Thursday, January 29, 2026

Bahaya Ajaran Sesat

Bahaya Ajaran Sesat

Kemunculan ajaran sesat ini bukan sesuatu fenomena yang baharu. Bahkan ia telah wujud sejak dahulu lagi zaman berzaman sehingga hari ini. Antara doktrin-doktrin biasa yang digunakan oleh ajaran-ajaran sesat ini adalah seperti mendakwa dirinya sebagai tuhan atau wakil tuhan, nabi atau pengganti kepada nabi, dan juga mendakwa diri sebagai Imam al-Mahdi. Hal ini bukanlah suatu perkara yang baharu timbul kebelakangan ini, bahkan telah banyak ajaran-ajaran sesat lain yang mendahuluinya. Hal ini dapat dilihat daripada golongan umat terdahulu yang menjadikan pendeta-pendeta mereka sebagai tuhan yang disembah selain daripada Allah Subhanahuwata'ala. Firman Allah Subhanahuwata'ala,

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَٰهًا وَاحِدًا ۖ لَّا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۚ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ

Maksudnya: Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai sembahan-sembahan selain dari Allah Subhanahuwata'ala dan juga (mereka mempertuhankan) al-Masih Ibn Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan''. Surah al-Taubah ayat 31

Pada hari ini, umat Islam berhadapan dengan pelbagai bentuk cabaran akidah yang kompleks. Ajaran sesat bukan sahaja merosakkan iman individu, malah menggugat perpaduan ummah dan kestabilan masyarakat. Ia sering disebarkan secara licik, menyamar atas nama agama dan mengguna pakai istilah-istilah Islam, tetapi memesongkan makna sebenar syariat. Lebih membimbangkan, media sosial kini dijadikan saluran utama penyebarannya. Firman Allah Subhanahuwata’ala dalam Surah al-An'am ayat 153,

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang lurus. Maka, hendaklah kamu menurutinya dan janganlah kamu menuruti jalan-jalan (yang lain daripada Islam) kerana jalan-jalan (yang lain itu) memisahkan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itulah Allah memerintahkan kamu supaya kamu bertakwa.

Bahkan pada zaman Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dan para Khulafa al-Rasyidin sendiri pun telah timbul ajaran-ajaran sesat. Tiga daripadanya adalah daripada zaman Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam iaitu al-Aswad al-Unsi, Musaylamah al-Kazzab dan Tulayhah Ibn Khuwaylid. Manakala, pada zaman khilafah Saidina Abu Bakar al-Siddiq RAnhu, terdapat tujuh individu yang mengaku sebagai nabi iaitu ‘Uyainah bin Hassan, Qurrah Ibn Salamah al-Qushayry, al-Fuja’ah bin Abd al-Yalil, Malik Bin Nuwayrah, Sajah Binti Mundzir, al-Ash’ath Bin Qays dan al-Hatam bin Zayd. Manakala Jabalah Ibn al-Ayham adalah individu kesebelas yang mengaku sebagai nabi pada zaman khilafah Saidina Umar al-Khattab. Lihat Wan Haslan Khairuddin. 2022. “Kerangka Kajian Ajaran Sesat Menurut Ahli Sunah Waljamaah

Pada hari ini, umat Islam berhadapan dengan pelbagai bentuk cabaran akidah yang kompleks. Ajaran sesat bukan sahaja merosakkan iman individu, malah menggugat perpaduan ummah dan kestabilan masyarakat. Ia sering disebarkan secara licik, menyamar atas nama agama dan mengguna pakai istilah-istilah Islam, tetapi memesongkan makna sebenar syariat. Lebih membimbangkan, media sosial kini dijadikan saluran utama penyebarannya.Oleh yang demikian, tidak menghairankan jika ajaran-ajaran sesat timbul di zaman kita, apatah lagi dalam situasi kejahilan dan pengaruh keduniaan yang berleluasa pada hari ini. 

Walau bagaimanapun, kita harus berpegang kepada panduan yang telah diberikan dan ditinggal untuk kita iaitu al-Quran dan Sunnah, serta dituntut untuk kembali kepada kedua-duanya apabila terdapat perselisihan dalam agama. Hal ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata’ala,

وَمَا اخْتَلَفْتُمْ فِيهِ مِن شَيْءٍ فَحُكْمُهُ إِلَى اللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمُ اللَّهُ رَبِّي عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

Maksudnya: Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): "Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan). Surah al-Syura ayat 10

Begitu juga hadith Nabi Sallallahu'alaihiwasallam yang memerintahkan kita agar tetap bersama kebenaran dan al-sawad al-a’zham iaitu majoriti umat Islam yang berada di atas jalan Ahli Sunnah Waljamaah. Sabda Baginda Sallallahu'alaihiwasallam,

فإن بني إسرائيل افترقوا على إحدى وسبعين فرقةً، والنصارى على اثنتين وسبعين فرقةً، وإن أمتي ستفترقُ على ثلاثٍ وسبعين فرقةً، كلُّها على الضلالة، إلا السواد الأعظم. قالوا : يا رسول الله ، ما السواد الأعظم؟ قال : من كان على ما أنا عليه وأصحابي.

Maksudnya: Sesungguhnya golongan Bani Israel berpecah kepada 71 golongan dan golongan Nasarani berpecah kepada 72 golongan, manakala umatku akan berpecah kepada 73 golongan, semua golongan berada dalam kesesatan kecuali al-sawad al-a’zham. Para sahabat bertanya, siapakah golongan al-sawad al-a’zham itu? Rasulullah SAW bersabda: Golongan yang berada di atas jalanku dan para sahabatku''. Riwayat al-Thabrani (7659)

Selain itu, hadith Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam yang menunjukkan bahawa keperluan untuk bersama dengan al-jama’ah, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

عَلَيْكُمْ بِالجَمَاعَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالفُرْقَةَ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الوَاحِدِ وَهُوَ مِنَ الِاثْنَيْنِ أَبْعَدُ، مَنْ أَرَادَ بُحْبُوحَةَ الجَنَّةِ فَلْيَلْزَمُ الجَمَاعَةَ

Maksudnya: Hendaklah kalian tetap bersama al-jama’ah dan jangan sesekali kalian berpecah-belah. Ini kerana sesungguhnya syaitan bersama dengan orang yang suka menyendiri dan jika berdua maka syaitan akan bertambah jauh. Sesiapa yang ingin berada di tempat di tengah-tengah Syurga (tempat yang terbaik), maka hendaklah dia melazimi al-jama’ah''. Riwayat al-Tirmidzi (2165)

Oleh yang demikian, kita haruslah berwaspada dengan kelompok-kelompok kecil yang membawa dakwaan-dakwaan yang bertentangan dengan ajaran Islam yang dipegang oleh majoriti umat Islam di dunia pada hari ini, yang berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Waljamaah.

Menurut data daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terdapat 80 ciri ajaran sesat yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut Akidah, Syariah dan Akhlak antaranya :

1-Mendakwa sebagai Tuhan;

2-Mendakwa sebagai nabi atau rasul;

3-Mendakwa selain Allah Subhanahuwata'ala (makhluk) juga mampu mendatangkan sesuatu (manfaat dan mudarat).

4-Mendakwa solat atau apa-apa amalan yang disyariatkan memadai dengan niat.

5-Mendakwa fardhu haji boleh juga ditunaikan selain di Mekah.

6-Mendakwa tidak perlu mengikut syariat sekiranya tasawwuf telah sempurna.

7-Mendakwa sebagai Imam Mahdi.

Mengenali ajaran sesat membolehkan kita mengenal pasti ancaman terhadap akidah dan memelihara perpaduan masyarakat. Ia juga mencetus kesedaran untuk berdakwah, memberi nasihat serta melaporkan kegiatan sesat kepada pihak berkuasa demi keharmonian umat.

Menjaga kesucian akidah adalah tanggungjawab bersama. Ibu bapa, pendidik, dan pemimpin masyarakat mesti berganding bahu untuk memastikan hanya ajaran yang sahih menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah disampaikan kepada masyarakat.  

Daripada Irbadh bin Sariyah radiallahu anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

قَالَا أَتَيْنَا الْعِرْبَاضَ بْنَ سَارِيَةَ وَهُوَ مِمَّنْ نَزَلَ فِيهِ { وَلَا عَلَى الَّذِينَ إِذَا مَا أَتَوْكَ لِتَحْمِلَهُمْ قُلْتَ لَا أَجِدُ مَا أَحْمِلُكُمْ عَلَيْهِ } فَسَلَّمْنَا وَقُلْنَا أَتَيْنَاكَ زَائِرِينَ وَعَائِدِينَ وَمُقْتَبِسِينَ فَقَالَ الْعِرْبَاضُ صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ ثُمَّ أَقْبَلَ عَلَيْنَا فَوَعَظَنَا مَوْعِظَةً بَلِيغَةً ذَرَفَتْ مِنْهَا الْعُيُونُ وَوَجِلَتْ مِنْهَا الْقُلُوبُ فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ كَأَنَّ هَذِهِ مَوْعِظَةُ مُوَدِّعٍ فَمَاذَا تَعْهَدُ إِلَيْنَا فَقَالَ أُوصِيكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ.

Maksudnya:''Kami pernah mendatangi Irbadh bin Sariyah, sementara ia adalah termasuk seseorang yang turun kepadanya ayat: "(Dan tiada (pula dosa) atas orang-orang yang apabila mereka datang kepadamu, supaya kami memberi mereka kendaraan, lalu kamu berkata, "Aku tidak memperoleh kendaraan yang dapat membawa kalian)" -QS. At-Taubah: 92- Kami ucapkan salam kepadanya seraya berkata, "Kami mendatangimu untuk berkunjung, duduk-duduk mendengar sesuatu yang berharga darimu." Irbadh pun berkata: "Suatu ketika Rasulullah ﷺ pernah salat bersama kami, beliau lantas menghadap ke arah kami dan memberikan sebuah nasihat yang sangat menyentuh, yang membuat mata menangis dan hati bergetar. Lalu ada seseorang berkata: 'Wahai Rasulullah, seakan-akan ini adalah nasihat perpisahan! Lantas apa yang engkau wasiatkan kepada kami?" Beliau bersabda: "Aku wasiatkan kepada kalian untuk bertakwa kepada Allah dan senantiasa untuk taat dan mendengar meskipun yang memerintah adalah seorang budak Habasyah yang hitam. Sesungguhnya orang-orang yang hidup setelahku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka, hendaklah kalian berpegang teguh dengan sunahku, dan sunah para Khalifah. Berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah dengan gigi geraham. Jauhilah oleh kalian perkara-perkara baru (dalam urusan agama), sebab setiap perkara yang baru adalah bid 'ah, dan setiap bid 'ah adalah sesat''. Riwayat Abu Daud (3991)

Ajaran-ajaran sesat ini amat jelas bertentangan dengan agama Islam. Ia merupakan sinkritisme yang mencampur-adukkan fahaman daripada aliran pemikiran dan agama yang pelbagai sehingga mewujudkan satu bentuk agama baharu. Hubungan dan kaitan kepercayaan kepada fahaman yang sesat seperti dakwaan palsu tentang Imam al-Mahdi, pegangannya yang sama dengan fahaman Syiah Ithna ‘Asyriyyah (Syiah Imam dua belas), sokongan terhadap gerakan LGBT serta penyelewengan-penyelewengan yang lain menunjukkan betapa terpesong dan jauhnya mereka daripada ajaran Islam yang sebenar.

Dalam perkara seperti ini, kita harus merujuk kepada para alim ulama dan mendapatkan panduan mereka dalam menjawab kekeliruan-kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh mereka. Hal ini disebutkan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bahawa apabila ulama telah tiada, maka orang ramai akan melantik pemimpin mereka daripada kalangan orang yang jahil, lalu mereka menjadi sesat dan menyesatkan orang lain. Sabda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam,

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوْسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah Subhanahuwata’ala tidak mengangkat ilmu dengan cara menarik sekaligus ilmu tersebut daripada hamba-hamba-Nya. Namun, Allah Subhanahuwata’ala mengangkat ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi jawapan tanpa berpandukan ilmu. Golongan mereka itu sesat lagi menyesatkan''. Riwayat al-Bukhari (100) dan Muslim (2673)

Seseorang muslim yang mempunyai keimanan yang kuat dan pengetahuan agama yang cukup sudah tentu tidak akan terpedaya dengan dakyah dan dakwaan palsu ajaran tersebut. Namun begitu, kita tetap harus berwaspada agar tidak ditipu dan dikelirukan dengan cara mereka memanipulasikan ayat-ayat suci al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dengan kefahaman yang sengaja diselewengkan bagi membenarkan dakwaan mereka. Sebaliknya kita kembali kepada kefahaman yang sebenar seperti yang dijelaskan oleh para ulama.

Thursday, January 22, 2026

Sya'ban Gerbang Ramadhan

Sya'ban Gerbang Ramadhan

Memasuki bulan Sya'ban bermakna kita telah berada di gerbang Ramadhan ini bermakna hampir sebulan lagi kita akan menyambut bulan suci tersebut. Oleh sebab itu, menghargai keutamaan bulan yang mulia ini dengan menjadikannya sebagai titik tolak peningkatan amalan kita berbanding bulan-bulan sebelum ini.

Bulan Sya'ban bukan sekadar masa peralihan antara bulan Rejab dan Ramadan, tetapi juga waktu terbaik bagi kita membuat persediaan, jasmani dan rohani, bagi menghidupkan bulan Ramadhan al-Mubarak yang akan tiba. Allah Subhanahuwata'ala mengingatkan kita supaya bersegera dan tidak berlengah untuk melakukan amal ibadah. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam Surah al-Hasyr ayat 18,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Maksudnya:''Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan''.

Hendaklah kita bersyukur kepada Allah Subhanahuwata'ala yang telah memberikan kita berbagai kenikmatan yang tiada ternilai. Hendaklah kita mempergunakannya dalam ibadah kepada Allah Subhanahuwata'ala, dalam mentaati Allah Subhanahuwata'ala dan Rasul-Nya. Marilah kita memunafaatkan masa sihat kita untuk menghimpun bekal dikala kita tidak mampu lagi menghimpun bekal. Marilah kita manfaatkan waktu luang kita sebelum datang masa sempit kepada kita; masa muda kita sebelum datang masa tua; dan mari kita memanfaatkan masa hidup kita sebelum malaikat pencabut nyawa datang.

Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam juga sentiasa mendorong kita agar mengambil kesempatan daripada peluang yang ada sekarang, tanpa berlengah-lengah, dan tidak menunggu hari esok untuk melakukan amal ibadah dan kebaikan. 

Dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Sallallah‘alaihiwasallam pernah menasihati seseorang,

اِغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ : شَبَابَكَ قَبْلَ هَرَمِكَ وَ صِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ وَ غِنَاكَ قَبْلَ فَقْرِكَ وَفَرَاغَكَ قَبْلَ شَغْلِكَ وَ حَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ

Maksudnya: "Manfaatkanlah/sebutkanlah lima perkara sebelum lima perkara; Waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu.Waktu sehatmu sebelum datang waktu sakitmu.Masa kayamu sebelum datang masa kefakiranmu.Masa luangmu sebelum datang masa sibukmu.Hidupmu sebelum datang matimu".

Al-Hakim dalam Al Mustadroknya 4: 341. Al Hakim mengatakan bahwa hadith ini sahih sesuai syarat Bukhari Muslim namun keduanya tidak mengeluarkannya. Dikatakan oleh Adz Dzahabiy dalam At Talkhish berdasarkan syarat Bukhari-Muslim.

Dahulu para salafus soleh berdoa memohon kepada Allah Subhanahuwata'ala selama enam bulan agar dipertemukan dengan bulan Ramadhan. Kemudian, bila Ramadhan telah berlalu, mereka kembali memohon kepada Allah Subhanahuwata'ala supaya amalan mereka pada bulan tersebut diterima oleh Allah Subhanahuwata'ala.

Antara doa mereka ialah,

اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا

Maksudnya: “Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadhan, sejahterakanlah Ramadhan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu).”

Diriwayatkan oleh al-Tabarani di dalam al-Du’a (913) dan Abu Nu’aim al-Asbahani di dalam Hilyah al-Auliya’ (3/69)

Hendaklah kita memohon kepada Allah Subhanahuwata'ala agar kita dipertemukan dengan bulan Ramadhan. Jika Ramadhan telah tiba, maka hendaklah kita menyambutnya dengan niat yang benar dan tekad membaja untuk melaksanakan ibadah puasa dan solat malam di dalamnya. Kerana ini adalah kesempatan emas yang belum tentu akan terulang. Berapa ramai kaum Muslim yang memiliki peluang besar untuk meraih kebaikan, mereka berangan-angan dan berharap dipertemukan dengan bulan Ramadhan supaya dapat beribadah pada bulan tersebut, namun sebaliknya, sebelum harapannya terwujud kematian telah mendahuluinya.

Anas bin Malik RA berkata: “Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam berdoa sebaik sahaja datangnya bulan Rejab.”

اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ لَنَا فِي رَمَضَانَ

Maksudnya: “Ya Allah berkatilah bagi kami pada bulan Rejab dan Sya’ban serta berkatilah kami juga pada bulan Ramadhan" Riwayat Ahmad di dalam Musnadnya (2346)

Daripada Talhah bin Ubaidillah RA, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam berdoa apabila melihat anak bulan Ramadhan.

اللهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيمَانِ، وَالسَّلامَةِ وَالْإِسْلامِ، رَبِّي وَرَبُّكَ اللهُ

Maksudnya: “Ya Allah, naungilah kami dengan keamanan dan keimanan serta keberkatan, keselamatan dan kesejahteraan. Tuhanku dan tuhanmu adalah Allah.”

Riwayat Ahmad di dalam Musnadnya (1397). Syeikh Ahmad Syakir mengatakan isnadnya hasan manakala Syeikh Syu’aib al-Arnaut mengatakan hadith ini hasan dengan syawahid yang lain.

Antara langkah baik yang boleh kita pertimbangkan bagi memanfaatkan bulan Sya'ban sebagai persediaan menyambut bulan Ramadan ialah:

Pertama: 

Manfaatkan bulan Syaaban ini untuk mempertingkatkan amalan, seperti membaca al-Quran, berpuasa sunat, berzikir, memperbanyakkan solat sunat dan bersedekah. 

Semua amalan tadi adalah antara amalan yang digalakkan untuk kita memperbanyakkanuntuk melakukannya pada bulan Ramadhan nanti. 

Para ulama silam menganggap bulan Sya'ban sebagai bulan persiapan ahli al-Quran. Mereka akan mula memperbanyakkanbacaan al-Quran di bulan Syaaban, supaya terbiasa dan lebih mudah diamalkan dan dipertingkatkan pada bulan Ramadhan.

Begitu juga dengan anjuran berpuasa sunat pada bulan Sya'ban adalah sebagai latihan agar kita tidak merasa lemah ketika berdepan dengan cabaran rohani dan jasmani pada bulan Ramadhan nanti. Ini juga merupakan satu cara kita melatih diri, supaya lebih bersedia mencurahkan segenap usaha dan tumpuan beramal di bulan Ramadhan nanti, agar kemanisannya lebih terasa di dalam jiwa. Ini sesuai dengan anjuran Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, supaya bulan Sya'ban tidak kita lalaikan.

Daripada Usamah bin Zaid radiallahu anhu, beliau berkata: "Wahai Rasulullah (Sallallahu'alaihiwasallam). Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan sebagaimana engkau berpuasa di dalam bulan Syaa'ban. Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

قَالَ : "ذلِكَ شَهْرٌ يَغفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ ، وَهُوَ شَهْرٌ تُرفَعُ فِيْهِ الأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ العَالَمِيْنَ ، فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عمَلِيْ وأَنَا صَائِمٌ".

Maksudnya: “Itu adalah bulan yang mana manusia sering lalai akannya iaitu bulan yang berada di antara Rejab dan Ramadhan. Bulan tersebut adalah bulan bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Rabb al-‘Alamin (Allah Subhanahuwata'ala), maka aku suka ketika amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa”. Riwayat Al-Nasa’ie (2317)

Hadith daripada Aisyah RA, beliau berkata:

كانَ رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ يصومُ حتَّى نقولَ لا يُفطِرُ ويُفطِرُ حتَّى نقولَ لا يصومُ وما رأيتُ رسولَ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ استَكملَ صيامَ شَهرٍ قطُّ إلَّا رمضانَ وما رأيتُه في شَهرٍ أكثرَ صيامًا منهُ في شعبانَ

Maksudnya: “Baginda Sallallahu'alaihiwasallam biasanya berpuasa sehingga kami katakan bahawa baginda tidak akan berbuka (berpuasa terus). Dan baginda Sallallahu'alaihiwasallam apabila berbuka sehingga kami katakan bahawa beliau akan terus berbuka (tidak berpuasa terus). Dan aku tidak melihat baginda Sallallahu'alaihiwasallam menyempurnakan puasanya sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda Sallallahu'alaihiwasallam berpuasa (puasa sunat) dalam sebulan yang lebih banyak melainkan ketika baginda Sallallahu'alaihiwasallam berpuasa pada bulan Sya’ban''. Riwayat al-Bukhari (1833) dan Muslim (1956)

Kedua : 

Cari peluang untuk beramal pada waktu-waktu yang dilupakan manusia. 

Contohnya, di sepertiga malam yang terakhir, antara solat Maghrib dan Isyak, dan juga di bulan Sya'ban ini. 

Inilah merupakan antara sebab mengapa Qiyamullail, iaitu beribadah di tengah malam ketika manusia lena dalam tidurnya, amat disukai oleh Allah Subhanahuwata'ala dan rasul-Nya Sallallahu'alaihiwasallam.

Daripada Amru bin 'Abasah radiallahu anhu, bahawa beliau telah mendengar Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

 أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الرَّبُّ مِنْ الْعَبْدِ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ الْآخِرِ فَإِنْ اسْتَطَعْتَ أَنْ تَكُونَ مِمَّنْ يَذْكُرُ اللَّهَ فِي تِلْكَ السَّاعَةِ فَكُنْ

Maksudnya:"Waktu yang paling dekat antara Rabb dengan seorang hamba adalah pada tengah malam terakhir, maka apabila kamu mampu menjadi golongan orang-orang yang berzikir kepada Allah (salat) pada waktu itu. lakukanlah''. Riwayat Tirmizi (3503)

Gunakanlah nikmat usia yang kita miliki sekarang ini dengan sebaiknya. Rebutlah setiap peluang untuk menambah bekalan akhirat. Usah berlengah dalam melakukan kebaikan. Bangkitlah daripada kelalaian dan kealpaan. Carilah rahmat dan keredaan Tuhan. Semoga Allah Subhanahuwata'ala memberkati kita semua di bulan Sya'ban, dan mempertemukan kita dengan bulan Ramadhan.

Wednesday, January 14, 2026

Sahabat hingga ke Syurga

Sahabat hingga ke Syurga

Memilih sahabat atau kawan memang perlu berhati-hati. Salah memilih kawan dalam pergaulan boleh menjerumaskan kita pada maksiat dan dosa.

Allah Subhanahuwata'ala menyuruh Nabi Sallallahu'alaihiwasallam untuk memilih kawan dan begitu juga Nabi Sallallahu'alaihiwasallam menyuruh umatnya agar memilih kawan. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-kahfi ayat 28,

وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ ۖ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَنْ ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا

Maksudnya:"Dan bersabarlah ( jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat) kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan petang hari dengan mengharap keredhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas". Surah Al-Kahfi ayat 28.

Dengan siapakah kita bersahabat? Tahukah kita, siapakah yang layak dijadikan sahabat? Mungkin ada yang terbayang raut wajah rakan sekerja, atau teman persekolahan, mahupun mereka yang berkongsi minat yang sama, dan begitulah seterusnya.

Tahukah kita bahawa ada segolongan manusia yang bersahabat di dunia, tetapi mereka akan bermusuhan di hari akhirat kelak? Seolah-olah mereka merasa kesal bersahabat dengannya. Marilah kita dengar bersama-sama firman Allah Subhanahuwata'ala dalam Surah az-Zukhruf ayat 67,

الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا الْمُتَّقِينَ

Maksudnya:''Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa''.

Ternyata, soal bersahabat yang kadangkala kita anggap remeh mempunyai kesan yang mendalam dalam kehidupan seorang muslim. Dalam erti kata lain, sahabat yang baik adalah sahabat yang mementingkan ketakwaan dan kebaikan; yang suka berbuat baik dan sering mendorong kita ke arah yang sama.

Daripada Abu Hurairah radiallahu anhu bahawa Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam pernah bersabda,

الْمَرْءُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ، فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُُخَالِلْ

Maksudnya: ''Pegangan agama seseorang itu mengikut pegangan agama sahabatnya, maka hendaklah seseorang daripada kamu melihat dengan siapakah dia bersahabat''. Riwayat Ahmad(8417)

Hadith di atas ini menekankan betapa pentingnya memilih sahabat yang baik kerana mereka memberi pengaruh besar terhadap keperibadian, akhlak, dan amalan agama kita, sama ada ke arah kebaikan atau keburukan. 

Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam memperlihatkan kaitan yang jelas antara persahabatan dan perihal agama seseorang. Persahabatan dan persekitaran sosial kita boleh mempengaruhi pengamalan agama dan cara kehidupan kita.

Mencari sahabat janganlah berdasarkan kepentingan sementara seperti maslahat di dunia, tetapi carilah demi kemaslahatan bersama yang abadi iaitu maslahat dan manfaat di akhirat. Nabi Sallallahu'alaihiwasallam menyuruh kita mencari sahabat yang baik bukan semata untuk manfaat semasa di dunia sahaja akan tetapi demi manfaat yang abadi di akhirat kelak. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Musa Al-Asy’ari R.A beliau berkata bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

مَثَلُ الجَلِيسِ الصّالِحِ والجَلِيسِ السَّوْءِ، كَمَثَلِ صاحِبِ المِسْكِ وكِيرِ الحَدّادِ لا يَعْدَمُكَ مِن صاحِبِ المِسْكِ إمّا تَشْتََرِيهِ أوْ تََجِدُ رِيحَهُ، وكِيرُ الحَدّادِ يُُحْرِقُ بَدَنَكَ أوْ ثَوْبَكَ، أوْ تََجِدُ منه رِيحًا خَبِيثَةً

Maksudnya: ''Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti penjual haruman kasturi dan tukang besi. Engkau tidak akan dapati daripada pemilik kasturi melainkan membeli wangiannya atau dapat mencium harumannya. Tukang besi pula percikan apinya terkena tubuhmu, pakaianmu atau engkau menghidu bau busuk daripadanya''. Riwayat Bukhari(2101)

Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam syarahan beliau ke atas hadith ini berkata :

وَفِي الْحَدِيثِ النَّهْيُ عَنْ مُجَالَسَةِ مَنْ يُتَأَذَّى بِمُجَالَسَتِهِ فِي الدِّينِ وَالدُّنْيَا وَالتَّرْغِيبُ فِي مُجَالَسَةِ مِنْ يُنْتَفَعُ بِمُجَالَسَتِهِ فِيهِمَا

Maksudnya : Pada hadith ini terdapatnya larangan bermajlis dengan mereka yang memberi gangguan (atau menyakiti) menerusi majlis bersamanya sama ada gangguan itu pada agama atau pada dunia seseorang. Begitu juga (hadith ini) menganjurkan supaya duduk bersama dengan mereka yang kita mendapat manfaat dari mereka dalam urusan agama dan juga urusan dunia. [Rujuk Fath al-Bari, Ibn Hajar (4/324)]

Sementara itu Iman Syafie berkata, ''Jika engkau punya sahabat yang selalu membantumu dalam dalam mentaati Allah Subhanahuwata'ala, maka engkau peganglah dia erat-erat, jangan sekali-kali engkau lepaskan dia. Kerana mencari sahabat baik itu susah, tetapi melepasnya sangat mudah sekali''.

Tambahan lagi, para ulama juga ada berpesan kepada kita agar banyakkan bersahabat dengan orang-orang baik, mudah-mudahan mereka dapat mengingatkan kita kepada Allah Subhanahuwata'ala dan seterusnya membantu kita kelak di hari Akhirat. Antaranya seperti pesan al- Hasan al-Basri yang menasihatkan: ''Perbanyaklah sahabat-sahabatmu dalam kalangan orang-orang yang beriman kerana mereka memiliki syafaat pada hari Kiamat''. (Lihat Tafsir Baghawi, 3/473)

Memilih sahabat atau teman yang baik adalah sesuatu yang tidak boleh dianggap remeh. Kerana itu, Islam mengajarkan kita agar tidak salah dalam memilihnya. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda ,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ

Maksudnya:''Dari Abu Hurairah berkata, Rasulullah ﷺ bersabda, "Seseorang itu akan mengikuti agama temannya, kerananya hendaklah salah seorang diantara kalian mencermati kepada siapa ia berteman". Riwayat Tirmizi 2300.

Sudah dapat dipastikan, bahawa seorang teman memiliki pengaruh yang sangat besar terhadap temannya. Teman boleh mempengaruhi agama, pandangan hidup, kebiasaan dan sifat-sifat seseorang itu. 

Sifat manusia adalah cepat terpengaruh dengan teman pergaulannya. Malah manusia boleh terpengaruh bahkan dengan seekor binatang ternak yang menjadi teman hariannya. 

Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda :

 الْفَخْرُ وَالْخُيَلاَءُ فِي الْفَدَّادِينَ أَهْلِ الْوَبَرِ وَالسَّكِينَةُ فِي أَهْلِ الْغَنَمِ 

Maksudnya:"Kesombongan dan keangkuhan terdapat pada orang-orang yang meninggikan suara di kalangan pengembala unta. Dan ketenangan terdapat pada pengembala kambing". Riwayat Bukhari (3499) dan Muslim (187)

Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam mengkhabarkan bahawa pegembala unta akan berpengaruh serta timbulnya kesombongan dan keangkuhan dan mengembalakan kambing berpengaruh serta timbulnya sifat ketenangan. 

Jika dengan haiwan saja, makhluk yang tidak mempunyai akal dan kita tidak tahu apa maksud dari suara yang dikeluarkannya, namun manusia boleh terpengaruh dengan haiwan-haiwan tersebut yang menjadi teman hariannya.

Maka bagaimana pula dengan orang yang boleh berbicara dengan anda, faham perkataan anda, bahkan terkadang membohongi dan mengajak anda untuk memenuhi hawa nafsunya serta memperdayai anda dengan syahwat? Bukankan orang itu akan lebih berpengaruh?

Sebenarnya, sangat mudah mengetahui bagaimana cerminan diri anda. Cukup dengan melihat bersama siapa saja anda sering bergaul, seperti itulah cerminan diri Anda. Kenyataan ini telah dipaparkan oleh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda :

 الْمُؤْمِنُ مِرْآةُ أخيهالْمُؤْمِنِ 

Maksudnya:"Seorang mukmin cerminan dari saudaranya yang mukmin". Riwayat Bukhari ( 239) dan Abu Daud (4918)

Kalau seorang biasa berkumpul dengan seseorang yang hobinya berjudi, hisap dadah, berzina maka kurang lebih dia seperti itu juga. Begitu pula sebaliknya, kalau dia biasa berkumpul dengan orang yang rajin solat berjamaah, maka kurang lebih dia seperti itu.

Terdapat tiga perkara penting dalam bersahabat menurut neraca Islam:

Pertama: Mengenal pasti pengaruh baik dan buruk.

Kita perlu bertanya kepada diri sendiri: Adakah individu itu mendekatkan kita kepada Allah Subhanahuwata'ala, atau menjauhkan kita daripada-Nya? Soalan ini sesuai ditanya oleh segenap lapisan usia, baik yang muda mahupun yang lebih dewasa.

Pada hari ini, persahabatan juga terjalin di alam maya seperti di wadah-wadah media sosial dan kumpulan komunikasi dalam talian, yang datang bersamanya pengaruh yang tersendiri. Kita hendaklah menjauhi pengaruh yang berbaur dosa seperti menyebarkan gosip atau berita yang tidak sahih, atau memandang remeh pada perbuatan dosa.

Sebaliknya, apabila kita mengenalpasti dan mendekati pengaruh yang baik, kita akan turut terbentuk dengannya. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam menyamakan sahabat yang baik seperti penjual minyak wangi yang kita pasti akan turut mengecap haruman kebaikannya.

Kedua: Menjadi contoh persahabatan yang soleh dalam kehidupan.

Kita juga perlu bertanya pada diri sendiri dengan penuh keinsafan,"Adakah kita telah berperanan menjadi sahabat yang mempunyai pengaruh ke arah kebaikan dengan mengajak rakan-rakan menjadi insan yang soleh? Atau sebaliknya, menjadi sebab sahabat-sahabat terjerumus ke kancah maksiat?

Sebagaimana kita ingin terdedah kepada pengaruh yang baik, kita juga sewajarnya menjadi pemangkin aura positif dalam persahabatan. Marilah bersama kita menjadi individu yang membantu menguatkan iman sahabatnya, menerusi akhlak mulia, berlapang dada, bersikap empati, mendengar tanpa menghukum dan memberi sokongan ketika sahabat kita diuji dan memerlukan pertolongan. Kita menegur dengan penuh hikmah dan kasih sayang. Kita bukan sekadar menjadi teman berbual dan bergurau senda, tetapi juga teman yang bersama mendorong, menuju ke syurga.

Ketiga: Sertailah persekitaran yang menyuburkan persahabatan yang soleh.

Kita juga mesti mencari peluang untuk menjalin persahabatan yang soleh iaitu pertalian yang membina kerohanian mukmin, sama ada menerusi amal ibadah, atau kuliah-kuliah agama dan seumpamanya. 

Persahabatan seperti ini merangkumi juga saling mengingatkan akan tanggungjawab sosial seperti aktiviti kebajikan atau kerja-kerja sukarela dalam masyarakat dan lain-lain.

Apabila kita dikelilingi sahabat yang ikhlas dan bersama-sama berusaha ke arah kebaikan, pastinya kita akan lebih mudah beristiqamah dalam amalan soleh. Begitu juga, sekiranya ada antara sahabat kita yang pernah melakukan kesilapan dan mula menunjukkan tanda-tanda untuk berubah ke arah kebaikan, maka bantulah dan sokonglah mereka. Pimpinlah mereka menuju rahmat Allah Subhanahuwata'ala dengan penuh hikmah. Imam Muslim rahimahullah meriwayatkan daripada Abu Hurairah radiallahu anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihi wasallam bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا

Maksudnya:''Dari Abu Hurairah, bahwasanya Rasulullah ﷺ bersabda: "Barang siapa yang mengajak kepada kebaikan, maka ia akan mendapatkan pahala sebanyak pahala yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Sebaliknya, barang siapa yang mengajak kepada kesesatan, maka ia akan mendapatkan dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun''. Riwayat Muslim(2674)

Hadith-hadith di atas, jelas menunjukkan kepada kita akan ganjaran yang hebat akan diterima oleh seseorang yang telah menyeru manusia ke jalan hidayah dan pahala tersebut akan diperolehi selagimana orang yang diseru itu melakukan serta mengamalkannya. Sebaliknya, barang siapa yang mengajak kepada kesesatan maka ia akan mendapatkan dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun.

Persahabatan yang baik bukan sekadar menjalin hubungan persaudaraan dengan siapa yang kita suka, tetapi siapa yang membantu kita menjadi hamba yang disukai Allah Subhanahuwata'ala dan diredai-Nya. Marilah kita bersama-sama menjadi sahabat yang mengingatkan, bukan sekadar menghiburkan; yang saling menasihati, bukan yang saling menjatuhkan atau menghakimi.

Mudah-mudahan, setiap persahabatan yang kita jalin di dunia ini menjadi persahabatan yang kekal abadi. Semoga Allah Subhanahu wata'ala menjadikan kita dalam kalangan orang yang bersahabat atas dasar takwa, saling menguatkan dalam kebaikan dan mendapatkan keredaan Ilahi. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Justeru itu, kita hendaklah berhati-hati dalam memilih sahabat kerana dengan pilihan itu berkemungkinan menjadi asbab yang menentukan tempat pengakhiran kita di hari perhitungan kelak.

Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam mengajarkan kepada kita sebuah doa agar terhindar dari teman yang jahat dan pengkhianat.

Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:

اَللَّهُـمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُبِكَ مِنْ يَوْمِ السُّوْءِ، وَمِنْ لَيْلَةِ السُّوْءِ، وَمِنْ سَاعَةِ السُّوْءِ، وَمِنْ صَاحِبِ السُّوْءِ، وَمِنْ جَارِ السُّوْءِ فِيْ دَارِ الْـمُقَامَةِ

Maksudnya:“Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari hari yang buruk, malam yang buruk, waktu yang buruk, teman yang jahat dan tetangga yang jahat di tempat tinggal tetapku”. Riwayat At-Thabrani dalam al-Kabir-nya (14227) dengan isnad yang sahih.


Wednesday, January 7, 2026

Agama Islam Agama Kedamaian

Agama Islam Agama Kedamaian

Islam terbukti membawa kedamaian kerana perintah Allah yang banyak di dalam al-Quran menganjurkan kedamaian, larangan menumpahkan darah tanpa hak, tidak memaksa orang bukan Islam memeluk Islam setelah disampaikan mesej Islam kepada mereka bahkan Islam mengajar kita supaya berhikmah dalam berdakwah. Justeru, memelihara kedamaian adalah sebahagian daripada tujuan penciptaan manusia sebagaimana ajaran Islam. Allah Subhanahuwata’ala berfirman di dalam surah al-Anfal ayat 61,

وَإِنْ جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya:''Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui''.

Sesungguhnya Islam adalah agama yang mencintai kedamaian. Islam melarang umatnya melakukan kerosakan, kejahatan, kemungkaran, kekerasan, kezaliman dan sebagainya. Islam menolak apa jua gerakan pelampau yang menggunakan kekerasan, pembunuhan dan peperangan sehingga menggugat keamanan Negara mahupun dunia. Justeru, sebagai umat Islam yang cintakan keharmonian dan keamanan, janganlah kita terlalu mudah mengambil sebarang tindakan sebagai balasan terhadap 

perbuatan jahat orang bukan Islam yang kelak hanya akan mendatangkan kemudaratan. Ingatlah, perbuatan tersebut tidak akan dapat memberi apa-apa kebaikan, bahkan mengundang sikap benci, fitnah-menfitnah serta prasangka yang berpanjangan. Firman Allah subhanahu wa ta’ala di dalam surah Fussilat ayat 34,

وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ

Maksudnya:''Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia''.

Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam sebagaimana riwayat Imam Al-Bukhari daripada Abdullah bin Amru bin Al-Ass RadhiAllahu anhuma bersabda,

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Maksudnya : Seorang muslim itu adalah mereka yang membuatkan muslim yang lain selamat dari kejahatan lidahnya dan juga tangannya''. Riwayat Al-Bukhari (6484)

Imam Ibn Battal dalam syarahan beliau ke atas hadith ini berkata,

والمراد بهذا الحديث الحض على ترك أذى المسلمين باللسان واليد والأذى كله

Maksudnya : Yang dimaksudkan dengan hadith ini adalah tuntutan supaya meninggalkan perbuatan menyakiti umat Islam dengan lidah, tangan, dan juga semua yang menyakitkan''. Rujuk Syarah Sahih Al-Bukhari, Ibn Battal (1/62)

Kewujudan pelbagai agama, kaum dan bangsa tidak menjadi penghalang untuk kita hidup dengan aman dan harmoni. Pelbagai kaum dan bangsa serta keturunan dengan pegangan agama masing-masing dapat membentuk masyarakat yang saling bertolak ansur. Firman Allah Subhanuwata'ala di dalam surah al-Hujurat ayat 13,

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Maksudnya:''Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal''.

Islam sebagai agama yang membawa rahmat ke seluruh alam, amat mementingkan keadilan ditegakkan dan mengembalikan hak-hak golongan yang dizalimi serta teraniaya.Islam bersikap tegas dan menganggap perlakuan yang mencetuskan perbalahan dan persengketaan adalah suatu kesalahan yang besar kerana ia menyanggahi maqasid as-Syariah. 

Walaupun begitu ada hadith yang menjadi sasaran segelintir pihak sejak dahulu hingga sekarang dengan melemparkan tohmahan bahawa Islam merupakan agama ekstrem kerana mengajar penganutnya untuk memerangi umat agama lain hingga mereka memeluk Islam.

Imam al-Nawawi telah meletakkan hadith tersebut pada nombor kelapan dalam himpunan hadith beliau. Hadith yang berbunyi,

أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ وَيُقِيمُوا الصَّلاَةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلاَّ بِحَقِّ الإِسْلاَمِ وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللهِ

Maksudnya: Aku telah diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad utusan Allah, sehingga mereka mendirikan solat dan membayar zakat. Apabila mereka telah berbuat demikian, maka mereka telah memelihara darah mereka dan harta mereka daripada aku, melainkan dengan hak lslam, dan hisab perhitungan amal mereka terserah kepada Allah Subhanahuwata'ala. Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Pertamanya, perlu diambil perhatian bahawa memahami hadith bukanlah dengan hanya memahami maksudnya secara literal lalu disyarahkan mengikut logik akal semata-mata. Tetapi ia memerlukan kepada alat-alatnya seperti ilmu hadith, syarah hadith, sebab hadith diucapkan(asbab al-wurud), ilmu bahasa Arab, selain keperluan untuk dibaca bersekali dengan ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith lain yang berkaitan jihad.

Sebahagian pihak telah tersilap dalam memahami hadith ini dengan mengatakan bahawa hadith ini menjadi dalil kepada perintah untuk memerangi seluruh bukan Islam sehinggalah mereka mengucapkan dua kalimah syahadah. Pemahaman seperti ini akan membawa kepada pemikiran yang ekstrim dan radikal terhadap seseorang individu muslim, bahkan boleh mengundang kepada tindakan-tindakan yang mengakibatkan perpecahan serta pertumpahan darah antara orang Islam dan bukan Islam.

Apabila ditelusuri karya-karya para ulama terdahulu dan kontemporari, jelas bahawa maksud hadith tersebut tidak seperti yang disalah fahami oleh sebilangan pihak.

Imam Syarafuddin al-Tibi menjelaskan bahawa ‘al-nas’ dalam hadith merujuk kepada golongan penyembah berhala (‘abadah al-wathan). Namun bukan semua golongan ini perlu diperangi, kerana seperti golongan Ahli Kitab yang tidak boleh diperangi jika mereka bersetuju membayar jizyah, begitu juga golongan musyrikin yang tidak boleh diperangi jika mereka telah mematerai perjanjian damai dengan umat Islam:

‌أن ‌عبدة ‌الأوثان إذا وقعت المهادنة معهم تسقط عنهم المقاتلة (وتثبت العصمة

Maksudnya: ''Sesungguhnya jika termeterai suatu perjanjian damai (al-mudahanah) dengan golongan penyembah berhala, gugurlah kewajiban untuk memerangi mereka dan nyawa mereka terpelihara''. [Lihat; Syarafuddin al-Tibi, al-Kasyif ‘an Haqaiq al-Sunan (Syarah Misykat al-Masabih), jld. 2: hlm. 452]

Malah, Syeikh Muhammad al-Ghazali dalam bukunya ‘Ilal wa Adwiyah menggelar hadis ini sebagai “hadith mazlum” (hadith yang dizalimi) kerana ramai pihak yang salah faham dan menyebarkan kekeliruan tentangnya. Menurut beliau, hadis itu pada hakikatnya merujuk kepada keharusan untuk memerangi golongan musyrikin Arab yang disebabkan penentangan mereka terhadap agama Islam dan umatnya, serta perbuatan mereka yang tidak menghormati perjanjian damai yang telah dimaterai antara kedua-dua belah pihak.[Lihat; Muhammad al-Ghazali, ‘Ilal wa Adwiyah (t.tp.: Dar al-Syuruq, t.t.), hlm. 207-209]

Tohmahan bahawa hadith ini menggalakkan orang Islam memerangi semua golongan bukan Islam juga tertolak melalui firman Allah Subhanahuwata'ala yang menyeru umat Islam agar berbuat baik dengan golongan kafir yang tidak menunjukkan permusuhan terhadap Islam,

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ ‎﴿٨﴾‏ إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ‎﴿٩﴾

Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. Surah al-Mumtahinah ayat 8-9

Almarhum Syeikh Yusuf al-Qaradhawi pula tatkala memberi komentar terhadap penulisan Imam al-San‘ani berkata:

وقيل: المراد بالحديث: المحاربون، ولفظ "الناس" من العموم الذي يراد به الخصوص.

وهذا التأويل الذي ذكره في الأخير، هو الذي يترجح عندي، فلفظة "الناس" يقصد بها "المحاربون" الذي ذكرتهم سورة براءة في أوائلها، وأعلنت البراءة منهم، وهم الذين (لَا يَرْقُبُونَ فِي مُؤْمِنٍ إِلًّا وَلَا ذِمَّةً ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُعْتَدُونَ)

Maksudnya: ''Kata Imam al-San‘ani: Ada pandangan yang menyebut: Hadith itu merujuk kepada mereka yang memerangi umat Islam, dan lafaz ‘al-nas’ itu merupakan suatu lafaz umum dan yang dimaksudkan dengannya ialah makna khusus''.

(Kata Syeikh al-Qaradhawi) Pandangan terakhir yang disebut oleh al-San‘ani inilah yang paling rajih menurutku; justeru lafaz ‘al-nas’ itu bermaksud mereka yang memerangi Islam seperti yang dijelaskan dalam Surah al-Taubah (ayat ke-10): “Mereka tidak menghormati pertalian kerabat dan perjanjian terhadap orang-orang yang beriman, dan merekalah golongan yang melampaui batas''. [Lihat; Yusuf al-Qaradhawi, Fiqh al-Jihad yang dimuatkan dalam Mausu‘ah al-A‘mal al-Kamilah li Samahah al-Imam Yusuf al-Qaradhawi, Cetakan Pertama (t.tp.: al-Dar al-Syamiah, 2022), jld. 23: hlm

Bagi menjaga keharmonian dan perpaduan, perkara-perkara yang perlu difahami oleh setiap masyarakat ialah konsep ta’aruf iaitu saling berkenalan antara kaum dan etnik di negara ini, tafahum iaitu saling memahami dan ta’awun iaitu saling membantu sebagai tanda kasih sayang. Kita seharusnya berhati-hati dalam meneliti sebarang propaganda, prasangka atau berita yang diterima tentang sesuatu kaum, agama dan sebagainya. Jauhilah perkara-perkara yang mengundang perselisihan serta perbalahan dan serulah kepada perpaduan dan kedamaian. Ingatlah bahawa seorang Muslim itu ialah mereka yang menjaga tutur kata, lidah dan tangannya. 



 

Bahaya Ajaran Sesat

Bahaya Ajaran Sesat Kemunculan ajaran sesat ini bukan sesuatu fenomena yang baharu. Bahkan ia telah wujud sejak dahulu lagi zaman berzaman s...