Rejab Gerbang Ramadhan
Memasuki bulan Rejab bermakna kita telah berada di gerbang Ramadhan kerana hampir dua bulan lagi kita akan menyambut bulan suci tersebut. Oleh sebab itu, menghargai keutamaan bulan yang mulia ini dengan menjadikannya sebagai titik tolak peningkatan amalan kita berbanding bulan-bulan sebelum ini.
Pada masa yang sama, marilah kita bermuhasabah, menilai kembali kualiti iman dan kerohanian kita. Semoga dengan itu, kita dapat mengharungi hari-hari mendatang sebagai hamba Allah yang lebih baik khususnya dari sudut kerohanian.
Bulan Rejab termasuk dalam salah satu bulan Islam yang mempunyai keistimewaan kerana ia merupakan salah satu daripada bulan haram selain Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam Surah at-Taubah ayat 36,
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ
Maksudnya:"Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa''.
Al-Hafiz Ibnu Kathir di dalam tafsirnya telah menukilkan pendapat Ibn Abbas yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain.
[Tafsir Ibn Kathir, 4:130]
Imam Ibnu Jarir at-Tabari rahimahullah dalam kitab tafsirnya menukilkan kata-kata Ibnu Abbas radiallahu anhuma yang bermaksud: “Setiap kezaliman yang dilakukan dalam bulan haram, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain. Begitu juga,amal soleh yang dilakukan (dalam bulan-bulan haram) adalah lebihbesar (pahalanya) berbanding bulan-bulan yang lain''.
Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan bahawa; Bulan Rejab merupakan bulan mulia yang digandakan pahala bagi setiap amal soleh dan juga dosa yang dilakukan pada bulan tersebut lebih besar balasannya berbanding bulan-bulan yang lain. Ini berdasarkan kenyataan Ibn Abbas RA yang menyebut, “Allah Subhanuwata'ala mengkhususkan empat bulan tersebut sebagai bulan haram, dianggap sebagai bulan suci, melakukan maksiat pada bulan tersebut dosanya akan lebih besar dan amal soleh yang dilakukan mendapat pahala yang lebih banyak''.Ibn Rajab al-Hanbali, Latha’if al-Maʻarif (Dar Ibn Hazm, 2004), hlm.115
Disebabkan itu, apa sahaja dosa atau kezaliman yang berlaku pada bulan-bulan ini dianggap lebih berat di sisi Allah Subhanahuwata'ala. Manakala setiap kebaikan dan ketaatan yang dilakukan padanya pula, akan digandakan ganjarannya oleh Allah Subhanahuwata'ala.
Definisi Bulan Haram;Bulan Haram ini terdiri daripada empat buah bulan di dalam Islam iaitu Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah, Muharram dan Rejab. Hal ini disebut di dalam sebuah hadith yang sahih, yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah RA, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
الزمانُ قد استدارَ كهيئتِه يومَ خلقَ اللهُ السماواتِ والأرضَ ، السنةُ اثنا عشر شهرًا ، منها أربعةٌ حُرُمٌ ، ثلاثةٌ مُتوالياتٌ : ذو القَعدةِ وذو الحِجَّةِ والمُحرَّمُ ، ورجبُ مُضر ، الذي بين جُمادى وشعبانَ
Maksudnya: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban''.Riwayat al-Bukhari (4054)
Bulan ini dinamakan bulan yang Haram kerana pada bulan ini diharamkan berperang dan juga ia adalah bulan yang suci, di mana Allah Subhanahuwata'ala mengharamkan sebarang kezaliman dan setiap kezaliman yang dilakukan dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain.
Justeru, janganlah kita terus-menerus menzalimi diri sendiri dengan bergelumang dengan dosa dan noda, termasuk sebarang persengketaan antara kita. Sebaliknya, perbanyakkanlah amal soleh sebagai tanda syukur atas nikmat usia dan rezeki yang diberikan.
Secara umum terdapat beberapa hadith sahih yang menceritakan perihal kehidupan Nabi Sallallahu'alaihiwasallam apabila berada dalam bulan Rejab. Bahkan, ulama menjadikan hadith-hadith ini sebagai asas untuk mengatakan bahawa wujudnya kelebihan bulan Rejab, dengan disokong oleh hadith-hadith daʻif yang lain sebagai penguat.
Antara hadithnya ialah yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
إِنَّ الزَّمَانَ قَدِ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدَةِ، وَذُو الحِجَّةِ، وَالمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ، مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى، وَشَعْبَانَ
Maksudnya: ''Sesungguhnya masa telah berpusing dalam putarannya pada hari Allah Subhanahuwata'al mencipta langit dan bumi. Satu tahun bersamaan dengan 12 bulan. 4 bulan di antaranya adalah bulan-bulan haram. Tiga bulan berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram, juga Rejab Mudhar yang berada antara Jumada al-Akhir dan Syaaban''. Riwayat Al-Bukhari (4662)
Kemudian, hadith daripada Uthman bin Hakim bahawa,
سَأَلْتُ سَعِيدَ بْنَ جُبَيْرٍ، عَنْ صَوْمِ رَجَبٍ وَنَحْنُ يَوْمَئِذٍ فِي رَجَبٍ فَقَالَ: سَمِعْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، يَقُولُ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ لَا يُفْطِرُ، وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ لَا يَصُومُ
Maksudnya: ''Aku bertanya kepada Saʻid bin Jubair tentang puasa Rejab, apa pandanganmu? Beliau menjawab: Ibn ‘Abbas memberitahu kami bahawa: Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam biasa berpuasa sehingga kami menyangka Baginda Sallallahu'alaihiwasallam tidak akan berbuka. Baginda Sallallahu'alaihiwasallam juga terus berbuka sehingga kami menyangka Baginda Sallallahu'alaihiwasallam tidak akan berpuasa''. Riwayat Muslim(1157)
Riwayat ini merupakan hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam karya sahihnya. Imam al-Baihaqi memasukkan hadith ini dalam karyanya Fada’il al-Auqat dan meletakkannya di bawah tajuk bab Fadl Syahr Rajab (Kelebihan Bulan Rejab).
[Abu Bakr al-Baihaqi, Fada’il al-Auqat, ed. ‘Adnan ‘Abd al-Rahman Majid al-Qisi (Mekah: Maktabah al-Manarah, 1410), hlm. 89.]
Imam al-Baihaqi turut menukilkan kalam Imam al-Syafiʻi iaitu,
وَكَذَلِكَ يَوْمًا مِنْ بَيْنِ الْأَيَّامِ، وَإِنَّمَا كَرِهْتُهُ لِئَلَّا يَتَأَسَّى جَاهِلٌ فَيَظُنَّ أَنَّ ذَلِكَ وَاجِبٌ وَإِنْ فَعَلَ فَحَسَنٌ
Maksudnya: ''Begitu juga mengkhususkan satu-satu hari (untuk berpuasa) di antara hari-hari yang lain. Aku memakruhkan perkara tersebut kerana bimbang orang jahil menyangka perkara tersebut adalah wajib. Jika dia melakukannya, maka ia adalah baik''.
Menurut Imam al-Baihaqi, penjelasan Imam al-Syafiʻi yang menetapkan makruh kemudian mengatakan perbuatan tersebut adalah baik kerana semua orang Islam mengetahui bahawa syarak tidak mewajibkan untuk berpuasa melainkan dalam bulan Ramadan sahaja. Oleh itu, terangkatlah hukum makruh tersebut.
Selain itu, terdapat juga hadith lain yang menjelaskan berkenaan amalan berpuasa dalam bulan Rejab, namun disebutkan secara isyarat. Usamah bin Zaid RA meriwayatkan bahawa dia berkata kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,
يَا رَسُول اللَّه لَمْ أَرَك تَصُومُ مِنْ شَهْر مِنْ الشُّهُور مَا تَصُوم مِنْ شَعْبَان ، قَالَ : ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاس عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَان ، وَهُوَ شَهْر تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَال إِلَى رَبّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ
Maksudnya: ''Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa penuh sebulan daripada bulan-bulan yang lain sebagaimana engkau berpuasa pada bulan Syaaban. Baginda Sallallahu'alaihiwasallam menjawab: “Bulan ini adalah bulan yang orang ramai lalai (daripada ibadat), iaitu antara bulan Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yang diangkat amalan kepada Tuhan sekalian alam. Oleh itu, aku suka amalanku diangkatkan ketika aku dalam keadaan berpuasa". Al-Nasaei(2357)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan hadith ini menjelaskan bahawa bulan Rejab dan Ramadan memiliki kesamaan dalam hal keutamaan. Begitu juga dengan tuntutan berpuasa dalam bulan Rejab.[9] Bahkan al-Syaukani menyebutkan bahawa disunatkan berpuasa pada bulan Rejab berdasarkan hadith ini. [Al-Syaukani, Nail al-Authar (Dar al-Hadith, 1993), jld. 4: hlm. 292.]
Para ulama menganggap bulan Rejab sebagai pembuka musim kebaikan dan keberkatan. Imam Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahullah dalam kitabnya iaitu Lata'if al-Ma'arif menjelaskan:
"Tahun itu ibarat sebatang pokok. Bulan Rejab adalah masa dedaun tumbuh menghijau, bulan Syaaban adalah masa pokok subur bercabang, dan bulan Ramadan adalah masa buah dan hasilnya dipetik. Sedangkan orang yang beriman adalah pemetik hasilnya''.
Ungkapan ini mengisyaratkan bahawa bulan Rejab adalah peluang baik bagi kita untuk memperbaharui tekad, mensucikan diri, dan bersedia meraih keberkatan bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi.
Sebagai umat Islam, bulan Rejab merupakan ‘checkpoint’ untuk kita berfikir sejenak, mengingatkan diri untuk memperbaiki hubungan dengan Allah Subhanahuwata'ala, dan menyiapkan diri untuk meningkatkan amal ibadah. Sebagai insan yang mengakui kelemahan diri, inilah masanya untuk kita memulakan perubahan.
Diantara langkah-langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan kerohanian kita pada bulan Rejab ini:
Pertama: Meletakkan azam untuk tidak mengulangi kesilapan lampau. hadir kan penyesalan yang mendalam, dan perbaharui tekad untuk tidak mengulanginya. Kemudian, lakukanlah pula amal soleh yang boleh memadamkan titik hitam ini. Ingatlah pada pesanan junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam yang diriwayatkan oleh Abu Dzar radiallahu anhu,
اتَّقُوا اللَّهَ حَيْثُمَا كُنْتُمْ وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ
Maksudnya: ''Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada, susulkanlah kejahatan dengan kebaikan nescaya kebaikan akan menghapuskannya, dan bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik''. Riwayat Ahmad (21354), Tirmidzi (1987)
Allah Subhanahuwata'ala berfirman,
وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
Makasudnya:''Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa''. Surah Ali Imran ayat 133.
Kemudian Allah Subhanahuwata'ala melanjutkan,
الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
Maksudnya:(iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan''. Surah Ali Imran ayat 134
Allah Subhanhuwata’ala mensifati orang-orang bertaqwa dengan iman iaitu pokok keimanan dan aqidahnya, dengan amal-amal zahir dan amal-amal batin yang dilakukannya, juga dengan ibadah badan, ibadah maliyah (harta), kesabaran ketika mendapati dan menghadapi musibah. Juga dengan sifat pemaaf kepada orang lain, menghilangkan gangguan, berbuat baik kepada sesama manusia. Juga dengan semangat untuk bertaubat ketika melakukan perbuatan maksiat atau berbuat zalim kepada diri sendiri.
Kedua:Tingkatkan amal soleh.
Peningkatan di sini bukan hanya dari sudut jumlah amalan, walaupun ia wajar diperbanyakkan. Namun, yang lebih utama adalah peningkatan mutu ibadah kita. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam Surah al-Mulk ayat 2,
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
Maksudnya:''Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.
Kata kunci pada ayat ini adalah “untuk menguji kamu bahawa sesiapa antara kamu yang lebih baik amalannya”. Cuba kita, secara insaf dan dengan penuh rendah diri bermuhasabah: Sejauh mana keikhlasan kita dalam beramal? Adakah solat kita benar-benar khusyuk? Adakah kita bersedekah dengan hati yang tulus? Adakah kita membaca ayat Al-Quran dengan penuh penghayatan atau tadabbur?
Inilah antara soalan sebagai renungan dan penelitianyang boleh membantu untuk memperbaiki mutu amalan kita. Kita panjatkan harapan agar muhasabah ini mengundang keredaan dan kasih sayang Allah subhanahu wata'ala yang amat kita perlukan untuk mengharungi kehidupan ini.
Ambillah kesempatan pada lembaran baharu ini, berbekalkan usia yang masih dipinjamkan, kita memperbaharui tekad untuk menyemai dan menyuburkan kerohanian, agar ia membuahkan amal soleh yang berterusan di sepanjang tahun. Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk menjadi hamba-Nya yang lebih baik, yang berlumba-lumba melakukan amal soleh, dan dapat mendekatkan diri kepada-Nya hingga ke akhir hayat. Moga Allah Subhanahuwata'ala memberkati kita semua pada bulan Rejab dan Syaaban, serta mempertemukan kita dengan bulan Ramadan.
Diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam apabila masuknya bulan Rejab, Baginda Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَلِّغْنَا شَهْرَ رَمَضَانَ
Maksudnya: ''Ya Allah, Kau berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan Kau pertemukan kami dengan bulan Ramadhan''.
[Ibn Sunni, Amal al-Yaum wa al-Lailah, 1:610, al-Baihaqi, Syu’ab al-Iman, 5:348, no. Hadith 3534, al-Bazzar, Musnad al-Bazzar, 13:117, no. Hadith 6496 dan Abu Nu’aim, Hilyah al-Awliya’, 6:269]
No comments:
Post a Comment