Sahabat hingga ke Syurga
Memilih sahabat atau kawan memang perlu berhati-hati. Salah memilih kawan dalam pergaulan boleh menjerumaskan kita pada maksiat dan dosa.
Allah Subhanahuwata'ala menyuruh Nabi Sallallahu'alaihiwasallam untuk memilih kawan dan begitu juga Nabi Sallallahu'alaihiwasallam menyuruh umatnya agar memilih kawan. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-kahfi ayat 28,
وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ ۖ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَنْ ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا
Maksudnya:"Dan bersabarlah ( jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat) kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan petang hari dengan mengharap keredhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas". Surah Al-Kahfi ayat 28.
Dengan siapakah kita bersahabat? Tahukah kita, siapakah yang layak dijadikan sahabat? Mungkin ada yang terbayang raut wajah rakan sekerja, atau teman persekolahan, mahupun mereka yang berkongsi minat yang sama, dan begitulah seterusnya.
Tahukah kita bahawa ada segolongan manusia yang bersahabat di dunia, tetapi mereka akan bermusuhan di hari akhirat kelak? Seolah-olah mereka merasa kesal bersahabat dengannya. Marilah kita dengar bersama-sama firman Allah Subhanahuwata'ala dalam Surah az-Zukhruf ayat 67,
الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا الْمُتَّقِينَ
Maksudnya:''Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa''.
Ternyata, soal bersahabat yang kadangkala kita anggap remeh mempunyai kesan yang mendalam dalam kehidupan seorang muslim. Dalam erti kata lain, sahabat yang baik adalah sahabat yang mementingkan ketakwaan dan kebaikan; yang suka berbuat baik dan sering mendorong kita ke arah yang sama.
Daripada Abu Hurairah radiallahu anhu bahawa Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam pernah bersabda,
الْمَرْءُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ، فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُُخَالِلْ
Maksudnya: ''Pegangan agama seseorang itu mengikut pegangan agama sahabatnya, maka hendaklah seseorang daripada kamu melihat dengan siapakah dia bersahabat''. Riwayat Ahmad(8417)
Hadith di atas ini menekankan betapa pentingnya memilih sahabat yang baik kerana mereka memberi pengaruh besar terhadap keperibadian, akhlak, dan amalan agama kita, sama ada ke arah kebaikan atau keburukan.
Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam memperlihatkan kaitan yang jelas antara persahabatan dan perihal agama seseorang. Persahabatan dan persekitaran sosial kita boleh mempengaruhi pengamalan agama dan cara kehidupan kita.
Mencari sahabat janganlah berdasarkan kepentingan sementara seperti maslahat di dunia, tetapi carilah demi kemaslahatan bersama yang abadi iaitu maslahat dan manfaat di akhirat. Nabi Sallallahu'alaihiwasallam menyuruh kita mencari sahabat yang baik bukan semata untuk manfaat semasa di dunia sahaja akan tetapi demi manfaat yang abadi di akhirat kelak. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Musa Al-Asy’ari R.A beliau berkata bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
مَثَلُ الجَلِيسِ الصّالِحِ والجَلِيسِ السَّوْءِ، كَمَثَلِ صاحِبِ المِسْكِ وكِيرِ الحَدّادِ لا يَعْدَمُكَ مِن صاحِبِ المِسْكِ إمّا تَشْتََرِيهِ أوْ تََجِدُ رِيحَهُ، وكِيرُ الحَدّادِ يُُحْرِقُ بَدَنَكَ أوْ ثَوْبَكَ، أوْ تََجِدُ منه رِيحًا خَبِيثَةً
Maksudnya: ''Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti penjual haruman kasturi dan tukang besi. Engkau tidak akan dapati daripada pemilik kasturi melainkan membeli wangiannya atau dapat mencium harumannya. Tukang besi pula percikan apinya terkena tubuhmu, pakaianmu atau engkau menghidu bau busuk daripadanya''. Riwayat Bukhari(2101)
Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam syarahan beliau ke atas hadith ini berkata :
وَفِي الْحَدِيثِ النَّهْيُ عَنْ مُجَالَسَةِ مَنْ يُتَأَذَّى بِمُجَالَسَتِهِ فِي الدِّينِ وَالدُّنْيَا وَالتَّرْغِيبُ فِي مُجَالَسَةِ مِنْ يُنْتَفَعُ بِمُجَالَسَتِهِ فِيهِمَا
Maksudnya : Pada hadith ini terdapatnya larangan bermajlis dengan mereka yang memberi gangguan (atau menyakiti) menerusi majlis bersamanya sama ada gangguan itu pada agama atau pada dunia seseorang. Begitu juga (hadith ini) menganjurkan supaya duduk bersama dengan mereka yang kita mendapat manfaat dari mereka dalam urusan agama dan juga urusan dunia. [Rujuk Fath al-Bari, Ibn Hajar (4/324)]
Sementara itu Iman Syafie berkata, ''Jika engkau punya sahabat yang selalu membantumu dalam dalam mentaati Allah Subhanahuwata'ala, maka engkau peganglah dia erat-erat, jangan sekali-kali engkau lepaskan dia. Kerana mencari sahabat baik itu susah, tetapi melepasnya sangat mudah sekali''.
Tambahan lagi, para ulama juga ada berpesan kepada kita agar banyakkan bersahabat dengan orang-orang baik, mudah-mudahan mereka dapat mengingatkan kita kepada Allah Subhanahuwata'ala dan seterusnya membantu kita kelak di hari Akhirat. Antaranya seperti pesan al- Hasan al-Basri yang menasihatkan: ''Perbanyaklah sahabat-sahabatmu dalam kalangan orang-orang yang beriman kerana mereka memiliki syafaat pada hari Kiamat''. (Lihat Tafsir Baghawi, 3/473)
Memilih sahabat atau teman yang baik adalah sesuatu yang tidak boleh dianggap remeh. Kerana itu, Islam mengajarkan kita agar tidak salah dalam memilihnya. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda ,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ
Maksudnya:''Dari Abu Hurairah berkata, Rasulullah ﷺ bersabda, "Seseorang itu akan mengikuti agama temannya, kerananya hendaklah salah seorang diantara kalian mencermati kepada siapa ia berteman". Riwayat Tirmizi 2300.
Sudah dapat dipastikan, bahawa seorang teman memiliki pengaruh yang sangat besar terhadap temannya. Teman boleh mempengaruhi agama, pandangan hidup, kebiasaan dan sifat-sifat seseorang itu.
Sifat manusia adalah cepat terpengaruh dengan teman pergaulannya. Malah manusia boleh terpengaruh bahkan dengan seekor binatang ternak yang menjadi teman hariannya.
Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda :
الْفَخْرُ وَالْخُيَلاَءُ فِي الْفَدَّادِينَ أَهْلِ الْوَبَرِ وَالسَّكِينَةُ فِي أَهْلِ الْغَنَمِ
Maksudnya:"Kesombongan dan keangkuhan terdapat pada orang-orang yang meninggikan suara di kalangan pengembala unta. Dan ketenangan terdapat pada pengembala kambing". Riwayat Bukhari (3499) dan Muslim (187)
Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam mengkhabarkan bahawa pegembala unta akan berpengaruh serta timbulnya kesombongan dan keangkuhan dan mengembalakan kambing berpengaruh serta timbulnya sifat ketenangan.
Jika dengan haiwan saja, makhluk yang tidak mempunyai akal dan kita tidak tahu apa maksud dari suara yang dikeluarkannya, namun manusia boleh terpengaruh dengan haiwan-haiwan tersebut yang menjadi teman hariannya.
Maka bagaimana pula dengan orang yang boleh berbicara dengan anda, faham perkataan anda, bahkan terkadang membohongi dan mengajak anda untuk memenuhi hawa nafsunya serta memperdayai anda dengan syahwat? Bukankan orang itu akan lebih berpengaruh?
Sebenarnya, sangat mudah mengetahui bagaimana cerminan diri anda. Cukup dengan melihat bersama siapa saja anda sering bergaul, seperti itulah cerminan diri Anda. Kenyataan ini telah dipaparkan oleh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda :
الْمُؤْمِنُ مِرْآةُ أخيهالْمُؤْمِنِ
Maksudnya:"Seorang mukmin cerminan dari saudaranya yang mukmin". Riwayat Bukhari ( 239) dan Abu Daud (4918)
Kalau seorang biasa berkumpul dengan seseorang yang hobinya berjudi, hisap dadah, berzina maka kurang lebih dia seperti itu juga. Begitu pula sebaliknya, kalau dia biasa berkumpul dengan orang yang rajin solat berjamaah, maka kurang lebih dia seperti itu.
Terdapat tiga perkara penting dalam bersahabat menurut neraca Islam:
Pertama: Mengenal pasti pengaruh baik dan buruk.
Kita perlu bertanya kepada diri sendiri: Adakah individu itu mendekatkan kita kepada Allah Subhanahuwata'ala, atau menjauhkan kita daripada-Nya? Soalan ini sesuai ditanya oleh segenap lapisan usia, baik yang muda mahupun yang lebih dewasa.
Pada hari ini, persahabatan juga terjalin di alam maya seperti di wadah-wadah media sosial dan kumpulan komunikasi dalam talian, yang datang bersamanya pengaruh yang tersendiri. Kita hendaklah menjauhi pengaruh yang berbaur dosa seperti menyebarkan gosip atau berita yang tidak sahih, atau memandang remeh pada perbuatan dosa.
Sebaliknya, apabila kita mengenalpasti dan mendekati pengaruh yang baik, kita akan turut terbentuk dengannya. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam menyamakan sahabat yang baik seperti penjual minyak wangi yang kita pasti akan turut mengecap haruman kebaikannya.
Kedua: Menjadi contoh persahabatan yang soleh dalam kehidupan.
Kita juga perlu bertanya pada diri sendiri dengan penuh keinsafan,"Adakah kita telah berperanan menjadi sahabat yang mempunyai pengaruh ke arah kebaikan dengan mengajak rakan-rakan menjadi insan yang soleh? Atau sebaliknya, menjadi sebab sahabat-sahabat terjerumus ke kancah maksiat?
Sebagaimana kita ingin terdedah kepada pengaruh yang baik, kita juga sewajarnya menjadi pemangkin aura positif dalam persahabatan. Marilah bersama kita menjadi individu yang membantu menguatkan iman sahabatnya, menerusi akhlak mulia, berlapang dada, bersikap empati, mendengar tanpa menghukum dan memberi sokongan ketika sahabat kita diuji dan memerlukan pertolongan. Kita menegur dengan penuh hikmah dan kasih sayang. Kita bukan sekadar menjadi teman berbual dan bergurau senda, tetapi juga teman yang bersama mendorong, menuju ke syurga.
Ketiga: Sertailah persekitaran yang menyuburkan persahabatan yang soleh.
Kita juga mesti mencari peluang untuk menjalin persahabatan yang soleh iaitu pertalian yang membina kerohanian mukmin, sama ada menerusi amal ibadah, atau kuliah-kuliah agama dan seumpamanya.
Persahabatan seperti ini merangkumi juga saling mengingatkan akan tanggungjawab sosial seperti aktiviti kebajikan atau kerja-kerja sukarela dalam masyarakat dan lain-lain.
Apabila kita dikelilingi sahabat yang ikhlas dan bersama-sama berusaha ke arah kebaikan, pastinya kita akan lebih mudah beristiqamah dalam amalan soleh. Begitu juga, sekiranya ada antara sahabat kita yang pernah melakukan kesilapan dan mula menunjukkan tanda-tanda untuk berubah ke arah kebaikan, maka bantulah dan sokonglah mereka. Pimpinlah mereka menuju rahmat Allah Subhanahuwata'ala dengan penuh hikmah. Imam Muslim rahimahullah meriwayatkan daripada Abu Hurairah radiallahu anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihi wasallam bersabda:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا
Maksudnya:''Dari Abu Hurairah, bahwasanya Rasulullah ﷺ bersabda: "Barang siapa yang mengajak kepada kebaikan, maka ia akan mendapatkan pahala sebanyak pahala yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Sebaliknya, barang siapa yang mengajak kepada kesesatan, maka ia akan mendapatkan dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun''. Riwayat Muslim(2674)
Hadith-hadith di atas, jelas menunjukkan kepada kita akan ganjaran yang hebat akan diterima oleh seseorang yang telah menyeru manusia ke jalan hidayah dan pahala tersebut akan diperolehi selagimana orang yang diseru itu melakukan serta mengamalkannya. Sebaliknya, barang siapa yang mengajak kepada kesesatan maka ia akan mendapatkan dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun.
Persahabatan yang baik bukan sekadar menjalin hubungan persaudaraan dengan siapa yang kita suka, tetapi siapa yang membantu kita menjadi hamba yang disukai Allah Subhanahuwata'ala dan diredai-Nya. Marilah kita bersama-sama menjadi sahabat yang mengingatkan, bukan sekadar menghiburkan; yang saling menasihati, bukan yang saling menjatuhkan atau menghakimi.
Mudah-mudahan, setiap persahabatan yang kita jalin di dunia ini menjadi persahabatan yang kekal abadi. Semoga Allah Subhanahu wata'ala menjadikan kita dalam kalangan orang yang bersahabat atas dasar takwa, saling menguatkan dalam kebaikan dan mendapatkan keredaan Ilahi. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Justeru itu, kita hendaklah berhati-hati dalam memilih sahabat kerana dengan pilihan itu berkemungkinan menjadi asbab yang menentukan tempat pengakhiran kita di hari perhitungan kelak.
Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam mengajarkan kepada kita sebuah doa agar terhindar dari teman yang jahat dan pengkhianat.
Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:
اَللَّهُـمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُبِكَ مِنْ يَوْمِ السُّوْءِ، وَمِنْ لَيْلَةِ السُّوْءِ، وَمِنْ سَاعَةِ السُّوْءِ، وَمِنْ صَاحِبِ السُّوْءِ، وَمِنْ جَارِ السُّوْءِ فِيْ دَارِ الْـمُقَامَةِ
Maksudnya:“Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari hari yang buruk, malam yang buruk, waktu yang buruk, teman yang jahat dan tetangga yang jahat di tempat tinggal tetapku”. Riwayat At-Thabrani dalam al-Kabir-nya (14227) dengan isnad yang sahih.
No comments:
Post a Comment