Wednesday, February 11, 2026

Scam kewangan atau penipuan pelaburan (scam)

Scam kewangan atau penipuan pelaburan (scam)

Dalam pandangan Islam, scam keuangan (penipuan, fraud, atau tafrith) hukumnya haram secara mutlak karena termasuk perbuatan batil, menipu (gharar), dan memakan harta orang lain secara tidak sah. Segala bentuk transaksi yang mengandung unsur penipuan, ketidakjelasan, dan merugikan salah satu pihak sangat dilarang dalam syariat Islam. Unsur Scam Keuangan dalam Islam:

1-Gharar (Ketidakpastian): Skim yang menjanjikan pulangan tinggi tidak masuk akal dalam waktu singkat, yang merupakan manipulasi.

2-Tadlis (Penipuan): Menyembunyikan cacat atau menggunakan sijil patuh syariah palsu untuk memperdaya mangsa.

3-Maisir (Perjudian): Skim cepat kaya yang berasaskan keberuntungan dan merugikan peserta lain (skim Ponzi).

4-Keuntungan Luar Biasa: Pelaburan yang menawarkan pulangan tetap tinggi tanpa risiko (tidak logik). 

Dalam dunia yang semakin kompleks ini, jenayah kewangan atau 'scam' menjadi ancaman yang kian membimbangkan. Berdasarkan statistik yang direkodkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia, negara telah mencatatkan lebih 35,000 kes penipuan yang 

melibatkan jenayah kewangan pada tahun 2024 yang mengakibatkan kerugian sehingga RM1.6 billion. Saban hari, pelbagai modus operandi baharu dicipta oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memperdaya mangsa, bermula daripada penipuan pelaburan yang tidak wujud sehinggalah kepada taktik penyamaran sebagai pihak berkuasa. Jenayah ini tidak mengenal siapa pun sebagai mangsa. Oleh itu, kewaspadaan dan penilaian yang bijaksana amatlah penting. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam Surah al-Isra' ayat 36,

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

Maksudnya:''Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya''.

Ayat di atas mengajak kita untuk bersikap berhati-hati, bijaksana, dan bertanggungjawab dalam menerima dan menyebarkan informasi, memastikan kebenarannya untuk menghindari mudarat bagi diri sendiri dan orang lain. Hal ini bertepatan dengan salah satu prinsip maqasid syariah iaitu menjaga harta daripada segala bentuk penyelewengan atau perkara-perkara yang menzalimi dan merugikan.

Keinginan untuk cepat kaya sering kali mengaburi kewarasan kita. Kita harus berusaha mengekalkan sikap berhati-hati dengan menilai, menganalisis dan menimbang pelbagai aspek terlebih dahulu sebelum membuat keputusan atau menerima sesuatu sebagai sahih. Tujuannya, agar kita tidak mudah terpedaya dengan skim-skim penipuan yang akan merugikan diri dan keluarga.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

لَيْسَ الغِنَى عَنْ كَثْرَةِ العَرَضِ، وَلَكِنَّ الغِنَى غِنَى النَّفْسِ

Maksudnya: ''Kekayaan itu bukanlah dengan banyaknya harta, tetapi kekayaan itu adalah kaya hati''. Riwayat al-Bukhari (6446) dan Muslim (1051)

Adapun kekayaan yang sebenar tanpa kemiskinan ialah kekayaan jiwa dengan Tuhannya, kerana jiwa yang diperkayakan oleh Tuhannya tidak memerlukan makhluk-Nya. Jika seseorang merasa cukup dengan Tuhannya Azza wa Jalla dari semua makhluk, maka itulah kekayaan yang sebenar, bukan kekayaan dengan memiliki sesuatu yang menyebabkan lebih banyak kemiskinan''. (Lihat al-Ifsah ‘an Ma’ani al-Sihah, 7/245).

Hadith ini menunjukkan bahawa kekayaan hakiki bukanlah harta yang melimpah, melainkan jiwa yang merasa puas dan tidak tamak. Kekayaan sebenar dan berguna atau terpuji ialah kekayaan jiwa, kerana apabila jiwa merasa cukup, ia akan berhenti dari mengejar keinginan duniawi. Jiwa itu akan menjadi mulia dan dihormati, mendapat tempat tinggi, dan mendapat lebih banyak penghormatan berbanding dengan seseorang yang kaya harta tetapi miskin jiwa, kerana sifat tamaknya. Hal ini menjatuhkan dirinya kepada perbuatan keji dan amalan yang hina, menyebabkan dia dikritik oleh ramai orang dan menjadikan kedudukannya rendah di mata mereka; sehingga dia lebih hina daripada orang yang paling miskin dan lebih rendah daripada orang yang paling kecil.

Bahaya tamak pula akan terjadinya apabila keinginan cepat kaya yang melampau boleh "mengelabui hati" (tidak pernah puas) kerana orang yang mengejar harta duniawi jarang berasa cukup dan sentiasa ingin menambah harta. Kaya Hati (Ghinan Nafs) ialah sikap reda dengan pemberian Allah, tidak tamak, dan memiliki sifat dermawan. Islam mengajar untuk mencari rezeki secara halal dan menjadikan hati merasa cukup, bukan menjadikan harta sebagai tujuan utama yang menggelapkan jiwa.

Pada zaman yang serba moden ini, kemajuan teknologi digital dilihat banyak memberikan manfaat jika digunakan dengan baik dan betul. Pada masa yang sama, kemajuan tersebut membuka ruang kepada jenayah penipuan siber yang dijalankan oleh 'scammer'. Mereka menggunakan pelbagai cara untuk menipu termasuklah penggunaan teknologi canggih seperti Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence), menyamar sebagai pihak berkuasa atau individu berpengaruh seperti tokoh ilmuan dan agama. Semuanya dengan tujuan untuk menipu mangsa agar percaya dengan penipuan mereka sehingga sanggup memberikan maklumat peribadi dan data perbankan secara sedar atau tanpa sedar. Modus operandi (cara) ini sering berubah-ubah bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak penguatkuasa undang-undang. 

Masyarakat yang terdesak atau ingin mencari pendapatan lebih juga mudah menjadi sasaran penjenayah siber ini. Mereka sering alpa dan mudah terpedaya dengan amanah yang dipertanggungjawabkan dek habuan kewangan yang ditawarkan sehingga sanggup bersubahat menjadi keldai akaun. Individu ini biasanya secara sedar atau tidak sedar menjadi 'keldai' kepada penjenayah, dengan membiarkan akaun mereka digunakan untuk memindahkan wang hasil aktiviti penipuan oleh 'scammer'. 

Perbuatan ini bukan sahaja melanggar undang-undang, bahkandianggap sebagai tidak amanah, dan bertentangan dengan ajaran Islam. 

Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam sangat menekankan sifat AMANAH, iaitu tanggungjawab dan kejujuran. Orang yang menjual akaun banknya dengan sengaja dan membantu penjenayah akan menanggung akibatnya di sisi undang-undang dan di hadapan Allah Subhanahuwata'ala kelak di akhirat. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam Surah al-Anfal ayat 27,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya:''Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui''.

Sekali lagi ditekankan;

Scam kewangan atau penipuan pelaburan (scam) hukumnya haram menurut Islam kerana ia melibatkan unsur penipuan (gharar), manipulasi, dan memakan harta orang lain secara batil. Harta merupakan salah satu daripada lima perkara asas yang wajib dipelihara di bawah kerangka maqasid syariah. Syariat Islam mengharamkan sebarang bentuk perolehan harta secara batil selaras dengan firman Allah Subhanahuwata'ala,

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah''. Surah al-Baqarah ayat 188

Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

مَن غشَّ فلَيسَ منّا

Maksudnya: Barangsiapa yang menipu, maka dia bukanlah dari golongan kami.

Riwayat al-Tirmidzi (1315)

Ayat ini menunjukkan larangan ke atas manusia untuk mengambil harta orang lain dengan cara yang salah di dalam Islam. Setiap individu Muslim dituntut untuk memelihara harta sebaik mungkin, bagi memastikan harta tersebut tidak hilang atau dicuri disebabkan kelalaian sendiri. Jenayah penipuan ini bukan sahaja merugikan pada aspek material, malah ia sering kali membawa kepada kemusnahan institusi keluarga dan gangguan kesihatan mental yang serius kepada mangsa yang terlibat.

Berdasarkan penelitian, terdapat dua elemen utama yang wujud dalam jenayah scam iaitu gharar (ketidakjelasan) dan al-kizb (pendustaan). Justeru sebagai pengguna yang bijak, setiap individu mestilah memastikan segala transaksi kewangan yang ingin dijalankan tidak mengandungi perkara-perkara gharar, yang kebiasaannya membawa kepada penipuan di dalam pelaburan, seperti skim pelaburan palsu yang menawarkan keuntungan lumayan dalam masa singkat.

Selain itu, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam memberikan amaran keras terhadap mereka yang menipu dalam urusan harian melalui sabda baginda yang menegaskan bahawa sesiapa yang menipu maka dia bukan daripada kalangan umat baginda. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

مَنْ حَمَلَ عَلَيْنَا السِّلاَحَ فَلَيْسَ مِنَّا وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: “Sesiapa yang mengangkat senjata terhadap kami, maka dia bukan dalam kalangan kami. Begitu juga sesiapa yang menipu (berlaku tidak jujur) terhadap kami, maka dia juga bukan dalam kalangan kami''. Riwayat Muslim 

Sementara daripada perspektif maqasid syariah, pengharaman riba, gharar, judi dan seumpamanya adalah bertujuan menghindari mafsadah terhadap harta seperti kerugian, kemiskinan dan kefakiran. Sejajar dengan itu, prinsip memelihara harta (hifz al-mal) dikategorikan sebagai salah satu daripada lima perkara yang dipelihara oleh syarak (al-kulliyyat al-khams). Oleh itu, perlakuan jenayah seperti "scam" adalah merupakan perlakuan yang bercanggah dengan syariat Islam kerana mempunyai unsur penipuan dan kezaliman terhadap orang lain. Bahkan, perlakuan ini juga termasuk dalam perbuatan mengambil harta orang lain secara batil yang diharamkan dalam Islam.

Bagi memastikan kita tidak menjadi mangsa penipuan, beberapa langkah proaktif perlu diambil perhatian oleh setiap lapisan masyarakat. 

Pertama: Setiap individu perlu memperkasakan literasi kewangan dan undang-undang dengan memahami bahawa pihak berkuasa tidak akan menjalankan urusan rasmi atau tuntutan bayaran melalui panggilan telefon peribadi.

Kedua: Sekiranya berlaku transaksi yang mencurigakan, tindakan segera harus diambil dengan menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dalam tempoh kurang 24 jam untuk menyekat pengaliran keluar wang.

Ketiga: Umat Islam perlu menjauhi sifat tamak dan sentiasa berhati-hati terhadap tawaran yang tidak masuk akal serta mengelakkan diri daripada menjadi "keldai akaun" dengan tidak menyerahkan akses perbankan kepada pihak lain.

Sebagai kesimpulan, jenayah scam adalah merupakan satu bentuk kezaliman yang merosakkan sosial dan ekonomi ummah. Oleh itu, usaha-usaha membanterasnya bukan sahaja menjadi tanggungjawab pihak berkuasa, malah ia merupakan fardu kifayah ke atas setiap ahli masyarakat. Semoga Allah Subhanahuwata'ala memelihara harta kita daripada segala unsur haram dan melindungi kita daripada tipu daya golongan yang batil.

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: ''Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu''.


No comments:

Post a Comment

Scam kewangan atau penipuan pelaburan (scam)

Scam kewangan atau penipuan pelaburan (scam) Dalam pandangan Islam, scam keuangan (penipuan, fraud, atau tafrith) hukumnya haram secara mutl...