gilang gemilang. Namun disambut dengan penuh kesederhanaan, ketundukan dan kerendahan diri kepada Allah Subhanahuwata'ala sambil melafazkan kalimah-kalimah suci dan keampunan-Nya. 

Firman Allah Subhanahuwata'ala,

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّـهِ وَالْفَتْحُ ﴿١﴾ وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّـهِ أَفْوَاجًا ﴿٢﴾ فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا 

Maksudnya, “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai, Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat''. Surah al-Nasr ayat 1-3

Perancangan masa depan ini pastinya perlu diiringi dengan usaha dan tindakan yang berterusan. Tanpa ada usaha, maka dari mana datangnya hasil yang baik dan diharapkan?

Setelah kita berusaha, hendaknya kita bertawakal (menyerahkan) kepada Allah subhanahu wata'ala urusannya kerana Allah Subhanahu wata'ala jualah sebaik-baik tempat kita berserah. 

Akhir sekali, marilah kita bersama-sama menghayati firman Allah Subhanahuwata'ala dalam Surah al-A’raaf ayat 96,

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Maksudnya:''Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya''.

No comments:

Post a Comment

Merancang Tahun Hadapan

Merancang Tahun Hadapan Peristiwa suka dan duka yang telah kita lalui sepanjang tahun 2025 adalah merupakan warna-warni, suka-duka kehidupan...