Anak Istimewa
Anak istimewa merujuk kepada kanak-kanak yang mempunyai keperluan khas sama ada dari segi fizikal, sosial, atau emosi, seperti autisme, sindrom Down, masalah pertuturan, atau pembelajaran yang lambat. Golongan ini memerlukan bantuan, bimbingan, dan sokongan khusus daripada keluarga dan masyarakat, tetapi juga mempunyai kelebihan dan keistimewaan mereka sendiri.
OKU didefinisikan sebagai: Kanak-kanak atau orang dewasa yang cacat adalah mereka yang pada sesuatu masa, terhalang oleh keadaan fizikal atau mental dari melakukan aktiviti-aktiviti normal rakan sebaya seperti sosial, rekreasi, pelajaran dan vokasional.
Kanak-kanak istimewa adalah sebahagian daripada mereka yang tergolong dalam kumpulan Orang Kurang Upaya (OKU), iaitu seseorang yang tidak berupaya menentukan sendiri bagi memperoleh sepenuhnya, atau sebahagian daripada keperluan biasa seseorang individu, dan tidak dapat hidup bermasyarakat sama ada dari segi fizikal, atau mental, dan berlaku sama ada sejak dilahirkan, ataupun sesudah itu.
Islam merupakan rahmat buat sekalian insan. Islam tidak pernah menyisihkan golongan OKU atau mengasingkan mereka. Bahkan terdapat banyak gesaan di dalam Al-Quran yang memberikan perhatian kepada golongan yang kurang upaya. Firman Allah didalam Surah Al-Fath ayat 17,
لَيْسَ عَلَى الْأَعْمَىٰ حَرَجٌ وَلَا عَلَى الْأَعْرَجِ حَرَجٌ وَلَا عَلَى الْمَرِيضِ حَرَجٌ ۗ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ ۖ وَمَنْ يَتَوَلَّ يُعَذِّبْهُ عَذَابًا أَلِيمًا
Maksudnya:''Tiada dosa atas orang-orang yang buta dan atas orang yang pincang dan atas orang yang sakit (apabila tidak ikut berperang). Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya; niscaya Allah akan memasukkannya ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan barang siapa yang berpaling niscaya akan diazab-Nya dengan azab yang pedih''.
Ibn ‘Abbas berkata turunnya ayat di atas apabila ayat sebelumnya (Al-Fath, ayat ke -16) menceritakan tentang azab yang pedih bagi mereka yang tidak turut sama dalam berjuang menentang musyrikin lantas bertanyakan golongan-golongan kurang upaya dikalangan mereka seperti buta, tempang kakinya dan yang sakit kepada Rasulullah akan perihal keadaan mereka yang uzur itu untuk turut sama berjuang.Lantaran dari soalan tersebut, maka turunlah ayat di atas dengan memberikan keringanan buat golongan yang kurang upaya ini dengan tidak menjadi kesalahan buat mereka untuk tidak menyertai peperangan. [Lihat: Tafsir al-Qurtubi. Dar al-Kutub al-Misriyyah, 16/273].
Setiap insan pasti merasa bahagia dengan kehadiran anak dalam kehidupan. Namun, ada antara kita yang dikurniakan anak berkeperluan khas atau anak istimewa. Mereka bukan beban, tetapi anugerah yang membawa rahmat, ujian yang mendidik sabar, dan peluang pahala yang luas. Firman Allah subhanahu wata'ala dalam surah al-Hajj ayat 5,
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنْ كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِنَ الْبَعْثِ فَإِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ مِنْ نُطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ مِنْ مُضْغَةٍ مُخَلَّقَةٍ وَغَيْرِ مُخَلَّقَةٍ لِنُبَيِّنَ لَكُمْ ۚ
Maksudnya:''Hai manusia, jika kamu dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur), maka (ketahuilah) sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setetes mani, kemudian dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu...".
Setiap manusia, sama ada sempurna atau tidak, adalah ciptaan Allah Subhanahuwataala yang mulia. Tiada siapa diciptakan sia-sia. Mereka adalah tanda kasih sayang dan kebijaksanaan Allah Subhanahuwata’ala dalam mencipta makhluk dengan pelbagai keistimewaan.
Ibu bapa kepada anak istimewa memikul amanah besar. Kesabaran mereka mendidik anak-anak ini adalah sedekah berterusan dan jalan menuju syurga. Sabda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam,
قَالَ إِنَّ عِظَمَ الْجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ الْبَلَاءِ وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلَاهُمْ فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السَّخَطُ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ مِنْ هَذَا الْوَجْهِ
Mkasudnya:''Sesungguhnya besarnya ganjaran sesuatu amalan adalah sesuai dengan besarnya ujian. Jika Allah mencintai suatu kaum, Dia akan menguji mereka; siapa yang reda, maka ia akan mendapat keredaan Allah, akan tetapi siapa yang murka/marah, maka ia akan mendapat kemurkaan-Nya''. Riwayat Tirmizi (2320)
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Suhaib R.A, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
Maksudnya: “Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya''. Riwayat Muslim (7692)
Imam al-Tibi sepertimana dinukilkan oleh Imam al-Munawi, berkata: “Keadaan seorang mukmin itu semuanya baik. Perkara ini hanya didapati pada seorang mukmin. Ia tidak ditemui pada orang kafir mahupun munafik. Keajaibannya adalah ketika dia diberi kesenangan dalam bentuk kesihatan, keselamatan, harta dan kedudukan, kemudian dia bersyukur kepada Allah atas kurniaan tersebut, maka dia akan dicatat sebagai orang yang bersyukur. Ketika dia ditimpa musibah, kemudian dia bersabar, maka dia akan dicatat sebagai orang-orang yang bersabar. (Lihat Faidh al-Qadir, 4/302)
Ini menunjukkan ujian (kesusahan) bagi orang beriman adalah pahala melalui kesabaran, manakala kesenangan adalah pahala melalui kesyukuran, menjadikan setiap keadaan bernilai pahala. Apabila orang mukmin diuji dengan kesusahan seperti penyakit, kesedihan, gangguan, terkena duri mereka bersabar, maka kesabaran ini menghapuskan dosa dan meningkatkan darjat, membawa pahala besar. Apabila mereka mendapat nikmat, mereka bersyukur, maka kesyukuran ini juga dikira pahala dan ganjaran. Oleh itu, kedua-dua keadaan—susah (sabar) dan senang (syukur)—adalah kebaikan dan pahala bagi orang beriman sejati, yang mana ujian Adalah bertujuan mengangkat darjat, mengampunkan dosa, dan menguji keimanan seseorang.
Firman Allah Subhanahuwata'ala,
إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ
Maksudnya: ''Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala untuk mereka dengan tidak terkira''. Al-Zumar Ayat10.
Nabi Sallallahualaihiwasallam bersabda,
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلا وَصَبٍ وَلا هَمٍّ وَلا حُزْنٍ وَلا أَذًى وَلا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ
Maksudnya:''Daripada Abu Sa'id Al Khudri dan Abu Hurairah RA, daripada Nabi Sallallahualaihiwasallam bersabda: "Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah Subhanahuwata'ala akan menghapus kesalahan-kesalahannya''. Riwayat al-Bukhari (5641), Muslim (2573), at-Tirmizi (966), Ahmad (7684, 8070, 10714)
Seseorang Muslim hendaklah sentiasa sedar bahawa setiap kejadian yang berlaku dalam kehidupan ada hikmah yang tersendiri. Allah Subhanahuwata'ala mendatangkan ujian berupa musibah, kesakitan, keletihan, kegusaran, sehingga duri yang menyucuk sekalipun dan sesuatu yang menganggu kehidupan adalah sebagai kifarah (penghapus dosa) agar hamba-Nya sentiasa dalam rahmat-Nya.
Maka ujian ini bukan tanda kemurkaan, tetapi bukti kasih Allah kepada hamba-hamba yang terpilih. Sesungguhnya, Allah Subhanahuwata'ala menciptakan setiap manusia dengan keunikan dan keistimewaan tersendiri. Tiada satu pun ciptaan-Nya yang sia-sia. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam Surah al-Tin ayat 4,
لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ
Maksudnya:''sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya''.
Ayat ini mengingatkan kita bahawa setiap insan, sama ada sempurna tubuh badan ataupun diuji dengan kekurangan, semuanya adalah ciptaan Allah Subhanahuwata'ala yang indah dan sempurna dalam ketentuan-Nya. Mereka bukan beban dunia, tetapi tanda kebesaran Allah Subhanahuwata'ala dan ujian kepada keikhlasan kita sebagai hamba-Nya.
Ujian Allah ke atas mereka merupakan satu penilaian keimanan terhadap Qada dan Qadar Allah. Kita harus mengetahui bahawa tidak ada yang sempurna melainkan Allah. Semua makhluk bergantung kepada Allah Tuhan Yang Maha Hebat lagi Maha Agung.
Oleh kerana itu, setiap ujian yang diberikan maka kembalikanlah ia kepada Allah dengan pergantungan yang sebenar kepadaNya.
Firman Allah di dalam Surah At-Taubah ayat 51,
قُلْ لَنْ يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ
Katakanlah(Wahai Muhammad): ''Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah untuk kami. Dialah Pelindung kami, dan hanya kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal''.
Allah juga bukan hanya menguji mereka yang disebut OKU tetapi Allah juga menguji diri dan kesabaran kita bagaimana untuk menyantuni mereka dengan baik.
Kita mesti sedar bahawa anak-anak istimewa bukanlah insan yang harus disisihkan. Mereka juga memiliki potensi, kelebihan dan bakat yang wajar digilap dengan penuh kasih sayang. Oleh itu, pengesanan awal terhadap perkembangan anak-anak ini amat penting agar keupayaan mereka dapat dikenal pasti, dibimbing dan dikembangkan melalui pendidikan yang bersesuaian. Setiap anak mempunyai keupayaan yang berbeza. Ada yang cepat menguasai ilmu, ada yang perlahan memahami, dan ada yang memerlukan cara yang khusus untuk belajar. Ibu bapa perlu sabar, tekun dan sentiasa belajar memahami keperluan anak-anak mereka.
Sesungguhnya, sabar seorang ibu dan ayah dalam mendidik anak istimewa adalah sedekah yang berpanjangan dan pahala yang tidak terhitung nilainya di sisi Allah Subhanahuwata'ala.
Masyarakat juga perlu memikul tanggungjawab bersama. Kita mesti menjadi umat yang prihatin, bukan menghukum; menyokong, bukan menjauh. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallallahualaihiwasallam bersabda,
مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi''. Riwayat al-Bukhari (5997)
Sokongan moral daripada jiran, sahabat dan masyarakat akan memberi kekuatan kepada keluarga yang diuji. Jangan biarkan mereka berjuang sendirian. Bantulah mereka dengan kata-kata yang baik, dengan peluang pekerjaan yang adil, dengan pendidikan yang sesuai, dan dengan kasih sayang. Menyantuni dan mengasihi mereka merupakan tuntutan syara'.
Daripada Anas bin Malik Ra, bahawa Nabi Sallallahualaihiwasallam bersabda,
لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ، حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
Maksudnya: “Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri''. Riwayat al-Bukhari (13)
Islam sangat menekankan penjagaan anak-anak, bukan sekadar dari sudut jasmani, tetapi juga akal, emosi dan rohani. Anak-anak adalah amanah Allah Subhanahuwata'ala yang mesti dipelihara dengan penuh kasih dan tanggungjawab. Justeru, ibu bapa hendaklah peka terhadap tanda-tanda awal perkembangan anak, agar sebarang kelewatan dapat dikenal pasti dan ditangani sebaiknya.
Sebagai langkah pengesanan awal, ada beberapa aspek penting untuk di perhatian, berikutnya:
Pertama: Pantau tumbesaran fizikal anak sejak bayi lagi. Perhatikan kemampuan meniarap, duduk, merangkak dan berjalan mengikut umur yang sepatutnya. Jika anak sukar menggenggam barang atau menggunakan tangan secara tidak seimbang, jangan pandang ringan kerana itu tanda yang memerlukan perhatian.
Kedua: Nilailah keupayaan pertuturan anak sekitar usia satu hingga dua tahun. Anak yang sihat biasanya boleh menyebut perkataan mudah, memanggil nama ibu atau ayah, serta memahami arahan ringkas.
Ketiga: Perhati kemahiran sosial anak iaitu adakah dia memberi maklum balas ketika disapa, mahu bermain bersama rakan sebaya, atau boleh berkongsi mainan. Ini petanda penting bagi perkembangan emosi dan sosial.
Keempat: Teliti tahap perkembangan berfikir, seperti daya ingatan terhadap pengalaman dan kemampuan memahami perbezaan antara dua perkara.
Anak-anak istimewa adalah rahmat yang menyucikan hati. Mereka mengajar kita tentang sabar, redha dan kasih sejati. Jangan merasa rendah diri dengan ketentuan Allah subhanahu wata'ala. Maka ibu bapa yang diuji dengan anak istimewa, bersabarlah. Allah Subhanahuwata'ala sedang meninggikan darjatmu dan menyiapkan
bagimu ganjaran yang agung di akhirat. Firman Allah Subhanahuwata’ala di dalam Surah al-Anfal ayat 28,
وَاعْلَمُوا أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ
Maksudnya:''Dan ketahuilah, bahwa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cobaan dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar''.
No comments:
Post a Comment