Wednesday, November 26, 2025

Diam dan menjaga lisan adalah suatu keutamaan serta tugas mencegah kemungkaran

Diam dan menjaga lisan adalah suatu keutamaan serta tugas mencegah kemungkaran

Sebahagian orang mungkin ada yang menyangka bahawa orang yang banyak bicara itu adalah orang hebat kerana mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman. Namun dalam ajaran Islam, diam dan menjaga lisan dinilai lebih baik kerana memiliki sejumlah keutamaan.

Dalam Islam, diam adalah perintah penting yang mengajarkan umat untuk menjaga lisan dan hanya berbicara jika perkataan itu baik atau bermanfaat. Prinsip "berkata baik atau diam" ini bersumber dari hadis Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam dan menjadi pedoman untuk menghindari perkataan buruk seperti fitnah, mengumpat, atau berkata sia-sia. Diam bukan berarti lemah atau tidak peduli, tetapi merupakan pilihan bijak untuk mencegah mudarat dan dapat menjadi benteng kebaikan serta ketenangan bagi diri sendiri. 

Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam bersabda,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يُؤْذِ جَارَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya:''Dari Abu Hurairah, ia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: "Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhir, maka janganlah ia mengganggu tetangganya. Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhir, hendaknya ia memuliakan tamunya. Dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhir, hendaknya ia bertutur kata baik atau lebih baik diam''. RiwayatAl- Bukhari (5559)

Dari petikan hadith di atas, pesanan dari Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam  sangatlah jelas, iaitu memerintahkan kepada umatnya agar menjadi orang yang berhemat berbicara jika tidak dapat berkata yang baik. Terlebih lagi, apa yang disampaikan oleh Rasulullah dalam hadith tersebut diawali dengan kalimat '' مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِر ''. Hal ini  mengisyaratkan bahawa jika seseorang itu mengaku sebagai orang yang beriman kepada Allah dan hari akhir, tentunya ia akan melaksanakan ajaran yang ada dalam hadith tersebut.

Sayyidina Umar bin Khattab yang merupakan khalifah kedua di masa Khulafaur Rasyidin juga berpesan agar kita menjadi orang yang hemat dalam berbicara, dalam hal ini adalah tidak ikut campur terhadap apa yang bukan menjadi urusan kita.

ووعظ عمر بن الخطاب رضي الله تعالى عنه – رجلًا، فقال له: لا تتكلم فيما لا يعنيك واعتزل عدوك، واحذر صديقك الأمين – ولا أمين إلا من يخشى الله – ولا تمش – مع الفاجر فعليك من فجوره، ولا تطلعه على سرك، ولا تشاور في أمورك إلا الذين يخشون الله عز وجل     

Maksudnya:''Sayyidina Umar bin al-Khattab Radhiyallahu ‘anhu menasihati seorang laki-laki dan berkata kepadanya: Janganlah engkau berbicara terhadap apa yang bukan urusanmu, menjauhlah dari musuhmu, waspadalah terhadap temanmu yang dapat dipercaya – sebab tidak ada orang yang dapat dipercaya kecuali orang yang bertakwa kepada Allah, jangan bergaul dengan orang yang bermaksiat kerana untuk berhati-hati dari maksiatnya, janganlah kamu membocorkan rahasiamu kepadanya, jangan jangan berdiskusi tentang urusanmu kecuali kepada orang-orang yang bertakwa kepada Allah azza wajalla''. (Lihat al-Syeikh Muhammad bin Abdillah al-Jardani, al-Jawahir al-Lu`luiyyah..., halaman 146)  

Imam as-Syafi'i ada menyebutkan bahawa salah satu faedah menjadi orang yang sedikit bercakap atau tidak banyak bercakap boleh menambah kecerdasan akal. 

وقال الشافعي – رضي الله تعالى عنه –: ثلاثة تزيد في العقل: مجالسة العلماء، ومجالسة الصالحين، وترك الكلام فيما لا يعني.

Maksudnya: ''Imam as-Syafi’i – Radhiyallahu Ta’ala ‘anhu – berkata: Ada tiga perkara yang boleh menambah kecerdasan seseorang: Pertama adalah berkumpul atau duduk bersama ulama, kedua adalah berkumpul dengan orang-orang soleh, dan ketiga adalah meninggalkan pembicaraan yang tidak bererti''. (Lihat al-Syeikh Muhammad bin Abdillah al-Jardani, al-Jawahir al-Lu`luiyyah fi Syarhi al-arba’in an-Nawawiyyah, [Beirut:Darul Kutub al-Ilmiyah, 1442], halaman 147)

Dalam keterangan yang sama, disebutkan bahawa siapa pun yang menginginkan agar diberikan hati yang bersinar, hendaknya ia meninggalkan pembicaraan yang sia-sia atau tidak bererti.   

وقال أيضا: من أراد أن ينوِّر الله قلبه، فليترك الكلام فيما لا يعنيه.

Maksudnya: “Beliau (Imam Syafi’i Radhiyallahu ‘anhu) juga berkata: Barangsiapa yang menginginkan agar Allah Subhanahuwata’ala menyinari hatinya, maka hendaknya ia berhenti membicarakan hal yang bukan urusannya''. (Lihat al-Syeikh Muhammad bin Abdillah al-Jardani, al-Jawahir al-Lu`luiyyah... halaman 147)

Imam al-Ghazali pernah berpesan agar menjaga lisan sehingga tidak sampai merosak urusan kita.    

وقال الغزالي - رحمه الله تعالى-: لا تبسطن لسانك، فيفسدن عليك شأنك   

Maksudnya:''Imam Al-Ghazali rahimahullahu ta’ala berkata: Jangan membesar-besarkan lisanmu, jangan sampai mereka merosak urusanmu'' (Lihat al-Syeikh Muhammad bin Abdillah al-Jardani, al-Jawahir al-Lu`luiyyah..., halaman 168)

Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam pernah berpesan kepada Abu Zar Radhiyallahu Radiallahu ‘anhu,

عَلَيْكَ بِطُولِ الصَّمْتِ فَإِنَّهُ مَطْرَدَةٌ لِلشَّيْطَانِ، وَعَوْنٌ لَكَ عَلَى أَمْرِ دِينِكَ

Maksudnya:''Hendaknya engkau diam, sebab diam itu menyingkirkan syaitan dan penolong bagimu dalam urusan agamamu''. Riwayat al-Baihaqi.

Ada juga situasi yang perlu dibuat pilihan antara berdiam dan bercakap.Jika lebih banyak kebaikan yang datang dengan mendiamkan diri, maka ini lebih baik agar tidak memanjangkan isu. Walaupun begitu, jika dalam keadaan berdiam lebih banyak mudarat yang datang menimpa, maka sebaiknya hendaklah bercakap untuk menjelaskan isu sebenar.

Sebagaimana mempertahankan diri daripada api fitnah ialah hak bagi setiap individu. Terkadang, kebenaran itu perlu dijelaskan walaupun berasa begitu pahit, seperti sabda Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam,

قُلِ الْحَقَّ، وَإِنْ كَانَ مُرًّا

Maksudnya: Berkatalah benar, sekalipun ia pahit''. Riwayat Imam Ibn Hibban (361) dalam Sahih-nya.

Diam memiliki kedudukan penting dalam Islam, bukan hanya sebagai "pilihan terakhir" saat tidak boleh berkata baik, tetapi juga sebagai bentuk ibadah yang perlu diamalkan. Namun, penting untuk membezakan bila diam itu bijaksana dan bila kita wajib bersuara, terutama dalam menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran. 

Terdapat juga situasi yang memerlukan seseorang bercakap daripada memilih untuk berdiam, yakni “diam tidak bertempat”. Situasi yang dimaksudkan ialah apabila timbul sesuatu perkara yang boleh mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada masyarakat, maka ia menjadi dosa yang akan dipersoalkan di akhirat kelak sekiranya seseorang memilih untuk mendiamkan diri.

Agama kita Islam amat menitik beratkan perkara al-Amr bi al-Ma’ruf (menyeru kepada kebaikan) dan al-Nahi an al-Munkar (mencegah daripada perkara mungkar). Ini berdasarkan, banyak firman Allah Subhanahuwata'ala,

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya''. Ali-Imran ayat 104

Menurut ayat di atas, jelas menunjukkan kepada kita akan kewajipan seorang mukmin atau muslim itu untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada perkara yang mungkar. 

Imam Ibn Qudamah berkata: “Ketahuilah bahawa amar makruf adalah perkara yang paling agung dalam agama. Ia merupakan tugas penting yang kerananya Allah mengutus para Nabi. Andaikan tugas ini ditiadakan, maka akan muncul kerosakan di mana-mana dan dunia akan hancur. Lihat Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, hlm. 156.

Tambahan pula, terdapat hadith sahih yang menyeru agar kita semua mencegah perkara-perkara yang mungkar. Daripada abu Sa’id al Khudri Radhiyallahu Ta’ala ‘anhu berkata, aku mendengar Nabi Sallallahu'alaiwasallam bersabda,

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman''. Riwayat Muslim (78)

Mencegah kemungkaran adalah tanggungjawab setiap Muslim untuk mencegah perbuatan maksiat dan menegakkan kebaikan, mengikut kemampuan masing-masing. Ia boleh dilakukan dengan tiga cara: dengan tangan (melalui kuasa atau tindakan), dengan lisan (melalui teguran atau nasihat), dan dengan hati (iaitu membenci kemungkaran dalam hati jika tidak mampu bertindak secara fizikal), yang mana cara ketiga dianggap selemah-lemah iman. 

Imam al-Nawawi dalam syarahnya ke atas hadith di atas berkata: Adapun sifat larangan kepada perkara mungkar dan peringkat-peringkatnya, garis panduannya adalah ucapan Nabi (hadis di atas). Maka ke atas seseorang untuk mengubah kemungkaran dengan setiap bentuk yang dia mampu. Tidak cukup sekadar memberi peringatan bagi sesiapa yang mampu mengubah dengan tangannya. Tidak boleh juga berpada dengan membenci dari hati bagi sesiapa yang mampu menghalang dengan lisan.

Kata al-Imam al-Nawawi lagi: Tidak boleh bagi mereka yang melakukan amar makruf dan nahi munkar mencari-cari  serta melakukan tajassus dan menceroboh ke rumah-rumah berdasarkan sangkaan. Bahkan sekiranya dia melihat sesuatu hendaklah dia mengubahnya.

Menurut Ibn Rajab al-Hanbali, hadis di atas menunjukkan kewajipan mengingkari itu bergantung kepada penglihatan. Kewajipan itu mempunyai tiga martabat berdasarkan kemampuan iaitu bermula dengan kuasa, seterusnya lidah dan akhirnya dengan hati. Kewajipan mencegah dengan hati tidak mungkin terlepas daripada diri setiap Muslim. Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam bersabda,

‌إِذَا ‌عُمِلَتِ ‌الْخَطِيئَةُ فِي الْأَرْضِ كَانَ مَنْ شَهِدَهَا فَكَرِهَهَا كَمَنْ غَابَ عَنْهَا، وَمَنْ غَابَ عَنْهَا فَرَضِيَهَا، كَانَ كَمَنْ شَهِدَهَا

Maksudnya: “Apabila dilakukan satu kesalahan di atas muka bumi, sesiapa yang menyaksikannya lalu membencinya adalah seperti orang yang tidak berhadapan dengannya. Sesiapa yang tidak menyaksikannya (tidak berhadapan dengan maksiat), lalu dia reda dengan maksiat itu, adalah seperti orang yang menyaksikannya". Riwayat Abu Daud (4345)

Ibn Rajab al-Hanbali mengulas hadith di atas dengan katanya: “Sesiapa yang menyaksikan perbuatan mungkar lalu membencinya di dalam hatinya adalah dia seperti orang yang tidak menyaksikannya apabila dia tidak mampu mengingkarinya dengan lidah dan tangannya. Sesiapa yang tidak menyaksikannya lalu dia reda dengan kemungkaran itu merupakan antara seburuk-buruk perkara yang diharamkan dan terluputlah dengan reda itu tindakan mengingkari kesalahan dengan hati sedangkan ia merupakan kewajipan ke atas setiap muslim yang tidak akan gugur daripada seorang pun dalam apa keadaan sekalipun''. Lihat Jami’ al-Ulum wa al-Hikam, 2/245

Ibn Rajab turut menyebut: “Hadith di atas menunjukkan kewajiban mengingkari kemungkaran sesuai dengan kemampuan. Pengingkaran terhadap kemungkaran hukumnya wajib, kerana orang yang hatinya tidak mengingkari kemungkaran, menunjukkan iman telah hilang dari hatinya''. Lihat Jami’ al-Ulum wa al-Hikam, 2/245

Selain itu, sememangnya kita dituntut untuk tidak berdiam diri dalam perkara maksiat atau kemungkaran. Ini kerana, tugas al-Amr bi al-Ma’ruf dan al-Nahi an al-Munkar adalah kewajipan setiap individu yang mengaku beriman kepada Allah Suhanahuwata'ala dan rasul-Nya Sallallahu'alaiwasallam. Dengan sikap berdiam diri di atas perkara mungkar akan menyebabkan turunnya azab Allah Suhanahuwata'ala berdasarkan beberapa buah hadith, antaranya sabda Nabi Sallallahu'alaiwasallam,

مَا مِنْ قَوْمٍ يُعْمَلُ فِيهِمْ بِالْمَعَاصِي، ثُمَّ يَقْدِرُونَ عَلَى أَنْ يُغَيِّرُوا، ثُمَّ لَا يُغَيِّرُوا، إِلَّا يُوشِكُ أَنْ يَعُمَّهُمُ اللَّهُ مِنْهُ بِعِقَابٍ

Maksudnya: ''Tidaklah kemaksiatan yang dilakukan oleh sesuatu kaum, kemudian mereka (sebahagian daripada mereka) mampu untuk mengubahnya tetapi mereka tidak berbuat sedemikian, melainkan Allah Subhanahuwata'ala akan timpakan keseluruhan kaum tersebut dengan azab''. Riwayat Abu Daud (4338)


No comments:

Post a Comment

Keberkatan Masa Dan Usia

Keberkatan Masa Dan Usia Hidup dan mati merupakan ketentuan dan rahsia Allah Subhanahuwata’ala. Tiada siapa yang mampu mengetahuinya. Tidak ...